Pernah berkelana ke Australia, rezeki di Pulau Cenang sebagai pemuzik jalanan.
Pernah berkelana ke Australia, rezeki di Pulau Cenang sebagai pemuzik jalanan.
LANGKAWI- Sham Faris Mohd Yusak (45) pernah bermain muzik secara solo di Gold Coast, Australia kira-kira 3 bulan untuk mencari pengalaman dan menguji nasib dan kemudian kembali ke tanah air dan bermain muzik jalanan di sekitar Kuala Lumpur.
Oleh kerana pesaingan yang kuat di ibukota, Sham terus berkelana ke Langkawi 4 tahun lalu untuk bertarung nasib bermain muzik jalanan secara solo.
“Setelah berada seketika di pulau perangin ini, saya bertemu dengan Conves dan Farok Ahmad dan membentuk kumpulan muzik jalanan di sini.
“Mungkin keserasian yang ada di kalangan kami, selain itu saya bersyukur diberi peluang oleh restoran yang beroperasi di sini untuk membuat persembahan untuk menghiburkan pengunjung sambil menjamu selera, “katanya.
Katanya, selepas tamat sekolah menengah, dia mengikut kawan-kawan di kampungnya bermain muzik di bawah khemah kenduri kawin.
“Sebenarnya saya bermula sebagai penyanyi, tetapi oleh kerana keinginan untuk bermain muzik saya belajar bermain gitar dan kini saya bernyanyi dan bermain gitar,” katanya.
Katanya, kumpulan ini mendendangkan pelbagai genre muzik, oleh itu mereka perlu sentiasa bersedia dan mendengar lagu-lagu lama dan terkini kerana ada pengunjung memohon kami mendendangkan lagu-lagu yang dikehendaki.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, kumpulan kami tidak dapat mengadakan persembahan yang menjejaskan punca pendapatan kami.
“Saya hampir putus asa namun tetap mencuba alternatif lain antaranya membuat persembahan menerusi siaran langsung di laman sosial dan aplikasi Clubhouse,” katanya.
Pemain basist kumpulan ini, Conves yang berasal dari Kuching, Sarawak bertemu dengan Sham dan membentuk kumpulan muzik jalanan ini.
“Saya bertemu dengan Sham secara tidak sengaja di tempat Sham membuat persembahan secara solo dan kami bergabung untuk membentuk kumpulan ini.
“Sudah hampir kira-kira 4 tahun, kami bermain muzik di Pantai Cenang di sini yang memberi pendapatan yang agak baik, tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami juga turut terkesan,” katanya.
Katanya, kumpulan mereka kembali bernyawa sejak kerajaan laksanakan program perintis gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi dan mereka dapat meraih RM800 pada satu malam.
Seorang ahli kumpulan ini, Farouk Ahmad (47) berasal dari Kuala Lumpur, mula bermain muzik sejak tahun 1990an turut menyertai kumpulan ini sejak 4 tahun lalu.
“Hendak katakan tidak sengaja, entahlah, tapi mungkin rezeki kami untuk bergabung mendatangkan hasil yang berbaloi.
“Kumpulan ini dianggap kerja bermain muzik sepenuh masa di pantai ini yang ramai pengunjung khususnya hujung minggu, cuti persekolahan dan cuti perayaan, tapi pantai ini sunyi sejak PKP dan kami turut terkesan kerana tiada pendapatan,” katanya.
Katanya, kos sara hidup tinggi menyebabkannya berhijrah ke Kedah dan kini mencari rezeki bersama kumpulan itu di sebuah kafe dekat Pantai Cenang di sini.
“Syukur, saya anggap ini perkembangan positif untuk komuniti pemuzik jalanan seluruh negara supaya dapat kembali mencari rezeki walaupun dalam situasi norma baharu serta pandemik yang belum reda, diharap semua berhati-hati,” katanya.- SAHIH.