Dua skuad negara alami nasib berbeza dalam perlawanan masing-masing
KUALA LUMPUR – Dua pasukan adik-beradik Harimau Malaya mengalami nasib berbeza apabila bertemu lawan masing-masing di kejohanan yang berlainan malam tadi.
Abangnya, Harimau Malaysia di bawah bimbingan Kim Pan Gon berjaya menjinakkan pasukan Turkmenistan dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Tiga jaringan tersebut disempurnakan oleh Safawi Rasid pada minit ke-11; Faizal Halim (16) dan Corbin-Ong pada minit 45 + 2 separuh masa pertama, manakala jaringan Altymyrat Annadurdyyew menjaringkan gol untuk pasukannya pada minit 37.
Manakala kekalahan Harimau Muda Bawah 23 tahun tewas di tangan Vietnam dengan jaringan 2-0 yang dijaringkan oleh Nham Mạnh Dung pada minit 28 dan Bui Hoang Viet Anh pada minit ke-45+8 separuh masa pertama.
Skuad Harimau Muda telahpun tersingkir awal dari saingan kejohanan Piala Asia 2022 AFC bawah 23 tahun (B23) berikutan tewas pada dua perlawanan berturut-turut sebelum ini yang diadakan di Uzbekistan.
Kekalahan dua perlawanan menentang Korea Selatan dan Thailand sebelum ini menyaksikan Malaysia tidak memperoleh sebarang mata sekaligus menutup peluang skuad Harimau Muda untuk mara ke peringkat seterusnya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ibunya, Nasnita (kiri) dan ayahnya, Adi Daud menunjukkan foto Nor Sarah semasa kecil di rumahnya di Felda Jengka 3, hari ini.
Kata azimat ayah menjadi tonik rangkul emas Sukan SEA
BANDAR PUSAT JENGKA – Kata azimat ayah Nor Sarah Adi sebelum bertanding dalam acara lompat bergalah semalam menjadi ‘tonik’ untuk dia berjaya merangkul pingat emas dalam sukan olahraga acara lompat bergalah Sukan SEA di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam.
Kemenangannya merangkul emas dalam sukan itu turut memberi semangat yang jitu kepada Nor Sarah Adi yang turut mengukir kejayaan berganda dengan memungut pingat gangsa dalam acara lari berganti-ganti 4 x 100 meter bersama kuartetnya, S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias yang mencatatkan 45.32 saat (s) di belakang Thailand (44.39s) dan Vietnam (45.25s).
Nor Sarah meraikan kemenangannya merangkul pingat emas dalam acara lompat bergalah di Sukan Sea di Vetnam, semalam.
Ayahnya, Adi Daud, 56 tahun berkata, nalurinya merasakan anaknya akan berjaya rangkul emas dan sebelum pertandingan, dia menelefon untuk memberi kata semangat kepada anaknya agar tidak menghampakan rakyat Malaysia dan keluarga.
“Sarah memang cukup berdisiplin dalam latihan dan tidak mengenal erti kalah serta sentiasa berusaha keras untuk berjaya dalam apa jua bidang yang ceburi termasuk akademik dan sukan.
“Acara yang kerap diceburinya adalah larian 100 meter dan 4 x 100 meter, acara lompat bergalah hanya sekali-sekala disertainya sekiranya ada kejohanan olahraga mengadakan acara itu, namun dia mencatatkan ketinggan 4.0 meter untuk muncul juara” katanya di kediamannya di Felda Jengka 3, hari ini.
Katanya, Sarah seorang yang meminati sukan dan semasa di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4 dia kerap menceburkan diri dalam acara larian termasuk acara merentas desa, termasuk belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2, dia tidak terkecuali menyertai acara sukan yang digemarinya.
“Kejayaan dan bakatnya itu dia dipilih melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Gambang Kuantan bermula tingkatan 3 hingga menduduki peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia.
Ibunya, Nasnita Mohd Zain, 48 turut terharu dengan kejayaan anaknya yang merangkul pingat emas dalam acara lompat bergalah.
“Kami sekeluarga tidak senang duduk menonton secara langsung acara ini melalui televisyen, semalam dan dia sempat melakukan panggilan video selepas mencatatkan nama sebagai penerima pingat emas.
“Katanya, dia bersyukur dengan doa ayah dan ibu serta semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan dia dan atlet tanah air dan berharap terus mendoakan kejayaan mereka,” katanya.
Ibu kepada mahasiswa yang sedang belajar dalam bidang komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, anaknya tetap memilih untuk terus belajar di samping mewakili negara dalam bidang sukan olahraga.
“Semasa dalam panggilan video Sarah sempat mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaannya dan rakan-rakannya, dia memohon agar terus berdoa untuk kejayaan semua atlet Malaysia di Vietnam yang sedang berjuang dalam acara masing-masing,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sekolah di pedalaman sasar 5 terbaik kejohanan golf MSSP 2023
Foto atas : Barisan pemain golf SKUT yang bakal menggegarkan arena permainan golf MSS Pahang 2023.
Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling (SKUT), Kampung Bantal, Jerantut mensasarkan lima pemain golf sekolah itu berada di ranking lima terbaik sukan golf dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) tahun 2023.
Guru Besar SKUT, Abd Manaf Mat berkata, kedudukan sekolah kecil dan terpencil di pedalaman yang terletak hampir 120 kilometer dari bandar Jerantut dan hanya mempunyai 87 murid bukan bererti terus tercicir dalam pelbagai bidang.
Guru SKUT, Amiruddin Ahmad menunjukcara kepada murid menghayun kayu golf dengan betul
Katanya, sebagai pentadbir perlu kreatif dan berfikiran terbuka untuk ‘membandarkan minda’ murid walaupun berada di pedalaman.
“Sekolah perlu memberi pendedahan kepada murid dengan jenis sukan yang selain dari kebiasaan serta disokong dengan kemudahan dan kemahiran asas yang dimiliki oleh guru yang bertindak sebagai jurulatih sukan ini kepada murid.
“Kita miliki kemudahan padang biasa yang luas menghijau cantik dan boleh dijadikan lapangan latihan serta seorang guru yang boleh bermain golf sebagai langkah awal membentuk kebolehan dan bakat murid sekolah ini,” katanya.
Katanya, selain itu, di zaman serba canggih ini, pendedahan secara visual boleh diperolehi dengan mudah melalui laman sosial Youtube untuk memperkenalkan pemainan golf kepada murid yang telah dikenalpasti memiliki bakat untuk bermain permainan yang dianggap berprestij.
“Cikgu Amiruddin Ahmad bertindak sebagai jurulatih memberi kemahiran asas permainan kepada murid dan melakukan latihan di padang sekolah.
“Manakala, peralatan bermain golf hanya menggunakan alatan Cikgu Amiruddin sebelum memikirkan dan mencari dana untuk membeli set golf yang baharu untuk digunakan oleh murid sekolah ini,” katanya.
Katanya, sebagai pentadbir perlu berani membawa perubahan dan jangan terlalu stereotaip dan bersifat statik.
Murid SKUT melakukan latihan di ‘green’ di padang sekolah itu.
Guru yang bertindak sebagai jurulatih, Amirudin Ahmad berkata, pada mulanya dia berlatih bermain golf berseorangan di padang sekolah itu untuk mengisi masa lapang dan beriadah di waktu petang.
“Datang beberapa murid yang banyak bertanya berkaitan dengan permainan itu dan ingin mencuba setelah melihat saya bermain beberapa hari.
“Oleh kerana mereka mempunyai perasaan ingin tahu, saya menerangkan beberapa perkara ringkas dan memberi mereka peluang mencuba,” katanya.
Katanya, disebabkan setiap kali saya turun ke padang, murid yang sama akan berada di tepi padang memerhati saya menghayun kayu golf.
“Saya memberi mereka peluang untuk ‘menghayun’ dan terkejut mereka memiliki bakat yang boleh diasah dan diasuh.
“Saya maklumkan kepada guru besar dan dipersetujui untuk melatih mereka serta turut disokong ibu bapa murid berkenaan,” katanya.
Katanya, pada peringkat ini mereka menggunakan alatan permainannya dan akan cuba berusaha mencari dana membeli set golf yang baharu untuk kegunaan murid berkenaan.
“Saya cuba usahakan bersama pentadbir untuk mendapatkan dana untuk membeli beberapa set peralatan permainan golf untuk kegunaan murid yang dianggarkan RM5,000 tidak termasuk kasut yang sesuai dan sarung tangan untuk pemain golf dan pakaian.
“Sasaran SKUT menjadikan murid sekolah ini lima terbaik dalam kejohanan MSSP pada tahun 2023,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Thomas selepas melakar kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Amerika Syarikat (AS) 5-0 dalam aksi Kumpulan D, sebentar tadi.
Semalam, skuad negara membuka tirai kempen di Bangkok, Thailand dengan membenam cabaran England 5-0.
Jepun yang turut merekodkan kemenangan ke atas AS dan England mengiringi skuad negara ke kelompok lapan terbaik dengan pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam aksi terakhir, esok bakal menjadi penentuan juara dan naib juara kumpulan.
Aksi menentang AS, hari ini menyaksikan Malaysia menyenaraikan barisan kedua dengan jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik direhatkan.
Tugas Zii Jia selaku perseorangan pertama digalas pemain berpengalaman, Liew Daren yang tidak berdepan masalah untuk menyumbang mata pertama menerusi kemenangan ke atas Enrico Asuncion 21-13, 21-16 sebelum Ng Tze Yong melebarkan kedudukan buat skuad negara dengan menewaskan Don Henly Averia 21-11, 21-9.
Pemain muda, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang diberi kepercayaan menggalas tugas selaku perseorangan ketiga tidak mengecewakan apabila menang dalam penampilan pertamanya di kejohanan berpasukan itu selepas menewaskan Wiiliam Hu 21-16, 21-17.
“Perlawanan hari ini tidak mudah kerana lawan beri tentangan. Di set pertama saya masih menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang ditambah pula angin kuat.
“Secara keseluruhannya masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi saya gembira dapat menyumbang satu mata kepada pasukan,” kata Aidil yang berada di kedudukan ranking ke-100 dunia.
Dua lagi mata negara disumbangkan pemain beregu, Goh Sze Fei yang bergandingan bersama Chia Weijie apabila menewaskan Andrian King Sun Mar-Henry Tang 21-12, 21-8 sebelum Teo Ee Yi-Ong Yew Sin melengkapkan kemenangan skuad negara dengan menundukkan Enrico -William 21-16, 21-8.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Pemain JDT Fernando Forestieri (kiri) diasak pemain Ulsan Hyundai FC, Won Dujae (dua, kiri) pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulaan I di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. – Bernama
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul kelab negara pertama yang melayakkan diri ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL), selepas menundukkan Ulsan Hyundai FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim petang tadi.
Gol pertama JDT hadir seawal minit kelima perlawanan, menerusi sepakan percuma Leandro Velazquez, selepas Bergson Da Silva dijatuhkan Won Dujae.
Namun skuad kendalian Benjamin Mora tidak sempat meraikan jaringan itu, apabila pasukan Korea Selatan meledak gawang tuan rumah seminit kemudian, sekali gus menyamakan kedudukan menerusi rembatan Jun Amano.
JDT hampir mendahului pada minit ke-24, namun demikian gol jaringan Fernando Forestieri itu tidak dikira pengadil Nawaf Abdulla Shukralla kerana dikatakan ofsaid selepas menerima umpanan Aqif Fazail.
Kedua-dua pasukan dilihat terus berhempas pulas dan tertekan untuk menambah jaringan masing-masing dengan melakukan serangan bertubi-tubi, namun gagal meledak gawang.
Bagaimanapun, pada ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan seri dan menyebabkan JDT terkeluar dari persaingan, serangan terakhir pasukan itu pada minit ke-94 menerusi Arif Aiman Hanapi ke dalam kotak penalti, telah ditolak masuk ke gol sendiri oleh Park Yong-Woo, sekali gus memberikan gol kemenangan kepada JDT pada minit ke-94.
Sementara itu, pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Kawasaki Frontale dari Jepun mencatat kemenangan ketiga apabila menumpaskan pasukan di kedudukan tercorot, Guangzhou FC 1-0.
Sumber : Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BHARU – Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta kejutan dalam perlawanan kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila menumbangkan juara dua kali dan naib juara Liga Korea Selatan (K-League), Ulsan Hyundai, 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.
Gol daripada Fernando Forestieri dan Bergson da Silva dalam babak berbeza memberikan Harimau Selatan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Guangzhou FC, 5-0 Jumaat lalu.
Pasukan bimbingan Benjamin Mora itu berada di depan seawal minit keempat apabila Forestieri melepaskan rembatan jarak jauh gemilang susulan menerima hantaran Corbin Ong.
Menariknya, tiada sebarang petanda untuk wakil negara itu bermain secara bertahan, sebaliknya terus menguasai permainan dan berhasil melakukan beberapa percubaan, antaranya menerusi rembatan jarak jauh Nazmi Faiz Mansor dan lambungan tinggi Bergson.
Ulsan memperkemaskan aksi dalam babak kedua dan berupaya menyamakan kedudukan selepas Um Wong-sang melepaskan sepakan leret untuk menewaskan penjaga gol JDT, Haziq Nadzli, pada minit ke-52.
Bagaimanapun, JDT membuktikan betapa mereka sudah bersedia untuk bersaing di pentas tertinggi Asia apabila penyerang utama, Bergson yang menerima lorongan Safawi Rasid selepas Matthew Davies merampas bola daripada pemain lawan melepaskan rembatan kaki kiri lencong yang menerjah jaring lawan pada minit ke-80 untuk memastikan kemenangan pasukannya.
Dengan kemenangan itu, JDT kekal menerajui Kumpulan I dengan enam mata, dua mata mendahului gergasi Jepun, Kawasaki Frontale, manakala Ulsan pula berada di tangga ketiga dengan satu mata.
Sumber : Astro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: AIFA Azman (kiri) menyingkirkan pemain England, Lucy Turmel pada pusingan kedua Terbuka Manchester hari ini. – IHSAN MANCHESTER OPEN
Eain Yow, Aifa melangkah ke suku akhir Terbuka Manchester
PETALING JAYA: Dua pemain skuasy negara, Ng Eain Yow dan Aifa Azman menempah slot suku akhir setelah membenam lawan masing-masing pada pusingan kedua kejohanan skuasy Terbuka Manchester di Pusat Skuasy Nasional, Manchester hari ini.
Pemain berusia 24 tahun yang menghuni ranking No. 20 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pencabar dari Mesir yang memiliki fizikal jauh lebih besar berbanding dirinya.
NG Eain Yow (kiri) cemerlang menumpaskan pemain Mesir, Moustafa El Sirty 11-7, 11-6, 11-7 pada pusingan kedua Terbuka Manchester. – IHSAN MANCHESTER OPEN
Eain Yow yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Squashsite.com selepas perlawanan berakhir berkata, dia bermain baik, semalam untuk terus kekal fokus dalam persembahannya.
“Memang adakalanya saya teragak-agak untuk membuat keputusan ketika menyempurnakan hantaran, tetapi dapat berasakan saya melakukan pergerakan yang baik dan tidak terlibat dengan situasi yang berisiko.
“Saya berusaha memukul bola di ruang yang sempit dan memaksa lawan keluar dari tengah gelanggang, jadi selepas itu saya cuma mengekalkan aksi yang lebih teratur,” katanya yang mendapat bye pada pusingan pertama.
Dalam suku akhir esok, Eain Yow terpaksa mengharungi laluan yang lebih getir apabila perlu berdepan pilihan pertama, Mohamed ElShorbagy juga dari Mesir setelah pemain No. 3 dunia itu mengalahkan wakil Perancis, Victor Crouin 6-11, 11-3, 14-12, 11-6.
Sementara itu, seorang lagi wakil Malaysia yang beraksi dalam saingan wanita, Aifa menewaskan pencabar tuan rumah, Lucy Turmel pada pertemuan yang berlangsung sengit sebelum menang 6-11, 6-11, 11-6, 11-8, 11-8 dalam masa 50 minit.
Turmel yang menghuni ranking ke-20 dunia, diberi tentangan hebat oleh pemain No. 29 dunia, Aifa yang berjaya bangkit daripada ketinggalan dua set bagi mengheret lawan bermain dalam aksi penentuan.
“Saya bermula perlahan dalam perlawanan ini. Keadaan ini berlaku disebabkan saya yang sepatutnya menentang Georgia Adderley pada pusingan pertama, semalam (kelmarin), tetapi tidak turun beraksi kerana dia menarik diri.
“Bagaimanapun, secara keseluruhan saya gembira kerana berjaya bangkit dan sekali gus melengkapkan saingan dengan kemenangan,” katanya.
Pada suku akhir, pilihan kedua, Joelle King dari New Zealand menanti pemain muda negara itu, setelah lawan yang berada di ranking No. 5 dunia tersebut menundukkan pemain Mesir, Sana Ibrahim 11-4, 11-9, 2-11, 11-9.
Sumber – UTUSAN ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: BERGSON Da Silva meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama JDT ketika menentang Guangzhou FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi. Foto – UTUSAN
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi amaran kepada pencabar Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila membelasah Guangzhou FC dalam aksi pembukaan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Ayam tambatan Harimau Selatan, Bergson Da Silva muncul wira Harimau Selatan dengan meledak hatrik untuk meletakkan JDT sebagai pendahulu kumpulan.
Gol pembukaan itu menyuntik semangat pasukan tuan rumah untuk menambah jaringan hasil percubaan Fernando Forestieri pada minit ke-13, rembatannya berjaya dinafikan He Lipan pada awalnya namun kesilapannya menyebabkan bola tertampan ke gawang sendiri.
Pan Yong He yang menurunkan skuad kedua itu terus buntu untuk mengekang kemaraan juara Piala AFC 2015 yang terus mendominasi permainan dan mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.
Hasilnya, pasukan bimbingan Benjamin Mora terus menambah derita pasukan lawan apabila melebarkan kedudukan pada minit ke-27 hasil jaringan Bergson yang mendapat umpanan cantik Afiq Fazail meletakkan JDT 3-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Guangzhou dilihat terus gagal memberi impak pada perlawanan itu sebaliknya terus diasak hebat wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan itu yang buas memburu jaringan.
Pada minit ke-55, Bergson melengkapkan malam bergaya buat dirinya apabila mencipta hatrik apabila sekali lagi menewaskan Lipan menerusi tandukan hasil hantaran lintang Corbin Ong.
JDT menambah derita Guangzhou dengan menambah jaringan menerusi pemain gantian, Ramadhan Saifullah yang bijak melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melakukan sepakan lambung melepasi jangkauan Lipan pada minit ke-81.
Kemenangan tersebut meletakkan JDT di posisi teratas Kumpulan I dengan mengutip tiga mata pada aksi pembukaan.
Dalam perlawanan berasingan, pertemuan antara kelab Jepun, Kawasaki Frontale menentang pasukan Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, dekat sini berakhir dengan 1-1.
Sumber – UTUSAN ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Aqil teruja dapat tonton kereta lumba kawalan jauh
Foto atas : Aqil menerima sumbangan
TEMERLOH – Hasrat Mohd Aqil Aqmar Nordin (4 tahun) untuk menyaksikan kereta kawalan jauh akhirnya tercapai apabila bapanya membawa dia dari Felda Ulu Jempol ke Dataran Temerloh sejauh kira-kira 60 kilometer, semalam.
Lebih manis hasrat itu turut direalisasaikan oleh Kelab Temerloh RC dengan mengadakan demo kereta kawalan jauh di dataran itu.
Pengerusi kelab itu, Khairul Mohd Azuar Ibrahim berkata, impian adik Aqil sangat teruja untuk melihat dari dekat kereta kawalan jauh dan diketahui daripada kawan-kawannya.
“Oleh itu, hari ini (semalam), kami sempat mengumpul ahli kelab dengan kira-kira 50 buah kereta berskala 1/5 dan 1/8 dan dianggarkan bersaiz hampir 50 sentimeter sehingga 80 sentimeter menggunakan minyak petrol dan beteri
“Dengan bunyi seperti kereta lumba yang nyaring, adik Aqil kelihatan sangat teruja dan gembira, katanya.
Sementara itu, bapanya, Nordin Jasni (39) yang turut berada bersama untuk menyaksikan perlumbaan kereta lumba kawalan jauh.
“Bermula dengan melihat kawan-kawannya serta menonton melalui Facebook dan video melalui aplikasi whatsapp, anaknya kerap kali bertanya untuk menyaksikan permainan itu.
“Oleh kerana saya mempunyai kenalan yang bermain kereta lumba ini, saya memohon untuk membawa anak saya untuk melihatnya.
“Saya sekeluarga datang ke dataran ini, Aqil nampak gembira dan teruja dan turut berbisik untuk memilikinya,”katanya.
Katanya, dia berterima kasih kepada kelab itu kerana sanggup ‘melayan’ anaknya yang turut mencuba bermain kereta kawalan jauh itu.
Mohd Aqil yang mengidap penyakit juvenile hyline fibromatosis yang disahkan oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada peringkat awal kelahirannya adalah seperti bayi normal yang lain.
Perubahan fizikal bermula di bahagian jari tangan dan kaki bayi itu dan mula membengkok ketika di usia bulan ketiga termasuk berlaku tulang mengeras dan kejang, pada usia 6 bulan kemudian berlaku perubahan seolah ketumbuhan di bahagian mulut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Malaysia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia
Foto atas : Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengalahkan gandingan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dengan 21-17, 13-21, dan 18-21 meletakkan pasukan negara di depan dengan mata 2-0.-Foto Bernama.
SHAH ALAM – Pasukan negara muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, hari ini.
Skuad badminton negara membenam Indonesia 3-0 di pertandingan akhir dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, hari ini.
Mata pertama diperolehi Lee Zii Jia yang menundukkan Chico Aura Dwi Wardoyo 21-14, 12-21, dan 10-21.
Lee Zii Jia yang menundukkan Chico Aura Dwi Wardoyo 21-14, 12-21, dan 10-21 – Foto BERNAMA
Manakala gandingan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengalahkan gandingan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dengan 21-17, 13-21, dan 18-21 meletakkan pasukan negara di depan dengan mata 2-0.
Perlawanan ketiga di antara Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay tewas di tangan Ng Tze Yong 21-14, 21-15.
Kemenangan itu dimuktamadkan apabila perseorangan kedua Indonesia, Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay tewas di tangan Ng Tze Yong 21-14, 21-15.
Sebelum itu, pasukan muda wanita Malaysia tunduk di separuh akhir Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC), semalam.
Namun, pasukan negara mempamerkan aksi berani, tetapi kekurangan pengalaman jelas kelihatan apabila mereka tumbang 3-0 kepada Korea Selatan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!