JERANTUT – Penduduk di kawasan rendah di Felda dikehendaki berjaga-jaga dan siapsiaga menghadapi musim tengkujuh yang sejak kebelakangan ini kerap berlaku hujan lebat berterusan.
Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud mengingatkan semua peneroka khususnya di Felda Jengka 24, sering bersiap sedia.
“Musim tengkujuh telah bermula, minta semua warga Jengka 24 berhati-hati kemungkinan berlaku banjir terutama di kawasan rendah.
“Ibubapa diharap memantau pergerakan anak masing-masing dan jangan bermain air di kawasan dinaiki air dengan arus yang deras,” katanya.
Katanya, cuba elak menghampiri tiang elektrik yang ditenggelami air dibimbangi berlaku kebocoran arus elektik yang boleh membawa padah.
“Selain itu pastikan bekalan makanan asas mencukupi dan sering mendengar arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
“Mohon jawatan kuasa bencana bersiap bersedia untuk bertugas bila diperlukan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua muka baru dan 2 ADUN Pakatan Harapan dilantik exco Pahang
KUANTAN – Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar, ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal dan Datuk Sabariah Saidan, ADUN Guai antara dua muka baharu yang turut disertai dua ADUN Pakatan Harapan dalam barisan 10 Ahli Dewan Negeri Pahang (exco).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, turut memegang tanggungjawab portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air, selain Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.
Manakala, muka lama, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dilantik untuk portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, manakala Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam serta Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.
Turut serta dalam barisan itu, exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan pula disandang oleh Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, IR Razali Kassim menyandang Exco Felda, Koperasi dan Usahawan, manakala Datuk Seri Johari Harun dilantik sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
Dua ADUN Pakatan Harapan turut dilantik exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia yang disandang oleh Sim Chon Siang, manakala Leong Yu Man dengan memegang jawatan Exco Perpaduan, Pelancongan & Kebudayaan,” katanya kepada media di Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Fadzli dilantik sebagai Exco memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan. Dan Sabariah memegang portfolio Pembangunan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Pada 2 Disember lalu, 10 Ahli Dewan Negeri Pahang telah mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang (exco) di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar, Pekan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Geng Kuala Langat menitis air mata juga tidak dapat menahan kerinduan apabila bertemu semula selepas membawa haluan masing-masing sejak tahun 1972.
Antara mereka yang kini berusia antara 64 tahun dan 67 tahun, sudah mempunyai cucu dan cicit bertemu semula pada Majlis Reunion Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Haron (SMKDH), Tanjung Karang, Selangor.
Majlis itu berlangsung di Dewan Serbaguna Indah Morib Homestay, Kampung Endah, Banting, baru-baru ini.
Pengerusi majlis itu, Ahmad Jantan, berkata majlis itu kebetulan serta menepati dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang dicanangkan oleh kerajaan untuk mengeratkan kembali ukhuwah antara bekas pelajar SMKDH yang sudah lama berpisah tanpa sebarang berita.
Menurutnya, menggunakan kemudahan media sosial penganjuran majlis berkenaan diuar-uarkan beberapa bulan dan mendapat sambutan amat baik apabila ramai yang menelefon bertanyakannya selain memberi persetujuan untuk menghadiri.
Jelasnya, dalam perbualan menerusi telefon itu dia terpaksa bertanya khabar terlebih dahulu termasuk menyoalkan mengenai latar belakang supaya dapat mengingati semula rakan itu kerana secara tidak langsung mengembalikan semula nostalgia ketika SMKDH.
“Walaupun hanya 35 orang sahaja yang hadir, namun majlis ini cukup bermakna bagi kami yang masing-masing sudah berusia lanjut selain sudah lama bersara daripada pelbagai jawatan seperti guru, pegawai polis, tentera dan ahli perniagaan.
“Suasana cukup mengharukan perasaan dan gembira sambil berpelukan kerana kami akhirnya dapat berkumpul semula selepas lebih 50 tahun tidak bersua untuk bertanya khabar walaupun ada yang terpaksa berkerusi roda serta bertongkat datang ke majlis ini.
Katanya, ada antara kami terpaksa mengambil masa beberapa saat untuk mengecamkan kembali wajah kawan yang disapa dalam majlis ini dan menambahkan gelak tawa serta kemesraan apabila terpaksa bersandarkan seperti kepada peristiwa dan perangai yang dilalui masa di SMKDH dahulu untuk mengingati semula.
Sementara itu, seorang bekas pelajar SMKDH, Shamsiah Ilham melahirkan rasa terharu dapat menghadiri majlis itu untuk berjumpa dengan rakan walaupun kurang sihat namun terpaksa mengagahi diri untuk datang bagi bertanya khabar kawan yang sudah lama berpisah.
Bagi Jawahir Misbah pula, dia menzahirkan ribuan terima kepada mereka yang bersusah payah berusaha mengadakan majlis itu yang ternyata memberi banyak manfaat bukan setakat merapatkan ukhuwah persahabatan malah berkongsi cerita mengenai rakan-rakan yang berjaya dan sebaliknya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jumlah mangsa banjir dan PPS Pahang meningkat semula
KUANTAN – Bilangan mangsa banjir meningkat semula kepada 444 orang dan ditempatkan di 4 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daripada 128 buah di tiga daerah sehingga jam 8 malam ini.
Sebelum itu, mangsa banjir yang ditempatkan di tiga buah PPS di daerah Temerloh dan Bera, dengan seramai 405 orang daripada 121 buah keluarga pada jam 4.00 petang.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam satu kenyataan berkata, di Pekan seramai 46 orang mangsa daripada 10 buah keluarga yang mula terjejas ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, Pekan.
“Di Temerloh, jumlah terkini mangsa yang terjejas masih berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan, iaitu seramai 363 orang mangsa daripada 108 keluarga yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, di Bera, seramai 35 orang mangsa daripada 10 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar yang dibuka sejak Jumaat lalu dan sembilan mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Kerayong.
Katanya, tiga daerah iaitu Jerantut, Raub dan Lipis telah menutup PPS yang ada kerana mangsa pulang ke rumah masing-masing bermula pukul 2 petang tadi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Seorang murid melakukan cubaan balingan bola boling.
Main boling di kaki lima sekolah cetus semangat murid SKMR, Segamat
SEGAMAT – Pemainan boling menjadi inspirasi cetusan membakar semangat bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Melayu Raya (SKMR), Segamat, untuk memburu kecemerlangan dalam kurikulum.
Guru Besarnya, Mohd Ali Hadoon, berkata inspirasi itu yang sudah dilaksanakan sejak sebulan lalu selepas mesyuarat khas dengan guru mendapati sukan boling lebih diminati murid-murid untuk dipelajari selain berasa seronok apabila dapat bersaing dengan rakan.
Menurutnya, bagaimanapun untuk bermain boling khusus pada waktu rehat mereka mesti mencapai kecemerlangan dalam kurikulum bagi satu-satu subjek dan tidak kecuali menunjukkan aktif dalam pembabitan aktiviti kokurikulum.
Jelasnya, sebagai contoh bagi program panitia matematik, murid yang ingin bermain boling perlu menghafal sifir 7 hingga 12 dengan sempurna baru dapat peluang menyentuh boling dan beraksi untuk bersaing dengan rakan dengan diawasi serta dibimbing guru panitia berkenaan.
Beliau berkata, begitulah juga murid yang mencapai TP5 dalam subjek pelajaran yang dipelajari akan diberi peluang guru terbabit untuk bermain boling.
Katanya, semua murid yang cemerlang dan terpilih bermain boling hanya pada waktu rehat sahaja yang mengambil masa antara tiga dan lima minit yang dimainkan di tepi kaki lima dewan dan terbaharu beralih ke kaki lima depan makmal sekolah .
“Inspirasi ini ternyata berjaya memupuk budaya dan memotivasikan murid untuk rajin mentalaah serta mengulang kaji pelajaran selain bersaing dalam kelas dengan rakan untuk menjadi yang terbaik supaya dapat bermain boling.
“Cetusan idea ini juga turut menjadi pendorong kepada mereka untuk rajin hadir ke sekolah setiap hari selain mendapat pujian serta sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKMR yang turut menganggap langkah berkenaan menceriakan suasana setiap pagi,” katanya.
Mohd Ali berkata, kejayaan inspirasi itu juga adalah hasil jalinan usaha sama antara SKMR dengan pengusaha pusat boling daerah berkenaan yang diketuai pengurusnya, Roslan Md Isa apabila bersedia membekalkan pin dan bola boling terpakai secara percuma.
Menurutnya, SKMR berasa terhutang budi dan berbangga dengan kesudian Roslan memberi kerjasama sebagai tanda keprihatinan beliau untuk membantu pihak sekolah menyuntik kecemerlangan pendidikan murid di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, Unit Kokurikulum SKMR turut mengambil langkah yang sama apabila menetapkan murid mempunyai rekod terbanyak sijil penglibatan dalam aktiviti kokurikulum.
“Usaha yang dilakukan oleh guru terbabit terbukti berjaya memotivasikan murid untuk tekun dalam pelajaran selain bersemangat bersaing dengan rakan serta hadir ke sekolah setiap hari.
“Boling juga menunjukkan sukan yang digemari ramai termasuk dalam kalangan murid sekolah rendah malah mereka berasa teruja apabila dapat bermain secara percuma bersama rakan-rakan selepas belajar dalam kelas,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Polis Bentong sedang menyiasat dakwaan seorang pelajar dipukul pelajar ‘senior’ ketika berada di asrama sekolah pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa hari ini.
“Pelajar berusia 16 tahun itu mengadu sakit pada bahagian perut dan kencing berdarah pada jam 10 pagi Jumaat (semalam) ketika berada di rumah dan bapanya membawa dia ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, pihak hospital mengesyaki mangsa dipukul dan selepas bapanya bertanya lebih lanjut barulah dia menceritakan kejadian dipukul pelajar ‘senior’ kira-kira jam 2 pagi (Jumaat) ketika berada di asrama sekolah itu.
“Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Bentong,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, sebentar tadi.
Zaiham berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 16 tahun dan pelajar ‘senior’ yang dikatakan membelasah mangsa berusia 17 tahun.
Katanya, pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sudah menghubungi pihak sekolah berkenaan bagi melakukan siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau keduanya sekali,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor, Wan Faridah (dua dari kanan), Azuan (empat dari kanan) dan Arbakyah (tengah) bersama-sama rakan gembira dapat berkhidmat secara sukarela di hospital itu.
Sukarelawan hospital ibarat wira tidak didendangkan
KAJANG – Sukarelawan hospital ibarat wira yang tidak didendang kerana usaha murni mereka yang tidak dibayar untuk menjalankan kerja secara sukarela bagi membantu petugas di hospital dalam menyantuni pesakit.
Katanya, anggapan sedemikian kurang tepat kerana pelbagai kebaikan boleh dilakukan dalam banyak perkara kerana paling penting niat melakukan tugas itu dengan ikhlas serta jujur kerana sekecil mana pun usaha berkenaan pasti besar maknanya.
“Inilah contoh terbaik ditunjukkan sukarelawan hospital yang boleh menawarkan bantuan dalam pelbagai segi kemahiran termasuklah memotong rambut dan kuku pesakit, menolak kerusi roda pesakit yang hadir untuk janji temu di klinik pakar dan sebagainya.
“Ibarat seorang wira sukarelawan berkemahiran ini sentiasa bersedia berkhidmat yang memberi banyak manfaat kepada pesakit serta masyarakat memerlukan bantuan dan kita seharusnya sedar akan kewujudan mereka membantu pihak hospital.
Beliau berkata demikian di majlis Sambutan Minggu Sukarelawan 2022 Peringkat Hospital Kajang, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Perubatan 1, Hospital Kajang, Selangor, Dr Mardiah Masharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukarelawan Hospital Kajang.
Turut hadir pada majlis itu Presiden Sahabat Hospital Selangor, Mahat Tumin; wakil pelbagai jabatan dan sukarelawan Hospital Kajang; pertubuhan bukan kerajaan (NGO); serta wakil kelab.
Dr Abdul Ghani berkata, Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada setiap 5 Disember adalah merupakan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1985.
Tambahnya, tujuan sambutan itu adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan sukarelawan di samping meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pengorbanan petugas sukarela kepada masyarakat, justeru inisiatif diambil dengan menganjurkan sambutan peringkat Hospital Kajang.
Tegas beliau, Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital dan sukarelawan tidak dapat dipisahkan kerana menerusi pegawai terbabit penilaian biopsikososial ke atas pesakit dilakukan dengan mendapat bantuan daripada sukarelawan.
“Sukarelawan ini memainkan peranan dalam membantu perkara yang bukan membabitkan bidang sains perubatan bagi memberi sokongan dalam aspek sosial, kebajikan dan emosi pesakit serta keluarga ketika menjalani rawatan atau pemulihan,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUCHING : Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tak digambarkan betapa pilunya hati seorang ibu apabila anak yang dikandung selama sembilan bulan pergi buat selama-lamanya.
Pada Isnin lalu, seorang bayi dilaporkan meninggal dunia dalam dakapan si ibu ketika dalam perjalanan dari Pekan Julau ke hospital di Kuching, Sarawak menaiki bas ekspres.
Tidak sempat menerima rawatan, si kecil telah pergi buat selama-lamanya. Menurut sumber, si ibu hanya menyedari anaknya sudah tidak bernafas ketika bas tersebut berhenti rehat di Jelukong Rest Stop.
Menerusi video tular, kelihatan si ibu terkejut dengan apa yang berlaku sambil memeluk erat dan mengucup kepala bayinya. Seorang ketua rumah panjang (tuai rumah) kemudian membantu membawa bayi tersebut ke pusat perubatan selain menghulurkan RM300 untuk perbelanjaan si ibu.
Kisah tersebut telah mendapat pelbagai respon daripada netizen yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga kecil ini.
Dalam kesempatan itu, mereka menitipkan ucapan takziah dan berdoa agar si ibu kuat menghadapi dugaan hidup.
Netizen turut berpendapat bahawa pemergian si bayi seolah-olah seperti sedang tidur.
Sumber : Sengat Daily
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Beberapa kawasan dilaporkan mula dinaiki air ekoran hujan lebat pekan Karak, Bentong; Kampung Lubuk Kulit, Kuala Lipis; Cheroh, Raub dan Kampung Razali di Kuantan, sejak malam tadi.
Semalam, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura dalam hantaran di laman media sosialnya mengesahkan air mula naik di kawasan Agro Chemomoi, Bentong.
“Saya telah dimaklumkan pada petang tadi berkenaan dengan keadaan banjir di kawasan berdekatan Agropolitan Chemomoi.
“Keadaan jalan di Agropolitan Chemomoi telah dinaiki air berpunca daripada limpahan sungai di kiri dan kanan jalan dari aliran Sungai Triang,” katanya.
Sebelum itu, Young Syefura memberitahu, beliau telah meninjau kawasan Felda Kemahal, Kampung Hayat, Kampung Semerting dan Kampung Baru Manchis di Pelangai yang dinauki air.
Katanya, punca utama adalah daripada sistem perparitan yang tidak sempurna, oleh itu beliau telah membawa kepada perhatian pihak berwajib seperti JPS dan JKR.
Sebelum itu, Young Syefura memberitahu, beliau telah meninjau kawasan Felda Kemahal, Kampung Hayat, Kampung Semerting dan Kampung Baru Manchis di Pelangai yang dinaiki air.
Dalam pada itu, Sistem Siren Amaran Banjir di Kampung Peruas, Ulu Dong di Raub diaktifkan semalam selepas air sungai melepasi paras amaran.
Setakat semalam, tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pahang bagi menempatkan 134 mangsa banjir dari daerah Raub dan Lipis.
PPS dibuka di Surau Kampung Peruas, Pusat Pemindahan Kampung Pamah Rawas, Balai Raya Kampung Pamah Kulat, Kampung Keloi, Kampung Jenud dan Ulu Atok di Raub dengan 117 mangsa daripada 25 keluarga.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BN berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
ROMPIN – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.
Nor Idayu mendapat 7, 507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.
Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang deposit. Osman mendapat 79 undi manakala Sulaiman pula hanya memperoleh 58 undi.
Keputusan pilihan raya DUN Tioman menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, menyamai jumlah kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam PRU15.
PRU15 DUN Tioman diadakan lewat susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia 19 November lalu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Johari Hussain kerana memenangi kerusi DUN Tioman.
“Syabas tahniah kepada yang berhormat datuk seri johari dan saya yakin beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di Tioman,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Johari turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera parti yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan beliau dalam pilihan raya kali ini.
“Dalam masa yang sama juga saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri khususnya di bawah seliaan dan pengurusan di bawah MB Pahang.
“Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan kerja kuat semua jentera jentera melibatkan jentera pusat, negeri dan bahagian di seluruh negeri Pahang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!