Bera – SEORANG lelaki maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya melanggar sebuah lori berhampiran Klinik Kesihatan Padang Luas, dekat Bera, pagi tadi.
Mangsa disahkan maut akibat tersepit dalam kenderaan itu.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 8.41 pagi.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dihantar ke lokasi kejadian selepas laporan diterima.
“Operasi menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa dilakukan 10 pegawai dan anggota dari balai bomba berkenaan.
“Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan SUV itu,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Zulfadli memaklumkan, mayat mangsa dibawa ke klinik berhampiran menggunakan ambulans dan kes itu diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
TAMAT-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bawa mangkok tingkat beli juadah di bazar Ramadan, elak penggunaan plastik berlebihan
JERANTUT – Bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi dan pastinya bazar Ramadan menjadi salah satu tempat menjadi kunjungan umat Islam dan kaum lain untuk membeli juadah sepanjang bulan tersebut.
Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Datuk Khairun Nissa Aris berkata, mengikut laporan pembuangan sisa makanan termasuk pembuangan beg dan bungkusan plastik yang digunakan dikhuatiri boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan.
“Pengunjung bazar Ramadan disaran membawa beg kitar semula, mangkok tingkat dan bekas makanan yang dibawa dari rumah ketika membeli juadah berbuka puasa untuk menghindari penggunaan beg plastik berlebihan sepanjang bulan Ramadan.
“Tiba masanya mewujudkan budaya baharu dengan membawa bekas yang dibawa dari rumah seperti mangkuk tingkat, bekas makanan serta beg kitar semula ketika membeli juadah di bazar Ramadan.” katanya di sini.
Katanya, jika dimulakan budaya ini, tidak mustahil ia akan menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan plastik serta sisa yang dijana.
“Selain itu makanan yang disimpan dalam bekas makanan sendiri lebih terjamin kebersihannya serta boleh terus dihidang.
“Amalan ini penting bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna memandangkan kebanyakan makanan dan minuman di bazar Ramadan dijual dalam bungkusan plastik,” katanya.
Katanya, pengusaha makanan disarankan tidak menggunakan bekas bungkusan polisterin seperti yang diamalkan sekarang, sebaliknya menggunakan bekas makanan biodegradasi yang tidak mengandungi bahan pencemaran dan bekas seperti ini lebih mudah terurai dan lebih mesra alam.
“Walaupun perubahan yang dilakukan ini nampak kecil tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka masa panjang termasuk menyelamatkan alam sekitar daripada dicemari lambakan sisa plastik.
“Pemantauan akan dilakukan oleh petugas di semua bazar Ramadan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan aspek kebersihan diutamakan dan sebanyak 115 tapak bazar Ramadan disediakan di bandar Jerantut,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Remaja tunggang motosikal aksi terbang ditahan di Bentong
BENTONG : Tiga remaja yang melakukan tunggangan motosikalnya secara berbahaya ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada jam 1.30 pagi, pagi kelmarin.
Perbuatan itu dilakukan di Plaza Tol Karak, Lebuh Raya Karak – Kuala Lumpur dekat sini dalam Op Samseng Jalanan.
Ketua Polis Daerah Bentong, , Zaiham Mohd Kahar berkata, penunggang remaja berkenaan menunggang dengan melakukan aksi menundukkan badan an berlumba sesama sendiri.
Ketua Polis Daerah, Bentong,, Zaiham Mohd Kahar
“Selain itu, mereka melakukan tunggangan zig-zag serta melunjurkan kedua belah kaki ke belakang seperti gelagat Superman terbang.
“Cara tunggangan motosikal yang dilakukan secara melulu bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, tiga remaja yang ditahan itu berusia antara 14 hingga 16 tahun merupakan pelajar sebuah sekolah sekolah di daerah ini.
“Sempena OP Samseng Jalanan ini, polis BSPT telah mengeluarkan sebanyak 25 saman atas pelbagai kesalahan dan turut merampas tiga buah motosikal.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 108(e) APJ 1987,” katanya.
Beliau berkata, polis berterima kasih kepada orang ramai kerana memberikan maklumat mengenai aktiviti samseng jalanan tersebut dan memohon ibu bapa dan penjaga sentiasa memantau anak-anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral.
“Semua pihak diminta membendung dan mengekang budaya samseng jalanan secara serius di samping memberikan maklumat kepada polis.
“Polis BSPT di sini akan terus melaksanakan Op Samseng Jalanan dan setiap aduan atau maklumat yang diperoleh dalam proses untuk tindakan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Menjelang kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud sudah mula mengagihkan sumbangan awal kepada surau terutamanya di kawasan FELDA Jengka 24,, dekat sini.
Beliau yang baru dipilih sebagai AJK UMNO Bahagian Sabtu lalu, tidak menunggu masa untuk terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu.
“Pengagihan bantuan ini sudah menjadi rutin tahunan setiap kali Ramadan dan tahun ini ia diteruskan seperti biasa.
“Kebetulan saya baru dipilih semula sebagai AJK UMNO Bahagian, jadi saya teruskan apa yang sudah dilakukan pada tahun sebelumnya,” katanya.
Razak memberitahu, pengagihan sumbangan itu dibuat sebagai tanda bersyukur dan berkongsi rezeki dengan penduduk yang kurang berkemampuan dan layak menerima bantuan.
Katanya, proses pemilihan penerima dilakukan secara telus dengan bantuan pemimpin setempat.
“Senarai (penerima) memang kita sudah ada dan pemilihan dibuat dengan teliti dan telus, mereka yang layak akan menerima sumbangan.
“Saya harap bantuan ini dapat membantu mereka menjelang kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) merakamkan kenangan bersama-sama Dr Rahimah, Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan & Kebajikan, Kelab Kejururawatan dan Puspanita Cawangan Hospital Ampang, Selangor serta pihak pengurusan PJMM selepas Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang, baru-baru ini.
Hospital Ampang bekerjasama dengan pusat jagaan warga emas
AMPANG – Hospital Ampang, Selangor akan sentiasa bekerjasama terbaik dengan pusat jagaan dalam memastikan warga emas tersisih dan tiada waris yang discaj dari hospital mempunyai tempat yang selamat untuk berteduh bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Jabatan Kerja Sosial Hospital akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan terlebih dahulu cuba mengesan saudara mara warga emas terbabit sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk menghantarkan mereka ke pusat jagaan selepas usaha itu gagal.
Dr Rahimah Sahudi menyerahkan sumbangan Kelab Sukan & Kebajikan dan Puspanita Cawangan Hospital Ampang kepada Azman Rasman sambil diperhatikan oleh ahli jawatankuasa kelab..
Timbalan Pengarah Perubatan 3, Hospital Ampang, Selangor, Dr Rahimah Sahudi, berkata langkah itu bagi memastikan warga emas berkenaan mendapat pembelaan serta penjagaan dengan sempurna terutama memastikan kesejahteraan kesihatan mereka.
Menurutnya, tidak dinafikan peranan yang dimainkan pusat jagaan atau rumah kebajikan banyak membantu pihak hospital kerana mereka yang keluar dari wad biasanya sudah kembali sihat dan kekosongan di wad akan digunakan oleh mereka yang memerlukan rawatan.
“Saya difahamkan walaupun selesa berada di pusat jagaan ini pihak pengurusannya tetap berusaha mengesan waris atau saudara mara warga emas terbabitkan untuk memaklumkan kepada yang terpisah kerana pelbagai faktor.
“Tetapi apabila kekurangan maklumat mengenai warga emas seperti mana dihadapi Jabatan Kerja Sosial Hospital, selalunya usaha yang baik ini menemui kegagalan,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, baru-baru ini.
Program itu anjuran Kelab Sukan & Kebajikan dan Kelab Kejururawatan Hospital Ampang serta Puspanita cawangan hospital berkenaan.
Turut hadir Pengerusi PJMM, Azman Rasman, Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado, Pengurus, Setiausaha PJMM, Sazali Mohiden dan Mohammad Syafiq Mohiadin.
Dr Rahimah turut menyarankan Kelab Sukan dan Kebajikan dan Kelab Kejururawatan serta Puspanita lebih kerap mengadakan aktiviti di pusat jagaan berkenaan dalam usaha memberi kegembiraan di samping keceriaan kepada warga emas di situ.
Menurutnya, mereka juga boleh mengadakan aktiviti gotong-royong di pusat itu dalam membantu meningkatkan taraf kesihatan dan kebersihannya serta mengambil warga emas sebagai ibu atau bapa angkat bagi membantu meringankan bebanan pihak pengurusan.
“Saya kagumi PJMM ini walaupun wujud sebagai pusat jagaan tidak berbayar tetapi masih mampu menyantuni warga emas dengan sempurna dan amat wajar bagi semua pihak membantu mereka daripada pelbagai segi,” katanya.
Sementara itu, Kumpulan Bekas Pelajar (Perempuan) 82 – 86 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Terengganu menyantuni warga emas di PJMM dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) pada 18 Februari lalu.
Wakil kumpulan itu, Aniza Abd Ghani, berkata kunjungan itu untuk melihat lebih dekat PJMM dan PJNH dalam menguruskan warga emas di situ yang mungkin tidak termampu dilakukan kebanyakan orang termasuk anak sendiri.
Jelasnya, ahli kumpulan itu sudah lama mengadakan kutipan setiap bulan untuk disalurkan kepada pusat berkenaan yang sekurang-kurangnya meringankan kos pembiayaan dan paling penting merapatkan lagi ukhuwah antara mereka yang kini berjaya dalam pelbagai bidang serta kerjaya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Keputusan pemilihan UMNO peringkat Bahagian Jerantut yang berlangsung semalam menyaksikan bendahari UMNO Bahagian itu, Haris Salleh Hamzah dipilih sebagai ketua yang baharu.
Beliau yang juga peguam profesional berjaya mengatasi undian diterima tiga lagi calon lain – Ahmad Murad Mat Hassim @ Idris, Adzlan Zakaria dan Mohd Taufek Abdul Razak.
Haris Salleh berkata amanah diberikan kepadanya adalah satu tugas berat yang perlu digalas.
“Saya tidak mampu untuk memperkuatkan parti tanpa sokongan semua pihak dan saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk UMNO Jerantut.
“Dalam masa sama, saya menyeru semua pihak, khususnya yang bertanding agar dapat bersama-sama membina semula kekuatan parti,” katanya.
Haris turut mengingatkan semua pihak bahawa keutamaan parti adalah untuk memenangi pilihan raya umum ke-16 dan mengembalikan semula UMNO sebagai parti disukai rakyat.
“Dalam setiap pertandingan sudah tentulah ada yang menang dan ada yang kalah, sekarang masa untuk kita bergerak ke hadapan demi UMNO.
HARIS SALEH HAMZAH -KETUA BAHAGIAN UMNO JERANTUT
“Kita perlu bersama-sama membina semula UMNO dan mengelakkan sebarang perselisihan yang akhirnya akan melemahkan parti yang kita sayangi ini,” katanya.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Burhanuddin Daud menyampaikan ucapan ringkas dan memberi kata-kata semangat sebelum melepaskan peserta kayuhan.
350 orang sertai Croco Ride
RAWANG – Lebih 350 peserta menyertai program kayuhan berbasikal bukit “Croco Ride 1.0” tahun 2023 yang diadakan di Dataran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya, dekat sini baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Berbasikal Sungai Buaya (KBSB) bersama-sama KRT berkenaan bermatlamat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai betapa pentingnya aktiviti sukan dan riadah.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN), Selangor, Burhanuddin Daud berkata, program itu tercapai dan menjadi contoh kerana ia adalah antara hasrat Kementerian Perpaduan bagi mengalakkan setiap aktiviti khusus berbentuk kemasyarakatan sebolehnya dengan membabitkan penyertaan daripada pelbagai kaum.
Peserta kayuhan basikal bukit “Croco Ride 1.0” tahun 2023 berkumpul sebelum dilepas di Dataran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor , baru-baru ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya menarik minat penyertaan pelbagai.
“Penyertaan pelbagai kaum bukan sahaja berbentuk riadah malah menjadi satu budaya Malaysia Madani yang duanjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-10,” katanya.
Presiden KBSB, Khairun Nahar Rusdi berkata, acara kayuhan berbasikal itu diadakan bersempena meraikan ahli kelab, tetapi mendapat sambutan daripada peminat basikal dari luar yang berminat untuk turut serta.
“Selepas mendapat persetujuan daripada ahli jawatankuasa KBSB penganjuran kayuhan ini dibuka kepada peminat basikal dari luar dengan menggalakkan penyertaan pelbagai bangsa.
“Setelah dibuka untuk penyertaan luar, sambutan hangat daripada peminat sukan berbasikal tidak sampai seminggu sudah menarik 350 peserta dan pihak penganjur terpaksa menutup pendaftaran berdasarkan beberapa faktor terutama membabitkan keselamatan pengayuh,” katanya.
Katanya, beliau berterima kasih kepada penaja yang membantu menjayakan program kayuhan berkenaan seperti Klinik SP Care , Biri-Biri Café, Adabi, SBCC Event Management, Fariq Design, Panglima D7, Reendrone, Panjang Bianchi, Suraya Sofea An, Razifsangit Photographer, Gaban Conopy 19, Nash Catering dan Jiwa basikal. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Seorang warga emas yang gagal menyelamatkan diri maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Keladi, Lipis, pada jam 4.20 petang hari ini
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, Ketua Balai Polis Merapoh telah menerima panggilan telefon dari orang awam memaklumkan kejadian tersebut.
“Mangsa yang maut, Yusof Kindok berusia 77 tahun yang beralamat Kampung Chegar Perah, Lipis tidak sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
“Mangsa ditemui kira-kira 5 meter di luar rumah tersebut dan disahkan meninggal dunia,”katanya.
Katanya, mangsa tersebut tinggal bersendirian , punca dan kerugian masih dalam siasatan. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Ketua UMNO Cawangan FELDA Jengka 24, Razak Daud berjaya mengekalkan jawatan ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian itu dalam pemilihan yang berlangsung hari ini.
Beliau adalah antara nama yang tersenarai sebagai AJK UMNO Bahagian dalam pertandingan yang menyaksikan lebih 40 calon menawarkan diri.
Selain Razak, turut dipilih sebagai AJK UMNO Bahagian adalah Ahmad Fauzi Nasir, Nurhidayatul Akma Ahmad Bazain, Ahmad Nizam Mohd Hassan, Mohamad Bazli Abdul Ghani dan Hamdan Ismail.
Sementara itu, Haris Salleh Hamzah dipilih sebagai Ketua Bahagian Umno Jerantut yang baharu dengan 304 undi mengatasi pesaing terdekat Ahmad Murad Hashim@Idris dengan 184 undi.
Dua calon lain jawatan itu, Adzlan Zakaria mendapat 79 undi, manakala Datuk Mohd Taufek Tan Sri Abdul Razak hanya mendapat 36 undi.
Jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang menampilkan 5 calon di menangi oleh Rozilan Salleh mendapat 163 undi mengatasi pencabar terhampir, Mat Shah Jamlus dengan 123 undi.
Calon lain untuk jawatan yang sama, Zukarmi Abdul Bakar (112 undi), Mohd Nazri Mahmud menerima 106 undi dan Wan Zamzuri Hasenan (99).
Seramai 607 perwakilan hadir di persidangan itu yang di adakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut, hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Penerapan konsep kesederhanaan boleh menjadi tunjang utama dalam memulihkan UMNO.
Melalui konsep ini juga dapat membina semula hubungan rapat antara ahli UMNO dan bukan ahli UMNO yang masih yakin dengan perjuangan parti.
Calon ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, nilai murni dalam UMNO dan semangat kesetiaan kepada parti perlu dihidupkan semula.
“Kita sebagai ahli UMNO mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk pemikiran masyarakat dan prinsip kesederhanaan inilah akan membantu kita dalam merangka gerak kerja di peringkat lapangan.
“Begitu juga dengan kesetiaan kepada perjuangan parti harus dipertahankan walaupun kita lihat segelintir ahli UMNO sanggup ‘melompat’ selepas kita kalah pada PRU14,” katanya.
Beliau yang juga bendahari UMNO Bahagian Jerantut berharap setiap perwakilan dapat membuat pilihan tepat dan memilih pemimpin yang layak mengetuai UMNO Jerantut.
Katanya, pertimbangan rasional dalam kalangan ahli sangat penting dalam melakukan pembaharuan dalam parti itu.
“Saya fikir semua perwakilan dan ahli UMNO (Jerantut) sudah faham apa yang sedang berlaku dalam parti ini selepas PRU15.
“Jadi inilah masa sesuai untuk kita bersama-sama membuat pertimbangan yang sebaik mungkin demi kebaikan UMNO dan daerah Jerantut,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!