Foto atas : Anggota BBP Jerantut melakukan operasi memotong batang pokok tumbang. Foto BBP Jerantut
Pokok tumbang hempap sebuah rumah, penghuni terselamat
JERANTUT – Penghuni sebuah rumah terselamat apabila sebatang pokok tumbang menghempap sebuah rumah di Kampung Perias, Jerantut Feri, dekat sini, pada 10.00 malam, hari ini.
Pegawai Operasi, Shuaimi Muhammad melaporkan, seramai 6 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut telah bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika pasukan kami tiba di tempat kejadian, didapati sepohon pokok telah tumbang dan menghempap sebuah rumah yang tidak melibatkan mangsa.
“Anggota bomba membuat operasi pemotongan dahan pokok dengan menggunakan 1 unit gergaji berantai dan dikumpulkan di tempat selamat,” katanya.
Katanya, setelah membuat pemeriksaan didapati kejadian itu tidak melibatkan mangsa, operasi tamat, jentera dan anggota bertolak balik ke balai.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Masjid Lama Pulau Tawar, Bukit Rang terbakar, hari ini. – Foto Media Sosial.
Masjid Lama Pulau Tawar terbakar
JERANTUT : Masjid Lama Pulau Tawar, Bukit Rang terbakar , kira-kira 80 peratus bangunan tersebut terbakar pada jam 6.57 petang, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, komandan operasi melaporkan, masjid separuh kekal berukuran 24 meter x 30 meter (80 kaki x 100 kaki) terbakar.
Katanya, seramai 6 anggota Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Jerantut dan 5 anggota BBP Jengka turut membantu dalam operasi pemadaman tersebut.
“Pasukan bomba membuat operasi pemadaman dengan menggunakan 2 aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba.
“Namun, tiada ini kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tradisi Agong Berbuka Bersama Rakyat Di padang MBK
KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK1) bersama rakyat yang turut menjadi kelaziman kepada Seri Paduka Baginda pada Sabtu.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke padang itu pada jam 6.00 petang diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama-sama anakanda Seri Paduka Baginda Berdua.
Menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda Berdua ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut menyambut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.
Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan mencemar duli melawat ke Bazar Ramadan Mahkota Square yang terletak bersebelahan padang tersebut sambil membeli juadah berbuka.
Manakala Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah berkenan mencemar duli mengagihkan 2 ribu bekas bubur lambuk yang telah dimasak di padang tersebut kepada pengunjung untuk mereka berbuka di padang berkenaan.
Tepat azan Maghrib berkumandang, baginda berdua berkenan berbuka puasa bersama-sama pembesar dan rakyat di padang tersebut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Seramai 247 anak yatim dan asnaf menerima sumbangan pada Majlis Santunan Kasih peringkat DUN Pelangai, Jumaat lalu.
Sumbangan disampaikan ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun di perkarangan masjid Simpang Pelangai, dekat Bentong.
“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan menaikkan semangat kepada semua penerima untuk menyambut kehadiran Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, selepas majlis berkenaan, Johari meluangkan masa melawat tapak pusat haemodialisis di Klinik Kesihatan FELDA Chemomoi, Bentong.
Pusat hemodialisis itu bakal siap sepenuhnya pada hujung bulan September dan boleh beroperasi awal tahun 2024.
“Seperti sedia maklum kawasan Pelangai merupakan kawasan luar bandar, jadi para pesakit yang memerlukan rawatan buah pinggang terpaksa menempuh sekitar sejam perjalanan untuk ke pusat hemodialisis yang terdekat bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Sehubungan dengan itu, saya selaku ADUN Pelangai berusaha sekeras mungkin merealisasikan impian penubuhan pusat kesihatan ini untuk memudahkan urusan para pesakit sekitar DUN Pelangai.
“Alhamdulillah hasil kerjasama Pusat Kesihatan Daerah Bentong dan semua kepimpinan terdahulu, Pusat Hemodialisis ini dibina dalam kawasan Klinik Kesihatan FELDA Chemomoi dan bakal dilengkapi dengan kemudahan 10 mesin dialisis serta perkhidmatan secara percuma akan diberikan kepada warga DUN Pelangai bagi mengurangkan beban mereka,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Penduduk kampung Gintong dekat sini meneruskan tradisi Bertahlil setiap kali memasuki minggu terakhir Ramadan.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, usaha itu bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara penduduk tetapi turut melaksanakan amalan gotong-royong dan memberi sumbangan sedekah kepada yang hadir.
“Selain melakukan aktiviti gotong-royong, kita juga menganjurkan program tahlil perdana di masjid kampung kami.
“Antara kawasan yang dilakukan pembersihan adalah tanah perkuburan Islam Kampung Gintong yang sudah berusia lebih 400 tahun.
“Banyak makam keramat yang dikatakan terdapat dalam kawasan tanah perkuburan ini,” katanya.
Razak berkata lebih 400 penduduk menyertai tahlil dan aktiviti gotong-royong yang diadakan pada hari ini.
“Ada ahli keluarga saya juga disemadikan di tanah perkuburan ini,” katanya lagi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada peserta PKPP di Lipis, hari ini.
PKPP peruntuk RM606,200 bantuan Aidilfitri kepada 886 peserta
LIPIS : Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) memperuntukkan sejumlah RM606,200 untuk sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada tujuh rancangan sosial yang memberi manfaat kepada 886 orang peserta.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan merupakan tanda keprihatinan kerajaan Pahang terhadap peserta-peserta rancangan sosial PKPP dalam membantu mereka untuk mengurangkan bebanan perbelanjaan ketika membuat persiapan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“PKPP telah memberi sumbangan seperti ini (Hari Raya Aidilfitri) sejak 2015 sehingga kini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4.86 juta.
“Sebanyak RM606,200 dibelanjakan untuk bantuan hari raya kepada 7 rancangan sosial yang memberi manfaat kepada 886 orang peserta tahun ini,” katanya.
Katanya, penyampaian sumbangan ini melibatkan 4 rancangan sosial iaitu Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, Jerkoh, Peruang dan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Sungai Ular.
“Seramai 463 orang peserta yang akan menerima wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang manakala baki 423 orang peserta penerima sumbangan ini secara atas talian.
“Selain itu, PKPP dan anak syarikat iaitu LKPP Corporation Sdn. Bhd. dan PKPP Plantation Sdn. Bhd. turut memberi sumbangan berjumlah RM84,000 kepada 120 orang peserta yang terdiri daripada 3 Rancangan Tanah Pemuda (RTP) iaitu Sri Gemuruh, Sungai Ular dan Kampung Awah,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PAIP Sedia 855 Tangki Statik Atasi Gangguan Bekalan Air Ketika Aidilfitri
KUANTAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan 855 tangki statik bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air ketika sambutan Aidilfitri tahun ini.
Tangki statik itu akan ditempatkan di beberapa lokasi yang sudah dikenalpasti sering berlaku masalah tekanan air rendah ketika musim perayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari, berkata selain proses penempatan tangki statik pihaknya juga sedia menggerakkan 34 lori tangki air untuk mengagihkan bekalan air alternatif ke kawasan terjejas bekalan.
“Pejabat kami di setiap daerah sudah menyediakan pelan kontigensi sebagai langkah awal kemungkinan berlaku masalah gangguan bekalan air.
“Memang kita jangkakan perkara ini (gangguan bekalan air) berlaku kerana setiap kali musim perayaan, permintaan dan penggunaan akan meningkat,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak yatim anjuran PAIP di sini, petang semalam.
Saiful Zaini memaklumkan pihaknya akan mengaktifkan pelan kesiapsiagaan PAIP bermula 17 hingga 30 April ini.
Katanya, sepanjang tempoh itu, pasukan teknikal PAIP di semua peringkat akan bertugas dan dalam keadaan bersiap sedia dengan kemungkinan berlaku gangguan bekalan air.
“Bukanlah bermakna cuti mereka dibekukan, tapi memang ada ‘team’ yang bersedia untuk menjalankan tugas jika laporan (gangguan bekalan air) diterima,” katanya lagi.
Ditanya mengenai antara lokasi yang dijangka berdepan masalah tekanan air rendah, Saiful Zaini berkata, antara kawasan yang sering berlaku masalah seumpama itu adalah gugusan FELDA dan perkampungan tradisional.
“Gangguan ini berlaku kerana ramai orang balik kampung dan permintaan terhadap bekalan air meningkat berkali ganda.
“Ketika ini kadar penggunaan air pada masa yang sama (serentak) adalah tinggi, jadi mungkin akan berlaku masalah (gangguan) kerana permintaan melebihi dari hari biasa,” katanya.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemilik bengkel di Jerantut rugi RM47,833 diperdaya beli kereta import tak wujud
KUANTAN: Seorang pemilik bengkel di Jerantut kerugian RM47,833 selepas terpedaya dengan tawaran pembelian kereta import tidak wujud di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan, lelaki berusia 57 tahun itu berminat dengan iklan penjualan kenderaan import di laman sosial terbabit pada 9 Februari lalu.
Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan suspek dan berurusan untuk membeli kenderaan jenis Toyota Hilux Black Rally Edition pada harga ditawarkan RM36,000 secara ansuran.
“Mangsa membuat pembayaran deposit dan cukai kastam sehingga lima transaksi ke tiga akaun bank berbeza dalam tempoh sebulan dengan menggunakan wang simpanannya yang berjumlah RM47,833.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran murah dilakukan pihak tertentu untuk memperdaya mangsa.
“Masyarakat juga diingatkan membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Sumber : Berita Harian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : kemalangan yang berlaku di Bukit Tinggi, Bentong pada jam 3.31 pagi hari ini.-Foto JBPM Pahang.
Kelindan maut, pemandu cedera parah dalam kemalangan di Bukit Tinggi, Bentong
BENTONG: Seorang kelindan lori maut di tempat kejadian kerana lorinya terbabas dalam nahas jalan raya yang berlaku di Lebuhraya – Kuala Lumpur berdekatan Bukit Tinggi di sini pada jam 3.31 pagi, hari ini.
Kelindan tersebut, R. Sugunaran berusia 45 tahun dari Kelang yang tersepit di tempat duduk di bahagian kepala lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pemandu lori tersebut, N. Gopalla Rajoo, 45, beralamat di Kulai, Johor yang cedera dikejarkan ke Hospital Bentong sejurus dikeluarkan kerana cedera parah akibat tersepit dalam kemalangan itu.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut berada di ruang tempat duduk dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya.
“N. Gopalla Rajoo yang juga pemandu lori itu berjaya dikeluarkan dan mendapati mengalami kecederaan parah. Mangsa diserahkan kepada petugas KKM untuk menerima rawatan di Hospital Bentong,’ katanya.
Katanya, seramai lapan orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bergegas terlibat dalam operasi tersebut. Operasi tersebut dan turut dibantu oleh seramai lima orang anggota Pasukan Bomba Sekarelawan (PBS) Janda Baik, “ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jalan Simpang Hospital-Jambatan Damar, Gua Musang ditutup
LIPIS : Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau menerima pelbagai reaksi berikutan penutupan Laluan FT2747 dari Simpang Hospital sehingga Jambatan Taman Damar di Gua Musang.
Katanya, penutupan Jalan Simpang Hospital – Jambatan Damar, Gua Musang, Kelantan ditutup untuk menggelakkan berlaku kesan yang lebih serius kepada pengguna laluan itu terutama musim perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Oleh itu, saya bertemu sendiri dengan pihak Jabatan Kerja raya (JKR) untuk mengetahui lebih jelas gambaran sebenar apa yang berlaku di laluan tersebut.
“Laluan yang ditutup ini adalah laluan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau Central Spine Road (CSR) yang mana setelah mengambilkira dan mempertimbangkan kepentingan serta keselamatan awam, maka FT2747 perlu ditutup sehingga pembinaan siap,” katanya, di sini, hari ini.
Katanya, FT2747 turut terlibat dalam laluan pembinaan LTU melibatkan pembinaan cerun-cerun yang merisiko tinggi kepada pengguna yang melalui jalan tersebut.
“Pengguna perlu melalui jalan lencongan bagi mengelakkan berlaku kesesakan yang lebih dahsyat sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di tempat pembinaan laluan LTU tersebut.
“Ini berikutan terdapat banyak jentera berat dan alatan pembinaan di kawasan itu yang boleh membahayakan keselamatan pengguna lebih-lebih lagi di musim perayaan,” katanya.
Beliau harapan orang awam perlu mendapatkan maklumat yang jelas terutama perkara yang melibatkan keselamatan awam bagi mengelakkan kesan terhadap pengguna dan penduduk setempat ketika pelaksanaan projek.
“Bagi memastikan kelancaran trafik, JKR telah menyediakan Pelan Pengurusan Trafik yang lengkap sebagai panduan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan itu.
“JKR mengambil berat dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika menyediakan prasarana yang bermutu tinggi demi keselesaan rakyat,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!