KUANTAN: Hotel Zenith di sini hari ini menutup operasi harian untuk tempoh sementara selepas salah seorang pekerjanya disahkan positif COVID-19.
Pengurusan hotel tersebut menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, pekerja berkenaan kini dirawat di hospital selepas mengalami gangguan pernafasan.
GAMBAR HIASAN
Menurut kenyataan itu lagi, kakitangan berkenaan bagaimanapun tidak melakukan kontak rapat bersama pekerja-pekerja lain di premis tersebut sebelum disahkan positif.
“Pihak hotel sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk melakukan langkah seterusnya bagi mengawal risiko jangkitan serta langkah pembasmian kuman.
“Dengan itu, pihak kami mengumumkan penutupan sementara premis hotel ini bagi membolehkan langkah-langkah tersebut dilaksanakan,” ujar kenyataan itu yang disiarkan KOSMO! Online.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai urusan di hotel tersebut boleh menghubungi Pengarah Operasi, Eddie Sani melalui talian 09-565 9595 untuk keterangan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan menyediakan sarapan pagi secara percuma sebanyak 600 bungkus nasi lemak untuk diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan, di sini, semalam.
Penggerak pertubuhan itu, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, Program Sarapan Percuma Jon Berinfaq ini merupakan hasil sumbangan orang ramai menerusi pertubuhan berkenaan.
Badrul Jamili
“Tujuan program sarapan pagi ini diadakan bagi membantu mereka yang memerlukan selain kepada mereka yang tidak dapat menyediakan sarapan pagi.
“Setakat ini kebanyakan sumbangan sememangnya daripada orang ramai, kami juga menyediakan makanan percuma untuk para gelandangan selain menyediakan makanan percuma kepada barisan hadapan ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada SAHIH, di sini, semalam.
Beliau berkata, agihan tersebut dibuat di sekitar bandar Kuantan seperti Taman Kerang.
Nasi lemak percuma diagihkan kepada mereka yang memerlukan di sekitar bandar Kuantan
Katanya, pertubuhan itu turut bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperi Sahabat Rakan Fikir dan Dana Mawaddah bagi mengagihkan makanan kepada mereka yang memerlukan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PROGRAM KEMBARA PRIHATIN NEGARA BAKAL MENYEBAR LUAS PERKHIDMATAN DAN INISIATIF
ROMPIN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mensasarkan seramai 1 juta rakyat di 108 daerah di seluruh negara bakal menerima manfaat melalui Program Kembara Prihatin Negara yang berkonsepkan turun padang akan berlangsung selama setahun.
Agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKNN), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Institut Sosial Malaysia (ISM) bersama syarikat, badan bukan kerajaan (NG0) dan badan korporat serta komuniti setempat turut terlibat dalam program itu.
Program ini membantu dan menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, menyebar luas perkhidmatan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat serta meningkatkan kerjasama strategik antara KPWKM serta agensinya.
Program cakna komuniti turut diadakan.
Pasukan Program Kembara Prihatin Negara ini akan menjelajah ke lokasi yang telah dijadualkan pada setiap minggu dengan penglibatan sektor korporat dan NGO.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah melancarkan program ini melalui JKM Pahang dan menyeru kepada rakan NGO, sukarelawan, komuniti setempat, syarikat dan badan korporat turut serta sebagai rakan strategik dan terlibat sama bagi menjayakan program ini.
Program berkonsepkan turun padang ini merupakan inisiatif KPWKM yang dilaksanakan oleh semua agensinya termasuk JKM di seluruh daerah di Pahang bagi menyantuni rakyat yang terkesan yang ‘Tautan Sepakat Membantu Rakyat’.
Antara aktiviti yang akan dilaksanakan adalah seperti pembukaan kaunter, perkhidmatan dan aduan pelanggan, agihan bakul makanan, menyantuni kes kebajikan termasuk ziarah prihatin, pembangunan keluarga, pemerkasaan wanita dan kajian kapasiti.
Petugas KPN menyampaikan sumbangan kepada penerima
Aktiviti seperti ini turut diadakan di pasar malam, pasar pagi, pasar tani, di taman perumahan, kompleks membeli-belah, pusat komuniti setempat dan kawasan perumahan rakyat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Akibat tertekan pedal minyak, empat gerai di Pasar Pagi, Simpang Pelangai, Manchis dirempuh sebuah kereta dipandu warga emas dalam kejadian jam 1.11 tengahari tadi.
Warga emas Jamal Md Aleh, 75, dari di Kampung At. Buluh, Durian Tipus, Negeri Sembilan yang memandu kereta Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Memetik laporan BHOnline, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, semasa mangsa hendak keluar dari tempat letak kereta, beliau telah tertekan padel minyak lalu merempuh empat gerai terbabit.
GAMBAR KEJADIAN YANG VIRAL DI MEDIA SOSIAL
“Akibatnya kenderaanya telah merempuh empat buah gerai jualan yang berada di hadapannya yang sedang menjalankan perniagaan barangan makanan dan barang kegunaan harian di Tapak Pasar Pagi Simpang Pelangai, Manchis,” katanya
Beliau berkata kenderaannya hanya calar sahaja di bahagian bumper depan manakala empat gerai jualan rosak termasuk barang barang jualan.
Katanya, enam orang yang berada berhampiran gerai ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali seorang cedera ringan pada bahagian siku sebelah kanan sahaja.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Dua buah kediaman di Kampung Perias, Jerantut Feri, di sini terlibat dengan ketukan misteri, kelmarin.
Menurut seorang pembantu kedai, Siti Fatimah Ghazali, 37, bekata, dia mendengar ketukan itu ketika dia sedang melayari media sosial mengenai kejadian berkenaan di biliknya kira-kira 9 malam.
“Saya memang mengetahui kejadian itu di Selangor dan Melaka melalui media sosial dan akhbar. Ketika ketukan berlaku saya sedang melayari Facebook dan membaca mengenai misteri itu.
“Saya berharap semoga tiada kes seperti itu berlaku di kampung saya, namun tiba-tiba terdengar bunyi ketukan di pintu. Saya tidak membuka pintu kerana takut dan terus berselimut,” katanya.
Tambahnya, ketika kejadian itu, dia tinggal seorang diri manakala dua anaknya berusia 16 tahun sedang bekerja dan seorang lagi berusia 12 tahun berada di rumah jiran.
Perkara sama turut berlaku di rumah jirannya, Habibah Sulong, 57.
Habibah berkata, kejadian ketukan selama lima minit kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika dia dan suami, Jamaludin Sulaiman, 61, serta tiga anaknya berada di dalam rumah.
Katanya, mereka hanya terfikir remaja nakal di kampung itu mengetuk pintu tetapi tiada sesiapa di depan rumah selepas diintai.
“Kami ada berbau sesuatu yang amat busuk seperti bangkai,” jelasnya.
Beliau memberitahu, selepas ketukan berakhir suami dan anak-anaknya membuka pintu dan tiada kelibat atau kesan kehadiran tetamu atau individu tetapi masih meninggalkan bau busuk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis mengenai dua kejadian tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Kira-kira 2,000 pasangan berkahwin kali pertama di Pahang sudah menerima insentif RM200 yang diumumkan kerajaan negeri awal tahun ini.
Permohonan bagi insentif itu boleh dilakukan pasangan yang layak melalui laman web Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan syarat utama pemohon memperoleh pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
SYED IBRAHIM (KIRI) MENYAMPAIKAN INSENTIF KEPADA PASANGAN BADROLHISYAM RAHMAT DAN NUR AINUN HAFIZATUL S BAHARIN
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sehingga September lalu kerajaan Pahang sudah menyalurkan kira-kira RM300,000 kepada pasangan yang layak.
“Insentif ini adalah antara usaha kerajaan negeri dalam membantu meringankan bebanan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
“Memandangkan pelaksanaan dan sambutan diterima sangat menggalakkan, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah menyatakan kesediaan untuk meneruskan pemberian insentif ini pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Moh Kahwin: Program Kahwin Beramai-ramai di Dewan Serbaguna Kampung Pandan 1, dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu, Syed Ibrahim menyampaikan insentif kepada enam pasangan pengantin yang terpilih menerima sumbangan secara one–off daripada kerajaan negeri.
Sementara itu, pasangan Badrolhisyam Rahmat berasal dari Sungai Tong, Terengganu dan Nur Ainun Hafizatul S Baharin dari Kampung Kurnia, dekat Kuantan, menganggap usaha kerajaan Pahang sangat membantu mereka melengkapkan impian untuk mendirikan rumah tangga tahun ini.
Badrolhisyam berkata, mereka tidak sangka terpilih untuk majlis Moh Kahwin memandangkan banyak persiapan dilakukan dalam masa singkat.
“Memang kami plan (rancang) nak kahwin hujung tahun, cuma ketika itu kami belum tetapkan tarikh. Apabila kami dapat tahu mengenai program (majlis) Moh Kahwin, kami cuba daftar dan terkejut apabila dimaklumkan penganjur bahawa saya dan isteri terpilih.
“Kelam kabut juga kerana isteri belum hadiri kursus kahwin… jadi, dia daftar awal bulan ini untuk kursus kahwin secara online (dalam talian) dan sehari selepas itu, terus siap sijil.
“Mungkin sudah rezeki kami dan saya sangat berterima kasih kepada semua pihak, termasuk kerajaan Pahang kerana mempermudahkan hasrat kami,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Seramai 131 pesakit COVID-19 bukan warganegara yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) tiba pada jam 10.35 malam tadi.
Kesemua pesakit Kluster Genting tersebut dibawa menggunakan lima buah bas dan dua buah van dari Bentong dengan dikawal ketat oleh pihak polis.
Menurut PahangMedia, seramai kira-kira 90 anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditempatkan untuk berkawal dalam tempoh 24 jam di sekitar kawasan pusat kuarantin berkenaan.
Selain itu, beberapa sekatan jalan raya di kawasan berdekatan SUKPA juga akan diperketatkan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk.
Penggunaan SUKPA sebagai pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) adalah kerana stadium itu mempunyai kemudahan asas yang mencukupi untuk merawat kes-kes COVID-19 asymptomatic atau dengan gejala ringan dalam jumlah yang besar.
Selain itu, stadium ini juga berdekatan dengan hospital berpakar iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre University Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC) Kuantan yang mempunyai kepakaran dan peralatan yang mencukupi untuk rawatan kes-kes kritikal.
Seramai 131 pesakit COVID-19 bukan warganegara tiba di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) pada jam 10.35 malam tadi
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERUNTUKAN DISEDIAKAN UNTUK PRASISWAZAH B40 MENJALANI PEMBELAJARAN
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan RM1.25 juta untuk pelan data dan komputer riba bagi membantu pelajar prasiswazah dalam golongan B40 menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM255,420 bantuan pelan data itu akan memberi manfaat kepada 1,928 pelajar.
Memetik dari laporan BHOnline, katanya, baki RM1 juta lagi adalah dana untuk bantuan komputer riba kepada 714 pelajar B40 dengan 619 pelajar dari Sabah, manakala 37 pelajar dari Sarawak dan 58 pelajar lagi dari Semenanjung.
GAMBAR HIASAN
Peruntukan itu diperoleh daripada Tabung Amanah Kebajikan Pelajar UMS.
“Bagi bantuan pelan data, pelajar sudah menerima bantuan secara berperingkat bermula 8 Disember lalu.
“Bantuan ini adalah antara enam inisiatif di bawah UMS Prihatin kepada semua pelajar UMS melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai komitmen UMS untuk kebajikan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pelan Data Dan Komputer Riba 2020 yang disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UMS selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Datin Nurlaila Said, di sini, hari ini.
Taufiq berkata, bagi bantuan komputer riba, pelajar terpilih akan menerima sebuah komputer riba bernilai RM1,400 akan diserahkan kepada pelajar selepas melengkapkan borang setuju terima dan surat perjanjian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CAMERON HIGHLANDS : Orang ramai yang mula membanjiri tanah tinggi Cameron Highlands dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti disyaratkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di samping sentiasa berwaspada ketika berada di sana.
Seorang penduduk Ipoh yang ingin balik ke Jerantut melalui laluan Simpang Pulai turut melihat deretan kenderaan yang berhasrat bercuti di tempat peranginan itu mulai berpusu-pusu masuk ke situ.
Irwan Hilmi Nasruddin, 39, berkata ketika tiba ke laluan dari arah Ipoh ke Cameron Hioghlands dia melihat ratusan kenderaan berderet ke arah tanah tinggi itu, kemudian bila turun ke arah Ringlet, banyak lagi kenderaan dari arah Tapah ke tempat yang sama.
Deretan kenderaan ke Cameron Highlands
“Mungkin hujung minggu dan hari ini (Jumaat) di Selangor cuti umum negeri itu sempena keputeraan Sultan Selangor, maka orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menghirup udara bukit tanah tinggi.
“Oleh kerana terlalu ramai orang , saya terus melalui jalan itu tanpa henti untuk ke Sungai Koyan, Lipis dan balik ke Jerantut untuk mengelak dari bersesak-sesak di situ,”katanya.
Tanah tinggi Cameron Highlands mula dikunjungi sejak rentas sempadan daerah dan negeri yang dibenarkan pada 7 Disember lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERAJAAN NEGERI SEDIAKAN PERUNTUKAN SEGERA DEMI KESELESAAN PENDUDUK
JERANTUT: Kerajaan negeri Pahang meluluskan peruntukan RM 88,000 bagi melakukan kerja-kerja baik pulih segera jalan raya Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling di Jerantut yang rosak akibat berlaku mendapan ekoran hujan lebat 10 hari lalu.
Kelulusan peruntukan itu bagi memberi keselesaan kira-kira 2,000 pengguna jalan tersebut.
KERAJAAN NEGERI SUDAH MELULUSKAN RM88,000 BAGI KERJA BAIK PULIH JALAN BERKENAAN
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Abd Aziz Kiram berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera iaitu Peruntukan Perolehan Darurat Kerajaan Negeri Pahang di Mesyuarat Exco semalam.
Beliau berkata, sebelum ini, penduduk di beberapa buah kampung di Ulu Tembeling berasa bimbang jika terputus hubungan apabila lapan tempat di laluan itu, mula mendap dan tebing runtuh berikutan hujan turun tidak berhenti henti dua minggu lalu.
“Keprihatinan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah ini amat dihargai dan insyaAllah dalam tempoh seminggu dua perkara ini dapat dibantu bagi menjaga keselamatan kemudahan penduduk untuk keluar bandar,”katanya.
KEADAAN JALAN YANG ROSAK TERUK PERLU DISELENGGARA SEGERA DEMI KESELESAAN PENDUDUK
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, jalan tersebut merupakan jalan perhubungan utama bagi lima buah kampung di kawasan pedalaman Ulu Tembeling iaitu Kampung Pagi, Kuala Sat, Bantal, Mat Daling dan Gusai untuk keluar ke bandar Jerantut membeli barang keperluan harian.
Katanya, kelulusan segera ini menunjukkan sikap keprihatinan kerajaan negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani masalah rakyat.
“Walaupun jalan ini merupakan jalan KKLW namun kerana keprihatinan kerajaan negeri pada penduduk Ulu Tembeling maka kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan melalui Jabatan Kerjaya Raya (JKR),” katanya selepas membuat lawatan pemantauan bersama Datuk Azizi Kiram dan wakil JKR Jerantut di lokasi tersebut.
DATUK NAZRI NGAH (3 DARI KANAN) BERSAMA DATUK ABD AZIZ KIRAM (PALING KANAN) BERSAMA PEGAWAI JKR DAERAH MELAKUKAN LAWATAN PEMANTAUAN KEADAAN JALAN DI KAMPUNG PAGI-KAMPUNG MAT DALING
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, beliau berharap kos penyelengaraan tersebut dapat dimanfaatkan oleh JKR Jerantut untuk memastikan jalan tersebut dapat digunakan dengan selamat.
Pengerusi JKKK Sungai Sat, Abdul Jabar Dollah pula berkata, peruntukan segera itu dapat melegakan penduduk kampung.
“Saya sebagai wakil penduduk ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberikan berita gembira kepada penduduk di Sungai Tembeling,”ujarnya.
KEADAAN JALAN MENDAP AKIBAT HUJAN LEBAT
Dalam pada itu, kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM36.8 juta untuk membaiki keseluruhan jalan dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling sepanjang 90 kilometer, pada tahun hadapan.
Jalan itu dibina oleh KPLB sejak lebih 10 tahun lalu dan wajar ada bahagian yang rosak terutamanya membabitkan kawasan yang berbukit.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!