JERANTUT: Lamida Catering terpanggil untuk menyediakan sebanyak 50 bungkusan makanan dan minuman untuk petugas yang menjalankan misi kemanusian bantuan banjir di Jerantut, hari ini.
Pengusahanya, Hafizi Roslan berkata, pihaknya terpanggil untuk menyumbangkan makanan dan minuman kepada petugas misi bantuan yang bekerja keras memunggah barangan serta menghantar ke kawasan terjejas, oleh itu pihaknya turut memberi sedikit sumbangan kepada petugas.
“Ini sebagai sumbangan kecil daripada pihak kami, sebelum ini turut menyediakan makanan sebanyak 500 orang mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di bandar ini selama 4 hari,” katanya ketika ditemui di Padang Persatuan Bolasepak Jerantut, tengah hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif syarikat peralatan sukan warga Malaysia dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas kesalahan mengatur perlawanan.
BWF, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa Unit Integriti BWF telah menyiasat wakil eksekutif peralatan sukan yang menaja pemain antarabangsa itu sejak kejohanan Terbuka Jepun 2014.
“Kami mendapati individu tersebut mendekati beberapa pemain antarabangsa dan menawarkan wang untuk memanipulasi perlawanan termasuk perlawanan melibatkan pemain yang ditaja oleh majikan individu berkenaan selain bertaruh dalam beberapa perlawanan.
“Dia menyalahgunakan kedudukan dan pengaruhnya sebagai eksekutif dalam jenama sukan dalam usaha untuk merosakkan badminton antarabangsa dan memperkayakan dirinya sendiri,” menurut kenyataan itu, disiarkan BERNAMA.
Menurut BWF, eksekutif berkenaan boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh hukuman.
Selain, itu, BWF memaklumkan tiga pemain Indonesia turut dihukum gantung seumur hidup daripada terbabit dalam sukan itu kerana kesalahan mengatur perlawanan manakala lima lagi pemain negara itu dikenakan hukuman gantung antara enam dan 12 tahun serta masing-masing didenda US$30,000 (RM120,954) dan US$12,000 (RM48,381).
BWF berkata kesemua pemain itu melakukan kesalahan berkaitan mengatur perlawanan, manipulasi perlawanan dan melakukan pertaruhan ketika bersaing dalam kejohanan peringkat rendah di Asia sehingga 2019.
Sepanjang tempoh itu, mereka juga dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton termasuk bahagian pengurusan, kejurulatihan, pengadilan atau pembangunan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JALA IKAN SUNGAI AKTIVITI MUSIM BANJIR: KONGSI REZEKI DENGAN JIRAN
KERDAU : Trend air yang menaik di daerah Temerloh telah mengakibatkan banyak kawasan telah digenangi air.
Tinjauan SAHIH mendapati terdapat penduduk terkepung seperti di Kampung Lipat Kajang, Ketumbit,Kelibang,Payataram dan bandar lama Kerdau.
Antara ikan sungai yang diperoleh hasil menjala ketika banjir
Namun tinjauan juga mendapati, penduduk mengambil kesempatan mencari razeki dengan menjala ikan di kawasan rumah mereka yang dinaiki air.
Seorang penduduk, Yusliezam berkata, hasil tangkapan adalah seperti ikan lampam Jawa, Sepat Kemboja,ikan Talapia dan ikan Keli.
“Setiap hari menjala ikan di kawasan banjir ini memandangkan jalan untuk ke kedai pun sudah tenggelam.
“Jadi kami mengambil kesempatan untuk menjala ikan di sini. Apabila pulang ada juga bagi kepada jiran-jiran supaya mereka dapat makanan dalam tempoh ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Banjir di Jerantut semakin membimbangkan, penghantaran bantuan makanan ke kawasan dilanda banjir perlu menggunakan perkhidmatan helikopter tentera kerana jalan darat terputus dan laluan sungai sangat bahaya kepada petugas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid berkata, beliau mencadangkan pihak kerajaan melalui pihak terbabit menyediakan perkhidmatan helikopter tentera terutama di kawasan yang dilanda banjir.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid di PPS SMK Padang Saujana, pagi ini.
“Dimaklumkan penghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Jerantut tidak dapat disampaikan kerana jalan darat tidak boleh dilalui serta laluan sungai sangat berbahaya kepada petugas kerana arus sungai yang deras dan bergelora.
“Difahamkan semalam penghantaran makanan menggunakan helikopter kecil ditangguhkan, manakala penerbangan pertama kira-kira 9.00 pagi ini terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk untuk menghantar makanan ke kawasan Hulu Tembeling Tengah,” katanya kepada media, tengah hari ini.
Petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersedia untuk memunggah bantuan ke helikopeter
Sebelum itu, Datin Mastura turut mendapat taklimat di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat daerah Jerantut.
Beliau turut sempat melawat beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar bandar Jerantut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, SMK Temin, SMK Inderapura, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut dan SK Inderapura.
Katanya, pihak yang menguruskan mangsa banjir tertumpu sepenuhnya kepada mangsa banjir yang telah ditempatkan di PPS dan menerima pelbagai bantuan diterima tetapi terlepas pandang kepada satu kumpulan yang tidak terlibat dengan banjir.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid meninjau kemudahan disediakan oleh NADMA kepada mangsa di PPS SMK Padang Saujana, pagi ini.
“Kita terlepas pandang ada kumpulan yang tidak terjejas dengan banjir tetapi laluan masuk ke kawasan yang tidak terjejas turut menerima musibah kerana terkepong disebabkan laluan terputus dan bekalan tidak sampai atau untuk keluar membeli di bandar atau ke pekan berdekatan tidak boleh dilakukan.
“Malah, orang ramai yang mengidap penyakit kronik turut terjejas untuk mendapatkan rawatan di pusat kesihatan atau hospital, oleh itu pihak seperti ini (penduduk yang terkepung) perlu juga diberi perhatian dan memudahkan bantuan disalurkan dengan segera,”katanya.
Datin Mastura menyampaikan sumbangan kepada mangsa di PPS SMK Padang Saujana, bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri (NADMA) pagi ini.
Katanya, pengkalan hadapan telah siap siaga sebelum banjir dengan bekalan makanan dan keperluan sudah disediakan tetapi di tempat yang tidak dilanda banjir tetap diberi perhatian kerana penduduk terputus hubungan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS: Mangsa terakhir yang dipercayai lemas dalam kejadian berhampiran jambatan gantung Kampung Ulu Jelai, dekat Sungai Koyan di sini, pagi Isnin lalu, ditemui pagi tadi.
Mayat Nur Zakirah Ahmad Husin ditemui kira-kira jam 11 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat berhampiran jambatan keretapi Bukit Betong, kira-kira 11 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lipis untuk tujuan bedah siasat.
OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT MANGSA DIHENTIKAN TENGAHARI TADI
“Dengan penemuan mangsa terakhir kejadian bot karam Isnin lalu, pihak kami menamatkan sepenuhnya operasi mencari dan menyelamat jam 12.45 tengahari tadi,” katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.
Dalam kejadian jam 1.30 petang Isnin lalu, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian bot karam dinaiki empat sekeluarga berhampiran jambatan gantung Kampung Ulu Jelai.
MAYAY MANGSA DITEMUI KIRA-KIRA 11 KILOMETER DARI LOKASI DILAPORKAN HILANG
Bertindak atas maklumat itu, operasi mencari dan menyelamat membabitkan pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu penduduk kampung dilancarkan.
MAYAT NUR ZAKIRAH AHMAD HUSSIN DIHANTAR KE HOSPITAL LIPIS UNTUK PROSES BEDAH SIASAT
Dua daripada mangsa, Ahmad Hussin Mad Aris, 52 tahun dan seorang anaknya, Nur Aina, 23 tahun, berjaya menyelamatkan diri, manakala isterinya, Rozi Omar, 52 tahun dan seorang lagi anak pasangan itu, Nur Zakirah, 19, gagal dikesan selepas dipercayai dibawa arus deras.
Mayat Rozi kemudiannya ditemui jam 9.45 pagi Selasa lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) terus mengatur gerak aset dan anggotanya untuk membantu menghantar keperluan ke pusat pemindahan sementara (pps) di seluruh negeri Pahang.
Penghantaran tersebut dilakukan ekoran terdapat kawasan terputus hubungan di laluan darat.
PEGAWAI DAN ANGGOTA TENTERA BEKERJASAMA MENGURUSKAN OPERASI PENGHANTARAN BANTUAN KE PPS SEKITAR DAERAH TEMERLOH
Menurut Pegawai Memerintah Batalion ke-7 Rejimen Renjer Diraja (Mekanize ), Leftenan Kolonel Norhisham Hassan, penghantaran itu dilakukan ekoran bantuan yang dimohon pihak jabatan kebajikan masyarakat (JKM) dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir di sekitar daerah Temerloh.
Jelasnya, “di KTJ ( Kawasan Tanggungjawab) ini saja saya telah mengaturgerak sebanyak dua aset perairan dan tiga kali trak tujuh tan dan juga tiga tan bagi membantu ktj temerloh ini dalam fasa pemindahan peralatan dan juga barang barang ke pusat pemindahan sementara,” katanya.
Menurutnya, keperluan tersebut dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh sebagai titik pendaratan.
HELIKOPTER JENIS EC 735 DIGUNAKAN BAGI MISI PENGHANTARAN BANTUAN KE KAWASAN YANG TERPUTUS HUBUNGAN AKIBAT BANJIR
Penghantaran keperluan yang diambil di depo simpanan keperluan bencana, kompleks penyayang, kuantan itu melalui udara dengan mengaturgerak helikopter EC 725 dari pangkalan udara kuantan.
Tambahnya, penghantaran itu dijangka berterusan ekoran peningkatan kawasan-kawasan yang dinaiki air sekaligus menyebabkan terputus hubungan di laluan darat.
Setakat ini, sebanyak 33 PPS di daerah itu akan menerima bantuan tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HELIKOPTER TERPAKSA BERPATAH BALIK AKIBAT CUACA BURUK
JERANTUT: Operasi penghantaran bantuan kepada penduduk di Kampung Tembeling Tengah, dekat Taman Negara, terpaksa ditangguhkan sekali lagi hari ini berikutan cuaca buruk.
Difahamkan, operasi itu yang menggunakan helikopter dijadualkan dilaksanakan semalam, namun terpaksa ditunda akibat hujan lebat.
Menurut ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, operasi yang sepatutnya dilakukan jam 10 pagi tadi, terpaksa ditunda sekali lagi berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.
AJK UMNO BAHAGIAN JERANTUT, RAZAK DAUD
“Misi penghantaran bantuan ini diketuai sendiri Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah dan kita sedang memikirkan alternatif lain untuk membantu penduduk di Kampung Tembeling Tengah jika keadaan cuaca buruk berterusan.
“Laluan masuk ke kampung terbabit menggunakan bot terlalu berisiko buat masa ini kerana paras air Sungai Tembeling yang terlalu tinggi dan arusnya pula sangat deras.
(AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak DAUD.
OPERASI PENGHANTARAN BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI KAMPUNG TEMBELING TENGAH TERPAKSA DITUNDA AKIBAT CUACA BURUK
“Jadi Datuk Nazri yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pulau Tawar, ambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan udara (helikopter), namun keadaan cuaca sejak semalam tidak mengizinkan untuk helikopter berlepas dan mendarat di kawasan kampung terbabit,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Razak berkata, dianggarkan kira-kira 300 penduduk menetap di Kampung Tembeling Tengah dan pihaknya dimaklumkan bahawa bekalan makanan dan barangan keperluan asas lain sudah hampir kehabisan.
PETUGAS PERLU MENCARI JALAN UNTUK MENGAGIHKAN BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR DI KAMPUNG TEMBELING TENGAH
Katanya, keadaan cuaca tidak menentu sejak tiga hari lalu memberi kesan terhadap usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan kepada penduduk, terutamanya yang berada di kawasan pedalaman.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Majlis Daerah Maran (MDM) akan mengambil masa dua minggu untuk membersih kotoran dan lumpur di sekitar bandar Maran yang ditenggelami banjir besar minggu lalu.
Setiausaha MDM, Wan Norizan Wan Badaruzzaman, berkata operasi pembersihan bermula kelmarin membabitkan lebih 100 kakitangan beberapa bahagian yang bekerja secara gotong-royong.
Menurutnya, kerja-kerja itu turut dibantu kakitangan Alam Flora Sdn Bhd, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Bomba Sukarela Sri Jaya dan East Coast Rail Link (ECRL).
Katanya, aktiviti membersih kini dilakukan secara berperingkat dengan tumpuan utama membabitkan jalan dan premis dalam kawasan bandar Maran, diikuti selepas itu taman perumahan yang turut terjejas teruk.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Kejadian banjir minggu lalu dianggap luar biasa apabila turut membawa bersama pelbagai sampah dan lumpur tebal, tumpuan utama operasi turut membabitkan aktiviti memindahkan lumpur menggunakan lori.
“Bagi melancarkan lagi kerja membersih beberapa jentera berat terpaksa digunakan,” katanya, dihubungi hari ini.
BH ONLINE melaporkan, beliau bagi pihak MDM memohon maaf kepada penduduk beberapa perumahan kerana tidak dapat membantu untuk membersihkan kawasan penempatan kerana pihaknya kini lebih menumpukan di kawasan bandar.
Bagaimanapun Wan Norizan memberi jaminan kakitangan MDP akan membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan kejadian banjir minggu lalu selepas selesai kerja-kerja pembersihan di kawasan bandar.
“Bagi pihak MDM saya mempelawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan individu untuk membantu membersih kekotoran termasuk selut yang banyak terutama di bandar Maran, kejadian banjir sedalam satu hingga dua meter mengubah persekitaran di sini.
“Banyak kerosakan berlaku terutama membabitkan beberapa kemudahan termasuk pasu bunga yang pecah serta dihanyutkan arus deras,” katanya yang mengalu-alukan bantuan luar.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Tinjauan di bandar Maran mendapati kerja membersih sedang giat dilakukan dengan aktiviti memindahkan selut dan kotoran lain menggunakan jentera.
Perkhidmatan kontraktor pembersihan turut digunakan oleh syarikat swasta yang beroperasi di daerah ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Nasib 50 pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terkandas akibat banjir di daerah ini sejak Ahad lalu, mendapat perhatian Srikandi BERSATU Bahagian Temerloh.
Ketua Penerangan Srikandi Pahang, Siti Aisyah Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kumpulan pelajar berkenaan yang kehabisan bekalan makanan kira-kira jam 11 malam semalam.
“Ketika mula-mula menerima berita mengenai masalah dihadapi kumpulan pelajar terbabit, saya termenung seketika memandangkan bekalan pek barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir sudah kehabisan stok.
Pelajar kolej menerima bekalan makanan.
“Saya kemudiannya menghubungi rakan Srikandi lain dan mereka memberi idea untuk cuba mendapatkan bantuan daripada peniaga kedai makan di bandar Temerloh.
“Kami kemudiannya berjumpa dengan pemilik Temerloh Bistro dan selepas menerangkan mengenai masalah dihadapi pelajar berkenaan, pemilik restoran itu sudi membantu dengan menyediakan 50 bungkusan nasi goreng secara percuma,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.
Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Temerloh, Siti Aisyah Ismail bersama NGO dan pemilik restoran Bistro Temerloh
Siti Aisyah yang juga Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Temerloh kemudiannya meminta bantuan pasukan sukarelawan yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk menghantar bekalan makanan itu kepada kumpulan pelajar berkenaan.
“Alhamdulillah.. semua urusan dipermudahkan Allah dan saya berpuas hati dengan kerjasama semua pihak dalam memastikan bantuan itu dapat dihantar kepada kumpulan pelajar berkenaan.
“Saya berharap lebih ramai pihak sudi tampil membantu mangsa banjir di daerah ini yang terjejas teruk dan bukan sahaja kehilangan harta benda, bahkan sokongan dari segi semangat juga sangat diperlukan ketika ini,” katanya.
“
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Keadaan cuaca yang bertambah baik sejak pagi tadi memberi peluang kepada penduduk dan badan sukarela memulakan kerja pembersihan kediaman serta surau di sekitar daerah ini.
Tinjauan di sekitar bandar Maran mendapati kebanyakan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir hujung minggu lalu, sudah kembali meriah dengan kedatangan pelbagai pihak bagi menghulurkan bantuan.
GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN SURAU TAMAN MARAN JAYA DILAKUKAN AHLI JEMBARA BERSAMA PENDUDUK DAN TURUT DIBANTU ANGGOTA JBPM MARAN
Tidak ketinggalan 31 ahli Kelab Jembara Al-Falah (JEMBARA) dari Sungai Isap, Kuantan turut bersama turun padang menghulurkan bantuan kepada penduduk di Taman Maran Jaya, dekat sini.
Mereka bersama jemaah surau berkenaan bergotong-royong membersihkan persekitaran surau terbabit yang dinaiki air kira-kira 1.5 meter.
Pengerusi JEMBARA, Abd Rahim Othman berkata, kerja membersihkan surau itu bermula kira-kira jam 10 pagi tadi dan turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Maran.
“Kami difahamkan surau ini digunakan untuk pelbagai kegiatan keagamaan antaranya kelas mengaji al-Quran, kuliah agama dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan lain.
“Kita harap kerja membersihkan surau ini dapat disiapkan selewat-lewatnya petang ini dan boleh digunakan untuk solat Maghrib berjemaah hari ini,” katanya.
Selain membersihkan surau berkenaan, JEMBARA turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah seperti tikar, sejadah serta sumbangan wang tunai.
ANTARA PERALATAN DAN KELENGKAPAN SURAU TAMAN MARAN JAYA YANG ROSAK TERUK AKIBAT BANJIR HUJUNG MINGGU LALU
Sementara itu, Imam Surau Taman Maran Jaya, Khairuddin Kechik merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli JEMBARA dan JBPM Maran kerana memilih surau berkenaan untuk aktiviti gotong-royong hari ini.
“Saya mewakili penduduk di Taman Maran Jaya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi datang dari jauh untuk bersama-sama membersihkan surau kami.
“Sudah pasti jemaah dapat kembali mengimarahkan semula pelbagai kegiatan di surau ini bermula malam nanti,” katanya.
Surau Taman Maran Jaya mampu memuatkan kira-kira 100 jemaah pada satu masa dan sentiasa menjadi tumpuan berikutan pelbagai aktiviti keagamaan yang sering dianjurkan ahli jawatankuasa surau terbabit.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!