PDRM JERANTUT PERKETAT PEMANTAUAN DAN SJR PATUHI SOP COVID-19
JERANTUT: Sebanyak 4 Sekatan Jalan Raya (SJR) dan 2 pos kawalan dilaksanakan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi mengekang kes baharu penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di daerah ini.
SJR yang diadakan di Jengka 8, Bukit Dinding, Kuala Tembeling dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Paya Teh di SImpang Tiga Batu Embun. Selain itu, Pos Kawalan diadakan di Kampung Paya Teh dan Perumahan Banjir Kuala Teh, dekat sini.
Sebanyak 219 kompaun telah dikeluarkan sejak PKP 3.0 dilaksanakan. PDRM Jerantut turut melaksanakan pemantau yang ketat bagi melaksanakan arahan-arahan PKP 3.0 termasuk menutup lorong-lorong tikus agar tidak berlaku kemasukan dari luar daerah.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritenden Mazlan Hassan berkata, PDRM turut berkerjasama dengan semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Agama Islam, bank dan juga pejabat kerajaan serta swasta agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritenden Mazlan Hassan.
“Kami menasihat orang ramai elakkan pergerakankeluar rumah sekiranya tiada keperluan penting dan sentiasa berada di rumah agar terselamat daipada jangkitan wabak Covid-19.
“Selain itu, mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan, memohon jabatan kerajaan, swasta dalam daerah Jerantut sentiasa memastikan mematuhi SOP setiap masa,”katanya.
Katanya, orang ramai di daerah ini memberi kerjasama untuk memerangi wabak maut ini, serta berusaha selebihnya menyeru kepada masyarakat agar sama-sama berdoa pada Allah SWT agar kes Covid-19 menurun.
“Orang ramai berwaspada dengan keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu dan dibimbangi berlaku kejadian yang tidak diingini seperti pokok tumbang kerana boleh menjejaskan keselamatan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMAJA KOMA AKIBAT KEMALANGAN, KELUARGA MOHON BANTUAN
JERANTUT : Kecelakaan pada 1 Jun 2020 membabitkan pelanggaran dua buah motosikal di laluan Felda Kota Gelanggi Dua ke Felda Tekam Utara merupakan detik hitam kehidupan seorang remaja dan disahkan koma akibat mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, patah tulang leher, pergelangan bahu, tangan dan jari.
Remaja itu, anak ketiga daripada lima beradik yang juga seorang pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun lalu, tetapi tidak dapat menghabiskan alam persekolahannya akibat kemalangan itu.
Ibunya, Rozita Hamzah (48) berkata, insiden itu merunsingkan keluarga apabila melihat Muhammad Yusshah Danish sehingga sekarang masih tidak sedar walaupun banyak kali menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas) dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Ibunya, Rozita Hamzah (48) berkata, insiden itu merunsingkan keluarga apabila melihat Muhammad Yusshah Danish sehingga sekarang masih tidak sedar walaupun banyak kali menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas) dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
“Peringkat awal, doktor cuma merawat anggota bahu, leher, tangan dan jari yang patah sebelum dibenarkan pulang. Kemudian meneruskan rawatan susulan untuk saringan dan pemeriksaan bahagian dalam kepala anak saya.
“Kami sedih melihat anak saya masih terlantar di atas katil dan tidak bergerak, manakala makanannya cuma susu yang dimasukkan melalui saluran tiub di hidung hidung dan perut, manakala pembuangan najis di lampin pakai buang,”katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini hari ini..
Katanya, tekanan yang mereka hadapi bukan sahaja berdepan dengan penderitaan anak yang masih koma malahan beban kewangan untuk perbelanjaan keluarga, persekolahan malahan juga kebajikan Muhammad Yusshah Danish yang membabitkan kos rawatan, peralatan diri dan makanan.
Muhammad Yusshah Danish masih terlantar di katil dan tidak sedarkan diri.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kami sudah membelanjakan wang untuk rawatan anak ini sebanyak RM15,000 termasuk membeli susu khas, lampin pakaian buang dan menyewa ambulans swasta untuk membawa Muhammad Yusshah Danish ke hospital di Temerloh atau Kuantan menjalani pemeriksaan dan rawatan.
“Tekanan kami tempuhi iaitu hampir setiap bulan kami menyewa ambulans untuk membawa dia ke hospital dengan mengeluarkan belanja sendiri sebanyak RM500 bagi perjalanan ke Temerloh dan RM700 ke Kuantan bergantung kepada arahan hospital berkenaan serta perlu menyediakan RM3,000 sebulan untuk keperluan anak saya,” katanya.
Katanya, mereka kehilangan pendapatan mengusaha perkhidmatan dandanan dan solekan serta penyewaan alatan pelamin dan busana pengantin sejak penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, tekanan bertambah selepas anak mereka terbabit dengan kemalangan jalan raya serta menderita koma.
Ibunya, Rozita merawat Muhammad Yusshah Danish dan memerlukan penjagaan rapi.
Dalam pada itu, Yussery Ismail (51) bapa kepada lima orang anak berusia antara empat hingga 23 tahun berkata, dia dan isterinya reda dengan ujian Allah serta beristiqamah sambil berharap Muhammad Yusshah Danish mampu sedar dari koma dan bergerak supaya mereka dapat mencari rezeki semula.
“Selepas kejadian itu, semua wang simpanan untuk modal pusingan perniagaan dan membeli peralatan pengantin habis digunakan untuk rawatan anak kami.
“Saya hanya bekerja sambilan di kawasan Felda ini untuk memperoleh pendapatan menyara keluarga, manakala isteri terpaksa melupakan pekerjaan perkhidmatan pengantin kerana penguatkuasaan PKP, selain hanya menumpukan penjagaan dan kebajikan Muhammad Yusshah Danish,” katanya.
Katanya, dia berharap kerajaan dan dermawan boleh membantu kami untuk perbelanjaan susu, ubat dan kebajikan tertentu bagi anak ini termasuk menyewa ambulans swasta setiap kali berulang alik ke hospital.
Orang ramai dan dermawan yang ingin membantu Muhammad Yusshah Danish Yussery boleh menghubungi Yussery Ismail di talian 014 5321433 atau Rozita Hamzah (018 9103179) dan menyumbang terus ke akaun Bank Rakyat bernombor 220304322791 (Muhammad Yusshah Danish).-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Polis telah menahan tiga orang lelaki berusia 28, 43 dan 55 tahun yang mempunyai 20 rekod lampau kesalahan jenayah dadah dan membekalkan dadah kepada penagih dan pengedaran dadah sejak 2018 di daerah ini.
Ketua Polis Jerantut, Suprintendan Mazlan Hassan berkata, tiga lelaki berkenaan ditahan selama 60 hari untuk siasatan lanjut dan pencegahan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Jerantut.
“Mereka bertiga terbabit dengan kegiatan pengedaran serta membekalkan dadah kepada penagih secara aktif mulai 2018 di sekitar kawasan Kuala Tahan, Felda Tekam Utara dan Kampung Sungai Putat.
Tiga lelaki ditahan oleh polis.-Foto Polis Jerantut
“Tangkapan dijalankan berdasarkan hasil maklumat orang ramai serta risikan maklumat yang diperoleh menerusi penagih dadah yang telah ditangkap di Kuala Tahan, Felda Tekam Utara dan Kampung Sungai Putat dalam Ops Tapis baru-baru ini,” katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat polis di sini, suspek pertama berusia 28 tahun mempunyai 16 rekod jenayah berkaitan dadah, manakala suspek berusia 43 tahun mempunyai dua rekod dan suspek ketiga mempuyai 20 rekod kes yang sama.
“Tangkapan ini dilakukan di bawah peruntukan Seksyen 3(1) Akta Dadah berbahaya (ADB), Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana terlibat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan tersebut.
“Polis akan terus menggiatkan usaha membanteraskan kegiatan pengedaran dadah di semua tempat daerah ini menerusi Ops Tapis sepanjang masa,”katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah supaya membantu pihak polis dengan menghubungi IPD Jerantut menerusi talian 09-2662222 sambungan 262.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Murid kelas pendidikan khas, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Gelanggi Dua, Saiful Amar Naim Zulkifli, 9 tahun turut tidak terlepas peluang mengikuti kelas secara ‘google meet’ atau pembelajaran secara atas talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan.
Saiful Amar, murid autisme gembira mengikuti kelas kerana dia berasa rapat dengan guru dan rakan-rakannya kerana dapat menatap wajah mereka dengan lebih dekat sepanjang pembelajaran dijalankan oleh gurunya.
Ibunya, Kamariah Daud, 47, berkata, anaknya yang mengalami masalah komunikasi dan hiperaktif sejak kecil, Amar tidak sabar menunggu dan melihat skrin alat peranti setiap kali dihubungi oleh guru Pendidikan Khas bagi memulakan kelas secara maya.
Kamariah Daud, 47, Amar tidak sabar menunggu dan melihat skrin alat peranti setiap kali dihubungi oleh guru Pendidikan Khas bagi memulakan kelas secara maya.
“Dia amat gembira apabila dapat melihat wajah guru dan rakan-rakan dalam sidang google meet sambil menunjukkan jari ke skrin alat peranti.
“Walaupun lambat menyebut patah perkataan, tetapi dia faham dengan mengerakkan bibir, bertindak balas mengangkat tangan serta gembira melihat paparan wajah guru dan rakannya,” katanya ketika tinjauan SAHIH di rumahnya di Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut hari ini.
Katanya, apabila ada kelas online , dia sentiasa berada bersama anaknya untuk membimbing dan membantu Saiful Amar Naim mengikuti PdPR secara dalam talian supaya anak keempatnya itu boleh menumpukan perhatian ketika sesi pembelajaran diadakan.
“Saya bersyukur anak autisme saya turut berpeluang mengikuti kelas Pendidikan Khas secara google meet dan dia tidak tercicir dalam pelajaran menerusi kelas PdPR yang sudah disusun atur jadual oleh gurunya sepanjang tempoh ‘kelas online’‘ PKP ini.
“Dalam tempoh PKP ini, suami saya, Zulkifli Abdul Hapit sudah membeli dua buah komputer terpakai untuk kemudahan dua orang anak yang masih belajar di sekolah menengah, manakala sebuah lagi alat peranti yang diperoleh secara percuma dari sebuah syarikat telekomunikasi pada tahun lalu dan digunakan oleh seorang lagi anak saya,” kataya.
Kamariah yang mempunyai dua orang anak lelaki dan tiga lagi perempuan berusia antara 18 hingga enam tahun berkata, sesi PdPR secara atas talian kerap terganggu kerana capaian talian internet menjadi lemah apabila sesi pembelajaran berlaku serentak.
“Ini satu kelemahan yang berlaku di kawasan Felda ini. Walau bagaimanapun saya tetap memberikan kata semangat untuk anak-anak ketika mereka mengikuti sidang google meet sebagai norma baharu dan diharap sehingga PdPR selesai segera untuk anak-anak saya dapat belajar secara bersemuka.
Manakala gurunya, Mohd Fatmahisyam Abd Rahman (39), sudah 10 tahun mengajar di sekolah tersebut, berkata, sidang google meet setiap mata pelajaran dilaksanakan bersilih ganti dalam seminggu, itupun bergantung kepada kesanggupan ibu bapa meminjamkan alat peranti.
Mohd Fatmahisyam Abd Rahman, sudah 10 tahun mengajar di sekolah tersebut, berkata, sidang google meet setiap mata pelajaran dilaksanakan bersilih ganti dalam seminggu
“Saya juga menghantar bahan bercetak ke rumah murid ini terutamanya memberikan tumpuan kepada murid autisme yang tidak mampu berkomunikasi termasuk yang tidak mempunyai alat peranti supaya mereka memanfaatkan tempoh ‘bercuti’ ini serta masa lapang dengan kegiatan pembelajaran,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Orang ramai diingatkan jangan terpengaruh dengan berita angin yang tidak sahih berkaitan dengan keburukan vaksin, pengambilan vaksin serba-sedikit membantu memberi pelindungan diri daripada diserang wabak Covid-19.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said telah menerima suntikan dua dos lengkap Vaksin di Dewan Sri Seroja Putrajaya, hari ini.
Katanya, penggunaan Vaksin AZ dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mempunyai kebaikan berbanding kemudaratan serta bertindak sebagai perisai diri penerima suntikan itu.
“Dengan pengambilan vaksin, kita dapat meningkatkan sistem imunisasi badan dan mencegah wabak Covid-19 dari terus menular.
“Jangan percaya berita palsu atau penerangan daripada individu yang tidak pakar, dengar saranan pakar kesihatan. Marilah kita bersepakat memastikan ahli keluarga dan orang yang tersayang mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan,” katanya.
Katanya, oleh kerana kes yang semakin meningkat, orang ramai diharap sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memutuskan penularan wabak ini dan jangan keluar rumah tanpa tujuan dan sebab yang perlu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM 7.8 juta untuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid -19 secara bersasar kepada rakyat Pahang yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan besar yang disediakan itu sebagai tanda cakna dan mengambil berat daripada kerajaan negeri ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang.
DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
“Jumlah disediakan adalah menurut kemampuan kewangan kerajaan ketika ini, sepertimana inisiatif-inisiatif bantuan yang lain sebelum ini, BPP Covid-19 secara bersasar yang akan diberikan kali ini masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan.
“Antara golongan yang akan memanfaatkannya ialah petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, termasuk mangsa menjalani kuarantin di rumah, gelandangan, miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berusia 80 tahun ke atas,” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Katanya, segala persediaan sedang giat dilakukan dan diharapkan pengagihan sebenar BPP Covid-19 secara bersasar ini dapat dilaksanakan segera, agar bakal penerima dapat memanfaatkannya dalam kadar segera.
GAMBAR HIASAN
“Kerajaan memohon semua rakyat negeri Pahang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar penularan wabak ini dapat diputuskan demi kesajahteraan semua.
“Jangan menjadi orang yang degil dan mementingkan diri sendiri dengan keluar rumah ketika diarahkan kuarantin kendiri dan di rumah sehingga dikenakan kompaun,”katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Sekitar tahun 2017, kebanyakan pelayar internet terpegun dengan usaha dilakukan penduduk di Bandar Tsuwano yang terletak dalam daerah Kanoashi, Wilayah Shimane, Jepun yang memelihara pelbagai jenis ikan koi di dalam longkang sekitar bandar berkenaan.
Usaha itu kemudiannya menjadi inspirasi kepada pelbagai pihak di negara ini untuk turut mencuba teknik memelihara ikan dalam longkang di kawasan penempatan mereka.
SEMUA HASIL JUALAN DIINFAQ KEPADA TABUNG SURAU RAUDHAH AL-FAIZIIN TAMAN BESERAH RIA
Jika sebelum ini aktiviti itu pernah dilakukan pihak pengurusan sekolah di Utara Semenanjung, usaha itu turut menarik perhatian ahli kariah Surau Raudhah Al-Faiziin, dekat Taman Beserah Ria, di sini, untuk cuba menternak ikan jenis tilipia dalam longkang berhampiran surau berkenaan.
Longkang sepanjang 50 meter itu dijadikan kolam memelihara 1,200 ikan tilapia sebagai projek perintis yang mendapat kerjasama baik daripada semua ahli kariah dan penduduk di taman perumahan itu.
Uniknya, air dialirkan ke longkang sedalam 1.5 meter itu menggunakan sumber air bukit, memandangkan kedudukan surau berkenaan yang hampir dengan Bukit Tokki.
Pengerusi surau itu, Nazaruddin Mahmud, 60, berkata, usaha menternak ikan tilipia berkenaan dimulakan sejak sebulan lalu, selepas melihat longkang terbabit tidak mempunyai fungsi lain, selain sebagai saliran air semata-mata.
PENGERUSI SURAU RAUDHAH AL-FAIZIIN TAMAN BESERAH RIA, NAZARUDDIN MAHMUD
Menurutnya, selepas mengadakan perbincangan dengan ahli kariah, mereka kemudiannya sepakat memanfaatkan longkang terbabit dengan mengambil contoh usaha dilakukan penduduk bandar Tsuwano di Jepun.
“Kita tahu bila sebut longkang orang bayangkan tempat kotor, tetapi longkang di sini bersih dan kita menggunakan air bukit 100 peratus bagi tujuan penternakan ikan.
“Dalam tempoh tiga bulan lagi, ikan tilipia ini boleh dijual, dan kita bercadang hasil penjualan ikan akan diinfaqkan ke tabung surau,” katanya ketika ditemui di Taman Beserah Ria, di sini.
Beliau memberitahu, benih ikan tilipia diperoleh secara percuma melalui kenalannya dari Terengganu.
“Kita tidak menyangka ada yang ingin menyumbang benih ikan, bila kita bersungguh-sungguh untuk menjadikan longkang sebagai kolam ternak ikan.
“Jadi, kita rasa bersyukur kerana ada yang tampil membantu. Kita juga dimaklumkan bahawa individu itu akan menambah 1,000 lagi benih ikan untuk ditempatkan dalam longkang ini,”katanya yang berhasrat untuk menggunakan 10 meter lagi baki longkang yang belum digunakan, untuk dijadikan sebahagian daripada projek ternakan ikan.
Beliau berkata, sebelum memulakan ternakan ikan itu, pihaknya telah membina taman lestari di persekitaran surau terbabit bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan ahli kariah.
Tambahnya, banyak pokok-pokok herba, pelbagai sayur-sayuran seperti cili, bendi dan terung ditanam bagi memanfaatkan tanah terbiar.
AHLI KARIAH SURAU MEMANTAU KEADAAN AIR LONGKANG BERHAMPIRAN SURAU RAUDHAH AL-FAIZIIN, TAMAN BESERAH RIA
Jelasnya, hasil daripada tanaman itu dijual kepada orang ramai dan turut diinfaqkan ke tabung surau berkenaan.
“Kita tidak mengenakan bayaran yang tetap, tetapi aktiviti penjualan kita lebih kepada bayar seikhlas hati.
“Kaedah ini dibuat bagi membolehkan kita membina beberapa kemudahan yang masih terbengkalai akibat kekurangan dana,” ujarnya yang merupakan pesara tentera.
Mengulas mengenai penjagaan ikan diternak dan penjagaan kebersihan air longkang, beliau berkata terdapat dua kariah yang memantau dan memastikan kebersihan air longkang itu secara bergilir.
“Selain memantau kualiti air longkang, mereka juga diberi tanggungjawab untuk memastikan ikan tilipia itu mendapat makanan secukupnya dan turut menguruskan kebun komuniti yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Ambil dan bawa pulang, itu ada inisiatif dan usaha terakhir oleh beberapa pekebun buah tembikai di Kampung Besul, Jerantut agar hasil tanaman yang diusahakannya tidak dibiarkan buruk begitu saja.
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 10 Mei lalu dan peningkatan penularan Covid-19 di lokaliti berkenaan, buah itu tidak dapat dipasarkan sepenuhnya.
Menurut pekebun, Asri Yaakob, 50 tahun, terdapat pekebun yang telah berputus asa dan hanya membiarkan hasil tanaman terbiar begitu sahaja.
ASRI YAAKOB
Ini kerana, ketika dalam tempoh PKP bermula awal tahun ini, penuaian tembikai menunjukkan hasil yang memberangsangkan namun penjualan terpaksa dihadkan .
“Kami yang menanam tidak mendapat pulangan hasil, selalunya tiap-tiap tahun itu dapat hasil daripada jualan buah tembikai, nak sambut raya pun dapat duit raya sikit-sikit dari hasil tanaman ini, tapi tahun ini disebebkan PKP, tak lepas nak jual jadi hasil tanaman ini tak lepas ke mana, jadi kami melepek je ni jadi banyak tanaman yang ditanam ini tinggal begitu saja, ” katanya.
KEBUN TEMBIKAI DIUSAHAKAN ASRI
Tambahnya, sebahagian daripada lapan pekebun di kampung itu masih lagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan namun peningkatan kes Covid-19 membuatkan mereka juga mengehadkan pergerakan.
Walaupun kerugian, namun rata-rata pekebun berlapang dada dengan perkara yang terjadi dan mengharapkan ada pihak yang sudi mengambilnya agar tidak terbiar begitu saja.
TEMBIKAI YANG SUDAH MASAK
Setakat ini, kira-kira 20 tan tembikai dibiarkan di kebun ekoran hasil yang dikutip sebelumnya masih lagi tidak terjual sepenuhnya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Bantuan keperluan harian terus disalurkan kepada penduduk yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jerantut, sejak ianya dilaksanakan.
Malah, memastikan bekalan makanan terutama di lokaliti Kampung Paya Teh dan Rumah Banjir Kuala Teh terjamin, pihak berwajib sentiasa memantau bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan mereka berterusan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, walaupun peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kawasan itu namun keadaan masih lagi terkawal.
MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN
“Ketika ini di dalam terkawal dan dari sudut kita punya penyelarasan bersama dengan pegawai daerah penghulu dan setempat kita mengambil maklum setiap perkara yang berlaku di dalam sana,” katanya.
Malah, menurutnya interaksi bersama penduduk sentiasa dilakukan pihaknya dalam memastikan kebajikan penduduk tidak terabai.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Dalam pada itu, menurutnya lagi, penduduk kedua-dua lokaliti berkenaan sentiasa memberi bekerjasama dalam membantu mengekang penularan Covid-19.
Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, ketika ini, Jerantut dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk Pejabat Daerah sentiasa melakukan pemantauan dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dalam kalangan penduduk di Jerantut.
DATUK AHMAD NAZLAN IDRIS
“Pada peringkat awalnya kita telahpun mengagihkan bantuan keperluan pada masyarakat pada penduduk kampung paya teh dah bagi semua.. kemudian berlaku tambahan di kawasan kawasan di kawasan ini kita minta mereka yang ada keperluan disampaikan kepada PKOB kepada penghulu ada team dia untuk menyelaraskan keperluan keperluan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, jika berlaku penambahan penduduk terlibat penularan Covid-19, mereka disaran menghubungi pihak berwajib dalam menyelaraskan keperluan masyarakat.
Semalam, Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut dilaksanakan PKPD bermula hari ini sehingga 4 Jun nanti manakala Kampung Paya Teh yang bermula sejak 17 Mei lalu dan akan tamat 30 Mei ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Penularan wabak Covid-19 di lokaliti itu dipercayai bermula daripada seorang pemandu lori yang singgah di sebuah masjid di kampung Paya Teh dan sehingga kini difahamkan seramai 378 orang dari kedua-dua kawasan berkenaan dikuarantin di kediaman masing-masing.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GAGAL PAKAI GELANG MERAH JAMBU DAN PELITUP MUKA DIKOMPAUN
KUALA LIPIS – Lelaki berusia 47 tahun dikompaun RM5,000 kerana sengaja menanggalkan gelang merah jambu dalam tempoh kuarantin di rumah serta dua lelaki yang gagal memakai pelitup muka turut dikenakan kompaun RM 1,500 oleh polis di Padang Tengku, Lipis, semalam.
Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor berkata, tindakan mengenakan kompaun kepada lelaki yang tidak memakai gelang merah jambu berikutan hasil pemeriksaan pasukan pemantau di rumahnya berdekatan pekan Padang Tengku.
Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan didapati tidak memakai gelang merah jambu malahan berada di luar pergi ke tempat lain tempoh kuarantin di rumah dan perlu memakai gelang itu seperti yang diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya kepada media di Ibupejabat Polis Daerah Lipis, semalam.
Katanya, manakala kompaun ke atas dua orang lelaki lagi berusia 21 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting di situ dan seorang penganggur berusia 24 tahun secara terang-terang tidak memakai pelitup muka ketika polis membuat pemeriksaan di sebuah premis gunting rambut di Jalan Lipis – Benta.
Keduanya dikenakan kompaun oleh polis masing-masing berjumlah RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis.
Pemeriksaan mengejut oleh polis di premis dan institusi kewangan dan rumah memastikan SOP dipatuhi.
“Pihak polis akan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premis, kediaman dan bank di semua lokasi termasuk penduduk yang masih dalam kuarantin di samping pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan pengimbas suhu, mencatat kehadiran di buku catatan termasuk penggunaan MySejahtera dan beberapa peraturan tertentu.
“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengenakan kompaun bagi membantu kerajaan mengawal dan mengurangkan penularan wabak pandemik Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat di bawah seksyen yang dikuatkuasakan sekarang,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!