HAMZAH: UMNO BOLEH GABUNG DENGAN BERSATU, CUMA TAK MAHU
BENTONG – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendedahkan bahawa UMNO sebenarnya mempunyai peluang untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), namun memilih untuk kekal bersama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana merasakan ia lebih menguntungkan.
Beliau berkata, jika UMNO bersedia untuk bekerjasama, kerajaan boleh dibentuk dengan hanya tambahan lapan Ahli Parlimen lagi.
*”Pada waktu itu, kita sudah ada 104 sokongan. Hanya perlukan lapan lagi untuk membentuk kerajaan. Tetapi UMNO lebih memikirkan kepentingan berkuasa bersama Anwar.
“Jika mereka ada keterbukaan dan mahu duduk semeja, kita boleh fikirkan masa depan negara yang lebih baik agar masyarakat tidak terus berpecah-belah,”* katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Cherengin Hill, Janda Baik.
Menurut Hamzah, perjuangan asal UMNO adalah untuk mencapai kemerdekaan, tetapi selepas lebih 70 tahun, sepatutnya parti itu juga “memerdekakan” pemikiran rakyat dan melihat kepentingan semua, bukan hanya golongan elit.
Dalam ucapannya, Hamzah turut menekankan bahawa Bersatu adalah parti yang benar-benar inklusif, dengan wakil daripada pelbagai kaum dalam kepimpinan tertinggi.
*”Kita ada empat sayap – Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu. Ketua Sayap Bersekutu kita, Dr. Chong, mewakili kaum Tionghoa, manakala Datuk Seri Sanjeevan duduk dalam PNPT bagi membawa isu kaum India.
“Kalau orang kata Bersatu ini tidak inklusif, itu tidak betul. Kitalah parti yang benar-benar terbuka kepada semua,”* tegasnya.
Sementara itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Leong Kim Soon, mengumumkan 113 ahli baharu telah menyertai parti itu pada hari ini sahaja.
“Saya sudah keluar daripada MCA dan memilih Bersatu kerana ia selari dengan perjuangan saya. Dengan pengalaman yang saya ada, saya akan membantu memperkukuhkan Bersatu di Bentong dan seluruh Pahang,” katanya.
Menurut Hamzah, jumlah penyertaan ahli baharu dijangka meningkat dalam masa terdekat, sekali gus membuktikan sokongan yang semakin bertambah terhadap Bersatu dan PN.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Datuk Leong Kim Soon Sertai Bersatu, Tolak DAP yang ‘Ekstrem’
BENTONG– Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Leong Kim Soon, menegaskan bahawa parti itu adalah platform terbaik untuk semua kaum di Malaysia bersatu dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
Beliau, yang sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Pemuda MCA Kebangsaan dan Ketua Pemuda MCA Pahang, berkata keputusannya menyertai Bersatu dibuat selepas menilai hala tuju politik negara.
“Saya melihat Malaysia boleh menjadi negara yang bersatu, di mana kaum Cina, India dan semua kaum lain juga diberi peluang untuk menyertai Bersatu. Ini selaras dengan masyarakat Malaysia yang semakin maju,” katanya ketika menghadiri Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Cherengin Hill, Janda Baik, di sini.
Turut hadir sama Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan
Menurutnya, Bersatu adalah parti yang selari dengan perjuangannya, berbanding DAP yang disifatkannya sebagai lebih ekstrem.
“Kalau tidak sesuai dengan jiwa saya, saya takkan masuk. Ada ramai orang bertanya kenapa saya tidak menyertai DAP. Sejauh pengalaman saya dalam politik, saya memang tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Leong berkata beliau tidak bersetuju dengan konsep kerajaan perpaduan yang menyaksikan MCA dan DAP berada dalam satu gabungan.
“Dulu, semasa saya dalam MCA pun, saya tidak boleh bekerjasama dengan DAP. Sekarang, mereka berada di bawah satu payung yang sama. Itu yang saya rasa tidak kena,” jelasnya.
Dalam majlis itu, lebih daripada 113 ahli baharu telah menyertai Bersatu di bawah kepimpinan Datuk Leong.
Beliau turut menggesa lebih ramai masyarakat Cina dan India, khususnya di Bentong dan seluruh Pahang, untuk menyertai parti tersebut.
“Bukan sahaja di Bentong, malah di seluruh Pahang, kita mengalu-alukan penyertaan semua kaum. Ini bukan kumpulan pertama, akan ada lebih ramai yang menyusul,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DZUL AZRUL: TEKAD MENGANGKAT SUARA AKAR UMBI TEMERLOH
TEMERLOH – Arena politik Temerloh bakal menyaksikan gelombang baru apabila seorang anak muda tempatan, Dzul Azrul bin Azhar, tampil menawarkan diri sebagai pemimpin dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat cabang. Berusia 28 tahun, beliau membawa agenda jelas – mengembalikan kepercayaan akar umbi, memperkasakan reformasi sebenar, dan membuktikan bahawa anak muda bukan sekadar pemacak bendera tetapi pemimpin yang mampu menerajui perubahan.
Menceburi dunia politik sejak 2014 dalam Parti Keadilan Rakyat, Dzul Azrul melihat sendiri bagaimana cabang parti ini sering bergelut dengan perpecahan dalaman. Dua atau tiga kelompok yang sepatutnya boleh disatukan menjadi kekuatan, sebaliknya dibiarkan berseteru, mengakibatkan kelemahan dalam menghadapi cabaran politik. Dengan pengalaman hampir 11 tahun, beliau yakin bahawa kini tiba masanya untuk membina semula kepercayaan akar umbi dan memastikan suara mereka tidak lagi disisihkan.
“Saya lihat ramai ahli yang amat setia kepada perjuangan, tetapi mereka seperti dipinggirkan. Ada yang kecewa, ada yang rasa tersisih. Saya mahu mengangkat kembali suara mereka, menyatukan kelompok-kelompok ini untuk menjadikan cabang Temerloh lebih kukuh,” ujar Dzul Azrul dalam satu wawancara khas bersama SAHIH.
Menurut beliau, reformasi tidak boleh sekadar menjadi slogan retorik yang dilaungkan di pentas ceramah. Reformasi perlu digerakkan secara nyata melalui kepimpinan yang benar-benar mendengar suara akar umbi dan bertindak atas keperluan mereka.
ANAK MUDA SEBAGAI PEMIMPIN, BUKAN SEKADAR PENGIKUT
Sejak sekian lama, landskap politik negara menyaksikan anak muda cenderung menjadi pengkritik kerajaan, tanpa mengira siapa yang berkuasa. Namun, bagi Dzul Azrul, cabaran sebenar adalah membuktikan bahawa anak muda boleh lebih daripada sekadar pengkritik – mereka boleh menjadi pemimpin.
“Kita mahu ubah persepsi bahawa anak muda hanya sekadar pengikut atau pelengkap majlis. Saya ingin membuktikan bahawa kita bukan sekadar boleh berdiri di pentas ceramah, tetapi juga boleh merancang dasar, memimpin organisasi, dan membawa hala tuju politik yang lebih segar,” jelasnya.
Beliau percaya bahawa anak muda memerlukan satu figura yang boleh dijadikan inspirasi, seorang pemimpin yang bukan sahaja memahami kehendak mereka, tetapi juga membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Saya mahu anak muda Temerloh melihat bahawa kita boleh memimpin. Tidak kira dalam PKR, UMNO, PAS atau mana-mana parti, anak muda perlu berada di barisan hadapan dalam mencorak masa depan negara,” katanya penuh tekad.
MENGUKUHKAN KEMBALI PARTI KEADILAN DI TEMERLOH
Sebagai seorang anak jati Temerloh, Dzul Azrul tidak sekadar mahu bertanding untuk jawatan, tetapi mahu mengembalikan kegemilangan PKR sebagai tonggak utama Pakatan Harapan di kawasan ini. Namun, beliau akur bahawa strategi yang bakal diambil perlu disusun rapi dan tidak boleh didedahkan secara terbuka pada waktu ini.
“Apa yang boleh saya janjikan, saya akan memastikan PKR kembali menjadi kekuatan utama di Temerloh. Kita tidak boleh lagi terperangkap dalam kancah perpecahan dalaman. Kekuatan sebenar terletak pada akar umbi, dan itu yang saya akan perjuangkan,” tambahnya.
Kempen yang sedang digerakkannya kini lebih tertumpu kepada usaha mencari dan menyatukan semula akar umbi yang sebelum ini mungkin terasa dipinggirkan. Baginya, ahli parti bukan sekadar penyokong tetapi aset penting yang harus dihargai.
“Saya turun ke bawah bukan sekadar untuk berkempen, tetapi untuk menyantuni mereka. Saya mahu mereka tahu bahawa perjuangan ini milik kita bersama,” jelasnya.
LATAR BELAKANG & REKOD POLITIK
Dzul Azrul bukanlah wajah baru dalam PKR. Bermula sebagai Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Temerloh pada tahun 2015, beliau terus meningkat dalam kepimpinan dengan memegang pelbagai jawatan strategik:
2016 – Setiausaha Pengelola AMK Pahang
2018 – Ketua Skuad AMK Pahang
2022 – Naib Ketua AMK Temerloh
2024 – Ketua Biro Keusahawanan AMK Malaysia
Dengan pengalaman ini, Dzul Azrul dilihat sebagai calon yang mempunyai kredibiliti serta kemampuan untuk mengemudi perubahan dalam parti.
MASA UNTUK BERGERAK KE HADAPAN
Menjelang pemilihan cabang PKR yang dijadualkan antara 11 hingga 20 haribulan ini, semua mata tertumpu kepada pertembungan kepimpinan di Temerloh. Apakah anak muda ini akan berjaya menawan kepercayaan akar umbi dan membawa cabang Temerloh ke era baru?
Bagi Dzul Azrul, perjuangan ini bukan tentang individu, tetapi tentang mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada politik yang berprinsip.
“Saya menawarkan diri bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi kerana saya percaya bahawa Temerloh boleh lebih maju dengan kepimpinan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat,” katanya penuh yakin.
Kini, keputusan terletak di tangan ahli parti. Apakah mereka bersedia untuk memberikan peluang kepada anak muda ini untuk memimpin? Atau Temerloh akan terus berada di takuk lama? Jawapannya bakal terungkai dalam pemilihan akan datang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Isu tiga penyampai radio swasta yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan bukan Islam terus menjadi perhatian umum dengan pelbagai pihak menyuarakan pandangan masing-masing.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa pemimpin seharusnya bertindak sebagai pendamai dan bukannya pencetus kemarahan dalam isu-isu sensitif seperti ini.
Menurutnya, tindakan penyampai radio berkenaan adalah satu kesalahan yang tidak mencerminkan ajaran Islam dan perlu diambil sebagai pengajaran, bukan alasan untuk mengeruhkan perpaduan.
“Malaysia telah menyaksikan banyak perselisihan kaum dan agama sejak dahulu lagi, malah pernah mencapai tahap kritikal seperti tragedi 13 Mei 1969. Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, kerajaan terdahulu telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan keharmonian antara kaum terus terpelihara, namun ketidakstabilan politik kebelakangan ini menyebabkan isu perkauman dan agama semakin diperkatakan secara terbuka.
Justeru, beliau menyeru semua pemimpin politik serta masyarakat untuk memainkan peranan dalam meredakan keadaan, bukan menambahkan ketegangan.
“Pemimpin tidak boleh menjadi pencetus konflik atau membiarkan api perbalahan terus marak. Pihak berkuasa juga perlu bertindak adil, mengambil langkah sewajarnya untuk memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat tanpa mengikut desakan mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak terperangkap dalam kitaran saling mencari kesilapan antara satu sama lain semata-mata untuk membalas dendam.
“Negara ini perlu bebas daripada isu sebegini. Pada usia 68 tahun, kita harus fokus kepada pencapaian dan kemajuan negara, bukannya terus bergelumang dalam konflik kaum dan agama yang tiada kesudahan,” tegasnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah secara rasmi berjaya memperoleh 27,941 undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar memperoleh 7,332 undi, ketinggalan dengan majoriti 20,609 undi.
Beliau berkata Syed Hussien Syed Abdullah (BN) mendapat 27,941 undi manakala pencabarnya, Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh 7,332 undi.
Keputusan tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Mahkota Wan Azurawati Wahid di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
Sharifah Azizah Syed Zain dari BN memenangi kerusi itu pada PRN Mac 2022, menewaskan calon Pakatan Harapan, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.
Terdapat 66,318 pemilih berdaftar sempena PRK DUN Mahkota.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ADUN Jengka tidak matang, semua benda mahu dipolitikkan
KUANTAN – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka daripada Pas, Shahril Azman Abd Halim mempolitikkan kesilapan dalam video TikTok yang tular baru-baru ini sangat mengecewakan.
Kesilapan dalam video itu diakui oleh ADUN Lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah dan beliau sudah memadamkan video berkenaan.
Haris berkata, apa yang berlaku ketika rakaman video itu adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan dan tidak berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak.
“Saya sedar berlaku kesilapan ketika rakaman video itu dan perkara berkenaan segera saya ambil tindakan dengan memadamkan video terbabit.
“Sangat mengecewakan kerana Shahril Azman menberi ulasan dengan merujuk kepada video yang sudah tiada (dipadamkan) dan seterusnya ia menjadi viral.
“Saya harap perkara ini tidak terus dijadikan bahan politik kerana ia bukanlah kesilapan yang disengajakan,” katanya.
Sebelum ini, ADUN Jengka terbabit mendakwa Haris sebagai tidak peka dengan hal berkaitan kiblat umat Islam – Kaabah – hingga menimbulkan kekeliruan.
Bagaimanapun, Haris menjelaskan ucapan dibuat dalam video terbabit disebabkan salah faham dan ia sudah tidak ada dalam akaun TikTok miliknya.
Dalam perkembangan sama, Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli turut mempersoalkan tindakan ADUN Jengka mempolitikkan perkara itu.
Ridzuan turut menasihati Shahril Azman supaya lebih matang dan tidak menjadikan semua benda sebagai bahan politik.
Katanya, Haris yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut sudah memohon maaf atas kekhilafan yang tidak disengajakan itu dan ia tidak perlu dipanjangkan. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Nazri Ngah turun padang bagi semangat kepada jentera UMNO Jerantut
KLUANG – Bekas Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah meluangkan masa bersama jentera UMNO Bahagian itu yang sedang membantu kempen sempena pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Nazri adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar dan pernah memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Pahang.
Beliau yang masih bersemangat dalam politik mengambil ruang cuti hujung minggu untuk menyantuni petugas UMNO Jerantut di sekitar bandar Kluang.
Nazri dalam masa sama sempat bertemu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kebetulan turun berkempen di pusat daerah mengundi (PDM) Jalan Hospital dan Taman Berlian.
Walaupun sudah tidak aktif dalam politik, namun Nazri masih berkongsi pengalaman dan strategi penting dalam memenangi hati pengundi. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jentera UMNO Jerantut terima kunjungan KIMMA Johor
KLUANG – Sejak hari penamaan calon, hampir 100 petugas dari UMNO Bahagian Jerantut, Pahang berkampung di Kluang, Johor.
Ia adalah bagi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Antara pusat daerah mengundi (PDM) yang diamanahkan jentera UMNO Bahagian Jerantut adalah PDM Jalan Hospital, PDM Taman Berlian selain PDM Dorset.
Petugas daripada Pemuda, Puteri dan Wanita dari Jerantut juga diberi peranan membantu Jalinan Rakyat (JR) UMNO Johor menyantuni pengundi di kawasan itu.
Ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud turut berkesempatan bersama jentera dari Bahagian itu berkempen di Kluang dengan bertemu dengan pengundi di sekitar Mahkota.
“Selain membantu gerak kerja jentera UMNO dan BN berkempen, kami juga mengambil peluang untuk berkenalan dengan petugas daripada parti komponen BN yang turut sama berkampung di sini,” katanya.
Terdahulu, Razak bersama jentera UMNO Bahagian Jerantut menerima kunjungan daripada wakil Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Johor ketika berada di PDM Dorset.
Pertemuan ringkas itu sempat membincangkan strategi mendekati kira-kira 66,000 pengundi di Mahkota dalam usaha memastikan Syed Hussien menang pada 28 September ini.
“Gerak kerja sedia ada sudah dilaksanakan sebaik mungkin dan kita harap strategi kempen pada minggu terakhir ini akan memberi kelebihan kepada calon BN, Syed Hussien,” jelasnya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMNO Jerantut, Ipoh Barat bawa semangat Nenggiri ke Mahkota
KUANTAN – Jentera UMNO dari Jerantut, Pahang dan Ipoh Barat, Perak sudah bersedia menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, dekat Kluang, Johor.
Mereka yang mula berkampung di situ sejak kelmarin berkata, gerak kerja lengkap sudah siap dirancang bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.
Setiausaha UMNO Bahagian Ipoh Barat, Mohd Zawawi Mohd Yusof berkata, pendekatan turun padang yang sebelum ini dilakukan pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri Ogos lalu, akan digunakan di Mahkota.
“Kami bawa semangat (kemenangan) di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan ke sini dan saya sendiri yakin calon BN mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar dalam PRK kali ini.
“Saya percaya jentera UMNO dari negeri lain juga mempunyai kaedah kempen tersendiri untuk memenangi hati pengundi di Mahkota,” katanya kepada SAHIH .
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, kejayaan BN di Nenggiri sememangnya memberi suntikan semangat kepada semya jentera yang terbabit dalam PRK Mahkota.
Katanya, segala perancangan awal sudah dilakukan dan kelebihan dimiliki Syed Hussien akan membantu BN mengekalkan kerusi DUN berkenaan.
“Seperti yang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklumkan semalam, Syed Hussien memiliki kelebihan untuk memenangi hati pengundi Cina di Mahkota memandangkan dia memiliki latar belakang pendidikan sekolah Cina.
“Selain itu, kawasan DUN Mahkota juga dijaga dengan baik oleh wakil rakyat daripada BN sebelum ini, jadi tidak ada banyak isu berbangkit dan jika ada pun, ia boleh diselesaikan dengan berhemah oleh kerajaan negeri Johor,” katanya.
PRK Mahkota menyaksikan satu lawan satu antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
BN mempertaruhkan Syed Hussien, manakala PN mencalonkan Mohamad Haizan Jaafar.
Menurut daftar pilihan raya, setakat 2 Ogos terdapat 66,318 pengundi layak di Mahkota merangkumi 61,397 pengundi biasa; 4,510 pengundi tentera dan suami isteri masing-masing; 401 pegawai polis dan 10 pengundi luar negara.
Pengundian awal ditetapkan pada 24 September ini. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Setiap parti politik dibina dengan kekuatan dan kesepakatan ahli di peringkat akar umbi.
Dalam proses memperkukuhkan lagi organisasi, pemilihan pucuk pimpinan adalah antara kaedah bagi menguji kesetiaan dan semangat ahli parti itu.
Selaras dengan pemilihan peringkat Cawangan dan Bahagian dalam MIC yang baru berlangsung, ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam mengadakan pertemuan dengan barisan pimpinan baru MIC Bahagian Bentong.
Perjumpaan itu diadakan di pejabat baru MIC Bahagian Bentong, dekat pekan Karak.
Turut hadir adalah ADUN Sabai, V Arumugam dan pimpinan MIC Bahagian.
Antaranya Ketua MIC Bahagian Bentong, Dr Jayendran yang akan mengetuai parti berkenaan bagi penggal 2024-2027.
Amizar dalam masa sama merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan pimpinan MIC Bahagian Bentong sebelum ini yang menjalankan tugas dengan baik.
Dia berharap kecemerlangan pimpinan terdahulu akan diteruskan barisan pimpinan baru dalam memperkuatkan lagi Barisan Nasional di peringkat Bentong dan Pahang. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!