KUALA LUMPUR: Pihak pendakwa raya dalam saman pelucutanhak terhadap UMNO membuat dakwaan mengejutkan pada Rabu lalu bahawa UMNO mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit untuk menerima sumbangan politik.
Maklumat lanjut dijangka akan didedahkan di mahkamah, tetapi buat masa ini, inilah yang kita tahu mengenainya:
Bilakah akaun ini dibuka?
Menurut The Edge, pendakwa raya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa akaun tersebut dibuka pada tahun 1988 di Southern Bank cawangan Wisma Genting, Kuala Lumpur.
Southern Bank kemudiannya diambil alih oleh bank CIMB pada tahun 2006.
GAMBAR HIASAN
Tahun 1988 adalah tahun yang sama UMNO dibatalkan pendaftarannya kerana mempunyai cawangan yang tidak sah, dan kemudian didaftarkan semula sebagai UMNO Baru.
Siapa yang tahu mengenai akaun itu?
Pihak pendakwa berkata pemimpin UMNO pada tahun 1988 tahu mengenai akaun itu, termasuk presiden UMNO ketika itu Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Allahyarham Ghaffar Baba, dan bendahari UMNO, Daim Zainuddin.
The Edge melaporkan bahawa presiden, timbalan presiden, dan bendahari berikutnya mungkin tahu mengenai akaun tersebut kerana mereka menguruskannya.
Ini menyokong kenyataan Mahathir pada tahun 2015, bahawa semasa menjadi presiden parti, sumbangan politik dimasukkan ke dalam akaun yang dikendalikan oleh tiga orang pemegang amanah termasuk dia sendiri.
GAMBAR HIASAN
Mahathir berkata ketika meletakkan jawatan sebagai presiden, dia mengarahkan wang tunai dalam akaun itu diserahkan kepada penggantinya Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan berkata, dia tidak tahu parti itu mempunyai akaun rahsia.
Berapa jumlah dalam akaun tersebut?
Dilaporkan akaun itu mempunyai baki RM193 juta pada awal tahun lepas.
Bagaimanapun, The Edge memetik siasatan polis menyatakan bahawa jumlah itu dikeluarkan pada pertengahan tahun lalu dan dipindahkan ke sebuah NGO dikenali sebagai Kelab Prihatin Graduan, dipetik dari Malaysiakini.
Baki semasa dikatakan lebih RM2,700.
Nama kelab ini juga tidak tertera dalam sebarang pencarian umum.
Namun, terdapat satu lagi persatuan mempunyai nama yang hampir sama iaitu Kelab Graduan Prihatin.
Menurut catatan oleh Kolej Sains dan Teknologi Antarabangsa Melaka minggu lalu, presiden Kelab Graduan Prihatin adalah Shahrul Azuwar Abdul Aziz.
Pada Disember lalu, Harian Metro melaporkan bahawa Shahrul Azuwar penerima darjah kebesaran Melaka disenaraikan sebagai pengarah kewangan UMNO dan akauntan BN.
Mengapa ia penting?
Menurut pihak pendakwa raya, polis mendapati bahawa akaun UMNO yang disebutkan itu tidak diaudit dan wang tersebut dipercayai tidak pernah dicatat dalam penyata kewangan tahunan UMNO.
GAMBAR HIASAN
“Sumbangan politik yang tidak diaudit secara tunai juga melanggar Seksyen 14 (1) (d) dan (db) Akta Pertubuhan 1966,” kata pihak pendakwa raya.
Seksyen 14 (1) (d) mensyaratkan bahawa mana-mana pertubuhan yang mendaftar dengan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS) perlu menyediakan penyata akaun tahun kewangan sebelumnya, bersama dengan imbangan duga yang menunjukkan kedudukan kewangan pertubuhan pada akhir tahun kewangan.
Penyata ini mesti diserahkan dalam masa 60 hari selepas mesyuarat agung tahunan diadakan.
Seksyen 14 (1) (db) juga menghendaki bahawa pertubuhan juga perlu mengisytiharkan wang yang diterima dari mana-mana orang, organisasi, pihak berkuasa, kerajaan, atau agensi dari luar Malaysia.
ROS diberi kuasa untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan yang dengan sengaja melanggar sebarang undang-undang di bawah Akta Pertubuhan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANWAR RUJUK SEMAKAN KEHAKIMAN KE MAHKAMAH PERSEKUTUAN
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung semakan kehakimannya terhadap keputusan kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat.
Persoalan dikemukakan untuk dipertimbang Mahkamah Tinggi bagi dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada keputusan menasihati dan/atau nasihat yang diberikan Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah klausa penggulingan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan kedua ialah sama ada keputusan untuk memberi nasihat dan/atau nasihat yang diberikan Kabinet yang diketuai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen, boleh disemak semula oleh mahkamah, lapor Bernama.
GAMBAR HIASAN
Anwar juga mahu mahkamah memutuskan sama ada Seksyen 39(2) Akta Malaysia 1963, Seksyen 15(d) Akta Perlembagaan (Pindaan) 1981 dan Perkara 150 (6) serta 8) Perlembagaan Persekutuan tidak konsisten dan/atau bertentangan dengan Perkara 4, 5, 8 dan 121 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut memohon mahkamah memutuskan sama ada bidang kuasa mahkamah termasuk kuasa menyemak semula prosedur, dapat dihalang sepenuhnya oleh perundangan.
Peguam Anwar, Ramkarpal Singh berkata, mengambil kira kesegeraan isu itu, khususnya disebabkan Parlimen kini digantung, beliau turut memfailkan perakuan kesegeraan untuk isu itu didengar secepat mungkin.
“Saya berpendapat persoalan berbangkit itu harus diputuskan Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 25 Januari lalu, menamakan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden.
Ketua Pembangkang berusia 74 tahun itu memohon perisytiharan bahawa keputusan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat yang menyebabkan penggantungan Parlimen, sebagai bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak efektif.
Beliau turut memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden untuk memberikan nasihat yang berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan mengapa tiada desakan daripada ahli parlimen PAS berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang dikenali sebagai RUU355.
Jelasnya, meskipun sudah setahun menjadi kerajaan, masih tiada kertas kabinet dibentangkan berhubung pelaksanaan pindaan akta tersebut.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
“Setahun sudah menjadi kerajaan. Tiada kertas kabinet untuk melaksanakan RUU355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang.
“Tiada dibentang dalam kabinet bermaksud tiada juga dibentang dalam Parlimen.
“Tiada desakan sekelumit pun di Parlimen oleh 18 ahli-ahli parlimen parti Islam termasuk Marang (Abdul Hadi Awang),” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini, lapor Malaysiakini.
RUU355 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS Abdul Hadi, sebagai RUU persendirian.
Perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentang pada November 2016 dan April 2017.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Setakat ini, RUU355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.
Bagaimanapun, pada 26 November tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata RUU tersebut akan dibincangkan di peringkat negeri pada awal tahun ini.
Sementara itu, Saifuddin yang juga anggota parlimen Kulim Bandar Baharu secara sinis menyatakan majoriti ahli kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini adalah Melayu Islam.
“Hari ini sebuah kerajaan Melayu Islam terbentuk(abaikan walaupun jalan khianat). menteri agama (adalah) bekas mufti, menteri undang-undang pula dari parti Islam.
“Majoriti ahli kabinet Melayu Islam .. tolak We Ka Siong, Saravanan, Ronald Kiandee. Peguam negara bukan lagi Tommy Thomas tetapi Idris Harun iaitu seorang Muslim.
“Kuasa politik di tangan kerajaan Melayu Islam,” sindirnya lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEMBANGKANG NAFI TERIMA PERUNTUKAN DARIPADA KERAJAAN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang menafikan mereka menerima peruntukan RM100,000 daripada kerajaan pusat.
Perkembangan itu hadir selepas Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata dia dan beberapa ahli parlimen UMNO lain hanya mendapat peruntukan RM100,000, yang menurutnya sama seperti diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.
Pada masa sama, Zahid mendakwa ahli parlimen kerajaan lain dalam Perikatan Nasional (PN) mendapat peruntukan RM3.7 juta seorang.
Susulan itu, beberapa ahli parlimen pembangkang tampil mengulas kenyataan Zahid dan mendakwa situasi mereka lebih buruk daripada Zahid.
AHLI PARLIMEN SEGAMBUT, HANNAH YEOH (KIRI) MEMAKLUMKAN KERAJAAN PERSEKUTUAN TIDAK MEMBERIKAN SEBARANG PERUNTUKAN UNTUK AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG/GAMBAR IHSAN FACEBOOK HANNAH YEOH
“Mana ada ahli parlimen pembangkang dapat RM100,000? Saya ahli parlimen Segambut satu sen pun tak dapat tahun ini,” kata Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Begitu juga, Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin juga mengatakan belum ada berita bahawa Ahli Parlimen pembangkang akan mendapat peruntukan sama sekali untuk kawasan mereka.
“Saya terpanggil untuk membetulkan fakta. Kami ahli parlimen pembangkang setakat ini tak dapat apa-apa peruntukan dan tidak dihubungi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri,” katanya, lapor Malaysiakini.
Bagaimanapun, Cha menambah bahawa dia terkejut apabila mendapat tahu Zahid, sebagai penyokong kerajaan, hanya mendapat peruntukan RM100,000.
“Saya sendiri terkejut dengan pendedahan ini, kenapa hanya RM100,000 untuk, macam ni ke layanan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap Zahid?” soalnya.
Semalam, dalam satu wawancara, Zahid secara sinis mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Muhyiddin kerana hanya diberi peruntukan kawasan parlimen RM100,000.
GAMBAR HIASAN
“Setakat ini saya terima peruntukan sebanyak RM100,000 setahun untuk tahun 2021. Ahli parlimen kerajaan yang lain dapat RM3.7 juta.
“Alhamdulilah saya dapat RM100,000. Cukuplah untuk Bagan Datuk rasanya. (Peruntukan) itu bahagian yang paling mundur di Perak setakat ini apabila dapat RM100,000 setahun.
“Saya ucapkan terima kasih atas peruntukan yang diberikan itu,” katanya dalam wawancara di NR Channel TV, semalam.
Zahid mengingatkan bahawa dia dan ahli parlimen UMNO yang lain menyokong Belanjawan 2021 ketika dibentangkan di parlimen untuk memastikan ia diluluskan.
Justeru, mereka sewajarnya diberi peruntukan yang sama dengan ahli parlimen kerajaan yang lain.
“Ini adalah peruntukan yang diberikan kepada ahli parlimen Bagan Datuk, Pontian (Ahmad Maslan), Pekan (Najib Razak), Padang Rengas (Nazri Abdul Aziz) dan Machang (Ahmad Jazlan Yaakub).
“Mudah-mudahan terbukalah hati sesiapa yang membuat keputusan itu untuk memberi peruntukan sama dengan mana-mana ahli parlimen (kerajaan) yang telah mengundi supaya Belanjawan 2021.
“Kami sokong Belanjawan 2021 tiga kali, di peringkat dasar jawatankuasa, dan peringkat bacaan ketiga.
“Tetapi hadiah yang kami dapat, alhamdulilah peruntukan yang kami dapat RM100,000 setahun.
“Terima kasihlah, bersyukur, alhamdullilah,” katanya lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: UMNO terbuka untuk mempertandingkan semua jawatan dalam parti itu, termasuk jawatan presiden yang kini disandang Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kata Ahmad Zahid, UMNO pernah menyaksikan dua jawatan tertinggi parti sebelum ini tidak ditandingi di bawah kepemimpinan Najib Razak.
Oleh itu, dia mahu menterjemahkan bahawa selaku presiden bahawa parti terus mengamalkan demokrasi dalam memilih barisan kepemimpinan.
PRESIDEN UMNO, AHMAD ZAHID HAMIDI
“Ketika saya mengambil alih dengan menjalankan tugas presiden, perkara itu dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) dan saya putuskan bahawa jawatan presiden, timbalan dan naib presiden serta semua jawatan terbuka untuk ditandingi.
“Saya mesti terus terjemahkan bahawa saya adalah seorang yang (mengamalkan) demokrasi dan disebabkan itu, pada pemilihan 2018, jawatan presiden ditandingi tiga orang.
“Kali ini, kalau tujuh orang nak bertanding pun (jawatan presiden), lebih ramai lebih baik,” katanya dipetik BH Online.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam program temu bual Terus Terang yang disiarkan secara langsung melalui Facebook NRchanneltv. net semalam.
Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada awalnya dijadualkan selama dua hari bermula 30 Januari lalu, namun ditangguhkan selaras proklamasi darurat dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan berkata kaedah pelaksanaan perhimpunan yang lazimnya diadakan secara besar-besaran itu akan dimaklumkan kemudian seiring perubahan berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan tetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO yang bakal diadakan kelak.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Semua jawatan dalam UMNO termasuk presiden terbuka untuk ditandingi pada pemilihan parti itu tahun ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau mahu menterjemahkan bahawa beliau dan parti terus mengamalkan demokrasi dalam memilih barisan kepemimpinan.
Katanya, UMNO pernah menyaksikan dua jawatan tertinggi parti sebelum ini tidak ditandingi di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.
GAMBAR HIASAN
“Ketika saya mengambil alih dengan menjalankan tugas presiden, perkara itu dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) dan saya putuskan bahawa jawatan presiden, timbalan dan naib presiden serta semua jawatan terbuka untuk ditandingi, lapor BH Online.
“Saya mesti terus terjemahkan bahawa saya adalah seorang yang demokrasi dan disebabkan itu, pada pemilihan 2018, jawatan presiden ditandingi tiga orang,” katanya.
“Kali ini, kalau tujuh orang nak bertanding pun (jawatan presiden), lebih ramai lebih baik,” katanya dalam program temubual “Terus Terang” yang disiarkan secara langsung melalui Facebook NRchanneltv.net.
Menjawab soalan mengenai beliau diasak untuk meletak jawatan, Ahmad Zahid berkata, beliau ialah presiden yang dipilih secara demokratik dan ia perlu dihormati.
Ahad lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata Perhimpunan Agung UMNO 2020 akan diteruskan secara maya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuat kuasa.
Beliau dilaporkan berkata, kaedah pelaksanaan perhimpunan yang lazimnya diadakan secara besar-besaran itu akan dimaklumkan kemudian seiring perubahan berikutan pandemik COVID-19.
Mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan tetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO bakal diadakan.
GAMBAR HIASAN
Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada awalnya dijadualkan selama dua hari bermula 30 Januari lalu tetapi ditangguhkan selaras proklamasi darurat dan pelaksanaan PKP.
Sementara itu, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan DAP dan dakwaan jajaran baharu yang didakwa membabitkan DAP itu hanyalah berdasarkan perjanjian keyakinan dan penawaran (CSA), susulan sokongan yang diberikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak termasuk daripada DAP kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohammad daripada UMNO.
Katanya, CSA itu membolehkan semua ADUN sama ada daripada kerajaan atau pembangkang di negeri itu mendapat peruntukan yang sama rata dan bukan bermakna UMNO bekerjasama dengan DAP.
Ditanya sama ada beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menerima peruntukan yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan, Ahmad Zahid berkata, beliau setakat ini menerima peruntukan RM100,000 bagi tahun ini, manakala Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan RM3.7 juta.
GAMBAR HIASAN
Katanya, jumlah peruntukan yang sama dengan pembangkang itu turut diterima beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO yang lain termasuk Najib (Pekan) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).
“Mudah-mudahan terbukalah hati kepada sesiapa yang membuat keputusan untuk memberi peruntukan sama dengan mana-mana Ahli Parlimen yang mengundi (menyokong) Belanjawan 2021,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim menanyakan tahap kefahaman bahasa Melayu Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin ekoran tindakan pihak berkuasa menyiasat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana didakwa menghasut dan mengancam ketenteraman dalam negara.
“Tak faham bahasakah? Memohon, merayu itu maksudnya meminta ihsan kebijaksanaan tuanku untuk, adakah itu berbunyi desakan?”
Anwar juga bertanya sama ada setiausaha agung BERSATU itu ada membaca surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dia memberikan kenyataan umum.
“Pak menteri, bacalah kenyataan kita dan surat kita kepada Agong. Apa yang (kami) sebut? Merayu, memohon ihsan dan kebijaksanaan baginda.
“Tak faham bahasakah? Memohon, merayu itu maksudnya meminta ihsan kebijaksanaan tuanku untuk menimbang. Adakah itu berbunyi desakan?
“Apakah rakyat biasa, rakyat tukang cuci, barisan hadapan tidak boleh merayu kepada Agong supaya baginda mempengaruhi dan memperbaiki keadaan semasa adalah hal-hal yang kita tak setuju?” katanya pada kiriman video di Facebooknya, lapor Malaysiakini.
GAMBAR HIASAN
Ahli parlimen Port Dickson itu berkata demikian sebagai mengulas reaksi kerajaan terhadap usaha dibuatnya untuk memohon memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan menggantung parlimen dalam tempoh darurat.
Antara lain Anwar memohon deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat Muhyiddin Yassin kepada Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.
Satu daripada alasan Anwar berbuat demikian ialah keadaan semasa Muhyiddin sebagai perdana menteri dipertikaikan apabila presiden Bersatu itu tidak lagi mendapat dukungan majoriti ahli parlimen.
Selain Anwar beberapa pihak lain turut mengemukakan permohonan ke mahkamah berhubung isu berkenaan.
Kata Anwar adakah kerajaan beranggapan rakyat akan mesti menyokong apa saja tindakan mereka sewaktu darurat berlangsung.
Menurutnya apa yang dibantah itu adalah keputusan perdana menteri dan kerajaan.
“Kedua, harus diingat bahawa yang bersetuju (dengan tindakan mahkamah tersebut) ada 114 orang ahli parlimen, dan mungkin 115.
“Maknanya ada majoriti ahli parlimen yang membuktikan PN (Perikatan Nasional) sudah hilang majoriti,” katanya.
Sepatutnya kata Anwar kerajaan tidak menggunakan ugutan apabila ada rakyat yang memohon kepada Agong untuk membuat pertimbangan mengenai keadaan semasa.
Katanya mengemukakan permohonan ke mahkamah – seperti yang dilakukan beberapa ahli politik dan Bersih – tidak bercanggah dengan undang-undang.
“Saya harap pimpinan (kerajaan) jangan guna ugutan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERMOHONAN PEJUANG & MUDA DITOLAK KERANA FAKTOR TEKNIKAL
PUTRAJAYA: Permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ditolak berikutan kegagalannya mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), berkaitan dengan perlembagaan parti.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata antaranya intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti yang tidak teratur serta tidak spesifik.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan dalam perlembagaan parti yang disertakan menerusi permohonan MUDA ialah tidak menyatakan had usia maksimum ahli parti, memetik laporan BH Online.
Katanya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya membaca terlebih dahulu permohonan pendaftaran partinya sebelum menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (RoS) dan menteri atas kegagalan mendaftarkan MUDA.
GAMBAR IHSAN MALAYSIAKINI
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan usia mengundi seawal 19 tahun tetapi dia letak keahlian minimum 16 tahun.
“Selain itu, tiada had usia maksimum ditetapkan, jadi kalau berusia 41 tahun adakah masih menjadi ahli,” katanya pada satu sidang media khas mengenai penolakan permohonan pendaftaran MUDA dan PEJUANG hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERSOALAN tender, tender terpilih dan tender terbuka dalam kontrak kerajaan sering mendapat perhatian terutama pada musim pilihan raya.
Ia adalah detik bagi setiap pemimpin semua parti cuba meraih sokongan atau mahu menampilkan diri mereka sebagai juara yang benar-benar bersih dan telus.
Rakyat didendangkan dengan lagu sama selepas sesuatu puak berjaya meraih kuasa, tender atau projek tertentu dan terpaksa disemak semula atas pelbagai alasan. Perkara utama yang ingin diketengahkan ialah kononnya supaya proses berkenaan lebih telus.
GAMBAR HIASAN
Apa yang rakyat tidak sedar ialah betapa – apabila mendapat kuasa – ada pelbagai kaedah licik boleh dilakukan atas nama pemberian kontrak secara tender atau tender terbuka bagi agenda diri dan parti.
Proses tender bukan sesuatu yang kompleks untuk difahami. Ringkasnya ia adalah urusan membabitkan pihak yang ingin merebut projek yang mengemukakan dalil masing-masing untuk membuktikan mereka paling layak melaksanakan sesuatu kerja yang ditawarkan kerajaan.
Di pihak kerajaan pula, ia menjadi peluang terbaik untuk mereka memilih pihak yang benar-benar layak melaksana atau membekalkan perkhidmatan, barangan, melaksana penyelenggaraan atau pembinaan.
Syarikat yang ingin membuatkan bidaan perlu mematuhi segala syarat yang ditetapkan termasuk pendaftaran, kepala bidang, skop kerja, memiliki pasukan pekerja yang bertauliah, pengalaman dan kejayaan melaksana projek, keampuhan modal syarikat menurut nilai tender dan aspek berkaitan lain.
ADA TENDER SECARA MENGEJUT
Pembida tender juga perlu mengemukakan tawaran melaksana sesuatu projek pada harga terbaik bersama bukti mereka ada pembekal terbaik untuk memastikan projek mampu dilaksanakan.
Sementara itu tugas panel tender pula adalah memilih syarikat terbaik yang – menurut pandangan dan penilaian mereka – mampu melaksanakan projek pada harga terbaik sejajar dengan jumlah peruntukan.
GAMBAR HIASAN
Adakala syarikat yang menawarkan harga lebih tinggi daripada anggaran peruntukan masih berpeluang merebut projek jika didapati hanya syarikat berkenaan yang dirasakan benar-benar layak berbanding syarikat lain.
Namun kebiasaannya syarikat yang dipilih menawarkan harga lebih rendah daripada anggaran projek meskipun secara relatifnya seringgit atau seratus lebih murah sudah dianggap di bawah bajet.
Tender biasanya dikeluarkan kementerian yang berkenaan apabila sesuatu perancangan diluluskan menerusi belanjawan Parlimen dan ada ketikanya dikeluarkan secara mengejut terutama membabitkan aspek darurat atau bencana.
Ada suatu bahagian atau unit di kementerian mengawal selia tugasan mengelola tender termasuk aspek apakah skop kerja, anggaran peruntukan, syarat yang perlu dipenuhi syarikat yang memasuki tender dan sebagainya.
Malah ramai kontraktor secara berseloroh menyatakan, antara kabel yang paling bagus ialah pegawai yang merangka tender kerana mereka lebih arif mengenai segala aspek dan keperluan berkaitan.
Penender berpengalaman dan yang memiliki maklumat peruntukan sering dianggap mempunyai kelebihan.
Bagi puak yang berjaya merebut kuasa pula, urusan pembangunan, perkhidmatan dan perbekalan bukan saja penting untuk kemajuan negara sejajar dengan manifesto masing-masing, tetapi juga memberi talian hayat kepada kelangsungan politik.
Sebelum menang pilihan raya, seseorang calon – terutama daripada kalangan parti miskin – amat bergantung harap kepada bantuan kewangan pihak lain dan ia dihalalkan menerusi istilah dana politik.
Ada parti mengedar tabung setiap kali ceramah dan banyak juga yang berganding bahu dengan usahawan, kontraktor atau peniaga untuk mengisi keperluan dana.
DAPAT TENDER MENGEJUTKAN
Begitu juga dengan bantuan penyokong tegar yang bermati-matian dan acap kali lebih fanatik berbanding calon sendiri.
Oleh itu kaedah perlu dicari. Umpama menarik rambut dari tepung; rambut jangan putus, tepung usah berselerak.
Pihak yang memegang kuasa perlu membalas jasa baik orang yang mengangkatnya. Dalam konteks ini, orang itu ialah pengundi, penderma atau parti diwakili.
Justeru tidak hairanlah isu kronisme timbul.
GAMBAR HIASAN
Di sebalik hakikat tender pula, muncul apa yang dikatakan sebagai proses memilih siapa yang perlu dianugerahkan.
Kita sering mendengar ada syarikat yang misalnya diketahui umum hanya pandai membancuh air tetapi tiba-tiba memperoleh tender projek pembinaan mega. Atau pengilang skru tiba-tiba mendapat tender hospital.
Ia berlaku ketika bidang asal syarikat tersebut terlalu jauh daripada skop tugasan tender yang diperlukan kerajaan (terima kasih pendaftar syarikat yang membenarkan sesuatu nama syarikat menyenaraikan puluhan kepala bidang).
Rakyat dan usahawan tertanya-tanya mengapa ia berlaku. Penender yang berjaya membuat bidaan dan terpilih akan berhujah bahawa mereka dikurniakan tender menerusi proses terbuka.
Bagaimana ia berlaku? Bagaimana mahu mengelat mengelirukan rakyat marhaen bahawa penguasa nampak amat telus lagi suci tetapi pada masa sama kroni masih terjaga, penyokong dan parti gembira.
Pertama, sistem yang ada membolehkan pemegang kuasa memberi arahan, menaikkan pangkat atau menukar pegawai. Istilah pengasingan kuasa di antara parlimen, perundangan dan eksekutif di negara ini seakan kabur.
Maka biasanya apabila sesuatu penguasa dipilih, pasti juga berlaku rombakan di peringkat kementerian atau agensi penguat kuasa dan keselamatan.
Kedua, penguasa juga menjadi penentu akhir sesuatu projek mega dan dana diluluskan untuk membolehkan sesuatu kerja dilaksanakan. Oleh itu, bagi memastikan orang atau syarikat pilihan boleh merebut tender, wahyu boleh disampaikan, surat sokongan boleh digunakan.
Apakah tidak mungkin pegawai diarah menukar syarat tender senyap-senyap supaya hanya syarikat tertentu sahaja yang dianggap memenuhi piawaian tender?
Malah mungkin juga dengan cara maklumat tender dibocorkan, pengenalan kepala bidang skop kerja baru dibuat secara mengejut, dan tawaran tender dibuka untuk tempoh terlalu singkat. Macam-macam kaedah teknikal boleh dilakukan.
PELAKSANA AGENDA NEGARA
Ada juga rungutan – dokumen tender tiba-tiba menjadi tidak lengkap sedangkan nama syarikat sudah tersenarai untuk penilaian akhir lembaga tender.
Ketika semakin kuat rungutan tender tidak adil atau aduan projek dibolot kartel dan kroni tertentu, pegawai antirasuah dikerah untuk menggambarkan keadaan sudah berubah.
Hakikatnya sebahagian besar kontraktor, peniaga dan pembekal semakin lantang bersuara bahawa mustahil untuk mengelak rasuah jika mahu terus mendapat projek, baik wang dihulur sebelum sesuatu calon duduk di pentas pilihan raya lagi, atau diberikan ketika projek berjalan bagi membolehkan penguasa melunaskan hutang budi.
GAMBAR HIASAN
Bagaimana dengan projek rundingan terus? Tender yang kelihatan sulit pun mudah dipermain, apatah lagi dengan rundingan terus. Apakah isu ini memang tidak akan ada kesudahan?
Kelompangan perundangan dan sistem – selain kebejatan akal budi di setiap sanubari – perlu diperbetul kerana dibimbangi isu ini akan mengakibatkan rasuah dan kronisme terus-terusan membarah.
Diharapkan akan wujud kesedaran di semua lapisan – baik di perkhidmatan awam, golongan eksekutif atau rakyat – bagi membendung perkara ini. Rakyat kini bergantung kepada penjawat awam. Ia kerana mereka adalah pelaksana dan harapan terakhir membantu Yang di-Pertuan Agong menerajui negara.
Mereka juga perlu belajar daripada kesilapan lalu, bahawa mereka sering menjadi kambing hitam apabila badan rasuah bertindak.
Covid-19 juga sepatutnya mengajar penjawat awam bahawa mereka perlu waras dan tidak akur kepada tuntutan penguasa politik.
artikel asal boleh dibaca di laman portal Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO akan diteruskan secara maya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuat kuasa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kaedah pelaksanaan perhimpunan yang lazimnya diadakan secara besar-besaran itu akan dimaklumkan kemudian seiring perubahan berikutan pandemik COVID-19.
“Mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan tetapkan bila Perhimpunan Agung UMNO bakal diadakan.
“Jika PKP dan darurat masih ada, kami akan buat juga secara maya.
“UMNO akan terus mara untuk rakyat Malaysia walau sebesar mana pun cabaran. Perjuangan tetap kita teruskan,” katanya menerusi kenyataan di Twitter @ahmadmaslan hari ini.
GAMBAR HIASAN
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 12 Januari lalu memberi perkenan proklamasi darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.
Susulan itu, Ahmad pada 18 Januari lalu dilaporkan berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan berlangsung semalam dan hari ini ditangguhkan selaras proklamasi darurat dan pelaksanaan PKP.
Tarikh baharu perhimpunan itu akan dimaklumkan kelak, malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan bersetuju supaya pemilihan parti diteruskan di semua peringkat seperti yang dijadualkan pada tarikh bersesuaian pada tahun ini.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, pada 7 Januari lalu dilaporkan berkata, MKT mengambil keputusan supaya usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sambil mempertahankan kerjasama dengan PAS akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO.
Langkah itu bagi membolehkan usul berkenaan diperhalusi dan diputuskan di peringkat tertinggi parti, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO, lapor BH Online.
Selain dua usul tergempar itu, mesyuarat peringkat bahagian UMNO mengusulkan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini, bagi membolehkan mandat baharu dikembalikan kepada rakyat, tertakluk situasi COVID-19.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!