Ismail Sabri tak boleh jadi PM tanpa sokongan PAS
Calon Perikatan Nasional (PN) parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib mengingatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) tanpa sokongan PAS Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin dapat jawatan perdana menteri.
Ismail berkata, sebarang tindakan dan keputusan Umno dan BN selepas menolak penubuhan kerajaan bersama Bersatu dan PAS sebelum ini adalah sesuatu yang sangat dikesali.
“Semasa kita dalam proses penubuhan parti ataupun kerajaan di bawah tiga parti ini (Umno, PAS dan Bersatu), banyak orang menuduh (dan) mengatakan kita ini ‘enam jahanam’, ’12 jahanam’ dan sebagainya.
“Tetapi tujuan kita adalah untuk memberi kekuatan kepada gabungan parti ini sehingga dapat membina kerajaan dan akhirnya kita dapat menobatkan Ismail Sabri daripada Umno sebagai perdana menteri.
“Kalau tidak ada sokongan daripada PAS, kalau tidak ada sokongan daripada Bersatu, Ismail Sabri daripada BN tidak boleh menjadi perdana menteri, dan ini mendapat sokongan daripada kami yang menang dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui media di Maran, malam tadi.
Terdahulu, Ismail bersama calon PN bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak mengadakan pertemuan dengan jentera gabungan parti itu di Felda Sungai Nerek, dekat Maran.
Penyandang kerusi parlimen Maran itu mengulas demikian ketika ditanya mengenai keputusan dia meninggalkan Umno dan menyertai PN dalam pilihan raya umum kali ini.
Ismail bagaimanapun menafikan punca dia memilih bertanding menggunakan tiket PN dalam PRU15 akibat kecewa kerana digugurkan oleh BN Pahang.
“Tidak ada istilah kecewa kerana saya melihat apa yang berlaku dalam parti itu sudah semakin teruk dan sukar untuk diubati lagi.
“Kebanyakan ahli Umno seolah-olah tidak boleh menegur pucuk pimpinan dan kalau berlaku perkara sebegitu, tindakan akan dikenakan,” katanya.
Ismail bagaimanapun mengakui masih mempunyai hubungan baik dengan perdana menteri sementara, Ismail Sabri.
Dia turut berpanjangan kenyataan Ismail Sabri semalam menunjukkan penyandang kerusi parlimen Bera itu kecewa dengan beberapa keputusan dibuat pucuk pimpinan Umno.
“Sebab itu semalam dia menyatakan kekesalan, kecewa dan kesal kerana ramai menteri dan timbalan menteri dia yang ‘winnable’, boleh menang tidak dipilih (sebagai calon).
“Bukan kerana dia tak nak pilih, kerana adanya kuasa lain, presiden parti yang tak nak orang-orang ini (dan) satu kerugian kepada kita,” katanya.
Selain Ismail yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, turut tidak disenaraikan BN dalam PRU15 adalah menteri wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim, menteri komunikasi dan multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan menteri usahawan dan koperasi, Tan Sri Noh Omar.-SAHIH