Foto atas : Ketua Kampung Bantal, Hamdan Ali Jabar Dollah ( kiri ) menerima bantuan makanan kering musim banjir daripada Seri Paduka di pinggir Sungai Tembeling, Ulu Tembeling hari ini.
Agong lepaskan misi bantuan banjir Ulu Tembeling
JERANTUT – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melepaskan misi penghantaran barangan keperluan makanan ke pangkalan hadapan Mukim Ulu Tembeling di Masjid Kampung Kuala Sat hari ini.
Al-Sultan Abdullah menunaikan solat Jumaat di Masjid Kg Kuala Sat bersama rakyat yang turut disertai anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melepaskan misi penghantaran barangan keperluan makanan ke pangkalan hadapan Mukim Ulu Tembeling di Masjid Kampung Kuala Sat hari ini. -Kredit FB Yohanis Ahmad.
Turut serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Mufti Pahang, Datuk Dr. Abdul Rahman Osman.
Selepas selesai solat Jumaat, Seri Paduka Baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada 200 asnaf terdiri dari enam kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Kucing.
Baginda seterusnya menyampaikan bakul makanan bernilai lebih RM814,000 kepada enam Pengerusi Jawatankuasa Pangkalan Mukim Hulu Tembeling. Kampung terlibat ialah Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Pagi, Kampung Gusai, Kampung Mat Darling dan Kampung Orang Asli Sungai Kucing.
Sebelum berangkat pulang, baginda berkenan melakukan ziarah kasih lima buah rumah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM).
Sumber -KOSMO! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Majlis Perasmian Pusat Pemindahan Tetap di Kampung Luit, Maran.
Orang ramai patuh arahan semasa dilanda banjir
MARAN : Menteri Besar Pahang mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sekiranya kawasan kediaman masing-masing diancam banjir.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri turut bersiap sedia dengan semua agensi kerajaan di kawasan yang berisiko tinggi bakal berlaku banjir kerana Monsun Timur Laut (MTL) akan berlaku dan telah melanda kawasan – kawasan pantai timur.
“Saya nasihatkan orang ramai dan penduduk yang terkena bencana ini peka dan ikut arahan pihak berkuasa, sekiranya diarahkan pindah, pindahlah segera demi keselamatan nyawa sekeluarga.
“Ikutlah pindah ke tempat Pusat Pemindahan Tetap (PPT) dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang ditetapkan,” katanya.
Wan Rosdy berkata, pernah berlaku mangsa yang ditempatkan di PPS balik ke rumah dan ini boleh mengancam nyawa mereka sendiri sama ada dihanyutkan arus deras atau terkena rencatan elektrik.
“Biarlah harta benda di rumah rosak, kalau rosak boleh diganti tapi kalau nyawa melayang tiada galang gantinya,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pusat Pemindahan Tetap (PPT) Pertama di Malaysia di PPT Kampung Luit, Maran, semalam.
Katanya, kerajaan Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM31 juta bagi pembinaan Pusat Pemindahan Tetap (PPT) yang pertama di Malaysia di lima daerah di negeri ini seperti di Maran, Lipis, Kuantan, Pekan dan Temerloh.
“Peruntukan ini merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memberikan keselesaan kepada mangsa banjir kerana rumah mereka telah ditimpa bencana banjir.
“Setiap kali berlaku bencana banjir di negeri ini pada setiap hujung tahun, sekolah, dewan orang ramai, balai raya, masjid dan bangunan yang tidak terlibat daripada banjir dijadikan tempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Ulu Luit, Peah Mamat, 73, berkata, dia amat gembira dengan pembukaan PPT kerana tempat itu selesaan serta mudah untuk menguruskan keluarga ketika banjir.
“Boleh dikatakan setiap tahun ketika banjir, mak cik berpindah ke masjid yang dijadikan PPS dan tidak selesa memandangkan terpaksa menjaga kebajikan seorang anak Orang Kurang Upaya berusia 38 tahun.
“PPT yang terletak berdekatan masjid kampung ini cukup selesa dengan dipantau oleh pelbagai agensi kerajaan yang menyumbangkan makanan, rawatan kesihatan dan kemudahan untuk kanak-kanak,” katanya.
Jirannya, Normah Ismail, 42, pula teruja kerana disediakan tempat pemindahan yang tetap ketika banjir yang dipantau oleh semua agensi kerajaan.
“PPT juga memberikan kemudahan kebajikan khususnya warga emas yang uzur, manakala kanak-kanak disediakan peralatan pembelajaran dan permainan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy kerana amat prihatin dengan kebajikan penduduk yang ditimpa bencana banjir dengan kemudahan di PPT,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Patuhi konsep 5B makan ubat! Program Kenali Ubat Anda! Beri penerangan amalan terbaik ambil ubat!
ANDA kena sentiasa ingat, ketika berhajat mengambil ubat-ubatan pastikan amalkan konsep 5B iaitu memastikan pesakit yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara pengambilan yang betul dan masa yang betul.
Dalam apa jua keadaan sekali pun selepas menerima rawatan daripada pegawai perubatan amalan konsep 5B perlu menjadi pedoman atau panduan apabila terpaksa bergantung kepada ubat untuk membantu penyembuhan sesuatu penyakit.
Kakitangan Jabatan Farmasi Hospital Ampang menemu bual warga emas mengenai pengambilan ubat.
Duta Program Kenali Ubat Anda, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Profesor Amiruddin Ahmad, berkata saranan dalam konsep 5B itu wajar dititikberatkan masyarakat tanpa mengira usia apabila perlu melalui fasa penyembuhan sesuatu penyakit yang dihidapi.
Menurutnya, sehubungan dengan itu program berkenaan dibentuk bagi memberi bimbingan, pengetahuan dan panduan kepada masyarakat langkah yang perlu dilakukan apabila
Sebagai duta yang dilantik, Profesor Amiruddin aktif secara sukarela untuk membantu masyarakat dalam memberikan didikan serta penerangan yang sejelas mungkin mengenai penggunaan ubat secara betul dan menepati peraturan dalam penyembuhan penyakit.
Profesor Amiruddin Ahmad (berbaju warna putih) melihat kakitangan Jabatan Farmasi Hospital Ampang, Selangor memberi penerangan kepada seorang warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor dalam Program Kenali Ubat Anda, baru-baru ini.
Katanya, perkara itu amat perlu diberi perhatian kepada sesiapa sahaja yang terpaksa makan bermacam-macam ubat supaya penyakit yang dihidapi dapat disembuhkan dengan sempurna tanpa meninggalkan sebarang kesan sampingan.
“Dalam konsep 5B ini masyarakat diberikan penjelasan serta panduan untuk diikuti dengan penuh berdisiplin supaya ubat berkesan kepada penggunanya selain akur kepada penerangan dan nasihat pegawai perubatan yang mereka temui,” ujarnya yang ditemui dalam program berkenaan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Pada program itu, Profesor Amiruddin yang sebelum ini bertugas sebagai pensyarah di Kolej Intitut Jantung Negara (IJN) bersama tujuh kakitangan Jabatan Farmasi Hospital Ampang, Selangor mengadakan sesi bimbangan, penerangan dan temu bual dengan petugas serta warga emas PJMM mengenai konsep 5B.
Beliau berkata, program turun padang itu juga secara tidak langsung meningkatkan kefahaman kakitangan farmasi terbabit mengenai permasalahan khusus warga emas mengenai pengambilan ubat yang perlu dipatuhi.
Profesor Amiruddin menemu bual dan memberi nasihat kepada seorang warga emas mengenai pentingnya mengambil ubat dengan cara yang betul.
Menurutnya, perkara itu penting dan memberi banyak manfaat kepada mereka apabila dapat mengetahui serta memahami masalah yang dihadapi warga emas apabila terpaksa bergantung kepada ubat untuk memulih kesejahteraan kesihatan.
“Sesi temu bual dengan warga emas terbabit akan memberi pendedahan mengenai kesan ubat yang digunakan dan kesempatan ini mereka berpeluang mengutarakan nasihat perlu dilakukan supaya pengambilan ubat tidak terhenti begitu sahaja,” ujarnya.
Profesor Amiruddin berkata, sebagai duta dia turut mengadakan program bulanan itu membabitkan di lokasi komuniti masyarakat dan juga sekolah apabila ada jemputan dibuat terutama membabitkan pendedahan serta penerangan konsep 5B yang amat berguna kepada generasi muda pada peringkat sekolah.
Menurutnya, di samping itu dia bersama pasukan kakitangan farmasi terbabit akan mengunjungi atau melawat pesakit di rumah memberi nasihat mengenai cara pengambilan ubat yang betul dalam ikhtiar menyembuhkan penyakit dihadapi dengan berkesan.
“Kunjungan pesakit di rumah terpaksa dilakukan apabila mereka ini tidak dapat hadir ke hospital untuk mendapatkan bekalan ubat dan sebagainya kerana masalah kesihatan terutama sukar untuk bergerak kerana keuzuran.
“Kita akan ke rumah mereka memberi bimbingan serta motivasi betapa pentingnya ubat-ubatan yang perlu diambil selain mengenal pasti kesukaran untuk ke hospital bagi meneruskan mendapatkan bekalan ubat seperti mana ditetapkan oleh pegawai perubatan,” katanya lagi. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WCE : Seksyen 6 dibuka dari Bukit Raja ke Assam Jawa
Berita baik untuk rakyat Malaysia! Tol percuma selama sebulan bagi pengguna Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), bermula 21 November hingga 2 Januari 2024, dari jam 12.01 pagi.
Datuk Sri Alexander Nanta Linggi , Menteri Kerja Raya, mengumumkan pengecualian tol untuk Seksyen 6 Lebuhraya WCE, dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa.
Tol percuma ini berkuatkuasa selama 43 hari hingga 2 Januari 2023, jam 11.59 malam, dan terbuka untuk pengguna yang memasuki atau keluar dari Seksyen 6 Lebuhraya WCE.
Selain itu, sepanjang 21.8 kilometer ini dijangka dibuka penuh pada Selasa, jam 12.01 malam, menghubungkan lebuh raya dari Kapar ke Assam Jawa, Selangor.
Pengguna boleh menjangkau destinasi menarik seperti Bandar Warisan Batu Arang, Bukit Malawati, Sky Mirror, dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan dengan lebih mudah.
Selain itu, pengurangan masa perjalanan dari Kapar ke Assam Jawa, dari 45 minit kepada 15 minit, diharapkan memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pengguna lebuh raya.
Pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 dijangka memberi impak positif terhadap industri pelancongan tempatan dan memberi peluang baru untuk perniagaan tempatan.
Lebuh raya ini juga memberi manfaat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mempunyai sambungan terus dengan Lebuhraya LATAR, memperkukuh kesalinghubungan dalam rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna.
Empat seksyen pertama Lebuhraya WCE telah dibuka sebelum ini pada 2019, merangkumi tiga seksyen di Perak dan satu seksyen di Selangor.
Sumber : NEXTSTEP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Doa rakan rakan Datuk Seri Ismail Muttalib semakin stabil di IJN
MARAN: Penduduk Daerah Maran bersyukur Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) sejak 6 November lepas dilaporkan semakin stabil.
Isteri beliau, Datin Seri Fatimah Kasim berkata, Ahli Parlimen Maran mengadu tidak sihat ketika berada di ruang lobi Parlimen bagi menghadiri persidangan Parlimen.
Beliau seterusnya dibawa membuat rawatan kesihatan di Institut Jantung Negara ( IJN) dan ditahan untuk rawatan lanjut di wad biasa.
Tambahnya, beliau seterusnya dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari ( CCU) untuk mendapat rawatan intensif berkaitan masalah berkaitan pernafasan pada Ahad lepas.
” Alhamdulillah..Datuk Seri tak ada masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis.
” Semua clear cuma batuk- batuk dan demam tak menentu sekarang masuk antibiotik di CCU supaya dia tak bergerak.
Bagaimanapun dilaporkan kesihatan Ahli Parlimen Maran semakin baik dijangka keluar CCU petang ini atau esok.
Menurut Fatimah, suami saya tiada rekod masalah jantung dan kemungkinan komplikasi pernafasan kerana terlalu letih berkhidmat kepada rakyat.
Turut hadir ziarah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Jerantut dan Ahli Parlimen Kuala Krau..
Beliau berharap rakyat khususnya di Maran berdoa agar wakil rakyat mereka dilindungi Allah SWT dan sembuh segera untuk terus berkhidmat kepada rakyat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Individu tidak dikenali buang bahan bahaya ke dalam Tasik Teratai.
JERANTUT – Tasik Pusat Riadah Taman Teratai yang menjadi tumpuan orang awam untuk beriadah setiap pagi dan petang telah dicemari bahan dipercayai bahan asid yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggungjawab, dekat sini, petang semalam.
Timbalan Pengerusi, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Teratai, Hairul Azira Mohd Ghazali berkata, dia menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan jiran setaman kira-kira jam 1.30 petang.
“Saya terus pergi ke tempat kejadian dan melihat keadaan kawasan berumput di tepi tasik dan kawasan permukaan air tasik berdekatan kawasan berumput itu kelihatan berbuih.
“Apabila saya sampai ke kawasan itu, terbau seperti bahan kimia yang agak tidak menyenangkan dan terus menjangka kemungkinan bahan asid atau kimia dibuang ke dalam tasik ini,” katanya.
Katanya, dia terus menghubungi rakan lain untuk memastikan bahan tersebut dan memaklumkan kepada pihak Setiausaha, Majlis Daerah Jerantut.
SAHIH menghubungi pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) berkaitan dengan kejadian itu dan pihak MDJ menghubungi pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran serta beberapa pihak berkaitan.
Katanya, pihak MDJ bimbang bahan merbahaya yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab bakal memberi kesan kepada hidupan di air sekiranya mengalir ke sungai.
“Limpahan air Tasik Teratai itu akan mengalir ke Sungai Pahang yang tidak jauh dari tasik ini dan boleh menjejaskan pengusaha ternakan ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang.
“Pihak kami sedang menunggu pihak berkaitan untuk menyiasat bahan yang dibuang ke dalam tasik itu,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Dua lelaki ditahan disyaki terlibat menggodam kad kredit dan debit digital melibatkan mangsa-mangsa dari negara Timur Tengah.
Lelaki warga tempatan dan warganegara China berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres satu tingkat menerusi Ops Dadu di Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil tangkapan mereka, polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket yang mensasarkan mangsa-mangsa dari Timur Tengah seperti Arab Saudi, Turki, Qatar dan Kuwait.
“mereka meng hack kad kredit drp luar negara dan menggunakan kad kredit tersebut dalam handfon, ade wallet dan daripada situ dia membuat pembelian palsu dan membuat tuntutan daripada card reader daripada merchant bank yang telah diuruskan daripada sini kita tahan ada 14 card reader ni dan dia akan menggunakan card itu untuk membuat pembelian atau yang palsu lah. jadi aktiviti siasatan yang kita jalankan dia berjaya membuat antara 20 ribu ke 30 ribu ringgit sehari.
Bagaimanapun anggaran kerugian yang dialami mangsa-mangsa di negara Timur Tengah masih dalam siasatan pihak polis memandangkan transaksi melibatkan bank di luar negara dan bank di Malaysia.
Polis turut merampas set komputer bagi tujuan menggodam laman sesawang kad kredit dan debit dengan menggunakan server luar negara; 94 buah telefon bimbit bagi menyimpan data kad kredit dan debit di aplikasi wallet ; 14 terminal pembayaran mudah alih bagi mengimbas kad kredit dan debit digital.
Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan disambung hari ini untuk siasatan lanjut.
Mereka juga ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 120 (B) (2) KK.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kompleks pemuliaan al-Quran di Chenor, Maran, Pahang merupakan kompleks terbesar di Pahang
MARAN, Chenor – Kompleks pemuliaan al-Quran di Chenor, Maran, Pahang merupakan kompleks terbesar di Pahang yang mampu melupuskan lebih 500 kilogram Al-Quran dan bahan bercetak mengandungi Ayat al-Quran, dalam satu-satu masa.
Kompleks itu dibina bagi menampung permintaan terhadap aktiviti pelupusan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang semakin bertambah terutama bila bencana banjir dan kejadian kebakaran.
Ia juga dibina memandangkan sebahagian besar daripada 30 tan Al-Quran dan bahan bercetak mengandungi Ayat al-Quran yang dikumpul sejak 2021 masih belum daat dilupuskan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun lalu telah memperuntukkan sebanyak 280 ribu ringgit bagi pembinaan kompleks yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Manakala sebanyak RM 200,000 telah disalurkan kerajaan negeri Pahang pada tahun ini, bagi membeli pelbagai prasarana yang diperlukan antaranya penyediaan rumah tamu, tiga buah kontena bagi menyimpan teks dan abu Al-Quran serta beberapa barangan elektronik.
Pemuliaan al-quran ni maksudnya ada Quran Quran yang sudah tidak boleh dibaca yang rosak ataupun mungkin ada juga yang dikatakan salah cetak maka Jabatan agama terpaksa mengambil tanggungjawab kerana jumlahnya sangat besar, banyak untuk disimpan dalam keadaan selamat.
Selain di Chenor, terdapat sebuah lagi pusat pemuliaan al-Quran iaitu di Peramu, Pekan.
Sementara, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, sebanyak 12 tan Al-Quran dan bahan bercetak mengandungi Ayat al-Quran telah dibakar di Kompleks pemuliaan al-Quran di Chenor sepanjang tahun ini dan menghasilkan 2 tan ketulan abu.
” kita bercadang untuk sekurang-kurang setahun kita buat 2 kali pelupusan ke laut lah lupuskan semua ketulan-ketulan apa yang kita sediakan sepanjang tahun…
Proses pelupusan dilakukan dengan cara membakar menggunakan insinerator atau relau dengan sumber api daripada gas.
Proses membakar mengambil masa antara sejam hingga dua jam sebelum disejukkan selama 24 jam.
Proses seterusnya menghasilkan bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak dengan cara membancuh dengan air.
Katanya, bekas plastik digunakan sebagai acuan dan dijemur di bawah cahaya matahari selama tiga hingga enam hari tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.
Bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akan dibuang ke beberapa kawasan di perairan negeri ini dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pahang dan nelayan tempatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN – Kerajaan negeri Pahang mengambil tindakan proaktif dalam tindak balas bencana negeri dengan menyediakan pusat pemindahan tetap (PPT) di lokasi berisiko.
Penyediaan PPT tersebut adalah bukti keperihatinan kerajaan negeri membantu penduduk terjejas mendapatkan perlindungan sementara.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi tujuan itu kerajaan negeri membina liima buah PPT membabitkan daerah Maran , Kuantan , Pekan , Temerloh dan Lipis dengan kos RM 31 juta .
“Ketika ini ppt di daerah maran telah mula beroperasi, manakala lima buah PPT lagi masih dalam proses pembinaan.
“Di pahang ni kita ada lima daerah yang akan kita bina pusat pemindahan tetap ini yang pertama dan akan diikuti Lipis, Temerloh, Kuantan dan Pekan dan keseluruhan kos RM31 juta untuk kita buat pusat pemindahan tetap, masih lagi ada yang pengambilan tanah, ada kerja design dan sebagainyalah.. Jadi insyallah dalam masa setahun dua tahun akan siap,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Perasmian Pusat Pemindahan Tetap (PPT) pertama di malaysia, bertempat di Kampung Luit, Maran, Pahang.
Katanya, PPT terbabit dilengkapi kemudahan seperti ruang memasak, lapan bilik air, stor dan mampu menampung 24 keluarga dalam persekitaran yang kondusif.
Sementara itu Datuk Seri Wan Rosdy berkata, semua bantuan dan bekalan telah di hantar ke 159 pengkalan hadapan di seluruh pahang.
Manakala 856 Pusat Pemindahan Sementara (PPS ) membabitkan balai raya, sekolah, masjid dan surau kini telah bersedia untuk menerima penduduk terjejas banjir-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kumpulan Atma Tari berpeluang ke peringkat antarabangsa pada Festival Belia Folklore Asia Pasifik.
SKSU ambil inisiatif tubuh kumpulan tari
KLANG – Sekolah Kebangsaan Sungai Udang (SKSU), Klang, Selangor, mengambil inisiatif menubuhkan Kumpulan Atma Tari sejak 2020 untuk mengekalkan serta memberi pendedahan tarian tradisional masyarakat Melayu.
SKSU mengambil langkah itu dengan semangat yang ingin disuntik dalam diri murid sekolah itu kepada setiap ahli kumpulan tari supaya turut berasa bertanggungjawab mempopularkan semula tarian tradisional masyarakat Melayu yang begitu gah suatu ketika dahulu.
Di samping itu skuad berkenaan juga mendidik ahlinya untuk lebih berdisiplin dan berdedikasi dalam pelbagai aspek kerana itu juga antara matlamat lain penubuhan kumpulan itu.
Kumpulan Atma Tari Sekolah Kebangsaan Sungai (SKSU) Klang, Selangor merakam kenangan gaya tarian tradisional Melayu pada Festival TARI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Selain itu memastikan murid SKSU mengetahui seni tari Melayu serta tarian dan budaya daripada etnik lain di Malaysia serta memastikan budaya tempatan tidak dilupakan oleh generasi sekarang.
Pengurus Kumpulan Atma Tari itu, Cikgu Hasnan Zakaria berkata, pada mulanya ia merupakan pasukan tarian di bawah Kelab Kebudayaan Sekolah dan hanya untuk memenuhi kriteria yang perlu ada dalam pasukan kebudayaan sekolah.
“Kumpulan ini adalah cetusan idea pentadbiran sekolah ini yang inginkan supaya bakat murid berkenaan dapat dikembangkan bukan hanya di sekolah dan dalam daerah sahaja sebaliknya boleh terus diketengahkan pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
“Maka, kumpulan ini bukan setakat memberikan pendedahan yang bukan sahaja berfokuskan tarian tradisional masyarakat Melayu seperti zapin, joget, inang dan tarian asli, malah turut mengetahui tarian dan budaya daripada pelbagai etnik lain di Malaysia,” katanya.
Katanya, kumpulan itu dilatih secara profesional oleh jurulatih tari yang dilantik oleh SKSU daripada Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor.
Kumpulan Atma Tari bersama sebahagian ibu bapa yang sentiasa memberi suntikan semangat bagi meraih kejayaan.
“Kumpulan ini aktif dalam mengadakan persembahan serta mengikuti pertandingan yang dianjurkan sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan juga peringkat kebangsaan.
“Bagaimanapun Skuad Atma Tari SKSU ini turut dibelenggu cabaran dan juga masalah terutama dari segi kewangan selain masa untuk diperuntukan bagi menjalani latihan,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SKSU, M Khalimi Dalhan, berkata penubuhan kumpulan tarian itu dilihat selari dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tidak mahu sekolah hanya memfokuskan kepada kaedah untuk melahirkan murid yang cerdik semata-mata, tetapi mempunyai sahsiah diri yang baik.
Katanya, melalui penglibatan dalam kumpulan ini, murid terbabit mengalami perubahan dari segi disiplin terutama apabila hadir untuk mengikuti latihan yang diadakan dan juga pada setiap kali pertandingan disertai dan secara tidak langsung bertepatan dengan konsep Anak Baik lagi Cerdik (ABC) yang dianjurkan oleh KPM.
“Pembabitan dalam kumpulan ini, murid bukan sekadar belajar di sekolah, mereka juga dididik untuk menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia sebagai pewaris negara pada masa hadapan.
“Pembabitan mereka (murid) adalah salah satu inisiatif untuk memastikan murid SKSU bukan hanya mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik namun pada masa sama untuk melahirkan murid mempunyai sahsiah yang baik,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!