KUANTAN – Pahang mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir setakat tengah hari tadi, berbanding semalam – selepas 271 mangsa daripada 62 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Raub.
Hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi di sekitar daerah Raub menyaksikan paras air sungai melebihi paras bahaya dan melimpah.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 12.39 tengah hari, satu PPS di surau Kampung Peruas dan Dewan Lechar, masing-masing menempatkan 65 mangsa.
Manakala di Dewan Orang Ramai Bukit Pampong pula menempatkan 51 mangsa, Balai Raya Kampung Pamah Kulat (55), Balai Raya Kampung Pamah Rawas (20) dan 15 mangsa di Rumah Pertanian Kampung Pamah Rawas.
Di Jerantut pula, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Kota Gelanggi 1 yang menempatkan 75 mangsa pada sejak semalam, telah ditutup sepenuhnya pada jam 11 pagi tadi.
Dalam pada itu, situasi semasa di Sungai Lembing, Kuantan, setakat tengah hari, air telah turun ke paras 37.36 meter (m) berbanding waktu puncak tengah malam tadi, 39.97m.
Bagaimanapun, paras air masih bertahan dan 13 mangsa membabitkan empat keluarga masih ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing sejak malam tadi.
Mereka belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing susulan keadaan cuaca masih hujan di sekitar daerah Kuantan.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota APm membawa mangsa ke tempat selepas selepas rumah mangsa dinaiki air awal pagi ini.
Tiga PPS dibuka di Raub awal pagi ini, satu ditutup di Jerantut.
RAUB : Tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah ini dengan menempatkan 142 mangsa daripada 35 keluarga pada awal pagi hari ini.
PPS Surau kampung Peruas dibuka pada jam 12.40 pagi, PPS Dewan Pamah Kulat dibuka pada jam 3.00 pagi dan PPS Pertanian Pamah Rawas pada jam 3.30 pagi ini.
Semua PPS itu dibuka susulan berlaku hujan lebat yang berterusan di sekitar kawasan Raub menyebabkan paras air sungai melebihi paras bahaya dan melimpah ke tebing di kawasan Kampung Peruas, Pamah Rawas dan Pamah Kulat di Ulu Dong.
Tindakan menyelamat dan memindahkan mangsa dilakukan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta melakukan pemantauan kejadian banjir kilat di sekitar kampung terlibat disertaikan agensi kerajaan lain seperti pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Kemakmuran dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan pihak Bomba dan Penyelamat.
Sementara itu di Jerantut, status keseluruhan paras air di Sungai Pahang di Stesen Sungai Yap berada pada paras waspada dengan trend menaik dan Stesen Jerantut Feri turut berada pada paras amaran dengan trend menaik.
Manakala Stesen Sungai Tembeling di Kuala Tahan berada pada paras waspada dam Stesen Kampung Merting berada pada paras amaran tetapi kedua-dua sungai ini pada trend menurun.
PPS di Sekolah Kebangsaan FELDA Kota Gelanggi Satu yang dibuka semalam bagi menempatkan mangsa kejadian banjir di situ ditutup pada jam 11.00 pagi, hari ini. Namun begitu, keadaan akan terus dipantau dari semasa ke semasa.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Jalan Jerantut-Kuala Lipis dekat Kampung Sepail ditutup kepada semua kenderaan, hari ini.
Jalan jerantut- Kuala Lipis ditutup kepada semua kenderaan
JERANTUT : Jalan Jerantut-Kuala Tembeling (FT 234) dekat Kampung Sepial dinaiki air sedalam 0.6 meter pada jarak 100 meter, dan ditutup kepada semua kenderaan, hari ini.
Lokasi yang kerap dinaiki air ialah di Sungai Yap dan Kampung Sepial antara yang kerap dinaiki air ketika musim tengkujuh dan menjadi penanda aras bagi penduduk di kawasan lain pesisir Sungai Pahang daerah ini bersiap sedia untuk berpindah.
Seorang penduduk Kampung Mela, Mohd. Safri Salleh, 42, berkata, dia yang lebih 20 tahun berulang-alik dari rumahnya bekerja di bandar Jerantut, jalan di Sungai Sepial akan ditenggelami air setiap musim tengkujuh.
“Sudah menjadi kelaziman pada musim tengkujuh hujung tahun, saya antara beratus-ratus pengguna jalan raya serta kenderaan terkandas di laluan berdekatan Sungai Yap, Kampung Sepial (Kuala Tembeling) dan Paya Teh kerana jalan tersebut dilimpahi banjir.
“Mohon kerajaan segera membaik pulih atau membina jajaran baharu antara Jerantut-Kuala Tembeling-Lipis tanpa ada lagi laluan berbukit, rendah serta perlu jalan lurus bagi mengelakkan kejadian kemalangan maut dan banjir,” katanya di Mela di sini semalam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PPS pertama dibuka di SK Felda Kota Gelanggi Satu, tempatkan 75 mangsa
JERANTUT : Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Satu, daerah ini telah dibuka dengan menempatkan seramai 19 Keluarga yang terdiri daripada 75 orang mangsa kawasan penempatan Felda tersebut hari ini.
Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, mangsa yang dipindahkan itu terdiri daripada lima orang warga emas lelaki, warga emas perempuan (7 orang), lelaki dewasa (23 orang), perempuan dewasa (16 orang), kanak-kanak lelaki (11 orang) dan 13 orang kanak-kanak perempuan.
“PPS SK Felda Kota Gelanggi Satu dibuka pada jam 9.00 pagi hari ini apabila mangsa banjir di Felda tersebut terpaksa dipindahkan berikutan air Sungai Siam melimpah masuk ke penempatan di situ akibat hujan lebat sejak semalam.
“Paras air Sungai Siam menunjukkan trend menurun dan mulai surut. Walau bagaimanapun, keadaan masih dipantau dari semasa ke semasa kerana dikhuatiri hujan akan turun dan menyebabkan paras air sungai meningkat semula,” kataya.
Katanya, mangsa yang ditempatkan di PPS ini dipantau serta diberi bantuan makanan serta kebajikan lain oleh pihak berkuasa beruniform, agensi kerajaan di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut, pengurusan Felda dan Jawatan Kuasa Kemajuan Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK).
Abdul Razak menasihati mangsa supaya bersabar berdepan ujian itu dan semua bantuan kebajikan akan disalurkan segera di PPS tersebut.
Katanya, penduduk di kawasan Felda lain di daerah yang kerap ditimpa banjir kilat supaya lebih berwaspada dengan menjaga keselamatan keluarga dan harta benda memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat kerap turun minggu ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hujan lebat di Kampung Raja, Dungun pengaruhi paras Sungai Tembeling awal pagi esuk
JERANTUT : Keadaan hujan lebat yang berlaku di Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu diramal akan mempengaruhi kenaikan paras air Sungai Tembeling di Kampung Bantal pada awal pagi esuk.
Laporan pemantauan semasa paras air sungai utama daerah Jerantut menunjukkan trend manaik berdasarkan cuaca hujan sederhana lebat berlaku di beberapa tempat di daerah ini yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) daerah Jerantut pada jam 7.00 petang , hari ini.
Bacaan paras air semasa di Stesen Kuala Tahan di Sungai Tembeling ialah 60.27 meter dan trend semasa adalah menaik; Stesen Kampung Merting, bacaan semasa ialah 53.30 meter mengatasi paras normal 52.00 meter dan turut menunjukkan trend menaik .
Manakala, Stesen Sungai Yap menunjukkan trend bertahan dengan bacaan 43.11 meter dan Stesen Jerantut Feri, bacaan semasa 41.60 meter menunjukkan trend menurun dan Stesen Jeram Bungor di Sungai Jelai, menunjukkan bacaan 54.18 meter menunjukkan trend menurun.
Bacaan hujan pula yang bermula pada 12.00 tengah malam hari ini, menunjukkan bacaan, di Stesen Kampung (Kg) Pasir Raja – 127.0 milimeter (mm) ; Stesen Kg. Pagi – 38.0 mm dan Stesen Kuala Tahan – 33.5 mm.
Bacaan hujan di Stesen Kg. Merting – 44.00 mm; Stesen Kg. Chebong – 0 mm ; Stesen Sg Yap – 12.5 mm; Stesen Batu Balai – 12.0 mm Stesen Kg. Bharu – 14.0 mm; Stesen Jerantut Feri – 15.5 mm; Stesen Paya Gintong – 14.0 mm dan Stesen Kota Gelanggi – 17.5 mm.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Lumpur: Lebih 1,000 anggota dan pegawai polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ di Jalan Silang di sini, hari ini.
Kepungan bermula pada 11 pagi itu bagi menyerbu koloni warga asing yang dilihat semakin ‘besar kepala’ dengan berlagak seperti warga tempatan.
Pasukan keselamatan lengkap bersenjata dan peralatan khas dilihat mula memecah masuk ke setiap premis membabitkan empat blok di jalan terbabit.
Difahamkan serbuan dijalankan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.
Wartawan yang mengikuti operasi mendapati sekurang-kurangnya 500 warga asing ditahan setakat 1 tengah hari tadi.
Warga asing kebanyakannya terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.
Pemeriksaan di salah satu premis mendapati warga asing yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian.
Turut ditemui pelbagai jenis ubatan dipercayai dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun ketika pemeriksaan dijalankan, premis terbabit tidak berpenghuni.
Malah, serbuan turut menemui premis dijadikan bilik sewa dalam keadaan berselerak, kotor dan jijik dipercayai dihuni warga asing.
Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses semakan dokumentasi.
Sumber- Harian Metro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sutiah Rasman (dua dari kiri) bersama-sama abang dan adik beliau pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif yang diadakan di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, baru-baru ini.
SUAPAN Kasih memori yang meranai titisan air mata pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif dari Kampung Parit Lapis Kadir, Senggarang, Batu Pahat yang diadakan D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka, selama dua hari bermula baru-baru ini.
Slot Suapan Kasih membabitkan anak sulung mewakili bagi setiap keluarga menyuapkan makanan kepada ibu atau bapa mereka meruntumkan rasa syahdu dan sayu dalam kalangan 136 ahli keluarga Allahyarham yang hadir pada program berkenaan.
Slot Suapan Kasih meruntum jiwa ahli keluarga yang hadir pada program Hari Keluarga itu.
Anak bongsu Allahyarham, Azman Rasman, menyuntikan emosi perasaan sayu serta sedih dalam kalangan anak, cucu, cicit dan piut apabila mengalungkan sajak berjudul ‘Harapan Seorang Ayah dan Ibu’ yang mengakibatkan beliau sendiri tersekat-sekat suara kerana turut berasa sebak.
Timbalan pengerusi program berkenaan, anak ketujuh Allahyarham, Sutiah Rasman, berkata program hari keluarga yang kali pertama diadakan itu sudah dirancangkan beberapa bulan lalu dengan membabitkan sembilan adik-beradik beliau.
Daripada semua adik-beradik itu, hanya keluarga Allahyarham Maimunah merupakan kakak sulung diwakili anaknya, Mohd Nor@Raya Sapari diikuti keluarga anak kedua iaitu Seriatun, Mukarti (3), Mohd Juri (4), Siti Supayah (5), Mohd Zainal (6), Sutiah (7), Darman (8) dan Azman (9) yang semuanya berusia antara 60 dan 85 tahun.
Sutiah berkata, slot Suapan Kasih itu amat menyentuhkan perasaan kami adik- beradik apabila teringatkan kembali kisah silam dibesarkan arwah bapa dan ibu yang banyak berkorban dalam kemiskinan membesarkan anak-anaknya.
Menurutnya, terasa terlalu hiba apabila anak sulung mewakili ahli keluarga menyuapkan makanan kepada kami ibu dan bapa mereka yang kini uzur dan menghidap pelbagai penyakit apabila mengenangkan arwah bapa dan ibu dahulu memandi serta merawat anak-anaknya ketika sakit sewaktu kecil dahulu.
“Bertemakan ‘Yang jauh kita dekatkan, Yang dekat kita rapatkan, Yang rapat kita mesrakan dan Yang tiada kita doakan’ menemukan empat generasi kerabat Alllahyarham Rasman dan Allahyarhamah Indahsabar yang berada di seluruh pelosok tanah air dalam program yang disusun rapi,” ujar beliau lagi.
Ahli keluarga merakam kenangan pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif.
Program hari keluarga itu dimulakan aktiviti sukan pantai selepas mendaftar masuk, diikuti majlis tahlil selepas magrib yang kemudian makan malam yang dimulai Suapan Kasih, penyampaian hadiah, sambutan hari lahir Sutiah dan karaoke. Pada hari kedua dimulakan dengan bacaan tahlil selepas solat subuh dan diakhiri dengan senam robik.
Sutiah berkata, paling penting program berkenaan dapat mengeratkan lagi hubungan silatulrahim antara adik-beradik, cucu, cicit dan piut kerana ada mereka yang belum kenal rapat disebabkan kekangan kerja dan berhijrah mencari kehidupan lebih selesa.
Menurutnya, walaupun dunia sekarang disediakan dengan pelbagai kemudahan media sosial untuk berhubung namun perjumpaan pada program hari keluarga sebegini lebih mesra serta berkesan terutama dalam mengenali hati budi masing-masing.
“Kami adik-beradik berharap akan diadakan lagi program seperti ini pada masa akan datang terutama apabila anak-anak pula mengelolakannya dari awal hingga akhir kerana sebagai ibu atau bapa sudah berasa makin hilang tenaga,” ujarnya lagi. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Kira-kira 70 pengamal media di Pahang diraikan dalam Majlis Malam Media Darul Makmur 2023, malam tadi.
Majlis itu hasil cetusan idea Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kemeriahan majlis berkenaan dikongsi Wan Rosdy melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
“Seronok saya malam ini dapat bersama meraikan para pengamal media Negeri Pahang dalam Majlis Malam Media Darul Makmur 2023 di Swiss-Belhotel, Kuantan.
“Besar pengorbanan mereka, terutamanya dalam menyampaikan maklumat penting dan tepat kepada masyarakat.
Terima kasih yang tak terhingga kepada semua pengamal-pengamal media negeri Pahang di atas segala pengorbanan masa dan tenaga selama ini,” katanya.
Majlis turut dihadiri Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN – Lebih 50 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai acara larian 05 Kilometer OKU Fun Run yang diadakan bersempena Kejohanan Monsoon Run Kinabalu Hill di Felda Jengka 12, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, acara tersebut merupakan julung kali diadakan seumpamanya di negeri Pahang dan diterajui oleh anak-anak kelahiran Felda Jengka 12 menerusi Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan AD21 Pahang.
Fuziah berkata , 50 perserta OKU adalah antara 330 penyertaan dalam lima kategori yang dipertandingkan, iaitu Trail Run 12 Kilometer Lelaki Dan Wanita Merentas Bukit Kinabalu; Fun Run 05 Kilometer Lelaki Dan Wanita Rentas Desa dan Fun Run 05 Kilometer Merentas Desa Kategori OKU serta murid Pendidikan Khas.
“Menariknya, persatuan yang dianggotai oleh anak muda Felda Jengka 12 bersama 80 orang penduduk sukarelawan menggembling tenaga secara maksima bagi memastikan kejayaan program ini.
“Tujuan utama program seperti ini adalah mencapai objektif sebenar iaitu mempromosikan gaya hidup sihat; memberi impak positif terhadap kelestarian alam semulajadi dan kesihatan rohani dan jasmani para peserta,” katanya.
Peserta yang menyertai larian itu
Katanya, selain itu tanpa sedari turut menyatukan perpaduan antara rakyat negara ini di samping membina komuniti yang lebih erat dan saling memahami antara satu sama lain.
“Menerusi acara larian ini turut membawa pelbagai peserta dari pelbagai negeri dan latar belakang ke daerah ini semestinya mampu menyemai perpaduan kalangan peserta menerusi bidang sukan.
“Ini seiring konsep Malaysia Madani, yang berlandaskan enam perkata; Kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan diri dan Ehsan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Monsoon.
Katanya, pada masa sama, beliau berharap acara ini dapat membuahkan kegembiraan kalangan warga OKU yang turut sama-sama bersukan dengan penglibatan khusus Pejabat Pendidikan Daerah Maran serta Kementerian Belia dan Sukan Pahang yang menguruskan peserta OKU.
“Acara yang dilaksanakan dengan pembabitan golongan kurang upaya ini sememangnya satu inisiatif yang wajar dipuji. Ini menunjukkan dalam masyarakat Madani pada hari ini, kita tidak meninggalkan golongan kurnag upaya berada jauh di belakang,” katanya.
Antara peserta yang meyertai Monsoon Run turut membawa anaknya.
Sementara itu, Pengarah Program, yang juga Pengerusi Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan AD21 Jengka Pahang, Sharul Efendi Ismail berkata, Monsoon Run Kinabalu Hill dijayakan oleh kira-kira 80 sukarelawan kalangan belia, beliawanis dan warga emas Felda Jengka 12.
“Kami bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Tioman Development Authority, Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta mendapat perhatian penuh oleh pengurusan Felda yang membantu dari pelbagai segi.
“Acara ini dilaksanakan seluruh warga kampung. Setiap petang sepanjang empat bulan membuat persediaan, orang kampung berkonvoi menaiki motosikal membuat penandaan, bermesyuarat sehingga dinihari bagi melancarkan pergerakan acara, membaiki siling dan pentas utama serta astaka dan padang,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Melancar Jualan Rahmah bergerak di Felda Jengka 12, dekat sini kelmarin
Jualan Rahmah bergerak jangkau jualan RM62 juta
MARAN : Jualan Rahmah secara bergerak mendapat sambutan hangat daripada orang ramai sehingga menjangkau nilai jualan hampir RM62 juta dan dikunjungi lebih 1.5 juta orang sejak diadakan sehingga 15 Disember tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, jualan Rahmah secara bergerak yang diadakan sangat mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai dengan nilai jualan mencecah sebanyak RM 61,725,833.79.
“Seramai 1,531,432 pengunjung telah hadir ke program jualan Rahman bergerak yang diadakan di 1,942 lokasi di seluruh negara.
“Melalui satu kaji selidik sebanyak 73 peratus yang membabitkan kira-kira 1,000 responden, mahukan jualan Rahmah ini diteruskan bagi membantu orang ramai mendapatkan harga barang keperluan pada harga yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmi dan penyampaian hadiah kepada peserta yang menyertai acara larian 05 Kilometer OKU Fun Run sempena Kejohanan Monsoon Run Kinabalu Hill di Felda Jengka 12, di sini, kelmarin.
Fuziah berkata, Jualan Rahmah secara bergerak yang baharu diperkenalkan itu tidak membabitkan pasar raya besar hanya dengan memuatkan barangan ke dalam lori 18 tan dan menuju ke lokasi tumpuan di seluruh negara.
“Manakala seramai 6,207,073 pengunjung hadir ke Jualan Rahman yang diadakan di premis jualan seperti pasar raya dan juga secara bergerak untuk mendapatkan bahan keperluan dapur yang diadakan 4,393 lokasi di seluruh negara dengan nilai keseluruhan sebanyak RM199,521,398.47.
“Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM150 juta untuk tahun ini dan pada tahun hadapan (2024) sebanyak RM200 juta diperutnukkan untuk meneruskan program jualan Rahmah di seluruh negara,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!