Dua Warga Tempatan, Seorang Warga Indonesia Ditahan Kes Curi Sawit di Bera
BERA – Pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera berjaya menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit di dua lokasi berasingan di daerah ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee bin Nazir berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 24 Mac 2025 ke atas seorang lelaki Melayu dan seorang lelaki warganegara Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes kecurian sawit di Ladang Felda Rentam, Bandar Bera.
“Hasil daripada siasatan dan maklumat yang diperoleh, pihak polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga tempatan serta seorang lagi lelaki warganegara Indonesia di Ladang FDM Felda Mayam, Bandar Bera. Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah yang sama,” katanya.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah lori yang dipercayai digunakan suspek untuk mengangkut buah sawit curi.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 25 Mac 2025, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
IPD Bera menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah, khususnya kecurian sawit di daerah ini.
Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Promosi Pembukaan Cawangan Baru, Ayam & Ikan Bawal RM1 Licin dalam 10 Minit!
JERANTUT – Sebanyak 500 ekor ayam dan 500 ekor ikan bawal emas habis terjual dalam tempoh hanya 10 minit sebaik sahaja sebuah pasar raya di sini dibuka pagi ini.
Harga promosi RM1 seekor yang ditawarkan menarik ratusan pelanggan yang beratur panjang sejak awal pagi, namun ramai pulang hampa kerana stok terhad.
Pengarah Urusan BS Freshmart, Mohammad Rasul Razuan, mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap jualan murah tersebut.
“Saya dimaklumkan ayam dan ikan yang diperuntukkan habis dalam masa yang amat singkat. Kami faham ramai yang tidak sempat membelinya, dan pihak kami akan menambah stok bagi dua hari jualan berikutnya,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian cawangan ke-25 BS Freshmart di bandar Jerantut.
Menurutnya, pihak pasar raya pada asalnya menetapkan jumlah jualan sebanyak 500 ekor ayam dan 500 ekor ikan bawal emas setiap hari selama tiga hari berturut-turut.
Namun, selepas melihat permintaan tinggi, beliau merayu agar jumlah itu dinaikkan kepada 2,000 ekor sehari bagi baki dua hari jualan.
Sementara itu, rata-rata pelanggan yang hadir kecewa kerana tidak berpeluang mendapatkan ayam dan ikan pada harga promosi.
“Saya datang sejak pukul 7 pagi, tapi bila sampai kaunter, semua dah habis. Harap esok stok lebih banyak,” kata seorang pelanggan, Noraini Mansor, 45.dari Kampung Gintong, Jerantut.
Majlis perasmian turut diserikan dengan ucapan wakil kerajaan YB Sim Chon Siang, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang yang menyokong pembukaan cawangan kedua BS Freshmart di Jerantut sebagai langkah memperkukuh akses rakyat kepada barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
BS Freshmart juga menawarkan diskaun 15% hingga 30% bagi barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri sebagai sebahagian daripada promosi pembukaan cawangan tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Harga Santan Terkawal di Pahang, Kekal RM20 Sekilogram
JERANTUT – Harga santan di Pahang kekal pada kadar RM20 sekilogram menjelang Hari Raya Aidilfitri hasil langkah proaktif kerajaan negeri mengimport kelapa dari Indonesia.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Sim Chon Siang, berkata usaha ini dilakukan bagi memastikan harga santan tidak meningkat seperti di negeri lain yang mencecah RM22 hingga RM24 sekilogram.
“Itu cara saya kawal harga. Kami telah membawa masuk kelapa dari Indonesia dan kini harga santan dapat dikekalkan pada RM20 sekilogram.
Sebelum ini, harga meningkat dari RM14 ke RM16, kemudian RM18 hingga RM22. Kalau dibiarkan, mungkin mencecah RM24. Jadi, kami ambil langkah segera untuk mengawal harga sebelum menjadi isu besar,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 10 kontena kelapa telah diimport dari Indonesia bagi menampung permintaan pasaran tempatan. Beliau memberi jaminan bahawa bekalan santan di Pahang mencukupi untuk kegunaan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut melancarkan program Jualan Makmur bermula 21 hingga 27 Mac 2025 di 26 lokasi seluruh Pahang. Program dengan peruntukan RM1.1 juta ini bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah menjelang perayaan.
“Jualan Makmur ini adalah hasil kerjasama dengan pasar raya dan pembekal terpilih seperti BS Freshmark dan Econsave bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berbelanja secara berhemah dan membuat perbandingan harga sebelum membeli barang.
Selain itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa santan yang dijual di salah sebuah pasar raya di Tanjung Lumpur, Kuantan tidak halal.
“Saya sendiri telah pergi periksa. Santan itu halal dan mempunyai sijil pengesahan halal dari Thailand. Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan lagi,” tegasnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HAMZAH: UMNO BOLEH GABUNG DENGAN BERSATU, CUMA TAK MAHU
BENTONG – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendedahkan bahawa UMNO sebenarnya mempunyai peluang untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), namun memilih untuk kekal bersama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana merasakan ia lebih menguntungkan.
Beliau berkata, jika UMNO bersedia untuk bekerjasama, kerajaan boleh dibentuk dengan hanya tambahan lapan Ahli Parlimen lagi.
*”Pada waktu itu, kita sudah ada 104 sokongan. Hanya perlukan lapan lagi untuk membentuk kerajaan. Tetapi UMNO lebih memikirkan kepentingan berkuasa bersama Anwar.
“Jika mereka ada keterbukaan dan mahu duduk semeja, kita boleh fikirkan masa depan negara yang lebih baik agar masyarakat tidak terus berpecah-belah,”* katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Cherengin Hill, Janda Baik.
Menurut Hamzah, perjuangan asal UMNO adalah untuk mencapai kemerdekaan, tetapi selepas lebih 70 tahun, sepatutnya parti itu juga “memerdekakan” pemikiran rakyat dan melihat kepentingan semua, bukan hanya golongan elit.
Dalam ucapannya, Hamzah turut menekankan bahawa Bersatu adalah parti yang benar-benar inklusif, dengan wakil daripada pelbagai kaum dalam kepimpinan tertinggi.
*”Kita ada empat sayap – Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu. Ketua Sayap Bersekutu kita, Dr. Chong, mewakili kaum Tionghoa, manakala Datuk Seri Sanjeevan duduk dalam PNPT bagi membawa isu kaum India.
“Kalau orang kata Bersatu ini tidak inklusif, itu tidak betul. Kitalah parti yang benar-benar terbuka kepada semua,”* tegasnya.
Sementara itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Leong Kim Soon, mengumumkan 113 ahli baharu telah menyertai parti itu pada hari ini sahaja.
“Saya sudah keluar daripada MCA dan memilih Bersatu kerana ia selari dengan perjuangan saya. Dengan pengalaman yang saya ada, saya akan membantu memperkukuhkan Bersatu di Bentong dan seluruh Pahang,” katanya.
Menurut Hamzah, jumlah penyertaan ahli baharu dijangka meningkat dalam masa terdekat, sekali gus membuktikan sokongan yang semakin bertambah terhadap Bersatu dan PN.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Datuk Leong Kim Soon Sertai Bersatu, Tolak DAP yang ‘Ekstrem’
BENTONG– Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Leong Kim Soon, menegaskan bahawa parti itu adalah platform terbaik untuk semua kaum di Malaysia bersatu dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
Beliau, yang sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Pemuda MCA Kebangsaan dan Ketua Pemuda MCA Pahang, berkata keputusannya menyertai Bersatu dibuat selepas menilai hala tuju politik negara.
“Saya melihat Malaysia boleh menjadi negara yang bersatu, di mana kaum Cina, India dan semua kaum lain juga diberi peluang untuk menyertai Bersatu. Ini selaras dengan masyarakat Malaysia yang semakin maju,” katanya ketika menghadiri Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Cherengin Hill, Janda Baik, di sini.
Turut hadir sama Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan
Menurutnya, Bersatu adalah parti yang selari dengan perjuangannya, berbanding DAP yang disifatkannya sebagai lebih ekstrem.
“Kalau tidak sesuai dengan jiwa saya, saya takkan masuk. Ada ramai orang bertanya kenapa saya tidak menyertai DAP. Sejauh pengalaman saya dalam politik, saya memang tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Leong berkata beliau tidak bersetuju dengan konsep kerajaan perpaduan yang menyaksikan MCA dan DAP berada dalam satu gabungan.
“Dulu, semasa saya dalam MCA pun, saya tidak boleh bekerjasama dengan DAP. Sekarang, mereka berada di bawah satu payung yang sama. Itu yang saya rasa tidak kena,” jelasnya.
Dalam majlis itu, lebih daripada 113 ahli baharu telah menyertai Bersatu di bawah kepimpinan Datuk Leong.
Beliau turut menggesa lebih ramai masyarakat Cina dan India, khususnya di Bentong dan seluruh Pahang, untuk menyertai parti tersebut.
“Bukan sahaja di Bentong, malah di seluruh Pahang, kita mengalu-alukan penyertaan semua kaum. Ini bukan kumpulan pertama, akan ada lebih ramai yang menyusul,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Ahli Jawatankuasa KESUMA’24 Ithnin Jupri (kanan) bersama ahli Skuad Kasih FSSK melihat bubur lambuk yang hampir masak.
Zayan Bubur Lambuk: Memupuk Semangat Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum
Program Zayan Bubur Lambuk bukan hanya sekadar inisiatif untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada komuniti, tetapi ia juga menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum yang dititikberatkan oleh Kerajaan Madani.
Zayan, sebuah stesen radio berbahasa Melayu yang dikendalikan oleh Astro Radio, mengambil peluang untuk menganjurkan program ini setiap Ramadan sebagai tradisi yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah di kalangan masyarakat.
Pada tahun ini, program tersebut berlangsung di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada Jumaat, di mana lima periuk bubur lambuk disediakan untuk diagihkan kepada 2,000 penerima.
Wan Syahrul Amry (tiga dari kanan) mengacau bubur lambuk sambil diperhatikan Muhammad Syafiq bersama staf Astro dan ahli Skuad Kasih FSSK.
Program ini mendapat kerjasama dari pelbagai pihak seperti Hitz, Mix, Lite, Astro Awani, Astro Kasih ESG, dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi), serta melibatkan 40 staf Astro, petugas PJMM, Skuad Kasih Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24).
Wan Syahrul Amry Wan Mansor, Brand Manager Zayan Radio FM Astro, berkata, selain memperoleh pahala daripada berkongsi rezeki dengan masyarakat, program ini juga merupakan kali pertama diadakan di pusat jagaan warga emas.
“Program ini bukan hanya tentang memberi, tetapi ia juga mengajar nilai bergotong-royong dalam kalangan generasi muda, tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Ini adalah amalan yang telah lama diamalkan oleh masyarakat, tetapi semakin dilupakan oleh sebahagian besar generasi muda,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pembabitan generasi muda dalam aktiviti kebajikan seperti ini penting untuk menanamkan nilai murni dalam kerja sosial.
Katanya, melalui program ini, peserta dapat melihat realiti kehidupan warga emas yang terpinggir dan memerlukan sokongan, mengingatkan kita bahawa nasib kita juga belum tentu seperti yang dirancang.
Program Zayan Bubur Lambuk juga diserikan dengan kehadiran artis terkenal seperti Zizan Razak, Alif Satar, serta pelakon drama popular Astro.
Ahli Jawatankuasa KESUMA’24 merakam kenangan bersama Alif Satar.
Mereka turut serta dalam menyantuni warga emas PJMM dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk Kampung Sungai Purun, memberi semangat dan kegembiraan kepada mereka.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, pula berkata bahawa program ini memberikan impak yang besar kepada penghuni pusat jagaan, yang selama ini menantikan kehadiran ahli keluarga mereka.
“Kehadiran masyarakat, media, dan selebriti pada acara ini sedikit sebanyak meringankan rasa kesepian mereka. Syafiq juga mengharapkan lebih banyak program kebajikan sebegini dianjurkan untuk memberi kesedaran mengenai kes pengabaian warga emas dan peranan pusat kebajikan dalam masyarakat.
Bagi ahli Skuad Kasih FSSK, Nurul Aiman A Rahman, program seperti ini memberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat dan mendalami permasalahan mereka secara langsung, terutamanya warga emas.
Rakan sejawatnya, Mohamad Hanif Mohamad Jani, pula berkata, program ini memberi pengalaman berharga dalam mempraktikkan ilmu yang dipelajari dan mendedahkan mereka kepada realiti kehidupan masyarakat yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Secara keseluruhannya, program Zayan Bubur Lambuk bukan hanya bertujuan untuk menyantuni warga emas, tetapi juga untuk menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan generasi muda dan masyarakat umum. Program ini adalah satu contoh yang baik tentang bagaimana budaya gotong-royong dan nilai kemasyarakatan dapat terus dipupuk, sekaligus mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Aksi Bahaya di Genting Highlands, Polis Buru Pemandu Samseng
BENTONG – Polis kini giat mengesan sekumpulan pemandu yang dipercayai terlibat dalam aksi pemanduan berbahaya di selekoh tajam Jalan Genting Highlands, selepas satu klip video tular di media sosial menunjukkan aksi mereka yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima satu pesanan ringkas melalui Facebook rasmi Polis Bentong berhubung insiden tersebut yang menimbulkan kebimbangan orang ramai.
“Hasil siasatan mendapati klip video berkenaan telah ditularkan melalui laman sosial, memaparkan aksi beberapa kenderaan yang dipandu secara merbahaya di selekoh jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zaiham, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan awam.
Dalam pada itu, beliau menyeru mana-mana individu yang menyaksikan kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan dengan memberikan maklumat berkaitan.
“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. Justeru, pihak polis akan mempergiat operasi bersepadu di kawasan tersebut, terutama pada hujung minggu dan cuti umum kerana ia sering menjadi lokasi tumpuan pemilik kenderaan untuk berkumpul dan melakukan aksi berbahaya,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melakukan aksi berisiko tinggi di jalan raya yang boleh mengundang padah bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada pengguna lain.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menghubungi Balai Polis Bentong bagi membantu siasatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOME CAKNA Santuni 30 Penerima B40 di DUN Lanchang
TEMERLOH – Sebanyak 30 keluarga daripada golongan B40 di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang menerima bantuan sumbangan hasil inisiatif Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh (KOME CAKNA), baru-baru ini.
Pengerusinya, Abd Jamil Yaakub berkata, penerima bantuan dipilih berdasarkan maklumat daripada penduduk setempat bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat.
“Kita tidak mahu ada golongan yang terpinggir, jadi kita ambil pendekatan dengan merujuk penduduk bagi mengenal pasti penerima yang layak,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan sumbangan.
Bantuan itu melibatkan penduduk di beberapa kawasan seperti Kampung Gajah Mati, Felda Bukit Damar dan Felda Lakum. Setiap penerima menerima barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan beberapa keperluan harian lain.
Menurut Abd Jamil, program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
“Ini sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan kebajikan masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan, terus terbela,” jelasnya.
Salah seorang penerima, Rohani Mohd, 56, berkata, bantuan yang diterima amat bermakna bagi keluarganya yang sedang berdepan kesulitan kewangan.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang sudi menghulurkan bantuan. Ini sedikit sebanyak membantu kami menghadapi kehidupan seharian,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Jamil menyeru lebih ramai pihak, termasuk syarikat korporat dan individu, untuk tampil membantu golongan memerlukan bagi memastikan tiada yang terabai.
“Kebersamaan kita dalam membantu antara satu sama lain amat penting. Jika ramai yang cakna, lebih banyak pihak dapat dibantu,” ujarnya.
Program tersebut berakhir dengan sesi ramah mesra bersama penerima sumbangan yang jelas menunjukkan rasa syukur dan gembira atas bantuan yang diberikan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Peneroka Harap Imbuhan Aidilfitri, Pendapatan Merosot Akibat Musim Buah Melawas
JENGKA – Warga peneroka FELDA merayu agar kerajaan mempertimbangkan pemberian sumbangan khas sempena Aidilfitri bagi membantu mereka menghadapi musim perayaan, terutama ketika pendapatan merosot akibat musim buah melawas.
Ketua Biro Sosial Gabungan JKKR FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sudah lama peneroka tidak menerima imbuhan khas seperti mana kakitangan kerajaan dan berharap tahun ini ada berita baik buat mereka.
“Harapan kami, kerajaan dapat beri imbuhan sempena Aidilfitri. Jika ada bantuan tahun ini, kami sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan FELDA kerana ia dapat meringankan beban kami,” katanya.
Menurutnya, keadaan ekonomi peneroka semakin mencabar apabila harga komoditi tidak menentu, ditambah pula dengan musim buah melawas yang menyebabkan hasil pendapatan ladang berkurangan.
“Sekarang ini pendapatan menurun mendadak. Jika ada sedikit bantuan, sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan untuk persiapan raya,” tambahnya.
PM Dijangka Umum Inisiatif Baharu Untuk Warga FELDA
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan satu inisiatif baharu melibatkan dasar kerajaan berkaitan FELDA dalam masa terdekat.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan untuk memastikan kesejahteraan warga peneroka di seluruh negara.
“Keputusan ini bakal membawa manfaat besar kepada warga FELDA, bukan sahaja di Pahang tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, butiran mengenai inisiatif itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri dalam tempoh terdekat dan diharap dapat memberikan kelegaan kepada golongan peneroka – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MOTOSIKAL TERBABAS, PENUNGGANG MAUT DI LEBUHRAYA KARAK-KL
BENTONG – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 68.5 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur (hala timur), petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, Ismail Jamaluddin, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas motosikalnya hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di lorong kanan sebelum berpusing dan memasuki lorong kiri.
“Tindakan itu menyebabkan penunggang motosikal yang berada di lorong kiri cuba mengelak tetapi gagal sebelum motosikalnya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan itu sebelum sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dikerahkan ke lokasi.
“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Zaiham turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutama di musim perayaan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!