BN PECAT ANNUAR MUSA: AHMAD MASLAN AMBIL ALIH JAWATAN SETIAUSAHA AGUNG BN
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memecat Anuar Musa sebagai setiausaha agung.
Perkara itu disahkan oleh seorang pemimpin kanan UMNO kepada MALAYSIAKINI sebentar tadi.
Sumber lain memberitahu Malaysiakini, dia akan digantikan oleh Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung bersama Muafakat Nasional (MN).
Kata sumber, keputusan itu dibuat selepas pertemuan UMNO dengan ketua-ketua bahagiannya di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi ini.
Tiada maklumat lanjut setakat ini.
Bagaimanapun Annuar dilihat lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) ketika sentimen berbeza dalam UMNO – parti dominan dalam BN.
MALAYSIAKINI sudah menghubungi Annuar dan sedang menungu maklum balasnya.
Semalam, Annuar menegaskan akan mempertahankan keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menolak DAP dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan sedia dipecat susulan pendirian itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Semua petugas perlu memastikan pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi dengan sempurna dan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, peranan dan tanggungjawab itu adalah satu amanah dan tidak sepatutnya dilakukan secara sambil lewa hingga menyulitkan mangsa banjir.
“Saya harap petugas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara melakukan tugas mereka dengan baik dan sempurna… lakukan amanah dengan baik,” titahnya selepas mendengar Taklimat Bencana Banjir Daerah Maran di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran, dekat sini, hari ini.
Turut mengiringi Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri KPKT yang juga Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Seramai 361 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di sekolah itu sejak banjir melanda daerah Maran, Jumaat lalu.
Baginda berdua kemudiannya meninjau keadaan mangsa dan mengurniakan sumbangan kepada semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara berkenaan.
Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan semua mangsa supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak berlakunya penularan baharu wabak COVID-19.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan memandu sendiri pacuan empat roda meredah banjir di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) untuk melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran, di sini.
Difahamkan, ketika itu, kenderaan dipandu baginda merentas air setinggi kira-kira satu meter sejauh 500 meter di KM113 di Lanchang.
Baginda kemudian sempat berkongsi pengalaman itu ketika bertitah selepas mendengar Taklimat Bencana Banjir Daerah Maran.
“Isteri (Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) dan anak saya (Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah) beberapa kali menjerit ketika kami meredah banjir di LPT tadi.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah SShah.
“Mesej yang ingin saya sampaikan ialah supaya kita sentiasa berhati-hati di jalan raya ketika musim banjir ini,” titahnya.
Baginda turut mengingatkan semua petugas di pusat pemindahan sementara (PPS) supaya tidak mengambil sikap sambil lewa, sebaliknya serius dalam menguruskan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan urusan di PPS berjalan lancar dan tidak menyusahkan mangsa banjir.
“Saya nak lihat sendiri SOP (prosedur operasi standard) di pusat ini dan saya harap petugas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara melakukan tugas mereka dengan serius dan sempurna… jangan sambil lewa.
“Saya juga harap makanan secara katering yang dihantar ke sini dilunaskan dengan baik, begitu juga bilik air, semoga semua bekerjasama, tiap kali guna, cuci sendiri,” titahnya.
Beliau bertitah demikian selepas mendengar Taklimat Bencana Banjir Daerah Maran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran, di sini, hari ini.
Turut mengiringi Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Baginda juga sempat berpesan supaya semua pihak sentiasa mematuhi SOP ketika berdepan pandemik COVID-19, lebih-lebih lagi ketika musim banjir ketika ini.
“Kepada semua petugas dan mangsa banjir, patuhi SOP ditetapkan kerajaan negeri bagi mengelak berlakunya penularan baharu pandemik COVID-19,” katanya.
Seramai 361 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di sekolah itu sejak banjir melanda daerah Maran,Jumaat lalu.
Baginda berdua juga meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau keadaan mangsa dan mengurniakan sumbangan kepada semua mangsa ditempatkan di PPS itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MANGSA YANG HILANG ROZI OMAR DITEMUI OLEH PASUKAN PENYELAMAT PAGI INI
LIPIS: Seorang mangsa lemas dari dua beranak yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka bersama ahli keluarga lain yang karam ketika cuba merentasi Sungai Jelai, dekat Kampung Bertang, di sini semalam telah ditemui pada jam 9.45 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, mangsa Rozi Omar, 52, ditemui kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan tersangkut dalam kebun pisang penduduk kampung apabila air banjir mula surut.
Katanya, pada jam 12 tengahari semalam, mangsa, Rozi Omar, 52, bersama anaknya, Nur Zakirah Ahmad Husin, 19, menaiki bot berkenaan bersama suaminya, Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan seorang lagi anak mereka, Nur Aina, 23.
Di Kampung Bertang tempat berlaku nahas
“Kejadian bot karam itu berlaku di Sungai Jelai, berhampiran jambatan gantung, Kampung Bertang, Ulu Jelai, Sungai Koyan dan semua mangsa tinggal di kampung Bukit Betong, Sungai Koyan.
“Siasatan awal polis mendapati bot yang di gunakan bersama ahli keluarga untuk kembali ke rumah untuk melihat keadaan rumah yang telah dinaiki air, telah terbalik disebabkan arus deras,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan Rozi Omar, 52, dan anaknya, Nur Zakirah Ahmad Husin, 19, telah terjatuh ke dalam sungai manakala suaminya Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan seorang lagi anak mereka, Nur Aina, 23 terselamat.
Katanya, anak mangsa, Nur Zakirah Ahmad Husin, 19, masih belum ditemui dan usaha mencari dan penyelamat sedang dilakukan oleh 31 orang pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri polis dan bomba. Penyelamat sedang meneruskan pencarian mangsa yang masuk hari kedua di sekitar kawasan kejadian dan kawasan sekitar.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAMLAH: MALAM TADI DI LAMAN, PAGI INI AIR MASUK DALAM RUMAH
JERANTUT: “Air naik setakat di laman rumah malam tadi tapi tak sangka pagi ini air naik mendadak dan masuk ke dalam rumah, saya terus kemas barang dan pindahkan ke tempat selamat,” kata mangsa banjir yang tinggal di jalan masuk ke Simpang Felda Padang Piol, pagi ini.
Beberapa pintu rumah dinaiki air di jalan masuk Persimpangan Felda padang Piol
Ramlah Mohamad, 67 tahun, berkata air mendadak naik awal pagi ini sehingga paras pinggang, saya dan suami segera punggah barang berharga ke tempat selamat seperti peti ais, televisyen dan alatan elektrik yang lain.
Ramlah Mohamad, air mendadak naik awal pagi ini
“Pada banjir 2014, rumah saya runtuh akibat banjir dan rumah ini baru dibina semula, tapi kali ini air betul-betul naik mendadak dan tidak menyangkanya.
“Mujur tak berlaku sebarang kemalangan jiwa kerana jiran-jiran pun sudah alami perkara yang sama pada 2014,” katanya di hadapan rumahnya pagi ini.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggerakkan bot penyelamat ke Kampung Paya Garuk, pagi ini.
Kira-kira 20 pintu rumah lain turut ditenggelami air sepanjang simpang jalan masuk ke Felda Padang Piol, mula malam tadi.
Jalan Jerantut-Kuala Tahan turut ditutup kepada lalu lintas kerana air naik di tiga tempat sedalam antara 1 meter hingga 2 meter dan jarak antara 50 meter hingga 200 meter, manakala laluan ke Kampung Paya Garuk terus lumpuh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SELAIN MEMBERI PERKHIDMATAN BOT TAMBANG TURUT MEMASANG JARING.
JERANTUT: Musim banjir yang menjadi musibah kepada semua orang tetapi ada yang meraih rezeki memberi perkhidmatan bot tambang untuk mengangkut orang ramai menyeberang jalan atau kawasan yang digenangi air ke tempat yang selamat.
Jalan Jerantut- Kuala Tembeling yang terputus disebabkan air naik kira-kira antara 1.00 meter hingga 2.00 meter berdekatan Jambatan Sungai Teh serta sejauh kira-kira 300 meter tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan, hari ini.
Jalan Jerantut – Kuala Tembeling ditutup untuk semua kenderaan
Seorang penduduk Kampung Teh, Othman Mamat, 42 berkata, mula memberi perkhidmatan bot tambang sejak dua hari lalu ketika jalan itu mula tidak boleh dilalui dan keadaan air sekarang masih bertahan.
“Kami ada empat buah bot yang berulang alik dari Jambatan Sungai Teh ke Kampung Kuala Teh, untuk mengangkut orang kampung yang keluar masuk untuk mendapat bekalan di bandar selain membantu menghantar bantuan bekalan makanan kepada mangsa banjir.
Othman Mamat, 42 , memberi perkhidmatan bot tambang sejak dua hari.
“Kami memberi perkhidmatan dengan penuh ihsan dan tidak memikirkan keuntungan tetapi hanya untuk membeli petrol sahaja, RM5 dikenakan bagi setiap perjalanan seorang, “ ketika ditemui hari ini.
Katanya, dia dan rakan lain tidak bermain-main ketika mengendalikan bot untuk membawa penumpang, mereka sangat mementingkan faktor keselamatan.
Selain itu, Othman turut memasang jaring di Sungai Teh, sebagai hobi , setakat dua hari dapat kira-kira 20 kilogram pelbagai jenis ikan dapat ditangkap.
Othman menjual ikan ditangkapnya kepada orang ramai yang berada di lokasi banjir, hari ini
“Ikan lampam, kerai dan juga ikan patin sangkut dijaring, saya jual aja… satu beg plastik kira-kira tujuh ke sepuluh ekor mengikut saiz dan dijual RM10 sahaja,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA TINGGI : Sebanyak 13 jalan utama di sini ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan ditenggelami banjir antara 0.5 hingga 1.2 meter.
JKR Johor dalam kenyataannya berkata, semua 13 laluan itu ditutup sejak jam 9 pagi hari ini.
BH Online melaporkan, laluan yang terjejas termasuklah Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran kubu (1.0 meter), Jalan Kota Tinggi-Mersing Batu 16 (0.8 meter) dan Jalan Kota Tinggi-Mersing di RISDA (0.85 meter).
Turut ditutup sepenuhnya adalah Jalan Kota Tinggi-Kluang di Arked Mara (0.7 meter), Jalan Lok Heng-Mawai-Sungai Mas di Jambatan Sungai Semalok (1.0 meter), Jalan Tai Hong (0.7 meter) dan Jalan Tai Hong berhampiran kampung (1.1 meter).
Selain itu, Jalan Tun Sri Lanang (0.9 meter), Jalan Semanggar dekat jambatan (1.2 meter), Jalan Mawai Lama (0.6 meter), Jalan Kampung Kelantan-Kampung Panti (0.6 meter) dan dua kawasan di Jalan Sungai Telor yang dinaiki air 1.7 meter dan 1.2 meter.
Gambar: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH : Seramai 615 mangsa banjir ditempatkan di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perak setakat jam 7.30 pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kesemua PPS berkenaan dibuka sejak semalam selepas 12 kawasan terjejas di Kampar, Hilir Perak dan Muallim.
“Daerah Muallim mencatat jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan 477 orang daripada 119 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS, iaitu satu PPS di Tanjung Malim dan tujuh PPS di Slim River,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Harian Metro melaporkan, Daerah Hilir Perak pula mempunyai 85 mangsa daripada 24 keluarga yang ditempatkan di di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
Katanya, 53 mangsa daripada 18 keluarga di Kampar yang ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Batu 20 dan Dewan Dato Azman Mahalan.
Gambar: Bomba/Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLUANG – Seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan dekat sini ditemui mati lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras sebuah sungai melimpah di Kampung Bentong di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa, Ikmal Hakimi Mahasan, 20, ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Ketua Polis Daerah Kluang, sisten Komisioner Law Hang Seng berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan untuk ke rumah seniornya dikenali sebagai Amir yang tinggal di Kampung Bentong.
“Bapa mangsa, Mahasan Mohd Daud, 50, memberitahu Hakimi mahu ke rumah senior universitinya dikenali sebagai Amir di kawasan Kampung Bentong tetapi kawasan itu tidak dapat dilalui kerana dinaiki banjir.
“Mangsa juga ada memberitahu rakannya bernama Syafikh bahawa dia dapat tahu ada jalan lain ke Kampung Bentong iaitu melalui jalan Kampung Melayu Nyior.
“Namun selepas daripada itu, percubaan untuk menghubungi telefon bimbit milik mangsa dan pencarian di rumahnya juga gagal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hang Seng berkata, mangsa adalah pelajar tahun pertama USIM.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk bedah siasat.-
Video/gambar: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA TERENGGANU : Mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 804 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), pagi ini.
Setakat 8 pagi tadi, kesemua mangsa daripada 205 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS di Dungun dan Kemaman.
Malam tadi, hanya 138 mangsa daripada 40 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di daerah sama.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman sekali lagi menjadi daerah yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang kelima.
Katanya, seramai 609 mangsa daripada 145 keluarga dipindahkan di daerah Kemaman susulan hujan yang melanda sejak Jumaat.
“Kesemua mangsa dipindahkan ke enam PPS yang dibuka secara berperingkat, sejak malam tadi.
“Di Dungun, tiga PPS diaktifkan bagi menempatkan 195 mangsa daripada 60 keluarga,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, dua sungai kini melepasi paras bahaya iaitu masing-masing satu di Dungun dan Kemaman, manakala empat lagi sungai berada pada paras amaran.
Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun kini melepasi paras bahaya 21.12 meter (m) berbanding paras normal 14 m.
Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman yang merekodkan bacaan 18.76 m berbanding paras normal 15 m.
Empat sungai yang berada di paras amaran membabitkan daerah dua di Kemaman, serta masing-masing satu di Setiu Hulu Terengganu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!