Kerajaan negeri Pahang menyokong usaha pihak polis cegah salah laku buli di sekolah
BENTONG – Kerajaan negeri Pahang mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha dalam mencegah sebarang salah laku di kalangan pelajar di Pahang.
Seramai 738 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ditempatkan di seluruh Pahang pada tahun ini dalam usaha mencegah penglibatan pelajar daripada terjebak dengan sebarang salah laku jenayah.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kewujudan jawatan penolong juga dapat membantu PPS di sekolah terlibat.
Jelasnya , ini adalah antara strategi dalam membanteras kes-kes yang membabitkan pelajar khususnya salah laku buli dan jenayah seksual.
“Kita berusaha agar pelajar tidak mencatat rekod dalam diri, melakukan kesalahan atau disabitkan kesalahan jenayah kerana ini boleh mengganggu masa depan mereka.
Kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah dipertingkatkan daripada sekali ke dua kali setahun persidangan dengan pihak sekolah,” katanya.
Beliau ditemui media selepas program First Day at School Peringkat Negeri Pahang 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang .
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali berkata. jawatan penolong juga dapat membantu PPS di sekolah terlibat.
Beliau berharap dapat dipertingkatkan lagi penglibatan PPS di sekolah terlibat pada tahun depan,” tambahnya.-SAHIH
.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RM9 juta Inisiatif Makmur Pahang bantu kurang beban ibu bapa
KUANTAN – Program Tunas Makmur dan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) dilancarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Januari lalu, bertujuan meringankan beban ibu bapa.
Menerusi program itu, murid dan pelajar yang layak akan menerima set peralatan persekolahan bernilai RM100.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM9 juta ringgit untuk inisiatif yang memberi manfaat kepada 90,000 pelajar seluruh Pahang.
Wan Rosdy ketika ditemui selepas meluangkan masa menyerahkan sumbangan IM Pahang kepada murid Sekolah Kebangsaan Janda Baik, dekat Bentong, berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha kerajaan negeri membantu persekolahan anak-anak Pahang.
“Bagi yang menerima sumbangan ini, mereka akan mendapat set peralatan sekolah dan kepada yang tidak mendapat set IM Pahang, kerajaan negeri menyediakan kad diskaun untuk mereka membeli peralatan sekolah.
“Program ini diadakan di seluruh negeri Pahang secara serentak hari ini dan sumbangan akan diserahkan oleh Exco atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ADUN Lantikan atau penyelaras DUN atau wakil mereka,” katanya.
Beliau berharap program berkenaan dapat mencapai objektif utama untuk membantu ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan peralatan sekolah kepada anak-anak mereka.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Seramai 244,799 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di Pahang memulakan sesi akademik 2025/2026 hari ini melibatkan 739 sekolah di seluruh negeri.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Ahmad Zamri Md Isa berkata, 46,240 merupakan murid baharu melibatkan 24, 740 murid tahun 1, manakala 21, 500 adalah pelajar tingkatan 1.
Menurutnya , sejumlah 123, 640 adalah murid sekolah rendah dan 74,919, pelajar sekolah menengah.
” Kesemua pelajar meneruskan sesi persekolahan di 739 sekolah seluruh negeri terdiri daripada 541 sekolah rendah dan 198 sekolah menengah.
“Pengoperasian semua sekolah hari ini berjalan lancar dengan kerjasama daripada seramai 23, 392 guru dan 4,158 Anggota Kumpulan Perlaksana (AKP),”
Beliau ditemui media selepas Program 1st Day At School Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang .
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pahang berjaya bina 42,061 unit rumah untuk rakyat Pahang
BANDAR JENGKA 15 FEB- Kerajaan Pahang membina 42,061 unit rumah daripada 173 projek sejak Projek PR1MA Pahang dilancarkan pada 2013.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut 8,194 unit telah berjaya disiapkan, 1,769 unit dalam pembinaan, manakala bakinya 32,098 unit lagi dalam perancangan.
“Rumah PR1MA Pahang ini merupakan projek perumahan yang paling laris dijual dan mendapat permintaan tinggi daripada rakyat memandangkan rumahnya berkonsepkan berkembar (semi-D) dengan luas lantai 1,000 kaki persegi dan luas tanahnya 2,800 kaki persegi serta dijual pada harga RM150,000 seunit.
“Hari ini, sebanyak 58 unit PR1MA Pahang yang bernilai RM 8.7 juta dan 57 unit Rumah Makmur yang bernilai RM4.56 juta berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Prima Pahang, Rumah Makmur Bandar Jengka dan Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 5, di Bandar Jengka, hari ini.
Katanya, dalam usaha membangunkan negeri Pahang, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan aspek kesejahteraan rakyat, termasuk penyediaan perumahan mampu milik.
“Keperluan untuk memiliki rumah sendiri adalah antara perkara asas yang menjadi impian setiap individu, terutama bagi mereka yang baru membina keluarga dan golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
“Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelbagai inisiatif perumahan seperti PR1MA Pahang, Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang bagi memastikan rakyat negeri ini mampu memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Angsanapuri Development Sdn Bhd, Datuk Indera Norzan Ahmad memberitahu, ia adalah projek Fasa 1 dan berdepan kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sebelum berjaya disiapkan pada tahun lepas.
Menurutnya, pembeli sudah boleh masuk ke rumah masing-masing bila-bila masa selepas hari ini( Jumaat) kerana segalanya sudah siap diduduki.
“Untuk Fasa 2 membabitkan 118 unit rumah PR1MA, kita sudah bermula dan memasuki tahap 20 peratus,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penunggang wanita warga Brunei terbabit kemalangan meninggal ketika rawatan d Hospital Bera
BERA : Seorang wanita penunggang motosikal berkuasa tinggi warganegara Brunei Darussalam meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, di KM 17 Jalan Bera – Mayam, dekat sini dengan sebuah lori pada jam 11.00 pagi, semalam
Ketua Polis Daerah Bera, Supritendan Zulkiflee Nazir berkata, wanita tersebut, Ili Aiman Abd Rahman berusia 38 tahun beralamat Jalan 32 RPN Kampung Rimba Gadong, Negara Brunei Darussalam menyertai kumpulan berkonvoi bersama 25 penunggang lain yang juga warga Brunei
Katanya, siasatan awal mendapati, penunggang wanita yang menunggang motosikal jenis Honda Rebel 500 telah hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dan masuk ke laluan bertentangan.
“Kemudian berlanggar dengan sebuah lori jenis Isuzu yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah dibawa ke Hospital Bera dan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 12.30 tengah hari, semalam,” katanya.
Katanya, punca kematian disebabkan patah tulang pelvis akibat perlanggaran itu, manakala, pemandu dan penumpang lori tersebut masing-masing berusia 28 tahun mengalami kecederaan ringan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bapa sempat bawa anaknya naik ke tepi gaung sebelum meninggal dalam kemalangan di Raub.
RAUB – Seorang bapa sempat membawa naik anak perempuannya berusia lima tahun dari gaung sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan yang berlaku di berlaku di Jalan Lama Raub – Bentong di jambatan besi pertama ke Pekan Tras dekat sini, pada jam 6.00 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superitendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh lelaki iaitu bapa kepada kanak-kanak itu yang berusia 30 tahun dalam perjalanan dari arah Tranum menuju ke Raub.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.
“Akibat kemalangan tersebut, bapa kepada kanak-kanak itu yang masih sedar telah membawa naik anaknya yang duduk di tempat penduduk penumpang hadapan ketika itu sudah tidak sedarkan diri,” katanya.
Katanya, petugas perubatan dari Hospital Raub tiba di lokasi kejadian dan mengesahkan kanak-kanak itu meninggal di di lokasi kemalangan.
“Siasatan awal di tempat kejadian dapati kemalangan berpunca daripada pemandu itu telah memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Juhari (enam dari kiri), AJK Perkim Bera dan Pengurusan PJMM, PJI, PJNH serta KESUMA ’24 merakamkan kenangan selepas melawat persekitaran tanah untuk tapak bangunan pusat jagaan yang akan dibuka.
Perkim Bera buka pusat warga emas
PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bera, Pahang, melakukan pelbagai urusan dalam usaha membuka pusat jagaan warga emas di daerah berkenaan terutama selepas mendapat sokongan dan kerjasama banyak pihak untuk merealisasikan kerja amal kebajikan itu.
Selain mendapat perhatian bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha itu juga turut menarik sokongan moral daripada Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Nasim Datuk Mohd Sidek yang dilantik sebagai penaung projek itu.
Pengerusi Perkim daerah itu, Juhari Abdul Kadir, berkata pelantikan pegawai daerah sebagai penaung memberi suntikan semangat kepada keseluruhan ahli jawatankuasa (AJK) pembukaan pusat jagaan berkenaan kerana akan membantu dalam urusan pengambilalihan tanah, pengukuran tapak dan sebagainya.
Juhari menunjukkan kawasan persekitaran pejabat Perkim Bera yang akan dibersihkan untuk penyediakan kawasan pusat jagaan.
Menurutnya, paling menggembirakan apabila ramai ahli jawatankuasa yang dilantik bagi menjayakan projek itu merupakan dalam kalangan profesional dan mereka yang berjaya dalam kerjaya masing-masing bersedia membantu serta berkongsi idea bagi memastikan pusat jagaan warga emas berjaya dibuka.
Tambahnya, keluasan tanah mendirikan bangunan kekal pusat jagaan itu sudah dikenal pasti cuma menunggu kerja peta topografi dilakukan oleh pihak bertauliah bagi mendapatkan kesahihan yang boleh diterokai atau diguna pakai.
“Ia juga bagi mengelak daripada termasuk dalam tanah rezab kerajaan kerana pusat jagaan ini berhampiran jalan utama Pekan Bera di samping memastikan selamat untuk mendirikan bangunan yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.
“Perkim dan ahli jawatankuasa projek ini perlu lebih cakna dalam meneliti pelbagai perkara supaya tidak menganggu kepentingan awam kerana apabila bangunan pusat jagaan didirikan ia akan kekal lama di situ di samping memerlukan sokongan dan kerjasama masyarakat setempat untuk beroperasi,” ujarnya ketika memberi taklimat ringkas kepada pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) dan Pusat Jagaan Insan (PJI), Semenyih, Selangor serta Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor di Pejabat Perkim daerah itu baru-baru ini.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi PJI, Muhammad Syafiq Mohiadin; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; serta AJK Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Zaiton Yaacob, Norizan Tauhid, Setiausaha Rozita Yaakob; dan Pegawai Sosial Perubatan Hospital Bera, Azhar Ahmad hadir dalam taklimat berkenaan di samping melihat tapak untuk dibangunkan bangunan pusat jagaan itu.
Juhari berkata, sebaik sahaja kerja peta topografi siap sepenuhnya Perkim Bera akan mengusulkan segera permohonan kepada pelbagai pihak berkuasa terbabit bagi mendapatkan kelulusan yang mungkin akan melalui banyak tapisan sebelum kebenaran diberikan.
Menurutnya, Perkim Bera akur setiap peraturan atau syarat yang ditetapkan pihak berkuasa terbabit kerana pusat jagaan itu nanti akan menempat warga emas yang tersisih, orang kelainan upaya (OKU), gelandangan, sebatang kara, uzur dengan menghidap penyakit dan sebagainya.
Tambahnya, walaupun akan diuruskan di bawah kerja amal kebajikan namun warga emas yang akan ditempatkan perlu mendapat kebenaran daripada ahli keluarga atau sanak saudara, direkodkan untuk makluman pihak berkuasa terbabit bagi mengelak berlaku perkara berbangkit.
“Pusat jagaan ini bukan setakat menjaga warga emas dari segi makan, minum, pakaian dan mendapatkan rawatan kesihatan sahaja, mereka juga akan mengikuti aktiviti keagamaan seperti kelas agama dan mengaji kerana pusat tahfiz juga akan diwujudkan.
“Kami berharap pusat jagaan ini dapat beroperasi pertengahan tahun 2025 dan untuk permulaan Perkim Bera akan mengambil kira-kira 50 warga emas sahaja, bagaimanapun ia bergantung kepada prasarana yang bakal disediakan demi keselesaan mereka,” ujarnya lagi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad sempena Program Selamat Datang Ke Sekolah peringkat Felda Wilayah Jengka di Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut, Pahang .
Seorang guru, Azizah Mokhtar, 41, berasa gembira apabila anak sulungnya menerima sumbangan pakaian seragam, kasut, beg dan peralatan sekolah daripada Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad sempena Program Selamat Datang Ke Sekolah peringkat Felda Wilayah Jengka.
Guru Sekolah kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Satu itu antara 59 orang ibu bapa dan penjaga Felda Kota Gelanggi 1 dan Felda Kota Gelanggi 3 yang mempunyai anak berusia tujuh tahun akan memulakan persekolahan baharu Isnin ini menerima sumbangan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan, Haris Salleh Hamzah.
Azizah berkata, pada mulanya dia terkejut kerana anaknya, Muhammad Uqail Razman, 7, dipilih untuk menerima sumbangan tersebut sedangkan dia merupakan seorang penjawat awam dan mempunyai pendapatan tetap.
Saya tidak menyangka, setahu saya hanya golongan atau keluarga yang memerlukan sahaja diberikan bantuan persekolahan memandangkan mereka berpendapatan rendah dan tidak tetap di kampung dan pedalaman.
“Tetapi, setelah diberikan penjelasan oleh pihak berkenaan bahawa sumbangan tersebut telah ditetapkan untuk murid yang menjejakkan kaki ke Tahun Satu di sekolah kawasan Felda seluruh negara, baharulah saya faham,” katanya selepas majlis tersebut di Felda Kota Gelanggi Satu dekat sini hari ini.
Menurut Azizah, dia berterima kasih kepada Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad di atas sumbangan tersebut sekali gus menceriakan serta menyuntik semangatnya anak sulungnya, Muhammad Uqail Razman melangkah ke SK Felda Kota Gelanggi Satu pada hari Isnin (17 Februari) minggu depan.
Suri rumahtangga generasi kedua Felda, Siti Aishah Kassim, 40, berkata, sumbangan kelengkapan persekolahan daripada pihak berkenaan mampu meringankan beban kewangan suaminya yang hanya bekerja sebagai buruh ladang.
“Dengan peralatan persekolahan yang bernilai RM150 amat bermakna bagi kami sekeluarga lebih lagi mengurangkan belanja persiapan persekolahan kerana saya perlu membiayai keperluan yang sama bernilai masing-masing RM200 untuk dua orang anak lagi di sekolah rendah dan sekolah menengah,”katanya.
Dia berkata, keprihatinan pengurusan Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad, iaitu memahami keperluan ibu bapa merupakan tanggungjawab sosial yang amat dihargai oleh kalangan generasi kedua Felda di situ.
Sementara itu, Haris Salleh berkata, sebanyak RM2.25 juta diperuntukkan oleh Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad untuk menyediakan kelengkapan persekolahan Tahun Satu di kawasan seluruh negara tahun ini.
“Hari ini, agensi tersebut telah menyumbangkan keperluan persekolahan kepada seramai 1,206 orang kanak-kanak yang akan memasuki Tahun Satu di 37 buah sekolah di kawasan Felda Wilayah Jengka tahun ini,” katanya.
Ujarnya, sumbangan itu antara usaha serta tanggungjawab sosial agensi tersebut mengutamakan pembangunan pendidikan khususnya melestarikan kebajikan ibu bapa dan penjaga murid generasi kedua di kawasan Felda.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH : Instruktor kecergasan, K. Jey Prabakaran Thevar bertekad untuk memecah tiga rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dengan melakukan lompat bicu (jumping jack), sambungan kaki (extension leg) dan ulangan mencangkung (squating) paling banyak dalam sehari pada 8 Mac ini.
Atlet berusia 28 tahun kelahiran Lipis itu menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 3,000 ulangan bagi setiap kategori dan berharap dapat menamatkan setiap percubaan dalam tempoh lima jam.
Sebelum ini, beliau sudah mempunyai rekod dunia, Asia dan Malaysia di bawah tali pinggangnya untuk sesi senaman kardio tanpa henti paling lama.
“Saya tidak mahu untuk memberhentikan prestasi saya dalam masa terdekat kerana mahu memecahkan rekod MBOR pada 8 Mac dengan melakukan disiplin seperti lompatan bicu, sambungan kaki dan ulangan mencangkung paling banyak dalam sehari.
“Saya sekali lagi mahu melakukan disiplin ketahanan fizikal dan daya tahan mental, tapi kali memberi tumpuan kepada otot kaki saya berbanding rekod sebelum ini untuk senaman kardio tanpa henti di mana saya menggunakan sepenuhnya kekuatan badan dan tangan untuk rutin termasuk sesi senaman angkat berat,” katanya di sini.
Anak bongsu daripada empat beradik itu, Jey Prabakaran menyifatkan cabaran luar biasa beliau untuk mencipta rekod baharu Malaysia dalam tiga kategori kecergasan yang meletihkan sebagai menguji ketahanan, kekuatan dan ketabahannya.
“Persediaan telah bermula pada akhir tahun lalu termasuk melalui diet ketat untuk mengurangkan berat badan saya, sebelum ini hanya berfokus kepada stamina seperti rekod lepas, kali ini ke arah membina kekuatan kaki supaya saya mampu bertahan melalui ketiga-tiga rutin itu.
“Saya telah melatih otot-otot kaki dengan berlari secara condong beberapa jam sehari dan ketika ini, saya menjalani latihan empat jam sehari dan sesi latihan akan ditingkatkan kepada tempo yang lebih tinggi minggu depan,” katanya.
Beliau penerima Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam kerja sosial di Dayspring Theological University di Amerika Syarikat pada 2022 berkata, sejak dia sudah menjalani tiga pembedahan, pasukan bimbingannya telah merangka perancangan rapi untuk memastikan dia bebas daripada kecederaan menjelang Mac depan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Sebahagian pelajar SPM 2025 bergambar kenangan.
PROGRAM Anak Kita: SPM 2025
Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan Malaysia yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah bersama USM bagi menjayakan Program Anak Kita: SPM 2025.
Program peringkat negeri Kedah itu diluncurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, Langkawi, serta beberapa lokasi lain termasuk Dewan Al-Farabi, Zon B, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah; Bilik Kenangan Blok Ibnu Sina (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan SMK Pinang Tunggal bermula 19 hingga 22 Januari lalu .
Dr Nur Anuar (duduk tengah) bersama pegawai JPNK dan USM serta ibu bapa pelajar yang menerima bantuan tablet.
Ketua Pegawai Pendidikan Yayasan Hasanah, Dr Nur Anuar Abdul Muthalib, menegaskan bahawa Program Anak Kita: SPM 2025 USM merupakan bukti keberkesanan sinergi kerjasama dalam sektor pendidikan.
Menurutnya, yayasan berharap program itu dapat memperkasakan pelajar yang kurang berkemampuan serta membawa impak positif kepada pembangunan pendidikan negara.
“Selain itu, program berkenaan turut memanfaatkan hasil penyelidikan universiti melalui pemindahan ilmu dan inovasi akademik, memastikan pendekatan pembelajaran yang lebih efektif serta menyesuaikan keperluan pelajar secara individu.
“Program itu tidak hanya memberi impak kepada pelajar, tetapi juga mengukuhkan penglibatan komuniti melalui kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat serta membuka ruang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang mencabar untuk memperoleh pendidikan yang inklusif dan berkualiti,” katanya.
Katanya, semua pihak berharap inisiatif itu akan membantu mencorak masa depan pelajar dengan lebih cerah, sekali gus melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengarah Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK), Malek Abu Hassan; Felo Penyelidik (Perunding), Syed Yusof Syed Kechik; Ketua Projek USM, Dr Leelany Ayob; serta Ketua Jualan Perusahaan Wilayah, CelcomDigi Berhad, Lau Choon Wei.
Dr Nur Anuar berkata, program berkenaan bertujuan menyediakan intervensi sokongan pembelajaran bagi pelajar yang memerlukan, menangani isu keciciran, meningkatkan pencapaian akademik serta memperkukuh kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sebagai sebahagian daripada program nasional Program Anak Kita, yang membabitkan 83,752 pelajar dari 3,458 sekolah di seluruh negara, USM diberi mandat untuk melaksanakan Tuisyen SPM 2025 yang merangkumi 10 negeri termasuk Wilayah Persekutuan, membabitkan 10,000 pelajar dari 410 sekolah.
“Di Kedah sahaja, program itu memberi manfaat kepada 1,200 pelajar dari 29 sekolah dengan pelaksanaan selama 15 bulan bermula Mac 2025 hingga Ogos 2026,” katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah pemerkasaan pembelajaran digital, setiap pelajar dalam program itu diberikan tablet pendidikan yang dilengkapi dengan pelan data percuma selama 13 bulan bagi menyokong pembelajaran dalam talian serta akses kepada sumber pendidikan digital.
“Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama CelcomDigi Berhad, yang menyediakan akses internet tanpa had bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran tanpa halangan,” katanya.
Sementara itu, Felo Penyelidik (Perunding), Malek Abu Hassan ketika berucap pada majlis berkenaan, menekankan kepentingan penggunaan teknologi secara bijak dan bertanggungjawab selain memanfaatkan tablet pendidikan yang diberikan untuk pembelajaran dan tidak menyalahgunakannya untuk perkara tidak berfaedah.
“Gunakan kemudahan ini untuk meningkatkan prestasi akademik dan membina masa depan yang lebih cerah. Jangan sia-siakan peluang diberikan.
“USM sebagai pelaksana program komited dalam memperkasakan pelajar melalui pendekatan holistik dan intervensi berstruktur. Program ini bukan sahaja menumpukan kepada peningkatan prestasi akademik tetapi juga pembangunan diri dan persediaan pelajar menghadapi kehidupan selepas sekolah,” katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!