Bubur Lambuk Perdana: Gabungan NGO Temerloh Anjur Program Amal Komuniti
TEMERLOH – Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga bersama beberapa agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Temerloh dalam Program Muhibbah Ramadan memasak bubur Lambuk yang diadakan di Bengkel Hajah Zariah, Kampung Bukit Kemuning, Temerloh, Pahang .
Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli, berkata program tahunan ini bertujuan memperkukuh hubungan komuniti melalui pengagihan kira-kira 1,000 bekas bubur lambuk ke masjid serta kepada ahli-ahli NGO yang terlibat.
“Program ini telah berlangsung sejak beberapa tahun lalu di lokasi yang sama. Dengan gabungan NGO yang pelbagai latar belakang, kita dapat mengumpulkan tenaga kerja yang lebih efektif dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, idea penyatuan NGO ini bermula tahun lalu bagi mengatasi cabaran kekurangan dana serta tenaga kerja dalam setiap program. Sebagai contoh, kejayaan penganjuran Fun Walk di Tasik Bandar dan Taman Tasik Temerloh sebelum ini menunjukkan bahawa aktiviti bersepadu mampu menarik penyertaan lebih ramai, dengan kehadiran sekitar 700 hingga 800 peserta.
Sementara itu, Ketua AADK Daerah Temerloh, Mohd Zaharami Zakaria, menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu NGO dalam membantu program-program pencegahan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam mendekati klien yang sedang dalam pemulihan.
“Kami berharap kolaborasi ini dapat memberikan lebih banyak peluang kepada golongan ini untuk mendapat sokongan dari pelbagai pihak, termasuk komuniti setempat,” katanya.
Selain program agihan bubur lambuk, beberapa aktiviti lain seperti Nightwalk sempena kebangkatan Baginda Tuanku turut dirancang dengan penyertaan NGO .
Secara keseluruhan, sebanyak 12 aktiviti tahunan dirancang bagi memastikan keterlibatan komuniti dalam pelbagai aspek pembangunan sosial dan kebajikan.
Antara NGO yang terlibat dalam program ini adalah PEMADAM, PUSPANITA, SKUAD ANTIDADAH TEMERLOH dan PERKIM dan beberapa lagi badan sukarela yang komited dalam usaha memperkukuh peranan komuniti di Temerloh.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lokomotif G10 Series: Kebanggaan Negara dalam Industri Rel!
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi melakar sejarah dalam industri pengangkutan rel dengan kejayaan penghasilan Lokomotif G10 Series, sebuah inovasi kebanggaan negara yang menampilkan teknologi hijau terkini.
Dibangunkan dengan lebih 60% komponen tempatan, lokomotif ini membuktikan keupayaan industri kejuruteraan Malaysia dalam menghasilkan jentera berkualiti tinggi. Dengan keupayaannya menggantikan 100 trak kargo dan mengurangkan pelepasan karbon sehingga 75%, G10 Series merupakan satu langkah besar ke arah pengangkutan yang lebih lestari dan mesra alam.
Menariknya, kecanggihan lokomotif ini bukan sahaja diiktiraf di peringkat tempatan, malah mendapat perhatian di persada antarabangsa. Tanzania Railways Corporation telah pun mendapatkan lokomotif ini, dengan sokongan dana daripada Bank Dunia, sekaligus membuka peluang lebih luas untuk industri rel Malaysia menembusi pasaran global.
Menurut pakar industri, kejayaan ini membuktikan bahawa Malaysia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada teknologi luar, sebaliknya mampu menghasilkan lokomotif moden yang bersaing di peringkat antarabangsa. Malah, dengan keupayaan pengeluaran sendiri, Malaysia kini berada di landasan tepat dalam mengukuhkan kedudukan sebagai hab teknologi rel di rantau ini.
Usaha ini selaras dengan komitmen kerajaan dalam menggalakkan mobiliti hijau dan pengangkutan mampan bagi menjamin masa depan yang lebih bersih dan lestari. Dengan pencapaian ini, Malaysia bukan sahaja melangkah maju dalam industri rel, tetapi juga membuktikan bahawa produk buatan tempatan mampu menembusi pasaran dunia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Cikgu Muslimin menunjukkan buku teks Sejarah Tingkatan Empat hasil tulisannya kepada Fadhlina.
Guru hasil dua buah naskah buku dirinya
Bergelumang sebagai pendidik selama 37 tahun tidak disia-siakan begitu sahaja oleh Guru Cemerlang Sejarah, Muslimin Fadzil @ Syed Musleem apabila dia menghasil dua naskhah buku berjudul Cerita Dari Dalam dan Cerita Dalam Diri untuk tatapan umum yang telah diterbitkan selepas bersara pada 13 Januari 2024.
Buku itu merupakan kesinambungan naskhah buku Memoir Budak Kampung terdahulu yang ditulis oleh Muslimin mengisahkan suka duka beliau ketika zaman remaja, sebagai pendidik, mahasiswa, ahli politik, kolumnis dalam media arus perdana dan jurulatih utama matapelajaran Sejarah.
Cikgu Muslimin menyemak buku tulisannya yang baru diterima dari syarikat pencetak.
Beliau juga terbabit secara langsung membina kurikulum pendidikan Sejarah, pembabitan pada peringkat Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Bahagian Buku Teks (BBT), Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Guru Cemerlang (MGC) dan penulis buku teks.
Cikgu Muslimin yang bertekad meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan dengan menimba begitu banyak ilmu pengetahuan tidak hairanlah sehingga kini merupakan Guru Cemerlang Sejarah yang sewajarnya beliau menerima Anugerah Inovasi 2007 dan beberapa kali memenangi Anugerah Cemerlang Serba Daya anjuran kerajaan negeri Selangor.
Namun dengan kesibukan sebagai pendidik, penceramah, pakar motivasi, aktif dalam politik serta terbabit secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan bukanlah penghalangnya untuk menulis dua naskhah buku itu yang sarap dengan isu semasa, perangai dan lagak manusia.
Beliau berkata, naskhah itu merupakan garapan jujur beliau merakam pelbagai kisah kembaranya dalam dunia pendidikan selama lebih 30 tahun. Kisah digarap merangkumi penglaman pendidik yang meneroka dan merintis dunia pendidikan sejarah tanah air apabila sentiasa berubah mengikut arus.
Menurutnya, menerusi dua buku itu dengan jumlah 420 halaman dia menjadi tukang cerita yang kreatif, hebat dan menghiburkan dengan mengumpan pembaca ikut menyelami liku-liku suka duka dan tangis tawa dalam menjejaki perjalanan hidup beliau melalui cerita bervariasi dan kebinekaan, naratifnya mirip karya sastera sejarah, santai, bersahaja, lucu serta disulami pengajaran.
Tambahnya, bagi memastikan buku itu mampu membuka minda pembaca mengenai dunia pendidik, dalam ruang terbatas, dia menempelkan nota kaki, peribahasa, unsur sejarah dan budaya setempat di samping menjadi persaingan kepada buku Memoir Budak Kampung.
“Dalam menjamin keaslian dan ketulenan hasil penulisan, saya melakukan penyelidikan, pengumpulan bahan dan temu ramah dengan orang yang sumbernya disaring, informasi yang diterima akan disemak supaya tidak mencalarkan reputasi personaliti tertentu manakala fakta, pertarikhan nama dan peristiwa ditulis dalam bentuk sekunder.
“Hal ini dilakukan demi mengekalkan keharmonian kerana bahan yang digarap dalam dua buku berkenaan turut menerima buah fikiran dan saranan kawan-kawan rapat yang terjerumus dalam bidang pendidikan sama sezaman saya.
“Kerana itu saya percaya cerita yang dihidangkan berupaya bergenang air mata dan sukma warga pendidik yang ikhlas melaksanakan tugas dengan menempuh pelbagai ranjau, cacian, bebanan, kepayahan dan sebagainya demi kecemerlangan anak bangsa,” ujarnya yang ditemui di Tanjong Karang, Selangor.
Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai seorang pendidik di Sekolah Menengah (SM) Tiram Jaya, Tanjong Karang, Selangor iaitu sekolah mula ditugaskan mengajar sehinggalah bersara.
Cikgu Muslimin berkata, dia bukanlah selebriti popular atau tokoh korporat terbilang mahu pun orang politik tersohor yang kisah hidupnya boleh menjadi karya magnum opus, dia hanya orang kecil apabila cerita komitmen pendidik mendidik anak didik dan individu yang prihatin, pasti dialami oleh pendidik lain malah lebih hebat lagi.
Pada Mac 2020 hingga 2021 apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, beliau meningkat usaha menulis dua buku berkenaan dengan memanfaatkan waktu senggang terutama pada malam sebelum tidur bagi mengupas ingatan lampau.
Beliau berpendapat tidak ramai orang membukukan pengalaman hidup mereka semasa berkhidmat, hal itu disebabkan orang kita keberatan bersikap jujur terutama apabila kisah yang digarap boleh menyentuh sensitiviti personaliti atau warisnya.
Menurutnya, ekoran itu dia akan mengajukan pertanyaan kepada rakan rapat mengenai perkara serupa yang ramai mencadangkan supaya beliau meneruskan usaha murni menulis dua buku berkenaan kerana akan menjadi bahan bacaan berguna kepada mereka yang baru menceburi bidang pendidikan.
“Secara keseluruhan, isi ceritanya mengujakan, kerana ada kisah lucu, cerita sedih, insiden yang seakan tidak logik tetapi realitinya berlaku mungkin akan ditempuhi pendidik baharu apabila sesetengahnya terpaksa memulakan tugas di pedalaman serba kekurangan,” ujarnya.
Kepada mereka yang berminat mendapatkan buku berkenaan boleh menghubungi Cikgu Muslimin menerusi nombor telefon bimbit 019-388 7874. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANTHONY LOKE LANCAR KEMPEN KESEDARAN PENGGUNAAN TOPI KELEDAR DI JERANTUT
JERANTUT – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa pemakaian topi keledar yang betul mampu mengurangkan risiko kemalangan maut dalam kalangan penunggang motosikal.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kempen keselamatan jalan raya di Jerantut hari ini, yang memberi tumpuan kepada kesedaran pemakaian topi keledar dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal.
Menurut beliau, statistik menunjukkan lebih 60 peratus kematian akibat kemalangan motosikal berpunca daripada kecederaan kepala kerana tidak memakai topi keledar atau menggunakannya dengan cara yang salah.
“Kita mahu semua pengguna motosikal faham bahawa topi keledar bukan sekadar mematuhi undang-undang, tetapi ia boleh menyelamatkan nyawa. Kesedaran ini perlu ada dalam diri setiap penunggang,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dato’ Jana Santhiran Muniayan serta pegawai-pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebagai sebahagian daripada program ini, sebanyak 500 topi keledar diberikan secara percuma kepada penunggang motosikal yang layak. Demonstrasi pemakaian topi keledar yang betul turut diadakan bagi memastikan orang ramai memahami kepentingan langkah keselamatan ini.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata kerajaan akan memperhebatkan kempen keselamatan jalan raya dengan penglibatan lebih banyak pihak termasuk syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita mahu semua pihak berganding bahu dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.
Kempen ini akan diteruskan di beberapa negeri lain sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di seluruh negara.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bas Naik Harga Gila-Gila? APAD Dah Mula ‘Hidu’ Syarikat Tamak, Permit Mungkin Ditarik!
JERANTUT – Kerajaan tak main-main! Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan untuk segera menyiasat syarikat bas yang sewenang-wenangnya menaikkan tambang sempena musim perayaan. Jika terbukti bersalah, permit operasi mereka bakal ditarik serta-merta!
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menegaskan, pihaknya sudah berkali-kali mengingatkan pengusaha bas supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang tidak masuk akal kepada penumpang yang mahu pulang ke kampung halaman.
“Bawah peraturan sekarang, tambang bagi bas ekspres ekonomi dikawal oleh kerajaan, manakala bas eksekutif tertakluk kepada harga pasaran. Tetapi itu bukan alasan untuk caj tambang sampai berlipat ganda!
“Kita dah terima aduan, dan APAD sudah diarahkan untuk turun padang hari ini juga bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap syarikat yang melampau,” katanya ketika ditemui selepas program keselamatan jalan raya di sini.
Sebelum ada akbar melaporkan rungutan penumpang yang terpaksa membayar hampir RM120 untuk perjalanan ke Pantai Timur, sedangkan sebelum musim perayaan harga tiket hanya sekitar RM40.
Menurut Loke, jika siasatan mendapati syarikat bas ekonomi menaikkan harga sesuka hati, pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk menarik balik permit mereka.
“Kalau bas eksekutif pun naik harga terlalu melampau, kita akan kaji tindakan sewajarnya. Jangan fikir boleh kaut untung tanpa fikir kesusahan rakyat!” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Pengangkutan sedang mengenal pasti lokasi premis kerajaan negeri yang kosong untuk dijadikan cawangan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan urusan penduduk luar bandar.
“Ramai orang kampung terpaksa pergi jauh untuk urusan JPJ. Jadi, kita akan pertimbang pembukaan cawangan baharu termasuk di Jerantut,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 500 topi keledar baharu diberikan kepada penduduk daerah ini bagi menggantikan peralatan lama sebagai usaha meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di jalan raya.
Tindakan kerajaan terhadap syarikat bas yang menaikkan harga melampau bakal dinanti-nantikan rakyat. Adakah pengusaha bas yang tamak ini akan terlepas begitu sahaja, atau bakal dikenakan tindakan tegas? Kita tunggu dan lihat!-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dari kanan, Idris, Pak Yub dan Omar Chong bersama-sama otai pencen bersiap sedia untuk memasak bubur lambuk.
Geng Otai bubur lambuk guna resepi orang pencen
Geng Otai Bubur Lambuk Surau As-Siddiq (SAS), Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, buat kali pertama menunjukkan skil memasak bubur lambuk resipi orang pencen untuk menyantuni jemaah sebagai menu apabila berbuka puasa.
Usaha sukarela mereka itu memeriahkan lagi aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan di surau berkenaan yang biasa dipenuhkan dengan bersolat tarawih, tazkirah Ramadan selepas solat witir dan tadarus Al-Quran.
Mengacau bubur lambuk selepas dicampur bahan utama memerlukan banyak tenaga.
Memasak bubur lambuk yang dilakukan oleh Geng Otai itu juga merupakan aktiviti yang julung kali diadakan dengan tersusun dan teratur dijangka membabitkan empat tarikh iaitu bermula 5 Mac, 10 Mac, 13 Mac, dan 17 Mac serta jemaah boleh datang mengambil pada hari berkenaan selepas solat asar.
Ketua memasak bubur lambuk Geng Otai itu, Ayub Shafii, berkata sebelum bersetuju untuk mengelola dan seterusnya memasak menu tradisional berkenaan, dia bersama 11 rakan iaitu bekas pesara kerajaan dan swasta terlebih dahulu mencuba memasak pada majlis sambutan Maulidur Rasul 2024 dan Nisfu Syaaban 2025.
Menurutnya, selepas dua kali percubaan memasak itu dilakukan ia tidak dijangka mendapat sambutan dan pujian ramai daripada jemaah SAS yang mencadangkan usaha berkenaan diteruskan pada Ramadan sebagai menceriakan menu apabila berbuka.
Tambahnya, saranan jemaah itu mereka terima dengan hati terbuka dan dengan rendah diri kerana usaha sukarela berkenaan sebahagian daripada kerja amal kebajikan bersama rakan-rakan pencen kerana dapat mempelbagaikan menu berbuka puasa untuk keluarga jemaah sekitar SAS.
Idris (kiri), Ainsaim, Yahya dan Talib menyusunkan bekas plastik yang sudah diisi dengan bubur lambuk.
“Sebagai ketua saya mempraktikkan tugas memasak serta menyediakan bahan mentah dan rencah berdasarkan resipi orang Perak yang juga sinonim dengan menu bubur lambuk di samping pengalaman selalu ditugaskan menyediakan masakan untuk keramaian ketika mendiami perumahan anggota Polis, Desa Baiduri, Cheras,” kata beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Yub yang merupakan bekas Timbalan Ketua Balai Polis, Seri Petaling.
Untuk menyediakan bubur lambuk sebanyak 450 mangkuk plastik itu mereka menggunakan 15 kilogram beras, daging dan udang tujuh kilogram, ramuan rempah ratus serta menggunakan sumber air mineral bertapis bagi menjamin masakan bubur lambuk menjadi enak.
Seorang ahli Geng Otai itu, Idris Asaran, berkata untuk memasak bubur lambuk itu mereka terpaksa memulakan tugas menyediakan bahan mentah dan rencah seawal jam 8 pagi secara bergotong-royong bersama-sama rakan sehinggalah selesai memasak sebelum masuk waktu solat zuhur.
Jelasnya, selepas itu bubur lambuk dibiarkan sejuk seketika di dalam periuk besar sebelum dimasukan ke dalam mangkuk plastik bagi diagihkan kepada jemaah selepas solat asar yang ramai antara mereka akan bergegas untuk pulang ke rumah.
“Saya berasa bertuah dapat membantu rakan-rakan otai menyediakan bubur lambuk ini dan berasa seronok melakukan amal jariah dengan menyediakan menu berbuka untuk keluarga jemaah walaupun hanya seminggu sekali,” ujarnya.
Rakan beliau, Omar Chong pula berkata, sebagai usaha berjemaah sesiapa sahaja boleh datang membantu memasak bubur lambuk itu pada tarikh yang tetapkan kerana apabila ramai tenaga sukarela kerja-kerja menyediakan bahan mentah serta memasukan ke dalam mangkuk plastik selesai dengan mudah.
Jelasnya, dalam keadaan umur yang semakin lanjut memang terasa kepenatan apabila banyak tenaga digunakan sewaktu mengacau bubur lambuk sebaik sahaja dimasukan rempah ratus, daging dan beras yang mengambil masa beberapa jam.
“Namun kepenatan ini terubat apabila bubur lambuk ini siap dimasak dan jemaah pula mengambil dengan teratur yang disusun di atas meja disamping disediakan plastik untuk senang dibawa pulang,” katanya.
Anggaran kos bahan mentah untuk menyediakan bubur lambuk itu adalah RM1,500 untuk satu periuk besar.
Kepada jemaah ingin menyumbang kewangan untuk projek buur lambuk Geng Otai ini, bolehlah terus disalurkan ke akaun Surau As-Siddiq ; Maybank nombor 5623 84700 115. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Skuad Prihatin Asnaf (SPA), Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut menyantuni 20 murid asnaf daripada empat buah sekolah di sini.
Pengerusinya, Mohd Zamri Mat (58) berkata, 20 murid tersebut dipilih daripada empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut, SK Inderapura, SK Jerantut dan SK Pulau Mansuk dekat sini.
AJK Skuad Prihatin Asnaf membantu kanak-kanak sekolah memilih pakaian di sebuah pasar raya di sini.
“Pada tahun ini semua murid terbabit mendapat pakaian untuk menyambut Aidil Fitri tahun ini berjumlah RM150 dan wang tunai sebanyak RM50 setiap orang.
“Pada tahun ini juga, murid tersebut bertuah menerima sumbangan daripada orang perseorangan yang sudi menyumbang,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Katanya, SPA turut mengadakan lawatan kepada golongan asnaf yang berada di sekitar 20 kilometer dari masjid ini.
“Golongan ini menerima bantuan berbentuk barang dapur bernilai RM150 yang turut menerima sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP),” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Sebahagian mangsa banjir di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah menerima agihan bakul barangan keperluan asas harian yang dilakukan oleh KESUMA’24 hasil infak penaja utama Yayasan Bank Rakyat dan penyumbang prihatin pada Disember 2024.
KESUMA 24 dapat perhatian Kebajikan Mahmudah
Kegigihan Ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) dan sikap bertanggungjawab dalam membantu masyarakat ditimpa musibah mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) untuk mengizinkan sebuah kontena menjadi pejabat operasi mereka.
Kontena sepanjang 40 kaki itu merupakan sumbangan sebuah syarikat swasta dari Kelang, Selangor kepada PKMM untuk digunakan bagi tujuan aktiviti amal kebajikan supaya berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Setiausahanya, Rozita Yaakob, berkata kontena yang belum dilengkapi kemudahan bekalan elektrik akan dijadikan pejabat, bilik mesyuarat ahli KESUMA’24 dan stor untuk menyimpan barangan serta peralatan apabila keluar untuk mengadakan misi amal kebajikan.
Menurutnya, kontena itu juga akan dipasang bumbung untuk melindungi bahagian atas daripada hujan serta panas terik supaya kekal lama, manakala persekitarannya pula akan diturap tar atau disimen untuk dijadikan dataran bagi warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) menjalankan aktiviti senaman dan sebagainya.
Tambahnya, persekitaran kontena yang terletak di belakang PJMM itu juga akan dijadikan ahli KESUMA’24 taman mini yang akan dihiasi dengan pelbagai pokok bunga bagi mencantikannya untuk menimbulkan suasana nyaman bagi warga emas beriadah pada waktu pagi atau petang.
“KESUMA’24 juga akan mempelawa dan menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan aktiviti di situ kerana ia lebih luas yang membantu melahirkan suasana tenang serta lapang kerana selama ini warga emas di PJMM menjalankan aktiviti atau atur cara dalam dewan.
“Sehubungan itu sejak dua bulan lalu KESUMA’24 giat mengumpul dana bantuan sumbangan pembangunan RM30,000 bagi tujuan pemasangan bekalan elektrik, bumbung luar dan melengkapkan prasarana pejabat dalam kontena serta akan digunakan untuk aktiviti amal kebajikan,” ujarnya.
KESUMA’24 yang dianggotai ramai sukarelawan berpengalaman dalam aktiviti amal kebajikan bernaung di bawah PKMM beralamat di Lot 459/5, Kampung Sungai Purun, Batu 1½ Jalan Bangi, Semenyih, Selangor.
Rozita berkata, sebelum ditubuhkan setahun lalu sebagai sebuah kelab secara rasmi, ramai sukarelawan KESUMA’24 membantu PKMM yang mengurus selia PJMM dalam aktiviti amal kebajikan seluruh negara.
Jelasnya, sebagai mengelak salah faham KESUMA’24 diwujudkan untuk mencari dan mengumpul sumbangan dana bagi menganjurkan aktiviti sosial masyarakat dan amal kebajikan di samping meringankan kos operasi PJMM yang sentiasa meningkat terutama membabit penyediaan makanan warga emas.
Tambah Rozita, KESUMA’24 juga akan bertindak sebagai perantaraan kepada PKMM dengan badan korporat, agensi kerajaan dan swasta serta NGO lain dalam menyalurkan bantuan amal kebajikan untuk mereka yang memerlukan bantuan termasuklah mangsa bencana alam seperti banjir.
Menurutnya, ahli KESUMA’24 mengikuti pelbagai misi yang dianjurkan oleh PKMM berkenaan seperti agihan bakul makanan barangan keperluan asas kepada keluarga miskin, asnaf, rumah anak yatim, pusat atau pondok tahfiz dan mangsa banjir.
Beliau berkata, seperti mangsa banjir, hasil sumbangan serta infak pelbagai pihak mereka mengagihkan bakul makanan barangan keperluan asas harian antaranya di Temerloh, Pahang: Tumpat, Kelantan: Kota Tinggi, Johor: Hulu Langat, Selangor: Jerteh, Terengganu, Jitra, Kedah dan sebagainya.
Katanya, semua tugas sukarela itu dilakukan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab bagi memastikan sumbangan serta infak daripada pelbagai pihak berkenaan sampai ke sasaran sebagaimana hasrat mereka yang bekerjasama dengan KESUMA’24.
“Sehubungan itu KESUMA’24 amat berharap mendapat sokongan serta infak daripada pelbagai pihak dan masyarakat dalam projek Bantuan Sumbangan Dana Pembangunan yang boleh disalurkan terus ke akauan KESUMA’24 bernombor 100 7621 0000 12282 (Kelab Sukarelawan Mahmudah) Agro Bank, Semenyih, Selangor atau scan Kod QR,” ujar Rozita lagi. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Muhammad Badrul Amin Derome (lima dari kanan) bergambar bersama barisan pensyarah pengiring di KLIA sebelum berlepas ke OXCIS, United Kingdom.
Empat pelajar, tiga pegawai UPSI imam solat terawih di tiga negara
Empat pelajar dan tiga pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, dipilih mengikuti Program ‘Qari in Residence’ sebagai imam di tiga negara sepanjang Ramadan 2025, sekali gus mengharumkan nama institusi itu pada peringkat antarabangsa.
Empat pelajar itu adalah penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, manakala seorang lagi adalah pegawai universiti berkenaan.
Dr Azmil Hashim (dua dari kiri) menyerahkan replika tiket penerbangan ke Singapura kepada Wan Muhammad Irsyad (tengah) dalam satu majlis yang diadakan di Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kejayaan itu mencerminkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai nilai kepimpinan tinggi dalam komuniti Islam global.
Menurutnya, dia berbangga dengan pencapaian itu kerana membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga pusat yang menyemai bakat dalam bidang keagamaan dan kepimpinan.
Jelasnya, pemilihan mereka itu adalah satu penghormatan besar yang menunjukkan kepercayaan dunia luar terhadap keupayaan pelajar dan kakitangan UPSI, sekali gus memberi impak positif kepada mereka dalam membentuk jati diri dan kepimpinan yang mantap.
“Kami melihat ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperluas jaringan UPSI dengan pusat-pusat pengajian Islam di luar negara selain melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing pada peringkat tempatan, tetapi juga persada antarabangsa.
“Mereka bukan sahaja akan berperanan sebagai imam, tetapi juga sebagai duta kecil yang memperkenal keindahan Islam dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar,” ujar beliau.
Pelajar Muhammad Badrul Amin Derome yang diiringi Prof Madya Dr Ibrahim Hashim berangkat ke United Kingdom untuk mengimamkan solat tarawih di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom dan akan berada di sana bermula 22 Februari hingga 1 April 2025.
Manakala Muhammad Fathmi Izwan Rusli akan bertugas di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia serta pelajar Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan yang diiringi Prof Dr Abdul Rahman Abd Ghani pula menyertai program berkenaan di Masjid Darul Ghurfan, Singapura bermula 28 Februari hingga 1 April 2025.
Sementara itu, Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI) UPSI, Prof Dr Azmil Hashim, berkata pemilihan mereka adalah satu pencapaian membanggakan yang membuktikan UPSI bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga dalam bidang keagamaan.
Menurutnya, pemilihan itu membuka ruang kepada mereka untuk mengasah bakat sebagai qari dan memperoleh pengalaman berharga dalam interaksi dengan masyarakat Islam pelbagai latar belakang budaya serta cara hidup.
Katanya, pencapaian berkenaan akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar UPSI untuk mendalami ilmu tahfiz dan qira’at serta merebut peluang mengembangkan kemahiran mereka pada peringkat antarabangsa.
“Ini adalah satu peluang yang sangat berharga dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai program seumpama pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman, berkata Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI, Muhammad Safwan Ismail pula mengimamkan solat tarawih di Education Malaysia Australia, Perth, Australia.
“Selain menjadi imam tarawih beliau juga akan memberi kuliah kepada pelajar dan kakitangan Malaysia di situ.
“Menjadi imam di negara asing bukanlah satu tugas mudah kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran yang berbeza, namun pengalaman ini menjadikan mereka lebih matang dan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat Islam kelak,” jelasnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Tindakan segelintir premis perniagaan yang terus mengibarkan bendera Malaysia dan Pahang dalam keadaan lusuh serta koyak akhirnya mengundang tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Pejabat Kesultanan Pahang mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk segera mengeluarkan notis kepada mana-mana premis yang gagal menurunkan bendera rosak, demi menjaga maruah negeri dan negara.
Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar tindakan segera diambil terhadap premis yang tidak mematuhi peraturan itu.
Menurutnya, pengibaran bendera yang lusuh dan rosak bukan sahaja mencemar imej negeri tetapi juga memberi gambaran negatif kepada pelancong asing yang berkunjung ke bandar ini sebelum ke Taman Negara, Kuala Tahan.
“Baginda menegaskan bahawa sikap sambil lewa dalam memelihara simbol kedaulatan negara adalah tidak boleh diterima. PBT telah diminta untuk memantau dan memastikan semua premis menurunkan bendera yang tidak lagi sesuai dikibarkan,” katanya.
Sementara itu, Majlis Daerah Jerantut (MDJ) telah mengeluarkan Notis No. 06030 kepada beberapa pemilik premis di kawasan bandar yang didapati masih mengibarkan bendera dalam keadaan usang.
“Pemilik premis diberi tempoh dua hari untuk menurunkan bendera mereka sebelum tarikh akhir pada 16 Mac ini. Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan,” kata jurucakap MDJ.
Seorang penduduk tempatan, Afandi, meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemilik premis yang tidak prihatin terhadap perkara ini.
“Bendera bukan mahal, banyak dijual. Jika koyak atau lusuh, gantikan sahaja. Ini melibatkan maruah negara dan negeri, bukan sekadar kain buruk,” katanya.
Orang ramai turut menyambut baik tindakan tegas ini dan berharap kesedaran patriotik dalam kalangan pemilik premis dapat dipertingkatkan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!