BANDAR PUSAT JENGKA: Sebuah rumah berstruktur separa kekal hangus dijilat api dan tiga penghuninya berjaya diselamatkan oleh orang awam dalam kejadian kebakaran di Blok E, FELDA Jengka 8, pada jam 6.30 petang , semalam.
Sebuah rumah di Blok E, Felda Jengka 8 terbakar, pada 6.30 petang, semalam
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Maran, memohon agar mangsa membuat laporan polis bagi pengesahan kejadian dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memutuskan bekalan elektrik di kawasan berisiko bagi mengelakan kejadian tidak diingini.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dari Balai Bomba Bandar Jengka dapat mengawal kebakaran yang turut dibantu oleh sembilan anggota dari Balai Bomba Jerantut ke lokasi kejadian.
Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bandar Pusat Jengka dan Jerantut berjaya mengawal kebakaran.
Tuan rumah berkenaan, Shaari Ahmad dan ahli keluarganya telah berpindah ke rumah saudara.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Jersi baharu Selangor FC (SFC) sememangnya laku keras selepas 6,000 helai jersi laman sendiri bagi musim 2021 itu habis terjual kurang daripada tempoh 48 jam menerusi kedai dalam talian dan semua vendor pengeluar jersi rasmi, Joma.
Namun, penyokong tidak perlu bimbang selepas pasukan itu dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya akan menambah 1,600 helai lagi stok baharu selewat-lewatnya esok di kedai atas talian SFC.
“Ini adalah untuk mereka yang tidak berkesempatan membelinya sebelum ini manakala edisi penyokong pula akan mula dijual selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
“Pihak pengurusan SFC amat menghargai dan berterima kasih kepada semua penyokong Red Giants atas sambutan yang hangat untuk jersi laman sendiri pertama SFC. Teruskan menyokong pasukan Merah Kuning,” kata pasukan itu.
Untuk rekod, pelancaran jersi itu yang berlangsung pada Isnin lalu mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya menarik sebanyak lebih 6,300 tontonan secara langsung ketika ia dilancarkan secara atas talian di platform Facebook SFC.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK SFC
Tidak seperti tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 menyaksikan SFC tidak dapat menganjurkan Hari Bola Sepak Selangor yang menjadi medan untuk memperkenalkan jersi pasukan selain majlis pengenalan pemain dan sesi pertemuan pihak pengurusan dengan penyokong.
Menjadi pasukan pertama yang melancarkan jersi bagi musim 2021, SFC menerima pelbagai respon positif daripada penyokong Selangor dan juga pemerhati bola sepak Malaysia untuk rekaan jersi yang diinspirasikan daripada pasukan yang menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 1986.
Selain menerima komen positif di laman sosial, jersi retro bertemakan Legasi Mokhtar Dahari yang turut menerapkan elemen bunga tanjung itu turut mendapat perhatian portal sukan di dalam dan luar negara terutamanya daripada Indonesia.
Ini kerana salah seorang pemain legenda mereka, Ristomoyo Kassim juga adalah sebahagian dari skuad 1986 dan turut menjaringkan gol pada perlawanan final terbabit.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menjalankan pemeriksaan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di sektor perkilangan.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia sebagai menambah usaha pemantauan di kawasan kilang yang diketahui menjadi antara yang menyumbang kepada kluster positif COVID-19 membabitkan tempat kerja.
GAMBAR HIASAN
“Untuk sektor perkilangan, memang kita telah pun membenarkan pihak pihak berkuasa tempatan untuk membuat pemeriksaan.
“Keputusan mesyuarat yang baharu, kita ingin memperluaskan perkara itu kepada RELA untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan,” katanya dalam sidang media harian di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Bagaimanapun katanya, untuk pemeriksaan di pejabat tidak kira swasta atau kerajaan, pasukan petugas operasi pematuhan SOP boleh melakukan pemeriksaan sekiranya ada keperluan.
Bagaimanapun, katanya adalah lebih baik majikan sendiri memastikan SOP yang ditetapkan kerajaan dipatuhi untuk keselamatan pekerja masing-masing khususnya di dalam pejabat dan di tempat kerja, lapor BH Online.
Mengenai arahan kerajaan mewajibkan semua majikan menanggung kos ujian saringan COVID-19 pekerja masing-masing dan kemungkinan ada di antara majikan memotong gaji pekerja untuk tujuan itu, Ismail Sabri kata pekerja yang tertindas boleh membuat aduan terus kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).
GAMBAR HIASAN
“Kita tahu ramai majikan yang tidak mahu membayar kos saringan bagi pihak pekerja mereka.
“Dimaklumkan KSM akan mewujudkan hotline khas supaya pekerja yang tertindas boleh menghubungi kementerian untuk membuat aduan dan seterusnya majikan itu boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Mengenai cadangan supaya sektor pembinaan dan perkilangan ditutup daripada beroperasi kerana banyak menyumbang kepada jumlah kes COVID-19 di negara ini, beliau berkata penutupan operasi secara bersasar sudah pun dilakukan.
“Kerajaan mengambil dua langkah proaktif iaitu pertama, mewajibkan semua pekerja di tapak binaan tidak kira warga asing atau tempatan menjalani ujian saringan.
“Kedua, memastikan majikan menyediakan tempat kediaman yang lebih sempurna untuk pekerja mengikut yang diperuntukkan dalam Akta 446.
“Perkara ini sedang dilakukan dan difahamkan akan ada pindaan dan ordinan darurat untuk memberikan tempoh kepada majikan untuk menyediakan perumahan yang baik untuk pekerja mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas dengan menutup mana-mana sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya dikesan berlaku kes positif COVID-19 atau melanggar SOP ditetapkan.
Untuk industri kreatif seperti rakaman iklan, filem dan drama, Ismail Sabri berkata pihaknya meminta pihak yang mewakili industri itu untuk mengeluarkan cadangan SOP yang lebih lengkap bagi dibincangkan sebelum dipertimbangkan untuk beroperasi semula.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SERDANG: Lapan premis kedai di Pusat Perniagaan The Atmosphere, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan yang dikesan melombong wang kripto atau Bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik, diserbu polis petang tadi.
Serbuan kira-kira jam 4 petang itu, turut disertai 12 anggota Special Engagement Against Loses (SEAL) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor susulan intipan selama tiga hari yang dijalankan menerusi Ops Api.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan premis turut diubah suai supaya ia kelihatan seperti premis kosong, lapor BH Online.
GAMBAR IHSAN TNB
Katanya, beberapa lapisan papan lapis didapati digunakan untuk menghalang bunyi kuat keluar daripada premis-premis terbabit.
“Selepas melakukan intipan selama tiga hari, pasukan serbuan percaya bahawa ada kegiatan kecurian tenaga elektrik di kawasan premis kedai ini.
“Pihak TNB juga membuat pemeriksaan di premis yang disyaki dan mengesahkan terdapat sambungan wayar elektrik yang tidak sah pada premis terbabit.
“Seterusnya pasukan serbuan memecahkan pintu premis untuk masuk ke dalam dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat ratusan mesin Bitcoin yang masih beroperasi di dalamnya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
TNB menganggarkan kerugian kira-kira RM38,000 akibat kegiatan mencuri elektrik yang berlaku setiap bulan untuk setiap premis melombong Bitcoin.
“Untuk mendapatkan satu point Bitcoin, premis ini perlu beroperasi 24 jam selama enam bulan mengikut kuantiti mesin Bitcoin dan kelajuan internet.
GAMBAR HIASAN
“Nilai bitcoin terkini adalah RM150,000 untuk satu point,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Katanya, menerusi serbuan itu juga, sebanyak 613 mesin melombong Bitcoin yang terdapat di lapan premis terbabit, dirampas.
Bagaimanapun, katanya tiada sebarang tangkapan dilakukan menerusi serbuan itu namun siasatan sedang dijalankan bagi mengesan dalang di sebalik kegiatan itu.
“Kesemua rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427/379 Kanun keseksaan dan 37 Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum hingga RM1 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan setiap siasatan terhadap kes rasuah dilakukan tanpa sebarang keraguan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata setiap tindakan dilakukan agensi itu adalah jelas dan tidak berkompromi selain meminta semua pihak bersabar agar siasatan dapat dilakukan secara terperinci untuk hasil yang lebih baik.
Beliau juga meminta semua pihak tidak memberikan persepsi negatif terhadap kes yang sedang disiasat selain memberi ruang dan masa kepada SPRM terutama ketika negara sedang menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19.
DATUK SERI AZAM BAKI
“(Misalnya) Kes keputusan mahkamah semalam merupakan proses yang terpaksa dilalui (selain) menghadapi cakap-cakap negatif orang ramai yang menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.
“Seolah-olah SPRM tidak menjalankan tugasnya tapi kami memohon supaya semua pihak bersabar sebab (terdapat) kekangan yang kami hadapi (semasa menjalankan siasatan),” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV hari ini.
Azam berkata tiada sesiapa yang boleh menyekat setiap tindakan SPRM dan hanya masa yang sedikit menjejaskan mereka dalam menentukan cepat atau lambat sesuatu siasatan dijalankan.
“Tapi yang saya mohon ialah kesabaran dan saya beri jaminan bahawa tindakan kami akan sentiasa berterusan seperti mana sebelum ini,” katanya.
Semalam, bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.
Sementara, seorang lelaki bergelar Datuk yang merupakan bekas pengerusi Mara Inc ditahan SPRM semalam dan akan didakwa esok atas 22 pertuduhan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM33.45 juta daripada pembelian kontroversi hartanah di Melbourne, Australia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TURIN: Juventus sedia menawarkan kontrak lumayan kepada Cristiano Ronaldo yang menyaksikannya akan kekal bersama gergasi Itali itu sehingga usia 38 tahun.
Bintang sensasi Portugal itu yang akan genap 36 tahun esok, sudah meledak 19 gol daripada 20 penampilan pada saingan Liga Juara-Juara dan Serie A musim ini.
Kontrak semasa Ronaldo dengan gaji £540,000 (RM3 juta) seminggu akan berakhir pada musim panas 2022.
Namun, Tutto Sport mendakwa, Juventus akan cuba mengekalkan Ronaldo untuk tempoh setahun lagi kerana mereka percaya dia masih kekal menjadi aset utama meskipun ketika itu bakal berusia 38 tahun.
Laporan itu dipetik berkata, ejen Ronaldo, Jorge Mendes belum mengadakan perbincangan tetapi kontrak awal sudah dirangka.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Keinginan Ronaldo untuk meraih kejayaan masih tinggi selepas dia dilihat kecewa ketika dikeluarkan pada aksi separuh akhir Piala Coppa Italia bertemu Inter Milan, Selasa lalu.
Perkembangan terbaru itu sekali gus menafikan hasrat Real Madrid, Paris Saint-Germain dan Manchester United yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya.
Tahun lalu Ronaldo mendedahkan dia mahu kekal beraksi di pentas tertinggi sehingga berusia 40 tahun.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
INDONESIA LARANG SEKOLAH PAKSA PELAJAR PAKAI TUDUNG
JAKARTA: Kerajaan Indonesia menghalang sekolah di seluruh negara memaksa pelajar atau anggota fakulti memakai tudung atau menggambarkan ciri tertentu agama lain, menyatakan itu hak individu, bukan institusi.
The Straits Times melaporkan, keputusan bersama oleh menteri mengenai perkara itu dikeluarkan semalam, berikutan kekecohan baru-baru ini selepas sebuah sekolah vokasional di Padang dikendalikan oleh pentadbiran di wilayah Sumatera Barat mewajibkan semua pelajar perempuan, termasuk bukan Islam, memakai jilbab Muslim.
“Ia hak individu. Guru, pelajar dengan persetujuan ibu bapa mempunyai hak untuk memilih. Ini bukan keputusan sekolah.
“Sekolah sepatutnya mempromosikan ideologi pluralisme agama Indonesia, memupuk perpaduan dan keharmonian agama,” kata Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim pada taklimat media maya, semalam.
GAMBAR HIASAN
Nadiem bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tito Karnavian dan Menteri Hal Ehwal Agama, Yaqut Cholil Qoumas, menandatangani keputusan menteri terbabit.
Nadiem berkata, apa-apa undang-undang kecil yang ada yang dikeluarkan oleh pemerintahan daerah atau peraturan oleh sekolah yang melanggar perintah baharu ini harus dibatalkan dalam 30 hari berikutnya.
Katanya, sekatan itu termasuk pemotongan dana bantuan.
Bulan lalu, seorang pelajar perempuan bukan Islam di sekolah Padang dihukum selepas enggan mematuhi peraturan yang mewajibkan semua pelajar perempuan memakai tudung ketika mengikuti kelas dalam talian.
Seterusnya, video Facebook yang disiarkan oleh ibu pelajar yang pergi ke sekolah untuk membuat tunjuk perasaan menjadi tular dan disiarkan di media nasional.
Kekecohan yang berlaku mendorong sekolah untuk meminta maaf dan menarik balik hukuman.
Peraturan kontroversi sekolah itu bagaimanapun, berteraskan undang-undang kecil wilayah Sumatera Barat yang dikeluarkan pada 2005 yang mewajibkan semua pelajar perempuan memakai tudung di sekolah tanpa mengira agama mereka.
Kumpulan Hak Asasi, Institut Setara yang berpusat di Jakarta, berkata banyak sekolah di Indonesia sudah lama menerapkan peraturan sama berdasarkan apa yang mereka katakan sebagai adat dan tradisi setempat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RIYADH: Hampir 7.5 juta jemaah melakukan ibadah Umrah dan solat di Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi, sejak empat bulan yang lalu.
Arab News melaporkan , Presiden Ketua Umum Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais, berkata 1.9 juta orang mengerjakan ibadah Umrah dan 5.5 juta orang solat di masjid antara 4 Oktober 2020 hingga 30 Januari lalu, apabila ia dibuka semula selepas digantung akibat pandemik COVID-19.
Menurut portal berita itu lagi, pengarah di Jabatan terbabit, Osama Al-Hujaili, berkata pihak berkuasa berusaha keras bagi memastikan jemaah dapat beribadah dalam persekitaran yang selamat dan sihat.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Katanya, apabila jemaah kembali melakukan ibadah umrah secara berperingkat, langkah-langkah penjarakan selamat sudah disediakan.
Al-Hujaili berkata, apabila fasa ketiga bermula pada 1 November lalu, laluan tambahan disediakan berhampiran Kaabah bagi warga emas dan orang kurang upaya.
“Laluan pertama sepanjang 155 meter, boleh menampung 45 kerusi roda dan mengambil masa antara 10 dan 15 minit untuk melakukan tawaf.
“Laluan kedua yang terletak paling dekat dengan Kaabah, sepanjang 145 meter, boleh menampung 50 warga emas yang tidak memerlukan kerusi roda,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan yang ditugaskan di Kampung Kemansur, dekat sini, pegawai khas kepada Menteri Besar Pahang menyediakan sumbangan makanan panas kepada mereka, bermula hari ini.
PEGAWAI KHAS MENTERI BESAR PAHANG, DATUK JASVIR SINGH RAM SINGH MENYEDIAKAN BUNGKUSAN MAKANAN UNTUL DIAGIHKAN KEPADA FRONTLINERS BERTUGAS DI KAMPUNG KEMANSUR, DEKAT BENTONG
Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga aktivis masyarakat mengambil inisiatif itu selepas melakukan tinjauan di pos kawalan berhampiran pintu keluar-masuk kampung terbabit.
“Ini adalah sebagai tanda terima kasih kita kepada mereka yang sudi menjaga keselamatan semua penduduk kampung (Kampung Kemansur) yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semua masakan panas ini akan disediakan petugas atau tukang masak di Dewan Gurdwara yang berada betul-betul sebelah pondok kawalan menempatkan anggota keselamatan,” katanya yang juga ahli Majlis Perbandaran Bentong (MPB).
Beliau berkata sumbangan itu akan diteruskan sehingga PKPB di kampung berkenaan ditamatkan.
“Kita akan teruskan penyediaan makanan panas ini sehingga keadaan pulih.. kepada penduduk kampung pula, kita juga sediakan makanan atau sarapan pagi kepada mereka.
MENU ISTIMEWA UNTUK SARAPAN PAGI YANG DIAGIHKAN KEPADA FRONTLINERS DI KAMPUNG KEMANSUR, DEKAT BENTONG
“Semua ini dapat kita lakukan melalui sokongan padu daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pegawai daerah Bentong, Datuk Mohd Zulkifli Hashim; Yang Dipertua MPB, Datuk Aida Munira Abdul Rafar dan juga tuan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zulkifli berkata, beliau amat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan diberikan pelbagai pihak kepada petugas barisan hadapan di daerah ini.
PEGAWAI DAERAH BENTONG, DATUK MOHD ZULKIFLI HASHIM MENYAMPAIKAN BUNGKUSAN MAKANAN KEPADA FRONTLINERS YANG BERTUGAS DI SEKITAR DAERAH BENTONG
Beliau memberitahu setakat ini terdapat 12 kes positif Covid 19 dan 68 individu yang dilaksanakan Perintah Pengawasan Pemerhatian di kediaman masing-masing.
“Pemasangan kawat-kawat di sekitar Kampung Kemansur ini adalah untuk memperketatkan kawalan dan bukannya PKPD kerana di sini masih lagi terbabit dalam pelaksanaan PKP 2.0,”ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEJAK 3 FEBRUARI, PERKILANGAN CATAT 128 KLUSTER, PEMBINAAN (82), PERKHIDMATAN 61 KLUSTER
KUALA LUMPUR: Susulan proklamasi darurat ordinan kuasa-kuasa perlu 2021 pada 14 Januari 2021 lalu, sebuah jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan untuk mengawal wabak Covid-19 dapat diuruskan dengan lebih cekap dan berkesan.
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Mahyuddin Yassin dalam perutusannya, mahu semua rakyat saling bekerja sama untuk memutuskan rantaian wabak yang semakin membimbangkan dengan kes baharu melebihi 5,000 kes sejak minggu lalu.
GAMBAR IHSAN RTM
Kerajaan akan lebih bertegas kepada majikan yang gagal mematuhi dan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) melalui pindaan Akta perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja (Akta 446) yang berkaitan dengan isu tempat tinggal pekerja.
Katanya, majikan akan diarahkan menyediakan tempat tinggal pekerja yang memenuhi syarat serta menanggung kos penginapan pekerja, malah majikan turut menanggung kos ujian saringan Covid-19 serta memantau pekerja asing masing-masing.
Selain itu, jawatankuasa teknikal pengurusan darurat akan meminda akta pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit (Akta 342), tindakan lebih tegas turut diberi perhatian.
GAMBAR IHSAN RTM
Premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP akan diarahkan ditutup serta-merta , selain itu tindakan undang-undang akan turut dikenakan kepada pemilik perniagaan dan francais serta operator francais.
Akta tersebut turut tidak terkecuali kepada pengurusan pekerja asing, majikan, agen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor serta perseorangan akan turut berdepan tindakan perundangan.
Kompaun yang tinggi akan dikenakan kepada pelaku kesalahan berulang atau diberi amaran, selain itu pelaku yang melanggar peraturan dan SOP akan dipenjara.
Tindakan tatatertib turut akan dikenakan kepada penjawat awam yang tidak mematuhi SOP, termasuk ketua jabatan yang tidak mematuhi peraturan bekerja di rumah (BDR).
Pada 3 Februari lalu , sektor perkilangan mencatatkan 128 kluster dan paling tinggi direkodkan, sektor pembinaan 82 kluster dan perkhidmatan 61 kluster.
Katanya, pihak polis telah mengeluarkan kompaun sebanyak 82,141 dan 31,740 tangkapan atas pelbagai kesalahan.
Gelombang ketiga penularan wabak ini, data menunjukkan penularan wabak di tempat kerja sebanyak 59 peratus, di pusat tahanan (19%), kediaman (14%) dan di rumah ibadat dan keagamaan (5%) serta masing-masing 2 peratus kes import dan kumpulan berisiko.
GAMBAR IHSAN RTM
Mahyuddin turut memaklumkan pembubaran parlimen akan dilakukan selepas wabak Covid-19 reda dan selamat untuk diadakan serta memohon semua rakan dalam kerajaan dan pembangkang berganding bahu untuk memerangi wabak Covid-19.
Katanya, kerajaan akan memantau kes-kes harian mengikut sektor dan lokaliti serta penilaian keberkesanan PKP akan dilakukan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!