NEW DELHI: Tiga orang disahkan meninggal dunia, sementara sekurang-kurangnya 200 orang masih hilang di utara India, selepas glasier pecah mengakibatkan limpahan besar air sungai yang merosakkan jambatan dan jalan raya.
Polis berkata, aliran air besar itu melalui lembah sungai Dhauliganga, menghancurkan semua yang berada di atas jalan, berdasarkan video dirakam penduduk.
Tiga mayat dijumpai dan usaha mencari digandakan untuk menemui lebih ramai lagi, kata polis, sementara usaha sedang dilakukan untuk membantu kampung yang terkesan di wilayah Uttarakhand, lapor AFP.
“Kami sudah menemui sekurang-kurangnya tiga mayat di dasar sungai. Kemas kini terakhir kami merekodkan jumlah orang yang hilang 150 orang. Seramai 16 atau 17 orang pula terperangkap di dalam terowong,” kata jurucakap polis.
GAMBAR IHSAN AFP
Sebilangan besar yang masih hilang berada di loji jana kuasa Tapovan, bersebelahan empangan yang dihentam arus deras.
Petugas kecemasan terus berusaha menyelamatkan kira-kira 17 orang yang masih terperangkap di dalam terowong yang dipenuhi serpihan.
Rakaman video telefon bimbit yang dikongsi di media sosial juga menunjukkan limpahan deras air yang melalui lembah sempit di bawah loji jana kuasa, mengakibatkan jalan dan jambatan musnah.
Sebilangan besar penduduk kampung yang dipindahkan berada di lereng bukit yang berdekatan pinggir sungai.
“Pentadbiran daerah, jabatan polis dan badan pengurusan bencana sudah diarahkan untuk menangani bencana ini,” kata Ketua Menteri Uttarakhand, Trivendra Singh Rawat di Twitter.
Pihak berkuasa mengosongkan dua empangan dalam usaha menghentikan limpahan banjir hingga ke Sungai Gangga di bandar Rishikesh dan Haridwar, selain larangan kepada orang awam mendekati tebing sungai.
“Banjir kilat sudah menyebabkan kerosakan empangan bersebelahan loji jana kuasa Rishiganga serta infrastruktur lain,” kata pegawai kanan polis di wilayah itu, Neeru Garg.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Trend mengubah suai kereta menggunakan tayar Hellaflush semakin menjadi ikutan di kalangan segelintir pemilik kenderaan di Malaysia.
Pengubahsuaian tersebut boleh menyebabkan pemanduan terjejas akibat daripada kegagalan sistem keselamatan dan brek yang tidak berfungsi dengan cekap sehingga merisikokan nyawa pemandu serta pengguna jalan raya lain, dipetik dari laman rasmi PDRM.
GAMBAR HIASAN
Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 6, Akta Penngangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 138, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 170/59 , iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan.
GAMBAR HIASAN
Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DIHARAP GEMILANG 60 RTM DIIKTIRAF OLEH MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR) – THE FIRST ORCHESTRA TO CELEBRATE 60TH ANNIVERSARY
KUALA LUMPUR: “Diharapkan Gemilang 60 RTM mendapat pengiktirafan daripada MBOR sebagai The first Orchestra to Celebrate 60th Anniversary dan doakan saya panjang umur dan diberi kesihatan yang baik kerana 22.02.22 adalah tarikh akhir saya sebagai penjawat awam,” kata Pengarah Muzik Radio Televsiyen Malaysia (RTM).
Pengarah Muzik (RTM) itu, Datuk Mokhzani Ismail telah bersama ORTM selama 29 tahun dan mengalami pelbagai kenangan dan perubahan serta turut mengukir sejarah peribadi dan ORTM bersama sehingga sekarang.
Pengarah Muzik (RTM) itu, Datuk Mokhzani Ismail
Beliau anak jati negeri Perlis, bermula sebagai guru lulusan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPIK), Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 1980-1981, di usia 20-an sudah menjadi guru terlatih di negeri kelahirannya, malah hati dan jiwa gurunya tetap ada.
Kemudian beliau ditawarkan biasiswa pada tahun 1986 untuk melanjutkan pengajian muzik peringkat ijazah di Berklee College of Music, Boston.
Datuk Mokhzani semasa menuntut di Boston
“Selepas tamat belajar di Amerika Syarikat, bermulalah perjalanan baharu saya di RTM, pada 1993 buat julung kali diberi tugasan memimpin Orkestra RTM di Konsert Senada Seirama dari Medan Indonesia.
“Konsert demi konsert sehingga tahun 1996, saya menjadi pengurus orkestra dan mengetuai Jazz band RTM ke Thailand International Jazz Fest dan sempat bertemu Sergio Mendes, Dave Valentine, Benny Carter, David Sanborn dan ramai lagi pemuzik handalan,” katanya .
Katanya, 29 tahun bersama ORTM dan orkestra ini terus melangkah ke depan, pada 1998 beliau ditawarkan ke Ambang Klasik TV3 tapi atas sebab tertentu beliau tidak dapat menerima tawaran itu.
“Tahun 1999 di usia 37 tahun saya diberi rezeki dilantik ke jawatan Pengarah Muzik RTM dan tahun yang sama Kerajaan Negeri Perlis menganugerahkan Dato Panglima Putra Jamallulail (DPPJ) membawa gelaran datuk.
“Tahun 1999 kerajaan persekutuan turut mengurniakan bintang Kesatria Setia Mahkota (KSM), 2003 sekali lagi rezeki untuk saya menerima anugerah dari kerajaan Pahang serta menerima bintang daripada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong,” katanya.
Mokhzani berkata, pada tahun 2006, turut mengadakan Konsert Malam Simfoni Irama Malaysia bagi merealisasikan impian Menteri Penerangan ketika itu, Tan Sri Zainuddin Maidin.
MBOR telah mengiktiraf Simfoni Putrajaya ORTM sebagai konsert simfoni terbesar yang mengadakan persembahan secara langsung di pentas terbuka yang diadakan pada tahun 2007.
ORTM tidak menoleh ke belakang dan terus melangkah ke hadapan bersesuaian dengan usianya yang semakin matang, pada 2009, 2010, 2011 dan 2012 membawa orkestra RTM ke Java Jazz Festival, selain itu beliau mengalas tugas untuk Konsert Gemilang 50 tahun pada tahun 2011.
MBOR turut mengiktirafkan ORTM sebagai The Longest Running Orchestra iaitu orkestra yang masih bergerak aktif sehingga sekarang.
“Pada tahun 2011, saya diberi peluang untuk memimpin Malaysia Philhamonic Orchestra (MPO) untuk Concert Chris Botti World Tour di Dewan Filharmonik, peluang yang diberi untuk berkerja bersama pemuzik professional.
“Saya bangga menjadi pemuzik ORTM dan rakyat Malaysia, pada 2015 saya memegang dua rekod Malaysia sebagai pemuzik pertama menjadi Endorsee (duta) jenama antarabangsa dan juga pemain piano pertama membuat persembahan secara langsung (live) dari Great Wall, “katanya.
Semasa mengadakan persembahan secara langsung di China
Katanya, album pianonya, The Great Wall Comes Alive diterbitkan pada 2016, beliau juga turut menerima Anugerah Icon Leadership Award daripada Brand Laurreate, tahun 2017 dilantik sebagai profesor pelawat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau turut menerima anugerah Icon Leadership Award daripada Brand Laurreate
Pada tahun 2015 sehingga 2018, Mokhzani menjelajah untuk Masterclass dan Konsert Hagspiel di Luizhou Shenzen, Guanzhou Zhongshan, Shanghai , Beijing , Herbei , Tianjin dan Inter Mongolia.
Mokhzani berkata, pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020, semua aktiviti muzik turut mengikut norma baru, beliau sempat berkerjasama mengadakan persembahan secara maya bersama artis Singapura dan Indonesia termasuk Dato Shake di Paris, Perancis.
Beliau sempat mencipta dan mengubah lagu untuk petugas Frontliner “Satukan Jiwa” dan juga melakar sejarah menggabungkan 3 orkestra Malaysia Philhamonic Orchestra (MPO) , National Symphony Orchestra (NSO) dan ORTM untuk memainkan lagu tema Hari Kebangsaan “Malaysia Prihatin”.
Seterusnya Konsert Bangkit Malaysia pada Ogos 2020 dan pada tahun ini (2021), beliau bakal meneraju untuk meraikan Gemilang 60 ORTM sempena orkestra RTM ke-60 tahun dan diharapkan dapat memberi kepuasan kepada semua dan mencipta sejarah tersendiri.
Beliau pernah memenangi Skor Muzik Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 untuk filem Embun dan menulis lagu untuk artis-artis terkenal seperti Jamal Abdillah, Saleem, Azharina, Adibah Noor dan Mawi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
YANGON: Puluhan ribu rakyat Myanmar termasuk pekerja dan penuntut universiti mengadakan tunjuk perasaan secara aman pada hari kedua sebagai membantah larangan pemerintahan tentera yang cuba menutup semua saluran media sosial di sana.
Penunjuk perasaan berteriak tidak mahu pemerintahan kediktatoran tentera yang melarang menggunakan media sosial sambil memegang gambar Aung San Suu Kyi serta turut mendapat sokongan moral daripada kenderaan yang melalui kawasan itu dengan membunyi hon kenderaan masing-masing, lapor BBC.
GAMBAR IHSAN BBC
Kerajaan tentera Myanmar yang melakukan rampasan kuasa menyekat penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp dan Twitter bagi mengekang penyaluran maklumat di kalangan rakyat.
Pemadaman saluran sepanjang hari dikenakan setelah tentera menyekat akses ke semua media sosial untuk menghentikan orang ramai bergerak termasuk perkhidmatan telefon turut terganggu
Semua sistem penghantaran video menggunakan virtual private network (VPN) akan ditutup serta merta.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan mengapa tiada desakan daripada ahli parlimen PAS berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang dikenali sebagai RUU355.
Jelasnya, meskipun sudah setahun menjadi kerajaan, masih tiada kertas kabinet dibentangkan berhubung pelaksanaan pindaan akta tersebut.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
“Setahun sudah menjadi kerajaan. Tiada kertas kabinet untuk melaksanakan RUU355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang.
“Tiada dibentang dalam kabinet bermaksud tiada juga dibentang dalam Parlimen.
“Tiada desakan sekelumit pun di Parlimen oleh 18 ahli-ahli parlimen parti Islam termasuk Marang (Abdul Hadi Awang),” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini, lapor Malaysiakini.
RUU355 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS Abdul Hadi, sebagai RUU persendirian.
Perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentang pada November 2016 dan April 2017.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Setakat ini, RUU355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.
Bagaimanapun, pada 26 November tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata RUU tersebut akan dibincangkan di peringkat negeri pada awal tahun ini.
Sementara itu, Saifuddin yang juga anggota parlimen Kulim Bandar Baharu secara sinis menyatakan majoriti ahli kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini adalah Melayu Islam.
“Hari ini sebuah kerajaan Melayu Islam terbentuk(abaikan walaupun jalan khianat). menteri agama (adalah) bekas mufti, menteri undang-undang pula dari parti Islam.
“Majoriti ahli kabinet Melayu Islam .. tolak We Ka Siong, Saravanan, Ronald Kiandee. Peguam negara bukan lagi Tommy Thomas tetapi Idris Harun iaitu seorang Muslim.
“Kuasa politik di tangan kerajaan Melayu Islam,” sindirnya lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Acara Makan BesarKeluarga sempena Tahun Baru Cina pada 11 Februari depan dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer radius tanpa rentas daerah dan negeri.
Menurut Kementerian Perpaduan Negara (KPN), perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR IHSAN MALAYSIAKINI
KPN berkata, mesyuarat juga bersetuju membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari depan dengan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Menurutnya, SOP itu antara lain mengehadkan bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
“Tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.
“Jadual waktu sembahyang bermula dari pukul 6 pagi hingga 2 petang sahaja dan aktiviti sembahyang pada 19 Februari depan dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina bagi Hokkien Clan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HAIWAN ITU MUSNAHKAN TANAMAN, ANCAM KESELAMATAN PENDUDUK
JERANTUT: Enam ekor gajah dapat ditangkap di Kampung Ulu Retang yang telah memusnahkan tanaman dan ketenteraman 1,200 penduduk kampung di kawasan itu sejak seminggu lalu, semalam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menggunakan dua ekor gajah denak yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang.
DATUK NAZRI NGAH BERSAMA PEGAWAI PERHILITAN DAN PENDUDUK KAMPUNG ULU RETANG
Gajah liar yang ditangkap itu telah mengganggu ketenteraman dan keselamatan penduduk di situ akan dihantar ke Taman Negara Kenyir untuk dilepaskan tidak lama lagi.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud yang berada di lokasi tangkapan berkata kemungkinan enam ekor gajah itu tersesat dari kawasan habitatnya di samping mungkin keluar mencari makanan.
RAZAK DAUD TURUT MENYERTAI OPERASI BERSAMA PERHILITAN
“Tanaman orang kampung habis musnah sejak seminggu lalu selain turut mengancam keselamatan penduduk setempat yang bimbang untuk ke kebun masing-masing,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah turut bersama pihak PERHILITAN untuk melihat kerja menangkap gajah tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GEORGETOWN: Pihak berkuasa diminta melakukan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap klinik swasta yang mengenakan caj terlalu tinggi untuk ujian saringan Covid-19.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, tinjauan dan aduan mendapati beberapa klinik mengenakan caj yang tidak masuk akal terhadap individu yang menjalankan ujian saringan tersebut.
GAMBAR HIASAN
Menurutnya, ketika ini, harga ujian RT-PCR boleh mencecah antara RM220 hingga RM388 manakala RTK-Antigen antara RM90 hingga RM170.
“Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini. CAP mengalu-alukan kenyataan beliau iaitu mengenai kawalan harga untuk ujian saringan Covid-19.
“CAP bimbang, jika harga ujian ini tidak dikawal, ada pihak yang akan mengambil kesempatan dengan mengenakan caj lebih tinggi daripada yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu, lapor Sinar Harian.
Tambahnya, pengguna akan terbeban sekiranya harga ujian saringan tersebut tidak dikawal.
“Sebelum ini ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjual pelitup muka pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.
“Bagaimanapun, harga tidak terkawal barangan itu kembali stabil selepas kerajaan mengawal harga barangan itu.
“Jadi, kita mohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengawal kadar harga ujian saringan Covid-19,” katanya.
GAMBAR HIASAN
KKM sebelum ini memaklumkan dalam peringkat kajian untuk mengawal harga ujian saringan RT-PCR di hospital awam dan swasta.
Dr Noor Hisham berkata, pengawalan harga itu boleh dilaksanakan menerusi Ordinan Darurat.
Menurut beliau, KKM menyedari terdapat perbezaan harga terhadap ujian tersebut berikutan permintaan yang tinggi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Pemaju kawasan perumahan di Taman Gambang Damai, dekat sini, diarahkan untuk membaiki enam kediaman yang rosak akibat kejadian tanah runtuh, awal Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, pemaju juga diminta membaiki kerosakan cerun yang runtuh dengan pemantauan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
GAMBAR IHSAN PEJABAT ADUN LEPAR
Katanya, keputusan mesyuarat antara Kerajaan Negeri yang diwakili beliau dengan MPK, Pejabat Tanah Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pemaju, Sentoria Alpa Sdn Bhd pada 29 Januari lalu, juga bersetuju supaya pemaju membaiki beberapa infrastruktur lain di taman perumahan itu.
“Anataranya membaiki keretakan longkang dan rumah, membaiki tembok jalan masuk ke tangki air PAIP (Pengurusan Air Pahang Bhd) dan membuat laluan air keluar dari kolam yang terdapat di atas bukit.
“Selain itu, sistem bekalan air bypass akan dibaiki pihak PAIP,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, 5 Januari lalu, dua unit rumah berkembar di Lorong 29, Taman Gambang Damai, dilaporkan musnah, apabila runtuh dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di cerun bukit.
Empat rumah dikenal pasti sangat berisiko selepas terdapat kerosakan pada struktur binaan rumah selain kesan pergerakan tanah yang serius.
Difahamkan, hanya 11 rumah termasuk satu yang roboh, berpenghuni manakala selebihnya dijadikan rumah tamu dan kosong ketika kejadian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Malaysia menolak dasar luar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) yang mahu mempromosikan hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan pelik (LGBTIQ) di seluruh dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata LGBTIQ sejak awal lagi adalah menyalahi normal manusia biasa.
“Justeru ia bertentangan dengan syariat Islam dan kita (kerajaan) tidak menyokong sebarang kempen yang dilabelkan LGBTIQ di negara ini.
“Perkara ini (penolakan kempen) diterima pakai oleh semua budaya masyarakat Malaysia secara majmuk di Malaysia,” katanya ketika dihubungi BH Online.
“Dalam Cairo Declaration on Human Rights in Islam yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyatakan, segala perkara yang menyanggah syariah Islam tidak boleh diamalkan di sebuah negara Islam,” kata Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor, menyelar langkah Presiden AS, Joe Biden itu yang disifatkan tidak sensitif dan boleh menimbulkan ketidaktentuan terhadap umat Islam bukan sahaja di AS tetapi di luar negara itu.
“Dalam pilihan raya lalu, sebahagian besar penyokongnya adalah warganegara yang beragama Islam dan sepatutnya beliau sensitif dalam setiap tindakannya,” katanya.
Mohd Roslan berkata, langkah Biden itu juga dijangka memberi suntikan semangat terhadap kumpulan LGBTIQ untuk memperjuangkan hak mereka tetapi dalam di Malaysia, sebuah negara Islam ia tidak boleh diterima pakai.
“Apa yang dilakukan Biden hanya merujuk kepada hak asasi manusia yang tidak berteraskan agama Islam dan ia tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini.
“Dalam Cairo Declaration on Human Rights in Islam yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyatakan, segala perkara yang menyanggah syariah Islam tidak boleh diamalkan di sebuah negara Islam.
“Jadi kempen sedemikian tidak sesuai dalam konteks Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, isu LGBTIQ di Malaysia harus ditangani tanpa kekerasan sebaliknya menggunakan pendekatan seperti dialog, kaunseling dan psychospiritual.
Dalam ucapan pertama mengenai dasar luar negara bawah pentadbirannya pada Khamis lalu, Biden mengumumkan beliau mengarahkan semua agensi kerajaan AS di luar negara untuk mempromosikan hak asasi LGBTIQ serta mengemukakan perancangan dalam tempoh 180 hari.
Beliau turut berjanji memberi perhatian kepada pemohon suaka dalam kalangan LGBTIQ, termasuk memastikan tindakan diambil untuk kes kecemasan walaupun mereka terlebih dahulu lari ke negara yang kurang mengalu-alukan golongan itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!