PADANG TERAP: Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Kampung Padang Lanjut, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 4.40 petang, dua daripada mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Wira dipercayai maut, manakala seorang daripada dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha Y15 turut meninggal dunia.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 4.45 petang.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang diketuai Johari Saad dihantar ke lokasi kejadian, lapor Harian Metro.
GAMBAR HIASAN
“Mangsa membabitkan tiga lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki, namun identiti mereka belum dipastikan
“Manakala, seorang mangsa yang menaiki motosikal juga dipercayai parah dan identiti yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Mohamadul Ehsan berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dengan menaiki jentera EMRS.
“Kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BALI: Kapal selam tentera Indonesia, KRI Nanggala 402, ditemui pecah di dasar laut di perairan Bali dengan kesemua 53 kru disahkan meninggal dunia.
Ketua Ketua Turus Tentera Laut Indonesia, Yudo Margono, mengesahkan serpihan kapal selam yang hilang Rabu lalu itu ditemui pecah kepada tiga bahagian.
Ketua Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto, mengesahkan kepada wartawan bahawa kesemua 53 kru kapal selam berkenaan sudah meninggal dunia.
Tjahjanto berkata lebih banyak serpihan kapal selam KRI Nanggala 402 ditemui hari ini termasuk sebuah sauh dan sut keselamatan dipakai oleh kru, lapor Agensi.
Semalam, Tentera Laut Indonesia memaklumkan penemuan serpihan daripada kapal selam itu, termasuk barangan dari dalam aset itu, lalu mengesahkan ia tenggelam dan mengakhiri harapan menemui individu yang terselamat.
Antara barangan ditemui termasuklah serpihan sistem torpedo, sebotol minyak pelincir periskop serta sejadah yang digunakan untuk solat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Dua orang pemancing maut terkena panahan petir ketika berada di Kolam Ikan Empang Kampung Cempaka, Lanchang, pada jam 3.30 petang, hari ini.
Dua mangsa itu, Muhammad Farhan Zainal Abidin, 20 tahun dan Muhammad Fitri Fahmy Hashim, 27 tahun, kedua-duanya dari Lanchang bersama tiga lagi rakannya antara 22 hingga 47 tahun telah pergi ke kolam memancing itu pada jam 12.30 tengah hari .
Mangsa, Muhammad Farhan Zainal Abidin, 20 tahun.
Mangsa kedua, Muhammad Fitri Fahmy Hashim, 27 tahun
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, Balai Polis Lanchang menerima aduan berkaitan dengan kes tersebut pada jam 4.00 petang daripada pembantu perubatan Klinik Lanchang memaklumkan kejadian tersebut.
“Sebelum itu, dua mangsa yang maut itu dikatakan berteduh di bawah pokok di tepi kolam itu ketika hujan lebat beserta petir, manakala seorang rakannya balik ke rumah untuk mengambil telefon bimbit yang tertinggal.
“Manakala dua rakan lagi pergi mengambil joran bersiap sedia untuk balik, ketika itu dua rakan tersebut melihat kedua-dua mangsa yang berada di bawah pokok rebah dan dipercayai pengsan,”katanya.
Katanya, dua sahabatnya terus bergegas ke tempat kejadian kedua-dua mangsa itu rebah dan melihat mangsa tidak sedarkan diri dan terus membawanya ke Klinik Lanchang dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di klinik itu.
Kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk dibedah siasat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: UMNO hari ini secara formal bersetuju menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang turut dianggotainya, agar menarik semula penggantungan sidang Parlimen.
Perkembangan ini hadir sebulan setelah Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi membuat gesaan itu sebagai pengerusi BN, yang menimbulkan kekeliruan setelah kenyataannya dikatakan mirip dengan yang dikeluarkan oleh Pakatan Harapan mengenai isu sama.
AHMAD ZAHID HAMIDI
Sekretariat BN kemudian menarik balik kenyataan Zahid, dengan mendakwa bahawa ia adalah kekhilafan,lapor Malaysiakini.
Gesaan hari ini bagaimanapun disokong oleh Majlis Tertinggi UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, dalam satu kenyataan, mengatakan bahawa majlis tertinggi parti itu memutuskan untuk menggesa kerajaan membenarkan Parlimen dan semua dewan undangan negeri bersidang semula.
Dia mengatakan ini selaras dengan titah Yang Di-Pertuan Agong bahawa badan perundangan masih dapat bersidang walaupun dalam keadaan darurat.
Agong mengatakan ini mungkin berlaku jika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menasihatinya untuk mengadakan semula Parlimen tetapi kerajaan setakat ini enggan melakukannya.
GAMBAR HIASAN
“Kerajaan tidak boleh dilihat cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen.
“Parlimen dan DUN adalah medan semak dan imbang di kalangan wakil-wakil rakyat agar Kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati hingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat yang hari ini berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup rakyat dan harga barang yang meningkat,” kata Ahmad.
Tambah Ahmad, perlu ada akauntabiliti terhadap cara kerajaan membelanjakan dana awam, dengan menyorot bahawa PN telah menggunakan kuasa darurat untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membeli vaksin.
“Keyakinan dan kepercayaan pelabur terutama dari luar akan terus terhakis sekiranya amalan demokrasi berparlimen ini digantung sehingga tiada lagi aspek good governance dari segi semak dan imbang dalam kerajaan.
“SOP khas harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan sebagaimana yang diamalkan di negara-negara seluruh dunia,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAKARTA: Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto hari ini mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala-402 telah terkorban.
“Seramai 53 personnel yang onboard KRI Nanggala-402 telah gugur, berdasarkan bukti-bukti authentic itu, dapat dinyatakan bahwa KRI Nanggala 402 telah tenggelam,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan.
Menurutnya berdasarkan visual dari Remotely Operated Underwater Vehicle yang digunakan dalam pencarian kapal itu, telah terakam keadaan kapal berkenaan yang telah terbelah menjadi tiga bahagian di kedalaman 838 meter di dasar laut di perairan Bali, dipetik dari Bernama.
KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada pukul 4.25 pagi Rabu lepas ketika dalam misi latihan penembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI yang lain bersama lima pesawat tempur serta satu lagi kapal selam yang lain.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Tidak menjangka pada pagi Jumaat lalu untuk pergi ke tempat kerja penjaga gol utama Jerantut FA, Muhamad Rodzlan Arbae mengalami kemalangan dengan sebuah motosikal kira-kira jam 7.45 pagi hari itu.
Rodzlan atau lebih mesra dengan panggilan Alan menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 menuju ke tempat kerjanya di Majlis Daerah Jerantut sebelum berlanggar dengan sebuah motosikal berhampiran simpang Taman Ria, di sini.
Muhamad Rodzlan Arbae masih dirawat di Hospital Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh
Katanya, motosikal yang datang dari arah pusat bandar itu telah masuk ke laluan bertentangan dan terus meluru ke arah motosikalnya sehingga menyebabkan kaki kirinya cedera parah.
“Selepas kemalangan itu, saya terkejut melihat bahagian betis sehingga lutut kaki kiri cedera teruk dan saya sudah terbayang kaki ini akan dipotong, jangkaan saya benar, sebaik tiba di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, kaki kiri terpaksa dipotong kerana berlaku banyak pendarahan,” katanya.
“Saya tidak menyangka akan kehilangan kaki yang selama ini digunakan untuk beraksi di atas padang namun redha dengan takdir Allah,“ katanya.
Katanya, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan peminat yang tampil memberi kata-kata semangat untuk dia meneruskan hidup selepas ini serta sumbangan kewangan.
Pemain berusia 34 tahun dan bapa kepada 4 orang anak itu memberitahu beliau akan merindu dunia bola sepak yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada asam garam hidupnya.
Alan (kiri) dipilih ketika perlawanan pasukan Jerantut Fa menentang Perak dipilih sebagai penjaga terbaik.
“Setakat ini sahaja sumbangan dan khidmat saya untuk pasukan Jerantut dan berharap penggantinya nanti akan beraksi lebih cemerlang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, satu tabung sumbangan telah digerakkan untuk membantu Alan terutama untuk tujuan rawatan.
Nama Alan mula menjadi sebutan peminat bola sepak di daerah ini apabila mempamerkan aksi hebat ketika pasukannya menentang Perak dalam saingan Piala FA dua tahun lalu.
Biarpun gagal membantu pasukannya layak ke peringkat seterusnya namun kecekapan Alan mengawal gawangnya memaksa pasukan Perak bermandi peluh untuk mendapatkan jaringan malah penjaga gol bertubuh kecil itu turut menerima anugerah pada perlawanan tersebut.
Katanya, dia sudah dimaklumkan harga kaki palsu untuk digunakan agak mahal sehingga mencecah RM40,000, dia memerlukan sumbangan untuk mendapatkan kaki palsu itu.
Oleh itu, beliau memerlukan sumbangan untuk mendapatkan kaki palsu. Kepada yang sudi memberi sumbangan salurkan kepada Muhamad Rodzlan Arbae, nombor akaun 156208224763 (Maybank).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) FELDA Jengka 24 meneruskan tradisi tahunan memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada warga peneroka FELDA berkenaan.
Tahun ini, sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak secara gotong-royong oleh ahli MBFM bersama penduduk.
KETUA PENEROKA FELDA JENGKA 24, RAZAK DAUD
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, memandangkan perkembangan semasa wabak COVID-19 masih ditahap membimbangkan, program gotong-royong itu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kita pastikan semua peserta mengenakan pelitup muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah berjaga-jaga.
“Jumlah bubur lambuk disediakan tahun ini adalah sebanyak empat kawah dan boleh diedarkan kepada kira-kira 300 peneroka FELDA Jengka 24 sebagai juadah berbuka puasa,” katanya.
ANTARA PENDUDUK YANG BERGOTONG-ROYONG MEMASAK BUBUR LAMBUK
Razak berkata, kebiasaannya mereka menyediakan bubur lambuk hampir setiap hari, namun tahun ini hanya mengadakan program memasak bubur lambuk sebanyak dua kali sahaja berikutan situasi semasa COVID-19.
PENGERUSI MBFM JENGKA 24 NURUL NADIA AHMAD
Katanya, kerja menguruskan dan menyiapkan bahan untuk memasak bubur lambuk dilakukan ahli MBFM FELDA Jengka 24 yang diketuai Pengerusinya, Nurul Nadia Ahmad.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.
Dakwa seorang pelajarnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.
Katanya, pada mulanya ia berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.
“Perlahan-lahan gurauan itu menjadi semakin pelik dan lucah. Kemudian, guru itu bercakap mengenai terdapat pelbagai undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur daripada penderaan dan gangguan seksual.
“Guru itu kemudian berkata, jika pelajar-pelajar nak rogol, janganlah rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang 18 tahun ke atas sebab banyak undang-undang untuk bawah umur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
GAMBAR HIASAN
Menurutnya, semua pelajar perempuan tidak memberikan reaksi terhadap gurauan itu dan mendiamkan diri namun ia disambut dengan gelak ketawa pelajar lelaki.
“Pelajar lelaki dekat belakang ketawa seperti perkara itu lucu untuk bergurau tentang merogol seseorang, sedangkan gurauan itu tidak kelakar dan menimbulkan trauma serta takut kepada kami (pelajar perempuan).
“Cikgu itu pun ada sebut sekiranya lelaki dirogol, dia orang tidak akan laporkan kerana mereka berasa sedap, seperti mereka mahu perkara ini berlaku pada diri mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, dia telah memaklumkan gurauan yang dilakukan oleh guru tersebut kepada guru kaunseling di sekolahnya, namun tidak mendapat keputusan atau tindakan yang boleh dilakukan.
“Cikgu kaunseling kata, perkara tersebut biasa bagi guru lelaki bersembang dengan pelajar lelaki, tetapi bagi pelajar perempuan, perkara itu emosi bagi kami (pelajar perempuan).
“Kata guru kaunseling itu juga, silibus yang diajarkan oleh cikgu itu silibus baharu jadi pendekatan yang digunakan berbeza dan cikgu tersebut kurang mahir,” katanya.
Sehubungan itu, pelajar itu berharap dengan penyebaran video tersebut dapat memberi kesedaran bahawa gurauan berbentuk lucah itu bukan perkara biasa dan perlu untuk diambil tindakan yang tegas.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Aktivis Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan dan memberikan keterangan berhubung siasatan tuduhan hasutan.
Menurut laporan Malaysiakini, peguamnya, Yohendra Nadarajan mengesahkan pembebasan anak guamnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 5.50 petang Sabtu.
“Fahmi dibebaskan dengan jaminan polis.
“Dia telah merekodkan keterangan sekitar tengah hari sehingga sekitar jam 3 petang hari ini (Sabtu),” katanya pada Ahad.
Pada Jumaat, Huzir memaklumkan Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan di sebuah lokasi di ibu negara oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman.
Penahanan ke atas suspek dibuat susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong.
GAMBAR HIASAN
Hantaran itu mengandungi sekeping gambar Raja Permaisuri Agong dengan perkataan This is Dengki ke?
Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Gara-gara sebuah treler terbabas menyebabkan tujuh kenderaan terlibat dalam kemalangan di kilometer 445, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara sebelum susur Tol Rawang, Gombak di sini lewat petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kemalangan berlaku sekitar pukul 4.50 petang ketika treler tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Rawang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, treler itu disyaki telah hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh beberapa buah kenderaan yang berada di lorong yang sama.
“Akibat rempuhan berkenaan, beberapa kenderaan mengalami kerosakan yang teruk, bagaimanapun pemandu dan penumpang kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan (luka),” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, lapor KOSMO! Online.
Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!