NEW YORK – New York mengisytiharkan hari ‘kebebasan’ kelmarin selepas Gabenor, Andrew Cuomo mengumumkan pemansuhan semua sekatan Covid-19 di negeri berkenaan, lapor akhbar Times of India.
Cuomo mengisytiharkan berita baik itu selepas lebih 70 peratus populasi New York telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19.
Menurut Cuomo, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik buat penduduknya.
“Kami akan terus menggalakkan penduduk New York untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.
Bersempena pengisytiharan itu, sebanyak 13 bangunan mercu tanda di New York dinyalakan dengan lampu berwarna biru dan emas pada malam Selasa lepas.
Manakala penduduk di 10 kawasan di sekitar bandar itu turut berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api.
Sementara itu, antara peraturan Covid-19 yang dimansuhkan adalah berkaitan sosial dan komersial.
Ia termasuk individu yang telah divaksin tidak perlu lagi mengamalkan penjarakan fizikal dua meter dan memakai pelitup muka.
Bagaimanapun, mereka yang belum divaksin masih perlu patuh kepada peraturan tersebut.
Selain itu, mereka juga perlu menunjukkan bukti keputusan negatif ujian Covid-19 terkini sekiranya ingin menghadiri sesuatu majlis, lapor Agensi.
Selain New York, negeri-negeri lain di Amerika Syarikat juga dilaporkan bakal mengambil langkah serupa susulan penurunan kadar jangkitan Covid-19 serta progres program vaksinasi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMAJA KONGSI VIDEO PORNOGRAFI KANAK-KANAK DITAHAN
PETALING JAYA : Kegiatan seorang remaja yang sering membuat perkongsian pornografi kanak-kanak mengundang padah apabila ditahan polis pada Rabu lalu.
Penahanan suspek berusia 19 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah di Semenyih, dekat sini bagi membantu siasatan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, polis menahan suspek selepas membuat perkongsian pornografi kanak-kanak di kumpulan WhatsApp.
Menurutnya, maklumat diperoleh selepas tular di laman sosial Twitter mengenai kegiatan kumpulan WhatsApp yang dikatakan mempromosikan kegiatan seksual kanak-kanak.
“Hasil risikan bahagian D11 Bukit Aman berjaya mengenalpasti suspek dan membuat tangkapan sebelum merampas barangan berkaitan kes.
“Suspek kini dalam tahanan reman bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Utusan Online.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, suspek ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pornografi di Internet dan mempromosi pelbagai aktiviti seksual kanak-kanak melalui media sosial.
“Dalam serbuan itu pihak polis merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mengandungi gambar dan video bagi tujuan mempromosikan aktiviti tidak bermoral ini kepada umum dan pihak tertentu.
“Suspek direman bermula Khamis lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA SAMARAHAN: Seorang pembantu kedai meninggal dunia selepas merempuh belakang sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan raya di Jalan Ensenggei, di sini malam Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata manga dikenali sebagai Muhammad Nazri Mahli,22, dan berasal dari Kampung Lubuk Buntin, Simunjan.
Menurutnya, mangsa semasa kejadian menunggang sebuah motosikal dari arah Kota Samarahan menuju ke Simunjan iaitu sekitar jam 7.47 malam.
“Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila melanggar sebuah lori yang ditinggalkan tanpa dijaga di tepi jalan raya tersebut dipercayai rosak.
“Impak kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca adalah baik dan keadaan jalan gelap kerana tiada lampu jalan, lapor Sarawak Post.
“Kita juga sekarang sedang berusaha mengesan pemandu lori,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU – Seorang penganggur maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori selepas membuat pusingan U di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Pasir Tumboh di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa, Mohamad Faris Mohd. Rosli, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya tersepit di bahagian bawah lori membawa dua buah tangki air.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal seorang diri dari arah Kota Bharu sebelum melakukan pusingan U ketika tiba di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Kampung Jeram, Pasir Puteh dipercayai tidak fokus sewaktu melakukan pusingan U sebelum merempuh belakang lori itu.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh di bawah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun. Siasatan juga mendapati mangsa menunggang motosikal itu tanpa lesen memandu selain tidak memakai topi keledar, lapor KOSMO online.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU – Empat mangsa kebakaran termasuk bayi berusia lima bulan dan seorang warga emas terselamat selepas tiga buah rumah dan sebuah kedai makan di Jalan Binjai-Bukit Marak, Padang Bongor di sini terbakar, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, bayi perempuan, Nik Norafia Azahra Mohd. Affandi yang berada di dalam rumah berjaya diselamatkan ibunya, Tuan Salbiah Tuan Ismail, 37, selepas terdengar letupan dari arah kedai makan milik ibunya yang terletak di sebelah rumah.
Tuan Salbiah yang melecur pada tangan kiri berkata, sebaik terdengar letupan, dia bergegas keluar sebelum melihat api marak membakar kedai yang terletak di hadapan rumah.
“Pada masa sama, ibu, Siti Heni Abdullah, 62, bergegas menyelamatkan datuk yang sudah uzur kerana bimbang terperangkap dalam kebakaran kerana api marak terlalu cepat kerana rumah diperbuat daripada papan.
“Sebelum kejadian berlaku, ibu sedang memasak nasi di kedainya sebelum meninggalkan dapur untuk melihat anak saya di dalam ‘baby walker’ yang baru dibeli beberapa jam sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.
Ujarnya, secara tiba-tiba letupan berlaku dari bahagian dapur kedai sebelum ia merebak ke rumahnya dan dua buah rumah, lapor KOSMO online.
Kejadian itu menyebabkan ibunya mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah RM300,000.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Tiga pekerja pembinaan cedera selepas konkrit di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) yang sedang dalam pembinaan runtuh di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.14 malam dan seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga mangsa merupakan pekerja warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun. Kesemua mereka dilaporkan sedang melakukan kerja di bawah struktur tersebut.
“Berdasarkan laporan awal, runtuhan konkrit yang sedang dalam pembinaan itu telah runtuh dari ketinggian 12 meter menyebabkan tiga pekerja yang sedang melakukan kerja di bawah struktur berkenaan cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor KOSMO online.
Tambahnya, kesemua mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JEMPOL, N9 – Seorang penoreh getah mengalami kerugian RM99,000 selepas diperdaya sindiket Love Scam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 58 tahun berkenalan dengan seorang wanita bernama Sarah Wong di media sosial Facebook pada Februari lepas.
“Wanita berkenaan mendakwa dia adalah warganegara Singapura yang menetap di Australia seterusnya mereka menjalinkan hubungan lanjut secara maya melalui WhatsApp, namun tidak pernah membuat panggilan telefon ataupun video sepanjang perkenalan itu.
“Dalam tempoh perhubungan tersebut, teman wanitanya menceritakan tentang perniagaan yang dijalankan iaitu berkaitan minyak mentah di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Gambar Hiasan
Chang Hook berkata, wanita tersebut mendakwa menghadapi masalah perniagaan dan dia meminta mangsa meminjamkan wang kepadanya.
“Percaya dengan perhubungan yang terjalin, mangsa telah meminjamkan sejumlah wang kepada wanita tersebut.
“Mangsa telah melakukan enam kali transaksi berjumlah RM99,000 pada 9 dan 10 Jun lepas ke satu akaun bank CIMB dan dimaklumkan akaun itu merupakan akaun pekerja wanita tersebut yang menguruskan kewangan syarikat,” katanya.
Katanya, setelah selesai urusan kemasukan wang tersebut, wanita berkenaan meminta wang tambahan berjumlah RM131,000 dengan alasan kewangan syarikat masih lagi tidak dapat diselesaikan, lapor HM online
“Mangsa yang curiga kemudiannya membuat laporan polis pada Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Chang Hook berkata, mangsa merupakan seorang pesara swasta dan kini bekerja sebagai penoreh getah, manakala wang berkenaan adalah wang persaraan yang diperoleh daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pasir Mas: “Mereka sangat istimewa dan anugerah terindah dari Allah buat saya,” kata Suzita Zakaria berhubung empat daripada tujuh anaknya yang dilahirkan dengan penyakit Hidradenitis Suppurativa atau albino.
Suzita, 37, berkata, selain dilahirkan dengan penyakit albino, empat anaknya itu Muhammad Adam Harris,7, Muhammad Azim Hafiz, 6 dan pasangan kembar, Muhammad Aiman Haziq, 4 serta Muhammad Amirul Haziq, 4, mereka mempunyai masalah penglihatan iaitu silau yang menyebabkan mereka tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Bercerita lanjut, Suzita yang menetap di Kampung Jejuluk, di sini mengakui terkejut selepas melahirkan anak keempat kerana pertama kali mendapat zuriat yang menghidap penyakit albino.
Bagaimanapun, Suzita berkata, doktor ada memberitahu kemungkinan dia mendapat zuriat dengan penyakit sama jika hamil anak kelima dan seterusnya, menyebabkan dia lebih bersiap sedia.
“Anak pertama hingga ketiga saya normal dan disebabkan itu terkejut apabila yang keempat (Muhammad Adam Harris) menghidap albino.
“Saya ada lakukan ujian imbasan dalam tempoh kehamilan tetapi doktor hanya dapat mengesan jantina, bukan penyakit berkenaan.
“Jadi, saya hanya tahu mengenainya selepas melahirkan mereka namun terima ketentuan itu dengan reda,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Suzita, memang ada individu sekeliling yang hairan apabila melihat empat anaknya itu hingga membuat andaian mereka menghidap penyakit kronik seperti leukemia dan tidak cukup darah.
Bagaimanapun, Suzita bersyukur kerana keempat-empat anaknya itu sihat dan bebas daripada penyakit kronik.
“Biasalah, ada orang akan memandang pelik malah tiga anak saya yang normal juga ada bertanya pada peringkat awal dulu kerana menyangka adik mereka sakit.
“Sebagai ibu, saya cuba terangkan kepada anak-anak dan Alhamdulillah, mereka dapat menerima adik mereka dengan baik.
“Sejak bayi lagi anak-anak sudah didedahkan dengan matahari walaupun kulitnya begitu dan mereka sihat, tiada penyakit atau sebarang alahan kecuali masalah silau.
“Mereka perlu gunakan cermin mata. Saya dan suami pula harus membawa empat anak kami itu bertemu pakar mata sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Menurut Suzita, dia tidak sangka kisah empat anaknya itu mendapat perhatian netizen selepas sepupunya, Muhammad Faisal Muhammad Yusoff, 18, memuat naik video di TikTok.
“Saya dan suami terkejut apabila dapat tahu kisah anak tular kerana tiada niat ke arah itu (tular).
“Bagaimanapun, saya bersyukur dan anggap ia rezeki buat anak istimewa jadi dikenali dalam sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Faisal berkata, dia memang rapat dengan anak kepada sepupunya itu sejak mereka kecil lagi.
“Mereka tinggal di sebelah rumah saya jadi kami kerap bertemu satu sama lain. Mereka memanggil saya dengan gelaran Pok Sa dan ikutkan saya pernah kongsi kisah mereka di TikTok sebelum ini.
“Cuma, video baru-baru ini meraih tontonan jauh lebih tinggi hingga membuatkan lebih ramai netizen mahu tahu lebih lanjut mengenai kisah empat beradik itu,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ipoh: Polis menahan pemandu lori yang terbabit kemalangan menyebabkan seorang wanita maut di Jalan Chemor-Jelapang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pemandu berusia 44 tahun itu akan direman untuk membantu siasatan.
Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta Proton Persona pada jam 10.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori daripada arah Jalan Lebuhraya Ipoh-Lumut menghala ke Sungai Siput yang hilang kawalan ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Jelapang.
“Ia menyebabkan lori berkenaan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan mangsa yang ketika itu berada di arah Jalan Chemor ke Jelapang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa wanita berusia 26 tahun parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan akan dibedah siasat pada 9 pagi esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan pihak bomba mengambil masa lebih empat jam untuk mengeluarkan mayat seorang wanita yang tersepit selepas kereta dinaiki terperosok di bawah lori yang dipercayai terbabas, lapor HM online.
Mangsa, Noor Aishah Mohd Tahir, 26, yang parah pada bahagian kepala disahkan maut oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PROSES VAKSINASI DI PANTAI TIMUR DIJANGKA SELESAI SEBELUM MUSIM TENGKUJUH
KUANTAN: Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan proses suntikan vaksin bagi penduduk di Pantai Timur diselesaikan hujung bulan Oktober ini.
Menteri Penyelarasan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sasaran itu ditetapkan bagi memastikan tidak timbul masalah sekiranya berlaku musim tengkujuh di negeri berkenaan.
“Kita cuba susun semula jadual pengagihan (bekalan vaksin) supaya kita ambil kira musim tengkujuh bagi negeri-negeri yang terkesan dengan musim tengkujuh… kita harap kita dapat selesaikan (proses vaksinasi) seperti dijadualkan.
“Kalau kita tidak berjaya (menyelesaikan vaksinasi sebelum musim tengkujuh) kita kena tengoklah apakah strategi untuk kita memberikan vaksin ketika musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Pasukan Petugas COVID-19 Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Ketika ditanya mengenai cadangan dikemukakan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin untuk memberikan vaksin kepada pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, proses vaksinasi kepada pelajar akan dimulakan bulan depan.
“Perkara itu sedang dipertimbangkan dan kita jangka mereka (pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam) bakal menerima dos pertama bulan Julai dan selesai (dos kedua) dalam bulan Ogos,” katanya.
Mengulas mengenai isu bekalan vaksin yang didakwa agak perlahan diagihkan kepada kerajaan negeri, beliau berkata perkara itu sudah dijelaskan sejak bulan Februari lalu dan memaklumkan penghantaran vaksin belum mencapai tahap maksimum.
“Kita mengikut jadual penghantaran disediakan pihak pengeluar vaksin, di mana-mana pun berlaku (kelewatan) jadual penghantaran dan dari awal lagi saya sudah maklumkan, pada peringkat awal, memang perlahan (pengharantan vaksin).
“Selepas bulan Jun, Julai akan meningkat… mungkin rakyat ingat 30 juta dos yang kita tempah itu dihantar serentak pada bulan Februari… tidak ada, tiap minggu mereka akan hantar,” katanya.
Khairy turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan Pahang mampu meningkatkan kadar suntikan harian daripada purata 5,000 suntikan sehari kepada 30,000 suntikan sehari, sebaik sahaja bekalan vaksin diterima kerajaan Persekutuan.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri bakal menerima 440,000 dos vaksin COVID-19 bulan depan, berbanding hanya 180,000 dos diterima bulan ini.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!