PERLIS – Hujan lebat beserta angin kencang yang melanda sekitar Perlis kira-kira jam 3.30 petang tadi mengakibatkan 7 buah rumah rosak akibat struktur rumah dan bumbung diterbangkan angin.
Kejadian yang berlaku melibatkan rumah penduduk di empat kawasan iaitu masing-masing sebuah di Bintong dan Kuala Perlis, 3 buah di Simpang Empat dan 2 buah di Chuping.
Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan, pihaknya telah turun ke lokasi sebaik menerima laporan mengenai kejadian berkenaan daripada amil kariah MAIPs.
Bancian untuk mendapatkan anggaran sebenar kerosakan sedang dilakukan petugas MAIPs.
Bantuan segera bagi membaiki kediaman akan disalurkan segera setelah semua penilaian dan jumlah kerosakan diperolehi.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Amaran hujan berterusan akan berlaku di pantai timur
Orang awam di kawasan yang terlibat dengan amaran hujan berterusan dinasihatkan untuk lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
SEKSYEN A: AMARAN HUJAN BERTERUSAN (BURUK).
Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, Terengganu, manakala Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan tidak terkecuali di kawasan Mersing sehingga Sabtu, 26 Februari 2022.
SEKSYEN B: AMARAN HUJAN BERTERUSAN (WASPADA)
Hujan berterusan dijangka berlaku di Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, Perak. Hujan berterusan akan berlaku di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang).
Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, dan di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor sehingga Sabtu, 26 Februari 2022.
Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang dan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150mm dalam tempoh 24 jam.
Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang dan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60mm dalam tempoh 6 jam.
Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang dan dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.
Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan. Orang awam juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua anggota APM maut dalam kemalangan di KM 142.8, LPT1
MARAN – Dua orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam perjalanan meraikan majlis hari jadi rakannya berkecai apabila maut dalam kemalangan jalan raya.
Bahagian hadapan kereta yang terlibat remuk teruk dalam kemalangan jalan raya di KM142.8, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, hari ini
Kejadian berlaku melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah treler Mitsubishi Fuso di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) KM 142.8 menghala ke Kuala Lumpur pada jam 2.55 petang, hari ini.
Mangsa yang maut, pemandu kereta, Muhammad Nur Izzuddin Mohd Razali dari Pekan (21) dan penumpang tempat duduk hadapan kereta, Siti Fairuz Adnan (28) dari Bukit Cermin, Mentakab.
Manakala, penumpang belakang kereta itu, Nurulain Zulfardliyana Mat Daud (34) dari Nenasi, Pekan mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala pemandu treler tersebut berusia 54 tahun dari Bangi tidak mengalami kecederaan.
Anggota bomba menegeluarkan mangsa yang tersepit
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman berkata, ketika sampai di tempat kejadian dipercayai pemandu telah hilang kawalan dan telah melanggar bahagian belakang treler yang sedang berada di lorong perlahan.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang hadapan kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang belakang kereta telah di bawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan selanjutnya.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu kereta yang disyaki gagal mengawal kenderaan dan melanggar belakang treler mengakibatkan kemalangan berlaku,” katanya.
Katanya, kereta itu remuk teruk pada bahagian hadapan dan besi belakang treler patah dan tayar dan roda bahagian belakang sebelah kiri bengkok.
“Keadaan jalan lurus dua lorong satu hala dan keadaan hujan dan permukaan jalan basah. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Punca kematian mangsa tersebut akan diketahui selepas ujian saringan COvid-19 diperolehi,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEREMBAN – Bayi perempuan berusia 15 bulan yang meninggal dunia setelah ditemukan tidak sedarkan diri dengan kepala dan lehernya terjerut pada kain buaian dikatakan sebelum ini tidak pernah tidur dalam buaian.
Bapanya, Yuseri Yusoff, 39, berkata, anak bongsunya itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri, berada dalam keadaan baik sebelum dihantar ke rumah pengasuh pada pagi hari kejadian semalam.
“Sebelum ini, anak saya tidak pernah tidur dalam buaian tapi ketika kejadian pengasuh letakkan dalam buaian kerana dia susah hendak tidur.
“Saya terkejut apabila isteri hubungi memaklumkan pengasuh beritahu anak sudah tidak bernafas dan mereka hantar ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang, selepas setengah jam doktor beri bantuan pernafasan anak sudah ‘tiada’,” katanya.
Yuseri memberitahu pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, Nour Rania Asyifaa Yuseri, kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan di sini.
Kejadian itu menjadi ujian berganda kepada pasangan berkenaan apabila pernah kehilangan anak kedua mereka ketika masih bayi pada 2020.
Yuseri berkata, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu malah anak sulung berusia tujuh tahun juga pernah dihantar ke pusat jagaan sama sebelum ini.
“Saya terima kejadian ini kerana perkara sudah berlaku, yang selebihnya saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini dan difahamkan pihak polis ada merakamkan percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak ke pusat jagaan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata bayi tersebut, disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang oleh doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Sendayan selepas pengasuhnya mendapati dia gagal bernafas.
Nanda berkata, hasil siasatan awal mendapati selepas bayi itu diberikan susu pada jam 12.30 tengah hari mangsa telah ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik bersama dua kanak-kanak lain.
“Selepas itu pengasuh telah keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk tujuan tugasan lain kemudiannya pada 3 petang pengasuh telah masuk semula ke bilik dan mendapati bayi itu dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
“Pengasuh terus mengambil bayi itu dari buaian dan menjalankan ujian proses bantuan pernafasan (CPR), tetapi dia gagal bernafas semula dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Sendayan pada jam 3.45 petang sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nanda, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan rumah penjagaan atau pengasuh kanak-kanak.
“Bayi itu telah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik kedua rumah pengasuh di mana bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian manakala badannya masih berada dalam buai.
“Ketika kejadian, dua pengasuh berada di dalam rumah bersama-sama 15 orang kanak-kanak lain termasuk bayi itu,” katanya yang memberitahu tempat kejadian tidak dipasang kamera litar tertutup (CCTV).
Nanda berkata, rumah pengasuh itu yang dimiliki oleh kedua-dua pengasuh telah beroperasi sejak penghujung tahun 2019 dan menjaga kanak-kanak berusia enam bulan hingga tujuh tahun.
SUMBER-UTUSAN
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEKAN – Seorang lelaki maut dalam kejadian yang melibat dua buah lori pikap di KM 68, Jalan Kuantan-Segamat pada jam 12.00 tengah hari, hari ini.
Kejadian itu berlaku di hadapan Balai Bomba Simpang Chini dan lelaki yang maut yang berada di dalam pikap berwarna putih.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini berusaha menggunakan alat khas untuk mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.
Maklumat lanjut akan menyusul.-SAHIH
Foto : Kredit kepada Ranger Iewan Chini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Malaysia telah termasuk dalam senarai ‘negara berisiko paling tinggi’ oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
Menurut laporan CNN, Malaysia tersenarai dalam risiko ‘Tahap 4: COVID-19 Paling Tinggi’ apabila kes jangkitan mencecah 500 setiap 100,000 penduduk dalam tempoh masa 28 hari.
Bhutan, Brunei dan Iran juga tersenarai dalam negara berisiko tinggi Tahap 4.
Dua minggu sebelumnya, Malaysia melaporkan 11,034 kes COVID-19 menunjukkan jumlah kes mencapai 27,179 jangkitan.
CDC memberi amaran awal kepada pelancong supaya tidak bercuti ke negara yang tersenarai dalam Tahap 4.
Penganalisis perubatan CNN, Dr, Leana Wen berkata negara yang tersenarai dalam Tahap 4 merupakan negara yang mudah terkena jangkitan COVID-19 dalam komuniti, pastikan orang ramai tidak melawat ke negara tersebut.
Negara terawal yang tersenarai dalam Tahap 4 iaitu Mexico, Kanada, Perancis, Peru, Singapura dan Sepanyol. Manakala United Kingdom tersenarai dalam tahap 4 sejak Julai 2021.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Lumpur – Dua kren gondola berbuai akibat ribut yang mencemaskan pekerja di dalamnya dan pekerja lain serta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu di TS Law Tower, Jalan Kemuning, di sini, petang semalam.
Akibat kejadian itu menyebabkan gondola itu hilang kestabilan sehingga tali hampir terbelit dan bertembung sesama sendiri.
Aksi cemas tersebut tular di media sosial apabila video berdurasi 2.32 minit itu menunjukkan pekerja terbabit yang berada di atas kren gondola itu turut hilang kawalan.
Komander Operasi Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Junain Bahau berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya bergegas ke tempat kejadian.
“Seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan dimaklumkan wakil pemaju tapak pembinaan itu bahawa, mangsa yang berada di dalam gondola itu berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat di bahagian atas bangunan itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.-SAHIH.
DIPETIK : Hmetro
VIDEO : MEDIA SOSIAL
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Laluan Jalan Lama Bentong-Raub runtuh, pengguna jalan tersebut guna jalan alternatif
RAUB – Orang ramai dikehendaki mengguna dua jalan alternatif di Laluan Utama Persekutuan FT008 antara Bentong – Raub dan FT34, Central Spine Road (CSR) disebabkan laluan Jalan Lama Bentong – Raub (FT 218) ditutup.
Jurucakap Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub menjelaskan penutupan itu berikutan kejadian Jambatan Sungai Teras runtuh semalam di Seksyen 24.80 berdekatan kampung tersebut.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan tidak melalui jalan ini dan mematuhi arahan papan tanda yang telah disediakan oleh JKR.
Jurucakap itu menambah, pengguna bolehlah membuat pertanyaan mengenai kesulitan di laluan tersebut dengan menghubungi JKR Raub menerusi talian 09 3554040.
Dalam kejadian pada jam 3 pagi malam semalam, seorang pemandu lori membawa muatan surat khabar dilaporkan terperesok apabila kenderaan yang dipandunya terjunam dalam jambatan yang runtuh di Tranum berdekatan Tokong Cina Kampung Tras.
Pemandu lori berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, lori muatan surat khabar yang melalui jalan tersebut terperangkap selepas jambatan berkenaan runtuh dipercayai berlaku susulan hujan lebat dari pukul 11.30 malam semalam.
“Susulan kejadian, jalan di situ ditutup di kedua-dua belah arah dan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya di sini hari ini,” katanya dalam kenyataan semalam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hari ini 72 tahun yang lalu, Balai Polis Bukit Kepong musnah diserang komunis.
Foto atas: Inilah barisan kita yang mempertahankan kedaulatan negara, tragedi Bukit Kepong
Bukit Kepong adalah sebuah pekan terpencil di selekoh Sungai Muar kira-kira 59 kilometer (km) dari Bandar Muar, Johor. Lokasinya yang terasing menjadikannya sasaran gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang sedang memberontak melawan British.
Pada 4.15 pagi 23 Februari 1950, ketika Sarjan Jamil Mohd Shah dan 21 orang polis serta polis bantuan sedang bertugas di Balai Polis Bukit Kepong, mereka dikepung dan diserang kira-kira 185 anggota gerila komunis yang dipimpin Mat Indera.
Bekas Balai Polis Bukit Kepong yang musnah dalam pertempuran dengan komunis di Bukit Kepong
Bermula dengan Mata-Mata Jaafar Hassan menembak mati komunis yang cuba memotong kawat berduri pertahanan balai tersebut, meletus pertempuran tembak-menembak yang cekal ditahan pihak polis walaupun kekuatan musuh berganda lebih besar.
Berita sampai ke Kampung Jawa berdekatan yang bertindak menghantar sekumpulan penduduk bersenjata raifal dan senapang patah ke sana, namun terkandas apabila mereka diserang sepasukan komunis di tengah jalan.
Pada masa sama, sekumpulan penduduk Kampung Durian Chondong menaiki bot untuk memberi bantuan turut diserang hendap komunis. Mereka yang terselamat bergerak ke Lenga untuk memaklumkan kepada balai polis di sana.
Antara perwira negara yang gugur angkara serangan puak komunis
Sekitar 7 pagi, komunis menawan isteri Mata-Mata Mohamad Jaafar, Mariam Ibrahim; isteri Mata-Mata Abu Bakar Daud, Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan untuk mengugut polis supaya menyerah. Sarjan Jamil tetap mahu berjuang hingga penghabisan.
Keengganan itu menyebabkan Fatimah dibunuh, Mariam dicederakan dan pertempuran diteruskan. Satu persatu perwira gugur termasuk 2 wanita yang turut mengangkat senjata setelah melihat suami masing-masing terkorban.
Akhirnya selepas 5 jam, balai ditawan dan dibakar bersama berek kelamin di belakangnya. Ada isteri dan anak anggota terperangkap, rentung bersama mayat anggota yang gugur. Hassan anak Fatimah dan mereka yang parah turut dihumban hidup-hidup ke dalam api.
Komunis yang hilang kira-kira 40 anggotanya kemudian berundur semula ke dalam hutan selepas membunuh 25 nyawa polis, polis bantuan, pengawal kampung dan orang awam. Hanya 4 orang polis dan 9 ahli keluarga yang terselamat.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, PDRM
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
200 serta perhimpunan Moyang Long dan Haji Ahmad di Guai.
BERA -Kira-kira 200 orang dari keturunan moyang Awang Long, Haji Ahmad dan Salleh telah berkumpul di laman Teratak Abang Din di Kampung Tok Langit, Mengkarak, Bera, baru-baru ini.
Namun, keluarga moyang Salleh masih belum dapat dijejaki dan dipercayai berada di Muar dan seorang lagi moyang didakwa berada di Sumatera dan usaha mencari nama dan tempat tinggal mereka akan diusahakan.
Penyelaras perhimpunan itu, Saruji Abdul Aziz berkata, semasa dia dan beberapa orang ahli keluarga dari Guai, Bera mula berhubung di dalam aplikasi Whatsapp dan masing-masing berkeinginan dan teruja untuk mengadakan pertemuan itu.
Penyelaras perhimpunan, Saruji Abdul Aziz
“Semasa berbual, kami terfikir untuk mengadakan perhimpunan itu dan perancangan dilakukan kira-kira 4 bulan sebelum perhimpunan ini direalisasikan.
“Awalnya, kami merancang di samping menjejaki ahli keluarga di negeri Pahang terlebih dahulu, bersyukur kerana dapat menghimpunkan kira-kira 200 orang bermula pangkat datuk sehingga cicit dan peringkat muda.
“Kami mempunyai pertalian persaudaraan di Raub, Lipis, Bentong, Temerloh, Kuantan dan yang ramai berada di Pulau Tawar, Jerantut dan Guai, Bera dan Isya Allah akan menjejaki yang jaluran keluarga yang berada di Muar,” katanya.
Katanya, tujuan mengadakan perhimpunan itu untuk merapatkan tali persaudaraan yang agak terpisah, khususnya di Muar dan Sumatera.
Ahli keluarga sebelum balik turut dibekalkan gulai masam tempoyak ikan patin.
“Mujur dalam bualan dalam media sosial, saya bermula ‘terjumpa’ darah daging di Guai selepas menyusul salasilah persaudaraan,” katanya.
Ahli keluarga antara yang tertua, Abdullah Arshah Salehuddin (85) yang tinggal di Kerdau, Temerloh turut hadir mencerita secara ringkas pertalian persaudaraan.
“Kita ada moyang yang berada di Muar, tapi tidak tahu di mana, malah ada juga di Sumatera kerana merantau ketika itu, diharapkan ‘orang muda’ terus jejaki mereka.
“Malah perantauan mereka bukan sekadar ‘makan angin’ sebaliknya mencari dan mendalami ilmu keagamaan dan lama kelamaan terputus hubungan,” katanya.
Seorang ahli keluarga jalur Haji Ahmad yang tinggal di Jerantut, Nasruddin Ramli, berkata, Aallahyarham ayahnya pernah bercerita jaluran keluarga yang bermula daripada Awang Long yang mempunyai empat anak.
Keluarga Jaluran Haji Ahmad, Pulau Tawar, Jerantut. Abdullah Arshah Salehuddin (duduk) dan Nasruddin Ramli (3 dari kanan).
“Kemudian anaknya di jaluran Haji Ahmad (Pulau Tawar) mempunyai lima anak termasuk arwah ayah saya.
“Pertemuan ini bermakna kerana saya masih tidak kenal keluarga khususnya di sebelah Guai (Bera) dan dimaklumkan keluarga Salleh yang berada di Muar yang masih belum dijejaki,” katanya.
Seorang ahli keluarga jaluran dari Guai, Abdul Ghafar Abdul Rahman berkata, perhimpunan ini sangat dialu-alukan sebagai merapatkan siratulrahim antara keluarga yang terpisah.
Ahli keluarga jaluran dari Guai, Abdul Ghafar Abdul Rahman
“Selain itu, mungkin menubuhkan koperasi keluarga berasaskan ternakan ikan air tawar dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki oleh ahli keluarga terutama yang berada dan tinggal di pesisir Sungai Pahang di Pulau Tawar dan Guai,” katanya.
Seorang ahli keluarga, lebih mesra dengan panggilan Mak Ngah Hawa (86), berharap perhimpunan seperti ini akan diadakan setiap tahun terutama semasa sambutan hari raya Aidil Fitri.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!