Bas persiaran hilang kawalan, rempuh Myvi dan Teksi di Genting Highlands
GENTING HIGHLANDS – Sebuah bas persiaran hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah Perodua Myvi dan teksi Toyota Innova di KM17 jalan turun Genting Highlands, petang tadi.
Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting bersama sebuah jentera LFRT bergegas ke lokasi dan tiba pada 5.55 petang.
Komander Operasi, PBK II (KUP) Shamsul Fazli Jumain, berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan terbabas ke bahu jalan akibat rempuhan.
“Tiada mangsa tersepit, manakala semua penumpang bas dan pemandu teksi tidak cedera. Pemandu Myvi cedera ringan dan dihantar ke Klinik Genting untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kemalangan menyebabkan lalu lintas sesak kerana cuti hujung minggu. Operasi ditamatkan pada 6.07 petang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: “Khemah saya terbang kira-kira lima kilometer dari lokasi niaga, semua peralatan rosak dan pokok di belakang gerai tumbang disambar kilat,” kata peniaga goreng pisang, Norizati Asmida Rosli, 30, yang terjejas akibat ribut di Taman Bukit Bendera, Mentakab di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Norizati berkata dia berada di rumah sebelum menerima panggilan penduduk setempat memaklumkan khemahnya hilang dibawa angin kencang.
“Kejadian berlaku sangat pantas. Sekelip mata angin kencang disusuli hujan lebat memusnahkan peralatan niaga termasuk khemah, meja dan wayar elektrik yang putus.
“Bumbung rumah saya turut bocor dan air hujan masuk membasahi lantai. Dengan lima anak masih bersekolah dan suami bekerja sebagai pemandu lori, kerosakan ini benar-benar menjejaskan pendapatan kami,” katanya yang sudah lima tahun berniaga di lokasi itu.
Ribut yang melanda turut menyebabkan 25 rumah di lima kawasan sekitar Mukim Mentakab 1 dan Mukim Songsang rosak, selain merosakkan Masjid Taman Bukit Bendera di bahagian atap dan siling.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli berkata, kawasan terjejas ialah Taman Saga Damai (satu keluarga), Taman Bukit Bendera (16 keluarga), Taman Tunas (satu keluarga), Kampung Tanjung Kerayong (enam keluarga) dan Kampung Gantok (satu keluarga).
Sementara itu, kerajaan negeri Pahang yang diwakili Penyelaras DUN Kuala Semantan, Datuk Ridzuan Hazimin turut turun padang meninjau lokasi kejadian serta bertemu mangsa terjejas bagi menyalurkan bantuan segera.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada pusat pemindahan dibuka kerana mangsa masih boleh menetap di rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan pemantauan serta mengumpul maklumat mangsa.
“Kerja pembersihan pokok tumbang diselesaikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan APM. Tindakan susulan diselaras oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penghulu mukim,” katanya
Hujan lebat disertai angin kencang melanda kawasan Taman Bukit Bendera sehingga menyebabkan kerosakan kediaman dan premis perniagaan.
Beliau menasihatkan penduduk supaya berwaspada terutama ketika cuaca tidak menentu dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian luar jangka.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PAHANG SAPU BERSIH! ENAM TROFI PELANCONGAN SEKALIGUS
SELANGOR – Negeri Pahang membuktikan statusnya sebagai ‘raja pelancongan’ Malaysia apabila membolot enam trofi berprestij pada Malam Anugerah Industri Pelancongan 2025 yang berlangsung di Grand Lagoon Ballroom, Sunway Resort Hotel, Selangor, malam tadi.
“Pengiktirafan ini bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan penggiat industri yang berjaya menjadikan Pahang destinasi pilihan utama,” katanya.
Acara anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA) dan Majalah Santai Travel itu menyaksikan Tourism Pahang meraih anugerah utama Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia sekali gus mengangkat imej negeri itu di persada pelancongan negara.
Turut mencuri perhatian, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengungguli dua kategori – Inisiatif Pembangunan Pelancongan Terbaik dan Destinasi Rekreasi Terbaik – hasil usaha memperindah bandar serta menyediakan kemudahan mesra pelancong.
Tuan Kamaruddin Ibrahim menerima anugerah bagi pihak Tourism Pahang
Tidak ketinggalan, Bilut Hills Eco Resort Pahang dinobatkan Resort Inovasi dan Kreatif Terbaik, manakala Resort World Genting terus gah dengan dua kemenangan – Destinasi Percutian Keluarga Terbaik dan Destinasi Membeli Belah Bersepadu Gaya Hidup Terbaik.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Tuan Kamaruddin Ibrahim yang hadir mewakili Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk memperkasa lagi industri pelancongan negeri.
Majlis gilang-gemilang itu dihadiri ratusan pemain industri pelancongan, wakil kerajaan negeri serta tetamu dari dalam dan luar negara.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pesta Bola Merdeka Eratkan Hubungan Generasi FELDA
JERANTUT – Arena Kesidang, Felda Jengka 8 meriah dengan penganjuran Pesta Bola Merdeka Tertutup Felda Jengka 08 (Kesidang) yang menjadi aktiviti tahunan ambang merdeka, menggabungkan generasi lama dan baharu komuniti setempat.
Program bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dirasmikan Penolong Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Tuan Haji Razak Daud yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut.
Menariknya, setiap pasukan diwajibkan menurunkan gabungan pemain veteran berusia 50 tahun ke atas serta pemain muda berusia 12 hingga 15 tahun bagi memupuk kerjasama antara generasi dalam suasana penuh semangat kesukanan.
Razak Daud (kiri) bersama penjaga gol pasukan sebelum perlawanan Pesta Bola Merdeka Tertutup Felda Jengka 08 di Arena Kesidang, Jengka 8, Jerantut,
Sebanyak enam pasukan berentap dalam kejohanan itu yang menjadi medan mengeratkan hubungan komuniti Felda serta memberi peluang kepada bakat muda memperlihatkan kebolehan di samping mendapat tunjuk ajar daripada pemain berpengalaman.
Menurut penganjur, tujuan utama pesta bola ini adalah untuk mengukuhkan silaturahim antara generasi baharu Felda dengan komuniti, selain mengisi sambutan kemerdekaan dengan aktiviti sihat.
Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Tuan Haji Mohd Izzat Ilzam Dato’ Rosidi; Pengerusi JPKK Felda Jengka 8, Saharin Othman; Pengurus Felda, Khairol Sauqid Azmi; dan Pengerusi Belia Daerah Jerantut, Jamil Mat Daut.
Acara itu turut mendapat sokongan badan-badan komuniti Felda Jengka 8, Ahli Jawatankuasa Bahagian serta Pemuda UMNO Bahagian Jerantut.
Razak Daud (dua dari kiri) bersama pemain dan penyokong pasukan ketika Pesta Bola Merdeka Tertutup Felda Jengka 08 di Arena Kesidang, Jengka 8, Jerantut,
Pesta Bola Merdeka bukan sahaja menjadi platform sukan, malah simbol kebersamaan dan semangat patriotisme warga Felda sekali gus mengangkat bola sepak sebagai jambatan menghubungkan masyarakat pelbagai lapisan umur di tanah rancangan. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Tindakan samseng jalan raya seorang lelaki yang menyerang pemandu lain di Kilometer 10.3 Jalan Genting Highlands (arah turun) tular di media sosial selepas rakaman berdurasi satu minit 23 saat memaparkan insiden itu dikongsi di beberapa platform.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku pada 3 Ogos lalu kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa, lelaki tempatan berusia 32 tahun, dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke rumahnya di Subang Jaya, Selangor.
“Hasil siasatan mendapati suspek memandu secara berbahaya dengan membrek mengejut dan menghalang laluan mangsa.
“Selepas mangsa berjaya memotong, suspek mengejar sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Zaiham berkata, mangsa kemudian memberhentikan kenderaan sebelum diserang suspek yang menumbuk muka dan mencederakan lehernya. Pergaduhan itu dileraikan dua rakan mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 22 tahun.
Menurutnya, susulan laporan polis, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek direman empat hari sehingga 7 Ogos lalu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan siasatan masih dijalankan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Candelaria Rivas Ramos menamatkan perlumbaan di tempat pertama.
Tiada jurulatih. Tiada penaja. Tiada kelengkapan mewah tetap berjaya
Hanya berjalan kaki sejauh 14 jam merentasi pergunungan kasar Tarahumara, Candelaria Rivas Ramos menamatkan perlumbaan di tempat pertama.
Pelari luar biasa dari Chihuahua, Mexico ini mengejutkan dunia apabila menjuarai Canyon Ultra Marathon 2025 sejauh 63 kilometer dalam masa 7 jam 34 minit.
Pelari luar biasa dari Chihuahua, Mexico ini mengejutkan dunia apabila menjuarai Canyon Ultra Marathon 2025 sejauh 63 kilometer dalam masa 7 jam 34 minit.
Dia datang bersendirian. Tiada pasukan.
Tiada kasut sukan dan hanya memakai ‘huaraches’ tradisional, dan kain skirt panjang yang melambangkan asal-usulnya.
Candelaria bukan sahaja menempuh ketinggian, keletihan dan cuaca yang terik.
Dia berlari menentang sistem yang sering meninggalkan mereka yang tiada dana, jurulatih, atau pendedahan.
Namun, dia tetap menang.
Kemenangannya bukan sekadar kejayaan sukan. Ia adalah tentang maruah budaya. Ia adalah tentang ketahanan jiwa.
Ia adalah tentang kebanggaan masyarakat pribumi. Dia membuktikan kepada dunia. Kekuatan sebenar bukan datang dari kemewahan…
Tapi dari dalam diri.
Sumber FB
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Seorang peniaga wanita berusia 50 tahun menanggung kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan iklan ‘borong buah’ di Facebook yang memintanya memuat turun fail aplikasi (APK) mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, mangsa memuat turun fail berkenaan pada 3 Ogos lalu selepas melihat iklan promosi di laman media sosial terbabit.
Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan dan diminta mengisi maklumat peribadi serta membuat bayaran penghantaran berjumlah RM141.60.
“Namun, pada 6 Ogos, mangsa dimaklumkan pihak bank bahawa berlaku transaksi mencurigakan daripada akaun miliknya.
“Siasatan awal mendapati sebanyak RM109,991.80 telah dipindahkan ke tujuh akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akaun simpanan bersama milik mangsa dan suami turut diceroboh, menyebabkan wang berjumlah RM89,996.94 dipindahkan menerusi tujuh transaksi.
“Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM199,988.74 yang merupakan wang simpanan peribadi serta milik bersama suami,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Wong menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran mencurigakan yang diterima melalui media sosial.
“Jangan sesekali memuat turun fail atau aplikasi dari sumber tidak sah dan jangan dedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali,” katanya.
Orang ramai disaran menyemak nombor akaun atau telefon yang meragukan melalui laman rasmi https://semakmule.rmp.gov.my atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk tindakan segera.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Video Bantuan AI Palsu, Dr. Fatah Buat Laporan Polis
KUALA LUMPUR – “Saya tidak pernah menjanjikan sebarang bentuk bantuan kepada orang awam.”
Itu penegasan Datuk Seri Dr. Fatah yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau menawarkan bantuan kewangan menerusi pelbagai platform media sosial seperti TikTok, YouTube dan Facebook.
Menurut beliau, video tular yang memaparkan dirinya menjanjikan pelbagai sumbangan kepada masyarakat sebenarnya merupakan hasil manipulasi teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya ingin tegaskan bahawa ada individu telah menyalahgunakan nama dan wajah saya untuk mencipta video palsu bertujuan memperdaya orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kelana Jaya pada 3 Ogos lalu, selain turut mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan lanjut.
Fatah berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa penipuan dan bagi melindungi reputasi beliau daripada terus tercemar.
“Saya tidak pernah membuat sebarang tawaran bantuan, sama ada secara peribadi mahupun melalui mana-mana organisasi di bawah naungan atau kendalian saya,” katanya lagi.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan video palsu berasaskan AI yang semakin banyak disebarkan di internet ketika ini.
“Saya menghargai semua pihak yang tampil bertanya kesahihan kandungan video tersebut. Teruskan peka dan jangan mudah percaya dengan kandungan yang meragukan di media sosial,” ujarnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘Terima kasih MB bantu beli kaki palsu’ Ketua peneroka wakili penerima bantuan perubatan khas
KUANTAN: “Terima kasih banyak kepada Menteri Besar yang prihatin, sumbangan ini sangat bermakna untuk peneroka kami,” kata Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Jerantut, Razak Daud selepas menerima bantuan Kerajaan Negeri bagi pembelian kaki palsu seorang penduduk Felda.
Aripin Muhammad menunjukkan surat sumbangan kaki palsu yang diterimanya daripada Kerajaan Negeri Pahang. SAHIH/IHSAN PEMBACA
Menurutnya, beliau mewakili peneroka Aripin Muhammad untuk memohon peruntukan khas bagi menampung kos pembelian kaki palsu, dan bersyukur apabila permohonan itu diluluskan.
“Alhamdulillah hari ini kita sudah dapat sumbangan itu. Ini menunjukkan keprihatinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang tidak pernah mengecewakan rakyat, khususnya peneroka Felda,” katanya.
Razak berkata, bantuan itu membuktikan kepimpinan kerajaan negeri sentiasa menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang dan lokasi, termasuk kawasan tanah rancangan.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud (tengah) menyerahkan bantuan Kerajaan Negeri Pahang kepada peneroka, Aripin Muhammad (duduk) bagi pembelian kaki palsu dalam satu kunjungan di rumah penerima. SaHIH/IHSAN PEMBACA
Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Anisah Sidek, 54, dari Taman Sungai Isap Perdana, meluahkan rasa syukur apabila menerima sumbangan bagi menampung kos rawatan anaknya, Muhammad Hazim Hafifi Mat, 13, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak usia setahun lebih.
Menurutnya, anaknya perlu menjalani rawatan dialisis darah tiga kali seminggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, selain memerlukan plaster khas kerana alahan pada kulit.
“Sumbangan ini sangat membantu untuk kos ulang alik ke hospital dan pembelian keperluan ubat. Memang saya sangat memerlukan, terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Anisah berkata, sebelum ini anaknya menjalani rawatan cuci air dan beliau menyediakan bilik khas di rumah demi memastikan persekitaran bersih dan selamat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kereta Klon Tersadai – Dua Individu Dicekup Miliki Air Ketum dan Pil Disyaki Dadah
TEMERLOH – Seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 25 tahun ditahan polis ketika menaiki kereta jenis Volkswagen Jetta dipercayai kenderaan klon dalam satu operasi cegah jenayah di Jalan Tengku Ismail, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 10.30 pagi selepas kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dikesan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nombor casis dan enjin kenderaan itu tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala nombor pendaftaran yang digunakan disyaki palsu.
“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk 81 biji pil dalam bekas plastik biru, dua botol berisi cecair disyaki air ketum, sebilah gunting kecil, dua unit pemotong tali, satu mata gergaji, tali sawat dan alat pengunci,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
TEMERLOH 4 OGOS 2025. Antara barangan dirampas termasuk dua botol berisi cecair disyaki air ketum, pil disyaki dadah, alat pemotong dan nombor pendaftaran palsu dalam satu operasi di Jalan Tengku Ismail, di sini. FOTO IHSAN PDRM.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine manakala wanita berkenaan negatif dadah. Kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Mazlan berkata, kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Temerloh.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun,” katanya.
Tambah beliau, semua barangan rampasan bersama kedua-dua suspek dibawa ke IPD Temerloh untuk tindakan lanjut.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!