Delegasi KAF kunjung hormat Timbalan Pengarah Besar FELDA
KUALA LUMPUR – Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam mengetuai delegasi daripada Kami Anak FELDA (KAF) mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Pengarah Besar FELDA, Datuk Bainuri Aris, hari ini.
Kunjungan itu bagi membincangkan dan memperhalusi beberapa isu mengenai hala tuju selain isu berkaitan KAF dan FELDA.
“Perbincangan berkisar kepada pelaksanaan beberapa perkara yang mendatangkan kebaikan kepada kedua pihak,” kata Amizar dalam satu hantaran di Facebook
Amizar memaklumkan, selepas kunjungan hormat itu, dia yang mewakili KAF Malaysia menghadiri Mesyuarat Perundingan Peneroka Kebangsaan.
“Mesyuarat ini adalah badan tertinggi yang bertanggungjawab membentuk dan meluluskan perkara asas dan penting kepada warga peneroka FELDA,” katanya.
Amizar berharap rutin berkenaan dapat memberi gambaran mengenai kepentingan warga peneroka FELDA dan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan serta kemakmuran semua warga peneroka di negara ini dan di Pahang. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang bakal ditubuhkan
JENGKA – Satu mesyuarat akan diadakan bagi menjayakan penubuhan Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang tidak lama lagi.
Sekretariat itu akan menggabungkan data sedia ada dimiliki Majlis Belia FELDA (MBF) Pahang dan badan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak FELDA (KAF).
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, penubuhan sekretariat itu bertujuan bagi mengumpul semua anak FELDA Pahang yang berada di luar negeri ini.
“Kalau ikutkan data yang ada dengan KAF dan MBF, jumlahnya lebih 40,000 dan kalau semua kita boleh kumpulkan, sudah pasti ia akan memudahkan proses penyaluran maklumat berkaitan inisiatif disediakan kerajaan Pahang untuk mereka.
“Macam KAF sendiri yang mensasarkan jumlah 100,000 ahli… kalau sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang pun boleh mengumpul jumlah sama, itu sudah cukup baik,” katanya ketika ditemui selepas Karnival Segalanya FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, dekat Jengka, hari ini.
Karnival itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis itu, Wan Rosdy mengumumkan pemberian geran RM20,000 kepada JKKR, GPW, MBF dan KAF bagi tujuan pengurusan.
Mengulas mengenai pemberian geran pengurusan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan, Gerakan Peneroka Wanita (GPW), KAF dan MBF oleh kerajaan Pahang, Amizar berkata, ia adalah bukti jelas keprihatinan Wan Rosdy kepada warga peneroka.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Wan Rosdy dan ini menunjukkan kepercayaan Datuk Seri kepada kita (warga peneroka FELDA).
“Jadi, kita harap semua inisiatif dan insentif diberikan kepada semua warga peneroka FELDA dapat memberi manfaat dan membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kad Kesihatan Kasih Makmur 2024 diagih untuk penduduk Pelangai
BENTONG – Seramai 467 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai menerima kad kesihatan Kasih Makmur.
Kad kesihatan itu adalah antara inisiatif kerajaan Pahang dalam mensejahterakan rakyat, terutamanya golongan warga emas.
Penyampaian kad kesihatan bagi DUN Pelangai dilakukan oleh Datuk Amizar Abu Adam di Dewan Orang Ramai Agropolitan Chemomoi, dekat sini.
“Melalui kad kesihatan Kasih Makmur, warga emas dan OKU akan menikmati kemudahan rawatan kesihatan di klinik swasta dengan peruntukan RM500 setahun.
“Sudah tentu ia akan membantu mempercepatkan proses rawatan untuk kumpulan sasar ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Amizar yang ADUN Pelangai menjelaskan kad kesihatan Kasih Makmur itu diperkenalkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejak tahun 2022 lagi.
“Sehingga kini, lebih 30,000 penerima yang menikmati manfaat melalui bantuan ini.
“Beberapa cadangan tambah baik juga sedang dilakukan antaranya klinik bergerak bertemu rakyat dan beberapa ubat-ubatan yang boleh diambil oleh pemegang kad ini yang akan memberi makna yang besar kepada mereka,” katanya.
Amizar dalam masa sama merakam ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membantu menyelaras bantuan Kasih Makmur untuk DUN Pelangai dan seluruh Pahang. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Kawasan peranginan Genting Highlands terus menjadi antara lokasi tumpuan bagi pelaksanaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang dipantau pihak PLANMalaysia, kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan.
Objetif utama kajian RKK Genting Highlands yang melibatkan keluasan 6,339.85 hektar adalah satu pelan perancangan untuk menjadikan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi bertaraf antarabangsa yang lestari.
Majlis perasmian program publisiti dan penyertaan awam draf RKK Genting Highlands dilakukan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Amizar dalam perkongsian di Facebook berkata, program itu berlangsung selama sebulan bermula 2 Mei 2024 hingga 3 Jun 2024.
“Tujuan utama program publisiti ini diadakan adalah bagi memberi peluang kepada orang awam dan pihak berkepentingan untuk menyemak laporan draf RKK yang telah tersedia.
“Seterusnya orang awam boleh memberikan pandangan, cadangan serta maklum balas bagi menjayakan RKK ini,” katanya.
Amizar selaku ADUN Pelangai menjelaskan RKK ini juga selaras dengan hasrat Majlis Perbandaran untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan Bentong sebagai bandar Eko pelancongan melalui pelaksanaan projek pembangunan semula merangkumi aspek flora dan fauna. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Pelajar membuat senaman ringan bersama-sama warga emas untuk membina kecergasan.
Pelajar UIAM Pagoh santuni PJMM
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, Johor mengadakan Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, baru-baru ini.
Program itu menepati latihan luar kampus pelajar terbabit dalam mempertingkat keyakinan dan jati diri dengan berpegang utuh kepada nilai-nilai adat, budaya, agama dan bangsa apabila berada dalam lingkungan komuniti masyarakat pelbagai kaum.
Ketua Jabatan Bahasa Melayu (Kuliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari) UIAM Kampus Pagoh, Dr Nurul Jamilah Rosli, berkata apa yang pelajar belajar dalam bilik kuliah secara teori yang belum mencukupi atau menepati apabila mereka berdepan dengan masyarakat dalam kehidupan yang sebenar.
Dr Nurul Jamilah Rosli dan Azman Ras,am melakukan gimik perasmian Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah.
Justeru itu, hasil kerjasama semua pihak termasuk dalam kalangan pelajar sendiri membawa mereka keluar ke lapangan untuk menimba pengalaman menyantuni warga emas secara realiti dengan mempraktikan ilmu yang dipelajari dalam bilik kuliah.
“Program dianjurkan ini menepati dengan kursus dalam Program Sarjana Muda Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa diikuti pelajar terbabit yang membantu mereka bagi mula membina pengalaman baharu berdepan dengan orang ramai termasuk warga emas.
“Pelajar akan memahami khususnya sikap warga emas di pusat jagaan sebagai contoh menghadapi pelbagai masalah yang bukan setakat sahaja uzur malah ada antara mereka pelupa, dan kena bertanya berkali-kali untuk memahami apa soalan yang diajukan atau mengikuti arahan,” katanya.
Tambahnya, semua ini akan menguji kesabaran pelajar terbabit dan memikirkan cara terbaik bagi menyantuni warga emas seperti itu seperti bahasa yang perlu dituturkan, berlembut penuh sopan dan paling penting bersabar dengan mereka apabila bekerjaya nanti.
“Saya berpuas hati dengan pembabitan pelajar dalam program ini yang menunjukkan mereka bersikap positif dalam menjaga tatasusila melayani warga emas walaupun kali pertama terbabit dengan aktiviti khidmat komuniti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Program berkenaan, Jihan Irniesha Mohd Nazri, berkata objektif program itu adalah bagi mempertingkat kemahiran berbahasa pelajar melalui interaksi dengan warga emas, menekankan penggunaan bahasa yang santun dan hormat-menghormati.
Katanya, program ini untuk memupuk kesedaran sosial dalam kalangan pelajar mengenai keperluan dan keinginan warga emas, dengan menitikberatkan kepentingan menunjukkan budi bahasa melalui komunikasi yang beretika.
“Program ini juga merupakan tugasan bagi subjek BMCO 3102: Kesantunan Berbahasa yang memerlukan pelajar untuk menghasilkan sebuah projek bagi menerapkan amalan kesantunan.
“PJMM dipilih kerana pusat jagaan berkenaan merupakan antara pusat jagaan yang terbaik dari aspek penerimaan untuk menjalankan program serta amat responsif terhadap sebarang pertanyaan yang diajukan, urusan bersama pihak pusat itu juga amat mudah untuk pihak kami bekerjasama,” katanya.
Menurutnya, antara aktiviti dilakukan dalam program itu termasuklah senaman ringan, kotak beracun iaitu memerlukan warga emas menyanyi, berpantun atau bersajak dan secara tidak langsung mewujudkan hubungan ramah mesra serta pemberian hadiah kepada mereka.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff diberi taklimat oleh pihak KPKT.
KPKT usaha majukan fasiliti di Pahang
PEKAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berusaha memajukan perumahan, kemudahan dan fasiliti di Pahang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Pahang menyambut baik usaha itu dan perlu diteruskan bagi memastikan kelengkapan kemudahan seperti stesen bas dan perumahan yang selesa dapat dibina di negeri ini termasuklah di Daerah Pekan.
“Kerajaan Negeri berterima kasihlah kepada KPKT dan kakitangan yang telah bersama-sama hadir pada hari ini untuk mencari penyelesaian atau pun untuk memulakan langkah-langkah bagi memastikan projek yang dilaksanakan oleh KPKT ini dapat berjalan dengan baik.
“Bagi Kerajaan Negeri pula kita akan membantu sehabis baik untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar termasuklah pembinaan projek Pekan Sentral ini dan juga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Genuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Lawatan Kerja Ke Tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Genuk dan Tapak Pembinaan Sentral Pekan di Pekan, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Fakhruddin berkata, menerusi pembinaan Sentral Pekan dan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Paya Genuk di daerah itu akan dapat menggalakkan perkembangan pembangunan lain di kawasan sekitar.
“Pembinaan Sentral Pekan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lain, sebagai contoh di belakang ini ada projek-projek swasta untuk membangunkan perumahan.
“Begitu juga apa yang berlaku di Projek PPR di Paya Genuk, kita jangkakan dengan terbinanya lebih kurang 200 unit rumah di Paya Genuk ini akan menjadi pemangkin baru dan dapat memenuhi keperluan perumahan yang kita jangkakan di Pekan ini apabila sebanyak 3,000 penduduk yang mendaftar memerlukan rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, pihaknya menjangkakan Pekan Sentral menjadi katalis kepada pembangunan di sekitar kawasan itu.
“Projek Pembinaan PPR Paya Genuk di Pekan membabitkan sebanyak 200 unit rumah dengan kos keseluruhan RM50 juta dan dijangka dapat memulakan pembinaannya pada penghujung tahun ini. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seramai sembilan orang pelajar ijazah sarjana jurusan Pengurusan Sukan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakukan Lawatan Sambil Belajar ke Litar Perlumbaan F1 (Sepang International Circuit ) di Sepang, baru-baru ini.
Pelajar tersebut turut diiringi oleh Penasihat Program, Dr Wan Ahmad Munsif Wan Pa.
Wan Ahmad berkata, tujuan lawatan itu dalam usaha meningkatkan pemahaman dalam pengurusan dan operasi dalam arena sukan.
“Ini sebagai penanda aras untuk menjadi satu norma baharu dalam kalangan program pengajian di universiti untuk memberikan pelajar pengalaman yang lebih holistik dan relevan dengan keperluan industri sukan.
“Selain itu, di era serba canggih, pengurusan sukan turut mengikut arus perdana dan perlu diikuti agar standing dengan pengrusan sukan luar negara, khususnya sukan permotoran,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ismail Man (tengah) menunjukkan barang rampasan memproses air ketum hasil serbuan ke atas sebuah rumah yang tidak berpenghuni di Lipis awal pagi tadi.
Lelaki proses air ketum dalam rumah terbiar
LIPIS – Seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan setelah disyaki memproses air ketum di dalam kawasan rumah yang dipenuhi semak samun di Kuala Lipis di sini hari ini.
Ketua Polis Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, pukul 12.10 tengah malam.
“Hasil siasatan kita mendapati suspek telah menjalankan aktiviti memproses dan menjual air ketum sejak lima tahun lalu serta pernah ditahan dua kali atas kes yang sama.
”Beberapa rampasan telah dibuat antaranya periuk besar, tong gas serta dapur yang digunakan untuk merebus air ketum dan tong besar air batu yang digunakan untuk menyimpan bungkusan air ketum.
“Sebanyak 135 bungkus plastik putih air ketum yang sedia untuk dijual turut dirampas,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ismail, suspek juga menggunakan pintu belakang bagi urusan jual beli bagi mengaburi pihak berkuasa.
Sumber : Malaysia Gazzette
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
99 pelajar cemerlang SPM terima sumbangan kerajaan Pahang
KUANTAN – Kerajaan Pahang menyampaikan sumbangan kepada 99 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan Isnin lalu.
Daripada jumlah itu, 48 pelajar adalah dari komuniti Orang Asli.
Penyampaian sumbangan dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan SUK, dekat sini, petang tadi.
Turut mengiringi Wan Rosdy adalah Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
“Pelajar Orang Asli pada tahun 2023 merekodkan peningkatan dalam kelulusan yang baik di mana peratusan lulus dan subjek Bahasa Malaysia mendapat gred A meningkat serta pencapaian gred A semua mata pelajaran juga meningkat.
“Selain itu, Maahad Tahfiz Negeri Pahang dinobatkan sekolah terbaik pencapaian Malaysia.
“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meraikan pelajar cemerlang kluster Orang Asli dan sekolah menengah agama negeri Pahang,” katanya melalui perkongsian di laman sosial Facebook. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penjaring terbanyak bola baling MSSM 2023 perolehi ‘straight A’ SPM
Foto atas :Muhammad Irham diapit ayahnya, Muhammad Shamsul Nizam Muhammad Ali (kiri ) dan ibunya, Zuzalyna Jiman (kanan)
JERANTUT ; Penjaring terbanyak dalam sukan bola baling di kejohanan Majlis Sukan sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 18 tahun 2023 telah memperolehi ‘straight A’ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Afzan Hajjah Afzan Pahang (TAHAP) itu, Muhammad Irham Hijazi Shamsul Nizam yang memerpolehi 9A dalam semua subjek berkata, pembahagian masa yang baik antara sukan dan pelajaran perlu diikuti dengan penuh disiplin yang tinggi.
Muhammad Irham Hijazi Shamsul Nizam
Anak keempat daripada empat adik beradik turut mewakili Pahang untuk kejohanan MSSM (Bola Baling) bawah 12 tahun dan mewakili Malaysia ke kejohanan Singapore Handball Open Tournament 2022 (SHOT) ketika berusia 16 tahun dan MSSM tahun 2023 dan muncul juara.
“Saya menjadikan sukan bola baling sebagai pilihan yang pertama selain sukan bola sepak dan olahraga.
“Bapa saya sebagai pemangkin dan idola dalam permainan bola baling ini kerana beliau salah seorang penggerak sukan ini di Pahang dan Malaysia,” katanya.
Kataya, tiada rahsia besar untuk memperolehi kejayaan SPM ini, sebagai pelajar perlu bersungguh-sungguh, kalau guru sahaja bertungkus lumus tapi pelajar sambil lewa kejayaan tidak akan datang bergolek.
“Selain itu, taat kepada ibubapa, guru-guru dan rakan-rakan dan mendengar nasihat dan pandangan orang lain, sentiasa fokus di dalam kelas ketika belajar kerana penerangan guru itu memberi berkat yang terbaik.
“Diharap semua rakan-rakan, adik-adik yang bakal menduduki SPM tahun ini terus berusaha dan jangan mengalah, bersungguh-sungguh dan jangan lupa solat dan berdoa yang turut menjadi kunci kepada kejayaan kita,” katanya.
Selain itu, Irham turut mendapat Keputusan cemerlang (A) dalam Prinsip Akaun dan layak pengecualian ACCA-FIA-FAI serta cemerlang LCCI. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!