Foto atas : Jenazah ibu dan anak dibawa ke Tanah Perkuburan Felda Jengka 16 untuk disemadikan, hari ini
Ibu, anak antara tiga yang maut dalam nahas jalan raya di Jalan Jerantut-Maran
JERANTUT – Dua beranak antara tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM18 Jalan Jerantut-Maran berhampiran Sungai Salan, dekat sini kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian itu, kereta jenis Perodua Bezza dinaiki tiga sekeluarga yang dalam perjalanan dari Jengka menghala ke Jerantut bertembung dengan kereta Perodua Myvi dari arah Jerantut menghala ke Felda Gelanggi 2.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi dipercayai secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Bezza,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu Nur Harina Fatihah Syaifol Bahari, 21, maut di lokasi kejadian manakala ibunya Norazlina Ismail, 44, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.
Pemandu Bezza, Syaifol Bahari Idris, 50, mengalami kecederaan di bahagian lutut dan badan.
Sementara pemandu Myvi, Suhaimi Abd Rahman, 42, juga meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Manakala, jenazah ibu dan anak disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 16, pagi ini. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (duduk 3 dari kanan) di Mesyuarat Agung MKN di Kuantan, semalam.
Badan gabungan MKN diharap aktifkan kepelbagaian budaya
KUANTAN – Badan Gabungan dengan Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Pahang diharap dapat mengaktifkan badan masing-masing menganjurkan acara, perayaan dan aktiviti yang bertujuan untuk mempamerkan kepelbagaian budaya Pahang yang kaya, termasuk muzik tradisional, tarian, kraf dan masakan.
Pengerusi MKN, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berharap 15 badan gabungan berperanan dengan penganjuran di tempat masing-masing yang bakal memertabatkan kebudayaan dan kesenian negeri ini dan memperkasakan jati diri bangsa.
“MKN akan berusaha membantu semua badan gabungan untuk penganjuran dan menyokong penghibur dan artis tempatan, membantu memastikan tradisi budaya Pahang yng bakal diturunkan kepada generasi akan datang.
“Banyak aktiviti dianjurkan di negeri ini dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain melalui budaya dan seni negeri untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Mesyuarat Agung MKN Pahang yang diadakan di sini, semalam.
Katanya, buat pertama kali dalam sejarah MKN akan bekerjasama peringkat antarabangsa bersama Persatuan Wau dan Layang-Layang Negeri dan Majlis Bandaraya Kuantan bagi Penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa 2024 di Pantai Sepat,Kuantan pada 3 hingga 7 Julai 2024, sebanyak 15 negara menyertainya.
“Majlis Makan Makan MKN turut diadakan bersama peserta luar negara dan bakal dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian daripada badan gabungan MKN dan pameran serta bengkel warisan turut diadakan.
“Secara tidak langsung akan memperkenalkan budaya dan kraftangan negeri Pahang kepada peserta terlibat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hiba dan gembira walaupun tidak dapat bersama anak terima anugerah cemerlang SPM
JERANTUT – Ketua Peneroka Felda Jengka 24 , Razak Daud berkongsi rasa bangga dan hiba apabila tidak dapat bersama anaknya, Muhammad Alimie menerima anugerah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Majlis itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, hari ini.
Manakala Razak dan isteri, Halijah Abd Jalil pula berada di Makkah bagi menunaikan haji.
Razak berkata, dia dan isteri hanya menonton video dan perkongsian gambar dihantar anaknya itu.
“Sekali lagi kami tak dapat bersama meraikan kejayaan anak bongsu kami yang menerima anugerah hari ini.
“Walaupun begitu, saya bangga dengan semangat dan kejayaan diperoleh Muhammad Alimie.
“Saya dan isteri sekali lagi merakam ucapan terima kasih tidak terhinggga kepada semua guru dan mereka yang mendidik anak kami,” katanya.
Majlis anugerah pelajar cemerlang itu dirasmikan Penyelaras DUN Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah.
Muhammad Alimie meraih 4A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Tasawwur Islam dan 4A (Matematik,Sains, Perniagaan, Pertanian) manakala 1A- untuk Pendidikan Agama Islam dalam peperiksaan SPM 2023. – sahih
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
MB Pahang terima rawatan di IJN
KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara bermula esok sehingga satu tarikh yang akan ditentukan doktor kelak.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Pahang,
Datuk Seri Zulkifli Yaacob dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak bersama-sama mendoakan agar rawatan yang dirancang berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT,” katanya.
Kenyataan dari MB Pahang:
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Saya akan mula menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, bermula esok sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan oleh doktor.
Di kesempatan ini saya mohon kemaafan andai ada sebarang kesilapan atau kekhilafan sama ada dalam pertuturan atau perbuatan saya selama ini.
Saya juga mohonkan doa agar rawatan ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ahli KRT bekerjasama untuk menghidangkan ikan patin masak tempoyak kepada warga emas di PJMM.
KRT Taman Paya Taram, Temerloh hidang warga emas PJMM patin masak tempoyak
“KAMI terpanggil dan berasa prihatin untuk menceriakan warga emas yang diabaikan oleh keluarga, hidup sebatang kara di samping uzur dengan hidangan original ikan patin masak tempoyak kerana mungkin bagi mereka sudah lama teringinkan menu itu.
“Jarak hampir 100 kilometer dari kediaman Taman Paya Taram, Kerdau, Temerloh, Pahang ke Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, bukan satu bebanan atau penghalang walaupun terpaksa menempuh kesesakan di jalan raya namun kesabaran menguatkan semangat bagi menyempurnakan hajat itu,” kata Bendahari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan, Jalilah Saparri.
Bagi tujuan itu, beliau bersama 18 ahli KRT yang mengikuti Program Ziarah Kasih ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, membawa lebih 20 ikan patin untuk dimasak tempoyak original Paya Taram, ulam-ulaman dan ayam goreng berempah menggunakan dapur pusat berkenaan pada 1 Jun 2024.
Ahli KRT turut menyantuni warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil.
Jalilah berkata, program yang sudah lama dirancang itu mendapat kata sepakat daripada ahli untuk memasak serta menyediakan menu berkenaan kepada warga emas dan petugas PJMM kerana sering menjadi hidangan lauk utama apabila ada pelawat berkunjung ke taman mereka serta mendapat pujian rasanya enak berbanding di tempat lain.
Menurutnya, dia bersama ahli-ahli wanita ikhlas memasak untuk warga emas itu dan berasa amat terharu melihat gelagat mereka yang seronok dapat menikmati hidangan ikan patin masak tempoyak dan tidak kurang juga meminta untuk ditambah nasi serta ikan patin dalam pinggan.
“Bergenang air mata kami apabila melihat ada sesetengah warga emas ini baik lelaki atau wanita tanpa segan silu menghirup lebihan kuah ikan patin masak tempoyak dan tidak kurang juga meminta dimasukkan dalam mangkuk plastik untuk dihirup menggunakan sudu,” ujarnya.
Turut serta dalam program itu, Pegawai Perpaduan Daerah Temerloh selaku pegawai pengiring, Raja Awang Raja Ahmad dan Pengerusi KRT Taman Paya Taram, Nordin Mohd Shariff. Turut menyambut kedatangan rombongan KRT berkenaan, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan Ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA ’24).
Pengerusi KRT Taman Paya Taram, Nordin Mohd Shariff berkata, program berkenaan juga umpama kunjungan balas bagi menghargai jasa dan pengorbanan PJMM bersama sukarelawan ke Taman Paya Taram dua tahun lalu (2022) membantu serta menghulurkan sumbangan kepada 130 mangsa banjir.
Menurutnya, kunjungan PJMM bersama sukarelawan pada ketika itu amat menyentuh perasaan hati mereka yang menjadi mangsa banjir besar kerana dapat meringankan bebanan bagi mendapatkan barangan keperluan harian makanan asas dan pakaian terpakai selepas rumah digenangi banjir sedalam antara 0.9 meter dan 1.2 meter.
Jelasnya, selepas berbincang dengan ahli jawatankuasa KRT kami bersetuju untuk mengadakan program itu dengan mengambil daya usaha untuk memasak ikan patin tempoyak yang sememang sudah lama popular di Kerdau kerana kelazatannya.
“Selain itu kami turut menghulurkan sumbangan barangan keperluan makanan asas untuk PJMM supaya dapat dinikmati warga emas dan akan turut mengambil langkah menguar-uarkan bantuan yang diperlukan kepada penduduk setempat serta bertindak sebagai tempat mengumpul sebelum dihantar ke pusat jagaan ini.
“Beberapa jiran muda mengikuti program ini juga akan digerakkan untuk menjadi penyebar maklumat mengenai PJMM juga menasihati generasi muda di taman untuk lebih bertanggungjawab menjaga serta mengurus ibu bapa di rumah terutama yang uzur.
“Apa yang mereka lihat didepan mata dan mendengar keluhan warga emas di pusat ini diharap mampu menjadi ikhtibar supaya menjadi jiran muda menghormati orang yang lebih tua serta bijak untuk menyantuni mereka,” ujarnya.
Raja Awang yang menyampaikan ucapan pada program itu tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib warga emas di PJMM.
Sementara itu, Raja Awang yang berucap pada program berkenaan, melahirkan rasa kagum dengan pengurusan PJMM yang begitu baik mengurus pusat jagaan berkenaan apabila keadaan persekitarannya yang bersih dan susun atur kemudahan sempurna kerana memberi keselesaan kepada warga emas berlindung di situ.
Menurutnya, walaupun tiada peruntukan khas disumbangkan setiap bulan kepada mereka, pihak pengurusan PJMM tetap gigih berusaha mendapatkan dana serta sentiasa bersikap terbuka kepada pelbagai pihak yang ingin membuat amal kebajikan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menampung kos operasi.
Tambahnya, apabila dimaklumkan KRT Taman Paya Taram ingin membuat program itu, dia memberi sokongan penuh dan bersedia untuk menjadi pegawai pengiring supaya dapat menyebarkan maklumat pusat jagaan berkenaan kepada penduduk di Temerloh.
“Paling terharu saya tidak dapat menahan sebak apabila mengetahui keadaan warga emas di sini yang rata-rata mengharapkan belas insan untuk meneruskan kehidupan selepas disisih oleh ahli keluarga dan dilayani serta disantuni dengan baik petugas PJMM.
“Saya berharap apa yang dilihat di depan mata ini melahirkan keinsafan kepada kami yang menyertai program itu kerana nasib kita pada depan belum tahu kesempurnaannya terutama apabila nilai kasih sayang diabaikan,” ujar beliau. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Jariyah dan sebahagian anggota Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ) cuba menari Tarian Indung di rumahnya di Kampung Bantal.
Selamatkan nyanyian dan tarian Indung
NYANYIAN dan Tarian Indung adalah satu bentuk kesenian atau budaya ekspresif yang terdapat di Ulu Tembeling yang semakin dilupakan sekiranya tidak diberi perhatian khusus dan diselamatkan demi menghargai khazanah seni Melayu dan negara.
Walaupun diberi nama Tarian Indung, sebenarnya adalah gabungan dua elemen seni, nyanyian dan tarian yang membentuk kepada satu lagi perlakuan sosial yang utama dan paling penting iaitu gotong royong yang memang kaya dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Asalnya Tarian Indung adalah cara orang dahulu kala di kawasan Ulu Tembeling,Jerantut dan sekitarnya menggembelingkan hiburan kepada aktiviti kerja mereka, aktiviti kerja adalah lebih penting dari aktiviti-aktiviti yang lain.
Jariyah menunjukkan kuit atau keri
Sambil berkerja mereka akan menghiburkan diri dengan menyanyi dan berpantun, seperti biasa dengan cara diusik dan mengusik melalui berbalas-balas pantun dan secara tidak langsung kerja yang meletihkan itu tidak akan membosankan sebaliknya memberi keseronokan.
Nyanyian dan tarian Indung adalah bentuk hiburan yang hanya dilakukan oleh kaum wanita di Ulu Tembeling semasa mereka merumput di sawah atau padi huma.
Lagu-lagu yang dinyanyikan adalah berdasarkan menyentuh perasaan gembira, sedih, marah dan sebagainya serta turut mengaitkan dengan alam flora dan fauna setempat.
Tarian dimulakan oleh penyanyi utama yang berada di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh penyanyi-penyanyi lain dan lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi utama akan disambut sebagai korus atau ‘jong dondang’ oleh penyanyi-penyanyi lain sambil mereka menghayun ‘kiut-kiut’ mereka di hadapan penyanyi utama dan memulakan gerakan-gerakan tarian mereka mengelilingi penyanyi utama tadi di dalam sawah.
Pada akhir lagu penari-penari itu akan mencapai ‘kiut’ masing-masing dan dari posisi membongkok mengelilingi ‘pulau’ sawah membawa ‘kiut’ tersebut ke atas sambil bersorak atau loghat di sana dipanggil ‘bersuruk’ dan perlakuan ini dilakukan bagi setiap lagu yang dinyanyikan.
Terdapat 38 buah lagu yang dinyanyikan di dalam rangkaian Tarian Indung ini, jumlah itu adalah koleksi yang sempat dikumpulkan oleh sekumpulan penari-penari Tarian Indung yang ada ketika itu dikumpul secara lisan.
Sebahagian anggota PKKDJ dalam lawatan ke Kampung Bantal, Jerantut.
Menurut seorang bekas penggiat seni itu, mesra disapa Mak Jariyah Mat Petah, berusia 77 tahun berkata ketika itu masyarakat di Ulu Tembeling menanam padi atau ‘buat padi’ dan sering membersihkan kawasan tanaman padi daripada ditumbuhi rumput.
Katanya, oleh itu mereka kerap ke kawasan tanaman padi untuk merumput atau ‘merepeh’, sambil melakukan kerja itu, mereka akan bernyanyi dalam bentuk pantun dan menari secara bergilir-gilir.
Katanya, dia hanya dapat menyanyikan dua buah lagu yang diingatinya kerana sudah lama tidak mendendangkan lagu dan melakukan tarian tersebut kerana aktiviti menanam padi sudah tidak dilakukan di kawasan kampung itu di samping faktor usia.
Jariyah dan adiknya, Mahani Mat Petah, Faizah Mat Petah dan Aminah Mat Petah pada ketika itu sering bernyanyi dan menari Indung termasuk saudara mara, tapi kini sudah tidak melakukan nyanyian dan tarian kerana tanaman padi tidak dilakukan sekarang.
Nyanyian tersebut dengan senikata menggunakan loghat “Orang Ulu Tembeling” dan sebahagiannya sukar difahami oleh orang luar seperti perkataan bersorak (bersurok), bukit (bukut), buai (bua), remaja (maje), budak-budak (buduk-buduk) dan banyak lagi perkataan dengan loghat Ulu Tembeling.
Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ) yang diketuai pengerusinya, Datuk Ridzuan Mansor telah mengadakan Program Jejak Seni Ulu Tembeling baru-baru ini sebagai satu inisiatif yang perlu dipuji sebagai satu langkah awal dan akan disusuli nanti.
“Berterima kasih juga kepada Mak Juriyah dan keluarga yang sudi menerima PKKDJ dengan memberi maklumat sambil bernyanyi dan menari beberapa lagu Tarian Indung yang diingatinya.
“Semoga, budaya Melayu tradisi yang ada di negara ini dapat diselamatkan agar tidak hilang atau mati ditelan zaman,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pahang bantu penduduk Bentong, Pelangai yang memerlukan
BENTONG – ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam hari ini menyerahkan sumbangan kerajaan Pahang kepada penerima dari Bentong dan Pelangai.
Sumbangan itu adalah hasil inisiatif dan keprihatinan kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Penerima sumbangan dan bantuan ini adalah mereka yang memerlukan seperti penghidap sakit kronik atau masalah kesihatan lain.
“Turut menerima sumbangan adalah bagi tujuan pelajaran dan aktiviti kemasyarakatan melalui badan bukan kerajaan (NGO) serta peniaga kecil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang memaklumkan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan sedia memberi bantuan kepada semua pihak yang memerlukan.
Katanya, dia juga akan cuba membantu mewakili penduduk Pahang yang boleh memberikan impak besar kepada semua golongan dan orang Pahang. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Semua 37 masjid dalam kawasan FELDA Wilayah Jengka akan mengadakan solat hajat dan doa selamat hari ini.
Solat hajat itu akan diadakan selepas selesai solat Maghrib.
Ia bagi mendoakan keselamatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang akan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) esok.
Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah , Razak Daud berkata, selain solat hajat di masjid, jemaah haji Pahang yang berada di Makkah ketika ini turut akan mengadakan solat hajat.
“Saya pun sudah memaklumkan kepada rombongan jemaah haji Pahang mengenai hasrat untuk membuat solat hajat hari ini,” katanya yang turut berada di Makkah bagi menunaikan haji.
Razak berharap Wan Rosdy selamat menjalani rawatan di IJN dan kembali mentadbir Pahang selepas dibenarkan oleh pegawai kesihatan.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob melalui satu kenyataan media memaklumkan Wan Rosdy akan mula menjalani rawatan di IJN esok.
Zulkifli berkata, selaras dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semua masjid dan surau di Pahang digalakkan mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan keselamatan Wan Rosdy. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Semua jemaah haji dari Pahang yang kini berada di Tanah Suci merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan negeri.
Antara jemaah haji itu adalah Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud yang ke Makkah bersama isteri dan bapa mentuanya.
Razak sebelum ini menerima berita gembira susulan kejayaan anaknya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang diumumkan 27 Mei lalu.
Hari ini, dia melalui satu kiriman WhatsApp mengucapkan terima kasih kepada Wan Rosdy dan kerajaan Pahang kerana memberikan sumbangan RM750 kepada semua jemaah haji Pahang.
“Saya sempat memanjatkan doa di hadapan pintu Kaabah agar Datuk Seri MB (Menteri Besar) selamat menjalani pembedahan dan seterusnya kerajaan Pahang mendapat berkat di bawah pentadbiran beliau,” katanya.
Wan Rosdy pada 28 April lalu menyampaikan sumbangan kepada 1,588 bakal jemaah haji Pahang dalam satu majlis di masjid negeri.
Setiap bakal haji menerima RM750 serta pek makanan Juadah Makmur Jemaah Haji ‘ready to eat’ yang disediakan khas oleh kerajaan Pahang. – sahih
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Alimuddin (tengah) bergambar bersama penerima anugerah sempena sambutan Hari Guru UPSI 2024 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani! UPSI iktiraf kecemerlangan pendidik sempena Hari Guru!
SEMPENA sambutan Hari Guru Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2024, Tanjong Malim, Perak, universiti itu bukan sahaja memberi penghargaan terhadap kakitangan, malah alumninya yang memperlihat sumbangan besar kepada dunia pendidikan negara.
Program itu bermula dengan bacaan Ikrar Guru Malaysia yang dipimpin oleh mahasiswa seorang guru Bahasa Inggeris dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Mohd Syafiq Rasidi dan diikuti dengan persembahan koir Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI yang menyanyikan lagu “Kami Guru Malaysia”, pada sambutan yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, pada 29 Mei 2024.
Alimuddin Mohd Dom merasmikan Sambutan Hari Guru UPSI 2024 dan menyempurnakan majlis prapeluncuran Global Educators Award.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, dalam ucapan aluannya, menekankan tema sambutan tahun ini, “Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani” mencerminkan peranan penting guru pada era digital sekarang sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat madani yang berilmu, beretika dan berdaya saing.
“Guru bukan sahaja sebagai pendidik, tetapi juga sebagai jauhari yang menggilap bakat dan potensi pelajar, membentuk mereka menjadi warganegara yang berintegriti dan produktif.
“Cabaran yang dihadapi guru pada era digital, di mana mereka diharapkan untuk menguasai ilmu pengetahuan serta mahir dalam teknologi maklumat dan komunikasi.
“Ini adalah penting untuk memastikan proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan efektif serta efisien, menarik minat dengan memenuhi keperluan pelajar yang kian berubah,” tambah beliau.
Sementara itu, Pro Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam ucapan perasmiannya menegaskan guru harus menjadi pemimpin dalam penggunaan teknologi digital untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang interaktif serta inovatif.
“Melalui pelbagai inisiatif dan program yang dijalankan, UPSI berusaha untuk memastikan setiap guru yang dilahirkan memiliki keupayaan untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat,” katanya.
Sempena sambutan yang mengiktiraf kecemerlangan pendidik dan sekolah, Anugerah Tokoh Pensyarah dinobatkan kepada Pensyarah Kanan dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr Ghazali Din, Dr Intan Suria Hamzah (Fakulti Sains Kemanusiaan), Wan Mohd Syaril Annuar Wan Mohd Harith (Fakulti Muzik dan Seni Persembahan) dan Dr. Harnani Mat Zin (Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi).
Turut menerima anugerah yang sama ialah Dr Nor Mashitah Mohd Radzi (Fakulti Pembangunan Manusia), Prof Madya Dr Yakup Mohd Rafee (Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Chm Dr Mohamad Idris Saidin (Fakulti Sains dan Matematik), Dr Siti Fairuz Yusoff (Fakulti Teknikal dan Vokasional), Prof Madya Dr Azila Abdul Razak (Fakulti Pengurusan dan Ekonomi), dan Dr Ebby Waqqash Mohamad Chan dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan.
Pengiktirafan Sekolah Muallim diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, SMK Proton City, SMK Bandar Behrang 2020, SMK Methodist, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, SMK Slim, Sekolah Menengah Agama (SMA) Slim River, SMK Dato’ Zulkifli Muhammad serta Kolej Vokasional Slim River.
Tokoh Alumni dianugerahkan kepada Guru Penolong Kanan dari SMK Kuala Besut, Terengganu , Aznan Abas; Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kut Daro, Sarawak, Muhamad Tarmizi Awang; Guru Matematik Tambahan dari SMK St John, Kuala Lumpur, Venkateswaran Ramiah; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perak Safuan Rabaai; serta guru dari Sekolah Kebangsaan Pos Musoh Landing Zone, Tapah, Perak, Muhammad Nur Asnawi Ramly.
Manakala Anugerah Pendidik Cemerlang diberikan kepada, bekas pensyarah UPSI, Profesor Dr Ahmad Hashim; Pengarah Pendidikan Tentera Darat, Leftenan Kolonel Norlin Salleh; Pengarah Urusan Qc Group Sdn. Bhd, Tajudin Mustafa; guru di SK Mahmud, Raub, Pahang, Kathiresan A/L Moorthy; serta Guru Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian 1, Taiping, Perak, Goh Kok Ming, manakala Anugerah Khas Zakaria Kasa diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Dato’ Dr Mohammad Shatar Sabran.
Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman pula dianugerahkan kepada Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, Datuk Dr Amin Senin.
Alimuddin turut menyempurnakan majlis prapeluncuran Global Educators Award (Anugerah Pendidik Sedunia) yang mengiktiraf sumbangan pendidik pada peringkat antarabangsa.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!