BENTONG – Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 57.5, Lebuh Raya Karak – Kuala Lumpur dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi hari ini, mangsa, Zulkifli Kamaruddin dipercayai telah melanggar motosikal rakannya yang berusia 23 tahun ketika dalam perjalanan dari Bandar Pusat Jengka ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Hasil sisatan polis, pergerakan motosikal itu secara konvoi dari Bandar Pusat Jengka dan ketika tiba di tempat kejadian mangsa telah melanggar motosikal rakannya di hadapan.
“Akibat pelanggaran ini, menyebabkan Zulkifli Kamaruddin terjatuh dan kemudiannya digilis oleh sebuah lori treler yang berada di laluan sebelah kiri, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kepada penunggang secara berkonvoi wajarlah mematuhi undang-undang jalan raya termasuk kenderaan atau motosikal yang ditunggang diselenggara dengan baik,” ujarnya.
Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kiri) dan Datuk Seri Saiffudin Abdullah (tengah).
Malaysia pertingkat hubungan strategi dengan Jepun
TOKYO – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Tokyo, memberi kesan positif dalam meningkatkan hubungan Malaysia- Jepun dinaiktaraf daripada “Strategic Partnership” kepada “Comprehensive Strategic Partnership”.
Kesediaan Perdana Menteri Jepun untuk menaiktaraf hubungan ini adalah satu indikasi bahawa mereka meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kesediaan pelabur-pelabur asing yang bersetuju untuk memulakan pelaburan di Malaysia dengan segera sekali gus turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Sudah tentu limpahan kemasukan pelabur asing ini mampu menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada negara.
“Oleh itu, bagi memastikan keseimbangan ekonomi bandar dan luar bandar, satu pelan strategi terbaik akan dirangka bagi memastikan masyarakat luar bandar juga mendapat manfaat daripada pelaburan ini,” katanya.
Katanya, faktor pendidikan, kemahiran, kesamaan ruang serta peluang perlu dititikberatkan dalam usaha menangani cabaran ekonomi di kawasan luar bandar.
“Saya bersama KPLB yang menyertai lawatan ini akan melihat dengan lebih terperinci strategi yang boleh dirangka supaya Keluarga Malaysia secara keseluruhannya turut merasai pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang di negara kita.
Katanya, Perdana Menteri dalam Persidangan NIKKEI, bernada tegas menyuarakan pendirian mengenai peperangan Rusia- Ukraine yang akan memberi kesan kepada negara-negara miskin.
“Impak rantaian turut dirasai oleh Malaysia kerana ia akan menjejaskan bekalan makanan, pendirian Kerajaan Malaysia jelas bahawa peperangan bukanlah satu jalan penyelesaian tetapi perlu diselesaikan secara damai melalui meja rundingan.
“Perdana Menteri juga turut menyentuh pendirian mengenai Laut China Selatan kekal sebagai Zon Dagangan Bebas namun sebarang pencerobohan tidak dibenarkan, tiada kompromi dalam isu Kedaulatan Negara, “ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Felcra sedia RM368 juta untuk kukuh keselamatan makanan negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui FELCRA Berhad telah melaksanakan inisiatif untuk memperkembang dan mengukuhkan gedung makanan utama negara terutama dalam industri penternakan dan pertanian.
Ia sebahagian inisiatif bagi merealisasikan aspirasi Perdana Menteri untuk memperkukuh keselamatan makanan negara di semua peringkat rantaian makanan.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, antara inisiatif FELCRA termasuk melaksanakan aktiviti penanaman benih padi wangi tempatan (MRQ 76) dengan kapasiti pengeluaran 300 tan metrik setahun.
Dua puluh orang anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Perlindungan Alhaq, Keramat menerima sumbangan.
“Bukan itu sahaja, melalui anak syarikatnya, FELCRA Processing Engineering Sdn. Bhd. telah menjalankan penambahbaikan operasi kilang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran Santan Sawit Jenama Suri.
Sebelum ini hanya berkapasiti 30 tan metrik sebulan ke 60 tan metrik sebulan bagi menampung keperluan domestik.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri FELCRA di ibu negara hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.
Jelas Mahdzir, FELCRA turut akan melaksanakan penanaman pelbagai variati padi di Estet Padi Felcra Seberang Perak dengan seluas 3,263.82 hektar.
Bagi sektor penternakan pula, FELCRA telah melaksanakan projek ternakan lembu integrasi serta kilang pemprosesan makanan ternakan.
“Projek-projek ini telah dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 2022.
Ini ditambah dengan melaksanakan projek ternakan ayam yang menelan belanja lebih RM59 juta”, kata Mahdzir.
Pada majlis tersebut Mahdzir turut menyantuni warga Peserta FELCRA dengan penyampaian Replika Cek Sumbangan kepada institusi kebajikan.
Antaranya, Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Surau Jumaat Muhajirin Desa Rejang, Rumah Bakti Al Kausar, Rumah Perlindungan AL-Haq dan Madrasatul Faridiyah Setapak Jaya.
Beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 orang anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Perlindungan Alhaq, Keramat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Remaja perempuan hantar baju kawan, tidak pulang ke rumah
LIPIS – Seorang ramaja perempuan berusia 15 tahun tidak pulang ke rumah setelah menghantar baju kepada seorang rakannya di Stesen Kereta api Batu 9, dekat sini pada jam 9.00 pagi pada 25 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah, Suprintenden Azli Mohd Noor berkata, remaja berkenaan, Siti Norfatimah Md Idin, dipercayai dilihat kali terakhir pada 25 Mei lalu, kira-kira jam 9 pagi oleh bapa saudaranya yang bernama Ahmad Man yang tinggal berdekatan rumah mangsa serta menghantar mangsa ke stesen kereta api tersebut dan kemudian tidak pulang ke rumah.
“Ibu pejabat Polis daerah (IPD) Lipis telah membuka kertas siasatan hari ini mengenai kehilangan seorang remaja perempuan itu daripada rumahnya di Kampung Tanjong Besar, Kuala Kenong, dekat sini.
“Aduan yang diterima menyatakan mangsa memohon bantuan bapa saudaranya, Ahmad Man untuk menghantarnya ke stesen keretapi Batu 9 kerana untuk menghantar baju kepada rakannya,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian, apabila tiba di stesen kereta api , mangsa memohon Ahmad Man pulang dahulu ke rumah sambil memberitahu bapanya (Md Idin) akan datang menjemputnya kemudian.
“Bapa mangsa, Md Idin Man seorang penoreh getah telah membuat laporan polis hari ini, setelah anaknya tidak pulang menjelang malam.
“Bapa remaja berkenaan mula mencari di merata tempat dengan bantuan penduduk Kuala Kenong termasuk bertanyakan kepada rakannya dan usaha mencari gagal, bapanya telah membuat aduan polis.
Katanya, berikutan anaknya tidak pulang ke rumah menjelang malam, bapanya, Md Idin Man telah membuat laporan polis hari ini.
“Kes remaja perempuan di bawah umur itu diklasifikasi sebagai orang hilang dan polis telah membuka kertas siasatan untuk menjejaki remaja tersebut.
“Orang ramai yang melihat atau menemui remaja perempuan ini diminta menyalurkan maklumat ke IPD Lipis menerusi talian 09 3122222 (Inspektor Muhammad Faiz Arif Pauzi) atau mana-mana balai polis berhampran, “ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah merasmikan Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) di Teluk Kumbar hari ini.
PULAU PINANG – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukan RM 1 juta untuk Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) bagi sekolah-sekolah di Pulau Pinang.
Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 71 buah sekolah melibatkan seramai 1,245 pelajar dan 50 guru STEM di bawah kawasan operasi PERDA daripada Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya mendapat manfaat menerusi inisiatif tersebut.
“Program Rural Outreach STEM ini dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sebagai program galakan minat pelajar luar bandar daripada kategori B40 terhadap subjek STEM (Sains, Matematik dan Sains Tulin),” ujarnya.
Hasbi berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, JPN Pulau Pinang, Mohamad Said Ibrahim.
Jelasnya, berdasarkan data, penglibatan pelajar yang terlibat di bawah program kecemerlangan akademik PERDA sejak 2017 sehingga 2021 menunjukkan bilangan yang rendah bagi aliran STEM di peringkat menengah.
Beliau menambah, bidang STEM merupakan bidang penting di dalam mendepani revolusi IR 4.0 yang masih belum menerima sokongan yang mencukupi daripada agensi kerajaan selain daripada Kementerian Pendidikan.
“Sebilangan kecil sekolah di kawasan bandar atau luar bandar yang terpilih menerima galakan STEM melalui sumbangan set robotik daripada NGO atau industri. Setakat ini, hanya segelintir sekolah luar bandar menerima bantuan galakan STEM”, ujar beliau lagi.
Program yang dilaksanakan menerusi inisiatif PROSTEM ini meliputi insentif set robotik Logo Education, Robotic Workshop, Coding Kidz@PERDATECH, Little Scientist, Mathzania serta Program Training on Trainers untuk guru STEM di Pulau Pinang.
”KPLB dan PERDA berharap dengan inisiatif ini dapat mendorong pelajar luar bandar terutama dari keluarga B40 untuk meminati STEM selain mampu menyediakan pelajar terutama kumpulan sasar sekolah rendah Tahun 4 sehingga 6 dan pelajar sekolah menengah tingkatan 1 sehingga 3 dalam mendepani landskap perubahan teknologi negara menerusi Revolusi IR 4.0” katanya.
Sumber : BBC Portal
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kerja membersihkan kawasan pembinaan tangki dan Loji Rawatan Air yang terbengkalai dilakukan semula di bawah penyelenggaraan Pengurusan Air Pahang Berhad di Kampung Serun, Pekan, Pahang hari ini.
Kerajaan Negeri Pahang sambung projek bekalan air Nenasi yang terbengkalai sejak kerajaan PH
PEKAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukkan RM19 juta untuk meneruskan projek bekalan air di Nenasi di daerah ini yang tertangguh sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil air pada tahun 2018.
Peruntukan itu melibatkan kerja reka bentuk, membina semula Loji Rawatan Air dan tangki (LRA) untuk kemudahan penduduk kawasan Tanjung Agas dan Nenasi dekat sini tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek itu telah diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal 2018 tetapi dihentikan ketika kerja telah mencapai 80 peratus setelah kerajaan Pakatan Harapan mengambilalih selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Projek yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh berkenaan mengundang masalah bekalan air dalam kalangan penduduk di beberapa kawasan di Tanjong Agas, Nenasi dan kawasan berdekatan daerah ini.
“Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sangat mengambil berat isu ini dan meneruskan semula projek berkenaan menerusi peruntukan PAIP,” katanya di sini hari ini
Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah PAIP berkata, projek yang disambung semula melibatkan nilai RM19 juta daripada sejumlah RM184.4 juta di bawah peruntukan PAIP sebagai penyelesaian jangka masa panjang dalam pembekalan air di seluruh negeri ini.
“Menerusi peruntukan yang besar ini, PAIP akan menyelesaikan sistem bekalan air khususnya pembinaan serta menaiktaraf LRA dan tangki di kawasan yang mengalami masalah bekalan air dengan menambah kapasiti rizab pengeluaran untuk kemudahan pengguna di negeri ini.
“Projek bekalan di kawasan Nenasi dan Tanjong Agas, kerja pemulihan tapak LRA di Kampung Serun yang terbengkalai pembinaannya sejak 2018 kini sedang disambung semula dengan melibatkan pembinaan semula tangki air serta kemudahan tertentu,” katanya.
Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar menambah projek itu dijangka siap pada September 2023 dan akan memberikan kemudahan bekalan air bersih kepada kira-kira 2,500 akaun pengguna, iaitu penduduk Nenasi, Tanjong Agas dan kawasan berdekatan.
Katanya, masalah bekalan air sejak beberapa tahun lalu melibatkan kawasan Tanjung Agas ke Nenasi, Tanjung Batu, Merchong, Kampung Orang Asli Landai, Kampung Selingkung, Kampung Pandan, Kampung Badang danKampung Permatang Tepung.
Kawasan lain yang terlibat ialah Kampung Permatang Kongkang, Kampung Permatang Durian, Kampung Api Larat dan kawasan berdekatan di daerah ini dapat diatasi sepenuhnya apabila siap projek itu.
“Saya mewakili penduduk DUN Bebar melahirkan penghargaan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana sangat mengambil berat serta memohon projek ini disambung semula sehingga siap dengan menepati masa dan sempurna,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUNB bantu usahawan yang minat mengeluarkan produk makanan ternakan
JERANTUT – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan berusaha membantu pengusaha yang berminat untuk mengeluarkan produk makanan ternakan untuk mengimbangi harga ayam daging di pasaran.
Ketika ini, dipercayai bahan makanan ternakan menjadi antara penyebab harga ayam daging meningkat di pasaran.
Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris
Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya akan membantu usahawan yang mahu mengusahakan pengeluaran produk bahan makanan ternakan untuk mengimbangi harga ayam daging.
“Isu harga ayam daging naik bagai rantaian masalah yang menyebabkan harga daging ayam mahal dipercayai berpunca harga makanan ternakan mahal.
“Oleh itu, selain pengeluar ayam daging, pengeluar bahan makanan ternakan wajar diberi keutamaan untuk memastikan bahan makanan ternakan terus berada di pasaran pada harga yang kompetatif sekali gus menentukan bekalan ayam daging berterusan,” katanya di Majlis Jamuan Hari Raya di Felda Jengka 24, semalam.
Katanya, bidang pengeluaran bahan makanan ternakan perlu diusahakan untuk mengimbangi harga ayam daging dan PUNB bersedia membantu.
“Selain itu PUNB akan membantu usahawan yang benar-benar terkesan dan mendengar segala masalah yang dihadapinya sama ada dari segi pinjaman bayaran balik dan sebagainya.
“Walaupun berdepan dengan kesukaran, usahawan perlu cuba mengemaskini akaun mereka untuk menyakinkan pemberi pembiayaan daripada agensi kerajaan mahupun swasta, termasuk PUNB,” katanya.
Beliau berkata, setakat Mac tahun ini, PUNB telah meluluskan sebanyak RM3.53 bilion pembiayaan membabitkan 13,063 usahawan daripada pelbagai sektor perniagaan.
“PUNB juga telah mengagihkan bantuan kepada hampir 2,000 usahawan muda yang baru mula meniaga,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kertas siasatan video pergaduhan pelajar sekolah dibuka
SANDAKAN – Polis daerah ini membuka satu kertas siasatan berhubung video pergaduhan sekumpulan remaja berpakaian seragam sekolah yang tular di laman sosial Facebook hari ini.
Kredit video media sosial
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya mula mengetahui mengenai video pergaduhan terbabit kira-kira jam 2 petang hari ini selepas ia menjadi tular.
Pergaduhan sekumpulan murid sekolah bepakaian seragam sekolah di Sandakan, hari ini. Foto tangkap layar video media sosial
“Video berkenaan menunjukkan pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar sekolah.
“Siasatan awal pihaknya mendapati pergaduhan berkenaan berlaku di Jalan Elopura, bandar Sandakan.
“Punca sebenar pergaduhan masih dalam siasatan dan kita sedang mengenal pasti semua pelajar sekolah yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Fuad memaklumkan polis Sandakan sudah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Sumber : KOSMO! ONLINE.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penduduk Felda Jengka 24 gembleng tenaga jaya sambutan hari raya
BANDAR PUSAT JENGKA – Penduduk di Felda Jengka 24 menggembleng tenaga menjayakan sambutan hari raya tahun ini mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri direalisasikan oleh penduduk di situ yang diadakan di Dewan Felda Jengka 24, di sini, hari ini.
Bermula dengan mesyuarat ‘meletak kerja’ sehingga ke peringkat mengemas selepas majlis, pengurusannya berjalan lancar dan sangat dirindukan oleh mereka selepas dua tahun tidak menyambut perayaan hari raya kerana sekatan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) wabak Covid-19.
Ketua peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, semua peneroka di Blok 1 hingga Blok 14 turut memberi kerjasama yang erat dengan berkonsepkan kenduri kampung untuk menjayakan majlis ini dengan sokongan daripada pihak pengurusan atasan Felda Jengka 24.
“Semua gabungan penduduk di Felda ini termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) turut memberi kerjasama yang baik.
Konsep kenduri kampung turut memeriahkan suasana untuk menjayakan sambutan hari raya di Felda Jengka 24, hari ini.
“Tidak terkecuali Kami Anak Felda (KAF) dan koperasi di sini termasuk orang perseorangan berkerja keras memberi tumpuan khusus untuk menjayakan majlis sambutan,” katanya.
Turut hadir ke majlis tersebut, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah dan kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut.
Seorang peneroka yang juga Jawatankuasa Biro Ladang Felda Jengka 24, Azmi Saad (60) berkata, setelah 2 tahun tidak menyambut sambutan hari raya kerana PKP, tahun ini sambutan sangat merah walaupun sederhana.
“Berkat kerjasama semua pihak majlis ini berjalan lancar dan turut diberi rezeki yang terbaik kerana harga sawit yang tinggi.
“Berkat konsep ‘sedekah’ di kalangan peneroka seramai 290 keluarga di sini, majlis ini turut dimurahkan rezeki yang lumayan kerana terdapat keluarga peneroka sudi membawa juadah dari rumah masing-masing untuk dikongsi bersama,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bekas diplomat miliki ladang ganja sekitar kediamannya di Janda Baik
BENTONG – Seorang bekas diplomat ditahan kerana disyaki mengusahakan ladang ganja di belakang rumahnya di Janda Baik, Bentong.
Suspek seorang warga emas berusia 78 tahun bergelar datuk ditahan selepas polis menemui 102 pokok ganja di sekeliling rumahnya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya bertindak atas maklumat dan polis menyerbu dan menahan lelaki terbabit di rumahnya di Janda Baik, kira-kira jam enam petang Sabtu lalu.
“Selepas memeriksa di sekitar dan belakang kediaman datuk terbabit, polis menemui 102 pokok ganja pelbagai saiz termasuk yang sudah mencapai setinggi dua meter di kawasan seluas setengah hektar.
“Harga semua pokok ganja yang ditemui itu dianggarkan RM 61,000 serta turut menemui botol berisi cecair dipercayai minyak ganja dan 1,200 gram daun ganja kering,” katanya.
Katanya, hasil ujian awal sampel, suspek yang berada di dalam rumah tersebut didapati negatif dadah.
“Suspek yang berusia 78 tahun, bagaimanapun berdasar siasatan awal polis, suspek turut mendedahkan menggunakan cecair disyaki minyak ganja dengan mencampurkan beberapa titik ke dalam minuman sejak tiga tahun lalu
“Polis mendapati ladang ganja ini diusahakan sejak 2015, benih semaian pokok itu pula dikatakan diambil daripada ganja mampat,” katanya.
Katanya, dengan susulan tahanan bekas diplomat itu, polis turut menahan anak lelaki itu berusia 53 tahun di Shah Alam, Sselangor kerana dipercayai turut terbabit menanam ganja terbabit.
“Ujian saringan air kencing anak lelaki diplomat terbabit terhadap didapati positif mengambil dadah.
“Dua beranak terbabit direman seminggu dan disiasat mengikut seksyen 39b Seksyen 6b dan seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952. Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!