Penjawat awam perlu semai budaya dan nilai integriti yang tinggi
LIPIS – Penjawat awam khususnya di negeri Pahang perlu menyemai budaya dan nilai integriti yang tinggi di sanubari masing-masing semasa menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, keperluan mempunyai nilai integriti yang tinggi dapat menentukan pelaksanaan tugas yang lebih bermutu.
“Kerajaan sentiasa cakna dan prihatin dengan kebajikan penjawat awam dan sentiasa menyokong dasar-dasar yang membantu mengurangkan bebanan penjawat awam.
“Pelbagai inisiatif telah diambil sewajarnya mengikut kemampuan pihak Kerajaan dan sepatutnya dibalas dengan menjalankan tugas dengan baik,” katanya Sekitar Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuala Lipis, semalan.
Turut hadir, Presiden CUEPACS Malaysia, Datuk Adnan Mat, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal dan Kesatuan Sekerja (JHEKS), Mohd Asri Abd Wahab dan Pengerusi CUEPACS Pahang, Maliki Omar.
Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis, mengakui tidak semua perkara dapat diselesaikan serentak, ianya memerlukan perancangan yang teliti, namun komitmen kerajaan sangat konsisten.
“Sesi townhall seperti yang diadakan hari ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk mendengar pandangan serta buah fikiran penjawat awam kerana kekuatan kerajaan adalah ditunjangi oleh perkhidmatan awam yang berkualiti,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Perkara itu disahkan oleh peguam mewakili Chegu Bard, Mohd Rafique Rashid Ali yang memaklumkan penahanan itu dilakukan pada pukul 3 petang di Ibu Pejabat Polis Putrajaya.
Katanya, Chegu Bard disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Sekyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan adalah berkaitan pendedahan Chegu Bard atas dakwaan isu korupsi dan rasuah oleh pegawai tertinggi TLDM.
“Pihak polis juga mengesahkan permohonan reman akan dibuat pagi esok di hadapan Majistret, Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9 pagi semalam,” katanya.
Terdahulu, Chegu Bard mendakwa polis menyerbu rumahnya pada Jumaat namun beliau tiada di rumah kerana berada di Tambun.
Beliau mendakwa tindakan itu susulan catatannya di Facebook yang mendedahkan dokumen sulit berhubung kegiatan rasuah membabitkan pegawai tinggi kanan TLDM.
Sumber : sengatdaily.com
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DAP pernah nyatakan mahu melihat UMNO kembali kuat – Abdul Rahman
TANJUNG KARANG: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan DAP pernah menyuarakan hasrat mahu melihat parti keramat itu kembali kuat dan menjadi tempat berpaut demi kelangsungan dalam arena politik tanah air.
Katanya, kenyataan itu dibuat oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong di hadapan Jemaah Menteri ketika sesi mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.
“Beliau (Steven Sim) pernah menyatakan UMNO perlu kuat. Mereka (DAP) hanya nak menumpang UMNO sahaja kerana hanya boleh menang antara 40 hingga 43 kerusi dan tak mungkin lebih dari itu.
“Beliau juga memaklumkan masyarakat Cina tidak ramai anak dan tak mungkin hendak menuntut menjadi Perdana Menteri.
Abdul Rahman bersalaman dengan perwakilan Umno Bahagian Tanjung Karang.
“Kalau tidak kuat, DAP tak boleh menumpang pada UMNO. Beliau beri kebenaran kepada saya guna sewenang-wenangnya masa yang ada ini untuk memperkukuhkan UMNO itu sendiri,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Dewan Dato Hormat, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata Steven ‘mengarahkannya’ untuk memanfaatkan masa yang ada bagi menguatkan UMNO di seluruh negara.
“Beliau beritahu ‘Datuk pergilah ke Pantai Timur, Utara dan Selatan untuk membantu UMNO supaya parti bertambah kuat’. Daripada riak muka saya nampak keikhlasan hatinya” katanya.
Abdul Rahman turut menyangkal tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap DAP dengan panggilan jelik termasuk chauvanis dan sosialis, sedangkan perkara itu tidak masuk akal sama sekali.
“Parti itu tidak seperti yang kita sangkakan sebelumnya. Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) pernah menyebut beliau tak sangka rupa-rupanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) seorang yang rajin bekerja, mempunyai idealisme tinggi dan mereka (DAP) sangat seronok bekerja bersama beliau.
“Ini apa yang dilontarkan yang saya dengari. Steven Sim ini sudah pasti orang yang rapat dengan saya dan sentiasa bersama dengan saya.
“Selama ini kita rasakan DAP chauvinis, sosialis dan sebagainya. Tetapi pandangan saya tidak terlalu ke arah itu kerana rakan kongsi kita (MCA dan MIC) adalah salah satu tunjang kepada kita sebenarnya,” katanya.
Sumber : Berita Harian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDIDIKAN memainkan peranan penting sebagai pendorong utama perkembangan masyarakat dan ekonomi untuk mencapai matlamat kerajaan untuk membawa perubahan positif dalam pendidikan, kecerdasan buatan atau AI ke arah memperkenal anjakan paradigma baharu dalam pendidikan, membawa potensi untuk merombak cara kita mengajar dan belajar.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, proaktif dengan menjadi peneraju menerusi penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan (PKEP) yang bakal diadakan pada 8 Oktober hingga 10 Oktober 2024 di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak.
UPSI menyahut seruan kerajaan untuk menjadi peneraju AI dalam bidang pendidikan di negara. – Gambar hiasan
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPSI, merangkap penasihat persidangan, Prof Dr Suriani Abu Bakar, PKEP merupakan satu platform inovatif untuk meneroka dan menghuraikan peranan serta potensi kecerdasan buatan dalam transformasi landskap pendidikan.
“PKEP menjelajahi hubungan sinergi antara pendidikan dan kecerdasan buatan, meneropong peluang baharu dan menangani cabaran yang mungkin timbul dalam melaksanakan teknologi itu dalam kalangan institusi pendidikan.
“Revolusi digital memberikan impak yang mendalam pada hampir semua aspek kehidupan, termasuk dalam dunia pendidikan. Justeru itu, UPSI menyahut seruan kerajaan untuk menjadi peneraju AI dalam bidang pendidikan di negara,” katanya.
Suriani berkata, di era ini, kecerdasan buatan memainkan peranan sentral dalam merancang ulang cara kita mengakses, menyampaikan dan mengamalkan ilmu. PKEP mengambil peranan utama dalam membahas bagaimana kecerdasan buatan, sebagai peneraju utama inovasi teknologi, dapat menerajui perubahan dalam pendidikan bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran.
Pengarah Pejabat Karang Mengarang yang juga Pengerusi PKEP, Dr Nordiana Hamzah berkata, bagi mencapai tujuan itu, wacana perkongsian ilmu hasil penemuan terkini berkaitan kecerdasan buatan khususnya melibatkan teknologi pendidikan menjadi fokus utama UPSI.
“Persidangan ini bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan jurnal terbitan UPSI di samping membuka peluang kerjasama dengan pelbagai agensi bagi menaik taraf jurnal UPSI dengan tema “Menerajui Pendidikan Menerusi Kecerdasan Buatan.”
“PKEP berperanan sebagai gelanggang perkongsian idea dan pengetahuan, mempersatu pemikir terkemuka dalam pendidikan dan teknologi untuk mengeksplorasi potensi terbesar kecerdasan buatan dalam membentuk masa depan pendidikan,” katanya.
Katanya, PKEP menampilkan dua pakar AI dalam pendidikan iaitu Prof Madya Dr Azizi Abd Aziz dari Universiti Utara Malaysia dan Prof Madya Dr Bahbibi Rahmatullah dari UPSI, bengkel Penulisan Artikel Menggunakan Aplikasi AI akan dikendalikan oleh Dr Muhammad Fadzilah Zaini dari UPSI.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persidangan I PKEP dan pakar dalam Pendidikan Multimedia dan Reka Bentuk Pembangunan Permainan, Dr Laili Farhana Md Ibrahim, berkata objektif PKEP termasuklah meneroka dan membentuk hala tuju inovatif dalam pendidikan yang diilhamkan oleh penggunaan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem pendidikan.
“PKEP bakal mengembangkan ilmu pengetahuan hasil kajian dan penemuan melalui wacana merangkumi pelajar pascasiswazah, ahli akademik, penyelidik, pengamal pendidikan dan industri dalam bidang pendidikan selain membincangkan dan mencari penyelesaian bagi cabaran kelestarian dalam pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan di institusi pendidikan.
“Selain itu, PKEP bakal menyediakan peluang untuk berkongsi dan mendokumentasikan penyelidikan terkini dalam konteks pembelajaran dan pengajaran bagi memenuhi keperluan semasa yang bakal memarbatkan bidang pendidikan negara,” katanya.
Katanya, tarikh akhir penerimaan kertas kerja ialah pada 31 Ogos 2024, manakala tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada 30 September 2024.
“Peserta yang berminat untuk menyertai PKEP boleh menghubungi Dr Laili Farhana (017-5540815) atau Nor Azura Mustafa Bakri (019-8777973). Peserta juga boleh menghubungi Seksyen Penerbitan Jurnal, Pejabat Karang Mengarang, UPSI pada talian 05-4505437 atau e-mel kepada me.ejournal@upsi.edu.my,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Ahmad Maslan menyampaikan plak dan sumbangan kepada Ikon Sukan Umno Bahagian Jerantut kepada pemain tenis kerusi roda Malaysia, Mohamad Yusshazwan Yusof yng berasal dari Jerantut di majlis tersebut.
Umno Bahagian Jerantut akan praktikkan formula ‘ABCDE’ yang diberikan.
JERANTUT – Ketua Umno Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, saranan dan cabaran yang disampaikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan akan disebarluas kepada ahli Umno bahagian itu.
Katanya, formula itu wajar dihadam oleh ahli untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan seterusnya merampas kembali semua kerusi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Jerantut.
“PRU-15, semua kerusi, parlimen dan tiga DUN terlepas ke tangan pembangkang dengan kekalahan 0-4, tapi PRU-16 nanti kita perlu bangkit dan semua kerusi itu akan menjadi milik kita.
“Kita tidak boleh leka, kita kena susun pendekatan, Umno Bahagian Jerantut perlu menggunakan formula menjalankan Aktiviti (A) sebanyak mungkin untuk mendekati pengundi, Berpadu (B) pula mesti Bersatu padu dan bersama parti komponen lain untuk mendapat sokongan yang kuat,” katanya.
Katanya, selain itu, calon ( C ) perlu dipersiapkan untuk menghadapi PRU-16 nanti, calon perlu sesuai dan berkaliber yang dianggap boleh menang (winnable), boleh diterima (acceptable) dan disukai (likeable) (WALI).
“Sementara itu data (D) perlu diperkemaskan di bilik ‘war room’ dengan memastikan semua kawasan sudah diperhalusi dengan warna penyokong yang wajar didekati dan emosi ( E ) pula, semua ahli Umno perlu mempunyai sikap dan sayangkan parti dengan sedaya upaya mempertahankan parti sebagai parti keramat.
“Memang, saranan itu (formula ABCDE) yang diberi oleh Timbalan Menteri Kerja Raya itu akan menjadi pedoman kepada Umno Bahagian Jerantut,” katanya.
Katanya, Umno Bahagian mahu calon perlu dipersiapkan lebih awal kerana tidak mahu calon saat akhir yang menjadi trend sebelum ini menyukarkan kepada jentera untuk bergerak dan berkempen memperkenalkan calon.
“Berkaitan dengan berkempen di PRK Nenggiri, Umno Jerantut akan bergerak membantu jentera di sana dengn membawa semangat sayangkan parti dan tidak mahu membiarkan jentera sana berjuang sendirian, oleh itu, Umno Jerantut akan turut turut berjuang bersama,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dua maut dan empat cedera termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di KM145 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan berdekatan Kampung Desa Bakti pada jam 1.20 tengah hari, hari ini.- Ihsan BBP Mentakab.
Dua maut, empat cedera, pikup bertembung dengan treler di Temerloh
TEMERLOH : Dua maut dan empat cedera termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di KM145 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan berdekatan Kampung Desa Bakti pada jam 1.20 tengah hari, hari ini.
Dua yang maut itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 79 tahun yang juga pemandu pikup Toyota Hilux beralamat Taman Rimba, Mentakab dan seorang lelaki warga negara China berusia 46 tahun yang menaiki pikup itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner, Mazlan Hassan berkata, di dalam pikup tersebut turut dinaiki tiga lagi penumpang lelaki berusia 65 dan 69 tahun warga tempatan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun warga China turut cedera dan diletakkan dan dirawat di zon merah di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler jenis Hino yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 63 tahun yang datang dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur telah bertembung dengan kenderaan pikup tersebut yang datang dari arah Kuala Lumpur.
“Akibat dari perlanggaran tersebut pemandu dan seorang penumpang pikup telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas KKM,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pemandu treler yang beralamat di Bagan Ajam, Pulau Pinang turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital sama.
“Kemalangan ini masih dalam siasatn lanjut dan Kes di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Pusat tahfiz dan pusat jagaan warga emas terbiar sekian lama sejak Covid-19 dibaik pulih daripada bangunan surau di Kampung Teluk Belengu untuk digunakan semula.
Pesara kerajaan pasukan uniform terus hajat khidmat baktinya
SEORANG pesara kerajaan daripada pasukan beruniform ingin meneruskan hajat beliau untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat terutama membela nasib warga emas yang terpinggir bagi menghabiskan kelansungan hidup dengan mengikuti pengajian agama.
Bagi memenuhi hasratnya itu, beliau kini bersungguh dengan bantuan beberapa rakan untuk mengubah suai dan memperbaharui semula sebuah bangunan surau yang dijadikan pusat tahfiz terbiar selepas negara dilanda wabak Covid-19 lebih lima tahun lalu.
Abdul Kadir (kanan) memberi penerangan mengenai keadaan bangunan surau berkenaan tidak diuruskan dengan sempurna yang dibaik pulih semula.
Terletak di tanah seluas 1.2 hektar yang diwakafkan di Kampung Teluk Belengu, Bera, Pahang, bangunan surau yang dijadikan pusat tahfiz dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti tandas, dapur, dewan, asrama dan sebagainya itu perlu dibaik pulih semula termasuk mengecat bangunannya.
Pesara berkenaan, Abdul Kadir Sulaiman, berkata walaupun menghadapi pelbagai masalah termasuk pelajar tahfiz yang ada pada masa itu terpaksa pulang ke pangkuan keluarga kerana bencana wabak Covid-19, tidak pernah melunturkan semangatnya untuk menghidupkan semula bangunan surau berkenaan supaya dapat berbakti kepada masyarakat khusus penduduk kampung berkenaan.
Menurutnya, dengan mendapat sokongan serta saranan penduduk kampung itu supaya beliau membangunkan semula bangunan surau berkenaan sebagai tempat pengajian agama seperti sebelumnya, dia bertekad untuk melengkapkan pula dengan menjadi salah satu pusat jagaan warga emas yang disisih oleh keluarga.
Jelasnya, sebelum wabak Covid-19 melanda, bangunan itu selain menjadi surau, pusat tahfiz turut didiami sembilan warga emas yang menumpang di beberapa bilik yang menjadi asrama pelajar untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan mengikuti pengajian agama.
“Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila wabak Covid-19 melanda negara dan seperti pelajar tahfiz juga sesetengah daripada warga emas ini terpaksa pulang ke pangkuan keluarga saudara mara untuk menumpang hingga sekarang.
“Selepas bangunan ini selesai diubah suai semula, pelbagai kemudahan asas dibaik pulih dan dibersihkan sepenuhnya warga emas itu termasuk pelajar tahfiz akan dimaklumkan untuk kembali seperti sebelumnya supaya dapat mengimarahkannya sebagai tempat pengajian agama serta perlindungan warga emas berkenaan,” katanya.
Abdul Kadir berkata, semua urusan dengan pihak berwajib bagi menjadi bangunan itu yang dilengkapi surau, asrama untuk pusat tahfiz dan tempat perlindungan warga emas sudah lama selesai serta mendapat kebenaran sebagaimana yang perlu dipatuhi.
Menurutnya, walaupun banyak kemudahan yang rosak selepas terbiar bukan menjadi masalah kepada dia untuk melakukan kerja pemulihan kerana sentiasa mendapat kerjasama serta sokongan daripada rakan-rakan khusus penduduk kampung itu kerana mereka ingin melihat tempat berkenaan hidup semula dengan kemeriahan sebagai tempat pengajian agama serta perlindungan warga emas atau yang hidup sebagai gelandangan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Abdul Rahman menerima penerangan daripada pelajar Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (KVSHAS) Lipis, dekat sini, semalam.
KESUMA Kembara motosikal 150 promosi TVET
LIPIS – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengadakan Program kembara bermotosikal melibatkan 150 penunggang sempena Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET Zon Timur 2024 melibatkan lapan lokasi utama agensi TVET untuk mempromosikan penjenamaan Kolej Universiti Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Program itu yang diketuai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program ini merupakan inisiatif Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan agensi TVET dalam mempromosikan pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) kepada masyarakat.
Katanya, promosi itu sebagai makluman kepada umum bahawa 100 peratus kemasukan penuntut ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan seramai 92 peratus mendapat pekerjaan setelah tamat belajar manakala baki lapan peratus tiada data diperoleh.
“Kejayaan kebolehpasaran penuntut dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara dilihat cemerlang mencapai 92 peratus.
“Daripada jumlah itu, 82 peratus bekerja dalam bidang yang mereka pelajari, contohnya jika penuntut belajar dalam bidang IT (teknologi maklumat) maka dia bekerja pun dalam bidang IT,” katanya sempena Kembara Jelajah TVET Madani 2024 di Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (KVSHAS) Lipis, dekat sini, semalam.
Katanya, sekarang di ILP diusahakan untuk menambah bidang yang dinamakan program premium yang bermaksud lebih ‘hi-tech’, seperti ada kursus ada oil and gas di Pengerang (Johor), manakala di Melaka ada bidang automotif selain bekerjasama dengan Intel.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berharap agar ILP dan ADTEC mendapat penjenamaan semula sebagai kolej universiti supaya ia kekal relevan dengan tuntutan semasa pasaran kerja.
“Kalau dapat kita jadikan ILP sebagai Kolej Universiti Institut Latihan Perindustrian sebagai penjenamaan baharu.
“Kalau penjenamaan semula ini berjaya, bermakna ada 32 institusi lagi yang mampu menjadikan kita lebih cemerlang di masa depan dan boleh menarik minat lebih ramai anak-anak muda terlibat dalam bidang tertentu,”katanya.
Katanya, selain itu, permohonan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke dalam bidang TVET dilihat meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini adalah hasil daripada promosi berterusan yang kita lakukan, pelajar-pelajar ini juga melihat peluang yang mereka dapati apabila menceburi TVET adalah lebih tinggi.
“Selain itu penglibatan pelajar dari pelbagai kaum seperti Cina, India, Kadazan , Bidayuh dan lain-lain ke dalam bidang TVET juga dilihat cukup memberangsangkan mencecah 25 peratus,”katanya.
Program Kembara Jelajah TVET Madani 2024 ini disertai 150 penunggang motosikal melibatkan lapan lokasi utama agensi TVET bermula di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam, GiatMARA Raub, KVSHAS Lipis, Adtec Jerantut, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik dan berakhir ILP Kuala Terengganu bermula pada 22 Julai hingga 25 Julai.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penunggang cedera tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori
TEMERLOH – Seorang penunggang motosikal tersepit di bawah lori dan cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di Jalan Bypass Kelulut – Kampung Belenggu pada jam 1.55 tengah hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Ridzuan Hashim melaporkan seramai lapan anggota bomba membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan khas penyelamat (rescue tool dan telescopic ram).
Katanya, mangsa telah berjaya dikeluarkan dan seterusnya diserahkan kepada pihak pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Kemalangan mergut dua nyawa di Kilometer 18, Jalan Jerantut-Temerloh, berhampiran Simpang Bukit Ketupat dekat sini.
Bapa, anak meninggal dunia dalam kemalangan jarak 500 meter sebelum sampai ke rumah
JERANTUT: Seorang bapa dan anaknya maut, manakala isteri dan seorang lagi anak pasangan terbabit cedera, selepas motosikal dinaiki empat beranak itu terbabas dalam kemalangan kira-kira 500 meter dari rumah mereka, malam tadi.
Tukang rumah, Muhamad Isyam Abdullah Sani, 43 dan anaknya, Muhammad Aisy Afnan, 6, mati di lokasi, manakala isterinya, Munirah Mahmood, 28 dan Muhammad Umar Affan, 4, cedera.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Suprintendan Zukri Muhammad, berkata kejadian berlaku pada kira kira jam 8.30 malam di Kilometer 18, Jalan Jerantut-Temerloh, berhampiran Simpang Bukit Ketupat dekat sini.
Beliau berkata, ketika kejadian empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari rumah ibu mentua ke kediaman sewa mereka di Taman Bukit Ketupat.
“Siasatan awal, mendapati kejadian berlaku ketika Muhamad Isyam bersama isterinya, Munirah dan dua anak mereka, dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Temerloh.
“Apabila sampai di lokasi, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang lampu jalan dan menyebabkan motosikalnya remuk di bahagian hadapan.” katanya.
Zukri berkata, akibat kemalangan itu, penunggang bersama anaknya berusia 6 tahun maut di tempat kejadian, manakala isteri dan seorang lagi anak mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Katanya, punca kemalangan dipercayai berlaku akibat mangsa yang gagal mengawal dengan baik motosikal yang ditunggangnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SUmber : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!