Foto atas : Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat.-PDRM Lipis.
Maut Dihempap Batu Ketika Lombong Emas
KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas dihempap batu dalam kejadian berhampiran tebing sungai di Kampung Sungai Temau, dekat Lipis, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu jam 4 petang.
“Berdasarkan laporan awal, kejadian itu dipercayai berpunca akibat runtuhan tebing ketika mangsa sedang menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Suhami Sudin, berusia 44 tahun dari FELCRA Sungai Temau, Lipis.
Azli memaklumkan, sebelum kejadian itu, mangsa dipercayai datang melombong di kawasan terbabit bersama dua lagi rakan.
Katanya, jarak lokasi kejadian dengan kawasan mangsa tinggal di FELCRA Sungai Temau adalah kira-kira 3 kilometer.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat,” katanya lagi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Wan Rosdy melawat gerai jualan di Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2023 di Perkarangan Tapak Sehari Dong di Raub, petang semalam.
Pembangkang dakwa kerajaan sekarang adalah UMNO-DAP – Wan Rosdy
RAUB – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO sering kali menjadi serangan pihak pembangkang sehingga menggelarkan kerajaan hari ini merupakan Kerajaan UMDAP walaupun umum mengetahui tuduhan tersebut tidak berasas.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata serangan berterusan daripada pihak pembangkang itu menampakkan kekuatan akar umbi UMNO dari dahulu sehingga kini, terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi semakin terserlah.
”Dengan kerja kuat daripada semua jentera gabungan Perpaduan, bertanding secara sihat, kita akan beri persaingan walaupun negeri berkenaan bukan ditadbir BN, tidak mustahil akan menjadi milik kita.
”Gabungan ini akan mencalonkan orang yang berupaya dan berwibawa, jadi diharapkan rakyat negeri terlibat membuat pilihan yang tepat untuk mewakili mereka demi masa hadapan yang lebih sejahtera dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2023 di Perkarangan Tapak Sehari Dong di Raub, petang semalam.
Katanya, kerajaan yang ada sekarang adalah Kerajaan Perpaduan dengan menjunjung perintah Yang di-Pertuan Agong selepas keadaan tergantung sebelum pembentukan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
“Walau bagaimanapun katanya, BN bersedia bekerjasama dengan pihak yang boleh melindungi empat prinsip yang dipertahankan oleh parti itu.
“Empat prinsip itu ialah memelihara agama Islam, institusi diraja, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan, dan hak orang Melayu sejajar dengan prinsip UMNO kita pertahankan,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Umno Bahagian Jerantut akan berkampung di kawasan Hulu Terengganu dalam membantu berkempen menghadapi Pilihan raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos ini.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah.
Ketua UMNO Bahagian itu, Haris Salleh Hamzah berkata, semua sayap dari bahagian itu akan berkampung di kawasan tersebut bermula hari penamaan calon pada 29 Julai dan berkerjasama dengan Umno dan parti gabungan Pakatan Perpaduan.
Katanya, jentera parti itu akan meneruskan usaha memastikan bakal calon daripada Pakatan Perpaduan akan menang di PRN ini.
“Pada ketika ini, semua sayap dari Umno Bahagian Jerantut sedang meneliti dan mengkaji keperluan di kawasan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk dibawa untuk berkempen.
“Kita juga akan selaraskan peranan masing-masing dengan badan perhubungan Umno Pahang dan Pusat perkara yang bakal dibawa berkempen ke kawasan Hulu Terengganu,” katanya.
Katanya, calon yang bakal bertanding di DUN Telemung (N21), Manir (N22), Kuala Berang (N23) dan Ajil (N24) dan keseluruhan jumlah pengundi di semua 4 DUN tersebut seramai 87,917 pengundi dan dijangka bertambah dengan bilangan pengundi muda yang baru mendaftar.
“Tinjauan awal telah dilakukan dan banyak perkara yang perlu diketengahkan mengikut isu setempat.
“Kami juga sedang mengkaji demografi penduduk setempat berkaitan keperluan masyarakat setempat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ketua Polis Negeri Pahang, ACP Datuk Yahya Othman di Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Peringkat Kontijen Pahang 2023 di Taman Inderapura , hari ini.
Peranan wanita boleh membantu cegah jenayah
JERANTUT : Ketua Polis Negeri Pahang, ACP Datuk Yahya Othman berkata, Polis Diraja Malaysia DRM melihat wanita adalah golongan yang sangat penting dalam menjaga ketenteraman dan keamanan negara bermula dalam kawasan kejiranan dan komuniti setempat.
“Golongan wanita terutamanya suri rumah adalah merupakan ‘mata’ dan ‘telinga’ yang terbaik untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kejiranan mereka kepada pihak polis.
ACP Datuk Yahya Othman (2 dari kiri) menyantuni pesara polis yang mengidap penyakit strok (tengah) di taman itu, hari itu.
“Melihat kepada kepentingan wanita dalam konteks pencegahan jenayah, maka pihak PDRM mengambil inisiatif mewujudkan satu bentuk strategi untuk mengukuhkan kerjasama antara wanita dan PDRM,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita peringkat Kontijen Pahang Tahun 2023 di Taman Inderpura Jerantut, hari ini.
Yahya berkata, kerjasama ini digerakkan menerusi ‘Engage Housewives In Neighbourhood Safety Through A Specially Designated Women Police Officer’ atau singkatannya AMANITA.
“Mengikut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), populasi penduduk seramai kira-kira 36,000 orang, separuh daripadanya adalah perempuan iaitu seramai 17, 535 orang yang dikira sebagai jumlah yang besar.
“Oleh itu, saya percaya di Taman Inderapura yang mempunyai 520 rumah dan penduduk kira-kira 3,000 orang, separuh daripada jumlah tersebut adalah wanita atau surirumah yang boleh membantu pihak PDRM menangani pencegahan berlakunya jenayah,” katanya.
Katanya, hubungan kerjasama yang rapat antara AMANITA dan rakan AMANITA serta laporan komuniti akan mampu mengurangkan tahap kegusaran berlakunya jenayah dan meningkatkan hubungan polis kepada masyarakat.
“Oleh itu, inisiatif yang digerakkan oleh PDRM ini membuka ruang kepada suri rumah dan golongan wanita untuk menyalur sebarang maklumat berlakunya kegiatan jenayah, dadah serta isu keselamatan di kawasan perumahan.
“Sekiranya terdapat berlaku jenayah dalam kawasan taman perumahan ini, terus berhubung dengan balai berdekatan dan pihak PDRM akan sedia membantu dan peranan AMANITA amat penting dalam usaha pencegahan jenayah tersebut,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rogol anak hingga bersalin, bapa durjana dipenjara 218 tahun dengan 75 sebatan
MUAR : Seorang ayah dijatuhkan hukuman 218 tahun serta 75 sebatan selepas mengaku bersalah merogol dan amang seksual terhadap anak kandungnya hingga bersalin, sejak 2020.
Tertuduh berusia 41 tahun bekerja kampung membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua lapan pertuduhan dengan tujuh daripadanya membabitkan kejadian rogol yang bermula ketika anak kandungnya berusia 12 tahun.
Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya pada waktu malam tahun 2020.
Selepas itu, tertuduh melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa pada Oktober tahun sama dengan merogolnya dan kejadian terakhir berlaku pada jam 8 pagi, 5 Jun lalu.
Mangsa yang baru melahirkan anak lelaki minggu lalu dalam laporannya, memberitahu tertuduh turut memanjat bilik selepas mangsa menukar kunci bagi mengelak dirogol namun gagal.
Kejadian terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.
Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.
Tertuduh pertama kali didakwa pada 14 Jun dan mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan. Semua kejadian berlaku di sebuah rumah di Semerah dekat sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan.
Sebaik mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan tertuduh, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan untuk kesalahan amang seksual fizikal.
Bagi kesalahan merogol pula, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum iaitu 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, bagi hukuman amang seksual fizikal, mahkamah mengarahkan kedua-duanya dijalankan secara berasingan manakala kesalahan merogol berjalan serentak dengan semua hukuman bermula dari tarikh ditahan 8 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Danial meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kelakuan tertuduh terhadap anak kandung yang masih mentah ketika kejadian serta tidak pernah menyesal malah mengulangi kesalahan hingga ditangkap.
Sumber : Berita Harian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemilik kejar pencuri motosikal miliknya, pencuri berjaya melarikan diri.
JERANTUT – Seorang lelaki gagal melarikan sebuah motosikal yang dicurinya apabila dikejar oleh pemilik motosikal itu apabila suspek terjatuh kerana terbabas di tepi jalan berdekatan kawasan perkuburan Batu Balai, Jalan Jerantut-Benta, dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, walaupun terjatuh, suspek tersebut telah berjaya melari dan menghilangkan diri di dalam gelap.
Katanya, sebelum kejadian itu disedari, pemilik motosikal itu setelah mendengar bunyi enjin motosikal miliknya dihidupkan kira-kira jam 3.30 pagi, hari ini.
“Pemilik motosikal itu, seorang pemandu lori berusia 30 tahun terus keluar dan mendapati motosikal jenis Honda Ex-5 warna hitam tiada di tempat dia letakkan di garaj hadapan rumahnya Jalan Benta, Kampung Damak, dekat sini.
“Menyedari motosikalnya hilang, dia terus mencari motosikalnya sehingga ke Stesen Minyak Five, Batu Balai, dekat sini,” katanya.
Mazlan berkata, ketika dalam perjalanan balik ke rumah, pemilik terserempak dengan motosikal miliknya ditunggang oleh suspek dan mengejarnya sehingga sampai di hadapan kawasan perkuburan Batu Balai.
“Suspek telah terjatuh di bahu jalan disebabkan terbabas, suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan motosikal yang dicurinya.
“Pihak polis masih menjejaki suspek dan kes disiasat di bawah Sek 379A/511 Kanun Keseksaan,” kaatanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Laluan sebelah menghala ke Kuantan di KM 123.10 – KM124.70, LPT1 ditutup mulai hari ini
BENTONG :Pengaktifan laluan kontra selama tiga bulan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bermula dari KM123.10 hingga ke KM124.70 arah Kuantan bermula hari ini bagi melancarkan projek tebatan banjir di kawasan pembinaan projek dan meminimumkan gangguan kepada aliran trafik
Pengaktifan sistem dan penutupan laluan itu disebabkan beberapa skop kerja kritikal seperti penambakan laluan utama dan kawasan sekitarnya serta menaikkan tahap ketinggian laluan utama dan pembinaan saluran air tambahan di kawasan tersebut.
Pengerusi Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Dr Nik Hussein berkata, projek tebatan banjir Itu bertujuan menangani peningkatan paras sungai dan kawasan tadahan hujan yang sebelum ini menjejaskan dan menenggelamkan laluan utama LPT1.
“Skop kerja ini akan melibatkan 14 kawasan yang telah dikenalpasti di laluan utama di dalam Right of Way (RoW) lebuhraya tersebut.
“Pihak ANIH komited untuk memastikan tahap keselamatan dan keselesaan para pengguna menjadi keutamaan sepanjang projek ini, pengaktifan laluan kontra ini bertujuan untuk mengurangkan gangguan trafik kepada para pengguna,” katanya melalui kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, sungguhpun laluan ini akan melibatkan penutupan penuh lebuhraya dari KM123.10 hingga ke KM124.70 ke Kuantan, namun pengaktifan lorong ini akan diubah mengikut kesesuaian dan keperluan trafik semasa
“Terdahulu, ANIH Berhad telah memberikan taklimat berkenaan maklumat projek dan perkembangan fasa projek tebatan banjir kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sempena lawatan kerja beliau bagi meninjau keadaan kerja-kerja di tapak KM124, arah Barat semalam.
“Semenjak pembukaan laluan lebuhraya LPT1, empat kejadian banjir telah berlaku iaitu pada tahun 2007, 2014, Januari 2021, dan Disember 2021 yang telah menyebabkan lebuh raya ditutup kepada semua jenis kenderaan selama beberapa hari,” katanya.
Katanya, keseluruhan projek tebatan banjir yang dijangka mengambil masa selama empat tahun ini meliputi kerja-kerja menaikkan paras permukaan jalan sedia ada berdasarkan paras banjir tertinggi yang direkodkan di LPT1 dan membina selenggaraan tambahan di kawasan terjejas untuk engelakkan air daripada masuk ke laluan utama.
“Pengguna laluan ini dinasihati untuk merancang perjalanan mereka dan mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi.
“Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna disarankan untuk mengikuti saluran ANIH TV serta saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter, (@LPTTrafik),” katanya
Katanya, pengguna boleh juga menghubungi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia) . Untuk sebarang kecemasan, sila hubungi LPT – Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88- 7752.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Bangunan kompleks Stay AlKitab yang tersergam indah dibina hasil sumbangan derma, wakaf, infak orang ramai dan pelbagai pihak.
Tolong kami! Bantu sekolah tahfiz AlKitab! Santuni anak yatim! Sediakan pendidikan agama, akademik!
SEKOLAH Tahfiz Anak Yatim AlKitab (Stay AlKitab), Beranang, Selangor turut mengutamakan pendidikan akademik kepada pelajar-pelajarnya sebagai jaminan masa depan di samping memiliki pengetahuan mendalam bidang agama.
Stay AlKitab mahukan pelajarnya mencapai kecemerlangan dalam bidang agama iaitu ilmu naqli dan akedamik (aqli) bergerak selari yang akan menjadikan mereka mampu bersaing dan membina kerjaya lebih baik.
Pengetuanya, Ahmad Asmadi, berkata Stay AlKitab membina serta menitikberatkan keseimbangan dalam bidang pengajian agama serta akademik supaya pelajar cemerlang dunia dan akhirat yang akan dimanfaatkan untuk membimbing orang lain pula.
Orang ramai menjamu selera pada Majlis Kesyukuran dan Silaturahim Stay AlKitab, di Beranang, Selangor, di samping untuk mengenali lebih dekat pusat pengajian agama itu, baru-baru ini.
Menurutnya, bagi menyempurnakan tujuan itu pelajar berumur 16 tahun ke atas diberi pilihan serta dihantar untuk mengikuti kelas tuisyen lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jelasnya, jika pelajar terbabit kurang berjaya dalam SPM, Stay AlKitab akan terus membantu mereka untuk mengikuti pendidikan dalam bidang kemahiran pula supaya terus cemerlang bagi menjamin masa depan dan tidak tercicir di pertengahan jalan.
“Dengan tenaga pengajar 15 orang membabitkan guru al-Quran dan hafiz, serta subjek Bahasa Arab, Inggeris, Matematik, Sains, Kafa, Fardu Ain, akademik dan kemahiran, Stay AlKitab beryakinan usaha ini berjaya dilaksanakan di samping dapat memenuhi impian pelajar terbabit serta ibu bapa dan penjaga,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Silaturahim Stay AlKitab pada 18 Jun 2023.
Ahmad berkata, Stay AlKitab mula beroperasi 12 tahun lalu dengan 10 pelajar dalam kalangan anak yatim yang kematian bapa serta mereka daripada keluarga asnaf dan B40 datang dari beberapa negeri khusus sekitar Lembah Kelang serta Selangor.
Menurutnya, atas inisiatif sendiri bersama ahli keluarga dia berusaha membina sebuah bangunan kompleks setinggi tiga tingkat bermula awal 2019 di atas tanah pusaka dengan mengumpul dana hasil sumbangan derma, wakaf serta infak daripada orang ramai dan pelbagai pihak.
Tambah beliau, dengan terbina bangunan yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas itu, menguatkan lagi keazamannya untuk terus membela nasib anak yatim supaya mereka tidak terbiar tanpa ilmu yang bermanfaat selain tercicir dalam pelajaran.
Jelasnya, sehingga sekarang jumlah pelajar sudah meningkat kepada 25 orang dan mereka menunjukkan minat begitu mendalam untuk mempelajari bidang agama terutama hafiz al-Quran dengan bimbangan tenaga pengajar berpengalaman.
“Bagi menampung kos operasi kami masih mengharap sumbangan derma, wakaf serta infak daripada orang ramai untuk berkongsi rezeki yang turut menjadi bekalan di akhirat,” ujar Ahmad.
Kepada mereka yang berhajat menghulurkan sumbangan boleh melakukannya menerusi nombor akauan Bank Islam – 1219 5010 001587 (Sek. Tahfiz Anak Yatim ALKitab) atau akaun Maybank Islamic – 5625 2650 8931 (Sekolah Tahfiz Anak Yatim AlKitab). – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kelibat dan tapak kaki dipercayai warga emas Orang Asli yang hilang dijumpai di hari ke-9 SAR
LIPIS : Kelibat dipercayai warga emas Orang Asli, Bah Mail Pak Gendet berusia 76 tahun yang hilang tetapi telah melarikan diri ke dalam hutan daripada pasukan pencari dan penyelamat (SAR) menggagalkan operasi pencarian.
Anggota SAR telah meliputi kawasan pencarian berkeluasan 10 kilometer radius pada hari kesembilan operasi. Gambar kecil, mangsa yang hilang, Bah Mail Pak Gendet berusia 76 tahun
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, pasukan SAR turut menemukan tanda jejak kaki yang disyaki tapak kaki mangsa berhampiran anak sungai di dalam kawasan pencarian.
Katanya, pasukan SAR telah menjejaki kawasan meliputi keluasan radius 10 kilometer bermula mangsa dipercayai hilang di kawasan hutan dan kebun getah berbukit di sekitar Kampung Chekai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau dekat sini pada jam 8.00 pagi, sejak sembilan hari lalu.
“Pasukan SAR telah terserempak kelibat dipercayai mangsa yang hilang tetapi telah melarikan diri dan menghilangkan ke dalam hutan dan usaha terus menjejaki mangsa gagal.
“Unit anjing pengesan polis ( Unit K9 PDRM) dan pasukan Bomba dan Penyelamat turut mengikuti operasi ini,” katanya.
Azli berkata, seramai 71 orang pasukan SAR terlibat dalam operasi ini termasuk Pasukan Senoi Praak (PGA BN 3) turut menyertai operasi SAR.
“Pasukan telah dibahagikan kepada 3 kumpulan dengan memberi tumpuan kepada pencarian di kawasan yang mempunyai pondok dan rumah lama yang ditinggalkan.
“Pencarian turut dilakukan termasuk ‘banir’ pokok besar di kawasan tempat terakhir mangsa dilihat dan sudah mencakupi radius pencarian yang cukup luas di sektor D,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
2,000 penduduk Kampung Tanjung Kerayong mohon jambatan baharu
MENTAKAB – Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Tanjung Kerayong dekat sini memohon kerajaan segera membina semula jambatan lama yang runtuh dengan menggantikan jambatan baharu untuk kemudahan penduduk di situ dan kampung sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanjung Kerayong, Abdul Mubin Ismail berkata, jambatan konkrit yang dibina kira-kira 15 tahun lalu, pada awalnya telah patah di bahagian tengah dan kemudian runtuh sepenuhnya pada tahun 2021.
Jambatan lama itu sepanjang kira-kira 50 meter yang merentangi Sungai Semantan runtuh sepenuhnya ketika banjir akibat banyak kayu besar yang hanyut merempuh tiang dan gelegar jambatan ini.
“Jambatan lama itu sepanjang kira-kira 50 meter yang merentangi Sungai Semantan telah runtuh sepenuhnya ketika banjir pada tahun itu akibat banyak kayu besar yang hanyut merempuh tiang dan gelegar jambatan ini.
“Saya sebagai pengerusi JPKK kampung ini merayu kepada pihak kerajaan membina jambatan baharu demi memudahan dan keselesaan penduduk di situ,” katanya.
Katanya, jambatan itu turut digunakan penduduk di Kampung Gantuk Hulu, Kampung Paya Mentakab dan kampung Seberang Mentakab untuk berurusan di bandar Mentakab serta penempatan yang bakal dibuka di Kamping Bukit Kuin.
Penduduk yang mempunyai kebun getah di seberang Sungai Semantan tidak dapat melakukan kerja-kerja kebun sejak jambatan runtuh.
Seorang penduduk, Norehan Ismail (65) berkata, di seberang sungai itu ada tanah perkuburan Islam Kampung Tanjung Kerayung.
“Sejak jambatan runtuh, jenazah yang dibawa untuk dikebumikan di tanah perkuburan itu terpaksa mengguna jalan jauh kira-kira 7 kilometer melalui Kampung Gantuk.
“Walhal, jarak dari kawasan perumahan kampung ini hanya sekitar 500 meter sahaja,’’ Katanya.
Penduduk yang mempunyai kebun getah di seberang Sungai Semantan itu, Ghazali A Rahman (63) berkata, kebanyakan penduduk di kampung itu masing-masing memiliki kebun di seberang sungai tetapi tidak dapat melakukan kerja-kerja kebun sejak jambatan runtuh.
“Tanah seluas kira-kira 400 hektar kebun penduduk di sini tidak dapat mengusahakan kebun dan mengalami kerugian tidak dapat memasarkan hasil pertanian masing-masing..
“Saya sendiri sudah hampir setahun tidak ke kebun, kebun saya tinggal terbiar dan bersemak, oleh kerana tidak dapat pergi menoreh pokok getah di seberang sana, serba sedikit menjejaskan mata pencarian saya,” katanya.
Katanya, penduduk yang mempunyai kebun getah, kelapa, durian dan rambutan tidak dapat mengeluarkan hasil masing-masing sejak jambatan itu runtuh.
“Perkara jambatan runtuh ini telah dibawa ke peringkat berkaitan tetapi tiada sebarang tindakan susulan dilakukan sehingga hari ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!