KUANTAN – Satu sesi libat urus dan mesyuarat sudah dimulakan bagi merencanakan strategi untuk memantapkan lagi gerakan koperasi di Pahang.
Selain memiliki antara koperasi terbaik di Malaysia, Pahang juga dalam proses membeliakan koperasi sedia ada supaya lebih berdaya saing.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kesepakatan dan kerjasama sedia terjalin antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan memudahkan lagi proses ini.
“Kita (Pahang) memiliki 30 koperasi terbaik di Malaysia, dalam masa sama (koperasi) kita juga menjadi negeri kedua terbaik selepas Wilayah Persekutuan dalam gerakan koperasi,” katanya.
Sebelum itu, Amizar mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Pahang 2024 di Wisma Persekutuan, dekat Jalan Gambut.
Majlis itu dianggotai wakil dari koperasi terbaik di Pahang, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dan ahli akademik.
Selain itu Suruhanjaya Koperasi Malaysia cawangan Pahang menjadi urusetia bagi majlis berkenaan. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Adik mangsa, Fauziah Mat (48), menunjukkan rantai manik yang sering digunakan oleh Rosdan Mat ditemui semalam.
Petunjuk awal lelaki OKU hilang yang masih gagal ditemui setelah rantai manik ditemui pada hari ke-6
LIPIS – Seutas rantai manik yang sering digunakan oleh seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU), Rosdan Mat, berusia 52 tahun dijumpai pada hari keenam kehilangannya oleh kumpulan pencari di sekitar Kampung Redan, Lipis.
Abang ipar kepada lelaki hilang itu, Adnan Mat Isa (52) berkata, manik itu ditemui ketika operasi mencari di di sekitar jalan masuk ke kebun yang terletak berdekatan rumahnya.
“Saya percaya rantai manik itu sering digunakan oleh Rosdan Mat (lelaki hilang itu) untuk diikat pada kayu dan kononnya sebagai ” tali sandang senapang”.
“Penemuan rantai manik itu menjadikan petanda terbaharu dalam usaha mencari mangsa yang masuk hari ketujuh hari ini,” ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTP) di sini.
Katanya, dia berterima kasih kepada semua agensi kerajaan keselamatan serta penduduk tempatan serta masyarakat orang asli Kampung Temetung yang turut memberi bantuan mencari.
Adnan Mat Isa, 52 tahun (kiri) dan adik mangsa, Fauziah Mat (48) (kanan)
Adik mangsa, Fauziah Mat (48) berkata, kali terakhir abangnya datang ke rumahnya untuk bersarapan kira-kira jam 8.30 pagi pada 26 Jun.
“Semasa suami saya memanggilnya untuk makan tengah hari pada hari yang sama, abang masih tiada di rumah.
“Pada waktu malam, sekali lagi suami saya memanggil abang saya untuk makan malam, abang masih tiada di rumah,” katanya.
Katanya, sudah menjadi lumrah abang kerap merayau dan singgah di rumah adik beradik atau saudara-mara yang tinggal berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, pihak polis menerima laporan daripada adik ipar dan pengadu kepada lelaki yang hilang itu pada jam 9.39 pagi pada 28 Jun setelah usaha awal mencari gagal.
“Sebelum laporan polis dibuat, pengadu bersama saudara-mara dan orang kampung telah mencari abang iparnya di tempat selalu orang hilang (OH) itu pergi serta di sekitar kampung tersebut tetapi gagal dan tidak menjumpai sebarang petunjuk sehingga laporan polis dibuat.
“Pihak polis bersama penduduk kampung terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar kawasan dipercayai hilang dan masih gagal ditemui. Operasi masih diteruskan,” katanya di sini.
Ismail berkata dimaklumkan Rosdan telah mengalami masalah kesihatan mental sejak berumur 14 tahun.
“Pencarian hari ketujuh ini, pencarian disertai 75 orang daripada polis, Bomba dan penyelamat, Angkatan Petahanan Awam, orang kampung dan masyarakat orang asli dari Kampung Temetong.
“Usaha mencari turut menggunakan khidmat anjing pengesan bomba (K9),” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Mini karnival alam sekitar didik masyarakat sayangi bumi
BENTONG – Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar perlu dijadikan tanggungjawab semua pihak.
Justeru itu, program berkaitan alam sekitar harus diperbanyakkan.
Ini kerana tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar masih di tahap sederhana.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata inisiatif kerajaan Pahang melalui penganjuran mini karnival alam sekitar adalah bukti jelas tahap keprihatinan kerajaan negeri.
“Program bertemakan ‘cintai alam sekitar’ dilaksanakan Majlis Perbandaran Bentong adalah inisiatif yang bagus.
“Kesungguhan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Rose Samsul Abdul Razak dan pasukannya sangat mengagumkan.
“Mini karnival ini menekankan kepentingan memelihara alam sekitar serta memperkasakan semua sumber asli antaranya sungai dan hutan yang dapat membantu sosio kehidupan masyarakat Bentong,” katanya
Amizar berharap mini karnival itu diteruskan pada masa akan datang.
Katanya, kerajaan Pahang akan membantu dalam menjayakan program serupa di lokasi lain selepas ini. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Penganjuran Program Madani Rakyat di Dataran MBK hujung minggu depan membuka peluang kepada masyarakat memahami aspirasi Kerajaan Perpaduan.
Melalui program itu, semua agensi kerajaan dapat memberi penerangan dan penjelasan secara terus kepada pengunjung.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, program itu juga perlu dimanfaatkan pengunjung untuk mendapat maklumat berkaitan perkhidmatan disediakan kepada mereka.
“Pelbagai aktiviti bakal dijalankan dalam program ini antaranya pameran, latihan, persembahan, pertandingan dan juga ceramah agama yang sudah tentu dapat impak kepada pengunjung.
“Selain itu, pengunjung terutamanya generasi muda dapat mencari peluang pekerjaan dan perniagaan ditawarkan institusi pengajian tinggi, kolej vokasional dan bermacam lagi,” katanya ketika menjadi tetamu Pahang FM di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah.
Amizar diberi tanggungjawab oleh kerajaan Pahang mempromosikan Program Madani Rakyat bagi Wilayah Timur.
Dia turut memaklumkan semua maklumat lanjut berkaitan program berkenaan boleh diperoleh pengunjung dengan melayari laman web www.malaysiamadani.gov.my dan www.kerajaanpahang.gov.my. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Lamborghini terbakar dlam kemalangan di KM57.1, Jalan Bentong-Karak, pagi ini
Lamborghini terbakar, pemandu maut dalam kemalangan di Bentong
BENTONG : Sebuah Lamborghini terbakar sepenuhnya selepas terbabas dalam kemalangan yang berlaku di KM 57.1, Jalan Bentong- Karak, arah timur pada kira-kira jam 9.00 pagi hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pemandu kereta tersebut yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Manakala, penumpang wanita yang berada di dalam kereta itu berjaya diselamatkan dan dikeluarkan oleh orang awam untuk dibawa ke Hospital Bentong.
“Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong melaporkan turut membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu mula menggunakan air tangki pam jentera,” katanya
Katanya, seramai lapan anggota BBP Bentong dan dua jentera turut digunakan dalam operasi tersebut. Anggota BBP turut melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pelajar UPM dipatuk ular berjaya dibawa keluar dengan helikopter
LIPIS – Seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dipatuk ular berbisa berjaya dibawa keluar dengan menggunakan khidmat Helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Pengkalan Udara, Wilayah Utara pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Ismail Man berkata, pelajar itu, Siti Noraqilah Azmi (20 tahun) yang dipatuk ular berlaku di Bukit Botak, Gunung Tahan pada jam 6.15 petang semalam.
Katanya, mangsa bersama 40 orang pendaki lain turut disertai oleh dua orang jurupandu, seorang staf Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) serta tiga orang ranger komuniti.
“Sejurus kejadian dipatuk ular itu, dua anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) Merapoh yang berada di Kem Kor, Gunung Tahan bergerak ke lokasi kejadian dan memohon bantuan Unit Udara telah dibuat oleh Pusat Operasi JPBM Pahang.
“Pesawat UUB AW139 bersama lima orang krew telah sampai di Bukit Bius, Lipis untuk mengambil dua orang pegawai perubatan pada jam 9.26 pagi dan terbang ke lokasi kejadian,” katanya di sini.
Katanya, memandangkan kejadian berlaku pada waktu malam dan jarak perjalanan untuk sampai di lokasi kejadian sangat jauh serta mengambil masa lebih kurang 10 jam pendakian, operasi menyelamat telah dilakukan hari ini helikopter.
“Pesawat berjaya sampai di lokasi kejadian di Bukit Botak dan telah mengambil mangsa yang cedera dan diterbangkan semula ke Bukit Bius, Lipis pada jam 9.55 pagi,hari ini .
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulan KKM untuk dibawa ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut. Keadaan mangsa dalam keadaan lemah,” katanya.- SAHIH.
Foto : Ihsan JPM Pahang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEKAN – Satu sesi libat urus bersama usahawan di Pahang akan diadakan secara lebih kerap.
Bermula di Dewan Canselori Sultan Haji Ahmad Shah, DRB-Hicom Universiti, dekat Pekan hari ini, sesi sama bakal diperluaskan ke seluruh Pahang tidak lama lagi.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, sesi berkenaan adalah pendekatan dan cara paling mudah untuk mendekati komuniti usahawan di negeri ini.
“Dalam perkongsian untuk sesi ini, saya mewakili kerajaan Pahang membentangkan pakej Belanjawan negeri yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini.
“Teruja apabila sesi libat urus berkenaan mendapat sambutan yang baik – hampir 500 peserta hadir – dan menunjukkan budaya keusahawanan di Pahang sangat subur,” katanya.
Amizar berharap melalui sesi libat urus itu akan memberi nilai tambah kepada usahawan sedia ada dan bakal usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang berkenaan.
“Insya ALLAH… kita turun ke daerah-daerah lain pula untuk sama-sama berkongsi dan menerangkan perkara yang baik daripada Kerajaan Pahang,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUKSIS – UKM beri peluang pelatih babit aktiviti PJMM
Foto : Mohd Padzil (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama-sama warga emas dan Kor SUKSIS UKM selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat “Bakti Murni’ di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
PROGRAM khidmat masyarakat “Bakti Murni’ anjuran Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu memberi input positif kepada keseluruhan pelatihnya yang terbabit dalam aktiviti di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC), Mohd Padzil Mohd Zain, berkata bertepatan dengan slogan program berkenaan ‘Sentuhan Kasih Menjalin Ikatan’ merupakan inisiatif terbaik mengeratkan hubungan antara pelatih dengan warga emas yang disantuni.
Menurutnya, melalui aktiviti yang dilaksanakan secara bergotong-royong antara pelatih pula secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama yang tinggi sekali gus membuktikan kerja berpasukan amat penting dalam melakukan tugas untuk kebaikan orang lain.
Mohd Padzil menyampaikan sijil penghargaan dan terima kasih kepada Mohiadin sambil diperhatikan oleh Sazali Mohiden (kanan).
Tambahnya, sikap itu juga ibarat pepatah ‘tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah’ iaitu memuliakan orang lain merupakan satu tanggungjawab yang diharapkan menjadi amalan pelatih untuk sentiasa dikongsikan demi membawa kebaikan dalam kehidupan.
“Prihatin terhadap orang lain dan memupuk amalan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti setempat tanpa mengira umur, bangsa, kaum, agama serta latar belakang wajar dipelihara di mana sekalipun berada,” ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan di PJMM pada 8 Jun 2024.
Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Turus Koordinasi Sumber Sokongan JPJKK, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintenden Polis, S Suzana S Abdullah; Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UKM, Asisten Superintenden Polis (ASP), Siti Zam Zarina Ali; Pegawai Latihan Akademik Kor SUKSIS UKM, ASP Kor SUKSIS, Dr Frankie Marcus Ata; Pegawai Latihan Kor SUKSIS UKM, Inspektor Abdul Hadi Zainudin; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pengurus PJMM, Sazali Mohiden.
Sementara itu, Ketua Pengarah program berkenaan, Muhammad Firdaus Al Iman Abdullah Taib, berkata program itu merupakan aktiviti kali pertama Kor SUKSIS yang membabitkan pusat jagaan atau rumah kebajikan kerana sebelum ini mereka lebih kepada aktiviti beruniform seperti berkawad dan menembak ke arah membina jati diri.
Menurutnya, 58 ahli Skuad 18 yang terbabit dalam program itu agak terkejut dan terkedu seketika apabila melihat keadaan warga emas yang menghuni PJMM sebagai tempat berlindung ke akhir hayat selepas disisih oleh ahli keluarga, hidup sebatang kara, mualaf dan orang kelainan upaya (OKU).
Tambahnya, mereka berpandangan antara satu sama lain dan berasa sebak apabila dimaklumkan sebilangan besar warga emas yang berlindung di PJMM dibuang oleh keluarga sendiri termasuk anak, dibiarkan di hospital tanpa dituntut selepas selesai menerima rawatan serta tinggal sehelai sepinggan selepas harta dirampas oleh ahli keluarga atau saudara mara.
Jelasnya, situasi itu memberi dorongan dan semangat kepada ahli Kor SUKSIS untuk bersungguh-sungguh penuh berdisiplin melakukan pelbagai aktiviti gotong-royong seperti membersih bilik warga emas dengan menyapu sampah, mengelap lantai, mencuci peralatan di dapur, surau, tandas serta persekitaran PJMM.
“Ini amat memberi keinsafan kepada kami semua walaupun sibuk dengan aktiviti di universiti termasuk menelaah pelajaran seharusnya tidak melupai bagi menabur bakti atau membuat kebaikan untuk mereka yang berada di luar khususnya warga emas di pusat jagaan atau rumah kebajikan.
“Kami berasa bersyukur dengan menyertai Kor SUKSIS ini rupanya memberi peluang untuk menyantuni mereka yang memerlukan sokongan atau bantuan serta mendidik untuk menjadi seorang pelajar memiliki hati mulia.
“Program ini juga menjadi kami bijak untuk menguruskan diri malah menjadi lebih berdisiplin apabila diberikan tugas melayani warga emas yang amat merindui keramahan dan celoteh seorang anak selepas terasing di PJMM sekian lama,” ujarnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Dr Md Amin (tiga dari kiri) bersama pengurusan tertinggi UPSI selepas melancarkan aplikasi GeoAttendance di Dewan Tuanku Canselor UPSI, baru-baru ini.
UPSI lancar aplikasi GeoAttendance
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menerusi Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) UPSI, melancarkan aplikasi GeoAttendance bagi memantapkan sistem kehadiran staf dan pelajar.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berucap merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Perhimpunan Bulanan UPSI Bulan Jun 2024 di Dewan Tuanku Canselor UPSI turut menyempurnakan gimik perasmian aplikasi berkenaan pada 12 Jun 2024.
Beliau berkata, GeoAttendance sangat mudah digunakan, menjimatkan masa pengguna dan boleh dilaksanakan oleh mana-mana agensi.
Katanya, UPSI menjadi Universiti Awam pertama yang mengintegrasikan aplikasi mobil untuk merekodkan kehadiran harian dan aktiviti dalam universiti secara Global Positioning System (Sistem Penentududukan Global atau GPS) yang mana data kehadiran akan terus dimuat naik ke dalam pangkalan data utama universiti.
“Sistem ini efisyen untuk pengurusan kehadiran harian ke pejabat dan aktiviti rasmi universiti menggunakan aplikasi mobil berikutan diintegrasikan dengan teknologi GPS,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad, pula berkata GeoAttendance itu turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan pemalsuan lokasi GPS oleh pengguna.
Menurutnya, inovasi yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman itu selaras dengan pendigitalan proses kerja di UPSI.
Penggunaan GeoAttendance ini, katanya, merupakan alternatif bagi menggantikan kaedah merekod kehadiran harian menggunakan menggunakan kad pintar dan kod QR sebelum ini.
Tambah beliau, setiap pentadbir program juga boleh mengaplikasikan GeoAttendance itu bagi tujuan merekod kehadiran aktiviti atau program universiti menerusi aplikasi mobil universiti iaitu Quick And Response Integrated System (MyQRIS).
“Inovasi yang dilaksanakan ini turut memberi manfaat kepada warga UPSI serta mengalu-alukan kolaborasi dengan mana-mana agensi untuk mendapatkan maklumat dan melaksanakan aplikasi berkenaan, “katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dihimpit jutaan jemaah, baru dapat cium Hajar Aswad
MAKKAH – Hampir putus asa selepas tiga kali berulang untuk mencium Hajar Aswad, namun ia tidak mematahkan semangat dan impian Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud.
Dia berkata, ketika kunjungan ke situ sepanjang tiga hari, kawasan berkenaan terlalu sesak dengan jutaan jemaah haji dari seluruh dunia.
“Namun saya tidak berputus asa dan membuat solat hajat di depan Kaabah.
“Saya memohon agar dipermudahkan hasrat untuk mengucup Hajar Aswad.
“Alhamdulillah… akhirnya doa saya diperkenan dan berjaya juga mengucup Hajar Aswad pada hari ke-empat,” katanya.
Razak bagaimanapun memberitahu, pengalaman ketika selesai mengucup Hajar Aswad menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Katanya, dia terperangkap kira-kira 10 minit ketika cuba keluar dari kawasan menempatkan Hajar Aswad.
“Ketika nak masuk, memang tiada masalah… memang dipermudahkan sungguh.
“Tapi ketika selesai dan nak keluar… saya terhimpit… dihimpit oleh ribuan jemaah lain yang sedang berebut untuk mencium Hajar Aswad,” katanya lagi.
Dia bersyukur kerana berjaya ditarik keluar dari kawasan itu oleh seorang jemaah lelaki dari negara Afrika.
Katanya, lelaki itu juga meminta maaf kerana turut berebut dengan jemaah lain untuk memasuki kawasan Hajar Aswad.
“Lega apabila dapat keluar… saya dah rasa sesak nafas… ini semua sudah diatur oleh Allah.
“Saya rasa cukup bertuah kerana sempat mengucup Hajar Aswad… tak boleh nak gambar dengan kata-kata… tapi rasa tenang jiwa apabila mengucup Hajar Aswad.
“Patutlah ramai jemaah berebut untuk mengucupnya… dan saya sangat bertuah kerana diizinkan Allah dan dapat mendekati Hajar Aswad,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!