Foto atas : Perodua Axia yang terbabit dalam kemalangan itu di Jalan Keratong-Bahau malam tadi. -JBPM
Tiga maut dalam kemalangan libat 3 kenderaan di Rompin
ROMPIN – Tiga maut dalam kemalangan yang yang melibatkan sebuah treler dan dua kereta manakala empat lagi cedera di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, kira-kira pada jam 9.00 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, kejadian itu meragut nyawa Abdul Raziz Mohdal, 40, Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan Zairulzaimy Jambi, 18.
“Siasatan awal mendapati sebuah treler yang datang dari arah Kuantan menghala ke Segamat, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.
Sebuah Proton Iswara yang terlibat dalam kemalangan yang melibatkan 3 kenderaan dan maut, malam tadi.
“Kemalangan itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia dan terus terjatuh ke dalam cerun di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azahari berkata, akibat kemalangan itu, kelindan treler, Abdul Raziz; pemandu Proton Iswara, Mohd Khairol; dan penumpang belakang Iswara, Zairulzaimy meninggal dunia di tempat kejadian.
“Empat mangsa lain iaitu pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia yang cedera dihanatar ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) MUadzam Shah dan BBP Chini, Pekan ke lokasi kemalangan untuk operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Kalsom Abu Bakar (depan tengah) bersama ahli Persatuan Amal Bakti N9 ketika mengadakan program komuniti di Sekolah Kebangsaan Inas, Johol, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Program Roti Canai Mat Kilau seri program komuniti PJMM
Persatuan Amal Bakti Negeri Sembilan bersama beberapa pasukan sukarelawan melaksanakan program komuniti pada Majlis Tebaran Roti Canai Mat Kilau anjuran Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan enam tahun lalu itu memang cukup popular di Negeri Sembilan kerana aktif dalam pelbagai kerja amal serta kebajikan bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan.
Kalsom Abu Bakar
Pengerusinya, Kalsom Abu Bakar berkata, persatuannya terpanggil untuk menyertai program itu bagi menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada warga emas tersisih tanpa waris di pusat jagaan itu.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh pengurusan PJMM, majlis itu juga salah satu usaha mencari dana bagi membantu operasi pusat berkenaan kerana warga emas ditempatkan di situ tidak dikenakan sebarang bayaran dan bergantung infak dan sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada orang ramai.
“Persatuan hadir bersama pasukan dari hospital, pusat kesihatan dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung, pap smear, gigi, derma darah dan sebagainya.
Pengerusi Persatuan Amal Bakti Negeri Sembilan, Kalsom Abu Bakar (kiri) menyerahkan sumbangan kipas pengudaraan haba kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman (kanan).
“Dalam program komuniti yang membabit persatuan ini, pasukan kesihatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Negeri Sembilan sering terbabit sama di samping pusat kesihatan di kawasan terbabit bagi memudahkan komuniti setempat membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Katanya, persatuan teruja dapat membabitkan ahli dalam majlis di PJMM yang terletak luar dari Negeri Sembilan selain memberi pengalaman baharu untuk aktif di negeri lain dalam memperluaskan kerja kebajikan membantu komuniti yang memerlukan pembelaan.
Turut hadir pada mesyuarat itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; wakil Pusat Jagaan Insan; Persatuan Persilatan Putraja; Persatuan Kraf Tangan; dan sukarelawan pelbagai pertubuhan.
“Persatuan turut menyerahkan sumbangan tiga kipas pengudaraan haba dan beberapa barangan keperluan kepada pengurusan PJMM sebagai membantu melengkapkan kemudahan asas bangunan pusat jagaan berkenaan,” katanya.
Manakala Muhammad Syafiq pula berkata, bersempena kehebatan filem Mat Kilau yang sedang ditayangkan di pawagam, pusat jagaan mengambil peluang menggunakan nama Mat Kilau untuk majlis itu bagi menyuntik semangat warga emas yang teruja emosi apabila melihat promosi melalui televisyen.
Menurutnya, walaupun uzur dan menghidap pelbagai penyakit tetapi reaksi warga emas itu yang turut ghairah bercerita antara mereka mengenai filem Mat Kilau menimbulkan anggapan mungkin ada dalam kalangan mereka memiliki kemahiran dalam ilmu persilatan ketika muda dahulu.
“Majlis ini juga membuka peluang kepada orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi melihat secara dekat kehidupan warga emas di PJMM yang tidak berkeluarga, menyantuni mereka dengan bertanya khabar dan sebagainya bagi mengubati kesunyian mereka,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Mahdzir Khalid bertanya khabar kepada salah seorang pelajar yang berjaya dipilih untuk melanjutkan pengajian ke universiti terbaik dunia tajaan MARA.
1,246 PELAJAR TAJAAN MARA KE LUAR NEGARA MULAI SEPTEMBER INI
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA), meneruskan penajaan 1,246 pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke universiti terbaik dunia dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, daripada jumlah itu, seramai 690 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dan 217 ke Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, daripada jumlah itu, seramai 690 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dan 217 ke Amerika Syarikat (AS).
“MARA akan terus menyediakan peruntukan bagi menaja pengajian pelajar-pelajar cemerlang yang akan memberi manfaat kepada ribuan pelajar setiap tahun di bawah skim pinjaman boleh ubah bagi pengajian di dalam dan luar negara.
“Antara program penajaan yang ditawarkan adalah Young Talent Development Programme (YTP), Graduate Excellence Programme (GREP), Program Pembangunan Profesional (Pro-P), IPMA Excellent Students Programme (IESP) dan MARA Education Sponsorship Hybrid (MESH)”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra Pelepasan Pelajar Ke Luar Negara (Know Before You Go) di sini hari ini .
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Jelas Mahdzir, selain UK dan AS, MARA turut menghantar pelajarnya ke Rusia seramai 84 orang, Australia 66 orang, India 50 orang, Perancis 47 orang, Ireland 34 orang, Sepanyol 16 orang, New Zealand 15 orang, Belanda 3 orang, Jordan 2 orang dan Jerman, Sweden serta Korea Selatan masing-masing satu orang pelajar.
Kesemua pelajar terbabit kini sedang menjalani program persiapan diri dan akan berlepas ke negara tersebut secara berperingkat bermula September depan.
Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke luar negara (Know Before You Go) antaranya adalah bagi memberi pendedahan dan penerangan berkenaan urusan konsular oleh Bahagian Konsular Wisma Putra.
Selain taklimat ancaman keselamatan dan ekstremis oleh Polis Diraja Malaysia, taklimat urusan di lapangan terbang, urusan kewangan dan prosedur yang perlu dipatuhi semasa menjadi pelajar tajaan MARA di luar negara nanti.
“Kesemua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara adalah berdasarkan keputusan yang cemerlang semasa mengikuti pengajian persediaan seperti A-Level, International Baccalaureate, American Degree Transfer Program, Diploma, Foundation serta Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.”
Pelajar terbabit tambah Mahdzir, sebelum ini juga telah menghadiri Program Pemantapan Karisma yang diadakan selama 3 hari termasuk pendedahan berkaitan prinsip utama konsep kenegaraan bagi memahami kepentingan Kerajaan dalam pentadbiran Malaysia.
Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Selain itu, program tersebut juga bertujuan memupuk aspek kepimpinan dalam diri setiap pelajar bagi menghasilkan generasi yang mempunyai potensi dan berkemahiran tinggi.
“MARA akan terus melahirkan golongan pelajar yang peka tentang konsep berkerajaan serta mengetahui dasar-dasar negara berpandukan perlembagaan persekutuan dan prinsip rukun negara,” kata Mahdzir.
Untuk rekod, MARA kini mempunyai sejumlah 3,229 orang pelajar tajaannya di 19 buah negara dan kesemua mereka melanjutkan pengajian di 50 universiti terbaik dunia mengikut QS Ranking 2022 dan 20 terbaik mengikut kedudukan kursus yang ditawarkan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Mayat Amiruddin Asyraf Mat Saman ditemui pada jarak 1.5 kilometer dari tempat kejadian pagi ini.
Mayat pemancing yang dihanyut air deras di Loji Empangan Semantan ditemui
BENTONG – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memancing di Loji Air Semantan, Lanchang, di sini dan dihanyutkan air deras Selasa lalu, ditemui lemas hari ini.
Mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26 tahun, bersama seorang rakannya pergi memancing di situ dipercayai gagal menyelamatkan diri dengan memanjat di sebuah batu besar di tengah sungai ketika tiba-tiba paras air loji naik mendadak dan mengalir deras.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 pada 10.28 pagi ini.
Menurutnya, seramai 55 anggota JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela serta orang awam turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini.
“Kita menemui mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian. Mayat dibawa keluar dari sungai terbabit untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Operasi SAR masih gagal menemui mangsa yang dikhuatiri lemas setelah memulakan pencarian pada jam 8.00 pagi hari ini dan akan bersambung pagi esuk.
BENTONG – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikhuatiri lemas ketika memancing di Loji Empangan Semantan, Karak, Bentong, kira-kira jam 7.00 petang, pada 2 Ogos 2022.
Mangsa yang belum ditemui, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26 tahun, dipercayai gagal menyelamatkan diri dengan memanjat di sebuah batu besar ketika tiba-tiba paras air loji naik mendadak dan mengalir deras.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa dan seorang rakannya telah pergi memancing di kawasan loji pada hari tersebut.
“Menurut maklumat awal daripada rakan mangsa yang terselamat, Yuhanif Abd Mushalleh (32), ketika memancing, paras air loji itu naik mendadak dan mengalir deras.
“Rakan mangsa yang terselamat berjaya memanjat di sebuah batu besar dan mangsa yang masih belum ditemui gagal memanjat batu besar itu dan dipercayai tergelincir terus dihanyut air deras,” katanya hari ini.
Katanya, anggota polis dari Balai Polis Karak telah pergi ke tempat kejadian setelah menerima maklumat dan Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong turut menerima panggilan dan dimaklumkan dua orang lelaki warganegara tempatan, berusia 26 tahun dan 32 tahun dikhuatiri lemas di loji itu.
“Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, rakan mangsa yang terselamat berdiri di atas batu besar di tengah sungai dan berjaya diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui mangsa yang masih hilang hari ini dan operasi mencari ditangguhkan pada 6.00 petang hari ini dan akan bersambung pagi esuk,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat, operasi SAR telah melangkaui jarak sejauh 2 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.
Seramai 55 orang terlibat dalam operasi pencarian, anggota Bomba dan Penyelamat 22 orang melibatkan 2 pegawai, 7 anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dan 12 SAR.
Turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, polis (7 orang), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 9 orang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) 2 orang, kakitangan East Coast Rail Link (ECRL) 5 orang dan dan orang awam 10 orang.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: semua peserta menerima taklimat sebelum memulakan perjalanan dengan tren ke Pantai Timur di Stesen Jerantut.
Dua sekolah anjur program hari keluarga guna tren ‘Jungle Railway’ ke pantai timur
JERANTUT – Dua buah sekolah menjadikan perkhidmatan keretapi dengan menaikki tren menghala ke Pasir Mas, Kelantan untuk program Hari keluarga Kelab Guru dan Kakitangan (KGKK) sekolah masing-masing, baru-baru ini.
Sekolah tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya dan SK Kuala Tahan berjumlah hampir 200 orang termasuk keluarga yang menyertai rombongan itu keliahtan sangat teruja.
Guru Besar SK Jerantut Jaya, Radziah Mohd Razali berkata, rombongan seramai 120 orang dengan menaikki tren amat jarang diadakan.
Memulakan perjalanan ke Pantai Timur.
‘Ketika cadangan untuk rombongan ke Pasir Mas dengan tren, ramai yang bersetuju kerana ada di antaranya tidak pernah naik tren ke pantai timur terutama anak-anak kakitangan.
“Terima kasih kepada penyelaras ini yang berjaya menjalankan program yang berjalan lancar dengan kerjasama yang baik daripada semua guru dan kakitangan,” katanya.
Guru Besar Sk Azman Abdulah Hashim berkata, pendekatan hari keluarga kali ini amat luar biasa kerana hampir semua tidak pernah naik tren.
“Tumpuan utama hari keluarga ke Kelantan adalah naik tren selain program sampingan apabila berada di sana.
“Semasa di Rantau Panjang dengan bas yang disewa, ada juga guru dan kakitangan mengambil peluang membeli-belah seperti alas tidur, periuk besar dan kuali,” katanya.
Penyelaras program SK Jerantut Jaya, Muhammad Najib Mohd Nawi berkata, perjalanan dari stesen Jerantut pada jam 5.08 pagi dan tiba ke Pasir Mas pada jam 12.24 tengah hari dan tiga buah bas menunggu mereka untuk ke Rantau Panjang.
“Alhamdulillah, perjalanan pergi dan balik berjalan lancar dan teratur, dan tiba di Stesen Jerantut pada jam 4.30 pagi hari berikutnya,”katanya.
Sempat merakamkan pemandangan di dalam tren.
Seorang guru, Bahriah Ramli berkata, sudah biasa dengan perkhidmatan komuter dan LRT, tetapi dengan tren ke pantai timur dengan jarak yang jauh dan masa perjalanan kira-kira 7 jam adalah kali pertama.
“Teruja juga naik tren ini, bebas boleh berjalan-jalan dalam gerabak, boleh minum di kafe dan bila waktu siang boleh menikmati pemandangan laluan tren ini yang dulu digelar “The Jungle Railway’, salah satu perjalanan keretapi di Asia Tenggara.
“Ia bermula dari Johor Bahru ke sempadan Malaysia-Thai, iaitu stesen terakhir di Tumpat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto: Kemalangan jalan raya di KM55, Jalan Central Spine (CSR) yang meragut nyawa seorang guru, petang semalam.
Guru SMK Gaal, Pasir Putih maut dalam kemalangan di CSR, Lipis
LIPIS – Seorang guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, Pasir Putih, Kelantan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 55, Jalan Central Spine (CSR) Lipis ke Merapoh dekat sini pada jam 5.50 petang semalam.
Guru tersebut, Faudin Ibrahim, 59 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Corolla Altis, nombor plet WB606G turut ditemani isterinya dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Pasir Putih.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dipercayai pemandu kereta itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan serta melanggar besi penghadang jalan.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Faudin dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar besi penghadang.
“Akibat kemalangan ini, pemandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala isterinya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, punca kematian belum diketahui kerana sedang menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum dibedah siasat.
“Kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu mangsa mengalami kerosakan bahagian hadapan dan calar di sebelah kiri. Kejadian ini berlaku di jalan lurus, dua lorong satu hala dan garisan putus-putus sebagai pembahagi lorong serta keadaan cuaca baik dan jalan kering.
“Kes kemalangan itu akan disiasat di bawah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Rumah mangsa yang terbakar di Felda Jengka 10, pada 23 Jun lalu.
Warga Felda kutip sumbangan bantu mangsa rumah terbakar di Felda Jengka 10
JERANTUT – Warga Felda Jengka 10 membuat kutipan sumbangan untuk membantu keluarga mangsa kejadian rumah terbakar di Felda Jengka Sepuluh yang berlaku pada 23 Jun lalu.
Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, keprihatinan warga Felda Wilayah Jengka sangat dipuji kerana turut membantu ‘keluarganya’ yang ditimpa musibah.
Razak Daud (kanan) menyerahkan sumbangan daripada warga Felda kepada mangsa rumah terbakar, Siti Aishah Nor. Turut serta Ketua Peneroka Jengka 10, Jantan Mat Saman (kiri)
“Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri dalam konsep Keluarga Malaysia yang salah satu sering membantu antara satu sama lain, khususnya yang ditimpa musibah, “katanya.
Ketua Peneroka Jengka Sepuluh, Jantan Mat Saman berkata, rumah itu milik Siti Aishah Nor yang berlaku kebakaran baru-baru ini.
“Sebagai keluarga Felda Jengka 10, kami turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga ini kerana rumahnya hangus dijilat api.
“Sebuah keretanya turut rosak di bahagian belakang kerana bahang yang yang terlalu panas berdekatan kereta itu semasa kejadian,” katanya.
Kepada yang sudi menghulurkan bantuan boleh salurkan kepada Nurul Amira Sazliana Basiran (anak mangsa rumah terbakar) di akaun Maybank 156-141-358-801 dan boleh hubungi di nombor 018- 8707687.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Treler masuk gaung, dua pemandu terselamat di Lebuhraya KLK
BENTONG – Dua orang pemandu treler warga tempatan terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 43.3, Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak, menghala ke arah timur pada 29 Julai, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dua pemandu treler tersebut masing-masing berusia 24 dan 30 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Bentong dan di hospital swasta.
Katanya, hasil siasatan, kejadian bermula sebuah treler dari Pelabuhan Klang menghala ke Kuantan dengan membawa muatan besi buruk telah hilang kawalan, treler itu terbabas dan terbalik kerana jalan licin kerana basah.
Kayu bergergaji tercampak di sekitar tempat kejadian. – Foto PDRM.
“Selang beberapa minit kejadian pertama, sebuah treler dengan membawa muatan kayu bergergaji dari arah belakang cuba mengelak ke kiri jalan.
“Akibatnya treler tersebut turut hilang kawalan dan melanggar batu penghadang jalan lalu terbalik dan masuk ke dalam gaung,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, kejadian itu dirakam dan turut tular di media sosial melalui akaun tik tok milik @eynaredho berdurasi 1 minit 18 saat.
“Pemandu lori treler besi buruk telah mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, tangan kiri dan kaki kanan dan mendapat rawatan di Hospital Bentong.
“Manakala, pemandu lori treler muatan kayu bergergaji pula mengalami kecederaan patah kaki dan tangan kanan, bahu kiri patah dan telah mendapat rawatan di hospital swasta,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, katanya, sebanyak 224 kes kemalangan yang berlaku KM 40 hingga KM50 yang dicatatkan sejak Januari hingga Julai 2022 yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan.
“Kemalangan yang melibatkan kereta sebanyak 164 kes, motosikal (14), lori (22) dan lain-lain sebanyak 22 kes sepanjang tempoh tersebut.
“Pengguna lebuh raya ini diharap sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan dan tanda jalan raya jika ada di kawasan itu,”katanya.-SAHIH.
Video Tiktok milik milik @eynaredho.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TAWAN GUNUNG TAHAN SEMPENA HARI KEPUTERAAN KDYMM SPB YDP AGONG
KUALA LIPIS – Cuaca hujan dan sejuk hampir setiap hari pendakian tidak melunturkan semangat 20 orang pendaki untuk menyelesaikan misi menawan Gunung Tahan sempena memuliakan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kumpulan pendaki yang dikenali sebagai Istana Abdul Aziz Fan ini memulakan pendakian pada 24 Julai lalu dan berjaya menawan puncak berketinggian 2,187 meter dalam ekspedisi selama lima hari empat malam itu.
Ketua ekspedisi, Mohd Nasuha Shamsuddin berkata, hujan sepanjang hari merupakan antara cabaran dalam pendakian ke puncak Gunung Tahan menerusi laluan Merapoh-Merapoh (M2M).
“Misi sejauh 64 kilometer turun dan naik gunung sememangnya mencabar kekuatan fizikal dan mental setiap pendaki apabila trek mendaki dan turun menjadi lebih licin terutamanya di kawasan berbatu dan banyak akar pokok.
“Alhamdulillah misi berjaya dibawa dan kami dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah dan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Al-Sultan Abdullah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda,” katanya.
Bercerita lanjut berkenaan misi ekspedisi berkenaan, Mohd Nasuha mewakili kumpulan pendaki turut menyampaikan penghargaan di atas sokongan baginda yang turut memberi kata-kata semangat atas usaha yang dilakukan.
“Sebagai rakyat negeri ini, sudah pasti kami gembira dengan sambutan Hari Keputeraan baginda dan mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan Tuanku agar sentiasa dilimpahi hidayah-Nya, juga beroleh ‘Afiah’ dan penuh kedaulatan.
“Tuanku adalah seorang figura Diraja yang berjiwa rakyat dan sudah pasti usaha kecil kami ini adalah untuk menzahirkan rasa kasih kami selaku rakyat terhadap pemerintahan Tuanku yang kami sanjungi,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!