Seorang wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa muatan kelapa sawit di Jalan Selendang, dekat Kuala Rompin, pagi tadi.
Mangsa, Nur Natrah Daharuddin, 26, disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan dipandunya itu.
Berdasarkan alamat pada kad pengenalan mangsa, dia berasal dari FELDA Selendang, dekat Kuala Rompin, Pahang.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan jam 9.43 pagi.
“Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin terbabit dalam operasi itu.
“Mangsa maut berjaya dikeluarkan dari kenderaan menggunakan ‘rescue tools’ manakala seorang lelaki dipercayai pemandu lori sawit yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Zulfadli berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan siasatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Seorang penunggang motosikal maut dihempap pokok yang tumbang di Kilometer 67.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur pada jam 7.20 petang, hari ini.
Mangsa terperangkap di dalam timbunan pokok tumbang.-Foto BBP Bentong.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk mengeluarkan mangsa yang berada di bawah timbunan pokok yang tumbang.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa, Muhammad Mustaqim Noor Azhar berusia 21 tahun, melalui kad pengenalannya beralamat di Taman Hijau, Karak.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Nik Rizal Kamil (tengah) bersama-sama kakitangan RHB Bank yang menyertai program di PJMM.
SEMENYIH – Lapan puluh kakitangan RHB Bank menyantuni penghuni dalam kalangan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Perbankan RHB Bank, Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil berkata, selaras dengan tema RHB Touch Hearts 2022 ‘Making Progress Happen for Everyone’, inisiatif Touch Hearts 2022 Group Finance, program itu dinamakan “Let us Bring Happiness To the Old Folks Home” membabitkan kakitangan dari RHB Bank Centre, Cawangan Bangi, Selangor
Katanya, beliau melahirkan rasa bersyukur apabila dapat bersama-sama kakitangan RHB Bank untuk menyantuni warga emas di PJMM walaupun sibuk dengan tugas rutin harian namun mereka tidak pernah lupa kepada insan yang kurang bernasib baik dan ditimpa musibah.
“Walaupun sumbangan yang disalurkan itu tidak seberapa namun memberi motivasi kepada kakitangan RHB Bank untuk turut berasa bertanggungjawab memberi keselesaan kepada warga emas terutama yang uzur meneruskan kehidupan.
“Pastinya program sedemikian mengukuhkan lagi inspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan,” katanya.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafid Mohiadin; dan beberapa pegawai RHB Bank yang terbabit.
Ketua Program, Noraini Malik, berkata program berkenaan bertujuan untuk menggembirakan warga emas dan meringankan bebanan tekanan perasaan mereka melalui pelbagai aktiviti, seperti gotong-royong, mendirikan taman mini, sesi karaoke bersama-sama warga emas serta melukis.
“Bersesuaian dengan program itu RHB Bank turut menyumbangkan 10 kipas pengudaraan, empat set meja batu, goodie beg, beberapa barangan keperluan asas untuk warga emas serta wang tunai.
“Sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan semua kakitangan RHB Bank yang berasa amat terharu apabila dapat menyantuni warga emas walaupun hanya seketika waktu sahaja yang sekurang kurangnya dapat menggembirakan hati mereka,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PRU15 – Sebarang keputusan UMNO akan lalui MKT dan Biro Politik
KUALA NERANG – Sebarang ketetapan yang diputuskan UMNO termasuk berkaitan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), perlu melalui Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebarang perkara berbangkit akan melalui proses mengikut struktur dalam parti itu untuk diputuskan.
“Dia parti (UMNO), ini semua keputusan parti (perlu) melalui proses struktur dalam parti, dalam parti ada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sebelum MKT itu ada Biro Politik dan Majlis Tertinggi akan buat sebarang keputusan tentang apa jua keputusan berkaitan parti, keputusan (mengenai kerjasama PAS itu).
“(Saya rasa akan) dibuat Majlis Tertinggi, dalam masa terdekat, (mengenai tarikh PRU15), (Top 5 UMNO) belum (lagi bincang).”
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Kompleks Ternakan Ayam FELCRA di Kampung Kubang Palas, di sini hari ini.
Jelas Mahdzir, perbincangan mengenai kerjasama parti itu dengan PAS juga akan diadakan dalam masa terdekat namun tarikh perbincangan itu masih belum diputuskan.
Tambahnya, ‘Top 5’ UMNO yang melibatkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden juga masih belum mengadakan perbincangan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, cadangan agar perbincangan dijalankan di antara UMNO dan PAS mengenai 27 kerusi kritikal menjelang PRU15 akan datang perlu diberi perhatian.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, menjelaskan, cadangan terbabit perlu diperhalusi dan dibincang secara rasmi oleh UMNO.
Sebarang keputusan katanya, hanya akan dibuat oleh Mesyuaray MKT UMNO jika mereka bersetuju.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CAMERON HIGHLANDS – Kakitangan AmanahRaya Berhad dan Jabatan Hutan Cameron Highlands mengambil inisiatif menanam 101 pokok di kawasan bukit setinggi 1,800 meter dari aras laut di Hutan Simpan Ulu Bertam, dekat sini, semalam.
Datuk Ramli Mohd Nor turut menanam pokok di atas bukit Hutan Simpan Ulu Bertam, semalam
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor berkata penanaman pokok di kawasan tanah tinggi itu adalah usaha serius kerajaan negeri menangani kesan perubahan iklim dan dapat mengurangkan risiko bencana alam untuk keselesaan penduduk menikmati sebuah kehidupan yang sejahtera.
Beliau berkata, selain program penanaman pokok itu bertujuan untuk kesedaran rakyat serta usaha mengekalkan kawasan hijau sebagai satu agenda nasional menerusi penyertaan dan kesedaran penjagaan alam sekitar oleh semua pihak.
“Seramai 82 puluh dua kaki tangan Ibu Pejabat AmanahRaya Berhad (AmanahRaya) dan Jabatan Perhutanan Cameron Highlands telah menanam 101 pokok pada ketinggian 1,800 meter dari aras laut, di hutan di sini.
Antara kakitangan Amanah Raya yang turut sertai AmanahRaya 101 Legacy Trees.
“Sebanyak 101 benih pokok warisan hutan spesies Eucalyptus, Damar Minyak dan Cempaka Hitam di tanam di kawasan ini kerana pokok ini sesuai di kawasan tanah tinggi, ” katanya kepada media di Hutan Simpan Ulu Bertam, Tanah Rata di sini, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi AmanahRaya Berhad berkata, badan amanah tertua negara ini mengambil inisiatif terbaik sebagai menyokong Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 juta pokok.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan, Jabatan Perhutanan Pahang, Rosilan Said, Pegawai Perhutanan Daerah Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi, Penolong Pengarah Silvikultur Pahang Barat, Wan Ghazali Wan Ali
“Program CSR kali kedua pada tahun ini bertemakan AmanahRaya 101 Legacy Trees antara aktiviti Jabatan Perhutanan yang menyasarkan tanaman sebanyak 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun ini.
“Selain pemilihan 101 anak pokok warisan hutan ditanam di kawasan seluas satu hektar, penanaman itu merupakan simbolik bagi usia penubuhan AmanahRaya selaku Pemegang Amanah utama di negara ini,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha menjaga alam semula jadi khususnya mengimbangi ekosistem untuk generasi pada masa akan datang selaras dengan objektif produk perkhidmatan teras AmanahRaya, iaitu Perancangan Warisan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kejadian tersepit di mesin. (gambar hiasan)
Lelaki tempatan maut lengan tersepit mesin kilang getah
JERANTUT – Seorang buruh lelaki tempatan berusia 39 tahun di sebuah kilang getah dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian apabila tangan kiri mangsa terputus sepenuhnya kerana tersangkut pada mesin memproses getah, pada jam 3.00 petang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerjanya dan tiba-tiba tangan kirinya termasuk dan terlekat pada mesin sehingga ke lengan.
“Anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Jerantut berjaya mengeluarkan mangsa daripada mesin dan didapati lengan tangan kiri mangsa terputus sepenuhnya.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.
Katanya, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Unit Forensik, Hospital Jerantut dapati punca kematian “Hypovolemic Shock Due To Industrial Injury” (Kehilangan darah yang banyak akibat kecederaan di tempat kerja).
“Jenazah disolatkan di Surau Perumahan Ibupejabat Polis Daerah Jerantut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mat Kilau, pada jam 12 tengah malam.
“Diharap orang ramai yang bekerja melibatkan mesin dan jentera berat sentiasa berhati-hati semasa melakukan kerja dengan mematuhi semua prosedur kerja dengan baik bagi menggelak daripada kemalangan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Aizuddin juara tangkap ikan baung ekor merah seberat 19.38 kilogram
JERANTUT – Seorang nelayan sungai Kampung Pedah di sini, Mohd Aizuddin Rahimi berjaya menangkap seekor ikan baung ekor merah seberat 19.38 kilogram dan membawa pulang hadiah berjumlah RM3,000.
Mohd Aizuddin Rahimi muncul juara kerana berjaya menangkap seekor ikan baung ekor merah seberat 19.38 kilogram
Manakala, Mohd Nor Fariz Ady dari Kampung Gintong menangkap spesies yang sama seberat 14.10 kilogram di tempat kedua dengan memperoleh hadiah RM1,500 dan tempat ketiga, Khairul Anuar Osman dari Kampung Tebing Tinggi dengan ikan yang sama seberat 13.89 kilogram (RM1,000).
Sebanyak 50 ekor ikan pemangsa, iaitu baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides) seberat 296.23 kilogram ditangkap oleh seramai 170 orang peserta dalam tempoh 24 jam sempena pertandingan Moh Buru Baung Ekor Merah di Jerantut Feri di sini hari ini.
Rosli Aziz Chan menang RM2,000 kategori tangkapan ikan baung ekor merah terbanyak.
Selain itu, bagi kategori tangkapan ikan baung ekor merah terbanyak dimenangi oleh Rosli Aziz Chan dari Kampung Jerantut Feri dengan hadiah bernilai RM2,000 memperoleh sebanyak 18 ekor dan seramai tujuh orang peserta memenangi hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM300 dalam pertandingan yang menawarkan keseluruhan hadiah bernilai RM7,800.
Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan penyampaiannya oleh Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Muhammad Nur Ashri Bassari.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Jerantut dan Jabatan Perikanan Pahang bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung selama 48 jam dengan hanya membenarkan peserta menangkap ikan baung ekor merah di kawasan perairan utama, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Pahang di daerah ini.
Pememang pertama, Mohd Aizuddin berkata, dia memasang sebanyak 40 batang tajur dengan umpan anak ikan keli di tebing Sungai Pahang berdekatan Kampung Pedah sejak pertandingan bermula pukul 11 pagi semalam.
“Pada mulanya saya tidak mengharapkan memperoleh ikan baung ekor merah seberat ini memandangkan sebelum ini cuma dapat menangkap spesies pemangsa ini di Sungai Pahang cuma seberatnya kurang 10 kilogram.
“Lebih kurang 10 jam memasang tajur, saya kembali semula ke tepi sungai ini dan terkejut mendapati seekor ikan yang besar meronta di permukaan air di sebatang alat tangkapan ini,” katanya di Jerantut Feri dekat sini.
Katanya, setelah ikan tangkapannya ditimbang oleh penganjur termasuk hasil tangkapan peserta lain, ikan saya paling berat sekali, iaitu 19.38 kilogram sekali gus diisytiharkan sebagai pemenang pertama,” katanya.
Pemenang tangkapan ikan terbanyak, Rosli Aziz Chan berkata dia dan sahabatnya memasang 190 tajur dengan mengikat pada ranting pokok di tepi sungai berdekatan Kampung Tebing Tinggi, dekat sini selain tajur biasa memperolehi 18 ekor ikan.
“Saya teruja apabila mengetahui pertandingan memburu ikan baung ekor merah yang ganas dan agresif berasal Sungai Mekong, Vietnam sebagai pemangsa dan makan ikan asal tempatan di sungai di sini.
“Bagus juga pertandingan ini diadakan untuk menghapus atau menggurangkan jumlah ikan yang memusnahkan ikan seperti patin, temoleh, jelawat, kerai, lampam, ikan kenerak dan lain-lain spesies ikan asal,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SPNB cadang kerajaan negeri bantu kos tambahan untuk ringan beban kontraktor
JERANTUT – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengkaji cadangan kos tambahan diberikan kepada kontraktor Rumah Mesra Rakyat yang terbabit dengan projek pembinaan di kawasan pedalaman seluruh negara berikutan kenaikan harga bahan binaan dan pengangkutan.
Pengerusi SPNB, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, perkara tersebut akan dibawa kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai cadangan itu memandangkan pihaknya mendapat banyak rungutan daripada kontraktor Bumiputera yang memperoleh cuma margin keuntungan atau lebihan pendapatan yang sedikit sesebuah projek.
“Kita sedia maklum kontraktor yang terbabit pembinaan Rumah Mesra Rakyat di kawasan pedalaman Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak berdepan masalah berikutan peningkatan kos bahan binaan termasuk rungutan mengenai jarak yang jauh ke pedalaman terpaksa merentas laluan sukar dan sungai untuk menyiapkan sesebuah projek.
“Saya banyak menerima laporan misalnya, sebanyak lapan buah Rumah Mesra Rakyat di pedalaman Kuala Tahan dan Ulu Tembeling belum dapat disiapkan kerana kurang mendapat sambutan dalam kalangan kontraktor kerana jarak perjalanan jauh, laluan sungai dan tidak mengntungkan,” katanya di sini hari ini.
Mohd Nizar berkata kepada media selepas Majlis Taklimat Rumah Mesra Rakyat kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JPKK) dan penyampaian sebanyak 66 buah Inden Kerja (projek) kepada kontraktor dan 48 orang pemilik rumah yang siap dibina daerah ini.
Katanya, rungutan kontraktor sudah diteliti dan kini cuma SPNB akan mengadakan perbincnagan dengan kementerian tersebut termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sama ada untuk mendapat kos tambahan bagi membantu kontraktor yang memperoleh inden kerja pembinaan itu di kawasan pedalaman.
“Kita memohon kerajaan negeri dan institusi kewangan dapat membantu kontraktor Bumiputera yang dipilih untuk projek ini di kawasan pedalaman supaya membolehkan projek ini siap mengikut jadual sebagai tanggungjawab menyediakan keselesaan tempat tinggal kepada pemilik rumah tersebut.
“SPNB juga memberikan kemudahan kepada kontraktor mengenai bayaran mengikut tiga fasa kemajuan pembinaan, iaitu selepas tiga minggu bayaran awal akan dibayar kepada mereka supaya dapat membantu meringankan kewangan untuk menyiapkan projek mengikut jadual,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pulau Diego Garcia berjaya ditawan orang Malaysia, semua terkejut
MH370 – Pulau Diego Garcia berjaya ditawan orang Malaysia, semua terkejut. Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial mengenai sebuah pulau tropika di Lautan Hindi yang dikenali sebagai Diego Garcia.
Ia ekoran beberapa foto yang dimuat naik oleh satu laman Facebook yang didakwa memaparkan wajah mirip penumpang pesawat MH370.
Menjadi trending di Facebook dan Twitter, rata-rata netizen dilihat mula membanjiri ruangan komen di akaun Facebook itu dan tidak kurang juga ada yang ‘menyerbu’ Google Map untuk menyunting nama lokasi di Diego Garcia.
Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, lokasi itu telah disunting dengan pelbagai nama seperti Myvi Warehouse, Irfan Bakar Campsite, Kedai Motor Ah Meng, Haikal Carwash, Pak Mat Western dan Pasar Malam Diego Garcia.
Gila laju betul orang Malaysia buat kerja
Ditonton lebih sejuta kali, video tersebut telah dihujani pelbagai komen dari netizen yang rata-ratanya terhibur.
Terdahulu, anak kepada Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari telah menafikan bahawa salah seorang lelaki di dalam gambar yang tular itu adalah bapanya.
Melalui kiriman di Instagram miliknya, Maira Elizabeth Nari menegaskan bahawa individu itu bukan bapanya.
“Hello, hari ini saya mendapat tahu bahawa orang di dalam gambar ini dikatakan adalah ayah saya atau mirip ayah saya.
“Saya ingin menjelaskan dia bukan bapa saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghubungi saya melalui “direct message” (DM) dan ingin memohon maaf kerana saya tidak dapat membalas satu-satu mesej.
Sumber : Oh Viral News
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Wanita selamba buang air kecil dalam MRT jadi kecoh, “dia ingat tandas ke”
SINGAPURA – Seorang wanita bertindak membuang air kecil dalam kereta api MRT di Singapura sehingga beberapa penumpang terkejut dengan perbuatan beliau, lapor AsiaOne.
Insiden ini berlaku pada Isnin, 29 Ogos lalu dalam kereta api laluan Utara-Selatan menuju ke stesen MRT Jurong East apabila orang ramai menyaksikan seorang wanita, yang kelihatan mabuk, terbaring melintang di tiga tempat duduk kereta api.
Aksi wanita berkenaan buang air kecil di dalam gerabak MRT
Ketika kereta api dalam perjalanan antara stesen MRT Choa Chu Kang dan Bukit Gombak, wanita ini, yang kelihatan seperti berusia lewat 20-an, tiba-tiba berdiri dan berjalan melalui tiga kabin kereta api, meninggalkan satu begnya.
Dia tidak memakai pelitup muka dan batuk dengan kuat.
Apabila dia tiba di kabin ketiga, dia pergi ke salah satu tempat duduk, menurunkan seluar dalamnya dan mencangkung untuk membuang air kecik. Tindakan beliau telah menyebabkan semua penumpang terkejut.
Selepas itu, wanita itu turun di stesen MRT Jurong East dan memutuskan untuk duduk di tangga eskalator menuju ke bawah – hanya berganjak apabila seorang lelaki menawarkan bantuan untuk beliau naik ke atas.
Apabila dihubungi oleh AsiaOne, SMRT menasihatkan penumpang supaya melaporkan sebarang tingkah laku, beg atau bungkusan yang mencurigakan dengan segera kepada kakitangan mereka.
Sumber : AsiaOne
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!