Kangar: Pemilik kedai makan berdepan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Majistret, di sini, atas dua pertuduhan mengedar ganja dan syabu awal bulan ini.
Tertuduh, Azharadziz Zainol, 37, bagaimanapun tidak direkodkan sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan Majistret Kamaliza Md Zain.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu ganja seberat 163.79 kilogram (kg) di sebuah rumah di Kampung Bohor Gandil, Jalan Raja Syed Alwi, Kangar pada 4 Ogos lalu jam 11.15 pagi.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu syabu seberat 3,139 gram (tiga kg) di rumah beralamat sama pada 5 Ogos lalu jam 1.45 tengah hari.
Sehubungan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, enam lagi suspek yang ditahan berkaitan kes pengedaran dadah berkenaan sudah dibebaskan sebelum ditahan semula untuk siasatan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985, lapor HM online
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengesahkan penahanan suspek berkenaan.
Minggu lalu, tujuh lelaki berusia 30 hingga 51 tahun ditahan di Perlis dan Selangor selepas didapati terbabit dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan syabu.
Dalam operasi itu, polis turut merampas dadah jenis ganja dan syabu bernilai RM603,920.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KES RASUAH KLIA, PEGAWAI IMIGRESEN WANITA DIDENDA RM3,000
Shah Alam: Seorang pegawai Imigresen didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tidak melaporkan tawaran rasuah RM25,000 bagi melepaskan kemasukan 80 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 2017.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Azma Azmin, 39, dan memerintahkan wanita itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Rozilah juga menasihati tertuduh tidak mengulangi jenayah rasuah kerana ia memberi impak besar kepada masyarakat dan negara serta berharap hukuman itu memberi keinsafan kepada tertuduh.
“Saya mahu kamu faham perkara ini serius, kamu boleh cegah apa yang berlaku. Bukannya (melepaskan) seorang tetapi 80 orang warga asing,” kata Rozilah kepada wanita itu yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Mengikut pertuduhan, Noor Azma yang bertugas sebagai pegawai Imigresen di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan KLIA ditawarkan wang suapan berjumlah RM25,000 secara tunai daripada seorang wanita sebagai upah membantu melepaskan warganegara China dan Pakistan dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Ia melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan tawaran suapan kepada pihak SPRM atau polis.
Noor Azma melakukan kesalahan itu di bangunan terminal KLIA, Sepang pada 2017 mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu peguam Norliana Ali Othman yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum atas alasan suami tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung tiga anak berumur empat bulan hingga lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd ‘Afif Mohd Ali memohon hukuman setimpal kerana kegiatan rasuah adalah satu kesalahan termasuk apabila gagal melaporkannya dan sebarang ketirisan memberi kesan kepada negara.
Berdasarkan fakta kes, Noor Azma yang berkhidmat di Jabatan Imigresen sejak 28 Oktober 2008 ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan masuk dan keluar penumpang warganegara, penduduk tetap dan warganegara asing di kaunter pemeriksaan Imigresen di KLIA, lapor Bernama
Tertuduh ditawarkan rasuah RM25,000 untuk melepaskan 80 orang warganegara China dan Pakistan yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan gagal melaporkan kegiatan rasuah itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DUA KE TALI GANTUNG, BUNUH RAKAN GARA-GARA BEREBUT TELUR PENYU
KUALA TERENGGANU: Dua pemungut telur penyu dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka dengan memukul menggunakan kayu dan dan topi keledar lima tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizol Aznan Muhamad, 40, dan Mohd Riduan Ismail, 32, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pendakwaan.
Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, laporan forensik jelas menunjukkan kecederaan di kepala, leher, dada dan perut berpadanan dengan kayu dan topi keledar yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Razak Abdullah yang ketika kejadian berusia 45 tahun di tepi pantai Geliga berhadapan sebuah sekolah di Chukai, Kemaman, jam 7 pagi pada 3 Jun 2016.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Intan Nor Hilwani Mat Rifin.
Sementara itu, tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail dan Masliela Ismail.
Dalam kejadian itu, dua tertuduh berselisih faham dengan seorang lelaki juga pemungut telur penyu.
Mangsa yang berada di lokasi menegur tindakan itu menyebabkan dua tertuduh bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan kayu dan topi keledar, lapor HM online
Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di leher, kepala, dada dan perut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEKAS MAJISTRET DIDAKWA TERIMA SUAPAN DIARAH BELA DIRI
KUANTAN: Seorang bekas majistret yang didakwa menerima suapan sebanyak RM210,000 kira-kira tiga tahun lalu, diarahkan membela diri di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohamad Amin Shahul Hamid, 40, didakwa. meminta dan menerima suapan itu daripada seorang ahli perniagaan antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.
Tertuduh mengaku tidak bersalah ketika sebutan kali pertama kes pada Disember 2019, di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohd Taib.
Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam, SN Rayer manakala pasukan pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai majistret di Mahkamah Raub dan Lipis, didakwa meminta suapan daripada Hasan Basri Ahmad Sutan Modo sebanyak RM100,000; RM35,000 dan RM50,000 pada 5 Julai serta 22 Oktober 2019.
Semua suapan itu adalah sebagai dorongan untuk mengenakan hukuman denda dan tidak mengenakan hukuman penjara ke atas Hasan Basri yang disabitkan kesalahan memiliki rokok seludup bernilai RM6,613.20 serta RM1,051.28.
Mohamad Amin juga didakwa menerima lima kali suapan, masing-masing sebanyak RM25,000 pada 9 Julai, 14 dan 15 Ogos serta 22 Oktober dan RM10,000 pada 26 September, di sekitar Raub dan daerah Lipis.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudiannya menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh tertuduh membela diri dan 19 November sebagai tarikh bagi hujahan akhir pembelaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEKAS PENGARAH SYARIKAT BUAT TUNTUTAN PALSU DIDENDA RM700,000
KUANTAN: Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan didenda RM700,000 selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.
Tertuduh, Lee Teh Hok, 66, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bera pada April 2014.
Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu sebagai tulen bagi projek naik taraf dan kerja tanah Jalan FT1510 Seksyen 1-18 Daerah Bera bernilai RM17.8 juta.
Wan Shaharuddin mencadangkan tertuduh dikenakan denda antara RM500,000 hingga RM1 juta, namun peguam mewakili tertuduh, Lim Kon Keen meminta mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan kerjasama diberikan sepanjang siasatan berjalan.
Kon Kean turut memaklumkan bahawa anak guamnya sudah bersara sejak tiga tahun lalu dan kini menghadapi pelbagai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan rawatan secara berterusan.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudiannya memutuskan tertuduh dikenakan denda RM700,000 atau dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda ditetapkan mahkamah itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BAPA AIN HUSNIZA RANCANG SAMAN SEMULA GURU RM5 JUTA – PEGUAM
Sungai Buloh: Bapa dan pelajar yang mendakwa guru pendidikan jasmani bergurau keterlaluan berkaitan melakukan perbuatan rogol akan membuat saman balas RM5 juta.
Peguam mereka, Datuk Sankara Nair berkata, berdasarkan surat tuntutan diterima pihaknya daripada guru terbabit, beliau menasihatkan anak guamnya untuk memfailkan saman balas.
“Saya sudah maklum melalui surat kepada peguam guru terbabit bahawa kami akan memfailkan tuntutan saman RM5 juta kerana sengaja menyebabkan tekanan emosi,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.
Terdahulu Ain Husniza Saiful Nizam, 17, dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab hadir di IPD Sungai Buloh kira-kira jam 5 petang untuk memberi keterangan berkaitan laporan polis yang dibuat guru berkenaan berhubung perkara itu, baru-baru ini.
Mereka turut ditemani Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Difahamkan Ain serta bapanya diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan mereka dilihat keluar dari IPD Sungai Buloh jam 6.15 petang selepas kira-kira hampir satu jam memberi keterangan.
Sementara itu, Ain berkata, dia hanya mahu jadikan sekolah sebagai persekitaran yang selamat dan sama sekali tidak pernah berniat untuk menghina mana-mana pihak dalam kenyataannya yang dibuat sebelum ini yang berkaitan guru pendidikan jasmaninya bergurau keterlaluan berkaitan melakukan perbuatan rogol, lapor HM online
“Ini adalah hak kami sebagai pelajar untuk mendapat persekitaran yang selamat di sekolah.
“Ketika keterangan saya dan bapa diambil, pihak polis sangat profesional dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan guru pendidikan jasmani yang didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol tidak diambil tindakan lanjut oleh polis yang selesai menjalankan siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki susulan kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan dirinya sebagai seorang guru pada 5 Mei lalu.
“Menerusi laporan dibuat lelaki terbabit, kenyataan itu dibuat oleh seorang pelajar perempuan di sekolah tempat pengadu bertugas semasa wawancara di media sosial sebuah akhbar tempatan pada 30 April lalu berkaitan isu guru pendidikan jasmani yang menyebut mengenai elemen rogol ketika proses pembelajaran di dalam kelas.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh memanggil pelajar berkenaan bersama bapanya untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan berkaitan aduan terhadap laporan polis dibuat pengadu terbabit.
“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Kedua-dua individu berkenaan hadir dengan ditemani oleh peguam, Datuk Sankara Nair dan Elyse Ng Zi Qian,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu media melaporkan polis menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.
Media 24 April lalu melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.
Ain mendakwa pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan terbabit.
Bagaimanapun, pelajar itu mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.
Malah kes itu tular di media sosial sehingga menjadi bualan ramai.
Pelajar terbabit turut berdepan tindakan saman RM1 juta selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENIAGA AYAM POSITIF HIV DIDAKWA ROGOL KEKASIH BAWAH UMUR
Pasir Mas: Peniaga ayam yang positif HIV didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap pertuduhan merogol remaja di bawah umur yang dipercayai kekasihnya, Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol kanak-kanak berusia 15 tahun tujuh bulan ketika kejadian dengan mengetahui bahawa dirinya menghidap HIV dalam sebuah Perodua Kembara di Jalan Kampung Laut 1, dekat Tumpat, pada waktu malam sekitar Mac 2021.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (i) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.
Terdahulu, peguam bela, Mohd Khuzaimi Mohd Salleh memohon supaya anak guamnya diberi ikat jamin.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh mengganggu mangsa yang sedang mengandung lima bulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta untuk serahan dokumen laporan perubatan, lapor HM online
Difahamkan, keluarga tertuduh membayar wang jaminan itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB: Lima pekebun durian musang king didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menceroboh kompartmen 175 Hutan Simpan Batu Talam, Raub, hari ini.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahya.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh diwakili peguam Samantha Chong Yin Xin dan Chong Kar Yan.
Empat individu iaitu Ka Nir,32 (Indonesia); Shah Ronny Rusly,46 (Indonesia); Chiah Kin Seng,54, dan Lavin Chieh Zhe Yueng, 21, didakwa memasuki hutan simpan pada 3 Julai lalu manakala Wong Than Fook,49, didakwa masuk dalam hutan simpan pada 8 Julai lalu.
Semua tertuduh didapati berada dan memasuki Hutan Simpan Kekal iaitu hutan tertutup tanpa sebarang permit masuk yang sah dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai oleh negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 47 (4) Enakmen yang sama.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Afidatul Azwa Kamarulanuar manakala tertuduh diwakili peguam Samantha Chong Yin Xin dan Chong Kar Yan.
Terdahulu Afidatul Azwa memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada tiga tertuduh warganegara Malaysia dan tidak membenarkan jaminan kepada dua warganegara Indonesia iaitu Ka Nir,32, dan Shah Ronny Rusly,46.
Bagaimanapun Samantha memohon jumlah jaminan dikurangkan dan jaminan turut diberikan kepada warga Indonesia memandangkan kesemua tertuduh mempunyai komitmen dan telah dibebaskan sebelum ini dengan jaminan polis.
Samantha berkata, kes itu melibatkan Seksyen 47 (1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 dan bukannya Akta Imigresen malahan dua warga Indonesia terbabit mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta permit kerja.
Ahmad Faizadh kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 kepada empat individu iaitu Ka Nir, Ronny Rusly, Chiah Kin Seng dan Wong Than Fook manakala Lavin Chieh Zhe Yueng ditawarkan jaminan sebanyak RM2,000.
Mahkamah menetapkan 15 September depan bagi sebutan semula kes dan kesemua tertuduh dibebaskan selepas membayar jaminan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ISU FITNAH SITI NORDIANA – 5 SEKAWAN SERAH KEPADA PEGUAM
PETALING JAYA – Genap 48 jam dituntut membuat permohonan kepada Siti Nordiana berhubung isu fitnah, lima sekawan termasuk Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila Hassim bersama tiga lagi penama lain menyerahkan tindakan selanjutnya kepada peguam, semalam.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media secara bersama yang turut mewakili penyanyi Syura Badron, jurusolek, Aida G; dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin.
Masing-masing mengakui sudah menerima notis yang dikemukakan penyanyi lagu Hati Mu Miliki itu menerusi peguam Abang Azlan dari Abang Azlan & Associates.
“Kami ambil maklum tentang tindakan notis tuntutan yang telah di ambil oleh pihak Siti Nordiana terhadap kami berlima.
“Kami juga telah menyerahkan perkara ini kepada peguam kami untuk tindakan selanjutnya.
Apa-apa tindakan atau respons yang bakal menyusul, akan kami maklumkan berdasarkan nasihat daripada peguam kami,” kata mereka.
Terdahulu, Siti Nordiana memberi tempoh selama 48 jam kepada lima individu itu membuat permohonan maaf berhubung isu tuduhan fitnah yang dilemparkan kepadanya menerusi satu sesi siaran langsung Instagram pada 20 Julai lalu melibatkan mereka berlima.
Jika gagal berbuat demikian, mereka bakal berdepan tuntutan saman atas dakwaan menyebarkan fitnah sehingga menjejaskan nama dan reputasi Siti Nordiana atau Nana sebagai artis.
Pada sesi IG Live berkenaan, Nur Sheila mendakwa, Nana dan pengurusnya, Anas Osman menyebarkan cerita tidak baik mengenainya dan Lan kepada rakan, selain menuduh mereka menumpang populariti penyanyi itu.
Dakwa Nur Sheila lagi, hampir semua kenalan di stesen televisyen bercakap perkara sama dan bertanya mengenai isu perbalahan mereka, lapor KOSMO online
Susulan itu Nana melalui peguamnya membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sekitar pada 23 Julai lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Terengganu: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memukul bapanya menggunakan tukul besi hingga menyebabkan warga emas itu cedera di telinga.
Tertuduh, Mohd Affendy Bakar, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas mangsa, Bakar Mat, 68, dengan menggunakan tukul besi di sebuah rumah di Manir, di sini, jam 2 pagi pada 19 Julai lalu.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A KK (Akta 574) berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan.
Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan mula mengamuk apabila permintaannya tidak diendahkan, lapor HM online
Tertuduh kemudian mengambil tukul besi sebelum menyerang warga emas itu menggunakan senjata berkenaan menyebabkan mangsa cedera di telinga.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!