Kota Bharu: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap pertuduhan membakar pondok bit Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jelawat dekat Bachok, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar pondok bit PDRM bertempat di pondok bit PDRM di Jelawat, Bachok, jam 2.20 pagi, 11 September 2021.
Atas kesalahan itu, lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fariz Abd Ghani dan tertuduh diwakili peguam bela, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.
Terdahulu, Fariz dalam pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon satu tarikh untuk serahan dokumen.
Bagaimanapun, Syed Muhammad Syafiq memohon satu jumlah jaminan yang minimum kerana tertuduh yang masih bujang hanya bekerja sebagai buruh dengan gaji RM60 sehari.
“Lelaki itu juga menanggung seorang ayah yang sudah berusia dan keluarganya juga turut hadir pada hari ini. Jaminan ini, anak guam saya tidak akan lari dan akan hadir pada tarikh sebutan semula kes,” katanya, lapor HM online
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, kerana didakwa menerima suapan pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Mohamed Syaffiq Mohammed Sidek, 32 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Disember 2020, amtara jam 1 petang hingga 2 petang di Balai Polis Kuantan.
Dia didakwa menerima RM700 daripada seorang lelaki bagi melepaskan seorang suspek yang terbabit dalam kes memiliki air ketum.
Pendakwaan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh yang kini digantung kerja merayu agar mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang rendah memandangkan dia perlu menanggung isteri dan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun serta menjaga ibunya yang uzur.
Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan RM10,000 bagi ikat jamin, namun Hakim membenarkan rayuan tertuduh dan memutuskan kadar ikat jamin RM7,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 25 Oktober ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya membayar ikat jamin ditetapkan mahkamah itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bangi: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang juga anak kandung kepada tertuduh wanita, minggu lalu.
Ieda Nor Esbi Baharudin, 35, dan teman lelakinya, Norazizol Baharum, 34, yang kelihatan tenang, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Ieda Nor Esbi dan Norazizol didakwa dengan niat bersama membunuh Zaff Zaffrul Zaiful Amiro Shah di rumah di Seksyen 2 di sini, antara 6.30 pagi dan 10.41 malam, 2 Sept lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Okt sebagai sebutan bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat, lapor Bernama
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pengembala lembu didakwa bunuh wanita yang mayatnya disorok di bawah katil
BUTTERWORTH, 7 Sept — Seorang pengembala lembu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang kerani wanita dua minggu lepas yang mayatnya ditemukan disorok di bawah katil di sebuah rumah.
M. Kirubakaran, 29, didakwa membunuh Lee Ling Tee, 40, di rumah mangsa di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas di Sungai Jawi, Nibong Tebal antara 3 pagi hingga 4 pagi, pada 28 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aziana Azib kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Kirubakaran mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine semasa pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atasnya dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan pada 1 pagi 29 Ogos lepas.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 8 Nov untuk sebutan semula kes bagi kesemua pertuduhan.
Semua prosiding kes hari ini dijalankan di Mahkamah Munisipal Butterworth selepas Mahkamah Jawi sedang dalam kerja-kerja penambahbaikan,lapor kosmo online
Pada 29 Ogos lepas, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan pada 7.20 malam memaklumkan penemuan mayat seorang wanita berusia 40 tahun disorok di bawah katil di sebuah rumah teres jenis dua tingkat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tukang cuci dibebaskan, Bersatu Perlis bayar wang jaminan
Kangar: Tukang cuci sambilan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana mencuri tabung dan wang bernilai RM40 di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh di Padang Besar pada 28 Ogos lalu sudah dibebaskan dengan ikat jamin.
Nor Amira Roslan, 28, ditahan di lokap Balai Polis Kaki Bukit, Padang Besar kerana gagal membayar wang jaminan sebanyak RM2,000 seperti ditetapkan mahkamah dibebaskan selepas jaminan dibayar Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah, hari ini.
Dia bagaimanapun tetap perlu menghadiri sebutan semula kes mahkamah yang sama pada 4 Oktober hadapan.
Nor Amira ketika ditemui memohon maaf terhadap perbuatannya dan berjanji tidak melakukannya lagi.
“Saya meminta maaf atas kesilapan saya lakukan dan berjanji tidak akan lakukan. Ssegala bantuan pelbagai pihak untuk mulakan hidup baru sangat saya hargai.
“Selain itu, saya juga ucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Encik Abu Bakar yang sudi menjamin saya. Syukur saya masih diberi peluang untuk buka ‘buku’ baru.
“Selain itu, keprihatinan rakyat Malaysia juga amat dihargai,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah selepas dibebaskan hari ini.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, pembayaran wang jaminan Nor Amira itu dilakukan sebagai keprihatinan Bersatu Perlis dalam melihat isu yang sedang berlaku di negeri itu pada waktu ini.
“Kami mendapat arahan daripada kepimpinan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang meminta kes ini diselesaikan segera.
“Jadi, dalam semangat kekeluargaan ini, kita mahu isu ini diselesaikan segera terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Proses pembayaran wang jaminan itu turut dihadiri peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim, lapor HM online
Terdahulu, Nor Amira tiba di mahkamah pada 12.50 tengah hari diiringi anggota polis sebelum pembebasannya dilakukan.
Disiarkan pada: September 3, 2021 @ 1:56pm Oleh Aizat Sharif am@hmetro.com.my
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA PILAH – Seorang wanita yang masih bujang didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan aktiviti persundalan dengan menawarkan khidmat seks.
Jika gagal membuat pembayaran, wanita berkenaan akan berhadapan dengan hukuman penjara lima bulan.
Tertuduh, Junaidah Michael Reni Martin, 31, membuat pengakuan berkenaan dihadapan Majistret, Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 1 Ogos kira-kira pukul 11.50 pagi bertempat di sebuah bilik di Melang Inn Hotel, tertuduh telah mencari langganan bagi maksud persundalan.
Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dituduh mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan persundalan.
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nur’Atiqah Sapari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Seksyen, di sini, seorang lelaki mengaku tidak bersalah menjadi orang tengah bagi persundalan ke atas Junaidah pada 1 Ogos kira-kira pukul 11.50 pagi bertempat di sebuah bilik di Melang Inn Hotel.
Tertuduh, Lim Kevin, 38, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dituduh mengikut Seksyen 372(1) (f) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tempoh 15 tahun, sebatan dan denda.
Norma kemudiannya menawarkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes adalah pada 23 September ini, lapor kosmo online
Selain itu, Norma turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang menganggu saksi dan dikehendaki lapor diri di balai terhampir pada setiap bulan.
Pendakwaan dilakukan DPP, Christhoper Enteri Anak Mawan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TUJUH DIREMAN BANTU SIASATAN KES ROGOL BERKUMPULAN
KOTA BHARU – Tujuh orang remaja lelaki direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun secara beramai-ramai awal tahun ini.
Perintah reman sehingga Isnin depan terhadap kesemua suspek yang berusia 15 hingga 18 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Nor Faezah Abdullah di Mahkamah Majistret hari ini.
Ketujuh-tujuh suspek itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan.
Difahamkan, kesemua suspek telah melakukan kesalahan tersebut beberapa kali terhadap remaja perempuan itu sebelum mangsa tampil membuat laporan polis baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris ketika dihubungi mengesahkan polis telah menahan kesemua suspek semalam, lapor KOSMO online
Katanya, tujuh remaja itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUAT LAPORAN PALSU BERHUBUNG KES SAMUN, WANITA DIDENDA RM2,000
SELAYANG : Tindakan seorang wanita yang membuat laporan palsu berhubung kejadian samun hingga mengalami kecederaan membawa padah apabila dia didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Siti Nurfarahiyah Yusri, 20, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan, dan OKS membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Nurfarahiyah didakwa telah memberikan maklumat kepada seorang penjawat awam iaitu pegawai polis Mohd. Sheqal Roslan, maklumat secara lisan yang diketahui sebagai palsu.
Ia dengan maksud untuk menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasa yang sah untuk menyiasat perkara seperti yang dilaporkan dalam laporan polis berkenaan yang mana pegawai polis itu sepatutnya tidak lakukan sekiranya fakta sebenar diketahui.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan 10, Taman Greenwood, Batu Caves, Gombak di sini pukul 4.24 petang pada 14 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesusahan pihak polis dalam melakukan siasatan terhadap laporan yang dibuat sendiri oleh OKS.
Bagaimanapun OKS yang diwakili peguam Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah meringan hukuman dengan alasan OKS menyesal dengan perbuatannya selain ketika itu berdeoan dengan masalah emosi.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga anggota polis telah menerima satu laporan daripada OKS yang mana dalam laporan polis itu mengatakan OKS menjadi mangsa ragut dan telah ditikam di bahagian paha.
Bagaimanpun hasil siasatan mendapati wujud kecurigaan terhadap laporan polis itu kerana OKS gagal memberikan gambaran jelas kejadian selain kedudukan pisau pada paha OKS berada dalam keadaan tegak seolah-olah mangsa menusuk dirinya sendiri.
KOSMO! semalam melaporkan polis mengesahkan seorang wanita cedera bukan akibat disamun sebaliknya kecederaan itu dilakukannya sendiri dengan menikam paha kanannya di Jalan 10, Taman Greenwood, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dakwaan yang dibuat wanita itu adalah tidak benar sama sekali, lapor KOSMO online
Menurut polis kejadian samun seperti yang didakwanya tidak berlaku dan individu itu didapati telah mencederakan diri sendiri dengan menikam paha kanannya kerana tekanan perasaan akibat masalah keluarga.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan bakal berdepan tindakan undang-undang kerana didakwa menghina mahkamah.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau menerusi peguamnya akan menfailkan saman berkenaan ekoran dakwaan Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana terdapat pihak yang ‘rakus’ kuasa demi jawatan nombor satu negara.
Najib berkata, Muhyiddin sebaliknya lupa siapa yang bersikap seperti itu dengan sanggup menikam belakang Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mengkhianat gabungannya (Bersatu) untuk merampas kuasa selepas parti itu kalah kepada Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tajung Piai, Johor, pada 2019.
“Siapa yang rakus untuk kekalkan kuasa sehingga hentikan Parlimen selama tujuh bulan dan selepas dipaksa bersambung, dia tidak benarkan Ordinan Darurat dibentang sehingga terpaksa menipu Yang di-Pertuan Agong?
“Siapa yang rakus kuasa sehingga sanggup sogok-menyogok ahli-ahli Parlimen? Ini bukan rakus kuasakah?,” soal Najib dalam hantaran di Facebooknya malam ini, lapor Utusan Online
Siang tadi, Wan Saiful berkata, Muhyiddin sejak awal lagi mendambakan kestabilan politik supaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik Covid-19 namun keadaan bertukar malang disebabkan ada pihak tertentu yang rakus dan berniat untuk merosakkan kestabilan yang dikecapi.
4 Ogos lalu pula, Muhyiddin mendakwa menerima tekanan beberapa pihak supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah namun menegaskan, tidak melayan tuntutan itu dan mengorbankan prinsip serta membelakangi sumpah jawatannya.
Untuk rekod, beberapa ahli Parlimen dari UMNO ada yang berdepan tindakan mahkamah termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak turut berdepan kes mahkamah dan masih dalam perbicaraan.
Bagaimana, Muhyiddin tidak menyebut secara khusus berkenaan pihak yang dikatakan menekan beliau untuk mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan sesiapa yang terlibat dalam dalam kes mahkamah.
WAN SAIFUL WAN JAN
Wan Saiful pula dalam kenyataan Facebooknya sebelum ini mendakwa antara kes yang dimaksudkan oleh Muhyiddin dalam kenyataan berhubung campur tangan dalam urusan mahkamah adalah membabitkan Ahmad Zahid yang meminta Muhyiddin menggugurkan kes-kesnya di mahkamah manakala Najib pula didakwa pernah meminta Muhyiddin menukar hakim dalam proses rayuannya.
Mengulas lanjut, tambah Najib, Muhyiddin mendakwa jalan paling mudah untuk beliau mengekalkan kuasa ialah bersubahat dengan golongan kleptokrat’ tetapi beliau tidak berbuat demikian.
Sedangkan, kata Najib, Muhyiddin lupa golongan itu jugalah tempat beliau meminta untuk dinaikkan sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak Langkah Sheraton, Mac tahun lalu.
“Tidak cukup dengan itu, beliau kata dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh saya disebabkan isu 1MDB (1 Malaysia Development Berhad).
“Tidak benar, beliau dipecat kerana berkomplot dengan Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejak tahun 2014 untuk menumbangkan saya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri – jauh sebelum isu 1MDB lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, beliau bukan seorang yang suka melemparkan tuduhan tidak berasas jauh sekali bermain propaganda kerana ia dilakukan melalui pembuktian, kebenaran, sains dan data.
Beliau juga mencabar Muhyiddin untuk membuat laporan polis bahawa terdapat pihak yang ‘mengarahnya’ menganggu kes-kes utama namun tidak berani.
“Sampai kita perlu buat untuk kamu (seperti lampiran). Suruh kamu keluarkan bukti, kamu tak ada,” katanya. –
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
EMPAT PENGAMAL PERUBATAN TRADISIONAL DISAMAN RM1 JUTA
KOTA BHARU – Seorang suri rumah akan membuat tuntutan saman malu masing-masing sebanyak RM1 juta terhadap empat individu yang telah menuduhnya melakukan sihir dan mengamalkan ilmu hitam.
Rozita Ramli, 43, akan mengemukakan saman itu terhadap empat lelaki yang juga pengamal perubatan tradisional yang dikenali sebagai Tok Singa, Wea Selamos, Tok Hijau dan Ustaz Perlis.
Rozita berkata, keempat-empat lelaki itu membuat tuduhan ketika siaran langsung Facebook dan YouTube mereka awal bulan ini sekali gus memberi tekanan kepada keluarganya.
“Tuduhan yang dikeluarkan empat individu itu sehingga menyebabkan ramai pihak turut memaki hamun dan menyalahkan saya tanpa usul periksa.
“Saya juga dituduh melakukan sihir terhadap adik-beradik sendiri sehingga dikatakan ilmu itu berbalik kepada kami sekeluarga yang menyebabkan hubungan menjadi renggang.
“Ada individu membuat laporan polis menuduh saya menipu dengan mengutip sumbangan untuk rawatan anak perempuan yang mengalami penyakit misteri dan anak lelaki yang menderita buah pinggang kronik,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini petang semalam, lapor KOSMO online
Tindakan saman malu itu dilakukan menerusi Tetuan Hariz Syakinah & Co dengan melantik Muhammad Hariz Md. Yusof sebagai peguam.
Tambah Rozita, dia mengambil tindakan saman malu itu sebagai pengajaran untuk setiap tuduhan selain mengingatkan orang ramai agar tidak terus membuat fitnah terhadap keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan daripada wanita itu petang semalam.
Sebelum ini, tular video empat orang lelaki dipercayai pengamal perubatan tradisional sedang merawat anak perempuan Rozita berusia 15 tahun di media sosial.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!