Kuala Lumpur: Pesara tentera maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar batu penghadang di kiri jejambat sebelum dia tercampak dari jejambat setinggi 10 meter di Lebuhraya Kerinchi Link, di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, lelaki terbabit, Alamsah Abdul Rahman, 54, datang dari arah pusat bandar raya hilang kawalan lalu melanggar batu penghadang di kiri jejambat menyebabkan dia tercampak ke susur Lebuh Raya Persekutuan.
“Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, semalam, lapor HM online
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS : Pemandu lori kontena maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 7, Jalan Lipis – Merapoh berdekatan Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Lipis pada jam 2 pagi, hari ini.
Lori kontena yang terbalik di KM7, Jalan Lipis-Merapoh meragut nyawa pemandunya dalam kemalangan jalan raya , hari ini.Foto PDRM.
Mangsa, Mohd Khairudin Abas @ Ibrahim, 33, yang beralamat di Kampung Bukit Merbau Selising, Pasir Puteh, Kelantan memandu lori kontena yang membawa kontena berisi palet kayu dari sebuah kilang di Padang Tengku dekat sini dalam perjalanan ke Kelang, Selangor.
Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd Noor berkata, ketika tiba di tempat kejadian lori kontena yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan.
“Mangsa yang tersepit telah dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang bertugas di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk tujuan post mortem selepas menerima keputusan saringan ujian Covid-19,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, lokasi kejadian merupakan jalan satu lorong dua hala, laluan berselekoh, permukaan kering, cuaca gelap dan tiada pencahayaan lampu jalan .
“Siasatan lanjut mengenai kejadian ini dan kes kemalangan maut ini diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Keningau: Seorang pemandu lori maut akibat dihempap balak yang dimuatkan kenderaan dibawanya dalam kemalangan di Jalan Tambunan-Keningau berhampiran Kampung Tikolod, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang memandu lori Nissan dikatakan bergerak dari Tambunan menuju ke daerah ini, lapor HM online
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketika tiba di selekoh menuruni bukit, pemandu terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan hingga lori yang muatan kayu itu terbabas sebelum terbalik ke sebelah kiri jalan.
Katanya, akibat kemalangan itu mangsa tercampak keluar dari tempat pemandu lalu dihempap oleh muatan balak dibawa mangsa.
“Ketika kejadian mangsa masih sedar lalu dibawa ke Hospital Tambunan, di sini, untuk rawatan lanjut.
“Pada 8.45 malam, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Labuan: Seorang lelaki patah tangan kiri, cedera di bahagian kiri pinggang dan kepala selepas terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 1, di sini, semalam, ketika mahu melarikan diri daripada ditahan.
Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, suspek berusia 33 tahun dipercayai menceroboh masuk ke bangunan sekolah berkenaan sebelum disedari orang awam.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan mendapati, pengadu seorang penjawat awam bersama dua rakannya ke bangunan berkenaan untuk membuat pemeriksaan selepas menerima maklumat orang awam.
Katanya, ketika berada di tingkat tiga bangunan itu, pengadu mendapati sesuatu yang mencurigakan di sebalik tandas yang tertutup sebelum bertindak menolak pintu.
“Suspek yang dipercayai sedang bersembunyi dalam tandas terkejut lalu memanjat tingkap tandas dan keluar ke beranda luar.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan bagaimanapun dia gagal apabila mengalami kecederaan akibat perbuatannya itu,” katanya dalam kenyataan media, petang tadi.
Ahmad berkata, sepasukan polis yang tiba di lokasi sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu menemui beg serta alat berupa ‘kuku kambing’.
“Suspek yang cedera di kepala, patah tangan kiri dan luka di bahagian kiri pinggang kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, lapor HM online
“Keadaan suspek stabil dan semakan mendapati dia tidak mempunyai pekerjaan dan memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SLIM RIVER: Seorang penunggang basikal wanita maut, selepas terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer (km) 104 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.
Kejadian membabitkan wanita yang berumur 58 tahun itu berlaku berhampiran lampu isyarat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata polis menerima laporan kejadian berkenaan kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
“Wanita yang menunggang basikal terbabit dalam perjalanan dari arah Behrang menuju ke arah Sungkai.
“Apabila tiba di lampu isyarat, tiba-tiba datang treler yang dipandu oleh lelaki berumur 39 tahun dari belakang menggilis basikal terbabit,” katanya hari ini, lapor HM online
Sulizmie Affendy berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya.
“Pemandu ditahan untuk siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENUNGGANG GRAB FOOD SELAMAT SATU KELUARGA DALAM NAHAS
KUCHING: Tindakan nekad sekumpulan penunggang Grab Food bersama orang awam untuk terjun ke dalam parit besar untuk menyelamatkan nyawa satu keluarga amat dipuji ketika berlaku kejadian tersebut di Jalan Camar, Petra Jaya, semalam.
Antara penunggang Grab Food yang terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan mangsa kemalangan.-Foto Media Sosial
Sebelum itu, sebuah kereta yang sedang bergerak terbabas ke dalam parit itu apabila cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang dipercayai keluar secara tiba-tiba di satu persimpangan.
Orang awam yang berada di situ dikenali, Aiman berkata, kira-kira 12 orang termasuk penunggang Grab Food terjun ke dalam parit sedalam kira-kira 7 kaki dan berkelebaran 4 kaki untuk menyelamatkan mangsa.
“Tindakan pantas mereka untuk terjun ke dalam parit itu adalah bagi mengelak air masuk ke dalam kereta yang mungkin berlaku nahas yang lebih buruk.
“Mereka bertindak semua mangsa termasuk seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan 2 orang kanak-kanak dengan pantas,” katanya.
Semua mangsa dilaporkan selamat dan mengalami trauma dan dihantar oleh ambulan, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Petra Jaya.
Semua mangsa kemalangan itu dihantar ke hospital berdekatan,
Jurucakap JBP Petra Jaya, berterima kasih kepada orang awam dan penunggang motosikal tersebut yang bertindak pantas menyelamatkan mangsa.
“Kami JBP Petra Jaya dan JBPM Sarawak mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang terlibat khasnya kepada kumpulan penunggang Grab Food Kuching Sarawak, tahniah, Anda adalah hero kami,” katanya.-SAHIH.
Kredit: Balai Bomba Petra Jaya
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BINTULU: Sembilan kenderaan membabitkan dua buah treler, tiga kenderaan pacuan empat roda dan empat kereta terlibat kemalangan berantai di laluan menuruni bukit ke arah Bintulu sebelum lampu isyarat berdekatan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu 5 hari ini, lapor Utusan Borneo
Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.53 pagi ini yang mana maklumat awal yang diperolehi mengenal pasti tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan tersebut.
“Dua mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu dengan mengguna kenderaan perkhidmatan bantuan perubatan kecemasan (EMRS) dan seorang mangsa dihantar mengguna ambulans Hospital Bintulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BBP Bintulu menghantar anggota dan jentera Fire Rescue Tender (FRT) Scania dan EMRS diketuai Komander Operasinya PBK (KUP) Eric Unyi ke tempat kejadian untuk tugas menyelamat. Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan teruk di jalan berkenaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUASANA PILU, TANGISAN IRINGI PENGEBUMIAN 26 MANGSA COVID-19
SHAH ALAM – Hanya tangisan dan bacaan Al-Fatihah mengiringi pemergian insan tersayang.
Itu suasana pilu di hadapan pintu masuk Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini hari ini yang dipenuhi dengan kira-kira 30 waris jenazah pesakit Covid-19.
Bagaimanapun waris mangsa datang berperingkat dan tidak dibenarkan berkumpul beramai-ramai.
Tinjauan mendapati rata-rata waris mula berkumpul di kawasan tanah perkuburan itu sejak pukul 4 petang bagi memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga mereka.
Bagaimanapun penghantaran pertama yang membawa jenazah pesakit Covid-19 hanya tiba di tanah perkuburan pada pukul 7.40 malam manakala yang kedua tiba sekitar pukul 9.21 malam dengan diiringi anggota polis trafik.
Difahamkan kesemua 12 jenazah pesakit Covid-19 itu dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dikebumikan di sini malam ini.
Sementara itu, seorang penggali kubur berkata, seramai 14 jenazah pesakit Covid-19 terlebih dahulu telah selamat dikebumikan sejak pagi tadi sehingga pukul 5 petang.
“Hari ini paling ramai, sejak pagi tadi sudah 14 jenazah siap dikebumikan dan malam ini kita jangka lagi 12 jenazah akan dibawa ke sini.
“Untuk pesakit Covid-19, hari ini kami terima paling ramai, kalau tidak sebelum ini paling ramai pun dalam lapan atau 11 jenazah sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Namun tidak dapat disahkan sama ada kesemua 14 jenazah yang dikebumikan sebelum itu dibawa dari HTAR atau hospital lain di Lembah Klang dan Selangor.
Terdahulu persiapan dan kerja-kerja menggali lubang kubur dijalankan oleh kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan dibantu Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Dalam pada itu, seorang waris jenazah pesakit Covid-19, Irwan Tukiman terkilan kerana tidak dapat menatap wajah arwah bapanya buat kali terakhir.
Irwan yang bertugas sebagai juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia berkata, bapanya yang berusia 75 tahun disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu pukul 7.52 pagi.
“Saya hanya sempat menatap wajah arwah pada Isnin ketika membuat panggilan video namun keadaannya masih tidak membimbangkan.
“Namun pada Rabu, ketika jururawat ingin menjalankan pemeriksaan rutin pada waktu pagi mendapati arwah sudah pun meninggal dunia.
“Memang terkilan sangat kerana tak dapat beri penghormatan terakhir buat arwah, tak dapat nak melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak, itu yang paling saya sedih,” katanya.
Tambah Irwan, arwah bapanya itu menetap di Telok Panglima Garang dan dijaga oleh adik-beradiknya yang lain.
Katanya lagi, arwah disahkan dijangkiti virus Covid-19 selepas membuat ujian saringan pada 2 Julai sebelum dimasukkan ke HTAR pada 4 Julai.
Berkongsi lanjut, Irwan berkata, selain bapa, seramai 11 lagi ahli keluarganya yang menetap di dalam rumah yang sama turut dijangkiti Covid-19.
“Kesemua yang tinggal di rumah itu terkena jangkitan Covid-19, dari adik-beradik sampai lah cucu arwah. Ketika arwah berada di HTAR, mereka yang lain dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS),” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DUNGUN: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut disengat seekor tebuan di kediamannya di Kampung Minda, Hulu Dungun petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Rayyan Fitri Mohd. Nazuki yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Minda Talong disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Besi.
Bapanya, Mohd. Nazuki Mat Jusoh, 42, berkata, kejadian berkenaan disedari selepas anak keduanya menangis dan hampir rebah ketika menuju ke tandas.
Katanya, mangsa sebelum itu bermain telefon bimbit bersama kakaknya, Khalis Najla, 13, di dalam bilik sebelum tebuan menyengat tangan kanannya.
“Selepas terkena sengatan itu, Rayyan Fitri mengadu sakit kepala dan badannya panas, jadi anak sulung saya menyuruhnya mandi.
“Bimbang dengan keadaannya, saya dan bapa mentua segera membawanya ke klinik yang terletak 20 kilometer dari rumah tetapi dia disahkan meninggal dunia di sana,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun di sini.
Mohd. Nazuki tidak menyangka perubahan sikap Rayyan Fitri sejak dua hari kebelakangan ini terutama mendengar kata apabila disuruh mandi atau tidur menjadi petanda anaknya pergi buat selama nya, lapor Utusan Online
Dalam pada itu katanya, anak bongsunya, Darwisy Ihsan, 7, juga pernah disengat tiga ekor tebuan, tahun lalu, namun keadaannya tidak serius selepas menerima rawatan di klinik.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MANILA – Seorang lelaki Filipina yang mendakwa dirinya kebal daripada bisa ular maut selepas lidahnya dipatuk seekor ular tedung semasa cuba mencium reptilia berbisa itu, lapor akhbar The Sun semalam.
Bernardo Alvarez, 62, yang digelar Lelaki Ular, menangkap spesies Ular Tedung Filipina Udara yang sangat berbisa di sebuah rumah penduduk di Pekan Mangaldan, wilayah Pangasinan pada 9 Julai lalu.
Menurut laporan, penduduk pada mulanya bersorak apabila Alvarez berjaya menangkap ular itu namun situasi bertukar ngeri sekelip mata.
Mangsa cuba melakukan aksi mencium reptilia itu dengan meletakkan mulutnya terlalu dekat sebelum ular menggigit hujung lidahnya.
Ular tedung tersebut yang dikenali sebagai antara ular paling berbisa di dunia.
Mangsa yang terkejut dengan serangan pantas ular itu menjerit kesakitan, rebah dan menggelupur di atas tanah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
“‘Bisa ular boleh menyebabkan lumpuh seperti yang berlaku pada Alvarev.
“Apabila sistem badan lumpuh, ia akan menyebabkan mangsa tidak dapat bernafas , kandungan oksigen dalam badan terjejas dan akhirnya degupan jantung terhenti,” kata pegawai kesihatan tempatan, Dr. Anna de Guzman.
Pasukan perubatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian dan cuba memberi bantuan pernafasan tetapi mangsa sudah tidak lagi memberi tindak balas dan tubuhnya sudah kaku akibat kesan bisa itu.
“Mereka tidak berjaya menyelamatkannya kerana bisa terlalu kuat. Kami tidak tahu bagaimana untuk menerima kehilangannya,” kata seorang ahli keluarga Alvrez, Teresa Oca. – Agensi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!