Pelajar pra-U maut dalam kemalangan di Padang Tengku, Lipis
LIPIS – Seorang pelajar pra-universiti, Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku, Ahmad Majidi Eswady, 19 tahun yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan 4 roda di Kilometer (KM) 23, Jalan Lipis – Merapoh, Kechau, Lipis pada jam 7.51 pagi, hari ini
Mangsa yang beralamat di Rumah LKNP 27100 Padang Tengku, Lipis dipercayai dalam perjalanan ke sekolah tersebut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pacuan empat roda yang datang dari arah Lipis-Merapoh hendak ke tempat kerja di kilang kayu, Kechau.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan pacuan 4 roda telah gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan dan dipercayai pandangan terhad disebabkan keadaan berkabus.
“Kenderaan itu melanggar bahagian hadapan sebuah motosikal mangsa yang dalam perjalanan ke sekolah itu,” katanya.
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa remuk dalam kemalangan akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan 4 roda di Kilometer (KM) 23, Jalan Lipis – Merapoh, Kechau, Lipis pada jam 7.51 pagi, hari ini
Katanya, akibat daripada perlanggaran tersebut penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kenderaan pacuan 4 roda turut dikejarkan ke Hospital Lipis dan masih lagi menerima rawatan lanjut di wad kecemasan kerana mengalami kecederaan di kepala dan kaki kanan.Manakala post-mortem mayat penunggang itu akan dilakukan selepas mendapati keputusansaringan Covid-19.
“Diharap semua pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui kawasan berkabus tebal kerana boleh menghadkan pandangan yang mengakibatkan berlaku kemalangan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penunggang motosikal jatuh sempat minta tolong sebelum meninggal
Foto atas: Kemalangan motosikal di KM4, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling melibatkan penunggangnya maut. (gambar hiasan)
JERANTUT – Penunggang motosikal berusia 60 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM ) 4 Jalan Jerantut-Kuala Tembeling berdekatan Kampung Paya Teh, pada jam 3.45 petang, hari ini.
Mangsa, Salehudin Mohamed dari Kampung Sungai Par dalam perjalanan menghala ke bandar Jerantut, tiba di lokasi dia gagal mengawal kenderaannya dan terbabas sendiri.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan, kejadian berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kuala Tembeling menuju ke Jerantut.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan
“Menurut saksi kejadian, apabila sampai di lokasi, mangsa telah terjatuh daripada motosikal di sebelah kiri jalan.
“Mangsa masih boleh bangun untuk meminta tolong dengan memaklumkan bahawa tangan kanannya sakit dan dalam keadaan sesak nafas, “ katanya.
Katanya, tidak berapa lama kemudian mangsa tidak sedarkan diri, pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Keadaan jalan berselekoh, satu lorong dua hala dan garisan tengah berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi jalan, keadaan cuaca dan permukaan jalan kering.
“ Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk tujuan bedah siasat. Punca kematian belum diketahui, post-mortem akan dibuat selepas keputusan ujian swab test Covid-19 diperolehi,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEGAMAT – Seorang warga emas ditemui mati lemas selepas motosikal yang ditunggang hanyut di bawa arus deras dalam kejadian di Serakek, Buloh Kasap di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abdul Razak berkata, penunggang motosikal yang juga pekebun terbabit dikenali sebagai Gan Ai Boon, 63.
Katanya, pihak BBP Bandar Segamat menerima panggilan pada pukul 4.49 petang memaklumkan mangsa tidak pulang dari kediamannya sejak semalam oleh polis di Balai Polis Buloh Kasap.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal menghala ke kebun duriannya di sekitar lokasi kejadian.
“Mangsa kemudiannya cuba menyeberangi arus air deras di atas jalan, lapor kosmo online
“Disebabkan arus terlalu deras, mangsa tidak dapat mengawal motosikalnya lalu dihanyutkan sehingga ke dalam sungai yang berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Muhd Hazim, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 5.15 petang tadi pada jarak 50 meter daripada lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera dirempuh kereta
JOHOR BAHRU – Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini petang Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun, dan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.
Menurut Jit Huey, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal bersama isteri dan dua anaknya mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Sementara itu, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Trafik JBS pada jam 6.53 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jit Huey berkata, percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu kata Jit Huey, pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan Azim@Azim Ab Samt di 019-7533893.
Tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan tersebut, lapor Bernama.
Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak di atas jalan raya.
Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian tersebut.
gambar: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bot karam, telefon bimbit digunakan sebagai pengayuh
Foto atas: Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman (kanan sekali) bertemu dengan tiga anggota APM yang selamat dalam kejadian bot karam, semalam.
KUALA TAHAN – Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selamat dalam kejadian bot karam di Jeram Panjang, dekat sini pada jam 11.00 pagi, semalam, dalam misi menghantar bekalan makanan ke perkampungan Orang Asli di Kampung Aur.
Roslan Abu Kassim mencerita detik cemas, ketika tiba di lokasi, bot dinaikinya dimasuki air dan tenggelam dan semua barangan bantuan makanan yang dibawa hanyut.
Roslan Abu Kassim
Katanya, ketika kejadian, dia dan adiknya, Turmizi yang memandu bot dan Belandak, merupakan Orang Asli etnik Bateq Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan menyelamatkan diri masing-masing.
“Saya hanya sempat mengambil dua kusyen dan menghanyutkan diri serta cuba berenang ke tepi dan berhanyut kira-kira 1kilometer dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Kuala Tahan, hari ini.
“Saya guna handset (telefon bimbit) sebagai ‘pendayung’ sambil berhanyut dan berkuak ke tebing, selain itu saya mengapungkan diri dengan bantuan dua kusyen bot selain jaket keselamatan yang dipakai,” kata Roslan Abu Kassim, 58 tahun.
Katanya, disebabkan masing-masing sudah mempunyai pengalaman sebagai pemandu pelancong, mengendalikan bot serta tidak panik dan disertai dengan takdir Allah SWT mahu mereka selamat.
“Memang misi seperti menghantar makanan ke perkampungan orang asli dan kampung lain ketika sungai sangat bergelora diserahkan kepada kami, oleh itu kami sentiasa bersedia dan memahami situasi air sungai serta selalu siap siaga.
“Andai kata kami panik walaupun memakai jaket keselamatan, dari segi logiknya mungkin kami sudah tiada,” katanya.
Turmizi Abu Kassim, 52, yang memandu bot penambang cuba menyelamatkan botnya tetapi gagal kerana sudah mula ditenggelami dan hanyut termasuk enjin bot.
Turmizi Abu Kassim
“Saya hanya sempat berpaut pada haluan bot dan memegang tong minyak pertrol untuk dijadikan sebagai pelampung sambil mengikut arus air dan cuba merapatkan diri ke tebing.
“Saya hanya dengar abang saya memanggil saya dan sempat menyahut sebagai isyarat saya selamat, saya cuba melaung kembali memanggil abang saya, tetapi tidak ada jawapan, hati mula terfikir yang bukan-bukan,”katanya.
Katanya, selepas itu dia nampak abangnya pada jarak kira-kira hampir 100 meter daripadanya sedang terapung, perasaan mula lega.
Manakala, pemuda Kampung Aur, Belandak a/l Bajak, 28, berkata, ketika bot mula karam, dia melihat sekitar dan ada ‘pulau’ kecil berdekatan dan dia terus berenang ke situ sambil berpaut dahan pokok dan naik ke atas.
Belandak a/l Bajak
“Saya susah hati juga sebab tak nampak abang Lan (Roslan) dan Bang Mizi (Turmizi) ketika itu, tetapi bila saya berada di atas pulau, saya nampak mereka hanyut dan berteriak sebagai isyarat, selepas seketika saya berenang semula ke tepi dan terus ke naik darat dan saya berjalan kaki ke perkampungan orang asli.
“Bila saya berjaya ke darat dan berjalan ke kampung Orang Asli, penduduk di situ turut panik dan bertanya siapa lagi yang selamat,” katanya.
Dia sempat berseloroh menyatakan tiada siapa yang harot (mati) hanya telefonnya yang harot (mati).
Sementara itu, Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman memuji kecekapan anggota itu yang berjaya menyelamatkan diri daripada bot karam dalam misi bantuan menghantar makanan.
“Itulah pengalaman dan kecekapan yang ada pada mereka yang menyebabkan mereka selamat selain takdir menyelamatkannya.
“Insya Allah, pihak kami cuba membantu mendapatkan sebuah bot baharu untuk mereka, dimaklumkan bot amat diperlukan ketika ini untuk misi menyelamat, penghantaran makanan dan juga mengangkut murid sekolah di kalangan murid asli,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Anggota APM, sempat merakam perjalanan ke Kampung Aur sebelum karam dipukul ombak.
JERANTUT – Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) nyaris maut apabila bot yang mereka naik tenggelam dalam perjalanan misi menghantar bantuan makanan ke perkampungan orang asli di Kampung Aur, Kuala Tahan, pada 11.00 pagi, hari ini
Ketika tiba di lokasi kejadian di Jeram Panjang, bot itu dipukul ombak dan arus deras sehingga menenggelamkan bot tersebut dan menghanyutkan bekalan makanan yang nak disampaikan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, bot tersebut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam perjalanan menghantar bekalan makanan dan setiba di Jeram Panjang bot tersebut dipukul ombak dan arus deras seterusnya terbalik.
“Sejurus kejadian tersebut berlaku, ketiga-tiga sukarelawan APM tersebut berjaya menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat dan bot yang mereka guna pecah dan barang-barang bantuan musnah dibawa arus sungai yang deras.
“Syukur, tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku kepada penjawat awam yang menjalankan misi murni menjaga rakyat dalam menangani isu banjir, kadang kala boleh membahayakan nyawa mereka sendiri demi tugas yang diamanahkan,” katanya.
Katanya, anggota polis dari Pondok Polis Kuala Tahan bersama Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan dan dibantu seramai 10 orang penduduk kampung menggunakan 4 buah bot telah bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan mencari dan menyelamat mangsa.
Bot yang digunakan membawa bekalan makanan untuk dihantar kepada penduduk Orang Asli di Kampung Aur yang karam, pada jam 11.00 pagi, hari ini.
“Saya percaya isteri atau anak mangsa akan risau, semasa mereka menjalankan tugas, saya berdoa agar Allah membalas budi dan sumbangan mereka dalam misi menyelamat dan menghantar bantuan kepada mangsa agar rakyat berada dalam keadaan sejahtera.
“Ketiga-tiga mangsa anggota APM itu selamat dan pulang ke rumah masing-masing selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kuala Tahan,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pekerja kontrak Hospital Lipis maut dirempuh kereta
LIPIS – Seorang remaja meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Lipis setelah mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Datuk Mahmud (berhampiran Institut Pertanian Kuala Lipis), kira-kira jam 1.00 pagi, hari ini.
Remaja maut yang menunggang motosikal itu, Syed Muhammad Razin Syed Jafri berusia 19 tahun, seorang pekerja kontrak Hospital Lipis dan beralamat di Kuarters Institusi Pertanian, di sini.
Motosikal yang ditunggang oleh Syed Muhammad Razin Syed Jafri terbabit dalam kemalangan di Jalan Datuk Mahmud (berhampiran Institut Pertanian Kuala Lipis), kira-kira jam 1.00 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, motokar yang dipandu oleh remaja berusia 19 tahun dari arah Bandar Baru Kuala Lipis menghala balik ke rumahnya di Taman Pertama dekat sini dikatakan gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di lokasi kejadian.
“Pemandu itu gagal mengawal motokarnya dan masuk ke laluan bertentangan dan berlaku rempuhan dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan di jalan berselekoh dan bergaris putih berkembar, ketika kejadian jalan raya basah dan gelap.
“Kesan kemalangan itu, motokar itu rosak teruk di bahagian hadapan, fender kiri dan kanan kemek dan lain-lain kerosakan belum pasti, manakala motosikal terbabit rosak teruk di bahagian depan,” katanya.
Katanya, pemandu motokar telah ditahan dan dihantar ke hospital untuk diambil sampel darah dan ujian air kencing untuk menguji tahap alkohol dan dadah, manakala mayat remaja akan dibedah siasat selepas ujian Covid-19 diketahui.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘Sangkar’ buaian permainan funfair hampir terjatuh, nyaris ancam nyawa kanak-kanak
JERANTUT : Insiden sangkar buaian yang nyaris jatuh dan meragut nyawa pengunjung yang sedang menaikinya di pusat hiburan bergerak di Bandar Inderpura dekat sini malam tadi menjadi tular.
Dipercayai berkenaan dipercayai skru pengikatnya rosak mengakibatkan sangkar buaian itu jatuh dan nyaris mengancam nyawa pengunjung yang menaiki alat permainan itu.
Kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 9 hingga 10.30 malam tadi menyebabkan suasana menjadi kecoh dan berlaku jeritan daripada orang ramai khususnya ibu bapa yang melihat beberapa buah ‘sangkar’ bagai terlucut dan hampir jatuh yang ketika itu memuatkan pengunjung termasuk kanak-kanak dan sedang berpusing.
Hantaran seorang pengunjung yang juga penjaga kanak-kanak yang terlibat yang dikenali sebagai Eintan Ejam berkata, dia cemas melihat anak-anaknya yang berada di dalam sangkar buaian itu seperti hendak jatuh ketika buaian yang sedang bergerak itu.
“Saya sangat cemas apabila sangkar itu terbalik dan cuba menenangkan tiga orang anaknya yang menjerit dan menangis ketakutan.
“Selain itu, saya turut terkejut dan ‘memarahi’ seseorang dipercayai petugas permainan di situ kerana terlalu takut dan bimbang dengan kecelakaan yang bakal berlaku,” katanya.
Beberapa petugas dan pengunjung membantu menurunkan sangkar buaian yang nyaris jatuh.-Foto video media sosial
Menerusi hantaran tersebut, Eintan Ejam berasa kecewa dan marah dengan tindakan sambil lewa pihak pengurusan permainan buaian itu serta tidak endah dengan keselamatan pengunjung khususnya anak-anak.
Dia menasihatkan ibu bapa dan pengunjung supaya berhati-hati ketika memasuki funfair berkenaan berasaskan kejadian yang menimpa anaknya nyaris jatuh daripada buaian yang berpusing itu.
Sehingga pukul 12 tengah hari ini, hantaran Eintan Ejam mendapat sebanyak 250 ‘suka’ dan 395 komen dan 508 kongsi.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, pihaknya kesal kerana pemilik funfair berkenaan yang tidak bertanggungjawab kerana memberikan (membenarkan) orang awam menaiki besi buruk yang mengundang risiko keselamatan mereka.
Kebanyakan netizen dan kenalan Eintan Ejam meminta supaya permainan di funfair itu ditutup bagi mengelakkan risiko keselamatan pengunjung terutamanya kanak-kanak.
Ada nitizen memberitahu peralatan yang dipasang pada buaian itu merupakan besi buruk yang digunakan sejak tahun 1990-an dan daif malah tidak sesuai lagi untuk digunakan sebagai permainan (buaian).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan mengesahkan kejadian tersebut.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB: Seorang warga emas, Por Kong Ming 79 hilang di percayai terjatuh ke dalam sungai Cheroh ketika beliau mandi di tebing sungai itu pada kira kira jam 12.10 tengahari semalam.
Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata pihak polis telah menerima satu aduan dari seorang lelaki Cina mengatakan ayahnya hilang ketika mandi di tebing sungai berhampiran rumahnya.
“Hasil siasatan awal oleh Ketua Polis Balai Cheroh didapati ada kesan tergelincir di tebing sungai tersebut.
” Satu team mencari dan menyelamat ( SAR) telah diaktifkan melalui Balai Cheroh dan memaklumkan juga kepada pihak Bomba untuk bantuan SAR untuk mencari lelaki yang berasal dari Kampung Cheroh itu ,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB: Kegusaran sebuah keluarga tentang anak tirinya dipercayai hilang di Kampung Baru Kela, Ulu Sungai, Cheroh semalam akhirnya terjawab apabila anak itu dijumpai tertidur kerana keletihan.
Mangsa, Mohamed Salehuddin Mohamed Helmi, 25 telah dijumpai dalam keadaan selamat di kebun berdekatan sungai dipercayai tertidur akibat keletihan.
Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata semalam pada kira kira jam 8.30 malam, anggota Pondok Polis Batu Malim, Cheroh, telah menerima panggilan daripada seorang lelaki Melayu menyatakan anak tirinya yang keluar pada jam 10.00 pagi, masih belum balik ke rumah.
Kama Azural berkata, menurut lelaki terbabit, anak tirinya dipercayai naik ke atas bukit Kampung Kela, Ulu Sungai, Cheroh, bagi tujuan mencuci dan membersihkan paip di empangan bersama sepuluh orang lagi kawannya.
Katanya, bertindak atas maklumat yang diperolehi, pada kira kira jam 9.00 malam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh anggota Balai Polis Cheroh dengan dibantu oleh orang kampung.
Beliau berkata mereka mencari di kawasan empangan, menelusuri tepian sungai sehingga ke jalan besar, namun masih tidak menjumpai mangsa.
” Hasil temuramah bersama rakan-rakannya, mangsa didapati telah tiada ketika mereka sedang mencuci dan membersihkan paip empangan dan ketika turun ke tempat letak motorsikal, rakan-rakan mangsa dapati motorsikal mangsa masih berada ditempat mereka meletakkan motorsikal.
“Rakan mangsa beranggapan mangsa telah balik ke rumah, namun tiada juga dijumpai,” katanya.
Kama Azural berkata pada hari ini pada kira kira jam 11.15 pagi, mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat disebuah kebun berdekatan sungai dipercayai tertidur akibat keletihan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!