KUALA LUMPUR: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut digilis lori apabila terjatuh di atas jalan selepas motosikalnya hilang kawalan di jalan yang digenangi air dalam kejadian di Jalan Kuching dekat sini, petang semalam.
memetik laporan BH online, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya, berkata mangsa Mohd Husaini Mohd Nasir, 28, dalam perjalanan dari arah Selayang ke Kem Tentera Udara Subang meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kira-kira pukul 4.42 petang, semasa hujan, mangsa yang menggunakan lorong paling kiri yang turut dipenuhi air tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan motosikalnya memasuki lorong paling kanan jalan.
“Sebuah lori yang turut melalui laluan kanan dipercayai sudah melepasi motosikal berkenaan sebelum pemandunya menyedari terlanggar sesuatu di bahagian tayar sebelah kiri.
“Pemandu lori kemudiannya menemui mangsa dalam keadaan tertiarap di atas jalan dengan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat sementara kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TAPAH – Seorang penunggang motosikal putus tangan kiri apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 348.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa dikenali sebagai Md Jasim, 37, warga Bangladesh parah dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pembonceng yang juga rakan senegara mangsa berusia 37 tahun juga parah apabila patah kedua-dua belah tangan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang bekerja dalam sektor pembinaan menaiki motosikal jenis Honda 110KD dalam perjalanan dari Slim River menuju ke Ipoh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu melanggar penghadang besi,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera parah dibawa ke hospital tersebut untuk menerima rawatan.
“Kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan Puspakom dan majikan mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NELAYAN DIKHUATIRI LEMAS SELEPAS TERJATUH DARI BOT, KES KEDUA DALAM TEMPOH 3 HARI
KUANTAN: Seorang nelayan dilaporkan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan dan dikhuatiri lemas kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan pada jam 10.30 pagi semalam.
Mangsa, Muhammad Aminullah Azmi, 29, seorang warga tempatan dan dikhuatiri lemas.
Kejadian ini adalah kali kedua nelayan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan dalam tempoh 3 hari selepas kejadian pertama nelayan terjatuh dari bot dan hilang di perairan Endau.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana (I) Maritim, Datuk Amran Daud berkata, mangsa yang terjatuh itu dikenali Muhammad Aminullah Azmi, 29, seorang warga tempatan dan dikhuatiri lemas.
“Sejurus menerima aduan melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 10.50 pagi semalam, Bot Maritim Malaysia, KILAT 50 yang sedang beroperasi telah diarahkan ke tempat kejadian.
“Ini adalah kes kedua dalam tempoh tiga hari, kedua-dua kes ini hampir sama kerana mereka tidak menitikberatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada di laut dan mangsa tidak memakai jaket keselamatan,”katanya.
Mangsa dipercayai jatuh dari bot ini
Amran berkata, keadaan laut dan cuaca buruk turut menyukarkan operasi CARILAMAT dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, di sini hari ini.
“Pencarian mangsa disambung semula pada awal pagi ini oleh KM PEKAN yang sedang beroperasi dalam operasi CARILAMAT di Perairan Endau, manakala pencarian kes mangsa hilang di perairan Endau yang masuk hari ke-3 disambung oleh KM TATAU dan dibantu oleh bot KILAT 14 dari Zon Maritim Mersing bersama bot PSC 31 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan.
“Sehingga kini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan pencarian diteruskan dengan kawasan pencarian bagi kedua-dua kes diperluaskan sehingga kira-kira 960 batu nautika persegi,” katanya.
Katanya, operasi CARILAMAT turut dibantu 2 buah pesawat udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah pesawat udara BOMBA dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta mendapat kerjasama tujuh bot nelayan tempatan , mereka (nelayan) juga diingatkan supaya menyalurkan maklumat serta-merta sekiranya berlaku sebarang kemalangan di laut kerana Maritim Malaysia merupakan peneraju operasi CARILAMAT di Zon Maritin Malaysia.
Amran berkata, Komuniti Maritim dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan ciri-ciri keselamatan dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa di laut serta peka dengan perubahan semasa cuaca untuk menghindari sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Segala aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan MRSC KUANTAN di talian 09-5717368.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Setiap kali berlaku kebakaran yang melibatkan kediaman, penghuni selalunya beranggapan berada di bawah katil dan di bilik air merupakan tempat selamat untuk menyelamatkan diri.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani, kebanyakan mangsa yang meninggal dunia semasa kebakaran bukan disebabkan oleh api tetapi mereka terlebih dahulu lemas oleh asap toksik yang wujud akibat kebakaran.
“Melarikan diri ke bilik air bukanlah satu langkah yang bijak kerana tempat itu boleh dimasuki oleh asap semasa kebakaran dan bukan tempat yang selamat untuk menyelamatkan diri.
“Cadangan JBPM adalah setiap rumah kediaman mestilah mempunyai jeriji yang mudah dibuka di pintu dan tingkap bertujuan untuk pelepasan diri sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi SAHIH,hari ini.
Beliau berkata, setiap rumah juga dicadangkan untuk menyediakan alat penggera kebakaran dan alat pemadam kebakaran pada peringkat awal.
Pagi tadi, seorang lelaki warga Kemboja dan empat sekeluarga terkorban dalam kebakaran yang berlaku di Lorong Mokhtar Kampung Delek Kanan,Klang.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, empat daripada mereka ditemukan di dalam bilik air sementara seorang kanak-kanak dijumpai di luar bilik air.
Norazam berkata, JBPM percaya mangsa bersembunyi di bilik air dengan harapan lokasi itu boleh menyelamatkan mereka.
Katanya, siasatan awal juga mendapati bilik air menjadi pilihan terakhir berikutan panik tidak dapat keluar daripada laluan pintu dapur rumah kerana telah terkunci.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HULU YAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut apabila terjatuh selepas dipercayai tergelincir di kawasan perkelahan RestuIbu, Kampung Ulu Kalong, Hulu Yam Baru, dekat sini, pagi tadi.
KAWASAN perkelahan RestuIbu yang dipercayai tempat mangsa terjatuh
Mangsa dikatakan berbasikal bersama ibu dan adik-beradiknya yang lain, serta rakan mereka ke tempat perkelahan itu.
Difahamkan, kejadian malang berlaku ketika ibu mangsa pulang ke rumah untuk menghantar seorang anaknya yang mengadu sakit perut.
MANGSA dipercayai terjatuh di kawasan ditandakan dengan bulatan merah
Dia yang kembali ke lokasi kejadian terkejut apabila dimaklumkan mangsa lemas selepas terjatuh di kawasan perkelahan terbabit.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEREMBAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas dipercayai dibawa arus Sungai Linggi di Taman Happy, Rasah dekat sini awal pagi tadi.
Memetik laporan K! Online, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan banjir kilat di Taman Happy, Rasah namun terdapat maklumat orang awam yang memaklumkan ada seorang lelaki dipercayai hanyut di Sungai Linggi.
“Pada mulanya, pihak bomba menerima maklumat banjir kilat dan semasa melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Linggi kami mendapat maklumat seorang penduduk Taman Happy yang tersangkut di atas pokok namun dapat diselamatkan oleh pihak bomba.
“Selepas itu, kami dimaklumkan, ada seorang lelaki dikhuatiri lemas di bawa arus di Sungai Linggi ketika banjir kilat pagi ini,” katanya di sini hari ini.
Seramai 22 pegawai dan anggota termasuk 10 anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Teluk Kemang dan Balai Bomba Seremban 2.
“Operasi pencarian pada pagi, pihak bomba akan melakukan operasi SAR dibahagikan tiga sektor iaitu Mambau hingga Kuala Sawah melibatkan anggota dari (Balai Bomba Seremban 2), Kuala Sawah hingga ke Pekan Rantau (anggota dari Balai Bomba Rantau) dan melibatkan satu pasukan di Sungai Linggi (Balai Bomba Seremban).
“Setakat ini, kami masih juga menunggu pengesahan daripada pihak polis,” katanya sambil memaklumkan pihak bomba turut menurunkan dua aset kayak dalam operasi pencarian pagi ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ROMPIN – Seorang nelayan hilang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan kira-kira 16 batu nautika dari Timur Kuala Endau,Rompin,Pahang, 9 malam tadi.
Mangsa,Mohd Harif Mohd Rosdi,38 tahun merupakan warga tempatan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, selepas kejadian jatuh bot, tekong bot dan awak-awak yang lain cuba mencari mangsa di lokasi yang dikatakan jatuh namun gagal berikutan keadaan gelap.
Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan yang menerima aduan kemudian telah mengaktifkan operasi carilamat pada jam 9.15 malam tadi.
“Kapal Maritim,KM Pekan yang sedang beroperasi di sekitar perairan Pulau Tioman diarahkan ke lokasi kejadian.
Sementara KM Tatau belayar untuk misi pencarian mangsa pagi tadi.
Pesawat udara Bombadier CL415 daripada Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia juga diterbangkan dari Stesen Udara Maritim Subang, pagi tadi, bagi melakukan pencarian di sekitar tempat kejadian”katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan pencarian diteruskan dengan keluasan kira-kira182 batu nautika persegi.
Katanya, operasi tersebut turut dibantu sebuah bot daripada Pasukan Polis Marin Kuantan dan tiga bot nelayan.
Komuniti maritim dinasihatkan sentiasa memakai jaket keselamatan dan peka dengan perubahan cuaca semasa setiap kali turun ke laut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA TINGGI: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah lori di Kilometer 41 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 3.15 petang berhampiran sebuah stesen minyak menghala ke Johor Bahru.
Gambar Hiasan
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR bersendirian dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru, dipercayai bergesel dengan lori jenis Hino berwarna hijau tanpa muatan dipandu seorang lelaki.
“Akibat kejadian itu, motosikalnya hilang kawalan dan mangsa tercampak ke atas bahu jalan sebelum digilis lori berkenaan.
“Mangsa yang berusia 22 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berkenaan meninggalkan tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media yang disiarkan SinarHarian.
Menurutnya, pada jam 9.20 malam tadi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Kota Tinggi berjaya mengesan dan menangkap pemandu tersebut yang berusia 50 tahun.
“Pemandu lori itu ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam Sungai Kuala Krau dekat sini, hari ini.
Difahamkan lori dipandu Haikal Denil Amran, 55, terbabas akibat mengelak daripada bertembung dengan sebuah kereta sedang memotong kenderaan lain di atas jambatan berkenaan.
Mangsa yang berasal dari Pulau Pinang mengalami kecederaan patah kaki dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GELONGSORAN TANAH SELEPAS HUJAN LEBAT DI EI SALVADOR
NEJAPA: Sembilan maut, manakala 35 hilang dalam kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat di El Salvador berhampiran San Salvador pada Jumaat, kata pihak berkuasa.
“Ini adalah satu tragedi,” kata Menteri Dalam Negeri, El Salvador, Mario Duran, yang memaklumkan sembilan mayat ditemui di laluan gelongsoran lumpur yang sejauh empat kilometer (km).
Katanya, hujan lebat pada waktu malam menyebabkan 133 milimeter air terkumpul hingga mencetuskan tanah runtuh yang merempuh 135 rumah, menyebabkan 35 individu masih hilang.
Kira-kira 300 anggota bomba, polis dan tentera dikerah dalam misi mencari dan menyelamat, kata Kementerian Dalam Negeri.
“Pasukan penyelamat kami melakukan pencarian di kawasan seluas empat km,” kata Duran.
Menteri Pertahanan, Rene Francis Merino, berkata sepasukan anjing pengesan tentera turut dikerahkan ke lokasi kejadian.
Air, lumpur dan sisa runtuhan besar turut merempuh lebuh raya utama yang menghubungkan San Salvador dengan utara negara itu, sehinggalah ke gaung yang merentasi Nejapa, bandar yang dihuni 30,000 penduduk.
Bencana itu memusnahkan puluhan rumah di Nejapa yang terletak kira-kira 15 km di utara San Salvador, dan meragut sekurang-kurangnya dua nyawa di situ, kata pihak berkuasa.
Datuk Bandar, Adolfo Barrios, berkata tragedi itu sewajarnya mencetuskan penelitian terperinci terhadap keseluruhan model pembangunan yang digunakan di negara itu.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!