LELAKI MAUT TERJATUH TINGKAT 15 DISAHKAN POSITIF COVID-19
Ampang: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di Pandan Ria di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang menerima panggilan mengenai kejadian pada 8.25 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 54 tahun itu bekerja sebagai pemandu lori dan menghuni tingkat lima blok berkenaan sejak 30 tahun lalu.
“Berdasarkan maklumat daripada anak yang berusia 15 tahun, ibunya sudah meninggal dunia dipercayai akibat Covid-19 pada awal bulan ini.
“Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan hasil ujian saringan dilakukan mendapati dia positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor HM online.
Mohammed Farouk berkata, pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK PASANG BENDERA PUTIH SEBAGAI ISYARAT MINTA BANTUAN SALAH?
KUANTAN – Kempen untuk mengibarkan bendera putih sebagai isyarat memohon bantuan keperluan makanan dapat disalurkan kepada insan yang memerlukan menjadi isu kepada pihak tertentu dan mahukan bendera yang dikibarkan itu diturunkan.
Ini berlaku kepada 13 keluarga yang tinggal di Bukit Setongkol di sini apabila tindakan mereka menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan tidak disenangi pihak tertentu hingga diarah diturunkan pada hari Rabu.
Perbuatan penduduk yang terjejas itu dikatakan satu kesalahan dan saman boleh dikeluarkan jika bendera yang dipasang gagal diturunkan.
Oleh kerana risau tindakan saman dikenakan, penduduk yang memasang bendera putih itu, tersu menurunkan bendera yang dipasang pada Selasa selepas diarah berbuat demikian oleh seorang individu yang datang bersama tiga anggota polis.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 43, berkata, dia bersama penduduk di situ sepakat untuk menaikkan bendera putih selepas rata-rata mereka hampir terputus bekalan makanan.
Menurutnya, bendera itu dipasang sebagai tanda penghuni rumah tersebut memerlukan keperluan bekalan makanan dan berharap ada piahk tertentu menghulurkan bantuan.
“Hampir semua di sini sudah hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini, kerana di sini ramai bekerja buruh, berniaga kecil-kecilan dan berkerja bergaji harian.
” Sebuah persatuan datang hulurkan sumbangan setelah bendera putih dipasang, namun selepas itu seorang pemimpin setempat datang menegur minta bendera itu diturunkan segera kerana menjadi kesalahan dan tidak dibenarkan polis,” katanya.
Ana berkata, dia dan penduduk di situ keliru kerana dikatakan mengibarkan bendera putih sebagai satu kesalahan sedangkan kempen kibar bendera putih yang tular di laman sosial berlaku di seluruh negara malah ada yang berbuat demikian mendapat bantuan sewajarnya.
Video kejadian itu tular di laman sosial selepas dimuat naik pengguna Facebook hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGUSAHA SUSUN STRATEGI DENGAN KREATIF UNTUK MENARIK PENGUNJUNG SEBELUM PANDEMIK INI TAMAT.
Daerah Jerantut yang terkenal dengan Gunung Tahan setinggi 2,187 meter (7,175 kaki) dari paras laut dan tertinggi di semenanjung, sudah terkenal kepada pengunjung dan penggemar kawasan tanah tinggi untuk pendaki terutama dari luar negara.
Selain itu, terdapat Bukit Merah, Bukit Seladang, Bukit Panau, Bukit Batu dan Ferrata Paya Gunung yang terletak tidak jauh dari bandar dan mudah untuk pergi boleh ditawarkan kepada pengunjung luar yang berminat untuk mendaki.
Bukit Merah atau Bukit Buluh yang terkenal dengan pokok kelat gelam berwarna merah atau nama saintifiknyaEugenia Cerina Hend berdekatan Felda Padang Piol menjadi produk bukit yang unik.
Pokok yang banyak di sepanjang permatang bukit dan sekitar lereng menjadikan bukit itu sangat unik dan bakal menjadi tarikan utama pengunjung yang terletak pada ketinggian 331 meter khusus untuk peminat sukan lasak pendakian.
Jerantut turut mempunyai sungai yang bersih, cantik dan nyaman dan kebanyakannya berada di bahagian Hulu Tembeling, malah terdapat sungai yang belum diterokai atau tidak dipopularkan lagi.
Daerah ini juga terdapat Gua Gelanggi yang perlu diaktifkan serta Gunung Senyum yang terletak di Jengka 24, perlu diperkenalkan dengan lebih agresif kepada orang luar.
Gua Kota Gelanggi di sini, sering dikaitkan dengan pelbagai mitos, termasuk kononnya ia berasal dari sebuah kota yang dibina di kawasan itu sebelum disumpah Sang Kelembai sehingga menjadi batu.
Namun, lebih penting daripada cerita itu, Kota Gelanggi menyimpan satu rahsia yang belum dapat dirungkai sehingga kini iaitu dipercayai adalah lokasi perkembangan Kesultanan Melayu selepas Kerajaan Melaka runtuh berikutan serangan Portugis.
Masakan ikan sungai seperti ikan patin, jelawat, kelah dan sebagainya perlu diperhebatkan sebagai menu tradisional Jerantut seperti masakan gulai masam tempoyak, pais tempoyak, gulai asam rom, sambal hitam dan juga menu seperti bubur liar.
Kalau di negeri Sembilan terkenal dengan gulai daging salai, di Jerantut, masak lemak cili padi patin salai boleh diperkenalkan sebagai salah satu menu yang menarik.
Satu strategi pengusaha pelancongan perlu merancang dengan baik. Jadikan bandar Jerantut tempat persingahan sebelum ke Kuala Tahan.
Di sepanjang perjalanan bermula dari Lanchang yang terkenal dengan Pusat Pemeliharaan Gajah, Kuala Gandah, seterusnya ke Temerloh, Jerantut dan ke Kuala Tahan maka kluster pelancongan lain wajar diwujudkan.
Satu pakej perlu disediakan dengan membuatkan pelancong tidur semalaman di bandar dan dibawa ke Gua Gelanggi atau Gunung Senyum untuk mereka menikmati keindahannya di situ sebelum ke Kuala Tahan.
Secara tidak langsung, menghasilkan pendapatan kepada pengusaha di Gua Gelanggi, Gunung Senyum dan juga peniaga komuniti di sekitar tempat itu dan rumah penginapan di bandar Jerantut akan kembali segar.
Operator pelancongan di Kuala Tahan pula, selain fasiliti sedia ada, perlu kreatif dengan memikirkan aktiviti baharu di sana.
Mungkin boleh jadikan pokok tualang yang tinggi sebagai aktiviti memanjat dengan mempunyai prosedur keselamatan yang ketat. Aktiviti malam perlu difikirkan supaya pengunjung sentiasa mempunyai aktiviti yang menyeronokkan seperti membuat pondok atau ran di pokok.
Muzik tradisional Melayu Pahang, seperti gendang silat dan pesilatnya, kumpulan rebana atau mungkin membawa pasukan dikir barat dari Kelantan, tarian ulik mayang, caklempong dan gemelan boleh diketengahkan kepada pelancong semasa berada di Kuala Tahan untuk persembahan di waktu malam.
Kepada pengiat pelancongan iaitu pemandu pelancong seharusnya memikirkan satu prosedur yang standard dari sudut ketrampilan, komunikasi dan pengetahuan umum dengan persekitaran tempat kerja mereka.
Oleh itu, semua pihak perlu bertindak dan memikirkan dari sekarang untuk membuat persiapan “menyambut” pelancong selepas pandemik ini tamat, kerana pelancong sudah “resah dan gelisah” kerana berada di rumah atau negara masing-masing kerana tidak dapat ‘makan angin’.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HANOI : Seorang lelaki dari Vietnam digelar Tarzan moden apabila menghabiskan masa 41 tahun hidup di dalam hutan, lapor portal DNA, semalam.
Ho Van Lang, 46, bersama ayahnya dan adiknya, Tri lari ke dalam hutan pada 1972 apabila Perang Vietnam tercetus.
Disebabkan hidup ditemani dua lelaki, Ho tidak pernah bertemu wanita dan didakwa tidak mempunyai sebarang nafsu pada jantina berbeza.
Pada 2015, keluarga ini diselamatkan oleh kerajaan tempatan dan diberikan penempatan di sebuah kampung kecil di Vietnam.
Namun begitu, menurut seorang jurugambar yang pernah bertemu Ho, Alvaro Cerezo berkata lelaki itu masih berdepan masalah membezakan antara lelaki dan wanita kerana menganggap keduanya sama sahaja.
“Ho juga seorang yang sangat lurus dan tidak tahu antara baik atau buruk. Jika ada yang menyuruh dia memukul orang, dia akan melakukannya tanpa banyak soalan.
“Wajahnya juga masih kelihatan seperti kanak-kanak kerana menghabiskan hampir seluruh hayatnya di dalam hutan,” kata Cerezo. – Agensi
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LUPAKAN BIDANG KULINARI, CEBURI URUS JENTERA BAJAK SAWAH
JERANTUT: Anas Azizie Rosli, 25, yang memegang diploma Kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pulau Pinang mula berjinak dengan pengurusan sewaan jentera pembajak kepada pesawah Kampung Gintong, dekat sini.
Dia yang berasal dari Kampung Tokai, Kedah menyewakan jenteranya ketika musim mengerjakan sawah di Kampung Gintong dengan membawa jenteranya dari kampungnya.
“Saya sudah memiliki dua buah traktor dan dua buah Kubota yang bernilai hampir RM60,000 untuk disewakan kepada pesawah bagi membajak setiap kali awal musim.
“Pada masa yang sama, saya juga mengendalikan jentera Kubota untuk meratakan tanah antara kerja awal sebelum benih padi ditabur,” katanya.
Anas Azizie anak ketiga daripada lima beradik berkata, buat masa ini dia komited dan amat seronok dengan pekerjaan sebagai pesawah moden berkemungkinan melupakan terus cita-citanya sebagai chef dan perniagaan makanan.
Katanya, sehingga ini dia menumpukan sepenuhnya pengurusan sewa jentera serta kerja membajak sawah di Kampung Gintong sebelum kembali ke Kampung Tokai, untuk memulakan musim persawahan di sana.
“Bapa saya, Rosli Saad sudah mengamanahkan kepada saya menguruskan jentera pembajak dan peluang ini saya sambut untuk membeli lebih banyak jentera pembajak memandangkan permintaan untuk sewaan dalam kalangan petani di Pahang dan Kedah semakin menggalakkan.
“Diharap semua graduan jangan terlalu memilih pekerjaan, agak sukar ketika ini, oleh itu rebut peluang apa yang ada termasuk pertanian,” katanya.
Katanya, kepada graduan, jangan malu untuk bermain dengan lumpur kerana zaman ini semua menggunakan teknologi dan jentera, malah pertanian akan terus hidup disebabkan hasil pertanian menjadi keperluan harian manusia.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Gadis Kampung Gintong, dekat sini, Khadijah Shamsudin, 31, merupakan graduan universiti tempatan sudah serik menunggu lamaran pekerjaan daripada sektor kerajaan, kini mula mengalih peluang membabitkan diri dalam bidang pertanian.
Khadijah merupakan pemegang Ijazah Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, setelah hampir empat tahun mencuba melamar pekerjaan di sektor kerajaan, tetapi hampa belaka sehingga dia mula bertekad mencuba pekerjaan di bidang pertanian.
“Saya tidak pun menyesal apabila gagal menjadi penjawat awam dan swasta lantas bertekad menumpukan bidang pertanian di tanah milik keluarga.
“Setiap kali melihat petani membanting tulang, mengerah keringat dan bermain lumpur di sawah kampung ini terdetik di hati saya untuk mencuba bidang ini yang turut mendapat sokongan daripada kedua ibu dan bapanya” katanya kepada SAHIH di Kampung Gintong, Jerantut semalam.
Katanya, dia terus menyimpan ijazah dan ‘resume’ di dalam almari dan mulalah bermain dengan lumpur dan dikejar lintah setelah menjejak kaki dalam sawah padi.
“Saya mula mengusahakan tanah yang disewa seluas lapan hektar milik keluarga terdekat dengan harapan untuk mencipta lembaran baharu sejarah hidup sebagai petani, pada hari pertama saya sudah dicabar oleh pesawah di situ yang juga dalam kalangan saudara maranya supaya mengendalikan (memandu) traktor.
“Saya sahut cabaran mereka dan mula belajar memandu traktor dengan bantuan tunjuk ajar beberapa orang petani di sini lagipun sangat berminat apabila kerap kali melihat jentera pembajak berada di tengah sawah sebelum ini, “katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik berkata, berkat tunjuk ajar serta keyakinan, saya mampu menguasai pemanduan jentera pembajak ini termasuk jenis Kubota dalam tempoh seminggu dan mulalah bersemangat untuk meneruskan kerja,” katanya.
“Kini saya tidak kekok lagi dan dalam tempoh dua minggu semua kawasan sawah telah selesai dibajak secara bergilir-gilir mengendalikan traktor dengan dua orang pemandu lelaki.
“Saya sudah memperoleh kemahiran mengendalikan traktor termasuk pembajak jenis Kubota dan kini beralih pula mempelajari teknik menyembur benih padi MR219 yang akan bermula minggu ini dan rutin seterusnya, menguruskan pengairan, pembajaan dan sehinggalah penuaian hasil (padi) nanti,” katanya.
Lulusan graduan universiti itu berkata, selama dua minggu kakinya berendam lumpur di bawah panas terik matahari dan melihat lintah menghisap darah di betis seolah-olah seperti bermimpi, tetapi sebenarnya berada di alam nyata sebagai seorang petani.
“Saya bercita-cita untuk menjadi petani moden dan selepas ini ingin menyertai kursus mengenai pengurusan tanaman padi dan melanjutkan kemahiran mengendalikan jentera pembajak dan menuai (harvesting) termasuk mengambil lesen bagi persediaan musim akan datang.
“Kepada rakan siswazah kembalilah ke kampung kerana banyak peluang pekerjaan dalam bidang pertanian dan perniagaan di samping tanamkan minat, tekad serta kesungguhan dengan meneroka sesuatu kemahiran sebagai pelantar untuk kita berjaya,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
“KALAU PKP SAMBUNG LAGI TAK TAHU LA NASIB KAMI”- KETUA KELUARGA
TEMERLOH: Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, setelah dua kali dilaksanakan yang melibatkan hampir tempoh sebulan, tempoh itu disambung lagi buat kali ketiga bermula 29 Jun dan tidak tahu bila kesudahannya ini bukan suatu cerita rekaan bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia.
Dugaan mengharungi tempoh PKP 3.0 atau Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak tahu bila akan tamat amat menyeramkan bagi golongan peniaga yang kesannya mungkin pendapatan mereka berkurangan akibat kekurangan pelanggan dan tidak dapat bekerja kerana tempat kerja masing-masing tidak beroperasi.
Orang-orang yang terkesan ini tentu ada di sekeliling kita, tidak jauh mungkin dekat sahaja dan tidak mustahil mungkin jiran sebelah rumah kita, kata Pengerusi Laskar, Abdul Razak Endot.
Baru-baru ini Abdul Razak melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) Laskar, menghantar bantuan di Taman Tualang Indah, Mentakab selepas dihubungi oleh sebuah keluarga di sana.
Katanya, ada yang meminta bantuan lampin dewasa kerana ada ahli keluarga seorang wanita warga emas yang terlantar uzur. Ketika menghantar bantuan yang diminta, mereka turut membawa pek makanan buat mereka.
“Ketua keluarga itu tidak boleh bekerja kerana kilang tutup. Jadi buat masa ini bergantung dengan wang simpanan yang ada namun tidak mencukupi untuk menanggung kos membeli lampin dewasa.
“Sambil berbual, ketua keluarga itu mengatakan bahawa jika PKP 3.0 ini disambung lagi selepas 28 Jun, dia sudah tidak tahu cara apa lagi untuk mendapatkan pendapatan bagi menanggung keluarga,” katanya.
Katanya, namun sekarang apa yang keluarga itu bimbangkan sudah menjadi realiti apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa PKP 3.0 dilanjutkan.
“Sebelum meninggalkan mereka kami sempat berpesan jika perlukan bantuan hubungilah kami dan kami akan cuba membantu. Saya pasti bukan keluarga ini sahaja yang mengalami nasib seperti ini dan tidak mustahil jumlahnya adalah besar di luar sana.
“Jika dalam kesusahan, jangan malu jangan segan untuk meminta bantuan dengan jiran, saudara-mara atau mana-mana pihak yang menawarkan bantuan.
“Tempoh sukar ini mari kita tempuhi bersama. Pastikan tiada yang tertinggal kerana sinar di hujung terowong adalah kemenangan kita semua,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HARAP AHLI PARLIMEN GUNA PERUNTUKAN BANTU RAKYAT TERKESAN TERUK
TEMERLOH: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kome Cakna mahukan semua ahli parlimen yang menerima peruntukan sebanyak RM300,000 yang diluluskan oleh kerajaan pusat memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan memberi bantuan bakul makanan dengan segera.
Pengerusinya, Jamil Yaakub berkata, wakil rakyat yang dipilih segera turun padang ke akar umbi untuk melihat kesukaran golongan yang terkesan kerana memerlukan bantuan bekalan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan melebihi sebulan.
“Kebanyakan yang terkesan adalah golongan yang bekerja dengan mendapat upah harian, peniaga kecil-kecilan serta ada yang telah diberhentikan kerja oleh majikan masing-masing.
“Dengan situasi yang sedang berlaku, ada yang mengadu tiada bekalan makanan atau terputus bekalan di rumah kerana tiada pendapatan untuk membeli barang keperluan,” katanya.
Katanya, diharap wakil rakyat sentiasa menyantuni dan membuka ruang untuk rakyat sekitar kawasan parlimen masing-masing untuk mengadu masalah mereka.
“Dengan bajet yang diluluskan oleh kerajaan pusat, ahli parlimen boleh membeli barangan keperluan untuk diagihkan kepada yang sangat memerlukan.
“Bantuan itu diharapkan diberikan kepada orang ramai tanpa memikirkan fahaman politik, kaum dan agama untuk disalurkan kepada yang terkesan semasa darurat pandemik ini,” katanya.
Katanya, terdapat beberapa kumpulan anggota masyarakat yang berkongsi sesama sendiri mengumpul dana untuk membeli barang keperluan dan dihantar ke rumah yang sudah terputus bekalan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK MUKIM HULU TEMBELING SAMBUT BAIK PEMBINAAN ( Foto atas- Sebahagian jalan yang sudah siap dibina)
JERANTUT : Penduduk di kawasan Mukim Hulu Tembeling menyambut baik dan bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Pahang projek pembinaan jalan dari Kampung Mat Daling ke Kampung Raja, Dungun, Terengganu yang bakal direalisasikan.
Tiga kampung itu, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling yang berpenduduk seramai kira-kira 3,000 orang bakal mengecapi kemudahan jalan raya serta memberi peluang daripada sudut ekonomi dan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak (60) berkata, penduduk di Mukim Hulu Tembeling seluas kira-kira 420,000 hektar turut meliputi Taman Negara sudah lama menunggu prasarana seperti itu.
“Memang kami menunggu lama prasarana ini, selain meningkatkan ekonomi dengan menjual hasil tanaman kami ke Jerantut, masih boleh dipasarkan ke Kampung Raja, Hulu Terengganu yang jarak sejauh kira-kira 52 kilometer (km) berbanding ke bandar Jerantut lebih 100 km.
“Selain itu, kami boleh merapatkan tali persaudaraan kami yang berada di Kampung Raja, Kampung Batu dan beberapa buah kampung lagi, walaupun dekat tetapi jauh,” katanya.
Katanya, projek jalan antara Kampung Tuit ke Kampung Pagi sudah disiapkan, malah jalan ke Kampung Kuala Sat turut boleh digunakan termasuk jalan ke Kampung Bantal.
“Hanya pembinaan sambungan dari Persimpangan Kampung Bantal ke Kampung Raja yang dianggarkan sejauh 52 km. Ini turut memberi kemudahan orang ramai dari arah Jerantut ke Terengganu melalui jalan ini,” katanya.
Pengerusi JKKK Kampung Bantal, Hamdan Ali (50) berkata, sangat gembira kerana menunggu begitu lama pembinaan projek jalan seperti itu selain dapat menghubungkan hubungan adik-beradik di sebelah Kampung Raja.
“Emak saya orang Kg Raja, bapa orang Kg Bantal, kami pernah berjalan kaki sekeluarga menziarah keluarga di sana mengambil masa 4 malam, berhenti berkelah, berkhemah dan memasak semasa dalam perjalanan dan menempuh laluan berbukit dan lurah serta menikmati pemandangan sungai yang cantik.
“Saya masih ingat, kami singgah di Bukit Mandi Angin, tempat persinggahan orang berehat di kawasan sempadan negeri ketika saya berusia 18 tahun… kalau tak silap pada tahun 1988,” katanya.
Katanya, sudut ekonomi bakal memberi tempias kepada penduduk di Mukim Hulu Tembeling serta nilai hartanah akan melonjak naik, serta besar kemungkinan pelaburan dari sudut pembinaan resort bagi penggemar untuk menikmati alam sekitar dalam perjalanan ke Kg Raja.
“Selain itu, setelah melihat pelan jajaran jalan yang bakal dibina, pembinaan jalan itu jauh daripada sungai bagi mengelakkan pencemaran sungai dan alam sekitar,” katanya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata , projek Jalan Hulu Tembeling – Pasir Raja yang yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu, kini di peringkat perolehan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
“Status pelaksanaan jalan luar bandar dari Kampung Mat Daling, Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, Terengganu sepanjang 52.55 kilometer itu dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
“Jalan itu sebahagian daripada projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) melibatkan laluan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter dan berturap serta melibatkan pembinaan 12 buah jambatan,” katanya baru-baru ini.
Wan Rosdy berharap pembinaan jalan itu dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk manfaat rakyat.-Sahih.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘HADIAH’ TERAKHIR BUAT JENAZAH COVID-19 DARIPADA PENGGALI KUBUR
PUTRAJAYA: “Bacaan Al-Fatihah serta doa menjadi ‘hadiah’ terakhir daripada kami buat jenazah pesakit Covid-19. Hanya itu sahajalah yang sentiasa dibaca di dalam hati ketika mengusung jenazah sehingga menurunkannya ke liang lahad,” demikian kongsi seorang penggali kubur, Yazrul Ekhzan.
Menurut kakitangan Unit Kecil Perkuburan dan Krematorium Perbadanan Putrajaya (PPj) berusia 42 tahun itu, tugas mengurus jenazah pesakit Covid-19 menjadi ‘terlalu sunyi’ apabila tiada waris dibenarkan berada di tanah perkuburan untuk bersama-sama mengiringi perjalanan terakhir si mati.
“Memang rasa ralat apabila lihat waris mangsa Covid-19 tidak dapat menyentuh, menatap, mencium jenazah, buat kali terakhir. Ada ahli keluarga datang mengiringi van jenazah tetapi tidak boleh datang dekat ke kawasan perkuburan kerana prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung risiko jangkitan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Walaupun berat tugas yang dipikul, selain kurang diambil perhatian masyarakat, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Yazrul bersama enam lagi rakan sekerja yang menjalankan tugas sebagai penggali kubur.
Mengakui sebelum menerima suntikan vaksin sebelum ini, timbul juga rasa bimbang ketika mengurus jenazah pesakit Covid-19, namun terpaksa membuang perasaan itu demi tanggungjawab yang diamanahkan.
Sebaik menerima tugasan yang diamanahkan, beliau bersama enam rakan lain akan terus ke tanah perkuburan untuk kerja penggalian bagi membolehkan jenazah diuruskan dengan segera bagi mengelakkan risiko penularan virus.
“Kerja berpasukan amat penting, terutama dalam memberi sokongan mental kerana kami terpaksa menghadapi cuaca yang tidak menentu, terutamanya ketika panas terik atau hujan yang terlalu lebat.
“Namun dalam apa jua keadaan, semuanya harus diuruskan dengan pantas kerana kita tidak boleh terlalu lama dengan jenazah. Apa yang boleh kami lakukan ketika itu adalah sentiasa berdoa semoga urusan jenazah dapat dipermudahkan dan dikebumikan segera,” katanya.
Melihat situasi pandemik yang masih lagi kritikal dengan kes kematian yang tinggi menyebabkan beliau sedih apabila ada segelintir masyarakat masih tidak nampak bahaya Covid-19, seterusnya mengambil mudah penularan wabak dengan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, hanya mereka yang kehilangan ahli keluarga atau orang yang disayangi akan sedar bahawa semua ini adalah benar dan sekiranya masyarakat masih mengambil mudah, tidak mustahil mungkin suatu hari nanti sama ada kita atau keluarga pula yang akan melalui situasi sama.
Sementara itu rakan setugas Yazrul, Zulkhurnain Abu Samah, 50, pula menyifatkan kerja penggali kubur walaupun bukan seperti petugas barisan hadapan lain yang menyelamatkan nyawa atau menjaga keselamatan awam tetap memainkan peranan penting, terutamanya ketika perang pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
“Ini adalah amanah dan kita perlu melaksanakannya dengan penuh dedikasi walaupun susah. Semasa Covid-19 mula-mula melanda negara, memang (kami) khuatir untuk mengurus jenazah kerana ketika itu tidak banyak maklumat mengenai penyebaran virus, sifat virus dan tahap bahayanya.
“Apabila kes harian semakin tinggi dan angka kematian juga meningkat, kami perlu menghadapi tugas dan situasi ini dengan reda,” katanya.
Seorang lagi rakan setugas mereka Mohd Rizal Othman, 41, turut senada dengan sahabatnya bahawa tugas mereka sentiasa terdedah kepada risiko, namun amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan baik dalam apa situasi sekali pun.
“Alhamdulillah…Sehingga hari ini, kami tujuh sahabat selamat dan tiada siapa pun yang dijangkiti atau dikuarantin kerana Covid-19. Ini kerana (berkat) doa yang tidak pernah putus supaya segala urusan dipermudahkan.
“Selain itu, sebagai pelindung, kami sentiasa memastikan SOP pengurusan jenazah dan pengebumian yang diberikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dipatuhi, terutamanya membabitkan tunjuk ajar dalam pemakaian PPE yang betul, selain memantau kerja kami agar semuanya selamat,” katanya.
Walaupun kadang kala merasa tertekan dengan tugas yang memenatkan, namun beliau dan rakan-rakan tidak pernah berputus asa dan yakin penularan wabak ini akan berakhir sekiranya seluruh masyarakat bekerjasama dengan mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengikut nasihat KKM.-BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!