TERHARU INSAN YANG MEMBANTU TANPA MENGIRA BANGSA, KAUM
Saya mahu berterima kasih kepada empat orang insan yg amat baik hati yang telah menolong saya semasa tayar saya pancit.
Sepanjang hidup saya, apabila kereta saya mengalami kecemasan seperti tayar pancit, bateri lemah, saya perlu meminjam ‘starter jumper’atau apa jua peralatan.
Hanya budak Melayu muda yang selalu menolong saya. Walupun saya kaum Cina, saya amat terharu kerana mereka membantu tidak mengira bangsa dan mempraktikan ‘One Malaysia’.
Hanya segelintir orang di negara ini suka memainkan isu perkauman dan membahagikan kita semua.
Kalau negeri kita mendapat kerajaan yang berbilang kaum, mesti kita semua akan bahagia dan rakyat tidak perlu sengsara macam ini.
Abang Mat Shah dan kawannya adalah penunggang motosikal Grab, tetapi sanggup meluangkan masa daripada kerjanya dan berhenti di jalan raya untuk menolong saya menukar tayar.
Abang Muhdafiq Bin Shamsulinizam adalah seorang mekanik yang nampak kereta saya dan dia ialah orang yang pertama yang datang menawarkan pertolongan untuk saya.
Dia baik hati untuk meminjamkan saya alatan tayarnya kerana alatan kepunyaan saya sudah rosak.
Manakala, kawannya turut membantu di tepi jalan seperti polis dengan melambai tangannya kepada kenderaan lain yang melalui jalan itu nampak.
Saya berharap semua kaum akan sentiasa tolong menolong seperti ini tanpa mengira bangsa, agama atau status supaya Malaysia harmoni dan damai.-SAHIH.
Sumber dan Foto daripada FB – Jasmine Jayden
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Shah Alam: Disebabkan merajuk kerana dilarang bermain basikal dan permainan video dalam telefon bimbit, seorang kanak-kanak lelaki merajuk hingga melarikan diri dari rumahnya di sini semalam.
Dia bagaimanapun ditemui seorang lelaki di Perhentian Bas Setia Alam sebelum dibawa ke Balai Polis Setia Alam.
Sebelum itu, tular video di media sosial mengenai perbualan kanak-kanak berusia 11 tahun itu dengan seorang lelaki dipercayai individu yang menemuinya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bapa kanak-kanak itu yang berusia 44 tahun mengambil anaknya di balai polis berkenaan pada 10 malam.
“Kanak-kanak itu ditemui selamat dan dalam soal siasat, mangsa didapati keluar rumah pada 8.30 malam, kerana merajuk tidak dibenarkan bermain basikal dan bermain permainan video.
“Dia ditemui 200 meter dari kediamannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya menegur keluarga kanak-kanak itu supaya lebih peka dan memantau anak mereka, lapor HM online.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Jawatankuasa Bantuan Makanan Jalinan Ukhwah (food bank) Kampung Jerantut Feri menyumbang seekor ayam setiap keluarga untuk persediaan juadah menyambut sambutan Aidil Adha yang bakal disambut lusa.
Penyelaras program itu, Rozmizal Mat Lia berkata, sumbangan itu daripada kutipan belia tempatan, penduduk setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan penyumbang individu yang berhasrat memberi bantuan sambil bersedekah.
“Sumbangan yang diperolehi, kami belikan ayam siap proses yang didapati daripada pembekal ayam dengan harga ayam paling istimewa sambil menyumbang dan diedarkan kepada setiap keluarga di sini.
“Sebelum ini, bantuan makanan turut diberi kepada penduduk yang terkesan dan yang memerlukan termasuk lampin bayi pakai buang dan susu bayi akibat ancaman pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya, jawatankuasa itu telah digerakkan kira-kira 3 minggu lalu dengan dana disumbangkan oleh golongan belia dan penduduk setempat kemudian baharu ada penyumbang individu lain yang prihatin.
Seorang penduduk di sini, Norjalalludin Mohd Daud (45) berkata, usaha yang dijalankan oleh penduduk di sini sangat baik untuk membantu golongan yang terkesan akibat wabak ini.
“Usaha membantu orang susah memang dituntut dalam agama agar semua merasa nikmat dan sentiasa bersyukur,”katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Azizan Abdul Latif berkata, jawatankuasa Jalinan Ukhwah telah menjalankan usaha yang baik untuk memberi sumbangan berbentuk bantuan makanan kepada penduduk setempat.
“Sumbangan kecil seekor ayam segar kepada setiap keluarga amat dihargai sebagai tanda semangat kekeluargaan dan saling membantu antara penduduk setempat,” katanya.
Jawatankuasa Jalinan Ukhwah Jerantut Feri, Mohd Nawawi Zulikifli berkata, asalnya kutipan bermula daripada golongan belia kampung di situ untuk membantu penduduk yang dikenal pasti sangat memerlukan bantuan bekalan makanan.
‘Selepas itu, terdapat Badan Bukan Kerajaan (NGO), orang perseorangan tempatan dan luar turut memberi sumbangan kepada jawatankuasa penyelaras “food bank” yang turut sama memberi sumbangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jerantut.
“Hari ini jawatankuasa menyalurkan sumbangan kepada hampir 200 keluarga di kampung ini dan sekitar, seekor ayam setiap keluarga untuk persediaan juadah sambutan hari raya Aidil Adha,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS : Orang ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan dinasihatkan menghubungi Ibupejabat Polis Daerah (IPD) atau balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing agar bantuan keperluan barangan dapur dapat disalurkan bagi meringankan kesukaran mereka.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mereka yang memerlukan bantuan bekalan makanan boleh menghubungi talian tetap IPD yang tertera di laman sosial Facebook dan balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing.
“Kita berharap penugasan ‘Op Bantu’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyalurkan bantuan kepada orang ramai yang terkesan dan telah terputus bekalan makanan.
“Skuad Amanita Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan segera turun ke lapangan bagi melakukan penugasan untuk menyampaikan bantuan berkenaan,” katanya di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd Noor.
Sempena program itu, Mohd Yusri telah melawat sebanyak 26 buah keluarga yang terkesan dengan ancaman wabak Covid-19 dengan memberikan sumbangan bakul makanan yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan IPD Lipis sempena Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Merapoh dan Kampung Gua.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kesusahan yang dihadapi oleh penduduk berkenaan dan seluruh warga IPD Lipis mendoakan kesihatan yang sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Talhah Abdullah berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada IPD Lipis atas sumbangan sangat bermanfaat meringankan sedikit perbelanjaan dalam tempoh PKP khususnya kebajikan keluarganya.
“Sejak penguatkuasaan PKP Penuh (lockdown), saya tidak dapat keluar bekerja menyebabkan kehilangan pendapatan serta langsung tidak mampu menyediakan barang keperluan dapur.
“Bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu IPD Lipis amat diperlukan oleh penduduk yang terjejas pendapatan seperti saya sambil berdoa dengan harapan wabak pandemik Covid-19 segera pulih dalam masa terdekat,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUASANA PILU, TANGISAN IRINGI PENGEBUMIAN 26 MANGSA COVID-19
SHAH ALAM – Hanya tangisan dan bacaan Al-Fatihah mengiringi pemergian insan tersayang.
Itu suasana pilu di hadapan pintu masuk Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini hari ini yang dipenuhi dengan kira-kira 30 waris jenazah pesakit Covid-19.
Bagaimanapun waris mangsa datang berperingkat dan tidak dibenarkan berkumpul beramai-ramai.
Tinjauan mendapati rata-rata waris mula berkumpul di kawasan tanah perkuburan itu sejak pukul 4 petang bagi memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga mereka.
Bagaimanapun penghantaran pertama yang membawa jenazah pesakit Covid-19 hanya tiba di tanah perkuburan pada pukul 7.40 malam manakala yang kedua tiba sekitar pukul 9.21 malam dengan diiringi anggota polis trafik.
Difahamkan kesemua 12 jenazah pesakit Covid-19 itu dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dikebumikan di sini malam ini.
Sementara itu, seorang penggali kubur berkata, seramai 14 jenazah pesakit Covid-19 terlebih dahulu telah selamat dikebumikan sejak pagi tadi sehingga pukul 5 petang.
“Hari ini paling ramai, sejak pagi tadi sudah 14 jenazah siap dikebumikan dan malam ini kita jangka lagi 12 jenazah akan dibawa ke sini.
“Untuk pesakit Covid-19, hari ini kami terima paling ramai, kalau tidak sebelum ini paling ramai pun dalam lapan atau 11 jenazah sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Namun tidak dapat disahkan sama ada kesemua 14 jenazah yang dikebumikan sebelum itu dibawa dari HTAR atau hospital lain di Lembah Klang dan Selangor.
Terdahulu persiapan dan kerja-kerja menggali lubang kubur dijalankan oleh kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan dibantu Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Dalam pada itu, seorang waris jenazah pesakit Covid-19, Irwan Tukiman terkilan kerana tidak dapat menatap wajah arwah bapanya buat kali terakhir.
Irwan yang bertugas sebagai juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia berkata, bapanya yang berusia 75 tahun disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu pukul 7.52 pagi.
“Saya hanya sempat menatap wajah arwah pada Isnin ketika membuat panggilan video namun keadaannya masih tidak membimbangkan.
“Namun pada Rabu, ketika jururawat ingin menjalankan pemeriksaan rutin pada waktu pagi mendapati arwah sudah pun meninggal dunia.
“Memang terkilan sangat kerana tak dapat beri penghormatan terakhir buat arwah, tak dapat nak melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak, itu yang paling saya sedih,” katanya.
Tambah Irwan, arwah bapanya itu menetap di Telok Panglima Garang dan dijaga oleh adik-beradiknya yang lain.
Katanya lagi, arwah disahkan dijangkiti virus Covid-19 selepas membuat ujian saringan pada 2 Julai sebelum dimasukkan ke HTAR pada 4 Julai.
Berkongsi lanjut, Irwan berkata, selain bapa, seramai 11 lagi ahli keluarganya yang menetap di dalam rumah yang sama turut dijangkiti Covid-19.
“Kesemua yang tinggal di rumah itu terkena jangkitan Covid-19, dari adik-beradik sampai lah cucu arwah. Ketika arwah berada di HTAR, mereka yang lain dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS),” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Selain berlaku lambakan durian dan ikan sangkar, manisan madu yang dihasilkan oleh serangga lebah yang bersarang di puncak pohon Tualang (Koompassia excelsa) turut tidak dapat dipasarkan seperti sebelum ini.
Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan penjual madu lebah turut mengeluh kerana manisan itu tidak laku di pasaran.
Seorang penjual madu, di Hulu Tembeling, Jerantut, Masri Muhamad, 38, dalam tempoh PKP ini cukup sukar untuk mendapatkan pelanggan.
“Sejak penguatkuasaan PKP awal tahun ini malahan sebelum ini pun, saya tidak mampu membawa keluar madu lebah Tualang memasarkan di bandar Jerantut atau luar daerah lantaran larangan sekatan rentas ke luar lagipun jarak kampung ini agak jauh ke bandar.
“Sebelum ini, madu lebah Tualang amat laris walaupun agak mahal kerana manisan yang dihasilkan oleh lebah liar hutan tarikan Taman Negara dan Hulu Tembeling cukup berkualiti serta sangat popular dalam kalangan orang luar untuk tujuan makanan kesihatan dan perubatan,” katanya di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling, dekat sini hari ini.
Katanya, sebelum penguatkuasaan PKP sejak tahun lalu madu lebah Tualang memang mampu terjual dalam kalangan pengunjung luar daerah dan negeri lain yang datang ke pusat peranginan Kampung Kuala Sat yang membeli untuk dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke rumah.
“Ketika ini ketiadaan pengunjung ke kampung ini, madu lebah ini tersimpan dalam almari kerana tidak laku dipasarkan keluar, selain itu penduduk di sini merupakan pencari manisan ini di pokok Tualang yang banyak terdapat di hutan tropika berdekatan kampung ini,” katanya.
“Sekiranya, ada orang luar yang membuat tempahan secara penghantaran dan bayar (COD) pun tidak berbaloi kerana saya terpaksa ke bandar Jerantut yang terletak 100 kilometer dengan kampung ini untuk membuat pos ekpress melibatkan banyak belanja termasuk tambang bot penambang,” katanya.
Kata bapa kepada empat orang anak itu berkata, tugas mencari madu lebah di puncak Tualang setinggi antara 70 hingga 80 meter bukanlah satu kerja mudah malah terpaksa mempunyai risiko memanjat pohon tinggi itu untuk mengambil madu di sarang memakan masa hampir lima jam.
Masri yang juga antara pengusaha bot penambang di pusat peranginan Kampung Kuala Sat berkata, kebiasaannya dia menemui antara dua hingga tiga sarang labah di sebatang pokok Tualang dan memperolehi manisan dalam anggaran seberat kira-kira 30 kilogram.
“Kerja ini dilakukan pada waktu malam dengan dibantu beberapa orang rakan, sudah menjadi kelaziman penduduk di sini demi untuk memperoleh rezeki hidup di pedalaman kampung Hulu Tembeling.
“Saya memproses manisan ini dengan cermat dengan diisi ke dalam botol untuk dijual dengan harga RM100 seberat 450 gram,”katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan madu lebah asli Tualang Hulu Tembeling boleh menghubungi Masri Muhamad menerusi talian 019-203 5972.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Benjy Ibrahim yang juga anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit Asma.
KUALA LUMPUR: Pelakon Benjy Ibrahim yang juga anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada Ahad.
Berita pemergian Benjy itu dimaklumkan oleh ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi.
“Ben (panggilan buat Benjy) meninggal di hospital Medan Indonesia akibat Asma hari ini,” itu mesej kiriman Khairil Anwar kepada Astro AWANI menerusi WhatsApp sebentar tadi.
Menurut Karl, beliau dimaklumkan anak sulungnya itu meninggal dunia akibat penyakit Asma. Karl yang diuji dengan penyakit strok ketika dihubungi berkata, urusan pengebumian Benjy akan dilakukan di Medan, lapor KOSMO online
“Ada kawan Ben telefon saya maklumkan Ben meninggal dunia pukul 11 pagi ini,” jelas Karl dalam nada sebak ketika dihubungi. Pada 2017, Benjy dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung di dalam rumahnya di Jalan Molek 2/8, Taman Molek, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang ditemui meninggal dunia berusia 44 tahun merupakan warga tempatan.
Difahamkan, mangsa ditemui dalam keadaan tergantung dengan wayar di ruang tamu rumah didiami nya, lapor KOSMO online.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Pusat Kawalan IPD Seri Alam menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki dewasa berusia 44 tahun mati dalam keadaan tergantung dengan wayar.
“Lelaki terbabit ditemui di ruang tamu rumahnya di Taman Molek dan punca kejadian masih dalam siasatan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENIAGA JUAL AYAM MURAH BANTU PENDUDUK TERJEJAS, HILANG SUMBER PENDAPATAN
KUANTAN: Tidak dapat dinafikan tekanan dihadapi kebanyakan penduduk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan sahaja menjejaskan pendapatan, bahkan ada yang kehilangan kerja.
Menyedari bebanan ditanggung penduduk ketika ini, seorang peniaga kedai runcit, Abd Latif Abdul Wahab, 50 tahun, mengambil inisiatif dengan menawarkan ayam proses pada harga paling murah berbanding harga pasaran ketika ini.
Beliau yang sudah berniaga sejak kira-kira 30 tahun berkata, sebanyak 150 ekor ayam proses disediakan kepada pelanggan dengan harga RM5.50 sekilogram.
Latif Abdul Wahab-Peniaga runcit
“Harga ini adalah paling rendah berbanding kebiasaannya dijual pada harga RM7.50 hingga RM9.50 sekilogram di pasaran.
“Idea ini tercetus selepas menyedari kesan (pandemik) COVID-19 terhadap orang ramai. Ada yang hilang kerja, ada yang terputus sumber pendapatan, jadi, saya harap inisiatif ini dapat membantu mereka,” katanya ketika ditemui di kedai runcit miliknya dekat Jalan Tanjung Pasir-Bukit Goh, di sini, pagi tadi.
Abd Latif berkata, bekalan ayam proses itu diperoleh daripada pembekal di Jabor, dekat Kemaman, Terengganu dan beliau menawarkan harga murah itu kepada pelanggannya selama tiga hari, bermula hari ini.
“Untuk hari ini, sebanyak 150 ekor terjual dalam masa kira-kira tiga jam dan bagi mereka yang tidak sempat mendapatkan ayam pagi tadi, mereka boleh datang ke kedai saya pagi esok dan lusa,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nor Farini Mahad ketika ditemui memuji usaha dilakukan peniaga seperti Abd Latif dan mengakui ia sangat membantu orang ramai yang terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
“Saya rasa memang patuhlah ada peniaga sudi menjual harga macam ini… sebagai contoh, saya sendiri pun anak lima orang, jadi kita punya keperluan itu agak tinggilah ditambah pula musim macam ini,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Yasser Mohamed berkata, usaha dilakukan Abd Latif itu sangat tepat pada masanya dan wajar dicontohi peniaga lain.
“Kita memuji peniaga seperti beliau kerana sanggup memberi harga serendah ini kepada pengguna, apatah lagi ketika rakyat sedang diuji dengan masalah ekonomi, jadi apabila ada peniaga sanggup meletakkan harga serendah ini, kami semua sangat gembira dan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan orang ramai,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Siapa kata rakyat Malaysia tidak prihatin, Penduduk Kampung Jerantut Feri begitu prihatin kepada situasi semasa wabak Covid-19 yang melanda sekarang mengakibatkan terdapat penduduk yang terkesan kerana hilang pekerjaan dan punca pendapatan di samping tidak dapat menjalankan peniagaan kecil-kecilan masing-masing.
Sebuah Rak Bantuan Makanan Jalinan Ukhwah (food bank) disediakan oleh penduduk di situ untuk membantu mereka yang sangat memerlukan keperluan harian dengan dana dikeluarkan oleh anak muda dan penduduk setempat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Penyelaras projek itu, Rozmizal Mat Lia berkata, sumbangan daripada penduduk dan anak muda tempatan dapat dikumpulkan sebagai sumbangan ehsan kepada yang sangat memerlukan ketika PKP dan PKPD di sekitar Jerantut.
“Kami menyediakan barangan keperluan makanan dan dapur dianggarkan berjumlah keseluruhan RM2,500 yang bermula semalam, Alhamdulillah kami berjaya mengenal pasti 77 penerima dan bantuan disampaikan bersasar.
“Hari ini, kami menyediakan bantuan yang sama nilainya untuk penduduk yang memerlukan, kepada yang terputus bekalan makanan dan keperluan dapur sila hadir ke tempat kami di sini,”katanya ketika dihubungi.
Katanya, penduduk di sini menyambut baik usaha yang dilakukan sebagai satu usaha ukhwah kekeluargaan yang dituntut dalam agama, ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
“Walau bagaimana, seorang petugas berada di tempat itu untuk memantau agar bantuan dapat disampaikan kepada yang sangat diperlukan.
“Sekarang semua rakyat Malaysia sangat prihatin dengan keadaan di sekeliling mereka, banyak sumbangan dihulurkan kepada kami untuk menjayakan projek ini,” katanya.
Bagi sebarang pertanyaan tentang pemberian sumbangan dan penerimaan barangan, boleh hubungi saudara Hanapi Tahir (014-8264538) dan Rozmizal (019-9619288).-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!