Mayat lelaki dengan kesan kelar dalam ladang sawit
DUNGUN – Seorang pengurus ladang tergamam apabila menemui satu mayat lelaki berlumuran darah disyaki dibunuh di Felda Kerteh 6 di sini semalam.
Mayat lelaki tersebut dilihat dalam keadaan terbaring di kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit pada pukul 6.50 petang.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, pengurus ladang tersebut dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
“Pemeriksaan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian menemui kesan kelar pada leher mangsa.
“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan identiti mangsa dipercayai berusia 40-an sedang dikenalpasti,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Felda Kerteh 6 di sini hari ini.
Hanyan berkata, siasatan lanjut berhubung pembunuhan tersebut sedang dilakukan bagi mengesan suspek bertanggungjawab dan motif kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber – KOSMO! ONLINE
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SANDAKAN – Seorang penolong pegawai pendidikan daerah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya bagi melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah bernilai RM50,000.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy berkata suspek lelaki berumur dalam lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah cawangan Sandakan kira-kira 11 pagi Isnin ketika hadir memberi keterangan berhubung kes tersebut.
“Tender tersebut bagi tempoh tiga tahun sekitar Disember 2015 hingga November 2018.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Karunanithy berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat.
Sumber – Sengat Daily
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bank sengaja lepas tangan, lindungi dalang scammer ?
KUALA LUMPUR- Puluhan ribu pendedahan mangsa kes scammer online sudah pun dipaparkan di semua platform media, di dada akhbar dan disiarkan di televisyen, malah semakin menjadi-jadi setiap tahun dengan kerap mengubah modus operandi.
Tidak mustahil, kemungkinan seluruh rakyat negara ini boleh terjerat sekali kerana tiada pihak yang berupaya menghentikan dalangnya sehingga hari ini.
Umum mengetahui, majoriti mangsa adalah pemilik akaun yang diperdayakan scammer untuk aktiviti penipuan online seperti macau scam, belian jualan dalam talian, pinjaman wang tidak wujud dan love scam.
Sudah tentu, mangsa sudah membuat laporan polis dan memaklumkan penama sekian yang terlibat dalam kegiatan penipuan ini.
Jelas di situ, apabila melibatkan belian jualan atau pinjaman wang dalam talian atau sewaan akaun bank, sudah tentu membabitkan pihak bank.
Tempoh dua minggu berlaku transaksi tanpa pengetahuan mangsa, pastinya pihak bank mengetahui proses aliran keluar masuk akaun pemegang akaun dan penama pelaku.
Negara sendiri sibuk menilai kes pendakwaan berprofil tinggi membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tentang siapa penerima dan siapa pelaku transaksi, bagaimana pula dengan kes ‘ikan bilis’.
Ini bermakna, ‘money trail’ transaksi bank boleh dikesan oleh pihak bank untuk melihat pelaku sebenar, sama seperti 1MDB boleh tahu siapa penerima dan siapa pelaku.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini dipetik berkata, pemilik akaun dengan transaksi mencurigakan perlu bersiap sedia dengan dokumen sokongan untuk menjelaskan tentang sumber kewangan berkenaan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Ia bagi mengulas laporan mengenai kebanjiran hantaran yang mempromosikan wang mudah kepada orang ramai yang hanya perlu menyewakan akaun serta kad bank milik mereka untuk digunakan individu lain.
BNM berkata, institusi kewangan telah diberi panduan yang antara lain turut menggariskan indikator berkaitan jenayah keldai, tipologi terbaharu jenayah penipuan, trend dan cara pelaksanaannya.
Bagi individu yang gagal memberi penjelasan mengenai transaksi ‘mencurigakan’, bank akan menghantar Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) kepada BNM untuk membolehkan siasatan lanjut di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) dilakukan.
Transaksi mencurigakan ini termasuklah penerimaan deposit pada jumlah yang agak luar biasa atau penerimaan deposit pada jumlah yang kecil namun pada kekerapan yang sedikit luar biasa berbanding dengan corak transaksi akaun tersebut pada sebelumnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, dipetik berkata, seramai 9,646 individu ditahan disyaki terlibat kes penipuan Macau Scam pada tahun 2021.
Beliau mendedahkan, mangsa yang dihubungi oleh sindiket akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.
Bagi mengelakkan perkara ini, mangsa akan diminta untuk membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan oleh pihak sindiket.
Setelah mangsa mengikut semua arahan yang diberikan, mangsa akan mendapati wang dalam akaun berkurangan, katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon pula berkata, tidak dapat memberikan penjelasan berhubung modus operandi scammer berkaitan bank.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon pula berkata, tidak dapat memberikan penjelasan berhubung modus operandi scammer berkaitan bank.
“Saya dimaklum bank tidak mahu memberi maklumat diminta oleh pegawai siasatan atas alasan ia melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.
Malah ketika ditanya adakah wujud kartel bank, beliau tidak jelas dengan perkara itu.
Persoalannya, bagaimana sindiket ini boleh mengetahui akaun bank mangsa sedang disiasat selepas mangsa mengesahkan akaun yang dipegangnya.
Adakah pihak bank juga tidak tahu transaksi daripada pelaku yang terlibat dalam kes penipuan online atau mengambil sikap tutup sebelah mata demi untuk mengaut keuntungan semata-mata kerana seolah kesalahan diletakkan kepada mangsa yang juga pemegang akaun.
Bagaimana pula kes 1MDB boleh diketahui siapa penerima dan pelaku transaksi tetapi sejumlah kes mangsa ini pihak tidak pula mendedahkan siapa pelakunya?
Di mana keadilan untuk puluhan ribu mangsa ini jika tidak disiasat di peringkat transaksi online oleh pihak bank?
Sumber – Mediavariasi
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kes jumpa mayat perempuan di Bukit Ibam polis tahan 3 Orang Asli
KUANTAN – Susulan penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Bukit Ibam, Rompin, Pahang pada Ahad, polis Kuantan menahan tiga lelaki Orang Asli pada Isnin.
Ketiga-tiga lelaki Orang Asli itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa yang juga merupakan Orang Asli dipercayai dibunuh dan remaja itu ditemukan di lereng bukit berhampiran rumahnya di Bukit Ibam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis memperoleh perintah reman daripada Mahkamah Majistret Rompin untuk menahan ketiga-tiga suspek berusia 22, 29 dan 38 tahun, sehingga 29 Ogos ini.
“Semua suspek dipercayai merupakan kenalan mangsa dan berasal dari kawasan penempatan yang sama,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang, pada Selasa.
Beliau juga mengesahkan semua suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, mangsa yang difahamkan tidak bersekolah ditemukan oleh sepupunya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala sebelum laporan polis dibuat pada 2.45 pada Ahad.
“Mangsa difahamkan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada malam sebelumnya, menyebabkan bapa mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum mayatnya ditemukan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mayat mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan akan dibedah siasat pada Selasa, bagi mengetahui punca kematian.
Mohd Azahari meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi polis di 09-4145999 atau Pegawai Penyiasat Asistan Superintenden Abdul Khaliq Mustopa di 019-9999769.
SUMBER — Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lima lelaki ceroboh dan serang pusat tahfiz dijatuhi hukuman penjara dan denda
LIPIS – Lima lelaki yang menceroboh, menyerang dan mencederakan seorang guru dan pelajar pusat tahfiz di Jalan Chenerang, dekat sini dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret Lipis di sini, hari ini.
Tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38, Zulkifli Mohd Nasir, 27 dan Azraen Che Mat Noor, 43, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.
Kelima-lima lelaki yang menceroboh, menyerang dan mencederakan guru dan pelajar dijatuhi hukuman di Mahkamah Majistret Lipis, hari ini.
Tiga tertuduh itu, didapati telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, yang merupakan seorang guru di pusat itu.
Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Sesyen 323 Kanun Keseksaan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Siti Aisyah kemudiannya menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh lapan bulan penjara dan denda RM1, 000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Dua lagi yang dituduh, Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, Rizuwan Hazmi, 47 turut mengaku bersalah.
Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh didapati bersalah dengan niat telah melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras di sini jam 5.10 petang, 11 Ogos lalu.
Dalam penghakimannya, Siti Aisyah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara daripada tarikh mereka ditangkap.
Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum 3 tahun atau denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya.
Siti Aisyah kemudiannya menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM2,000 serta tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda kepada kelima-lima tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Kejadian itu juga telah menimbulkan rasa takut, trauma dan mendatangkan ancaman kepada institusi pendidikan khususnya kepada pelajar serta guru.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Warganegara asing maut, seorang ditahan untuk bantu siasatan dalam pergaduhan di kebun sayur
BENTONG – Seorang lelaki warganegara asing berusia 27 tahun meninggal dunia akibat mengalami cedera parah dalam kejadian pergaduhan di kawasan kebun sayur di Lebu, dekat sini, pada jam 2.50 pagi, hari ini.
Sepasukan pihak polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat berkaitan kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong berkata, siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki warganegara asing berusia 27 tahun merupakan pekerja kebun telah mengalami cedera parah dalam kejadian tersebut.
“Pihak polis turut menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 26 tahun di kawasan kebun sayur tersebut dan merampas sebilah pisau berukuran kira-kira 12 inci dipercayai digunakan dalam pergaduhan bagi membantu siasatan.
“Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 23 ogos 2022 dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan” katanya.
Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan bantuan kecemasan dan rawatan, namun telah meninggal dunia kira-kira jam 5.40 pagi.
“Punca pergaduhan dan punca kematian mangsa belum dapat dikenalpasti. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Temerloh untuk dibedah siasat.
“Pihak polis memohon saksi yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC), IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Budak taska dipercayai kena dera, dipaksa makan biji cili di Kepong
SEORANG pengasuh wanita didakwa melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah taska di Kepong, Kuala Lumpur dengan memukul serta dikatakan memberi makan biji cili. Kejadian tersebut dikongsikan menerusi dua rakaman video oleh seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa pelaku bertindak memukul dan menyuap sesuatu dipercayai biji cili secara paksa kepada mangsa.
Pemilik Facebook yang menggunakan nama Angel Ng berkata, video itu diperoleh menerusi saudara terdekat dan berharap rakaman itu disebarkan bagi melindungi kanak-kanak di pusat asuhan itu.
“Berapa ramai kanak-kanak yang akan menjadi mangsa jika pelaku masih bekerja di pusat jagaan itu. Adakah wajar kanak-kanak diperlakukan sedemikian?
“Jangan bekerja (pengasuh) jika tiada nilai kasih sayang dan penyabar dalam diri. Orang yang tiada kasih sayang tidak layak menjadi pengasuh,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Ahad.
Pemilik Facebook tersebut bagaimanapun memberitahu kanak-kanak yang menjadi mangsa tersebut bukan anaknya dan tidak pasti jika ibu bapa mangsa sedia maklum dengan kejadian itu.
“Saya harap ibu bapa kanak-kanak tersebut melihat video ini. Ibu bapa kanak-kanak ini pasti sedih kerana menyangka anak-anak gembira belajar dan berkawan tetapi akhirnya dilayan seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu.
“Jika ibu bapa mangsa membuat laporan, maka kita akan mempertimbangkan untuk membuka kertas siasatan,” katanya.
Sumber – Majoriti
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tiga suspek serang dan cedera pelajar dan guru pusat tahfiz ditahan polis
LIPIS – Tiga suspek yang terbabit menyerang dan mencederakan seorang pelajar serta seorang guru di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras di sini berjaya diberkas polis awal pagi tadi.
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dua suspek terbabit telah ditahan di Perhimmpunan Yamaha RXZ 4.0 di Kuala Terengganu pada jam 2 pagi hari ini, manakala seorang lagi ditahan di Felda Lepar Utara Satu, Jerantut pada jam 8 pagi.
“Ketiga-tiga suspek yang diberkas berusia 30-an dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis untuk proses dokumentasi sebelum mendapat perintah reman dari mahkamah di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan.
“Ketiga orang suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis heroin dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu sidang media di IPD Lipis di sini hari ini.
Katanya, semalam polis berjaya memberkas dua orang suspek di Kampung Damak, Jerantut selepas kejadian tersebut dan juga didapati dadah jenis Methamphetamin.
“Tangkapan kelima suspek tersebut berikutan polis menerima laporan selepas kelima-lima mereka terbabit menyerang pusat tahfiz dan mencederakan dua mangsa semalam.
“Kejadian ini dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz itu,” katanya.
“Tindakan membuat serangan fizikal dan menceroboh pusat tahfiz tidak dibenarkan sama sekali termasuk memasuki kawasan berkenaan terdapat kanak di bawah umur yang membabitkan Akta Kanak-kanak,” katanya.
Selanjutnya, Azli menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri selain perlu berbincang terlebih dahulu sekiranya timbul rasa tidak puas hati terhadap pengurusan pusat tahfiz. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Tiga suspek daripada 5 orang yang menceroboh dan menyerang seorang ustaz dan pelajar di sebuah pusat tahfiz, petang semalam.
Lima suspek serang dan cederakan 2 orang di pusat tahfiz Lipis
LIPIS – Lima suspek termasuk seorang pelajar pusat tahfiz telah menyerang serta mencederakan seorang ustaz dan seorang pelajar di pusat tahfiz dalam kejadian menceroboh di pusat tahfiz Jalan Cheneras dekat sini pada jam 5.10 petang, semalam.
Dalam kejadian itu, seorang ustaz yang ditugaskan menjaga pusat itu, Zulhafiz Mohd Rasid cedera di mata sebelah kanan dan menerima 4 jahitan, cedera tangan dan lebam di badan, manakala seorang pelajar pusat itu yang turut diserang mengalami kecederaan dan sakit badan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku apabila kesemua lima suspek telah pergi ke pusat tahfiz itu dengan menaiki sebuah pickup jenis Isuzu dan 3 orang daripadanya turun menyerang dua orang mangsa tersebut.
“Dipercayai bapa saudara kepada seorang pelajar pusat tahfiz itu menjadi punca lima suspek menyerang seorang ustaz yang kerana tidak berpuas hati berkaitan dengan pembayaran makanan di situ.
“Sementara itu, berdasarkan maklumat orang ramai dan risikan, dua orang suspek ditahan dalam satu serbuan yang telah dilakukan di kawasan Damak, Jerantut dan ditahan reman selama empat hari sehingga 12 ogos ini, “ katanya.
Azli berkata, kedua-dua suspek yang berjaya diberkas itu berusia 30-an dan mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah serta dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan melakukan pencerobohan kawasan.
“Dalam ujian awal, kedua-dua suspek yang berjaya diberkas turut positif dadah jenis methamphetamin dan ditahan di Balai Polis Kuala Lipis dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tiga suspek yang masih bebas telah dikenali identitinya dan usaha mengesan dan menangkap suspek sedang dijalankan, pihak polis berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat untuk mengesan suspek dalam kes ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seorang datuk seri dan 25 orang ditahan dalam serbuan parti liar di Janda Baik
BENTONG – Seorang bergelar datuk seri bersama 25 orang yang lain ditahan dalam satu serbuan menyertai parti liar di sebuah rumah banglo yang disewa di kawasan Janda Baik, Bukit Tinggi dekat sini , pada jam 1.00 pagi hari ini.
Dalam serbuan tersebut, terdapat 15 lelaki dan 10 wanita yang berusia antara 18 tahun hingga 64 tahun ditahan kerana berada di tempat kejadian ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, seramai 17 warga tempatan dan 8 warga asing terbabit menyertai parti liar itu.
“Dalam serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan, polis telah menjumpai dan merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram dan pil ecstacy seberat 1.43 gram dan jumlah rampasan dianggarkan RM800.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas 25 orang yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamin,” katanya dalam siaran media, hari ini.
Katanya, kesemua suspek direman selama 4 hari bermula 11 Ogos hingga 14 Ogos ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan bagi kes Seksyen 12(2) boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
“Manakala, kes yang disiasat di bawah Seksyen 2, 15 (1) (A) boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 tau penjara maksimum dua tahun,” katanya.
Zaiham berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di Bentong dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kes jenayah tidak bermoral ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!