Lelaki berusia 34 tahun diberkas, Mad Kelawar dan Yun diburu polis Bentong kes ragut
Lelaki berusia 34 tahun diberkas, Mad Kelawar dan Yun masih diburu polis Bentong kes ragut
BENTONG : Seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 34 tahun berjaya ditangkap oleh orang awam ketika cuba meragut gelang tangan emas milik seorang pelajar perempuan beruia 23 tahun di sebuah stesen minyak Genting Sempah dekat sini.
Kejadian pada 26 November lalu pukul 1030 pagi turut menjadi tular di akaun Tiktok milik @MAELSMAIL yang bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya sentiasa lebih berwaspada dengan kegiatan jenayah tersebut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan polis mendapati mangsa, iaitu pelajar perempuan berkenaan sedang mengisi mnyak kereta lalu tiba-tiba dihampiri suspek lelaki berkenaan cuba meragut gelang tangan emas di tangannya.
“Mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan. Apabila mendengar jeritan, ayah dan abang ipar mangsa turun dari kereta dan terus mengejar suspek yang cuba melarikan diri bersama seorang lagi rakannya dengan motosikal namun gagal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, suspek yang berusia 34 tahun itu berjaya ditangkap oleh abang ipar mangsa dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian.
“Suspek berkenaan mempunyai lima rekod jenayah dan dadah. Dia kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk membantu siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama Zaiham menambah, polis Bentong masih memburu dua orang lagi suspek yang berjaya meloloskan diri dalam kejadian tersebut dikenali sebagai ‘Mad Kelawar’ yang mempunyai sembilan kes jenayah lampau dan pernah ditangkap sebanyak 16 kali.
“Polis juga turut memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai ‘Yun’ yang mempunyai rekod jenayah. Mad Kelawar dan Yun masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an,” katanya.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 393 Akta Kanun keseksaan, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun dan juga dikenakan denda,” katanya.
Ujarnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong meminta kerjasama orang ramai sekiranya melihat individu dan kenderaan yang mencurigakan di kawasan masing-masing segera menghubungi Pusat Kawalan daerah (DCC) menerusi talian 09 2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan.