WASHINGTON: Jumlah keseluruhan kes positif global COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah 34,124,948.
Data terbaharu JohnsHopkinsUniversity menunjukkan, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 7.2 juta kes.
Ini diikuti India dengan 6.3 juta kes, manakala Brazil merekodkan 4.8 juta kes.
Di Russia pula, jumlah jangkitan mencecah 1.17 juta.
Negara-negara seperti Colombia, Peru, Sepanyol, Mexico, Argentina, Afrika Selatan dan Perancis pula mencatat angka melebihi 600,000.
Sementara itu, menurut statistik JohnsHopkinsUniversity, angka korban di seluruh dunia setakat ini adalah sebanyak 1,016,723.
Bilangan yang maut di AS pula mencatat pertambahan kira-kira 1,000 dalam tempoh 24 jam dengan jumlah kumulatif setakat ini 207,550.
Brazil di tempat kedua dengan angka korban 143,952.
India dan Mexico juga terus mencatat pertambahan dengan masing-masing merekod kematian sebanyak 98,678 dan 77,646.
Negara-negara lain masih merekodkan angka korban di bawah 50,000 kes.
Sumber: ASTROAwani
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANK DUNIA LULUS PINJAMAN RM2 BILLION UNTUK FILIPINA
HANOI: Bank Dunia semalam, berkata pihaknya sudah meluluskan pinjaman bernilai AS$600 juta (RM2,489 juta) untuk menyokong kerajaan Filipina mengukuhkan perlindungan sosial bagi keluarga miskin dan kurang berkemampuan ketika pandemik COVID-19.
Pinjaman itu membolehkan Filipina melaksanakan Program Pantawid Pamilyang Pilipino (4P) untuk memberi geran tunai bersyarat kepada keluarga termiskin, lapor Agensi Berita Vietnam.
“Usaha ini sangat penting untuk memastikan anak-anak keluarga miskin dapat terus bersekolah dan sihat ketika negara mengambil langkah-langkah mengawal pandemik.
“Pada masa sukar ini, bantuan tunai kepada golongan miskin secara tidak langsung menyokong ekonomi tempatan dan meningkatkan prospek pemulihan,” kata Pengarah Bank Dunia untuk Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiamé Diop.
Projek itu akan menyokong penggunaan teknologi dan platform digital canggih serta membangunkan sistem yang lebih cekap.
Ia akan dilaksanakan di 145 bandar dan 1,483 perbandaran, 4P sudah memberi manfaat kepada lebih empat juta keluarga atau sekitar 20 peratus penduduk negara itu, termasuk 8.7 juta kanak-kanak.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TONGA: Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud Skala Richter melanda Kepulauan Tonga hari ini, menurut kajian Geologi Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, gempa bumi berukuran 6.4 Skala Ritcher itu menurun daripada bacaan pada 6.7, sebelumnya.
Gempa berlaku pada kedalaman 35 kilometer, iaitu kira-kira 210 kilometer di timur laut ibu negara itu, Nuku’alofa, menyatakan penduduk merasa gegaran berkenaan, tetapi tiada sebarang kerosakan dilaporkan.
Pusat Peringatan Tsunami Pasifik mengatakan tidak ada potensi bahaya gelombang di kawasan pesisir berdekatan.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan bahawa dua daripada tiga kes di dalam komuniti yang diumumkan terdahulu hari ini, adalah rakyat Malaysia.
Menurutnya seorang daripada mereka adalah lelaki berumur 23 tahun yang dikenal pasti sebagai kontak kes yang disahkan sebelum ini, dan telah dikuarantin.
“Dia diuji ketika menjalani kuarantin bagi menentukan statusnya walaupun tiada gejala penyakit dikesan (asymptomatic),” menurut kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan di sini.
Seorang lagi adalah wanita rakyat Malaysia berumur 31 tahun, dan setakat ini tiada kaitan dengan kes berkenaan.
Menurut kementerian itu kes berkenaan dikesan ketika pelaksanaan ujian komuniti yang ditingkatkan, khusus bagi menguji semua individu berumur 13 tahun dan ke atas yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut (ARI) semasa diperiksa kali pertama oleh doktor.
Kedua-dua kes itu menjadikan rakyat Malaysia yang dijangkiti di negara republik berkenaan minggu ini, kini berjumlah lima, dan kesemua mereka adalah pemegang pas kerja.
Singapura terdahulu dalam laporan awal hari ini mengesahkan tambahan 23 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes keseluruhan ini adalah 57,765.
Daripada 23 kes itu, empat adalah kes import manakala 16 membabitkan pekerja migran yang menghuni asrama.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Sebuah taman hidupan liar Britain terpaksa memindahkan lima burung kakak tua spesies African Grey berkongsi sebuah sangkar selepas haiwan berkenaan terus mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengunjung.
Menurut laporan AGENSI, Taman Hidupan Liar Lincolnshire mengambil kesemua burung kakak tua itu kira-kira enam minggu lalu dan meletakkan haiwan terbabit dalam kuarantin.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) taman terbabit, Steve Nichols, berkata sepanjang tempoh itu, burung berkenaan saling berkongsi kebolehan untuk mencarut dan berbahasa kesat.
“Saya digelar Si Gemuk setiap kali saya melintas,” katanya kepada CNN.
Nichols bagaimanapun berkata, itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi spesies berkenaan.
“Sejak 25 tahun lalu, kami selalu menerima burung kakak tua yang gemar menggunakan bahasa kesat dan sudah biasa dengan keadaan ini.
“Setiap kali akan ada seekor yang berkelakuan sedemikian dan ia agak menggelikan hati sebenarnya,” katanya.
Nichols berkata, hanya pada kali ini secara kebetulan mereka menerima lima burung kakak tua dalam minggu yang sama dan kesemuanya saling menyumpah antara satu lama lain.
“Lebih kerap anda ketawa mendengar kata-kata itu, lebih banyak sumpah seranah dihamburkan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUWAIT CITY: Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah meninggal dunia pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua, menurut Amiri Diwan.
Pada 23 Julai, Emir berlepas ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan lanjut berikutan pembedahannya baru-baru ini, lapor Agensi Berita Kuwait.
Beliau dimasukkan ke hospital pada 18 Julai untuk pemeriksaan dan menjalani pembedahan sehari kemudian, memetik Menteri Amiri Diwan Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah.
Buat masa ini, Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah memangku sebahagian tugas Emir.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hanya menjelaskan cukai pendapatan persekutuan pada 2016 sebanyak AS$750, tahun beliau memenangi pilihan raya, lapor The New York Times, pada Ahad, yang memetik data penyata cukai untuk tempoh lebih 20 tahun.
Media itu melaporkan, Trump juga membayar hanya AS$750 pada tahun pertama beliau di Rumah Putih dan langsung tidak membayar cukai pendapatan dalam tempoh 10 daripada 15 tahun lalu kerana melaporkan kerugian lebih banyak berbanding keuntungan.
Presiden AS tidak diwajibkan oleh undang-undang untuk mendedahkan secara terperinci mengenai kewangan peribadi mereka, namun semua pemegang jawatan itu sejak pentadbiran Richard Nixon melakukannya.
Trump memecahkan tradisi presiden apabila enggan mendedahkan penyata, melawan dalam tempoh yang panjang di mahkamah dan menimbulkan spekulasi mengenai apa yang mungkin terkandung di dalamnya.
Penyata cukai Trump menjadi isu utama pada pilihan raya 2016, sentiasa dimainkan ketika penggal presidennya dan pada pilihan raya November ini, yang mana Trump berhasrat mengekalkan jawatannya bagi penggal kedua.
The New York Times menyatakan, data cukai yang dilihat itu ‘memberikan hala tuju pendedahan, daripada penghapusan bagi kos peguam bela jenayah dan rumah agam yang digunakan sebagai tempat percutian keluarga sehingga perakaunan penuh bernilai jutaan dolar yang diterima presiden daripada pertandingan Miss Universe 2013 di Moscow’.
Alan Garten, peguam kepada Trump Organization, memberitahu The New York Times sebagai maklum balas bahawa ‘sejak sedekad lalu, Presiden Trump membayar puluhan juta dolar bagi cukai peribadinya kepada kerajaan persekutuan, termasuk membayar berjuta cukai peribadi sejak mengumumkan pencalonannya pada 2015’.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW YORK: New York yang pernah menjadi pusat wabak COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), menyaksikan negeri itu merekodkan peningkatan kes jangkitan lebih 1,000 sehari, menurut pegawai tempatan pada Sabtu.
Angka itu tidak pernah disaksikan sejak 5 Jun, berdasarkan statistik diterbitkan Pejabat Gabenor Andrew Cuomo.
“Daripada 99,953 ujian dilaporkan semalam (Jumaat), 1,005 adalah positif,” kata Cuomo dalam hantaran dimuat naik di Twitter.
“Adalah penting masyarakat New York untuk terus mengamalkan tabiat asas yang boleh mendorong keupayaan melawan COVID-19 ketika kita sedang bergerak memasuki musim luruh dan selesema.
Kita akan terus memantau data secara rapat dan pastikan masyarakat New York dimaklumkan supaya mereka boleh membuat keputusan bijak untuk diri sendiri serta keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhannya, situasi kesihatan di New York bertambah baik sejak kemuncak pandemik pada musim bunga.
Restoran di bandar New York yang sebelum ini terhad menjamu pelanggan dalam premis, kini dibenarkan untuk menyajikan makanan di luar bermula Rabu.
Namun, ia berdasarkan kapasiti yang dibolehkan iaitu pada kadar 25 peratus.
Keseluruhannya, AS pada Jumaat merekodkan tujuh juta kes jangkitan COVID-19 sejak pandemik itu tercetus.
Penyakit itu membunuh hampir 205,000 orang di negara itu, menurut angka dikeluarkan Universiti Johns Hopkins.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW YORK: India selaku pengeluar vaksin terbesar dunia akan menggunakan sumbernya untuk manfaat masyarakat dunia dalam memerangi pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri, Narendra Modi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu.
Dalam ucapannya secara maya di Perhimpunan Agung PBB, Modi berkata kapasiti pengeluaran dan penghantaran vaksin akan digunakan untuk membantu semua manusia dalam memerangi krisis berkenaan.
“India juga akan membantu semua negara dalam meningkatkan rantaian dan kapasiti penyimpanan untuk pengiriman vaksin,” katanya.
Dalam ucapannya itu, beliau tidak menyentuh secara langsung mengenai perubahan iklim atau pertempuran di sempadan India dan China pada Jun lalu yang menyaksikan 20 anggota tentera India terbunuh.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menegaskan dalam ucapannya kepada PBB bahawa mana-mana negara yang membangunkan vaksin COVID-19 perlu berkongsi secara universal.
Morrison membuat rayuan dengan tegas ketika Amerika Syarikat menolak usaha global untuk berkolaborasi dalam membangunkan vaksin.
“Ini adalah tanggungjawab global dan tanggungjawab moral untuk memastikan pengagihan vaksin dilakukan secara meluas,” kata Morrison.
Modi turut mengulangi gesaan India supaya pembaharuan terhadap PBB dilakukan dan supaya negara kedua terpadat di dunia itu diberi lebih banyak pengaruh dalam badan global.
“Selama lapan hingga sembilan bulan ini, seluruh dunia memerangi wabak coronavirus. Di manakah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha bersama melawan wabak ini? Di manakah tindak balasnya yang berkesan?,” soal Modi.
India bersama Norway, Ireland dan Mexico akan menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB untuk dua penggal bermula 1 Januari 2021.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MELBOURNE: Perintah berkurung di Melbourne akan ditamatkan pada Isnin, selepas hampir dua bulan dilaksanakan di bandar kedua terbesar Australia itu dalam usaha mengekang peningkatan mendadak COVID-19.
Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, berkata penduduk Melbourne bebas keluar dari kediaman mereka pada bila-bila masa untuk bekerja, bersenam dan membeli barang keperluan.
Kelonggaran itu diberikan selepas 16 jangkitan baharu dan dua kematian dilaporkan di Victoria pada Ahad serta kes aktif negeri terbabit menurun di bawah paras 400 untuk pertama kalinya sejak 30 Jun lalu
Perintah berkurung dikuatkuasakan di Melborune pada 2 Ogos lalu, bersamaan dengan sekatan lain ekoran berlaku lonjakan kes COVID-19 di bandar yang memiliki populasi sekitar lima juta orang.
Andrew berkata keputusan itu tidak dibuat secara sewenang-wenangnya tetapi tiada mana-mana pihak berhak untuk meletakkan semua risiko terhadap warga Victoria.
Bagaimanapun pergerakan orang ramai masih terbatas dalam lingkungan lima kilometer (km) dari kediaman mereka dan denda bagi yang melanggar sekatan lain akan dinaikkan menjadi AS$3,515 (RM14,662) bagi menghalang perbuatan itu.
Melbourne, ibu kota Victoria menjadi pusat gelombang kedua Australia selepas virus tersebar dari hotel yang menjadi pusat kuarantin perantau pulang dari luar negara.
Menurut Andrews beberapa sekatan lain juga akan ditarik semula, sekali gus membolehkan pekerja di industri tertentu kembali dan majlis keagamaan dalam skala kecil disambung semula.
Murid sekolah rendah akan kembali ke kelas mulai pertengahan Oktober dan pusat jagaan kanak-kanak turut akan dibuka semula dengan segera.
Lawatan ke hospital dan kemudahan penjagaan warga emas dibenarkan dengan syarat yang ketat, namun lawatan ke rumah akan tetap dilarang serta perjumpaan di luar rumah terhad kepada lima orang dari dua isi rumah.
Andrews berkata kediaman adalah antara persekitaran yang paling berisiko untuk penularan virus.
Secara relatifnya, Australia berjaya membendung penyebaran COVID-19, dengan merekodkan lebih 27,000 kes dan 872 kematian daripada populasi penduduk seramai 25 juta orang.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!