LEIDSCHENDAM: Mahkamah antarabangsa menjatuhkan lima hukuman penjara seumur hidup kepada seorang pelarian Hizbullah semalam atas dakwaan membunuh bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri dan 21 individu lain pada tahun 2005.
BEKAS PM LUBNAN, RAFIQ HARIRI
Tertuduh, Salim Ayyash, 57, yang dibicarakan secara absentia (tidak hadir), didapati bersalah membunuh dan melakukan keganasan pada 18 Ogos lalu oleh Tribunal Khas di Belanda menerusi serangan nekad yang meragut pemimpin itu serta mencederakan 226 yang lain.
Dalam kenyataan yang dipetik dari BHOnline, ketika mengumumkan hukuman itu, Ketua Hakim David Re, berkata Salim terbabit dalam keganasan yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai.
“Mahkamah berpuas hati dan perlu mengenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup untuk semua lima tuduhan jenayah dan hukuman akan berjalan serentak.
“Mahkamah itu turut mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap Salim atas jenayah yang sangat berat dilakukannya,” katanya.
Salim masih kekal sebagai pelarian dan Ketua gerakan Hizbullah Syiah, Hassan Nasrallah, enggan menyerahkannya, atau mengiktiraf mahkamah itu yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUMATERA: Akibat bermain dengan layang-layang gergasi, seorang kanak-kanak di Indonesia patah tulang tangan selepas diterbangkan alat permainan itu.
Agensi melaporkan, dalam kejadian tengah hari 1 Disember lalu, kanak-kanak berusia 12 tahun itu diterbangkan layang-layang ketika bermain di padang sekolah berdekatan wilayah Pringsewu, Lampung.
Menurut Ketua daerah Ambarawa, kanak-kanak itu tersangkut pada tali layang-layang itu sebelum diterbangkan berbelas meter dari tanah.
Abang sulungnya, Acil, 28, berkata, sebelum kejadian, layang-layang itu diterbangkan seorang adiknya yang lain manakala mangsa memegang talinya.
“Dia memegang terus tali layang-layang itu menyebabkan insiden itu berlaku,” katanya dalam portal Coconuts.co.
Katanya, dia menemani adik-beradiknya itu ke padang berkenaan namun hanya menunggu dalam kenderaan.
Agensi Perlindungan Kanak-kanak (LPA) Pringsewu mengesahkan mangsa mengalami enam keretakan di kedua-dua tangannya.
KEADAAN kanak-kanak terbabit ketika diterbangkan layang-layang. FOTO AGENSI
Ia selepas kanak-kanak itu terjatuh ke atas tanah dan kini dilaporkan semakin sembuh selepas menjalani dua prosedur pembedahan.
Susulan kejadian itu, LPA memberi amaran kanak-kanak harus bermain layang-layang yang sesuai dengan saiz badan mereka
Menurut agensi berkenaan, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku.
Sebelum ini, remaja berusia 14 tahun di wilayah Bantul, Yogyakarta turut diterbangkan layang-layang setinggi 3.35 meter dari tanah, mengakibatkan pahanya patah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KATHMANDU: Ketinggian puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest, meningkat sedikit hari ini apabila China dan Nepal akhirnya mencapai kata putus selepas berdebat selama beberapa dekad mengenainya.
Menurut laporan AFP, ketinggian baharu 8,848.86 meter itu dipersetujui pada sidang media bersama di Kathmandu, 86 sentimeter lebih tinggi berbanding ukuran sebelumnya, yang diperakui oleh Nepal dan lebih empat meter berbanding ukuran rasmi China.
Perbezaan itu berlaku kerana China mengukur dasar batu di puncak dan tidak seperti pembacaan baru di mana salji dan ais yang menutupi di puncak turut dikira.
Nepal memutuskan untuk melakukan tinjauan yang pertama selepas cadangan bahawa pergerakan plet tektonik termasuk akibat gempa bumi besar pada 2015 mungkin mempengaruhi ketinggian Gunung Everest.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
6 ORANG MAUT UJIAN PERCUBAAN VAKSIN Pfizer/BioNTech COVID-19
WASHINGTON : Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) mendedahkan enam orang meninggal dunia dalam fasa percubaan vaksin Pfizer/BioNTech COVID-19, hanya beberapa jam selepas Britain menjadi negara pertama dunia menggunakan vaksin itu.
Bagaimanapun, FDA menjelaskan, kes kematian itu tidak menimbulkan isu keselamatan atau persoalan baharu mengenai keberkesanan vaksin kerana ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar yang sama.
Laporan setebal 53 muka surat itu yang dikeluarkan FDA hari ini adalah analisis terperinci pertama berkenaan percubaan vaksin oleh Pfizer dan BioNTech, pada November dengan 95 peratus keberkesanan mencegah jangkitan COVID-19.
Dokumen itu mendedahkan dua mangsa meninggal dunia ketika menerima dos percubaan vaksin itu, manakala empat lagi maut ketika berada di peringkat placebo.
“Semua mangsa yang meninggal dunia mewakili kadar populasi umum dan peringkat kumpulan umur di mana ia berlaku pada kadar sama,” kata laporan itu.
Ia mengesahkan vaksin itu seperti dilaporkan oleh Pfizer, sekurang-kurangnya 95 peratus keberkesanan dalam masa tujuh hari selepas suntikan kedua, menurut laporan agensi berita antarabangsa, thenewdaily.com.
Data terbabit menunjukkan vaksin berkenaan hanya 52 peratus berkesan selepas dos pertama.
Laporan itu merumuskan keberkesanan data memenuhi jangkaan FDA bagi kebenaran kegunaan kecemasan.
Bagaimanapun data itu masih tidak mencukupi untuk merumuskan sejauh mana vaksin itu selamat untuk kanak-kanak di bawah usia 16 tahun, wanita hamil dan individu yang mempunyai gangguan sistem imun.
Hujung minggu ini, panel saintis bebas akan menilai laporan FDA sebelum mengesyorkan sama ada mereka yang berusia 16 tahun ke atas disyorkan menerima vaksin terbabit.
FDA mengatakan keputusan itu menunjukkan titik keberkesanan yang sama antara kumpulan umur, jantina, kaum dan etnik dan peserta dengan komorbiditi perubatan yang berkaitan dengan risiko tinggi COVID-19 .
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GENEVA: Rangka seekor harimau prasejarah bertaring panjang (sabre–toothed) dianggarkan berusia hampir 40 juta tahun dijual dengan harga AS$70,000 atau RM284.7 juta.
Rangka haiwan berukuran 120 sentimeter (cm) yang ditemui di sebuah ladang di Amerika Syarikat, tahun lalu, disambar peminat koleksi itu hanya dalam satu minit ketika sesi lelongan yang berlangsung di Geneva, semalam.
Tulang rangka asli haiwan spesies Hoplophoneus, adalah harimau yang sudah pupus dari keluarga Nimravidae dan pernah hidup di Amerika Utara.
Haiwan pemangsa yang pupus seperti itu biasanya dikenali harimau bertaring panjang atau sabre–toothed.
Lelongan sama juga mempertaruhkan gigi TyrannosaurusRex pada harga AS$6,000 atau RM24,404 sementara sirip panjang berukuran 85cm daripada mosasaur, reptilia laut yang dijumpai pada zaman Cretaceous dibeli dengan harga hampir AS$8,000 atau RM32,539.98.
Batu pertama organik, Ammonite berusia 75 juta tahun berbentuk bujur berwarna merah dan oren – berukuran 40 lcm dengan lebar 36 lcm bagaimanapun tidak dibida sesiapa.
Perbahasan sering berlaku mengenai nilai keseimbangan dan nilai saintifik barangan terbabit dan nilai mereka di pasaran terbuka.
Sebilangan pakar paleontologi menegaskan rangka dan fosil haiwan atau tumbuhan bukan objek hiasan untuk pengumpul koleksi, tetapi menyaksikan evolusi kehidupan di bumi.
Ia seharusnya dikaji dan kemudian dipamerkan kepada orang ramai di muzium.
Sebelum penjualan, pengumpul dari Switzerland, Yann Cuenin, memberitahu AFP, berkenaan bertaring panjang itu kerangka badannya yang menarik dan bukannya penyelidikan saintifik yang sudah diketahui oleh sains.
“Semuanya adalah untuk muzium, namun saya juga menyukai objek yang hidup bersama kita, untuk pengumpul, koleksi yang hendak dibeli dan dijual, itulah yang menghidupkan budaya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARGARET KEENAN WARGA EMAS PERTAMA MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19
LONDON : Margaret Keenan, 90, yang menjadi wanita pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 di England menganggapnya sebagai hadiah hari jadi terbaik ketika program vaksinasi besar-besaran dilancarkan di United Kingdom (UK).
MARGARET TERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 DI MATRON UNIVERSITY HOSPITAL, COVENTRY, UK
Beliau yang menerima suntikan daripada Matron University Hospital di Coventry , May Parsons, adalah salah satu daripada 800,000 dos vaksin Pfizer/BioNTech yang akan diedarkan dalam beberapa minggu akan datang.
“Ini bermakna saya dapat meluangkan masa untuk bersama keluarga dan rakan saya pada tahun baru selepas bersendirian sepanjang tahun.
“Saya tidak dapat membalas budi May dan staf NHS yang menjaga saya serta menasihatkan sesiapa yang ditawarkan vaksin ini supaya mengambilnya.
“Jika saya dapat memilikinya pada usia 90 tahun, maka anda juga boleh memilikinya,” katanya yang akan menyambut ulang tahun ke 91 minggu depan.
MARGARET TERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 DI MATRON UNIVERSITY HOSPITAL, COVENTRY, UK
Dijangka lebih empat juta individu lagi akan menerima vaksin, yang mana hub di UK akan mengutamakan individu berusia lebih 80 tahun dan kakitangan kesihatan dan penjagaan, dalam usaha kembali kepada kehidupan seperti biasa.
Sementara itu di Ireland utara, biarawati Joanna Sloan, menjadi individu pertama menerima vaksin di di Hospital Royal Victoria, Belfast.
Di Wales pula, Craig Atkins, 48, dari Ebbw Vale, menjadi orang pertama menerima suntikan biarpun dalam ketakutan, namun akhirnya beliau boleh tersenyum.
UK adalah negara pertama menggunakan vaksin Pfizer selepas pihak pengawal selia meluluskan penggunaannya minggu lalu.
Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock, memberitahu BBCBreakfast bahawa perjalanan masih panjang tetapi jalan keluar sudah kelihatan.
“Saya gembira melihat Margaret mendapatkan suntikannya dan bertekad bahawa sebagai negara, kita harus tetap bersama kerana virus ini membunuh, kita perlu patuh kepada peraturan,” katanya.
Dalam lawatan ke Hospital Guy London, Perdana Menteri, Boris Johnson, bertemu dengan pesakit, Lyn Wheeler, 81, yang menerima suntikannya.
“Sangat terharu mendengarnya mengatakan bahawa beliau melakukannya untuk Britain, bukan saja dia melindungi dirinya sendiri tetapi turut membantu melindungi seluruh negara,” katanya.
MARGARET TERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 DI MATRON UNIVERSITY HOSPITAL, COVENTRY, UK
Kira-kira 800,000 dos vaksin Pfizer/BioNTech ditempah oleh kerajaan UK untuk diberikan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Tempahan sudah dilakukan untuk jumlah keseluruhan 40 juta dos iaitu mencukupi untuk 20 juta penduduknya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WASHINGTON: Trak dan pesawat kargo siap siaga mengagihkan jutaan dos vaksin COVID-19 ke seluruh Amerika Syarikat (AS), menerusi Operasi Warp Speed.
Jeneral tentera AS, Gus Perna yang bertanggungjawab menguruskan logistik kerajaan bagi operasi itu, sudah mengerahkan anggota dan pakar kesihatannya sejak seminggu lalu sebagai persediaan sebaik vaksin itu diluluskan.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dijangka beri kebenaran penggunaan kecemasan vaksin yang dibangunkan syarikat Pfizer-BioNTech dan Moderna, antara Khamis ini hingga 17 Disember ini.
BHOnline yang memetik laporan AFP memaklumkan, pengagihan fasa pertama membabitkan kira-kira 6.4 juta dos vaksin Pfizer dalam tempoh 24 jam ke seluruh hospital dan tempat lain yang sudah membuat tempahan awal.
Anggota tentera itu tidak mengagihkan sendirian, berikutan kerajaan Persekutuan sudah melantik syarikat swasta bagi membantu mengendalikan operasi berkenaan.
Vaksin Pfizer itu dihasilkan di kilang miliknya yang terletak di Kalamazoo, Michigan.
Enam trak tentera akan digunakan setiap hari dengan setiap satunya membawa 1,000 botol vaksin lengkap dengan ais kering bagi mengekalkan suhu yang diperlukan sekitar negatif 70 darjah selsius.
Trak terbabit akan menuju ke lapangan terbang di mana syarikat penghantaran FedEx, UPS dan kapal kargo lain akan membawa muatan itu ke seluruh negeri di AS dengan Pfizer menjangkakan kira-kira 20 pesawat akan melakukan penghantaran setiap hari.
Moderna pula menghantar kira-kira 50 liter vaksinnya yang dibangunkan di New Hampshire dengan rakan kongsinya, Catalent, untuk proses pengisian dalam botol di Bloomington, Indiana.
Senarai penghantaran vaksin COVID-19 ke hospital, klinik, gudang untuk farmasi rakan kongsi syarikat itu dan klinik individu sudah dibuat oleh puluhan entiti negeri dan tempatan yang kemudiannya diserahkan ke ibu pejabat Operasi Warp Speed.
Justeru, Perna bertanggungjawab mengagihkan secepat mungkin dan memastikan penduduk mendapat dos pertama dengan segera selain dos kedua tersedia pada minggu ketiga (Pfizer) atau empat minggu kemudian (Moderna).
Penasihat Ketua Saintifik Operasi Warp Speed, Moncef Slaoui berkata kepada CNN, daripada aspek pengilangan, ia adalah rumit dan sukar daripada apa yang dibincangkan.
Ini berikutan pada minggu lalu, pegawai meramalkan 100 juta orang dijangka akan diberi vaksin menjelang hujung Februari ini, namun Slaoui menunda kepada pertengahan atau penghujung Mac.
“Masih tiada perincian yang kami lihat, tetapi bagaimana vaksin itu dapat diberikan pada pesakit,” kata Presiden AS dipilih, Joe Biden.
Apa yang penting bagaimana ahli farmasi, jururawat dan pegawai teknikal lain untuk menguruskan penghantaran dan membuat suntikan kedua, ketiga dan hingga keenam pada tahun hadapan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LEBIH SETENGAH JUTA RAKYAT THAILAND TERKESAN BANJIR AKAN DIBERI BANTUAN
BANGKOK: Banjir besar di selatan Thailand akibat hujan monsun, mengorbankan sekurang-kurangnya 26 nyawa dan membabitkan lebih 555,000 isi rumah.
Pada kemas kini jam 8 malam tadi (waktu tempatan), Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand melaporkan setakat ini 21 orang maut di Nakhon Si Thammarat iaitu kawasan paling teruk dilanda banjir, manakala dua maut masing-masing di Surat Thani dan Songkhla dan seorang di Trang sejak 25 November lalu.
“Situasi bertambah baik sedikit dan paras air mulai menurun. Bagaimanapun sejumlah 282,691 keluarga di lima wilayah masih terkesan dengan banjir,” menurut kenyataan yang dipetik Bernama.
Terdahulu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha melawat Nakhon Si Thammarat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, termasuk petani dan nelayan yang terjejas.
Beliau berkata, pihak berkuasa berkaitan akan menyediakan bantuan yang sepatutnya dan mempercepatkan proses pemulihan selepas banjir, termasuk membaiki rumah yang rosak dan infrastruktur.
“Agensi dan jabatan berkaitan akan mempercepatkan usaha mengalirkan air banjir selain mengkaji projek mitigasi banjir bagi menyelesaikan isu banjir di masa hadapan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANGKOK: Hujan lebat berterusan sejak lebih seminggu menyebabkan sembilan wilayah di selatan Thailand dilanda banjir yang mengorbankan tiga nyawa dan menjejaskan kira-kira 261,253 keluarga setakat ini.
Sembilan wilayah yang terjejas ialah Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Trang, Songkhla, Pattani, Narathiwat, Satun dan Yala berikutan hujan lebat sejak 25 Nov.
Nakhon Si Thammarat merupakan wilayah paling teruk terjejas akibat bencana itu.
SITUASI BANJIR DI THAILAND/CNN INDONESIA
Gabenor Nakhon Si Thammarat Kraisorn Wisitwong berkata kesemua 23 daerah di wilayah itu dilanda banjir yang telah menjejaskan kira-kira 500,000 penduduk.
Sehubungan itu, jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan untuk terus memantau khususnya di kawasan berisiko banjir.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat dijangka melanda Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Ranong, Phang-nga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tuntutan fitnah Johnny Depp atas pertuduhan memukul isteri memberi kesan dalam kerjayanya sebagai pelakon setelah dipecat dari membintangi sebuah filem Warner Bros iaitu Fantastic Beasts.
Namun, Johnny Depp tampil dalam iklan jenama minyak wangi terkenal Dior, Sauvage cologne yang disiarkan di United Kingdom.
Dikatakan Johnny Depp akan kekal sebagai face of the fragrance jenama tersebut dengan bayaran USD 3 juta hingga USD 5 juta.
Tidak seperti Warner Bros, Dior masih kekalkan Johnny Depp sebagai muka minyak wangi lelaki terkenal untuk menyokong beliau sebagai mangsa fitnah.
Selain itu peminat Johnny Depp juga banyak membuat ciapan di Twitter dengan menggunakan hashtag#JusticeForJohnnyDepp.
Ramai yang menyebelahi Johnny Depp, The Chic Geek membuat tinjauan pendapat kepada pengikut secara langsung. Adakah Dior perlu menggunakan Johnny Depp sebagai iklan? Sebanyak 96.9% bersetuju dan 2.8% mengatakan tidak.
Keputusan Dior mengekalkan Johnny Depp sebagai duta minyak wangi mereka, carian Dior Sauvage cologne di pencarian internet meningkat sebanyak 23% menjadikan minyak wangi lelaki tersebut antara produk jualan terlaris.
Peminat Johnny Depp menjadikan kejadian fitnah sebagai inspirasi dan menyokong beliau dalam kerjayanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!