MESIR: Seorang pelajar tahfiz dari Indonesia, Muhammad Al Fatih Syukur, 18, ditemui meninggal dunia di bilik tidurnya dipercayai akibat serangan jantung di Mesir pada 9 Februari lalu.
Seorang sahabatnya, Zaenal Akhbar Mustaqin terkejut kerana setahunya arwah tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum ini.
“Saya mengenali anak muda yang hebat ini, tiada sebarang tanda yang dia akan pergi selamanya dan dia bakal melanjutkan pengajiannya ke Univeristi Al Azhar pada September 2021 setelah pengajian di Daurah tamat.
“Muhammad al-Fatih Syukur adalah salah seorang pelajar terbaik di sana dan antara yang terawal menghafaz 30 juzuk Al-Quran,” katanya.
Katanya, memohon Allah mengampunkan dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERANCIS CADANG SATU DOS VAKSIN UNTUK BEKAS PESAKIT
PARIS: Perancis mengesyorkan individu yang sudah pulih dari COVID-19 menerima satu dos vaksin, negara pertama yang mengeluarkan panduan demikian.
Ketiga-tiga vaksin COVID-19 yang diluluskan untuk digunakan di Kesatuan Eropah dalam bentuk dua dos, sudah diberikan beberapa minggu yang lalu.
Ini berikutan ujian klinikal menunjukkan bahawa imuniti terhadap penyakit ini jauh lebih tinggi, selepas individu mendapat dua dos suntikan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan awam Perancis mengatakan bahawa mereka yang sudah pulih COVID-19 mempunyai tindak balas imun yang serupa dan mungkin dengan satu dos selepas jangkitan, sudah mencukupi, lapor AFP.
GAMBAR HIASAN
“Satu dos vaksin juga akan berperanan untuk mengingatkan sistem imun mereka bagaimana memerangi COVID-19.
“Ketika ini tidak ada negara yang secara jelas menetapkan hanya satu dos vaksin kepada mereka yang sudah dijangkiti COVID-19,” menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan awam yang turut mencadangkan jarak antara tiga hingga enam bulan, selepas jangkitan sebelum individu yang menerima suntikan.
Semalam, lebih daripada 2.1 juta orang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dengan hampir 535,800 orang menerima dua suntikan.
Sekurang-kurangnya 3.4 juta orang jangkitan COVID-19 di Perancis, walaupun ada kemungkinan lebih banyak kerana kekurangan ujian yang mudah diakses, semasa gelombang pertama wabak ini.
Dua kajian oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menunjukkan bahawa satu dos vaksin mungkin berfungsi pada individu yang sudah pulih dari COVID-19 dan kekebalannya mungkin sama dengan hanya menerima satu suntikan.
Vaksin yang masih dibangunkan oleh Johnson & Johnson berfungsi dengan satu dos saja, masih belum mendapat kebenaran penggunaan kecemasan dari pengawal selia Kesatuan Eropah dan AS.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TOULON, PERANCIS: Individu tertua di Eropah yang hidup dalam tempoh dua perang dunia, Sister Andre, menyambut kelahirannya ke-117 hari ini selepas pulih daripada COVID-19 bulan lalu.
Wanita itu dirai dalam sambutan khas termasuk dijamu dengan sajian pencuci mulut kegemarannya, Baked Alaska.
Dilahirkan sebagai Lucile Randon pada 11 Februari 1904, Sister Andre tidak menyedari dirinya dijangkiti COVID-19, yang turut meragut 10 nyawa selepas virus itu menjangkiti 81 penghuni rumah jagaan di Tenggara Toulon.
“Saya dimaklum bahawa saya dijangkiti. Saya sangat letih, itu benar, tetapi saya tidak menyedarinya,” kata anggota komuniti agama wanita itu.
Jurucakap rumah jagaan Sainte-Catherine-Laboure, David Tavella, memberitahu Andre menempuh tiga pengasingan, di kerusi roda, di biliknya dan tanpa lawatan.
Andre memberitahu tidak akan melakukan sesuatu yang istimewa sempena ulang tahun kelahirannya ke-117 namun rumah jagaan itu merancang sambutan untuknya.
Katanya, makanan kegemarannya adalah udang galah dan dia turut menikmati segelas wain.
“Saya minum segelas wain setiap hari,” katanya.
Dilahirkan di Ales dalam keluarga Protestan dan satu-satunya anak perempuan daripada tiga beradik.
Antara kenangan terindahnya adalah kepulangan dua adik beradik lelakinya pada akhir perang dunia pertama.
“Jarang sekali, dalam setiap keluarga, biasanya ada dua yang mati dan bukannya dua yang masih hidup. Mereka berdua pulang,” katanya kepada AFP.
GAMBAR IHSAN AFP
Beliau berfahaman Katolik dan memeluk Kristian pada usia 26 tahun sebelum menyertai anggota komuniti agama wanita, Daughter of Charity pada usia 41 tahun.
Andre kemudian ditugaskan ke sebuah hospital di Vichy dan bekerja selama 31 tahun di sana, kemudian menghabiskan 30 tahun di rumah jagaan di Pergunungan Alpen, Perancis sebelum berpindah ke Toulon.
Beliau adalah warga emas kedua tertua yang hidup di dunia, menurut Kumpulan Pengkaji Gerontology, selepas wanita Jepun, Kane Tanaka, berusia 118 tahun.
Ditanya nasihatnya kepada anak muda, beliau berkata: “(Sentiasa) berani dan tunjukkan sikap belas kasihan.”
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BAMAKO: Kira-kira 20 anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cedera dalam serangan di markas mereka di tengah Mali.
Menurut jurucakap misi PBB, Olivier Salgado, militan yang tidak dikenali menyerang markas sementara berdekatan Kerena, sebuah kampung di tengah negeri Sahel yang dilanda perang.
Markas yang diwujudkan pada 2013 itu menempatkan 13,000 anggota Misi Penstabilan Bersepadu Pelbagai Dimensi di Mali (MINUSMA), yang juga pasukan pengaman paling berbahaya di bawah naungan PBB, lapor AFP.
GAMBAR IHSAN AFP
Lebih 230 anggotanya maut sejak misi itu dimulakan termasuk lima yang menemui ajal akibat letupan objek peranti letupan (IED) bulan lalu.
Anggota tentera yang cedera dalam serangan terbaru itu termasuk beberapa yang parah, adalah dari kontingen pasukan pengaman Togo, menurut seorang pegawai yang enggan dikenali.
Mali bergelut dengan serangan militan sejak 2012 di utara negara itu dan kini merebak ke wilayah tengah dan negara berjiran, Burkina Faso serta Niger.
Ribuan anggota tentera dan orang awam terbunuh manakala ratusan ribu terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat perang.
Konflik serantau membabitkan pembunuhan etnik dan serangan terhadap anggota tentera menjadi perkara biasa di tengah Mali termasuk kawasan di mana serangan terbaru berlaku hari ini.
Minggu lalu, 10 anggota tentera Mali terbunuh di wilayah sama apabila kem mereka diserang kumpulan militan al-Qaeda.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RIYADH: Sebuah pesawat penumpang terbakar dalam serangan pemberontak Houthi di sebuah lapangan terbang di selatan Arab Saudi hari ini.
Perkara itu disahkan gabungan pihak berkuasa diketuai Arab Saudi bagi memerangi kumpulan pemberontak itu.
“Serangan pengecut pengganas ini menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di Arab Saudi ini dilakukan pemberontak Houthi.
“Bagaimanapun, kebakaran pesawat penumpang yang diserang pemberontak Houthi di Lapangan Terbang Antarabangsa Abha itu terkawal,” menurut laporan stesen televisyen Al-Ekhbariya yang dikendalikan kerajaan negara itu.
Pihak bersekutu itu tidak melaporkan sebarang korban jiwa atau memberitahu bagaimana serangan itu dilakukan tetapi awal hari ini, mereka dilaporkan berjaya memintas dua dron jerangkap samar di selatan kawasan itu, lapor AFP.
Pemberontak Houthi yang di sokong Iran, sebentar tadi mengeluarkan kenyataan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu menggunakan empat dron.
Jurucakap mereka, Yahya Sarie, menerusi ciapan Twitter, mendakwa lapangan terbang itu digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Yaman.
“Pesawat tanpa juruterbang (UAV) kami menyasarkan landasan pesawat perang di Lapangan Terbang Antarabangsa Abha, yang digunakan bagi melancar serangan terhadap rakyat Yaman,” katanya.
Pemberontak Houthi kini meningkatkan serangan ke atas kerajaan dan pasukan tentera Yaman yang disokong Riyadh selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tidak lagi menakrifkan pemberontak Houthi sebagai pengganas.
GAMBAR IHSAN AFP
Houthi kini meningkatkan serangan untuk merampas kubu kuat kerajaan Yaman, Marib, menurut sumber pemerintah, menyaksikan puluhan menjadi korban kesan pertempuran kedua-dua belah pihak.
Jumaat lalu, Jabatan Luar Negeri AS mengumumkan pihaknya secara rasmi memberitahu Kongres bahawa kerajaan itu menarik balik penakrifan pemberontak Houthi sebagai pengganas, yang diisytiharkan bekas Presiden AS, Donald Trump.
Langkah penghapusan pengganas Houthi itu diumumkan sehari selepas Presiden AS, Joe Biden, mengumumkan penamatan sokongan AS terhadap operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman.
Kumpulan bantuan kemanusiaan membantah tindakan terbaru itu yang dikhuatiri membahayakan operasi mereka di negara di mana majoriti penduduk bergantung kepada bantuan kemanusiaan.
Mereka turut mengakui tidak mempunyai pilihan selain berurusan dengan puak Houthi, yang menguasai banyak wilayah utara negara itu.
Arab Saudi terbabit dalam konflik di Yaman sejak 2015 bagi memperkasakan kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan sering menjadi sasaran serangan rentas sempadan oleh pemberontak Houthi.
Bulan lalu, pihak berkuasa Arab Saudi berjaya memintas dan memusnahkan senjataberbahaya musuh yang disasarkan ke ibu kota Riyadh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Dua gempa bumi kuat melanda Asia Tenggara dalam tempoh 30 minit malam ini masing-masing di Sumatera dan Kepulauan Loyalty.
Gempa bumi pertama dikesan di barat daya Sumatera, Indonesia berukuran 6.3 pada skala Richter ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada jam 8.52 malam berpusat di 228 kilometer (km) selatan dari Bengkulu, Indonesia pada kedalaman 49 km, lapor Bernama.
Gempa bumi kuat kedua berukuran 7.0 pada skala Richter kemudian dikesan melanda tenggara Kepulauan Loyalty pada jam 9.20 malam.
GAMBAR HIASAN
MetMalayia berkata, gempa bumi itu berpusat di 868 km barat daya dari Nadi, Fiji pada kedalaman 10km.
Kedua-dua gempa bumi itu bagaimanapun tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW ZEALAND GANTUNG HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN MYANMAR
WELLINGTON: New Zealand hari ini mengumumkan penangguhan hubungan ketenteraan dan politik peringkat tinggi dengan Myanmar.
Ini adalah langkah antarabangsa pertama bagi menyisihkan junta pemerintah tentera berikutan rampasan kuasa oleh tentera negara itu.
Mengumumkan langkah itu, Perdana Menterinya, Jacinda Ardern, meminta masyarakat antarabangsa mengutuk keras apa yang berlaku di Myanmar.
“Selepas bertahun-tahun bekerja keras membangunkan demokrasi di Myanmar, saya rasa setiap warga New Zealand kecewa dengan apa yang kita lihat dalam beberapa hari kebelakangan ini apabila tentera mengambil alih pemerintahan.
“Kami mahu menegaskan yang kami akan melakukan apa yang bagi membantu Myanmar dari sini, di New Zealand,” katanya kepada wartawan tempatan.
Tambah Ardern, langkah itu termasuk larangan perjalanan ke atas tokoh tentera kanan Myanmar yang merampas kuasa di negara itu.
Minggu lalu, tentera Myanmar dilaporkan menahan Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi dan puluhan anggota parti itu, sekali gus mengakhiri satu dekad pemerintahan awam.
Ardern berkata New Zealand mahu Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) perlu memanggil sesi khas untuk membincangkan perkembangan di Myanmar.
Katanya, program bantuan New Zealand di Myanmar bernilai sekitar NZ$42 juta (RM170.46 juta) akan dipastikan tidak memberi manfaat atau berada di bawah penguasaan kendalian junta tentera.
“Kami sangat berhati-hati dengan apa pun bantuan dan kerja pembangunan yang kami lakukan di sana dan memastikan ia tidak akan menyokong rejim itu,” katanya.
Ardern mengakui New Zealand memiliki pengaruh yang terbatas ke atas tentera Myanmar tetapi memaklumkan Suu Kyi secara peribadi mengucapkan terima kasih kepadanya bagi bantuan ketika proses peralihan negara kepada sistem demokrasi.
“Saya rasa kita perlu memainkan peranan yang lebih dalam masa kritikal ini bagi Myanmar dan peralihan kepemimpinan mereka,” katanya.
Junta tentera mengisytiharkan darurat selama setahun minggu lalu dan berjanji akan mengadakan pemilihan baru selepas itu, tanpa menyatakan jangka masa yang tepat mengenainya.
Dengan tindakan terbaru junta tentera itu, maka berakhir eksperimen 10 tahun Myanmar di bawah pemerintahan demokrasi selepas hampir 50 tahun berada di bawah pemerintahan tentera.
Jeneral tentera membenarkan rampasan kuasa itu selepas mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya November lalu, yang dimenangi NLD, lapor AFP.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta, menolak dakwaan penipuan itu.
“Kami tidak mengiktiraf kesahihan kerajaan yang dipimpin tentera dan kami meminta tentera segera membebaskan semua pemimpin politik yang ditahan serta memulihkan pentadbiran awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DUBAI: Misi pertama kapal angkasa Arab selamat memasuki orbit planet Marikh hari ini selepas melalui tahap paling kritikal dalam pengembaraannya untuk membongkar rahsia cuaca di Planet Merah itu.
Kapal angkasa dinamakan Al-Amal, dalam bahasa Arab yang bermaksud Harapan, dilancarkan di Jepun tahun lalu, antara usaha terakhir dalam program ruang angkasa Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Misi angkasa itu adalah bukti kesungguhan negara yang kaya minyak itu untuk meneruskan kegemilangannya Asia Barat dalam pencapaian budaya dan ilmiah, lapor AFP.
UAE negara yang terdiri daripada tujuh kota Arab termasuk Dubai dan Abu Dhabi itu memiliki 12 satelit di orbit serta merancang untuk melancarkan beberapa lagi pada tahun berikutnya.
Cita-cita UAE melangkah lebih jauh, yang mana mereka berhasrat membina penempatan manusia di Marikh menjelang 2117.
UAE mempunyai rancangan untuk melancarkan rover tanpa pemandu ke bulan menjelang 2024 dan juga mengawasi projek perlombongan masa depan di luar Bumi serta pelancongan angkasa.
Negara itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pelancongan ruang angkasa milik Richard Branson, Virgin Galactic.
UAE juga mengumumkan pembentukan mahkamah angkasa untuk menyelesaikan pertikaian komersial berkaitan industri angkasa.
Pesawat peninjau Al-Amal berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima di selatan Jepun pada jam 6:58 pagi 20 Julai lalu.
Pesawat seberat 1.350 kilogram, kira-kira sama ukuran dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), mengambil masa tujuh bulan untuk menempuh jarak sejauh 493 juta kilometer ke Marikh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW DELHI: Malaysia dengan 42,500 sugar daddy berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia di belakang Indonesia dengan 60,250 orang.
India mengungguli senarai 10 teratas di Asia dengan 338,000 atau 61 peratus daripada jumlah keseluruhan 556,000 sugar daddy di rantau ini, menurut tinjauan oleh laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement.
Firma temu janji itu, dalam satu kenyataan, berkata negara dengan kadar pendidikan tinggi terbukti lebih rentan terhadap aliran ini berikutan pelajar dibebani hutang.
Dikatakan Malaysia mencatat hutang tertunggak pinjaman pelajar sebanyak RM39 bilion pada 2018.
Menurut laporan itu, keputusan yang sama dicatatkan di Korea Selatan dan Jepun, di mana masing-masing mencatat 90 peratus dan 76 peratus dari segi keutamaan terhadap pendidikan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif SeekingArrangement, Brandon Wade, berkata jurang antara kaya dan miskin di Asia yang semakin melebar dalam dua dekad terakhir mendorong lebih banyak wanita mencari lelaki yang lebih tua atas pelbagai alasan.
“Pentas seperti SeekingArrangement membantu menghubungkan wanita muda dengan lelaki yang lebih kaya atau mewah.
“Mereka bukan sekadar menyelesaikan masalah kewangan wanita terbabit, malah menjadi mentor atau batu loncatan bagi masa depan lebih baik untuk sugar babbies berkenaan,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Wade juga menyatakan bahawa ekonomi Asia yang berkembang pesat turut menarik banyak pelabur asing untuk melebarkan perniagaan mereka di rantau ini.
Justeru, tidak menghairankan Asia menjadi kancah temu janji bagi sugar daddy dan sugar baby terutama dalam kalangan penduduk bandar.
Selepas Malaysia, Jepun berada di tempat keempat dengan 32,500 sugar daddy diikuti Hong Kong di tempat kelima (28,600), Taiwan (27,300), Vietnam (12,000), Korea Selatan (7,000), Sri Lanka (5,000) dan Kemboja (3,500).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEIRUT: Serangan hendap didalangi militan Daesh yang menyasarkan sebuah konvoi, di timur Syria, mengorbankan 26 orang, termasuk tujuh tentera Syria.
Ketua Badan Pemantau bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman, berkata serangan awal pagi di wilayah Deir Ezzor itu tercetus ketika konvoi tentera cuba mengesan anggota militan terbabit, berikutan beberapa siri serangan sejak kebelakangan ini, lapor Agensi.
“Pertempuran kedua-dua pihak menyebabkan ramai yang terkorban.
“Sekurang-kurangnya tujuh daripada 26 yang terbunuh ialah anggota tentera Syria, manakala selebihnya terdiri daripada pejuang militan Syria.
“Turut terbunuh ialah 11 pengganas Daesh,” katanya.
Minggu lalu, kumpulan Daesh membunuh 19 anggota rejim Syria dan tentera bersekutu di wilayah tengah Syria.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Disember, tahun lalu, hampir 40 anggota tentera Syria terkorban apabila militan Daesh menyerang sebuah bas yang membawa tentera pulang ke rumah untuk bercuti.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan bulan ini, kawasan gurun di wilayah Deir Ezzor memberi kelebihan kepada pengganas Daesh untuk merancang serangan terhadap tentera rejim dan beberapa musuh lain.
Daesh setakat ini dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pejuang aktif di Iraq dan Syria, walaupun kebanyakan daripadanya dikatakan berada di Iraq.
Angka kematian berikutan peperangan di Syria sehingga kini menjangkau 387,000 orang, sejak ia meletus pada 2011.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!