EU DIGESA TIDAK LULUSKAN SPUTNIK SEHINGGA DISAHKAN SELAMAT
ZURICH: Pegawai kanan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) menggesa anggota Kesatuan Eropah (EU) untuk tidak meluluskan vaksin COVID-19 Sputnik V Russia sehingga ia disahkan selamat dan berkesan.
Ketua Lembaga Pengurusan EMA, Christa Wirthumer -Hoche ketika ditemubual stesen penyiaran Austria ORF dalam satu rancangan temubual, berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang dokumen yang boleh dirujuk berhubung vaksin itu dan data individu yang menerima imunisasi.
“Itu sebabnya saya menasihatkan supaya tidak memberikan kebenaran kecemasan nasional.
“Vaksin Sputnik V boleh digunakan pada masa hadapan apabila data yang sesuai sudah dikaji. Kajian itu kini sudah dimulakan di EMA.
“Data yang diperoleh dari pengeluar Russia akan dikaji mengikut standard Eropah membabitkan kajian kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Apabila semuanya terbukti maka ia juga akan dibenarkan di EU,” katanya, lapor AGENSI.
Sputnik V diluluskan atau sedang dinilai bagi kelulusan di tiga negara anggota EU iaitu Hungary, Slovakia dan Republik Czech.
Pegawai EU berkata, Brussels boleh memulakan rundingan dengan pembuat vaksin jika sekurang-kurangnya empat negara anggota membuat permintaan.
Wirthumer-Hoche berkata Jawatankuasa EMA Bagi Produk Ubatan untuk Penggunaan Manusia (CHMP) akan mengadakan mesyuarat luar biasa pada 11 Mac ini untuk mengkaji vaksin COVID-19 keluaran Johnson & Johnson untuk digunakan negara EU.
“Kami mengharapkan penilaian positif dan Suruhanjaya (Eropah) akan memberi kebenaran dengan segera,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ROME: Seorang Datuk Bandar di wilayah Sicily, Itali meletak jawatan selepas dituduh memotong giliran untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
“Saya menghabiskan sepanjang malam tanpa tidur untuk memikirkan keputusan ini dan saya mengambil pendirian, inilah yang terbaik bagi saya untuk mengundurkan diri,” kata Nicolo Nicolosi, 78, kepada agensi berita Ansa.
Nicolosi, Datuk Bandar Corleone, sebuah bandar kecil di Palermo, menjelaskan perlu mengundur diri biarpun sudah membuat pilihan tepat untuk mendapatkan vaksin bagi dirinya dan ahli majlis yang lain.
Pada Sabtu, laporan media menjelaskan polis sedang menyiasat Datuk Bandar dan kakitangan pentadbiran perbandaran lain dan sudah merujuk kes itu kepada pendakwa tempatan.
Laman Facebook The City of Corleon mengesahkan bahawa Nicolosi mendapat dua dos vaksin pada Januari lalu.
Itali memulakan kempen vaksinasi pada akhir Disember lalu, dengan dos pertama diberi kepada pekerja kesihatan dan warga emas berusia lebih 80 tahun.
Seperti di seluruh Eropah, kekurangan bekalan menyebabkan kelewatan program vaksinasi.
Nicolosi berpendapat ahli politik tempatan sepertinya memerlukan perlindungan segera terhadap virus itu, kerana pekerja barisan hadapan perlu memberi khidmat kepada masyarakat setempat, lapor AFP.
“Vaksinasi adalah langkah kesedaran yang dibuat untuk mencegah kemungkinan adanya kontak dengan virus yang mungkin memaksanya untuk mengundur diri ,” menurut akaun Facebook itu.
Seorang senator dari Five-Star Movement dan ketua jawatankuasa dewan tertinggi antimafia, Nicola Morra, mengatakan Nicolosi bukan satu-satunya ahli politik tempatan yang menyalahgunakan sistem itu.
“Malangnya kita mendengar beberapa situasi di mana aturan undang-undang dipermainkan,” tulis Morra di Facebook, turut mendesak individu lain yang mengambil tindakan sama supaya mengundur diri.
Itali setakat ini sudah menyuntik 5.3 juta dos vaksin yang diberi kepada 1.6 juta orang, berbanding 60 juta penduduknya, menurut data Kementerian Kesihatan semalam.
Perdana Menteri, Mario Draghi, yang baharu dilantik bulan lalu, meletakkan keutamaan untuk mempercepat pemberian vaksin, bagi mengekang penularan pandemik yang sudah mengorbankan hampir 100,000 orang di Itali.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SINGAPURA: “Bangun pagi ini tangan saya menggeletar,” luah Beh Chew Boo, rakyat Malaysia yang terselamat daripada hukuman gantung selepas bebas daripada semua lima pertuduhan membawa dadah ke Singapura.
Bernama berkesempatan bertemu pemuda berusia 38 tahun yang berasal dari Pulau Pinang pada hari kedua pembebasannya dan kelihatan beliau masih belum dapat menerima kenyataan bahawa beliau sudah bebas daripada semua pertuduhan itu.
GAMBAR IHSAN BERNAMA
Beh yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada awal 2020 terselamat daripada hukuman berat itu pada Oktober selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Singapura menerima rayuannya.
Pada 2 Mac lalu, panel hakim yang sama – Sundaresh Menon, Tay Yong Kwang dan Steven Chong – turut mengetepikan permohonan pihak pendakwaan untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan terhadap Beh.
Panel tiga hakim itu membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada Beh.
“Bayangkan selama lebih empat tahun saya tidur di penjara tetapi malam tadi saya tidur atas katil hotel. Ia seperti ini,” katanya sambil membuka tangan menggambarkan ia ibarat bagai langit dengan bumi.
Bapa kepada seorang anak itu yang murah dengan senyuman kelihatan tidak putus mengucapkan penghargaan kepada peguamnya yang turut membantu menguruskan dokumentasi membabitkan perjalanan pulang ke tanah air.
Peguam Wong Siew Hong dari tetuan Eldan Law LLP turut menyediakan tempat tinggal sementara untuk Beh di sebuah hotel, pakaian serta wang perbelanjaan sehingga semua urusan kepulangannya selesai.
Ditanya adakah beliau berasa lega, Beh tidak menjawab secara tepat tetapi beliau menyatakan beliau kini tahu apa perasaannya jika orang bercakap mengenai saat menunggu kematian.
“Saya pernah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Hanya kami yang melaluinya faham perasaan menghitung hari hingga saat itu tiba,” katanya.
“Kematian itu pasti berlaku kepada kita semua walaupun berada di luar penjara tetapi kamu tidak tahu bila. Tetapi kami tahu dan perlu berperang dengan perasaan itu,” katanya.
Beh turut mengakui beliau berasa sangat asing terutama terhadap perubahan teknologi selepas terkurung di dalam penjara selama kira-kira 52 bulan.
“Terlalu banyak perubahan. Saya seperti berada dalam dunia lain. Ada juruwang memandang saya dengan wajah yang pelik kerana saya cuba membuat pembayaran secara tunai. Mereka bertanyakan sama ada saya memiliki kad tunai,” katanya.
Beh turut menunjukkan telefon bimbitnya yang digunakan empat tahun lepas yang perlu dikemas kini sistemnya kerana beberapa aplikasi tidak lagi boleh digunakan termasuk WhatsApp dan WeChat.
“Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan semua peraturan berkaitan Covid-19,” katanya apabila ditanya mengenai rancangannya apabila pulang ke Pulau Pinang dan sempat bertanyakan kepada penulis perkembangan terkini di Malaysia.
Beh ditahan pada Okt 2016 atas dakwaan cuba membawa masuk tidak kurang 499.97 gram methamphetamine dari Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Beh memasuki republik ini dengan menunggang motosikal milik rakannya yang didaftarkan di Malaysia.
Dadah yang dirampas mengandungi tidak kurang dari 742.82 gram serbuk kristal, selepas dianalisis, ia didapati mengandungi tidak kurang dari 499.97 gram methamphetamine.
Beh dalam pembelaannya mendakwa dia tidak mengetahui terdapat dadah di tempat penyimpanan motosikal itu.
Dia dijangka pulang ke kampung halamannya di Batu Kawan, Pulau Pinang, pada 11 Mac.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SAMARINDA: Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dibaham buaya ketika memancing bersama bapa dan adiknya di Kalimantan, Rabu lalu ditemui masih sempurna dalam perut reptilia itu.
Ketua Pasukan Mencari dan Menyelamat Kutai Timur, Bongga Losong berkata, buaya terbabit ditemui pada Khamis selepas operasi digerakkan bersama penduduk kampung dengan bantuan pawang, dipetik dari Kompas. com.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Katanya, mereka terkejut menemui mayat budak lelaki berkenaan yang masih elok apabila membelah perut buaya terbabit.
“Selepas buaya ditemui, kami belah (perut) dan mengambil anaknya (mangsa), bawa ke rumah mayat. Buaya itu kita kuburkan,” katanya yang memberitahu mangsa mungkin ditelan sekali gus selepas diseret ke dalam air.
Terdahulu, buaya itu dikesan 100 meter dari lokasi kejadian dan ditikam dengan tombak hingga lemah serta mati.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Dalam kejadian di Sungai Tempakul, Desa Muara Bengalon, Kutai Timur, mangsa dikatakan sempat berenang di sungai itu apabila seekor buaya menghampiri dan terus menerkamnya di hadapan ayah dan adiknya.
“Ayahnya cuba menyelamatkan anaknya tetapi gagal. Buaya bawa anak itu makin ke dalam (air),” kata Bongga.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SYDNEY: Stesen penyiaran Australia, SBS hari ini menyatakan akan berhenti menggunakan kandungan daripada televisyen milik negara China, sementara menunggu penilaian semula mengenai hak asasi manusia yang serius.
Televisyen, radio dan laman web Australia yang mengkhususkan kandungan pelbagai bahasa, pelbagai budaya menyatakan pihaknya sedang menyiasat penyiaran CGTN dan CCTV yang menyiarkan puluhan pengakuan tahanan paksa, lapor AFP.
Menurut SBS, pihaknya sudah dihubungi oleh pertubuhan hak asasi manusia, Safeguard Defenders berhubung keputusan CGTN dan CCTV untuk menyiarkan mengenai sekurang-kurangnya 56 pengakuan tahanan yang ditahan di bawah tekanan atau penyiksaan daripada tahun 2013 hingga 2020.
“SBS telah menerima aduan yang sedang dikaji.
“Disebabkan kami mengambil perhatian secara serius dan kerumitan kandungan penyiaran terbabit, maka kami membuat keputusan menangguhkan penyiaran buletin berita CGTN dan CCTV yang berasal dari luar negara, sementara kami melakukan penilaian terhadapnya,” kata jurucakap stesen penyiaran itu.
Langkah itu kemungkinan akan merenggangkan lagi hubungan antara Australia dan China, yang sudah berada pada titik terendah dalam beberapa dekad.
Australia mengambil keputusan membataskan pengaruh individu, organisasi dan firma teknologi yang berkaitan China di negaranya.
Ia juga melarang syarikat berkaitan China untuk membeli dua syarikat tempatan dan menilai semula sejumlah pelaburan terdahulu.
China pula bertindak balas dengan sekatan terhadap sejumlah eksport Australia, dari gandum dan arang batu hingga kepada wain dan udang kara.
Tahun lalu, seorang wartawan China-Australia dipenjara dan dua wartawan Australia yang lain terpaksa meninggalkan China.
GAMBAR HIASAN
Pihak berkuasa Australia juga menyerbu rumah empat wakil media negara China bagi menyiasat operasi pengaruh tersembunyi.
SBS berkata, ia menyiarkan 15 minit penyiaran CGTN dalam bahasa Mandarin dan 30 minit CCTV dalam bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada program berita antarabangsa World Watch.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WELLINGTON: Ombak tsunami dikesan susulan beberapa gempa bumi kuat melanda Pasifik Selatan, menyebabkan kawasan pesisir di New Zealand, New Caledonia dan Vanuatu diarah dikosongkan segera, hari ini.
“Ombak tsunami dikesan,” menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii.
Pusat itu memaklumkan, beberapa ombak awal yang kecil telah dikesan berhampiran ibu negara Tonga, Nuku’alofa, berukuran kira-kira tiga sentimeter,lapor AFP.
Bagaimanapun, ombak tsunami menjadi semakin besar apabila melintasi lautan.
Susulan itu, pusat berkenaan memberi amaran bahawa beberapa kawasan, termasuk Vanuatu dan New Caledonia di wilayah Perancis, boleh dibadai ombak besar mencecah hingga tiga meter selepas tiga gempa bumi kuat melanda dengan yang terbesar berukuran 8.1 magnitud.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TOKYO: Jepun hari ini memulakan siasatan berhubung kes lebih 1,000 dos vaksin COVID-19 yang terpaksa dibuang berikutan peti sejuk beku tidak berfungsi.
Sebuah institusi perubatan melaporkan, 172 bebuli vaksin Pfizer BioNTech yang perlu disimpan pada suhu antara -80 dan -60 darjah Celsius, didapati rosak selepas peti sejuk beku rosak pada hujung minggu.
Menurut Kementerian Kesihatan Jepun, akibat kerosakan itu, 1,032 dos vaksin didapati rosak dan terpaksa dibuang.
GAMBAR HIASAN
Jepun memulakan program inokulasi pada 17 Februari lalu, berbaki lima bulan lagi sebelum Sukan Olimpik Tokyo, dengan hanya meluluskan penggunaan vaksin Pfizer BioNTec setakat ini.
Jurucakap kerajaan Jepun, Katsunobu Kato, hari ini berkata punca peti sejuk beku itu tidak berfungsi masih belum jelas tetapi firma yang memasang peralatan itu akan menyiasat dan melaporkan kembali.
Jelas beliau, Jepun menyediakan sekitar 100 peti sejuk beku untuk menyimpan vaksin di negara itu setakat hujung Februari lalu.
“Kita mahu memberi maklum balas secepat mungkin terhadap apa yang diperlukan, berdasarkan hasil siasatan dilakukan oleh syarikat yang memasangnya,” katanya.
Jepun mula memberi vaksin kepada petugas kesihatan pada pertengahan Februari lalu.
Menteri yang bertanggungjawab dengan proses itu, Taro Kano, mengakui beliau tidak tahu berapa jumlah penduduk yang akan menerima suntikan vaksin sebelum bermulanya Sukan Olimpik pada 23 Julai depan.
Bagaimanapun, semalam beliau mengesahkan Jepun sudah memberi suntikan dos pertama vaksin kepada hampir 32,000 doktor dan jururawat
GAMBAR HIASAN
Negara itu memeterai perjanjian dengan tiga syarikat farmaseutikal utama untuk membeli dos mencukupi bagi penduduk seramai 126 juta penduduk.
Jepun juga sedang berusaha untuk mendapatkan jarum suntikan khas yang mencukupi untuk mengekstrak enam dos penuh dari setiap bebuli vaksin Pfizer, lapor AFP.
Dengan pelaksanaan program vaksinasi secara berhati-hati, Jepun pada awalnya merancang untuk memberi vaksin kepada 40,000 petugas penjagaan kesihatan seluruh negara itu.
Pada bulan ini, Jepun akan melaksanakan suntikan terhadap 3.7 juta pekerja dan program vaksinasi untuk sekitar 36 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas dijadualkan bermula pada bulan depan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MEDAN: Gunung Sinabung meletus lagi pagi tadi mengeluarkan debu dan asap setinggi 5,000 meter ke udara, selepas memuntahkan lahar kelmarin.
Menurut agensi geologi tempatan, letusan gunung berapi di Kepulauan Sumatera itu bermula apabila ia mengeluarkan asap dan debu awal pagi ini dan merekodkan 13 letusan susulan.
Pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk setempat supaya mengelak menghampiri kawasan dalam radius lima kilometer (km) dari gunung berkenaan.
Kawasan sekitar gunung itu juga sudah dikosongkan sejak beberapa tahun lalu berikutan peningkatan aktiviti di gunung terbabit.
GAMBAR IHSAN AFP
Bagaimanapun, tidak ada sebarang arahan kecemasan dikeluarkan selain tiada operasi penerbangan yang terjejas.
“Tidak ada petunjuk wujud peningkatan potensi bahaya,” kata agensi terbabit dalam satu kenyataan.
Gunung Sinabung setinggi 2,460 meter itu tidak aktif selama berabad lamanya sebelum aktif semula pada 2010, di mana letusan yang berlaku mengorbankan dua nyawa.
Selepas lama tidak aktif, gunung itu meletus lagi pada 2013 dan sejak itu, ia terus aktif secara berkala.
Dalam letusan pada 2014, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh manakala tujuh maut dalam letusan pada 2016, lapor AFP.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang memiliki lebih 17,000 pulau, mempunyai hampir 130 gunung berapi yang aktif.
Republik itu terletak dalam Lingkaran Api Pasifik dan plet tektonik yang mengelilingi Lautan Pasifik, di mana aktiviti seismik kerap berlaku.
Gunung berapi di Pulau Jawa itu adalah antara yang paling aktif di dunia dan turut meletus pada awal minggu ini dengan memuntahkan lahar.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JALALABAD: Tiga petugas media wanita ditembak dan dibunuh di timur Afghanistan hari ini, lapor rangkaian televisyen.
Pengarah Ekinass TV, Zalmai Latifi, memberitahu AFP bahawa tragedi berkenaan adalah sasaran pembunuhan terbaru yang menggegarkan negara dilanda konflik perang itu
“Mereka semua mati. Mereka pulang dari pejabat dengan berjalan kaki ketika mereka ditembak,” katanya.
Tambah Latifi, wanita terbabit terbunuh dalam dua serangan berasingan dan ketiga-ketiga mereka bekerja di jabatan alih suara untuk sebuah syarikat penyiaran.
Seorang jurucakap di hospital wilayah Nangarhar, Zahir Adel, turut mengesahkan kematian tiga mangsa wanita terbabit.
Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan terbabit.
Di Afghanistan, wartawan, cendekiawan agama, aktivis dan hakim menjadi sasaran gerakan pembunuhan politik baru-baru ini, sehingga mencetuskan suasana panik di negara berkenaan serta memaksa ramai orang bersembunyi.
GAMBAR IHSAN AFP
Bahkan, ada juga yang melarikan diri dari negara itu.
Jumlah pembunuhan semakin meruncing sejak rundingan damai dilancarkan pada tahun lalu antara kerajaan Afghanistan dengan Taliban.
Proses rundingan damai itu adalah langkah terakhir bagi mengakhiri konflik yang berlarutan selama puluhan tahun.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MALAYSIA SOKONG SEBARANG USAHA PERDAMAIAN DI MYANMAR
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyokong sebarang usaha ke arah perdamaian dan mencari penyelesaian terhadap perbalahan dalam kalangan pemimpin Myanmar bagi mengelak kesan buruk kepada rakyat dan negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Malaysia juga meminta pemimpin politik yang ditahan di Myanmar termasuk Daw Aung San Suu Kyi, U Win Myint dan rakan-rakan mereka dibebaskan segera tanpa syarat.
“Kami mendesak semua pihak berkaitan tidak menggunakan kekerasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata. Kami sangat prihatin terhadap kehilangan nyawa dan kecederaan mereka yang tidak bersalah di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Malaysia
“Kami berharap Myanmar memberi ruang kepada rakyatnya mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpunan secara aman,” katanya pada Mesyuarat Menteri ASEAN tidak rasmi untuk membincangkan krisis politik Myanmar, diadakan secara maya pada Selasa.
Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi ASEAN tahun ini, Brunei Darussalam. Turut serta Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin yang memberikan taklimat menyeluruh mengenai situasi di Myanmar.
Hishammuddin berkata, sangat penting bagi Myanmar untuk berusaha mencari jalan keluar daripada krisis politik ini dengan cara menegakkan kehendak dan aspirasi rakyat.
Katanya, tidak dinafikan urusan politik dalam negara adalah hak prerogatif Myanmar, namun diharapkan negara ini dapat mempertimbangkan kebimbangan yang disuarakan anggota ASEAN.
“Di pihak Malaysia, kami tetap yakin bahawa penyelesaian terhadap kebuntuan politik di Myanmar perlu diselesaikan sendiri. Malaysia menyokong teguh peralihan demokrasi Myanmar, proses perdamaian dan pembangunan ekonomi inklusif. Namun, ini tidak boleh sehingga menjejaskan kebaikan bersama di rantau ASEAN,” katanya.
Beliau berkata kestabilan Myanmar adalah sebahagian daripada kejayaan perpaduan serantau dan ekonomi ASEAN, jika keadaan bertambah buruk, ASEAN perlu mempertimbangkan ia boleh merencatkan usaha ke arah keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau.
Justeru, Myanmar perlu terus bekerjasama dengan anggota ASEAN untuk mengelakkan keadaan yang mungkin mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini.
“Oleh itu, kami mendesak Myanmar untuk kembali ke meja rundingan dan memulihkan krisis politik untuk menghindari peningkatan ketegangan, yang boleh mengundang campur tangan asing ke rantau ASEAN.
“Situasi dalam mana-mana negara tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha ASEAN untuk mengejar dan memajukan kepentingannya ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Hishammuddin berkata, Malaysia bersedia menggembleng usaha dengan negara ASEAN lain untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan Myanmar.
Malaysia berharap Myanmar dapat menjamin akses kepada bantuan kemanusiaan, untuk kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya.
Pada mesyuarat itu, Hishammuddin mengemukakan tiga cadangan untuk pertimbangan ASEAN dan Myanmar dalam menyelesaikan krisis, pertama ASEAN atas undangan Myanmar boleh memberikan sokongan melalui penubuhan sekumpulan individu terkemuka atau pakar dalam hal pilihan raya, untuk membantu merapatkan jurang yang wujud pada pilihan raya umum lalu.
Kedua, Myanmar dapat mempertimbangkan cadangan untuk Setiausaha Agung dan Pengerusi ASEAN mengunjungi Myanmar dan diberi akses kepada semua pihak yang terlibat, dan Menteri Luar ASEAN dapat mengetahui tentang penglibatan mereka secepat mungkin.
“Ketiga, Malaysia bersetuju untuk ASEAN terus terbabit dengan rakan-rakan antarabangsanya secara kolektif, atau melalui penubuhan Troika ASEAN, mengenai situasi di Myanmar. Semua cadangan akan dikongsi dengan Myanmar,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin juga berharap situasi di Myanmar ketika ini tidak akan memberi kesan buruk terhadap penghantaran pulang Rohingya ke Myanmar.
“Malaysia turut terkesan dengan krisis di Rakhine berikutan berlakunya masalah migrasi tidak sah ke Malaysia. Kami akan terus menyokong usaha menghantar pulang Rohingya dengan selamat, sukarela, dan bermaruah. Kami mengalu-alukan komitmen berterusan Myanmar dalam hal ini,” katanya.
“Kami juga menantikan peningkatan pelaksanaan cadangan Penilaian Keperluan Awal (PNA) yang dipimpin Setiausaha Agung dan pelaksanaan Penilaian Keperluan Komprehensif.
Pada 5 Februari, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) secara bersama menggesa ASEAN untuk mengadakan pertemuan khas membincangkan situasi politik di Myanmar, setelah rampasan kuasa tentera.
Kedua-dua pemimpin itu membuat seruan itu setelah mengadakan pertemuan di Jakarta sempena lawatan rasmi Muhyiddin ke Indonesia.
Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada pagi 1 Februari, beberapa jam sebelum Parlimen bersidang, dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Liga Demokratik Kebangsaan (NLD).
Junta juga mengisytiharkan perintah darurat setahun dan berjanji untuk “mengambil tindakan” terhadap tuduhan penipuan undi semasa pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi parti NLD.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!