KPLB Peruntuk RM 2 juta Untuk Program Keusahawanan Orang Asli
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperuntukkan sebanyak RM 2 juta untuk Program Keusahawanan Orang Asli di Malaysia.
Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk melahirkan usahawan Orang Asli dengan bantuan pembinaan premis perniagaan, bantuan peralatan perniagaan, kursus dan seminar keusahawanan.
“Bagi menjana dan meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli, JAKOA menganjurkan Karnival Usahawan Orang Asli 2022 (KUOA 2022) sebagai platform mengenengahkan keunikan produk-produk usahawan mereka.
Datuk Seri Abdul Rahman melawat salah satu kios jualan hasil tangan masyarakat Orang Asli.
“KUOA 2022 juga antara inisiatif kerajaan untuk membuka peluang dan ruang penglibatan kepada masyarakat Orang Asli dalam mempertingkatkan kemahiran berinteraksi selain mengentengahkan usaha menggunakan sumber alam sebagai punca pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Pra Pelancaran KUOA 2022 di Cornerstone IPC, Wisma Golden Eagle Realty, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.
Katanya, meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan “keterangkuman” dalam perbezaan, demi keluarga Malaysia.
“Bidang keusahawan yang dijalankan oleh masyarakat orang asli kini telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan pelbagai keunikan hasil kraf dan produk-produk masyarakat orang asli.
“Malah, kini turut dipasarkan dengan kaedah konvensional dan serta menerusi jualan dalam talian sekaligus mampu meningkatkan pendapatan masyarakat orang asli di Malaysia,’ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Rozdeen (duduk tiga dari kiri) bersama-sama ahli JPAN dan SKM Selangor merakamkan kenangan di PJMM sebelum berbuka puasa.
Koperasi aktif dan berdaya saing wajar diberi insentif
SEMENYIH – Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Selangor dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Selangor perlu mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai perkara demi membantu memajukan koperasi di negeri itu.
Pengarah SKM Negeri Selangor, Rozdeen Mohd Jaafar, berkata sekarang ada 1,800 koperasi yang berdaftar di Selangor dan memerlukan bimbangan serta bantuan bagi bergerak maju ke depan supaya mampu berdaya saing.
Rozdeen (tengah) bersama-sama ahli JPAN dan SKM Selangor melihat penghuni yang menghadapi masalah kesihatan pada majlis berbuka puasa bersama penghuni PJMM, di Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Katanya, koperasi yang aktif dan mampu berdaya saing wajar diberikan insentif, manakala yang kurang aktif atau sebaliknya wajar diberi perhatian untuk dibimbing supaya berupaya untuk bangkit serta bergerak maju demi menzahirkan manfaat kepada ahli.
“Aset hampir dua bilion dimiliki koperasi di Selangor wajar dipertingkatkan lagi supaya dapat memberi faedah serta manfaat dalam semua segi selain mampu memastikan sesebuah koperasi terus beroperasi,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis anjuran JPAN Selangor itu, Pengerusi JPAN Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah; Pengurus JPAN Selangor, Khalilluddin Md Yatim; Penasihat (2) PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JPAN dan SKM Selangor.
Penghuni di JPMM menerima sumbangan pada majlis berbuka puasa anjuran JPAN Selangor.
Pada majlis itu Rozdeen melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan JPAN Selangor yang menyantuni warga emas di pusat jagaan berkenaan kerana mereka rata-rata sudah uzur serta tersisih daripada ahli keluarga atau tiada waris sudah pasti gembira diziarahi.
Menurutnya, dia juga berasa bangga apabila JPAN Selangor turut merancang menjadikan PJMM itu sebagai anak angkat yang sudah pasti dapat menjamin bantuan serta perhatian untuk membela nasib warga emas di situ akan diutamakan.
“Ahli koperasi yang berjaya serta mampu berdaya saing wajar juga mencontohi JPAN Selangor menyantuni warga emas di pusat jagaan supaya mereka mampu beroperasi terutama yang tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penghuninya,” kata beliau.
Sementara itu, Mohd Alias dalam ucapannya pula berkata, usaha PJMM itu suatu yang murni menjaga serta mengurus warga emas tiada waris dan tersisih meneruskan kelangsungan hidup tanpa sebarang bayaran dikenakan.
Jelasnya, warga emas terbabit bukan mengharapkan wang tetapi mereka lebih kepada naluri menagih kasih sayang dan tidak sewajarnya bagi waris yang masih ada khasnya tidak memberi perhatian atau datang menziarah mereka di situ.
“Sebagai sokongan dan menghargai PJMM yang begitu komitmen menjaga warga emas ini JPAN Selangor dalam proses menjadikannya anak angkat supaya dapat turut serta menyantuni penghuni di situ.
“Jika diadakan aktiviti di sini sekurang-kurangnya dapat menggembirakan hati dan menjadi pengubat rindu warga emas terbabit kepada ahli keluarga selepas tidak dipedulikan,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ikan salai jadi buruan untuk masakan berbuka puasa
JERANTUT – Peniaga ikan salai mendapat sambutan luar biasa sejak awal bulan Ramadan terutama di hujung minggu sehingga perlu mendapatkan bekalan tambahan daripada penternak ikan sungai di sekitar Kampung Jerantut Feri berdekatan Sungai Pahang, dekat sini.
Permintaan luar biasa itu disebabkan oleh pengumuman kerajaan kepada fasa endemik yang menyebabkan ahli keluarga yang tinggal di luar daerah ini pulang untuk berbuka puasa bersama keluarga.
Peniaga ikan salai sungai, Azman Zainuddin, 52, berkata, boleh dikatakan setiap kali bulan Ramadan permintaan terhadap ikan liar Sungai Tembeling dan Sungai Pahang meningkat bukan sahaja di kalangan pelanggan tempatan malahan penggemar dari luar daerah ini.
Azman Zainuddin, 52, berkata, boleh dikatakan setiap kali bulan Ramadan permintaan terhadap ikan salai Sungai Tembeling dan Sungai Pahang meningkat.
“Sebelum serangan wabak Covid-19, permintaan memang banyak, tetapi kira-kira 2 tahun dalam fasa pandemik, berkemungkinan ahli keluarga yang tinggal di luar Pahang tidak balik ke kampung serta pendapatan orang ramai terjejas maka permintaan ikan salai turut terkesan.
“Saya masih mengekalkan harga lama kerana tidak mahu membebankan orang ramai kerana ketika ini semua orang sedang dalam fasa membina cara berbelanja dengan berhemah,” katanya.
Katanya, ketika ini dia menjual ikan tilapia dan ikan patin kira-kira 100 ekor sehari tetapi di hujung minggu dan cuti umum permintaan meningkat sehingga 500 ekor sehari.
“Semua harga ikan salai dijual mengikut saiz, ikan tilapia berharga RM6 seekor ke atas, dan patin RM12 seekor.
“Saya juga menyalai daging segar seberat 40 kilogram untuk dijual pada harga RM15 sekilogram dan turut menjadi buruan penduduk di sini,” katanya.
Katanya, dia dan isteriya, Asrah Ahmad, 49, tidak menang tangan melayan pelanggan untuk mendapatkan bekalan ikan salai di Gerai Patin dan Tilapia yang terletak di tepi jalan raya Jerantut – Maran, berdekatan Kampung Jerantut Feri dekat sini.
Asrah Ahmad, aroma asap kayu api pada daging ikan menambat selera pelanggan
Mendedahkan rahsia keenakan ikan salainya, isteri Azman, Asrah Ahmad, 49, berkata, kedua jenis ikan yang disiang dan dibelah dua kemudian dicampur kunyit, serbuk lada dan garam disalai di atas bara api kayu terpilih antara satu setengah hingga dua jam.
“Ketika menyalai, aroma asap kayu api pada daging ikan menambat selera pelanggan. Kelazimannya, bagi penduduk di daerah ini gemar memasak lemak pedas campur ikan salai sebagai hidangan berbuka puasa dan tengah hari ketika di bulan lain.
“Kami sentiasa menjaga kualiti ketika menyalai termasuk pemilihan kayu api serta teknik menyalai supaya pelanggan berpuas hati malah kerap kali datang semula berbelanja di gerai ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Syarikat EGO bina kilang pembuatan berasaskan minyak sawit terbesar di Pahang
JERANTUT – Kilang Kelapa Sawit Jerantut (KKSJ) mengorak langkah dengan membina sebuah kilang pemprosesan produk untuk minyak masak serta pengeluaran barang makanan termasuk makanan haiwan dan keperluan rumah.
Kilang tersebut dibina dengan kos kira-kira RM100 juta di atas kawasan seluas 7.6 hektar (14.5 ekar) dijangka boleh beroperasi kira-kira 24 bulan akan datang.
Selain memiliki kilang memproses minyak sawit mentah sedia ada, pembinaan kilang baharu itu terletak bersebelahan dan ini mengurangkan kos pengangkutan selain dilengkapi dengan makmal ujian, pemprosesan produk dan pembungkusan sebelum dipasarkan.
Pengerusi Eksekutif, Empire Golden Oil Refinenary (EGO) Sendirian Berhad berkata, kilang ini akan memproses minyak sawit mentah (CPO) seberat 900 tan metrik sehari untuk menghasilkan produk komersial seperti makanan, keperluan rumah dan sebagainya.
“Produk daripada kilang EGO akan dipasarkan di Pahang dan seluruh negara selain akan dieksport ke negara China, India, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Asia Tenggara menerusi pembekal di sana.
“Selain itu EGO juga mensasarkan akan menawarkan kira-kira 200 pekerjaan untuk penduduk tempatan pelbagai peringkat yang secara langsung membantu kerajaan menawarkan pekerjaan kepada orang ramai,” katanya selepas Perasmian Pecah Tanah Kilang Penapis Minyak Sawit EGO, di Jeransong, dekat sini, hari ini.
Katanya, sehingga ini sebanyak 150 pengusaha ladang sawit termasuk di bawah pengurusan Risda telah menghantar sawit ke KKSJ termasuk ladang milik syarikat ini untuk diproses dijadikan minyak mentah dengan penawaran harga yang lebih baik berbanding di tempat lain,” katanya
“Pihak kami akan mengadakan perjanjian persefahaman dengan Risda Plantation dalam masa terdekat bagi memeterai kerjasama penjualan buah sawit untuk diproses di KKSJ sekali gus minyak sawit mentah menjadi bahan utama untuk menghasilkan produk di kilang EGO Sdn Bhd,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
10,000 anggota Koperasi Angkasa mesyuarat agung secara maya
TEMERLOH – Seramai 10,000 anggota perwakilan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (AMGKASA) akan mengadakan mesyuarat agung tahunan negeri masing-masing secara maya sepanjang bulan ini di seluruh negara.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, semua perwakilan ini mewakili 16 negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah
“Perlu ditegaskan Pahang mempunyai tiga zon yang bertaraf negeri iaitu perhubungan negeri Pahang 1 ( kawasan timur), Pahang 2 ( kawasan tengah) dan Pahang 3 ( kawasan barat ).
“Oleh itu, seramai 10,000 perwakilan yang layak hadir daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak termasuk tiga zon akan mengadakan mesyuarat agung negeri di pahang dan akan diadakan secara maya buat kali kedua,” katanya.
Katanya, Mesyuarat Agung Negeri ( MAN)2022 dimulakan dengan koperasi Angkasa Pahang Timur pada 1 Mac dan berakhir di peringkat negeri Terengganu pada 30 Mac.
“Daripada persidangan itu seramai 30 peratus atau 3,000 perwakilan akan ke mesyuarat agung perwakilan Angkasa peringkat pusat pada 28 mei ini yang juga diadakan secara maya,” katanya. katanya.
Beliau yang juga presiden Asean Co-operarative Organization (ACO) berkata sempena Mesyuarat Agung Negeri (MAN) peringkat negeri Pahang Zon 2 (kawasan tengah ) di pejabat perhubungan negeri zon 2 di Temerloh hari ini kepada media.
Katanya, mesyuarat turut membincangkan percapaian Angkasa tahun 2021, menambahbaik agenda dan perancangan yang lebih berkesan dilaksanakan sepanjang tahun ini dan tahun 2023.
Tegas beliau, mesyuarat agung negeri-negeri mempunyai impak penting daripada idea yang dilontarkan seperti beberapa pindaan akta koperasi dapat direalisasilan demi kepentingan dan pembangunan gerakan koperasi.
“Mesyuarat agung Angkasa peringkat negeri diadakan tiga tahun sekali memberi peluang kepada anggota dan pengurusan memberi fokus terhadap usaha memajukan koperasi.
“Ini membolehkan lembaga pengarah koperasi dapat menjayakan pelan strategik angkasa 2050 (PESAN 50) yang seiring dengan pelan transformasi koperasi Malaysia 2021- 2025 dan Dasar Keusahawan Nasional 2030,” katanya.
Katanya, Angkasa berusaha keras memperkasakan dan memberi fokus terhadap gerakan koperasi supaya sasaran RM100 bilion perolehan dapat dicapai pada tahun 2030.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengorak langkah menjalin kerjasama dua hala bersama Biovet International Sdn. Bhd. hari ini.
Kerjasama itu dimulakan dengan penyerahan 83 ekor kambing biri-biri kepada tiga koperasi ahli ANGKASA iaitu Koperasi Bimbingan Ihsan Temerloh Berhad (KOBI), Koperasi Guru-Guru Lepasan Maktab Temerloh Berhad (KOGURU) dan Koperasi Keluarga Haji Mohd Ilyas (KOPMAI).
Penyerahan simbolik haiwan ternakan kepada pihak Biovet International oleh Abdul Fatah (kiri)
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama dengan pihak Biovet International ini membuka jalan kepada koperasi yang mempunyai dana mencukupi untuk melabur dalam industri penternakan.
“Kita lihat bidang ternakan seperti lembu kerbau kambing biri-biri mempunyai permintaan yang besar dalam negara dan menjadi industri yang berpontensi besar yang boleh diceburi oleh gerakan koperasi.
“Ia adalah satu langkah yang tepat pada masanya dan diharap dapat menyumbang kepada Pertumbuhan Kadar Sara Diri (SSL) untuk pengeluaran daging ruminan sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Katanya, koperasi ahli ANGKASA yang berminat dan mempunyai dana mencukupi perlu merebut peluang ini dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Biovet International bagi mendapatkan kepakaran dan bekalan daging tempatan pada harga berpatutan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada bekalan daging import.
“Pakej yang mereka tawarkan adalah projek ternakan secara pasaran tetap dengan kepakaran teknikal di atas tanah sendiri dengan modal minimum RM75,000 hingga RM500,000,” katanya.
Sementara itu jurucakap Biovet International memaklumkan , Hotel Veterinar Biovet Kuala Tekal di Temerloh kini memiliki hampir 600 ekor kambing daripada pelbagai jenis baka hasil daripada 345 peserta di seluruh negara.
“Biovet juga berjaya menarik minat peserta dari Belanda, Indonesia, Singapura dan Yaman yang telah menyertai program ternakan bersama kami,” katanya.
Hotel Veterinar Biovet mula ditubuhkan pada tahun 2019 bertapak di Kuala Tekal, Temerloh Pahang bermula dengan dua ekor kambing. Kini, mereka sudah mempunyai 17 buah ladang dan lebih daripada 900 ekor bebiri di seluruh negara.
Tujuan utama Biovet ditubuhkan adalah untuk meningkatkan kadar pengeluaran bebiri di Malaysia setanding dengan negara maju yang lain.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tren baharu Lipis-Gemas kembali beroperasi setelah terhenti sejak 2014
JERANTUT – Orang ramai menyambut baik perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang menyambung kembali perkhidmatan yang terhenti agak lama bemula dari Stesen Lipis ke Gemas, Negeri Sembilan.
Perkhidmatan tren DMU (Diesel Multiple Unit) percuma selama tiga hari itu, mulai 21-23 Februari untuk menguji laluan dan sambutan orang ramai turut berhenti di Stesen Kerambit, Mela, Jerantut, Kuala Krau, Mentakab, Mengkarak, Triang, Kemayan, Bahau dan Gemas.
Menurut jurucakap di Stesen Jerantut berkata, tren SH35 memulakan perjalanan dari Lipis pada jam 11.52 pagi dan tiba di Gemas pada jam 4.33 petang.
Manakala tren SH38 yang bermula dari Stesen Gemas pada jam 12.00 tengah hari dan tiba di Lipis pada jam 4.26 petang.
Selain itu katanya, orang ramai boleh membeli tiket secara atas talian menggunakan aplikasi KTMB Mobile.
Seorang penumpang dari Jerantut berhasrat ke Gemas mengambil peluang perjalanan percuma dengan menggunakan DMU baharu, Hazaliza Kamruddin berkata, sudak agak lama perkhidmatan keretapi tidak beroperasi sejak Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
Hazaliza Kamruddin diharapkan perkhidmatan tren ini berjalan lancar dan diteruskan
“Perjalanan ini kebetulan ada majlis kenduri keluarga di sana di samping membawa anak mendapat pengalaman baharu dengan menaiki tren DMU ini.
“Diharapkan perkhidmatan ini berjalan lancar dan diteruskan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di Stesen Keretapi Jerantut, hari ini.
Seorang penumpang yang akan ke Gemas, Mohd Dagang Daud (56) berkata dia ke sana bersama keluarga selain mengalami perkhidmatan baharu trend an sudah agak lama tidak menaiki tren sejak 2014.
Mohd Dagang Daud (56) berkata dia ke sana bersama keluarga selain mengalami perkhidmatan baharu trend an sudah agak lama tidak menaiki tren sejak 2014.
“Tidak silap saya sejak 2014 berlaku banjir dan dimaklumkan laluan ke Tumpat berlaku kerosakan dan ini merencatkan perjalanan Tumpat-Johor Bahru melalui Jerantut terhenti.
“Diberatkan lagi dengan pandemik yang berlaku sejak awal tahun 2020 dan tren tidak menjalankan perkhidmatannya,” katanya.
Penduduk Mela, Lipis, Mohd Safri Salleh berkata, kemudahan yang disediakan oleh KTMB itu dapat merancakkan kembali ekonomi penduduk setempat berasaskan pasaran hasil pertanian dan pelancongan.
“Saya amat menghargai usaha KTMB yang mengembalikan perkhidmatan tren ini semula di luar bandar Lipis khususnya singgah di stesen Mela berbanding sebelum ini terhenti sejak lebih 20 tahun berikutan selepas siap dibina jalan raya Kerambit ke Kuala Lipis.
“Perkhidmatan semula tren DMU ini amat bermakna kepada penduduk luar bandar khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan, warga emas, pelajar ke sekolah malahan mereka yang berminat untuk perjalanan secara santai dan selamat ke destinasi pilihan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di Kampung Mela dekat sini hari ini.
Penduduk di Kampung Mela gembira tren DMU beroperasi dari Lipis-Gemas yang meningkatkan pilihan pengangkutan awam
Ketua Kampung Mela, Rosli Ismail menambah, penduduk di situ juga berharap supaya perkhidmatan itu ada penambahbaikan selaras dengan pembangunan moden pengangkutan darat dan kompetitif di negara ini
“Saya dan penduduk luar bandar daerah ini sangat sinonim dengan perjalanan kereta api sejak daripada kecil dan kemudian terhenti akibat jalan raya dibina.
“Kita amat yakin perkhidmatan tren ini akan terus berfungsi memberikan perkhidmatan selesa dan terbaik, selain itu berharap KTMB dapat menukarkan ‘wajah’ baharu stesen Mela dan beberapa kampung lain yang menjadi persinggahan sejajar persaingan yang kompetitif serta tarikan pelawat, ” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Koperasi produk sektor peruncitan boleh bantu penduduk
LIPIS – Presiden Angkatan Koperasi Malaysia (Angkasa ), Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi koperasi peruncitan berharap Kedai Harga Patut (KHP) terus berperanan menyediakan dan meningkatkan aksesibiliti kepada pengguna pada harga berpatutan.
Presiden Angkatan Koperasi Malaysia (Angkasa ), Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah
Koperasi bagi sektor peruncitan di negara ini terbukti berjaya membantu orang ramai menangani kos sara hidup kerana dengan menawarkan harga barangan keperluan yang lebih murah berbanding harga biasa.
“Sehingga kini, terdapat sebanyak 13,428 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan 60 peratus terdiri daripada koperasi dalam peruncitan serta penggunaan dan lebih 400 kedai yang diuruskan koperasi dengan menawarkan harga murah.
“Kami yakin koperasi itu boleh berperanan membantu kerajaan meningkatkan ekonomi khususnya membantu dari segi kos sara hidup sekarang ini dan penyertaan koperasi di sektor peruncitan sekurang-kurangnya dapat membantu menyediakan produk pada kadar harga patut,” katanya di sini hari.
Datuk Mustapa Long (dua dari kiri) turut hadir ke majlis tersebut
Abdul Fattah berkata kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahun ke-34 Pekebun Kecil Lipis di Dewan UMNO Lipis di sini hari
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang mewakili Timbalan Menteri Satu Kememnterian Pemabgunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Abdul Fattah berkata KHP sejak diperkenalkan telah menerima sambutan baik dalam kalangan pengguna dan masyarakat dan sudah menerima koperasi peruncitan sebagai alternatif kepada kedai runcit sedia ada.
“Kita mahu semua koperasi di seluruh negara khususnya sektor peruncitan untuk bersatu dan memainkan peranan supaya dapat mengurangkan kenaikan harga barang yang semakin meruncing sekarang ini.
“Angkasa melalui SKM akan membantu seperti khidmat nasihat, seminar dan bengkel keusahawanan, pemasaran serta program Mentoring & Coaching kepada peruncit,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Genting Hong Kong tutup pejabat, buang pekerja di AS
HONG KONG – Crystal Cruises milik Genting Hong Kong Ltd menutup pejabatnya di Amerika Syarikat (AS) dan memberhentikan pekerja, kata individu yang rapat dengan perkara itu.
Langkah itu dibuat beberapa hari selepas dua kapal mewahnya dirampas kerana tidak membayar bil ketika syarikat induk berusaha untuk merundingkan penstrukturan semula dengan pembubar sementara.
Pekerja diberhentikan pada Rabu lalu, kata individu berkenaan, yang meminta tidak dikenali kerana maklumat itu tidak diumumkan kepada awam.
Satu video pengumuman dibuat kepada kru di atas kapal Crystal Cruises memberikan perincian mengenai berita itu, demikian menurut satu hantaran Twitter di Crew Center, satu forum untuk pekerja kapal.
V.Ships, sebuah syarikat pengurusan kapal, akan menjadi firma pengurusan baharu, demikian menurut pengumuman berkenaan. Bloomberg News tidak dapat mengesahkan video itu.
“Malangnya, ini adalah pengakhiran bagi Crystal Cruises.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Kapal akan dijual.” kru diberitahu dalam video
Crystal Cruises, Genting Hong Kong dan V.Ships tidak menjawab kepada pertanyaan dikemukakan.
Penutupan operasi ibu pejabat Crystal Cruises di Miami menyusuli penyitaan kapal di Bahamas minggu lalu.
Satu pembekal bahan api mengemukakan tuntutan bil tidak berbayar sebanyak AS$4.6 juta (RM19.2 juta).
Sementara itu, Genting Hong Kong sedang berunding dengan pembubar sementara untuk menstruktur semula kumpulan.
Crystal Cruises menjadi pengendali kapal persiaran terbesar dunia yang mendapatkan bantuan mahkamah untuk melindungi asetnya semasa pandemik apabila ia meminta Mahkamah Tinggi di Bermuda pada 18 Januari untuk melantik pembubar sementara selepas kehabisan ‘segala usaha yang wajar’ untuk berunding dengan pemberi pinjaman dan pihak berkepentingan.
Syarikat itu melaporkan kerugian terbesar AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) pada Mei lalu apabila pandemik memusnahkan industri kapal persiaran.
Anak syarikat pembinaan kapalnya di Jerman, MV Werften, diisytihar muflis. Crystal Cruises sebelum itu berkata, ia menggantung operasi kapalnya sehingga Mei.
Pusat panggilannya dihentikan sementara sehingga diberitahu kemudian dan ia masih lagi memproses tuntutan balik pelanggan, demikian menurut laman web syarikat itu.
Dream Cruises Holding Ltd, anak syarikat tidak langsung bukan sepenuhnya Genting Hong Kong, akan terus mengendalikan kapal di Asia.
Tempahan bagi New Dream Cruises digantung sehingga diberitahu kemudian, manakala pelayaran bagi kapal Genting Dream dibatalkan sehingga sekurang-kurangnya 16 Februari ini berikutan peraturan penjarakan sosial yang ketat di wilayah berkenaan, kata syarikat itu.
SUMBER -Bloomberg/ BH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Dalam satu iklan yang diterbitkan dalam sebuah akhbar Bahasa Inggeris memaparkan tawaran Menara TM untuk dijual.
Menara TM diiklankan untuk dijual oleh pemiliknya, Menara ABS Bhd adalah salah satu mercu tanda Kuala Lumpur yang mempunyai 55 tingkat.
Bangunan ikonik Kuala Lumpur tersebut tidak memaparkan tawaran harga kepada bakal pembeli.
Bangunan Telekom Research & Development Sdn. Bhd. siap dibina pada 2001 berstatus pegangan bebas kini dihuni sepenuhnya.
Tarikh tutup peringkat pertama tawaran jualan tersebut pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac 2022.
Menurut iklan yang dipaparkan, Menara TM dibina lengkap dengan bangunan pejabat yang mempunyai helipad, keluasan bangunan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan serbaguna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.
Kos membina menara tersebut sekitar RM669.3 juta (AS$160 juta) yang memiliki lebih 1,700 lot tempat letak kereta yang berhampiran infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.
Menara TM memiliki status MSC iaitu simbol perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.
Ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu adalah WTW Real Estate Sdn. Bhd.
Menara TM tersebut menjadi ibu pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM) yang terletak berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley CIty, KL Eco CIty dan Bangsar South.
Dalam satu kenyataan, TM tidak memiliki Menara TM tersebut tetapi hanya menyewa bangunan yang terletak di Jalan Pantai Baharu.
TM turut menjelaskan bahawa syarikat itu tidak terlibat dengan penjualan menara itu dan kini sedang dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke hartanah miliknya termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta hartanahnya di Cyberjaya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!