NELAYAN PKNK KUALA MUDA PERLU STRUKTUR KONSEP PEMASARAN
KOTA KUALA MUDA: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda dicadang supaya dapat menstruktur semula konsep pemasaran hasil tangkapan laut termasuk produk hiliran bagi memastikan bekalan terus konsisten sebelum menyertai Projek Barangan Asas (BA100) ANGKASA.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, faktor peningkatan jumlah outlet BA100 di seluruh negara menyebabkan aliran dagangan produk menjadi semakin besar dan kerap.
Datuk Dr Abdul Fattah (4 dari kanan) melawat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda,hari ini.
“Bagi memastikan bekalan dapat disalurkan secara konsisten, pasukan BA100 ANGKASA akan bekerjasama dengan pengurusan PNK Kuala Muda dengan memberi tumpuan kepada pasaran outlet BA100 di kawasan utara Semenanjung terlebih dahulu,”katanya.
Beliau yang juga Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), untuk memastikan bekalan dapat disalurkan secara konsisten memerlukan tatacara konsep pemasaran yang lebih efektif.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam satu sesi lawatan dan perbincangan ANGKASA bersama PNK Kuala Muda di Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, Kedah.
Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya; dan barisan Anggota Jawatakuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Kedah diketuai Pengerusinya, Wan Ibrahim Wan Jusoh.
Turut sama, Pengarah LKIM Negeri Kedah, Dr. Abdul Salim Tajudin; Pengerusi PNK Kuala Muda, Muhammad Kamal Abidin; Pengarah Urusan Realfact Global Sdn. Bhd., Datuk Azhar Baharuddin dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Halim Ibrahim.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANGKASA KEMPEN PROGRAM PENGHIJAUAN MALAYSIA TANAM 100 JUTA POKOK
PETALING JAYA: Program Penghijauan Malaysia melalui kempen menanam 100 juta pokok menjelang tahun 2025 memerlukan usaha dan kerjasama kukuh dalam pemuliharaan alam sekitar daripada semua pihak.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA sangat mengalu-akukan penyertaan koperasi dalam kempen tersebut sebagai salah satu langkah membantu menangani masalah pelepasan karbon yang semakin meningkat.
Katanya, COOPCARE Koperasi Prihatin Sejuta Pokok merupakan salah sebuah program ulung ANGKASA dengan kerjasama gerakan koperasi yang digerakkan bagi memberi impak positif terhadap alam sekitar seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ANGKASA dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) bagi pelaksanaan Program COOPCARE Koperasi Prihatin Sejuta Pokok, semalam.
Sesi menandatangani MoU yang berlangsung secara maya itu telah ditandatangani oleh beliau mewakili ANGKASA manakala YHM pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amin Abdullah.
Bidang kerjasama antara ANGKASA dan YHM turut melibatkan aspek perkongsian informasi, promosi dan pendidikan mengenai Program Penghijauan Malaysia.
Sementara itu, Amin dalam ucapannya menjelaskan tentang fungsi dan peranan YHM iaitu sebuah yayasan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang kini sedang giat berusaha untuk mendapatkan sumbangan dana kewangan bagi melaksanakan program penanaman pokok selaras dengan usaha menjayakan ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ oleh kerajaan.
Katanya, selain menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti penanaman pokok menerusi kempen yang dijalankan dari semasa ke semasa, YHM juga turut merekodkan setiap aktiviti dan perkembangannya melalui aplikasi ‘Penghijauan Malaysia’ di laman web www.100jutapokok.gov.my.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GELEMBUNG PELANCONGAN BERMULA 1 OKTOBER DITANGGUH DI PAHANG
ROMPIN: Kebenaran melancong ke Pulau Tioman dan Genting Highlands yang dijadualkan bermula 1 Oktober di bawah gelembung pelancongan ditangguhkan sementara di negeri ini.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamarudin Ibrahim berkata, perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.
Penduduk tempatan yang ingin ke Pulau Tioman perlu melaksanakan ujian calitan kendiri sebelum memasuki pusat peranginan berkenaan.
“Dalam Mesyuarat Khas atau Sidang Khas MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri meminta agar tempoh untuk pembukaan gelembung pelancongan ditangguhkan sementara ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
Salah satu pantai di Pulau Tioman yang menjadi tarikah pelancong
“Mungkin dalam dua atau tiga minggu lagi bila mana kerajaan dapat mencapai 90 peratus vaksinasi rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Jadi tempoh 1 Oktober yang diumumkan sebelum ini telah pun ditangguhkan ke satu tempoh, satu tarikh yang lain yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi ujian pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sektor pelancongan Pulau Tioman di Terminal Feri Penumpang Teluk Gading di sini.
Menurut beliau lagi, kawasan pelancongan di negeri ini hanya dibuka kepada penduduk tempatan sahaja memandangkan negeri ini telah berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Oleh kerana Pahang telah memasuki Fasa Tiga, bermakna ada banyak aktiviti-aktiviti telah dilonggarkan dari segi pengeoperasian dan rentas daerah telah dibenarkan.
“Dan kita mengambil peluang walaupun belum lagi dibenarkan untuk rentas negeri tetapi bagi rakyat ataupun penduduk yang berada di Pahang boleh berkunjung ke mana-mana destinasi pelancongan yang terdapat di negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau lagi, setiap pelancong atau individu yang akan memasuki Pulau Tioman juga diwajibkan menjalani ujian calitan kendiri terlebih dahulu sebelum dibenarkan menaiki feri.
“Syarat ini sebenarnya adalah untuk memastikan bahawa sektor pelancongan tidak menjadi penyumbang kepada masalah penyebaran Covid-19 bagi destinasi-destinasi pelancongan yang terdapat di Negeri Pahang.
“Dan kita percaya syarat yang kita kenakan ini disambut baik terutamanya bagi pengusaha-pengusaha pelancongan kita yang terdapat di Pulau Tioman,” katanya.
Menurut beliau lagi, ujian calitan kendiri ini juga perlu dijalani oleh penduduk pulau yang ingin masuk kembali ke pulau.
“Walaupun mereka penduduk tempatan, apabila mereka keluar dari pulau (Tioman), kita tidak mengetahui sejarah perjalanan mereka. Mereka mungkin pergi ke tempat yang ada jangkitan dan sebagainya.
“Jadi, kita akan mencari jalan terbaik bagaimana boleh membantu mereka, mungkin ada kaedah tertentu yang boleh kita gunakan kepada penduduk tempatan, mungkin kita akan gunakan pas khas kepada mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOPERASI MANTAPKAN BARISAN KEPIMPINAN UNTUK BERADA DI LANDASAN YANG BETUL
ALOR SETAR: Koperasi perlu mempunyai daya penggerak yang kuat dan mempunyai pengaruh yang tinggi bagi memastikan sistem pentadbiran koperasi sentiasa berada di landasan yang betul untuk masa depan koperasi yang lebih terjamin serta dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, usaha meningkatkan kefahaman dan menyatupadukan anggota juga merupakan antara agenda yang perlu diberi perhatian serius oleh barisan kepemimpinan dalam menggerakkan koperasi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar
Katanya, kerajaan mahu melihat gerakan koperasi terus berperanan sebagai sektor ketiga penyumbang ekonomi negara dan pada masa yang sama, mahu memastikan peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) dapat dipertingkatkan mengikut perkembangan semasa.
“Selain itu, proses membangunkan ummah menerusi koperasi juga antara yang akan diberi penekanan oleh kerajaan dengan cara meningkatkan kualiti tadbir urus koperasi seperti koperasi kariah masjid dan koperasi belia.
“Keyakinan yang tinggi bahawa koperasi akan mampu menjadi penggerak yang lebih unggul serta menjadi pemangkin ekonomi kepada anggota dan masyarakat khususnya generasi muda dan kepimpinan koperasi di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Program Penyerahan Bantuan dan Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi Negeri Kedah 2021 di Alor Setar semalam.
Tan Sri Noh telah menyerahkan kepada 5 koperasi penerima Bantuan Pembangunan Koperasi berjumlah RM272,000.00; 3 koperasi penerima Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) berjumlah RM191,300.00 dan Bantuan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi untuk gerakan koperasi negeri Kedah berjumlah RM225,000.0
Turut hadiri, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Datuk Ahmad; Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron; Ketua Pengarah IKM, Datuk Mohd Ali Mansor dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar
Antara objektif Program Penyerahan Bantuan dan Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi adalah untuk membantu menangani peningkatan kos sara hidup rakyat termasuk anggota koperasi yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40 dan M40.
Selain itu, program yang berlangsung di Menara Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad di Alor Setar, turut bertujuan untuk membantu merancakkan semula ekonomi koperasi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya koperasi di negeri Kedah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANGKASA CADANG KUMPUL MENTERI BERKAITAN KOPERASI ASEAN
BINCANG USAHA KUKUH KERJASAMA SERANTAU
MELAKA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mencadangkan supaya diadakan satu persidangan yang mengumpulkan menteri-menteri yang memegang portfolio berkaitan koperasi dari negara-negara Asia Tenggara untuk membincangkan tentang usaha bagi mengukuhkan kerjasama antara koperasi di rantau ini.
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, gerakan koperasi di beberapa negara Asia Tenggara tidak begitu diiktiraf sebagai satu instrumen atau antara pemain utama yang boleh membantu kerajaan membasmi kemiskinan tegar.
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah
Beliau yang juga Presiden 𝘈𝘚𝘌𝘈𝘕 𝘊𝘰𝘰𝘱𝘦𝘳𝘢𝘵𝘪𝘷𝘦 𝘖𝘳𝘨𝘢𝘯𝘪𝘻𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯, sekiranya persidangan ini dapat diadakan, pasti akan memberi makna yang cukup besar kepada koperasi-koperasi di rantau ini yang telah memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sosioekonomi.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Melaka yang diadakan secara hibrid telah dihadiri oleh seramai 179 perwakilan, semalam.
Hadir sama ke mesyuarat ialah Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Melaka, Ikhwan Firdaus Roslan.
“Harapan ANGKASA adalah untuk melihat model koperasi sekolah dapat diperkenalkan di negara-negara anggota ASEAN.
“Sebagai rekod, sebanyak 2,457 koperasi sekolah di Malaysia telah mencatat perolehan sejumlah RM336 juta pada tahun 2020, manakala pada tahun sebelumnya, sebanyak 2,441 koperasi sekolah telah berjaya merekodkan perolehan sejumlah RM421 juta,” katanya.
Menurutnya, ANGKASA sentiasa menggunakan peluang di pentas antarabangsa melalui kepimpinan tertinggi ANGKASA yang memegang pelbagai peranan dalam 𝘐𝘯𝘵𝘦𝘳𝘯𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭 𝘊𝘰𝘰𝘱𝘦𝘳𝘢𝘵𝘪𝘷𝘦 𝘈𝘭𝘭𝘪𝘢𝘯𝘤𝘦 (ICA) dan 𝘐𝘊𝘈 – 𝘈𝘴𝘪𝘢 𝘢𝘯𝘥 𝘗𝘢𝘤𝘪𝘧𝘪𝘤 untuk mempromosi model seperti koperasi sekolah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Melaka, Ab. Rahim Md Tawel dalam ucapannya berkata, fokus jawatankuasa ini adalah untuk turun padang dalam usaha bagi menyantuni koperasi-koperasi berstatus tidak aktif.
“Setakat ini, ada sebanyak 268 koperasi yang aktif di Melaka, manakala jumlah koperasi yang berstatus tidak aktif dan dorman, masing-masing adalah sebanyak 56 dan 27 buah.
“Memandangkan Sektor Makanan dan Kesihatan menjadi keutamaan, koperasi-koperasi digalakkan untuk menceburi bidang perniagaan yang membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat khususnya kenaikan harga barang,” katanya.
Katanya, koperasi yang berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan runcit melalui projek Barangan Asas 100 (BA100), boleh terus berhubung dengan JPAN Melaka.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEREMBAN: Koperasi Kariah Masjid (KKM) perlu merebut dan memanfaatkan peluang dalam pasaran industri produk halal sebagai produk utama yang dirancang untuk dikembangkan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Selain itu, dua produk lain yang bakal dikembangkan juga ialah koperasi sekolah dan kewangan Islam menerusi ACO Bank.
Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha ANGKASA ini adalah bertujuan untuk memastikan produk halal koperasi terus berkembang di persada global memandangkan industri halal di Malaysia mempunyai ekosistem halal yang berdaya maju.
Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah
Beliau yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), berharap industri halal di negara ini mempunyai daya saing yang bagus dengan sasaran nilai eksport halal sebanyak AS$100 bilion (RM417 bilion) menjelang tahun 2030.
“Pembangunan perniagaan KKM menjadi perhatian utama ANGKASA pada masa ini kerana kewujudan institusi ibadat yang dapat digemblengkan secara lebih berkesan dalam membantu komuniti setempat.
“ANGKASA adalah milik bersama dan komited dalam menyediakan saluran dan platform terbaik kepada anggota serta komuniti yang boleh dicapai dengan kerjasama semua pemegang taruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2021 Negeri Sembilan yang diadakan secara maya selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19, hari ini.
“Ia bersesuaian dengan misi ANGKASA dalam mempelopori dan memperkasa jaringan serta rantaian nilai sektor ekonomi koperasi ke arah mencorakkan landskap ekonomi koperasi selaras dengan perkembangan inovasi dan teknologi,” katanya.
Seramai 202 perwakilan telah hadir ke mesyuarat berkenaan yang berlangsung mengikut Garis Panduan Pengurusan Mesyuarat Agung Koperasi Semasa Penularan Pandemik COVID-19 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Hadir sama ke mesyuarat ialah Penolong Pengarah Wilayah Negeri Sembilan SKM, Mohd Shafiq Mohammad Jaapar; Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi SKM, Ropidah Ismail dan Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKM), Roziah Mohamed.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Negeri Sembilan, Datuk Ibrahim Abdullah, berkata sebanyak 40 program telah dilaksanakan sepanjang Januari hingga September 2021 secara fizikal dan maya dalam usaha memberi pendedahan ilmu dan maklumat kepada koperasi menjalankan kegiatan dengan kerjasama ANGKASA Pusat dan SKM Negeri Sembilan serta IKM Zon Selatan.
Katanya, dengan jumlah keanggotaan seramai 563 buah koperasi, ANGKASA Negeri Sembilan terus giat memperkasakan gerakan koperasi negeri dengan memfokuskan kepada sektor pemborongan dan eruncitan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; pertanian dan industri asas tani; Perladangan dan usaha-usaha pembangunan wanita dan komuniti.
“ANGKASA Negeri Sembilan dengan kerjasama ANGKASA Pusat bekerjasama dalam menjalankan tanggungjawab sosial koperasi (CSR) menerusi Program COOPCARE ANGKASA Prihatin Covid-19 kepada anggota koperasi dan masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAHASISWA PERLU AKTIF DALAM KOPERASI DI BAWAH DASAR KEUSAHAWAN NASIONAL 2030
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization, Datuk Abdul Fattah Abdullah mahukan penglibatan mahasiswa dalam koperasi siswa yang mempunyai hubungan dengan enam teras strategik yang telah dirangka bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
Datuk Abdul Fattah Abdullah
“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hanya terdapat 208 buah koperasi siswa dengan keanggotaan seramai 161,662 orang pada tahun 2020. Kementerian Pengajian Tinggi merekodkan jumlah Institut Pengajian Tinggi Awam sebanyak 20 buah manakala IPT Swasta (437), kolej komuniti (104) dan politeknik (36) pada tahun yang sama.
“Ini membuktikan masih banyak IPTA, IPTS, kolej dan politeknik di negara ini yang belum menubuhkan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada webinar ‘Hala Tuju Gerakan Koperasi Siswa Institut Pengajian Tinggi’ yang diadakan melalui platform Zoom pada 10 September 2021 dan dihadiri oleh seramai 145 peserta.
Webinar ‘Hala Tuju Gerakan Koperasi Siswa Institut Pengajian Tinggi’ menampilkan Naib Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik sebagai moderator dan barisan tiga panel yang mempunyai pengalaman luas dalam topik ini.
Barisan tiga panel terdiri daripada Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Pembangunan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Azam Sulaiman dan Pengerusi Koperasi Siswa UiTM Selangor Berhad, Muhammad Syahid Aiman Muhammad Bazlan.
Barisan panel dalam Webinar ‘Hala Tuju Gerakan Koperasi Siswa Institut Pengajian Tinggi’
Hadir sama ke webinar ialah Naib Presiden ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya.
Sementara itu, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dalam perkongsiannya menyatakan matlamat penubuhan koperasi siswa mestilah berlandaskan objektif kemenjadian mahasiswa.
“Kemenjadian mahasiswa tidak boleh diukur dengan berdasarkan pencapaian kebolehpasaran graduan semata-mata, tetapi juga graduan mencipta peluang pekerjaan untuk mereka sendiri dan memberikan peluang pekerjaan kepada orang ramai,” katanya.
Shaharuddin turut menyatakan harapannya agar koperasi siswa memainkan peranan yang lebih agresif dalam membantu menjayakan rangka kerja Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021 – 2025.
Manakala Azam Sulaiman, selain memenuhi keperluan anggota seperti membuka kedai dobi layan diri, kedai runcit dan kedai alat tulis, koperasi siswa turut berperanan membantu anggota yang menjalankan perniagaan sendiri, antara intipati perkongsiannya.
“Terdapat anggota yang merupakan usahawan, maka koperasi boleh bantu dengan memasarkan produk atau perkhidmatan mereka di kedai-kedai milik koperasi,”katanya.
Muhammad Syahid Aiman pula berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan koperasi siswa tidak begitu mendapat sambutan kerana pendekatan yang tidak efektif untuk meyakinkan mahasiswa supaya menjadi anggota.
Menurut beliau, koperasi perlu mengkategorikan mahasiswa kepada tiga golongan iaitu founder yang mempunyai perniagaan sendiri; joiner (baru berjinak-jinak dalam perniagaan) dan investor (mahu melabur dalam mana-mana perniagaan).
“Apabila koperasi dapat mengenal pasti tiga kategori ini, maka mereka tahu pendekatan yang sesuai untuk digunakan bagi mengajak mahasiswa menyertai koperasi,” katanya.SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BAGAN SERAI – Seorang lelaki Rohingya maut setelah motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 12 Jalan Siakap di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira -kira pukul 10 malam itu, mangsa yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa, Samsul Alam Harun,36, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Taman Serai Jaya menuju ke Bagan Serai.
“Setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah terlanggar bahagian tayar belakang sebelah kiri treler tersebut.
“Ketika itu treler 14 tayar jenis Nissan CK45BT yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 50-an sedang dalam keadaan mengundur untuk keluar dari simpang di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kata Mazuki Mat, pelanggaran itu menyebabkan mangsa parah dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh anggota perubatan yang melakukan pemeriksaan,lapor kosmo online
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEBELAS JENIS AKTIVITI EKONOMI MULA BEROPERASI ESUK
TEMERLOH: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sebelas jenis ekonomi di bawah Fasa 1 boleh mula beroperasi esuk.
Pembukaan semula ini dibuat selepas mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan perbincangan dengan semua pemegang taruh dalam sektor berkepentingan.
Namun, beliau menjelaskan, kemudahan terbaharu itu terpakai kepada semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah menerima vaksinasi lengkap.
Antara yang mula boleh beroprasi esuk
Sebelas jenis aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi ialah, kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan,kedai aksesori kereta dan pusat pengedaran dan jualan kereta
Sementara itu, pasar pagi dan pasar tani sahaja dibenarkan, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat serta salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).
Sementara itu, beliau berkata bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan, perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) kesihatan tambahan yang wajib dipatuhi.
“Pekerja perlu memakai sarung tangan, hadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan bilik persalinan. SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya.
Selain itu, kedai peralatan ‘outdoor’, kedai bunga serta kedai alat permainan antara 11 aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran di bawah Fasa 2 turut dibenarkan beroperasi esok.
Aktiviti ekonomi lain adalah kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi; kedai barangan terpakai; kedai kraftangan dan cenderahati; kedai antik; kedai permaidani; kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif; kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi; serta kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik).
Kedai emas turut boleh beroperasi
Semua aktiviti itu adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.
Beliau berkata, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.
“Jika berlaku jangkitan di premis yang menerima kemudahan ini, KKM akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENIAGA YANG GAGAL PATUHI HARGA MAKSIMUM RUNCIT MINYAK MASAK SAWIT TULEN DALAM BOTOL AKAN DIDAKWA
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menguatkuasakan Harga Runcit Maksimum bagi minyak masak sawit tulen dibungkus dalam botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2021 bermula 1 Ogos 2021.
Penguatkuasaan Harga Runcit Maksimum ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menangani isu kenaikan harga minyak masak sawit tulen botol 1 kilogram hingga 5 kilogram.
KPDNHEP telah menguatkuasakan Harga Runcit Maksimum bagi minyak masak sawit tulen dibungkus dalam botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2021 bermula 1 Ogos 2021.
Pengarah Penguat Kuasa Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam dalam satu kenyataan akhbar, pemeriksaan minyak masak sawit tulen yang dibungkus dalam botol telah dilaksanakan bermula 1 Ogos 2021 di seluruh Negara.
“Tujuan pemeriksaan dan pemantauan dilaksanakan adalah untuk memastikan peniaga mematuhi Perintah Kawalan Harga (Penentuan Harga Maksimum) (NO.6) 2021. Pemeriksaan memfokuskan pada minyak masak sawit tulen dibungkus botol berat 1kg, 2kg , 3kg dan 5kg di peringkat premis runcit.
“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis-premis runcit di seluruh Negara dan didapati sejumlah 563 premis menjual minyak masak sawit tulen botol pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, bagi lawatan pemeriksaan kali pertama ini sejumlah 73 amaran telah dikeluarkan kepada peniaga yang didapati gagal untuk membuat perubahan harga bagi mematuhi Perintah ini,” katanya.
Katanya, KPDNHEP menyambut baik kepada mana-mana peniaga yang hendak menawarkan untuk menjual minyak masak tulen botol pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang telah ditetapkan.
“Konsep penguatkuasaan harga maksimum ini adalah sebagai penanda aras atau harga siling kepada peniaga agar tidak menjual melebihi harga maksimum atau harga siling yang telah ditetapkan, ini seiring dengan hasrat Kerajaan untuk mengawal situasi kenaikan harga yang tidak terkawal terhadap barang keperluan tertentu rakyat.
“Sebagai maklumat kepenggunaan, pengguna boleh membezakan minyak masak sawit tulen dengan campuran dengan merujuk label yang ditandakan pada botol minyak masak sawit iaitu bagi minyak masak sawit tulen akan dilabel sebagai “minyak masak tulen” atau “minyak masak sawit”.
Katanya, kalau “minyak sayuran” atau “minyak sawit bertapis”,manakala bagi minyak masak sawit campuran dilabelkan sebagai “minyak masak campuran” atau “minyak masak sebatian”.
Azman berkata, peniaga perlu mematuhi sepenuhnya peruntukan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penentuan Harga Maksimum) (NO.6) 2021 bagi minyak masak tulen botol, pendekatan pemeriksaan yang lebih deterent akan dilaksanakan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP dengan mengambil tindakan di bawah peruntukan Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kepada yang mendapati melakukan kesalahan dan boleh dikenakan penalti seperti berikut; Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; manakala syarikat yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“KPDNHEP turut menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP khususnya melibatkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran,” katanya.
Katanya orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada, Portal e-aduan.kpdnhep; Call Centre 1-800-886-800; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau Whatsapp ke nombor 019-279 4317.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!