Amizar mula terima surat mohon bantuan daripada penduduk
Amizar mula terima surat mohon bantuan daripada penduduk
BENTONG – Belum sampai 24 jam bergelar wakil rakyat, Datuk Amizar Abu Adam sudah mula menerima permohonan bantuan ketika sesi jelajah mesra di FELDA Chemomoi, pagi tadi.
Surat permohonan diterima ketika beliau sedang minum pagi dan menyantuni penduduk.
Amizar berkata, banyak permohonan dan aduan diterima sejak berkempen lagi, namun hanya boleh diuruskan selepas selesai PRK.
“Bukan hari ni saja tapi dah bermula daripada berkempen lagi.
“Cuma masa berkempen tak bolehlah (beri sumbangan).
“Alhamdulillah, selain melalui surat, saya juga terima (permohonan) melalui WhatsApp.
“Kita menyantuni dan menyelesaikan apa yang mereka perlukan,” katanya ditemui media.
Beliau berkata, manifesto bagi mewujudkan kemudahan stesen minyak di Simpang Pelangai kini dalam peringkat rundingan.
Katanya, dengan adanya stesen minyak itu nanti, ia akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan ‘Pelangai Gateaway’ seperti dihasratkan.
“Di situ nanti, salah satunya kita akan dapat sekolah tahfiz di bawah Yayasan Prihatin Pahang dan di situlah tempat yang kita akan buat Mini Township.
“Township ini diilhamkan Allahyarham (Datuk Seri Johari Harun.
“Insya-ALLAH kita teruskan rancangan dan kini ia dalam peringkat perbincangan dengan pihak Majlis (perbandaran Bentong),” katanya lagi.
Sementara itu ditanya kesediaan beliau sekiranya berlaku petisyen bantahan terhadap kemenangan beliau di Pelangai, Amizar berkata, beliau terbuka ia adalah hak demokrasi.
BN berjaya mengekalkan DUN Pelangai dengan majoriti 2,949 undi semalam.
Keputusan itu bagaimanapun menunjukkan jumlah majoriti merosot berbanding 4,048 undi majoriti dimenangi penyandang kerusi DUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Amizar memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.- SAHIH