Amizar komited teruskan legasi Johari
Amizar komited teruskan legasi Johari
BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai malam ini, komited meneruskan legasi penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Bercakap kepada media selepas pengumuman rasmi keputusan PRK di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, dekat Pelangai, beliau berkata akan sedaya upaya memikul amanah dan tanggungjawab kepada warga Pelangai.
Bagi membalas kepercayaan itu, katanya, beliau akan turun ke lapangan bagi bertemu masyarakat setempat dalam masa terdekat.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan kemenangan kepada BN.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan diberikan dan pengundi Pelangai yang memilih BN sebagai parti yang akan berkhidmat untuk mereka.
“Sekarang pilihan raya sudah habis, insya-Allah saya akan terus menjalankan amanah diberikan bagi menyambung legasi Allahyarham Johari,” katanya.
Pada pengisytiharan keputusan rasmi PRK Pelangai malam ini, BN berjaya mengekalkan kerusi Pelangai menerusi Amizar yang memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat yang mendapat 4,275 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya meraih 47 undi.- SAHIH