Terima kasih pengundi Pelangai – Wan Rosdy
Terima kasih pengundi Pelangai – Wan Rosdy
BENTONG – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai membuktikan masyarakat di kawasan itu matang dan bijak membuat pilihan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kepercayaan dan sokongan diberikan pengundi Pelangai dihargai dan disanjung tinggi.
Beliau berkata, ia akan digalas dengan baik dan sepenuh hati oleh kerajaan negeri diterajui BN.
“Malah ia juga membuktikan bahawa masyarakat Pelangai tidak sesekali terpengaruh dengan kempen agresif pihak Perikatan Nasional (PN) yang mengamalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ sehingga sanggup menabur fitnah, memaki hamun, mengadu domba, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah serta memburukkan kerajaan negeri dalam siri ceramah mereka.
“Selain itu, kemenangan ini juga bermakna pihak BN berjaya menyekat gelombang hijau yang mereka canang dan banggakan selama beberapa bulan ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, malam tadi.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh masyarakat di Pelangai, sama ada di kampung tradisi, perkampungan Orang Asli, kampung baru dan gugusan FELDA.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada jentera BN dan Pakatan Harapan, sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian, apatah lagi jentera tempatan, yang bertungkus-lumus melakukan gerak kerja selama ini.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan melantik saya sebagai Pengarah Jentera BN bagi PRK DUN Pelangai ini.
“Amanah ini telah saya galas dengan sepenuh jiwa raga saya dan pasukan saya,” katanya.
Menurutnya, beliau, BN dan kerajaan negeri akan membantu wakil rakyat DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam bagi memastikan kebajikan, keperluan dan kesejahteraan masyarakat Pelangai terjaga dan terpelihara.- SAHIH