ALASAN NAJIB SOKONG BELANJAWAN
KUALA LUMPUR: Jika bajet digagalkan sekarang, kerajaan tiada masa lagi untuk perbetulkannya, kata bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan sebab Barisan Nasional (BN) tidak menolak Belanjawan 2021 yang diluluskan bagi bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat semalam.
Ia di sebalik ramai yang kecewa berikutan dua tuntutan BN iaitu berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium masih belum sempurna, jelas Najib.
GAMBAR HIASAN
“Pendirian kami ialah kini sudah tinggal dua minggu lagi sebelum tahun 2021 bermula dan perbelanjaan kerajaan akan berjalan mengikut bajet,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata dalam isu pengeluaran akaun 1 KWSP, BN telah perjuangkan dari tidak diberi langsung sebelum Belanjawan 2021 ke 600,000 orang diberi, dan dinaikkan lagi kepada 2 juta orang dan akhirnya 8 juta ahli yang layak sekarang.
“Kategori 1 sudah elok. Kini cuma tinggal kategori 2 untuk ditambahbaik.
“Dalam isu lanjutan moratorium pula, kita fight dari tiada moratorium ditambah sebelum bajet ke moratorium diberi cuma kepada golongan B40 dan akhirnya kelulusan automatik tanpa dokumen kepada sesiapa dari golongan B40, M40 dan perniagaan kecil sederhana yang memohon.
“Oleh itu, tidak benar kita beri harapan palsu kepada ramai yang meminta sebab jelas ada kemajuan dalam dua perkara ini.
“Namun masih ada kekurangan dari segi implementasi dari bank-bank yang degil,” katanya dipetik dari Malaysiapost.
Najib berkata, beliau dan BN akan terus menuntut kerajaan PN menepati janji mereka sehingga kedua-dua isu itu diselesaikan sebaiknya.
“Kerajaan PN juga memberitahu kita bahawa mereka masih akan berusaha untuk memperbaiki kedua-dua perkara ini.
“Jika hasrat kami masih tidak tercapai dan kami masih rasa tertipu selepas satu tempoh masa yang munasabah, maka BN masih berpeluang untuk membuat sesuatu kelak,” katanya.
Beliau seterusnya menegaskan kelulusan Belanjawan 2021 bukan platform yang sesuai sebab kekurangan masa sebelum tahun 2021 bermula.
“Jika bajet tak lulus hari ini maka kerajaan susah untuk berfungsi dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.